Friday, January 28, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Bab 2




Bab 2



Sepasang kaki yang berbalut kain batik sedikit lusuh dibawa menuruni anak tangga. Berhati-hati dia melangkah. Ditangan ada segelung kain cadar, sarung bantal juga selimut yang yang baru dibawa keluar dari bilik Zurene, Zaza dan Zara juga Datin Junainah. Sebentar tadi sudah ditukarkan cadar juga sarung bantal baru untuk kesemua empat bilik diatas. Itu memang rutin. Setiap tiga hari harus berganti baru. Jika dia terlupa maka hamburan kata-kata makianlah yang menjadi santapan telinganya terutamanya dari Zurene. Kaki sudah melangkah masuk ke ruang dapur. Samsung hitam tersandar megah didinding batu berhampiran pintu dapur dihampiri. Mulut Samsung sudah dibuka. Tubuhnya sudah mencangkung mengadap wajah Samsung. Satu persatu cadar dan sarung bantal dimasukkan dengan cermat kedalam mulut Samsung yang ternganga.



"Siti.." kepala mendongak.



"ye mak Jah."



"langsir bilik Zurene dah ganti?" Siti menepuk dahi. Bibir bawah digigit.



"ya Allah mak Jah. Siti lupa. Lupa sungguh!" Tangannya sudah laju menyumbat semua cadar dan sarung bantal ke dalam mulut Samsung sebelum ditutup mulut yang ternganga. Ditekan punat di dada Samsung.



"Siti pergi tukarkan sekarang ye mak Jah." Tubuh kurusnya pantas ditegakkan lalu langkah deras dibawa menuju ke tangga kayu berukir ditengah-tengah rumah yang menghubungkan tingkat atas dan bawah. Mak Jah hanya menggelengkan kepala memerhatikan gelagat kelam-kabut Siti.



Mak Jah tahu Siti kepenatan lantaran didera melakukan kerja hingga lewat malam tadi. Didenda kerana lewat pulang dari masjid. Hanya kerana terlewat pulang kerana mendengar syarahan di masjid, Siti dipaksa oleh Zurene mencuci keretanya, kereta Datuk, Datin juga kereta Zaza dan Zara walhal itu adalah tugas suaminya; Pak Salleh selaku pemandu peribadi keluarga ini. Dipaksanya Siti mencuci kereta malam-malam buta. Didalam keadaan hujan yang agak lebat pulak tu. Kasihan sungguh mak Jah pada gadis itu. Memang Zurene sengaja mahu mengenakan Siti. Mak Jah memang tahu niat tidak baik anak majikannya itu sejak mula Siti menjejakkan kaki ke sini. Kasihan mak Jah pada Siti. Ada ada sahaja yang diperlakukan Zurene padanya. Nasib baiklah Zaza dan Zara tidak turut bersekongkol sama dengan kakak mereka mengenakan Siti. Mereka berdua lebih bertimbang rasa dengan Siti. Mereka juga melayan Siti dengan baik sama seperti papa mereka. Tidak pernah sekalipun telinga mak Jah mendengar mereka mengeluarkan kata-kata kesat apalagi makian pada Siti. Sekurang-kurangnya tidak semua ahli dirumah ini memperlakukan Siti dengan buruk sekali. Melayannya seperti hamba tebusan sahaja. Seperti yang dilakukan mama dan kakak mereka. Mereka berdua itu perangainya tak ubah seperti syaitan!



Mak jah sudah membuka pintu Panasonic kelabu ditepi sinki. Tubuh gempalnya itu dibongkokkan sedikit. Tupperware bulat berwarna biru dicapai. Pintu Panasonic ditutup. Bekas plastik berwarna biru yang berisi cili kering yang sudah dikisar bersama bawang besar itu dibuka. Cili kering yang dikisar oleh Siti petang semalam lalu dididihkan hingga masak sebelum disejukkan dan disimpan. Mak Jah mahu meminta Siti memasak sambal tumis udang hari ini. Zaza dan Zara sudah memesan padanya semalam. Suka benar dua beradik kembar itu dengan sambal tumis udang. Sejak kecil itulah makanan kegemaran mereka. Sejak Siti tinggal disini, gadis itulah yang memasak sambal tumis untuk Zaza dan Zara. Mereka semakin gemarkan sambal tumis dari air tangan Siti. Lebih sedap dari biasa katanya. Seringkali mereka memuji masakan Siti dan Siti pula hanya tersenyum kecil sahaja tiap kali dipuji tentang masakannya.



Mak Jah akui Siti memang pandai memasak. Dia sudah tua, dia lebih tahu menilai. Pastinya Siti dididik dengan sempurna perihal urusan dapur oleh arwah nenek angkatnya. Siti pernah memberitahu arwah nenek angkatnya yang dipanggil wan itu memang pakar memasak di kampung mereka. Setiap kali ada kenduri kahwin di kampung mereka mahupun kampung-kampung sekitar, arwah nenek angkatnya itu pasti akan ditempah untuk memasak. Hairan pula mak Jah bagaimana Datin Junainah itu tidak mewarisi bakat memasak dari arwah ibunya. Langsung tidak betah kala didapur dan memang nampak janggal sahaja tingkah serta geraklakunya. Macam tidak pernah jejak ke dapur sahaja gayanya. Memasak tu, jauh sekali.



Langsir putih berbunga tabur kecil warna merah dilihat dari arah belakang pintu Zurene. kedua-dua belah tangan sudah mencekak pinggang. Senyuman terukir dari ulas delima yang merah merekah walau tanpa calitan sebarang pewarna tiruan. Cantik! Rasa puas mekar dihati Siti melihat bilik anak tuan rumah tempat dia menumpang tampak indah hasil sentuhan tangannya. Harap-harap cik Zurene suka nanti, bisik hati kecil Siti. Kaki dibawa melangkah keluar dari bilik itu. Perlahan-lahan tombol besi pintu ditarik dari luar. Dibawa langkah menuju ke anak tangga.



"mak Jah... mak Jah." kepala Siti menjenguk ke dapur mencari kelibat mak Jah. Tiada. Kaki didorong ke ruang tamu. Mata melihat sekeliling. Tiada kelihatan susuk tubuh yang dicari. Langkah dibawa semula ke dapur lalu terus keluar ke bahagian belakang dapur. Mata meliar mencari kelibat mak Jah. Kepala sudah menggeleng. Pantas kaki melangkah ke arah ampaian.



"mak Jah...kenapa mak Jah buat keje ni. Ni kan keje Siti." Tangan Siti sudah memegang pergelangan tangan mak Jah. Cuba menghalangnya dari meneruskan kerja menyidai cadar-cadar dan sarung bantal yang dicuci tadi.



"tak pe la. Siti kan ada keje diatas tadi, jadi apa salahnya mak Jah tolong. Cepat disidai, cepatlah kering nanti kan."



"tapi nanti kalau..." kepala mak jah sudah menggeleng. Tahu sangat apa yang bersarang dikepala gadis cantik dihadapannya ini. Kasihannya dia!



"jangan risau. Zurene atau Datin tak pasang camera kat belakang dapur ni Siti." Riak takut masih jelas terpapar di raut wajah Siti. Mak Jah tahu Siti begitu takutkan Zurene dan Datin Junainah.



"takper la mak Jah..biar Siti habiskan keje ni ye. Mak Jah masuklah." Tubuh sudah dibongkokkan mendekati bakul plastik bujur berwarna hijau dihujung kaki mak Jah.



"Siti..." pergelangan tangan Siti yang sudah mencapai sehelai cadar dipegang. Pergerakkan tangan Siti terhenti. Matanya yang bercahaya memandang ke wajah tua mak Jah.



"mak Jah...biarlah Siti buat. Siti tolong mak Jah ye. Cepat keje ni habis kan."



"Siti nak tolong mak Jah kan?" senyuman manis diukir bersama anggukan kecil.



"Siti tolong masak sambal tumis udang untuk Zaza dan Zara ye. Budak berdua tuh dah pesan kat mak Jah. Mintak Siti yang masakkan."



"Zara dan Zaza balik makan ke hari ni ke mak Jah?"



"katanya nak balik. Takde kelas la budak berdua tuh. Dah, cepat masuk. Nanti Siti buatkan acar timun sekali ye. Tentu suka budak berdua tu makan nanti." Siti sudah menganggukkan kepala. Kaki sudah melangkah.



"siti masuk dulu mak Jah."



"yelah. Udang mak Jah dah siap gorengkan. Ada kat bawah tudung saji merah tuh." Sekali lagi kepala diangguk sambil menoleh pada mak Jah.



Zaza dan Zara sungguh berlainan daripada Zurene. Bagai langit dan bumi. Bagai paya dan air di gunung. Zaza dan Zara tidak pernah menyakitinya. Mereka seakan mengerti penderitaan yang ditanggung Siti. Seringkali juga mereka bertengkar dengan Zurene kerana mempertahankannya. Siti masih ingat ketiga-tiga beradik itu pernah bertengkar hebat ketika Zaza dan Zara membawanya keluar ke bandar. Mereka mahu membawanya berjalan-jalan sambil membelikan pakaian baru untuknya. Kata mereka Siti tiada baju baru. Mereka kasihan padanya. Memang dia tiada baju baru. Semua yang dipakai adalah baju-baju lama kala dikampung dahulu. Zurene yang marah, melemparkan kata makian dan hinaan pada Siti. Sedihnya kala itu hanya Dia sahajalah yang tahu. Siti tahu diri. Siti tahu dia miskin. Sangat miskin dan hina dimata Zurene. Namun kesanggupan Zaza dan Zara mempertahankan dirinya yang tidak berdaya menangkis cercaan Zurene membuatkan Siti terharu. Sesungguhnya kedua beradik kembar itu mempunyai peribadi yang luhur.



Siti tahu Zaza dan Zara belajar di KDU. Mereka berdua ada bercerita dengan Siti kala dia mula-mula sampai ke rumah dahulu. Mereka menyambung pelajaran selepas tamat SPM. Selepas tamat di situ, Datuk Zainol nanti akan menghantar mereka melanjutkan pengajian ke luar negara pula. Siti sedih mengenangkan nasib dirinya. Nasibnya tidak sebaik Zara dan Zaza. Alangkah bahagianya jika dia juga boleh diberi peluang menyambung pelajaran seperti dua beradik itu. Namun Siti sedar, sudah ditakdirkan dirinya dibawa ke sini selepas pemergian arwah wan.



Kuali sudah diletakkan ke atas dapur. Botol SeriMurni 5kg dicapai lalu dituangkan sedikit kedalam mulut kuali.



* * * * * * *



"aduh!" Siti menyusun langkah pantas menuruni tangga masjid. Telekung yang masih tersarung di tubuh dijinjing kemas. Tubuh sederhana gempal dan sedikit tinggi itu pantas diraih sebelum jatuh mencecah lantai simen. Dibetulkan telekung yang sudah terselak. Siti mencangkung sedikit mendekati wanita separuh abad yang sudah terduduk di anak tangga yang penghabisan.



"kenapa makcik?"



"kaki makcik ni tiba-tiba je kejang nak. Rasa tak jejak ke bumi pulak." Siti melihat tangan wanita dihadapannya itu mengusap pangkal betis kanannya. Siti membantu memapah wanita itu ke tepi agar tidak menganggu laluan baki jemaah yang sedang menuruni tangga. Masjid sudah mulai lenggang setelah selesai solat isyak. Ada beberapa jemaah mendekati wanita itu bertanyakan keadaannya. Setelah diterangkan dia tiada apa-apa cuma kekejangan sahaja, jemaah tadi mula meninggalkan wanita itu dan Siti.



"makcik tinggal dimana? makcik datang sorang-sorang ke?" Siti mengurut-ngurut perlahan kaki wanita itu. Cuba membantu menghilangkan rasa kekejangan yang dialami oleh wanita itu tadi sambil bertanya samada keadaannya. Lapang hati Siti bila wanita itu menyatakan rasa kejang yang menyerangnya tiba-tiba tadi sudah beransur pulih.



"makcik tinggal di rumah no.8. Dekat selekoh tu sahaja." jari telunjuk wanita itu lurus menghala ke arah yang disebutkan. Siti menganggukkan kepala. "Baru sahaja makcik pindah ke sini. Ikut anak makcik. Makcik datang kat masjid ni tadi dengan pemandu anak makcik. Sekejap lagi dia sampai la tuh. Anak ni duduk mana?"



Belum sempat Siti membuka mulut, sebuah Mercedes warna perak sudah menjalar. Seorang lelaki dalam lingkungan lewat 30-an sudah laju menerpa. Wajahnya nampak cemas. Nampak bimbang.



"Ya Allah..Puan, kenapa ni?"



"takde apa-apa lah Salim. Kaki saya ni tiba-tiba kejang. Biasalah dah tua-tua ni Lim macam-macam la penyakit. Nasib baik ada bidadari ni...kalau tak mahu tergolek juga saya tadi ditangga tuh." Salim sudah melemparkan senyum pada Siti.



"terima kasih cik. Kalau cik takde tadi, tak tahu apa jadi kat puan." Siti menganggukkan kepala." takder apa-apa. Saya kebetulan tengah nak turun tadi. Alhamdulillah makcik selamat dari terjatuh."



Siti dan Salim membantu memapah wanita yang dipanggil puan itu ke arah kereta. Pintu tempah duduk belakang perlahan dibuka. Dengan berhati-hati Siti menyorong tubuh wanita itu masuk ke dalam perut kereta. Sebaik pintu mahu ditutup, tangan wanita itu pantas menahan.



"anak tinggal dimana. Marilah kami hantarkan. Boleh Lim?"



"eh, saya ikut perintah puan je. Boleh. Takde masalah. Marilah cik." Siti sudah menggeleng.



"takper la makcik. Rumah saya tinggal tuh dekat je. Saya boleh jalan kaki."



"issh, dah lewat ni, bahaya. Sebab makcik, anak lewat balik. Mari makcik hantarkan. Marilah, makcik ikhlas. Tolong jangan hampakan makcik ye." Siti masih tercegat. Tangan wanita itu sudah menggapai. Mahu mencapai tangan Siti. Siti memusing tubuhnya. Mendekati perut kereta. Perlahan-lahan tubuhnya sudah tenggelam dalam perut Mercedes perak yang mula meluncur.



"Nama anak siapa? makcik ni panggil je makcik Aishah."



"Nama saya Siti Nur makcik. Panggil saja saya Siti."



"Siti Nur. Sedap nama. Orangnya pun cantik. Sejuk perut mak Siti mengandungkan anak yang baik macam Siti ni. Bertuah mak Siti dapat anak yang cantik rupa dan pekerti macam Siti ni. " Siti hanya senyum kecil memandang wajah makcik Aishah. Nafas dihela lembut.



Sungguhkah "dia" itu bertuah punyai anak seperti aku ini...





Monday, January 17, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Bab 1





Bab 1




"Siti!!!!!!!!!!!!!"




Mak Jah yang sedang menyusun piring dan cawan dimeja makan utama tersentak. Gerak lincah jari-jemarinya terhenti serta merta. Seakan terkena renjatan elektrik. Tangan kanan mengurut dada beberapa kali. Nafas dihela perlahan. Kepala menggeleng perlahan. Apa lagi tu agaknya. Hatinya berbisik. Langkah dibuka menghala ke muka tangga. Kepala yang kemas berbalut scarf putih dari benang kapas itu mendongak ke atas. Sekujur tubuh berisi yang hanya bersarung baju tanpa lengan berwarna hitam dan berskirt pendek paras lutut yang juga sedang menjengah ke bawah ditatap. Bertentang mata kedua-duanya. Rambut hitam berbelang perang tua paras bahu yang lepas bebas bagai mengerbang cukup menyemakkan mata tua mak Jah.




"ada apa cik Zurene?"




"budak kampung tu mana mak Jah?"




"Siti kat belakang cik Zurene. Jemur kain baju. " Tertangkap pada telinga tua mak Jah dengusan kasar Zurene yang diiringi dengan kata makian. mak Jah beristighfar didalam hati.




"panggil budak tu mak Jah. Cepat." Mak Jah mengganggukkan kepala.




Langkah tua mak Jah dihayun sederasnya mengarah ke pintu dapur. Meja makan utama yang sedang diatur untuk sarapan ditinggalkan. Grill ditolak pantas sambil kepala tunduk kebawah mencari selipar untuk disarung. Langkah terus dibawa ke belakang. Sesusuk tubuh yang sedang tekun menjemur pakaian diampaian buluh tertangkap di pandangan. Nafas yang laju tadi dihembus perlahan. Siti..siti...




"Siti...." Gadis berbaju kurung kedah dan berkain batik dengan ikatan tocang ekor kuda itu menoleh. Senyuman dilemparkan pada mak Jah.




"ye mak Jah. "




"cepat nak, tu cik Zurene dah menjerit kat atas. Tinggalkan baju-baju tu dulu. Nanti sambung." Gadis yang dipanggil Siti oleh mak Jah itu menelan air liur. Gerak nafas laju memukul dada. Kedua-dua belah tangan yang sedikit basah disapukan pada peha. Bahunya diusap perlahan oleh mak Jah.

"ada apa yang tak kena ke mak Jah?" kepala mak Jah menggeleng perlahan. Memang tidak diketahui punca anak majikannya itu menjerit tadi.




"mak Jah tak tau. istighfar banyak-banyak ye. Sabar. Dah, pegi cepat. Lagi lambat nanti makin teruk dia mengamuk."




Anak tangga dilangkah laju menuju ke tingkat atas. Saat meniti anak tangga, Siti berselisih dengan Datuk Zainol, kepala terus ditundukkan sedikit lalu mengucapkan salam dan selamat pagi pada tuan rumah tempat dia berteduh itu. Datuk Zainol hanya menganggukkan kepala sambil melangkah turun. Pintu bilik dua disebelah kanan yang sudah terbuka luas dihampiri. Bersama lafaz bismillah Siti melangkah.




"cik Zurene panggil saya?.."




Bupp. Sehelai jaket warna kelabu laju mendarat ke muka Siti sebelum menjunam ke lantai kayu berlamina yang mendasari bilik berkenaan. Perlahan Siti membongkok lalu mengutip jaket tersebut. Tubuh Siti tegak berdiri menatap pandangan tajam gadis muda dihadapan yang sedang bercekak pinggang.




"hei perempuan kampung bodoh!..macammana butang jaket ni boleh nak tercabut...kau tak tengok betul-betul ke masa kau gosok haa?...mana mata kau letak? dah buta ke? kau tau tak berapa harga jaket tu. Gaji kau setahun pun belum tentu boleh bayar tau." Siti menelan air liur. Ya Tuhan...




"maaf cik Zurene, saya tak perasan. Saya jahitkan sekarang." Langkah wanita muda yang yang dipanggil Zurene itu menghampiri Siti. Kepala Siti ditunjal. Beberapa kali. Bergoyang sedikit kepala Siti namun Siti tetap mematung. Mematikan diri. Mengunci mulut. Itu lebih baik. Dia sudah biasa diperlakukan begini oleh gadis muda ini. Malah lebih teruk sudah dirasainya. Ada sahaja yang tidak kena dimatanya. Siti tahu gadis ini amat benci padanya tapi tidak diketahuinya mengapa.




"hei bodoh, kau tau tak dah pukul berapa sekarang..." Lengan yang sedikit gelap dan telanjang itu diangkat ke muka Siti. " tengok jam ni dah pukul berapa?.." Siti hanya menundukkan muka. "




hey, kau pekak ye. Aku tanya ni...jawab la!!!" Mata dihala pada Gucci tali perak yang tersarung di lengan Zurene. " 8.00 cik Zurene." Zurene mendengus. Kasar. "Memang dasar dungu. Tolol. lembab. Sudah, berambus. Menyampah aku tengok muka kau tu. Makin aku tengok muka kau ni, makin sakit hati aku." Lafaz maaf sekali lagi diucapkan sebelum melangkah keluar dari bilik Zurene.

Langkahnya cepat-cepat diatur ke tangga dan matanya berlaga dengan pandangan tajam Datin Junainah yang juga mahu menuruni tangga. Kerlingan tajam wanita itu membuatkan Siti hanya menundukkan kepala. Berdiri tegak. Memberi laluan pada wanita yang berusia lewat empat puluhan itu.

"apa yang bising-bising tu? kau dah buat apa kat Zurene?" Siti mengetap bibir. Renungan wanita itu membuatkan dadanya berdegup kencang.

"butang jaket ni..." jaket ditangan diangkat sedikit. "tercabut Datin."

"tak habis-habis buat hal kau ni. Sudah, cepat turun siapkan sarapan Zurene." kepala diangguk perlahan, tubuh dibongkokkan sedikit meminta izin untuk turun sebelum laju melangkah menuruni anak tangga.

Pintu bilik kecil ditepi dapur dikuakkan. Jaket ditangan diletakkan diatas katil bujang yang berhamparan kain cotton berkotak-kotak rona hijau. Langkah diatur keluar dari bilik. Tombol pintu ditarik rapat.

"ada apa tadi Siti." Pintu kabinet dibuka. Sebuah gelas kristal dikeluarkan. Gelas yang hanya untuk kegunaan Zurene. Wajah mak Jah yang menoleh padanya dari sinki dibalas dengan senyuman kecil.

"takde apa mak Jah." Maj Jah sudah menggelengkan kepala. Masak benar dengan perangai gadis yang satu ini. Sukar sekali mendengar dia melafazkan kata-kata buruk tentang penghuni rumah ini apatah lagi bercerita tentang apa yang mereka lakukan padanya . Apa jua yang melanda dirinya, ditelan seorang diri.

"Jus carrot cik Zurene dah ambil ke mak Jah?" Siti cuba mengalihkan perhatian mak Jah. Tiada guna berbicara perihal ini. Sudah lali telinganya menelan segala cerca dan cerci sejak enam bulan menjadi penghuni tetap di mahligai ini.

"Belum. Mak Jah tak keluarkan dulu. Nanti tak sejuk pulak. Karang mengamuk lagi." langkah Siti diatur ke Panasonic kelabu yang tersergam disudut dapur. Dibuka pintunya yang seakan pintu almari itu lalu dikeluarkan kotak jus carrot. Diselak muncung kotak yang sudah terbuka lalu dituangkan ke dalam gelas kristal tadi.

"takpe mak Jah. Siti nak hantar jus ni dulu. Karang cik Zurene marah pulak tengok jus dia takde."

"Hati-hati Siti." Kepala dianggukkan sambil melempar senyum kecil pada mak Jah yang sedang mengupas bawang kecil dan bawang putih untuk persediaaan untuk memasak hidangan tengahari nanti.

Gelas kristal diletak berhati-hati di meja makan utama. Datuk Zainol yang sedang menatap The Edge hanya dipandang sekilas. Datin Junainah yang menghirup kopi turut terlihat oleh kilasan matanya. Cawan kosong Datuk Zainol ditoleh. Jag kopi dicapai lalu dituangkan kedalam cawan itu berhati-hati.

"morning mama, papa." Bibir merah dan berkilat Zurene sudah singgah di pipi Datin Junainah. Bahu wanita itu dipeluk. menguntum senyum Datin Junainah. Saat mata Siti dan mata Zurene bertembung, kerlingan tajam mata galak itu menikam mata bundar Siti. Pantas kepala ditundukkan lalu langkah diatur meninggal meja makan menuju ke dapur. Zurene hanya memandang tajam tubuh Siti yang melangkah ke ruang dapur.

Datuk Zainol meletakkan akhbar yang baru dibaca di atas kerusi bersebelahan. Wajah hitam manis satu-satunya anak gadis bersama arwah isterinya ditenung.

"apa hal yang sampai terjerit-jerit pagi-pagi ni Zurene. Kan tak elok macam tu. Papa rasa jiran pun boleh dengar suara Zurene tuh. Selalu sangat dah Zurene. Cubalah hentikan menjerit ni. Tak manis. " Zurene sudah mendengus. Sekeping roti yang sudah siap bersalut jem nenas kesukaannya dicapai lalu disuakan ke dalam mulut. Zurene pasti tentu mama yang melakukan untuknya. Bencinya ditegur begitu. Papa selalu sahaja tidak setuju dengan tiap perilakunya. Papa tidak seperti mama yang begitu memahami dirinya.

"papa...tau tak apa budak kampung bodoh tu.." jari telunjuk lurus dihala ke arah dapur. "dah buat pada baju Zurene?...butang jaket yang mama belikan kat Munich tu tercabut. Zurene ingat nak pakai pagi ni. Ada meeting dengan jurutera perunding untuk projek baru kita tu. Papa pun tahu kan." Gelas kristal dicapai. rakus disuakan ke bibir. Datin Junainah mengerling tajam menoleh ke dapur. Sakit hati dengan aduan Zurene. Datuk Zainol sudah menggeleng kepala. Zurene terlalu dimanjakan mamanya hingga adakala berkelakuan keterlaluan.




"Kalau iye pun..." Wajah Zurene yang masam mencuka kerana ditegur dipandang. Anak ini hatinya sudah keras seperti rebung tua. Silapnya juga membiarkan Junainah keterlaluan mengikut telunjuk Zurene. "tak boleh ke Zurene panggil Siti elok-elok. Dia tu kan ada hubungan saudara dengan mama." Zurene sudah mencebik sambil memandang Datin Junainah. "saudara apa papa...budak bodoh tu cuma cucu angkat arwah mak mama je. Bukannya mama kenal sangat pun dengan dia...kan mama?" Datin Junainah tersenyum kecil sambil menganggukkan kepala. Datin Junainah meminta Zurene segera menghabiskan sarapan kerana khuatir dia akan lewat ke pejabat nanti untuk menghadiri mesyuarat yang disebut awal tadi. Tidak elok membuat pelanggan itu tertunggu pada kali pertama berkunjung ke pejabat anaknya itu. Zurene akur. Jus carrot dihirup hingga licin. Pipi Datin Junainah dicium. Sedikit tidak menolah pada Datuk Zainol. Hanya gelengan kepala Datuk Zainol yang mengiringi langkah Zurene hingga ke muka pintu.




"you terlalu memanjakan dia June. You spoil her. Very much. Adab dia dah takde langsung. Dengan i pun dia kadang-kala tak hormat." Datin Junainah mencapai kepingan apple hijau yang sudah dihiris lalu disuakan ke dalam mulut.




"ala bang, Zurene tu kan masih budak-budak. Biarkan je la bang. Nanti-nanti tu dia oklah. Angin dia tengah tak baik tu kan. Selalunya dia ok kan." Datuk Zainol memandang pada wajah tidak bersalah isterinya. Sama sahaja dua beranak!




"siapa consultant baru yang Zurene nak jumpa hari ni tu bang?"




Pertanyaaan Datin Junainah mengingatkan Datuk Zainal pada pertemuaan kelmarin dengan pemuda tersebut. Dia diperkenalkan dengan pemuda itu oleh rakan golfnya Tan Sri Salleh. Kata Tan Sri Salleh, anak muda ini bukan calang-calang profilnya. Baharu sahaja dianugerahkan Tokoh Usahawan Muda didalam anugerah kecemerlangan EOY yang dianjurkan oleh sebuah firma perakuanan terkemuka dunia. Melihat penampilan anak muda yang memegang jawatan Pengarah Urusan U.T. Builders Berhad itu Datuk Zainol sudah kagum pada pencapaian cemerlangnya dibidang perniagaan biarpun asalnya dia tidak mempunyai kelayakan akademik didalam bidang tersebut. Bidang yang dipelajari di universiti dahulu jauh menyimpang. Datuk Zainol dimaklumkan dahulunya MD U.T. Builders itu adalah bekas seorang pendidik.




"abang...abang?" panggilan bertalu dari Datin Junainah mencantas lamunan Datuk Zainol.




"dah sampai mana tu abang. June tanya abang khayal je." Cawan kopi dihadapan dicapai. Dihirup hingga licin.




"abang dengar apa yang June tanya tadi. Abang teringatkan consultant tu tadi. Ingat masa abang jumpa dia kelmarin kat KLGCC. Bagus budaknya. Ada karisma walaupun muda lagi dah jadi MD."




"muda ke bang?"




"muda jugak. Late 30's abang rasa."




"kaya?"




"issh you ni. ke situ pulak."




"yealah. Mana tau kan...boleh matchkan dengan Zurene ke. Abang juga yang untung nanti kan."




Datuk Zainol sudah menggelengkan kepala memandang Datin Junainah yang menyimpul senyum memasang angan-angan.


Saturday, January 1, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Prolog





Prolog







Bawa muatan ke inderagiri,
kayu gergaji dari Palembang,
Inikah suratan riwayat diri,
Diri sendiri penyebab malang?

Aku cuma gadis biasa. Gadis yang biasa-biasa sahaja. namun kisah perjalanan hidup aku ini bukan pada darjah yang biasa -biasa. Sejak lahir aku sudah "hilang" status diriku sebagai anak. Aku anak yang "dibuang" ibu sendiri. Aku anak yang tidak diiktiraf dan lahirku juga tidak diiktiraf. Aku ini anak yang tidak diingini. Aku dibenci ibu sendiri. Aku ini adalah lambang kekhilafan dirinya. Aku ini mungkin sejarah pahit yang ingin dilenyapkan terus dari muka bumi agar tidak diketahui sekalian manusia. Sejarah yang memalitkan malu yang paling dahsyat didalam riwayat hidupnya.




Sejak lahir hingga remaja, aku cuma kenal dengan wan (nenek) kerana dia adalah insan yang memeliharaku. Menatangku sepenuh jiwa. Tiada belah bagi. Wan lah ibu, wan lah juga ayah. Aku tidak tahu siapa ibu dan ayahku. Tidak pasti mereka masih hidup atau sebaliknya. Pada oranglain cukup sekadar dikhabarkan wan yang aku ini anak yatim piatu. Itu mungkin lebih baik buat diri ini. Aku harus sedar diri! Wan bagiku sudah cukup. Aku tidak perlukan sesiapa lagi. Kasih dan sayang wan yang tidak bertepi padaku adalah rahmat-Nya buatku.




Takdir adakala memang pahit untuk ditelan. Wan pergi dan aku akhirnya tercampak ke suatu tempat yang cukup menyiksakan jiwa. Di rumah agam itu. Aku tidak ingin ke situ. Sejuta kali tidak sudi ke mari. Aku lebih rela terus bersemayam di pondok buruk wan. Di sana syurga hidupku sejak sekian lama.Tapi aku tidak berdaya menolak. Mulutku dikunci untuk membantah. Kaki dan tangan dipasung agar tidak bisa melarikan diri ke mana-mana.




Dipandangan zahir masyarakat tiada apa yang tidak kena pada kehidupan keluarga itu. Ya, itulah tempat baru dimana aku berteduh siang dan malam. Semuanya pasti nampak sempurna dan molek molek sahaja tapi...siapalah yang tahu apa yang aku alami didalam istana indah itu. Airmata ini rasanya sudah tidak mampu untuk menerbitkan percikan jernihnya dari kolam yang acapkali kering ditimba esak dan tangis.




Aku sudah puas disakiti. Herdik caci maki itu bagai irama merdu ditelinga. Kebal sudah gegendang telinga ini dengan segala laungan dan nyanyian tersebut. Aku sering bertanya diri sendiri kenapa nasib diri aku seburuk ini. Kenapa harus aku diuji hebat sebegini. Kenapa mesti aku yang ditimpakan dugaan hidup nan hebat ini. Apakah Tuhan sudah memutuskan kasih dan sayang-Nya padaku? Apakah Tuhan sudah memalingkan rahmat-Nya padaku hingga begini buruk nasib diriku? Apakah aku ini insan yang tidak layak diberikan kebahagiaan hidup di dunia ini? Apa salah dan dosaku hingga tergamak sungguh Tuhan menjatuhkan hukuman sebegini padaku. Jika arwah wan masih ada pastinya aku akan dimarahi jika berfikir sebegini. Kata wan, jangan sesekali mempersoalkan kasih sayang-Nya pada kita tapi tanyalah diri kita sendiri sejauhmana kasih-sayang kita pada-Nya. Hikmah Tuhan itu ada pada tiap kejadian. Percayalah.




* * * * * * *




Aku ini gadis malang. Aku ini anak yang sangat kasihan nasib hidupnya. Itu kata arwah wan pada aku kala dia masih hidup dahulu. Kala itu aku tidak faham apa makna kata-kata wan. Aku tidak mengerti apa itu semua. Aku masih kecil ketika itu. Namun bila usia menginjak dewasa aku mula faham. Aku mula mengerti kata-kata yang disebut arwah wan. Lahirku mencalar aib yang bukan kepalang pada keluarga wan. Aku sentiasa dipulaukan oleh orang-orang kampung. Mereka tidak membenarkan anak-anak mereka bermain denganku apatah lagi berkawan denganku. Tidak mahu terpalit sialku. Sial? aku ni sial? Aku tanyakan pada wan benarkah aku ini sial tapi wan hanya mengusap-usap kepalaku. Pernah waktu kecil dahulu aku tanyakan pada arwah wan kenapa aku tiada ibu dan ayah seperti kanak-kanak lain. Mengapa mereka tidak pernah menjengukku biarpun sekali. Dimana mereka sebenarnya dan mengapa mereka tinggalkan aku keseorangan disini. mengapa?Kadangkala hati kanak-kanakku pilu melihat pemandangan disekeliling. Baik di kampung juga disekolah. Tidak pernah aku merasai peluang menyebut kalimah ibu dan ayah. Hanya wan yang aku kenal sejak aku mula kenal dunia. Hanya wan yang sentiasa menjadi ibu dan ayahku pada tiap waktu dikehendaki. Wan lah tempat aku mengadu, tempat aku menumpang kasih. Wan la segalanya dalam hidupku. Hingga aku menjengah usia remaja wan tidak pernah memberikan jawapan pada pertanyaan aku. Hanya kalimah sabar yang terlafaz dari bibir tuanya itu. Namun disaat akhir hayatnya, hijab yang menutup riwayat hidupku selama ini dibuka. Aku dikhabarkan masih punya ibu! Ya, ibu yang melahirkan aku dan dia jugalah insan yang mencampakkan aku bagai sampah. Siapa ibuku? Aku hanya sekadar tahu namanya seperti yang tercatat di sijil kelahiran. Bagaimana rupanya? soalan ini bertalu-talu menyerang jiwa halusku yang sudah sekian lama parah. Walau aku sungguh sedih dengan perbuatannya tapi aku tetap mahu tahu siapakah dia.




Di istana baru ini yang telah menyelamatkan diri aku dengan memberikan kehidupan baru yang lebih ,siapa diri aku dan siapa dia yang aku cari selama ini tersingkap...segalanya akan terjawab. Akan aku nantikan saat itu...




* * * * * * *




Pantai Lukut luas terbentang,
Teluknya penuh berbatu karang;
Ibarat melukut di tepi gantang,
Masuk tak penuh keluar tak kurang.




Mengertikah kalian bahawasanya tiada sesiapapun akan meminta dilahirkan dengan membawa aib yang terlakar pada diri, jauh sekali membawa palitan lumpur pada kaum keluarga. Aku tidak terkecuali...tapi apalah daya aku ini kerana segala-galanya sudah tercatat di Loh Mahfuz. Lahirku dengan takdir begini. Aku tidak minta takdir hidupku begini.




Tuhan, sampai bila lagi aku harus mengharungi duka ini?...




* * * * * * *




Sejak kecil aku sering diulam wan dengan pujian. Aku punya hati yang baik. Aku budak yang mudah memberi maaf pada yang sesiapa yang menyakitiku. Namun semua itu acuannya aku salin dari wan. Aku kagum dengan peribadi wan. Biar dilempar tohmahan yang bukan sedikit yang sememangnya disebabkan kehadiran diriku disisinya, wan tidak pernah berdendam atau membalas tiap cacian yang diterima. Wan cukup tabah. Wan punya hati yang luar biasa cantiknya.




Kata wan tidak mengapa menjadi orang biasa-biasa asalkan punya hati yang luar biasa. Luar biasa baik, luar biasa cantik. Ya, aku ingin jadi seperti itu...menjadi gadis biasa tetapi punya hati yang luar biasa




Tapi...mampukah aku mencapai impian itu?













Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...