Friday, June 30, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku beberapa minggu lalu cukup jelas. Tuduhan dan hinaannya takkanku lupa sampai bila-bila.
Kalau mahu aku boleh sahaja tuntut hak aku selama perkahwinan kami atas rumah tu. Tapi maruahku jauh lebih bernilai dari rumah itu.
"Siapa yang cakap awak tak ada hak?" Renungnya cukup dalam. Aku senyum tawar. Tapak tangan aku letak ke dada.
"Hati saya yang cakap." Dia diam. Matanya beralih ke cermin hadapan.
"Jangan ikut hati. Nanti mati."
"Bukan ikut hati. Tapi sedar diri." Laju dia berpusing memandangku.
“Maksud awak?” Aku sekadar tersenyum kecil. Perkara ini tidak harusku babitkan orang lain. Lagi-lagi lelaki ini. Cukuplah ia untuk peringatan buatku.
Dia diam seketika bila aku tidak memberikan jawapan pada pertanyaannya. Matanya melontar pandang pada sekitar kawasan flat.
“Sini rumah sendiri?”
“Sewa.”
“Sewa?” Kepalanya berputar semula ke arahku. Hanya anggukkan kepala yang menjawab pertanyaannya. Mungkin dia tengok flat yang aku sewa ni rupanya sedikit buruk kut. Cat kat dindingnya pun dah dimamah hari.
Memang flat ni flat lama. Flat empat tingkat yang Abang Jazli beli masa dia masih bujang dulu. Tapi aku bersyukur. Ini syurga baru buatku. Tali pinggang keledar aku tanggalkan.
“Duduk dengan siapa kat sini?” Matanya masih tidak berpindah. Tepat ke arah mataku. Sedikit hairan dengan soalannya. Kenapa dia nak tahu pulak. Dahlah aku pun bukan kenal siapa dia sebenarnya. Sekadar lelaki yang hampir melanggar aku, kemudian membantu menghantar ke klinik dan kini membantu menghantarku ke rumah. Aku kena berhati-hati. Berjaga-jaga demi keselamatan diri itu tak salah. Dahlah aku tinggal bersendirian di flat ini. Manalah tahukan. Sekarang ni orang baik dan orang jahat bukannya ada tanda kat dahi yang boleh bagi amaran. Lebai yang serban sebakul dan labuh sampai menyapu tanahpun belum tentu boleh dipercayai.
Aku diam. Lebih baik tak jawab soalannya. Tas tangan di riba aku sandang ke bahu. Aku tahu dia masih memandangku.
“Terima kasih hantar saya balik, Encik Amir.” Aku senyum segaris. “Assalamualaikum.” Kepala aku angguk tanda hormat. Telinga dengar dia jawab salam.
“Awak boleh jalan ke ni? Saya boleh tolong papah awak sampai ke pintu rumah.” Papah ke pintu rumah? Aku ni baru aje disahkan sebagai janda…janda muda pulak tu. Status panas di mata masyarakat. Sengaja undang bala kalau aku benarkan dia buat begitu. Sekeliling kawasan flat ini orang melayu. Tak memasal nanti aku jadi buah mulut orang.
“Tak apa. Saya boleh jalan sendiri.” Aku tunduk betulkan kasut di kaki yang masih rasa sakitnya. Tubuh tegak semula.
“Betul ke ni?” Aku pandang dia yang pamer riak bimbang. “Insyaallah boleh. Jalan pelan-pelan.” Cukuplah aku noktahkan pertolongannya padaku hari ini. Tangan capai pintu. Mahu melolos keluar.
“Duduk tingkat berapa?” Aku berpaling.
“Bawah.” Aku senyum segaris. Harap dia tak nampak senyum aku senyum orang yang menipu. Tapi menipu untuk keselamatan diri tu dibenarkan. Dia angguk kepala. Aku bawa tubuh keluar perlahan-lahan dan tunduk pandang dia buat kali terakhir.
“Terima kasih, Encik Amir.” Dia angguk.
“Jalan elok-elok. Jalan pelan-pelan.” Giliran aku angguk kepala.
“Jaga diri. Awak tu duduk sorang diri. Naik tangga kat tingkat bawah tu hati-hati.” Aku kerut dahi. Macam mana dia…
“Assalamualaikum.” Belum sempat aku cari jawapan, dia hulur salam pamit. Dan salamnya aku sambut seraya menolak pintu. Keretanya bergerak perlahan meninggalkanku yang masih terpinga-pinga.
Dia tahu ke aku tipu dia?

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...