Sunday, March 19, 2017

Hati Ini Pilih Kamu


Aku sampai ke pejabat lambat sedikit dari biasa. Lambat sebab aku pergi sendiri naik pengangkutan awam hari ini. Naik bas lepas tu tukar naik LRT. Lepas tu naik bas sekali lagi. Terkejar-kejar dan menggagau tanya orang pasal nombor bas untuk ke KL. Dari sana aku diberitahu kakak indon dalam bas tadi aku kena naik LRT untuk sampai ke pejabat aku. Aku redah dan terjah aje tanya kat orang di station LRT. Janji aku sampai ke pejabat. Alhamdulillah selamat aku sampai ke pejabat. Zainal tak hantar aku macam biasa. Bukan dia tak nak hantar tapi aku yang tak nak lagi dihantar oleh dia. Aku tinggalkan rumah waktu dia masih tidur. Lepas solat subuh aku terus keluar rumah. Aku dah putuskan malam tadi sebelum lelapkan mata. Biar aku uruskan hidup aku sendiri mulai hari ini. Aku takkan harapkan Zainal lagi.

Aku letak tas tangan atas meja. Kerusi aku tarik ke belakang. Aku hempaskan duduk dan lepaskan nafas penat sekejap. Pagi ini aku baru rasa dan tahu apa itu penat datang kerja. Baru aku tahu apa tu susah payah menunggu dan berkejar dengan kenderaan awam. Selama ini aku tak perlu menunggu. Tak pernah rasa penat pergi kerja sebab duduk aje dalam kereta berhawa dingin dan Zainal yang memandu sampai depan lobby office. Aku dah tak boleh manja-manja lagi. Kesilapan membiarkan aku bergantung penuh pada Zainal untuk urusan hidup seharian harus ditamatkan. Aku kena bergantung pada diri sendiri bermula hari ini.

Kunci laci yang terlekat bersama swipe card yang tergantung di leher aku sorong ke lubang laci. Aku pulas kunci. Aku tarik balik kunci. Lanyard berwarna merah yang tergantung di leher aku tarik dan letak tepi desktop. Laci aku tarik. Tas tangan aku capai dan keluarkan telefon. Aku tengok ada dua puluh missed call dari Zainal. Aku memang silentkan telefon waktu keluar dari rumah tadi. Sengaja aku buat begitu. Aku tahu Zainal pasti akan call bila dia bangun dan tengok aku dah tak ada kat rumah. Aku abaikan sahaja. Aku tak ada rasa nak call dia balik. Biar dia tahu aku sedang marah dan marah aku masih membara lagi. Marah aku takkan padam setelah apa yang aku dengar dari mulut dia malam tadi.  Aku tengok ada beberapa pesanan WhatsApp dari Zainal. Aku tak bukak. Nanti dia tahu aku dah baca message tu. Dan aku memang tak ada hati dan keinginan nak baca. Aku biarkan sahaja. Biar dia kepanasan bila aku bertindak dingin begini.

Aku masukkan tas tangan ke dalam laci dan aku tolak laci semula. Aku pusing kerusi mengadap desktop. Aku tekan suisnya. Layar skrin yang gelap mula bertukar warna. Aku renung skrin komputer. Hidup aku yang berwarna seperti skrin ini sudah tiada lagi. Warna bahagia yang kini bertukar warna duka. Warna bahagia yang hilang selepas Zainal buat pengakuan malam tadi.

"I tak mampu nak elakkan diri dari dia. I sayang dia. I cintakan dia. Dia cinta pertama I." Hati aku sedang dicincang Zainal dengan pengakuan kejam dia. Depan aku isterinya yang sah, dia mengaku cintakan perempuan lain. Terfikirkah dia kalau dia di tempat aku sekarang, mampukah dia terima kenyataan begini jika aku lafazkan pada dia yang aku cintakan lelaki lain?

"Mak tak setuju hubungan kami dahulu. Mak pilih you jadi isteri I. Mak mahu I kahwin dengan you. I tak mampu nak sakitkan hati mak jadi I pilih korban hati I." Aku geleng kepala. Bibir aku kemam. Jadi aku sekarang yang kena jadi korban? Berkorban demi satukan cinta korang berdua yang terputus selama ini. Maaf Zainal. Aku bukan malaikat. Bukan bidadari dunia berhati mulia. Aku perempuan biasa. Yang ada hati. Hati yang kini sudah kau cincang lumat.

"I minta maaf, Zira. Tapi I tak pernah cintakan you selama ini." Dada terasa nyilu dengan  kata-kata tidak bersalah Zainal. Jiwa halus aku sedang disiat-siat. Sampai hati Zainal buat aku macam ni. Salahkah aku sebab jadi pilihan mak dia? Aku tak minta itu semua. Aku layan mak dia macam jiran yang lain juga. Sebagai orang tua aku hormatkan mak dia. Aku tak pernah tahu mak dia sukakan aku  dalam diam dan mahu aku jadi menantu. Sumpah jika aku tahu Zainal ada orang lain dalam hati dahulu aku takkan minta mak abah setuju terima lamaran mak Zainal lima tahun dahulu. Kau yang bersalah, Zainal. Kau lelaki dayus! Kau pengecut!

"I dan dia akan bernikah." Aku  rasa siling ruang tamu rumah makin rendah. Mahu menghempap kepala. Dan jantung aku dicabut kejam dari dada bila Zainal cakap macam tu. Akhirnya teka-teki yang bersarang dalam kepala tentang hubungan Zainal dengan perempuan yang dirahsiakan dari pengetahuan aku selama ini sudah terlerai.

Bernikah.

Dan aku bagaimana?

"I harap you beri I izin nikahi, Janice. I tak mahu terus buat hati you terluka  bila kami berhubung secara rahsia lagi di belakang you." Oh. Jadi itu nama perempuan yang Zainal cinta selama ini. Aku pejam mata. Jangan harap aku akan setuju, Zainal. Kau kena buat pilihan. Aku atau dia. 

"Beb...apasal kau lambat hari ni? Bangun lambat?" Teguran Zai buat aku berpusing. Suara kejam Zainal ikut hilang. Untuk seketika aku hanya melempar pandangan kosong pada Zai. Aku pusing kepala semula pandang skrin komputer. Zai yang nampak reaksi Zira hala kaki ke meja Zira. Mesti pasal Zainal ni. Zai dah boleh teka.

"I tahu I berdosa pada you Zira tapi perasaan ini tak mampu I buang. Dia terlebih dahulu singgah dalam hati I." Aku kemam bibir. 

"Zira? Kau...kau okey ke?" Zai mencangkung di tepi kerusi aku. Aku pusing pandang Zai. Aku pandang mata Zai. Aku rasa mata aku panas, Tolonglah airmata jangan keluar sekarang. Aku tak mampu nak tahan nanti kalau aku menangis.

"Zainal nak nikah dengan perempuan tu, Zai. Dia minta izin aku."  Zai capai tangan aku. Dipegang kuat. Aku rasa dada aku macam nak pecah lepas dengar ayat aku sendiri. Aku balas genggaman tangan Zai. Ya Allah, beratnya ujian ini. Sampai hati Zainal kianati kesetiaan kasih sayang dan cinta aku pada dia selama ini.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...