Thursday, November 27, 2014

Roman Cinta Kita


Bab 1
“MANA ABANG, CHAH?” Aina yang laju melangkah masuk ke ruang dapur hala soalan pada Aisyah yang berdiri mengadap sinki. Seruan Aina buat Aisyah yang usai mencuci pinggan berpusing. Aina yang mendekati meja memegang sebuah kotak yang sederhana besar dipandang.

“Kat atas lagi agaknya. Chah tak nampak pun abang turun.” Laju Aisyah menjawab. “Kat atas lagi?” Aisyah angguk. Wajah Aina yang nampak penat dijamah. “ Abang dah panggil mama dan papa turun ke belum, Chah?” Aina tanya lagi. Tangan penuh hati-hati meletakkan kotak yang teralas di lengan ke lantai meja. Bahu Aisyah terangkat. “ Chah rasa belum lagi lah, kak Na. Abang tengah siap-siap kut.” Tangan capai tuala di tepi sinki. Digomol tangan yang basah ke permukaan kain. Kaki melangkah mendekati Aina. Kotak berisi pulut kuning berlapis rendang ayam dan daging yang ditempah dari kak Sabroshida dilihat sedang kak Aina letakkan perlahan-lahan di atas meja. Aisyah makin merapati Aina. Teruja mahu melihat pulut kuning berlapis rendang yang kak Aina tempah.

“Nak tengok kak Na. Mesti cantik kan kak Sabroshida buat macam yang kita nak.” Aisyah mengendeng rapat di sebelah Aina. Aina tersenyum lihat gelagat tidak sabar Aisyah. Wajah bujur sirihnya putih mulus menyalin seratus peratus wajah mama. Semua penghuni dalam rumah ini menggelarkan Aisyah anak photostat sebab wajahnya memang saling tak tumpah wajah mama. Sebijk kata orang sekarang. Kalau berdiri sebelah menyebelah memang macam adik-beradik kembar sementelaah wajah mama tu memang tak makan usia. Macam anak dara aje.

“Cantik, Chah. Cantik sangat kak Sabroshida buat. Mama dan papa mesti suka ni. Sedap memang menjilat jari.” Dua ibu jari Aina ditegakkan. Bibir lebar tersenyum. Aina memang puashati sangat-sangat dengan pulut kuning berlapis rendang yang ditempah dari kak Sabroshida.

“Iye ke?” Dua tapak tangan Aisyah saling dirapatkan. Bebola matanya yang berwarna coklat itu bercahaya. Tubuh kurus tingginya menari-nari keterujaan. Aina lepas ketawa kecil tengok gelagat Aisyah. “ Cepatlah bukak. Chah nak tengok, kak Na. Tak sabar ni.”

“Chah bukak la.” Aina undur ke belakang. Mahu memberi laluan pada Aisyah. Coach yang tersangkut di bahu hadiah dari papa dan mama pada ulangtahun harilahirnya tahun lepas dilurutkan lalu di letakkan di atas kabinet hitam di sebelah meja.

“ Chah bukak ek, kak Na. ” Aina angguk. “ Bukak la. Perlahan-lahan, Chah. Jangan tersentuh pulak pulut tu.” Pipi Coach dikuak. Blackberry dikeluarkan dari dalam perut Coach yang sudah ternganga. “ Ok, kak Na.” Aisyah masih tersenyum memandang kotak di depan mata. Tak sabar mahu melihat isi di dalam sepertimana yang diceritakan kak Aina tadi. Mata Aina menala pada skrin empat segi. Tubuh disandarkan pada dinding kabinet. Jari-jemari Aina yang runcing laju mengirim pesanan pada kak Sabroshida memberitahu yang Aina sudah selamat sampai di rumah. Tadi kak Sabroshida pesan pada Aina untuk menghantar pesanan padanya bila dah sampai di rumah. Risau betul dia sebab Aina memandu seorang diri dalam keadaan hujan yang tiba-tiba turun dan tambah lebat waktu Aina mahu meninggalkan rumah kak Sabroshida tadi . Blackbeerry dihumban semula ke dalam Coach usai pesanan dihantar. Mata dibawa memandang Aisyah yang sedang membuka penutup kotak.
Tangan Aisyah laju membuka penutup kotak. Tidak sabar mahu melihat isi di dalam kotak berwarna putih yang terdampar di atas meja. Aina yang melihat terus membiarkan adik bongsunya ini melayan rasa teruja. Kepala berpusing pandang sekitar dapur. Kemas dan sudah bersih semuanya. Bibir orak senyum. Aisyah memang cekap bab –bab mengemas. Macam mama jugak!

Tadi, waktu melangkah masuk, Aina nampak ruang makan utama sudah berhias cantik dan tersusun dengan semua hidangan istimewa yang dia dan Aisyah masak tadi. Memang Aina dah siap-siap masak tadi dengan dibantu Aisyah sebelum Aina keluar mengambil pulut kuning berlapis rendang yang ditempah dari kak Sabroshida. Aina suruh Aisyah kemas dan susun semua makanan yang mereka berdua masak tadi meja di atas meja makan utama. Malam ini mereka empat beradik mahu menyambut hari istimewa untuk mama dan papa. Hari ulangtahun perkahwinan mama dan papa yang dua puluh satu. Mama dan papa memang tak dibenarkan turun ke bawah dan masuk ke kawasan dapur sejak mereka berdua pulang dari keluar berdua-duan sejak pagi tadi. Hari ni papa tak masuk pejabat. Dan memang setiap hari ulangtahun perkahwinan papa akan cuti. Papa akan bawa mama keluar. Berjalan-jalan berdua. Hari ulangtahun memang hari untuk mereka berdua-duaan. Keluar bersama, makan bersama, menikmati hari itu hanya berdua sahaja. Romantik kan? Papa memang sejak dahulu sangat romantis. Hai, untungnya Aina kalau dapat suami seromantis papa. Manalah nak cari zaman sekarang ni kan. Mama selalu cakap dengan Aina, mama selalu rasa macam baru semalam kahwin dengan papa. Dari pagi mereka keluar dan lewat petang baru sampai ke rumah. Dan tadi Aina dan tolak mama dan papa masuk bilik cepat-cepat bila mereka cuba curi-curi nak tinjau apa yang Aina dan Aisyah sedang buat di dapur.

“Cantiknya kak Na pulut kuning lapis rendang yang kak Sabroshida buat ni.” Aisyah lontar wajah teruja pada Aina. Senyum Aina terukir. “Mesti mama dan papa suka. Terkejut tu mesti. Chah gerenti!” Aina angguk sambil melontar senyum.

“Chah keluarkan dari kotak pastu letak kat meja ye. Kak Na naik atas tukar baju kejap.” Aisyah angguk. Tangan penuh berhati membuka lipatan tepi kotak.

“ Ameer mana, Chah?” Aina baru perasan dia tidak terlihat Ameer sejak masuk tadi. Adik kembarnya itu ada bersama Aisyah waktu dia keluar tadi.

“Abang Ameer dah naik. Tukar baju gak. kejap lagi dia turun.” Aina angguk. Coach yang terdampar di kabinet disauk semula ke bahu.

Kaki Aina melangkah ke ruang makan utama. Ameer yang sedang menuangkan minuman disapa dengan usikan. Aina kata baju melayu Ameer kalah pengantin. Aisyah yang mendengar ikut mengiyakan. Macam nak bersanding kata Aisyah. Berkilat-kilat. Malam ni mereka semua ditetapkan untuk memakai baju melayu dan baju kurung. Itu yang abang dah tetapkan. Semua kena ikut. Mata Aina melilau mencari susuk tubuh seseorang. Mana pulak abang ni?

“Abang mana, Mir?”

“Tak turun lagi. Dalam bilik lagi kut.”

Aina kerut muka. “Tak turun lagi? Dah pukul berapa ni? Abang ni bersiap nak pergi nikah apa, lama sangat. Orang yang baru naik pun dah siap. Dia tak siap siap lagi.” Ketawa Ameer terluncur dengan kata-kata Aina yang bersahaja.

“ Abang..biasalah. Bersiapa kalah perempuan. Macam Aina tak tahu.” Aina geleng kepala. Mata hala ke pergelangan tangan. Dah pukul lapan setengah dah. Haishh abang ni!

“Chah..” Aina seru Aisyah yang sedang memotong tembikai. Kepala Aisyah berpusing.

“Ya, kak Na.”

“ Terus senduk nasi lepas tu ye. Kak Aina naik panggil abang.” Aisyah angguk.

Aina laju panjat tangga ke tingkat dua. Pantas dilangkah. Dipusingkan tubuh. Bilik paling hujung di tingkat dua dituju. Langkah diatur laju. Kura tangan menghempas dinding pintu.

"Tuk tuk tuk tuk.." Mata terus merenung dinding pintu yang tertutup rapat. Haissh, abang ni, Cepatlah buka pintu. Apa yang dibuat lama-lama kat dalam bilik tu. Tidak sabar, kura tangan Aina mencecah lagi dinding pintu. Dihempas untuk kali kedua.

"Abang...cepatlah bukak pintu ni. Abang!" Suara Aina sedikit kuat. Dan serentak pintu dibuka. Mata Aina terkebil-kebil tengok abang sulungnya yang sedang terpacak di depan pintu menggosok -gosok mata. Bibir diketap. Boleh dia tidur pulak masa-masa ni. Eeei, geramnya! Orang dah pesan dah pagi tadi. Banyak kali dah orang pesan. Memang nak kena tau abang ni. Laju sahaja jari-jemari runcing Aina singgah di lengan sasa abangnya yang masih terpisat-pisat.

"Aduh!" Spontan mata Ben terbuka. Tapak tangan Ben menggosok bahagian lengan yang dicubit Aina. Perit masih belum hilang. Aina ni kembar ketam batu agaknya. Menyepit punyalah sakit. Diangkat mata ke wajah Aina. " Aina nak apa ni? Main-main cubit ni ada apa. Abang penat laa, Aina. Boleh tak jangan kacau abang rehat sekejap. Kalau nak cerita pasal budak yang Aina minat gila kat kolej tu, esoklah cerita kat abang. Takkan larinya budak handsome tu. "

Aina mencekak pinggang. Apa? Kacau abang rehat? Boleh pulak dia nak berehat masa ni. Dah laa tu, main suka-suka jer sebut pasal hal orang. Tak suka tau! Mata menujah raut selamba lelaki di depannya ini yang tayang muka tak bersalah. Memang sungguh nak kena tau abang ni! Bibir diketap.

"Abang cakap orang kacau abang?Abang ni kan..eeii. " Aina geleng kepala. Nafas dilepaskan. "Abang tau tak malam ni kita ada acara istimewa untuk mama dan papa? Kita kan dah bahagi-bahagikan kerja masing-masing. Abang jugak yang bahagikan kerja tu tau. Orang dengan Ameer dan Aisyah dah siap-siapkan semua kat bawah tau. Kami dah siapkan bahagian kami. Abang tu aje yang kena buat bahagian abang. Habis dah abang tak keluar-keluar bilik, Aina ketuklah bilik abang ingatkan tugas abang. Abang ingat kan tugas abang malam ni?" Mata Aina bulat menujah ke wajah tampan di depan.

Dahi Benjamin berkerut. Aina yang merenung tak berkelip di jamah dengan wajah keliru. Acara istimewa untuk mama dan papa? Tugas? Tangan singgah di pelipis. Sungguh dia penat teramat hari ini dengan masalah pergaduhan antara pekerja asing di tapak projek pembinaan kondominium Cahaya Avenue yang membuatkan dia seharian di sana menyelesaikan bersama pihak berkuasa. Lewat senja tadi baru dia diberi kebenaran pulang ke pejabat. Sesampai di rumah memang dia laju menuju ke bilik. Mahu merehatkan badan. Langsung tidak menduga boleh terlena. Wajah Aina ditelan lagi. Kata-kata Aina berputar dalam fikiran.

Tugas.

Acara istimewa untuk mama dan papa?

Acara istimewa?

Mata tiba-tiba berkelip laju. Bibir sedikit ternganga. Allah. Macam mana boleh terlupa ni. Aina yang mengangkat-angkat kening ditelan dengan wajah bersalah.

"Mama dan papa mana?"

"Macam biasalah. Dating dalam bilik. Abang ni macamlah tak biasa pulak." Ben geleng kepala. Aina dan kata-kata spontan tak bertapis memang tak boleh dipisahkan. "Ok. Abang pergi panggil mama dan papa. Aina turun tunggu kat bawah. Semua dah siap kan?"

"Ya, Tuanku Benjamin. Semua dahpatik-patik sediakan. Hanya menanti ketibaan tuanku bersama ayahanda dan bonda sahaja." Ben ketawa kecil. Pipi gebu Aina dicubit. Laju tangannya ditepis.

"Sakitlah."

"Taupun. Aina cubit abang tadi ingat tak sakit ke. Nasib baik tak terkoyak kulit abang yang cantik ni."

Aina cebik. " Mengada-ngada aje. Dahlah orang nak turun. Cepat panggil mama dan papa. Dah lambat ni tau. Semua pasal abang."

"Abang kan tak sengaja. Sorry ok."

"Orang tak kira. Abang kena bagi duit belanja extra untuk orang, Ameer dan Aisyah seminggu. Denda sebab abang terberehat dengan sengaja."

"Aina ni kan kalau tak paw abang tak sah ek. Aina sengaja kan ambil kesempatan pada abang?"

Aina sengih.

"Abang tak kisahkan?"

"Mana Aina tahu abang tak kisah?"

"Sebab orang tahu abang sayang orang sangat-sangat."

"So?" Ben angkat kening. " paw la abang sesuka jiwa raga kan?"

Aina makin lebar tersengih.

"Hmmmm.." Tangan hala ke pipi Ben. Ditepuk lembut pipi kanan abang sulungnya ini. " Janganlah lepaskan peluang di depan mata. Rugi lepaskan. Lagipun kan orang yang bersalah wajib dihukum? Kan encik Benjamin Datuk Akhmal Hafiz. Kita ni kenalah bertanggungjawab pada kesalahan diri sendiri. Betul tak?"

"Abang kan tak sengaja."

Aina geleng. " Salah tetap salah. Tak ada nak bagi alasan tak sengaja ek. Orang dah ingat kan abang banyakkkkk kali hari ni."

Ben angguk. Malas dah berdebat dengan Aina yang memang banyak mulut.

"Ok. Abang salah."

"Duit belanja extra seminggu?"

Ben angguk lagi.

"Ameer dan Aisyah pun tau."

Ben angguk lagi. " Baik, cik Aina."

Aina yang melihat reaksi abang sulungnya ini laju hala ciuman ke pipi Ben. "Sebab tu orang sayanggggggg sangat kat abang. Muahhhh." Tubuh laju dibawa meninggalkan Ben yang masih tunak berdiri.

Ben geleng kepala. Senyum kecil terluncur. Wajah mama dan papa spontan melintas fikiran. Pintu bilik ditarik dari luar. Kaki di bawa ke bilik mama dan papa yang terletak di hujung penjuru setentang dengan biliknya. Bibir ukir senyum.

Selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-21, mama..papa!

Akhmal dan Siti saling berpandangan usai kek pulut kuning berlapis rendang melepasi mulut masing-masing. Jari telunjuk Siti sapu hujung bibir suaminya. Asa sisa rendang yang disuap tadi tertinggal di situ. Mata mereka berbicara saling memaut senyum manis. Ben, Aina, Ameer dan Aisyah yang turut melihat berpandangan sesama sendiri seraya melepaskan layar senyum masing-masing. Ben elus pangkal hidung. Mama dan papa ni memang romantik sungguh!

Mata Siti jatuh ke meja makan utama lagi. Mata Akhmal juga.

“Pandai dah anak-anak mama masak. Mama dah boleh terima menantu ni. Kan, abang?” Akhmal senyum sambil mengangguk. Aina gulung bijik mata ke siling sambil geleng kepala.

“Tak boleh mama. Tak boleh langkah bendul. Abang tu yang kena bawakkan menantu untuk mama dan papa.” Ben angkat kening. 

“Abang pulak. Aina kan dah ada calon.Aina lah dulu. Abang tak kisah langkah bendul ke, lompat bendul ni. Jangan risau. Abang takkan kena apa-apa bayaran saguhati pun kat bakal suami Aina tu nanti.” Siti simpul senyum dengan kata-kata balas dari Ben.

Aina cebik. “Tapi abang kena tau. Kami bertiga ni belum cukup umur lagi. Nanti pejabat kadi tolak borang permohonan dengan pesanan, cik..sila sabar ye. Habiskan belajar dulu. ” Siti ketawa dengan lelucon Aina. Yang lain juga ikut ketawa. Akhmal gosok kepala Aina. Aina memang penghibur dalam rumah ini. Kata-katanya yang bersahaja memang mengundang senyum dan ketawa. Mata Akhmal kembali menjamah meja.

“Hmmm. Sedap semuanya yang ada atas meja. Ni, papa nak tanya. Siapa yang buat sambal bacang tu?” Bibir Akhmal menghala ke mangkuk berisi sambal bacang yang menggiurkan selera. “ Gulai daging salai dengan terung telunjuk pun ada ni. Wah..memang banyaklah papa makan ni karang.”

Aisyah laju angkat tangan sambil melompat kecil. “Chah la. Chah tahu sambal bacang tu masakan pertama mama yang buat papa terpaut hati. Kan, mama?" Akhmal lebar tersenyum." Tengok papa dan dan senyum. Mesti terbayang-bayang ler tu kisah cinta dulu-dulu. Mesti sweetkan papa mengurat mama dulu. ” Aina dah angkat-angkat kening tersengih. “Tengok, pipi mama dan merah.” Aina sambung usikan. Ben elus pangkal hidung. Sembunyi senyum dengar usikan Aina. Ameer senyum kecil . Siti cubit pipi Aina yang melambakkan ketawa. Bibir tersenyum manis melihat gelagat semua seraya lirik pada Akhmal yang mengangkat bahu. Pipi mulus Aisyah yang rapat disisi dielus. Akhmal ikut sama mengelus pipi Aisyah. Dikucup rambut panjang Aisyah yang berkilau.

“Selamat ulangtahun perkahwinan yang 21, mama..papa. Kami semua sayang mama dan papa. Sangat-sangat tau!” Aisyah cium pipi Siti dan Akhmal silih berganti. Diikuti Aina, Ameer juga Ben.

“Terima kasih, anak-anak mama dan papa. Mama dan papa pun sayang sangat kamu semua. Kamu semua hadiah terindah dalam hidup mama dan papa.” Aisyah dah laju membenamkan tubuh ke dada Siti. Diikuti Aina. Ameer peluk Akhmal. Erat. Ben yang berdiri ditengah-tengah paut bahu papa dan mama.

“Ok, jom kita makan. Ben dah lapar ni.” Ben laju pusing tubuh. Leher kerusi ditarik pantas. Mata melilau pandang hidangan di atas meja. Sedap-sedapnya!

“Eei, abang tu tak aci nak makan dulu. Dah la abang tu sempat mimpi lagi tadi kat atas.” Aina cubit lembut lengan Ben.

“Ouch!” Ben gosok lengan seraya melabuhkan duduk. “ Aina ni memanglah kembar ketam.” Ben capai mangkuk nasi. “ Mama masa mengandungkan Aina memang banyak makan ketam ke mama?’ Ben cebik pandang Aina. Aina ikut membalas. Lengan Ben jadi sasaran lagi.

Ketawa Siti terluncur. Bersulam dengan ketawa Akhmal dan Ameer. Aisyah paling kuat ketawa. Hilai ketawa Ben yang terjerit dicubit Aina makin rancak. Candelier di ruang makan utama ikut tersenyum. Ikut ketawa.

Mata Siti tak berkelip menyambut hulur novel dari tangan Ben.

“Abang pergi Jakarta semata-mata untuk dapatkan novel ni untuk mama?” Ben angguk. Senyum manis terhumban. Akhmal yang duduk di sebelah kanan Siti ikut tersenyum. Siti belek novel yang baru dihulurkan Ben. Novel yang sekian lama dicari-cari. Cukup lama. Kabut Sutra Ungu. Seindah nama. Sehebat itu juga kisah yang disulam sang penulisnya.

“Ben dapat kat mana?” Akhmal lontar tanya.

Ben lepas nafas. kaki kanan disilangkan ke peha kiri. “Abang dapat maklumat dari sorang penjual buku-buku lama di Jakarta yang suruh abang mencari seorang pengumpul buku-buku lama di sana. Dia ada beberapa salinan novel ni kata penjual tu. Memang rezeki mama. Mudah betul urusan kami. Abang bagi harga. Dia terus setuju . Abang terus dapat novel ni.”

“Mahal ke abang kena bayar?”

Ben senyum lagi “ Tak semahal , mama. Kan, papa?” Mata dikenyit. Siti yang memandang ketawa kecil dengan reaksi Ben. Akhmal ikut ketawa.

Akhmal capai dan belek novel di tangan Siti. “Puas jugak papa cari. Lama papa risik sana sini. Tinggal pesan. Tapi tak ada rezeki jugak nak jumpa novel idaman isteri kesayangan papa ni. Memang rezeki Ben nak hadiahkan untuk mama rupanya. Sayang mesti suka kan?” Siti lirik pandang Akhmal. Senyum bertaut. Siti genggam erat tangan Akhmal. “ Suka sangat!” Mata dikenyit. Akhmal tarik hidung mancung Siti. Ben yang melihat makin lebar tersenyum.

"Susah payah abang dapatkan novel ni untuk mama. Terima kasih, sayang." Siti pandang novel di tangan suaminya. Terlalu gembira dengan hadiah yang baru diterima dari Ben. Sungguh Siti tak percaya. Macam mimpi!

Bahu Siti dipaut erat. “Kalau untuk mama, ke kutub utara pun abang sanggup pergi untuk dapatkan .” Novel di tangan Akhmal bertukar pautan ke jari-jemari Siti. Ben nampak air muka mamanya yang putih bersih, bercahaya. Teruja. Terharu. Bercampur kedua-duanya. Demi untuk mama memang Ben sanggup buat apa saja. Mama kan ratu di hati Ben. Mama juga kan sahabat jiwa Ben. Mama tempat Ben tumpahkan segala rasa sejak mama hadir dalam hidup Ben dan papa.

Siti renung novel di tangan. Digenggam erat. Ada rasa sebak mengintai dari ruang jendela jiwa. Sungguh Siti terharu yang teramat. Dibelek penuh bahagia novel yang digenggam. Sejak dahulu memang dia mencari novel lama dari seberang ini. Waktu mula-mula berkahwin dahulu, suaminya cuba juga mencari malah meninggal pesan pada kebanyakan toko buku di sekitar Jakarta dan Bandung supaya menghubunginya jika terjumpa novel ini. Namun memang sukar untuk mendapatkannya. Siti masih ingat dia pernah bercerita dengan Ben tentang novel ini. Tentang istimewanya novel ini. Kisahnya yang sungguh menyentuh hati kala Siti menonton versi adaptasinya suatu waktu. Dan rasa itu membuakkan keinginan Siti untuk memiliki novelnya pula.

Siti usap lembut pipi Ben. Ulas delima melebarkan tirainya yang menawan.

“Terima kasih, abang sebab dapatkan novel yang mama idam-idamkan ini. Mama tak tahu nak cakap apa. Mama terharu sangat. Hadiah ulangtahun perkahwinan mama yang istimewa..seistimewa anak mama yang handsome ni.” Siti bawa novel yang erat di tangan ke bibir. Dikucup. Mata dipejam. Rasa seronok tak tergambar.

“Hmmm…hadiah Ben aje yang istimewa. Hadiah abang untuk sayang tak istimewa ye?” Akhmal angkat kening. Siti tersenyum. Tangan Akhmal yang duduk disisi dicapai dan dibawa ke dada. Senyum mereka bertaut. Lama. Tangan Ben di sebelah dicapai. Digenggam erat. Mata Ben ditatap seketika. Senyum bertemu.

“Abang dan anak-anak kita hadiah dari Allah yang amat istimewa buat Siti. Tak ternilai dan tak terbanding yang lain di dunia ini. Tak ada hadiah dalam dunia ni yang dapat menandingi hadiah dari Allah untuk Siti.”

Akhmal lebar tersenyum. Bahu Siti dipaut erat. Pelipis isterinya dikucup. “Sayang hadiah terindah dalam hidup abang dan anak-anak. I love you, sayang. Love you so much.”

Ben hanya memerhati dengan wajah bercahaya. Mama dan papa hadiah paling indah. Paling istimewa dalam hidup selama ini. Moga dia juga dipertemukan jalan hidup sebahagia mama dan papa. Dipertemukan dengan wanita yang istimewa..seperti mama. Yang baik dan hebat…seperti mama. Bibir makin mekar mengorak senyum. Kabut Sutra Ungu di tangan mama direnung.



Selamat ulangtahun perkahwinan mama…papa. Ben sayangkan mama dan papa. Terlalu sayang!

Nota:Ceritera baharu kucc ini menampilkan Benjamin@ Ben sebagai tunggak utama (hero). Ben yang pernah muncul dalam Nasi Lemak Buah Bidara sebagai anak kecil comel yang kehilangan kasih sayang seorang ibu. Bacaan bab seterusnya...bolehlah pm kucc di-->sini.

Wednesday, November 5, 2014

13 ROS MERAH DAH TERBITTTTTT!!!


Alhamdulillah. Baby ke-6 kucc selamat dilahirkan. Untuk pesanan, boleh terus ke Penerbitan Love Novel.
JUMLAH MUKA SURAT 565
HARGA SEMENANJUNG RM23.00, AHLI RM20
HARGA SABAH / SARAWAK RM26, AHLI RM23
S

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...