Monday, April 29, 2013

13 Ros Merah - Bab 4

Bab 4
                             
                          Biji mata Damia yang sedia bulat macam bola pingpong itu dah macam mahu deras jer melompat keluar dari dasar kolam saat telinga menelan tiap butir kata-kata pembantu pengurus cawangan disebelahnya ini. Lelaki muda yang segak berkemeja lengan panjang coklat muda yang dipadankan dengan jean biru ditatap bagai mahu ditelan hidup-hidup. Demang ni bukan boleh percaya sangat. Gua tahu aar lu dari dulu memang gila suka nyakat gua dengan berita-berita versi coca-cola terlebih gas lu tu, beb. Lu jangan main-main Demang. Lu belum tengok Tsunami gua lagi. Karang gua libas rambut karat berbelang lu tu, sah jahanam jambul Justin Bieber lu. Confirm leper macam  roti canai sejuk beku dalam peti ais kat rumah gua yang Pot, awek lu rajin beli tu.
              " Dengar tak apa aku cakap ni, beb?" Mata bundar Daniel terjun terus ke kolam mata gadis cantik didepannya ini. Damia atau yang dia dan semua staff di sini panggil D sedang menatapnya dengan pandangan yang tidak sukar ditelah maknanya. Bukan Daniel tak biasa dengan renungan D yang ala-ala tajam bak sebilah pedang ninja nan menikam hingga ke ulu hati! 
           "Lu tipu gua kan, beb? Lu..jangan main-main ek." Telunjuk Damia lurus menghala ke hidung Demang. 
           "Aku tak tipu aar, D! Sumpah!" Tangan kanan Daniel tegak separas bahu dengan wajah yang serius. Mata dikelipkan melihat reaksi D yang merenungnya tidak berkelip. 
          D… nama panggilan buat si pemilik nama lengkap Damia Humaira ini adalah teman paling rapat Daniel di Apax, pusat farmasi paling terkenal di Kuala Lumpur. Dahulu, ketika mula-mula melaporkan diri ke pusat farmasi ini dan diperkenalkan oleh Ms Ow pengurus merangkap ahli farmasi di sini kepada Damia Humaira memang Daniel terpegun tak terkata. Terbisu sungguh. Raut bujur sirih dengan sepasang mata yang bulat bercahaya  memang sungguh-sungguh buat Daniel terkedu. Menawan habis woo. Cantik giler! Paling menyerlah tentulah sepasang pipinya yang merah semulajadi itu. Tak payah pakai blusher lagi. Sang Pencipta dah kurniakan kat D blusher semulajadi yang sangat memukau. Tulang pipinya yang tinggi itu memang membuatkan wajah Damia cukup sempurna di mata setiap yang memandang. 
          Tertawan? Daniel tak menafikan perasaan itu. Dia pun lelaki biasa yang normal. Benda cantik tentulah buat mata sesiapa pun tertawan dan tambah bila sudah makin kenal dengan gadis ini, Daniel tau hatinya sudah beri isyarat lain sejak dari pandangan awal lagi. Isyarat yang penuh dengan bunga-bunga berwarna-warni yang memenuhi taman hati. Indah macam warna pelangi di kaki langit selepas hujan. Tapi itulah. D ni susah amat kalau lelaki nak masuk jarum. Siang-siang dia tepis habis. Siang-siang dia tolak dan cantas perasaan itu dari menyusup masuk dalam ruang hatinya yang tertutup rapat. Haram tak bagi respon.  Siap pasang mangga besar kapal Titanic gamaknya Daniel rasa. Dulu, bila Daniel terus terang cakap suka kat dia, selamba sahaja dia jawab.“Lu jangan nak jiwang-jiwang curah perasaan kat gua ek, Demang. Gua tak minat jiwang-jiwang ni.”   
        Demang?!!. Ya, D panggil Daniel dengan nama itu. D-E-M-A-N-G. Sikit punya purbakala kan. Memang sakit hati jugak masa tu. Sesedap oren mandarin jer dia tukar nama orang. Bila ditanya kenapa nama tu, tanpa rasa bersalah dia boleh cakap barulah nampak gempak dan unik sikit nama lu bro. Ni, nama macam sotong patah leher jer. Memang tak tahu nak kata apa bila dengar dia balas macam tu. Bersalah? Jangan haraplah la muka D ni kalau nak rasa macam tu. Main jauh-jauh!
            Daniel senyum dalam hati bila ingat kenangan pasal sejarah nama panggilannya ini. D ini memang pakar menamakan orang. Daniel punya nama sikit punya macho dia cakap tak gempak dan ganas. Daniel Nufail tak gempak ke?  Ada D kata macam sotong patah leher. Betullah kata Pot, teman serumah D yang sekarang jadi awek Daniel. D ni kalau cakap pasal mulut dia, syarikat insuran pun tak nak jual insuran kat dia.  Kalau nak tau, Daniel memang tak putus asa jugak awalnya masa pikat D dulu. Siap tukar macam-macam cara semata-mata nak pikat si pipi merah ini. Tapi hampeh betul. Semua D cincang lumat dan buang dalam laut. Pastu selamba badak air jer sound Daniel balik. 
            “Demang..lu dengar eh beb, gua tak main aar benda cinta-cinta ni. Apa barang cintan-cintun pulak ni. Gua dengan lu kawan kerja jer. Tak dak lebih ok. Lu bukan taste gua pun. Apa barang lu nak jadi partner hidup gua." Nilah ayat D yang memusnahkan dan meranapkan perasaan Daniel. Memang teruk kan mulut dia. Tergamak dia cakap macam tu. Banyak la dia punya taste. Langsung tak bagi can. Memang tak boleh blaah punyer awek D ni. Malang betul siapa yang dapat awek versi SPAD pun tak kuasa nak saman. Bila Daniel tanya balik sebab tak puas hati, dia boleh bagi jawapan yang rasa nak hentak jer kepala kat jalanraya. Sakit jiwa betul dengan D ni.
            "Lu memang bukan taste gua aar beb. Lu takder ciri-ciri mamat yang boleh buat mata gua ni tak terkelip bila pandang. Lu ni... macam lepat pisang sejuk jer. Lu pernah makan lepat pisang sejuk?"
           Aduh aduh. Daniel yang punya macho dan handsome ni pun dia reject. Siap kutuk selamba lagi. Lu memang melampau punya taste aar D. Tapi Daniel tak berani aar cakap macm tu depan-depan D. Nak mampus? Ada pulak yang patah sembilan belas dikerjakan si D yang ganas super ganda sepuluh.  Daniel sambung ingat kata-kata keramat tak ada luput tarikh D lagi. "Lagipun, gua tak kuasa aar nak melayan perasaan yang nanti akan buat kepala gua mintak paracetamol hari-hari. Lu tau kan makan paracetamol selalu bukan elok untuk kesihatan. Gua nak sihat aar bro. Gua memang anti makan segala ubat nih.” Sakitnya hati, boleh pulak dia tazkirah kesihatan kat Daniel masa orang tengah mengayat dia. Potong stim jer D ni!
             Dan sekali lagi kata-kata Daniel kena cantas berserta amaran bila Daniel asak jugak D untuk fikirkan semula hasrat sesuci embun pagi dia itu. "Gua malas ok. Gua tak minat kat lu. Faham tak makna minat?  Kalau lu tak faham, lu tanya pakcik google. Lu Demang kalau nak lama kawan dengan gua, cukup jadi kamceng gua jer. Jangan nak lebih-lebih haa. Titik. Ada faham? Kalau nak cari awek gua boleh tolong. Tak ada hal. Housemate gua ada. Cun macam Taylor Swift. Mesti lu tangkap jiwang punyer kalau tengok dia, bro. Dia pun gedik gak macam lu.”  Sudahnya Daniel mengalah dan setuju untuk kenal dengan kawan serumah D yang namanya Pot. Memang Daniel cuak jer dulu bila D cakap nama housemate dia Pot. Pot? Apsal nama ada bau bau rejim ganas kat Kemboja tu jer. Spesies ganas apa Pot ni. Tapi bila dah kenal baru taw. Dia awek sweet, comel dengan nama yang sangat cute; Puteri Mardiana  Aida. Cuma dia pesen gila-gila macam si D ni la. Ada ker Pot si D bagi nama awek gua, ciss!
              "Lu biar betul Demang. Lu jangan nak main-main ek. Gua memang pantang orang cakap main-main dengan gua ni. Lu pun tau kan keganasan gua macammana. Lu jangan cari nahas dengan gua, beb." Damia masih cekak pinggang. Kertas kemasukkan stok yang baru disemak dihumbankan ke atas meja. Apa kes pulak gua yang kena pergi ke sana ni, issh! Gua taknak aar kerja kat sana. Super duper berganda-ganda boring. Hutan bangunan korporat jer kan sana tu. Baik gua kerja dalam gua tempurung aar macam tu!
                Daniel lepas keluhan kecil. Dua tangan disilangkan ke tubuh. Dilabuhkan duduk di tepi hujung meja. 
             "Betullah D. Apa barang aku nak kelentong lu lak. Ni..kalau lu tak percaya, lu boleh tanya Ms Ow sendiri. Aku memang dengar kelmarin dia cakap dalam telefon dengan HQ aar. Telinga aku ni masih power taw. Aku bukan spesies bini pak man tempe. Memang nama lu yang aku dengar Ms Ow sebut. Jelas dan terang. Damia Humaira. Mana ada lagi Damia Humaira kat sini. Lu sorang jer. Lagipun memang aku tak dengar Ms Ow sebut nama lain. Maknanya beb, memang dia confident kat lu aar. Peerghh...dahsyat aar lu beb."
                Damia lempar dengusan. Dalam-dalam.  Tubuh di bawa mundar-mandir. Tangan menggaru kepala. Issh..tak suka..tak suka!!!! Tak suka aar macam ni. Gua tak suka kerja kat sana aarr!!!
            " Lu memang dahsyat aar beb. Double promotion tu. Terus naik jadi manager. Perghh. Tahniah D. Aku bangga la dengan lu, D." Daniel tepuk tangan.
            "Dahsyat otak lu. Gua..gua macam tak percaya aar apa lu cakap ni, Demang. Eh, lu jangan nak konda kondi gua ek. Baik lu cakap betul-betul Demang. Entah-entah lu yang kena, tapi lu tolak kan sebab lu taknak jauh dari Pot. Gua tau. Kan office Pot kat sini jer. Lepas tu...lepas tu...Lu bagi nama gua kat Ms Ow. Betul kan, Demang?" Damia hala telunjuk ke muka Demang. 
                 Daniel geleng kepala sambil pandang wajah merah padam Damia. D..D.. Daniel humban ketawa. Terkekeh-kekeh. Tertunduk-tunduk tubuhnya. Damia ketap bibir. Demang ni memang nak kena dengan gua. Jaga lu, Demang. Lu gelakkan gua ek. Mata menoleh ke arah peti sejuk kecil dibelakang. Pantas ditarik tuala di atas peti sejuk. Daniel masih rancak ketawa. Damia sakit hati dengar bunyi ketawa Demang yang dia tau memang mengutuk dirinya. Kerepek pisang punya Demang!.Damia hayun tuala ke arah Daniel. Membalas bertubi-tubi ke lengan Demang dengan libasan tuala yang disambar tadi. Daniel tepis perlahan denga ketawa yang makin kuat dan bertali-tali. 
               Damia hembus nafas dalam-dalam. Libasan tuala sudah dihentikan. Mata lontar jelingan ke arah Demang. Damia tengok Demang sudah berhenti ketawa namun lontar senyum meleret. Perli gua la tu. Nak kata gua perempuan emosi. Ahh..tak kira. Janji gua dapat balas geram gua kena gelak dengan lu!
               Daniel tarik senyum manis. Kepala digeleng halus. Dibetulkan tubuh yang tadinya bersilat menahan libasan balas dendam Damia. 
            "Dah lega dapat balas dendam kat aku?" Daniel angkat-angkat kening ke arah Damia. Sengih dilebarkan. Damia laju hayun semula tuala cecah bahu Daniel. Wajah Daniel sedikit berkerut. Tapak tangan di gosok pada bahu. 
            "Nasib baiklah kulit aku ni dah kebal tau D. Kalau anak orang lain mahu kena usung ke wad kecemasan. Gile ganas la lu ni D. Siapalah yang malang jadi laki lu ni nanti." Damia hala telunjuk ke wajah Daniel.
           "Mulut lu macam puaka gua hantu tau tak?"
            Pecah ketawa Daniel.
            Jeda sesaat.
            Damia labuh duduk disebelah Demang.
            " Beb.."
            "hmmm..
            "Baik lu cakap."
             "Cakap apa.."
             " Lu yang sebenarnya kena transfer ke cawangan sana  tu kan. Lu reject. Lepas tu lu suruh Ms Ow cadang nama gua kat head quarter. Kan, Demang? Baik lu terus-terang dengan gua." Dua biji mata Damia terjun ke wajah Demang.
            Daniel ketuk kepala. 
            "Ekeleh lu ni, D. Bangang ke apa aku nak tolak kalau dapat offer pergi sana. Baek punyer offer tu. Gile best weh. Awek office sure ramai. Hari-harilah aku dapat cuci mata tengok peha gebu-gebu. Perrghh. Mesti aku nanti asik kekurang oksigen jer kat sana. Aku rasa Ms Ow mesti dah dapat baca apa dalam kepala ni. Tu pasal la dia tak calonkan nama aku gi sana."
               Damia capai pembaris di atas meja lalu menghempasnya di atas bahu Demang. Kuat. “Otak karat lu ni, Demang. Nanti gua report kan Pot. Biar lu kena hentak dengan dia."
               "Haa..mula la tu nak komplot mengenakan aku. Apalah nasib aku ni. Hidup dikelilingi perempuan spesies ganas ngalahkan tentera Nazi."
               "Kurang ajar la tu. Gua belasah lu karang." Damia tunjuk buku lima depan muka Demang. Pecah ketawa Demang.
               "Beb.."
                "Apa.."
               "Eh..lu agak kan Demang..apasal gua ek. Supervisor lain kan ada. Ni alih-alih gua pulak yang kena handle branch sana. Weng apa  Ms Ow ni. Patut aar masa gua susun stok syampu tadi, Ms Ow jenguk-jenguk gua..pastu senyum-senyum, beb. Gua pun heran. Apasal pulak boss skodeng gua. Gua bukan kaki curi tulang apa."
                 Daniel senyum.
                 "Pasal tu la dia pilih lu, beb. Lu tu pekerja jujur. Apa-apapun aku ucap tahniah dulu. Caya la lu, beb." Daniel hulur tangan. Pantas ditepis Damia.
                  Damia tepis tangan Demang dengan pembaris ditangan.
                  "Otak lu nak salam-salam gua. Kasi bakar tapak tangan lu tu dengan besi panas seribu kali lagi baik tau. Tak takut api neraka ker haa." Daniel tahan senyum. Kepala laju mengangguk dengan dua tapak tangan dihala ke dahi.
                   Issh, Damia garu kepala yang tiba-tiba gatal. Kata-kata Demang tadi sedang menari-nari dalam kepala Damia. Apa kes pulak gua yang kena pergi. Ala leceh aar macam ni. Malas betul gua nak pergi sana. Dah la jauh satu hal.  Semua pakat bangunan office jer. Sendu punya irama aar. Tak ada hiburan nak cuci mata pun macam kat sini. Damia lepas keluhan. Kepala rancak memikir. Lagipun nanti dah in charge branch gerenti gua kena pergi meeting buyers. Gua bukan kaki meeting meeting ni. Gua rimas aar tercongok tengok orang bercakap entah apa-apa jer. Eei..tak suka aar gi sana. Damia hala mata kesebelah. 
                   "Beb.."
                    "Hmmm..."
                    "Boleh tak gua resign jer?"
                    Daniel lepas keluhan.
                    "Tau tak ni peluang keemasan untuk lu maju beb. Lu ingat senang ke nak dapat double promotion macam ni. Dah, jangan nak buat hal. Tunggu jer Ms Ow panggil dan bagi surat rasmi. Lu kena yakin. Aku tau lu boleh D. Lu boleh. Lagipun mana tau, kut kut kat sana lu jumpa mamat yang boleh buat mata lu tak berkelip  bila pandang dia." Daniel angkat-angkat kening sambil tayang sengih lebar. Damia jelir lidah. 
                     Pecah ketawa Daniel.                      

Friday, April 19, 2013

13 Ros Merah - Bab 3


Bab 3
                         "Sayanggggggg...." Muncung Mimi sudah sedepa. Rengekan manja dengan suara yang mendayu memenuhi ruang bilik yang luas. Mimik muka yang sengaja dilukis untuk meraih simpati dilemparkan ke arah lelaki yang baru sahaja melangkah masuk kedalam wad kelas satu yang didiaminya usai keluar dari dewan pembedahan beberapa jam tadi. Tangan yang dihulur Mimi disambut Iqram. Digenggam kemas. Dielus lembut. Senyum manis ditabir."sayanggggg..you, gi mana ni. I tunggu tau! Sampai hati buat i macam ni. Kata nak datang before i masuk OT. Kata nak teman i...tunggu i till i keluar dari OT. Tapi..." Mimi pamer cebikan manja. Sengaja. "Sayang tak datang pun tau. Sedih i. I sorang-sorang je pagi tadi." Iqram tarik kerusi di tepi katil Mimi lalu dilabuhkan duduk. Mata jatuh pada pergelangan tangan buah hatinya yang berbalut. Sepasang mata coklatnya merenung jauh ke dalam kolam mata Mimi yang galak namun sedikit pudar sinarnya. 
                        "Sayang....you pergi mana? Kenapa tak datang before i masuk OT tadi? Dah lah i sorang-sorang kat sini. You pun tau kan sayang. I ni kan public figure. I tak mahu berita i masuk hospital ni tersebar kat majalah, surat khabar. I rimas la sayang.  I need a privasy in my life too. I cuma harapkan you jer ada kat sisi i. Sampai hati sayang buat i macam ni."Mimi terus pamer reaksi cengeng. Rengek suara memenuhi ruang. Iqram hembus nafas tenang. Tangan kiri mengelus pelipis. Entah bagaimana mahu djelaskan kepada buah hatinya ini. Mimi cebik bibir melihat reaksi Iqram yang dirasakan seperti tidak peduli. Entah ke kelab mana agaknya dia bersarang dengan kawan-kawan miang dia malam tadi ni. Entah dengan betina mana pulak agaknya dia berpeleseran. Mimi ketap bibir dalam diam. Well Iqram Faysal, this is Mimi okey. You can't ran away from me just like that. I'm not like your others bimbo. You're sooo wrong my dear sweetheart. Mimi is good too in this games. Mimi senyum dalam hati. Wajah kacak yang dihiasi sepasang bebola coklat muda itu ditatap. Ok, Iq..you wanna play the games. So, let us play the games, sweetheart. Ditarik nafas yang terisi sendu. Bibir dikemam. Hujung jari dibawa ke kelopak mata yang sudah basah. 
                       Ada esak halus yang terdesir lalu singgah di telinga Iqram. Aduh, parah ni! Dah buat drama lagi dia. Ni yang lemah ni. Alah Iq, macam tak biasa. Mimi Ain Syafina kan drama queen. Aktres handalan ni kan buah hati pilihan kau dari koleksi  perempuan-perempuan yang kau ada selama ni. Iqram mengeratkan genggaman tangan Mimi. Dielus jari jemari runcing Mimi. Dibawa ke bibir. Dikucup lagi. Lama. Dibawa mata menghala ke wajah pucat Mimi. Tapak tangan dihala ke pipi licin gebu itu. Dielus perlahan-lahan. 
                       "I'm so sorry baby. I'm so so sorry. I tau i salah.  I met with an accident masa drive ke sini pagi tadi." Coverlah dengan Mimi, Iqram. Jangan kau kantoi sudah. Accidentlah sangat kan. Kau ke atau si pipi merah tu yang accident. Boleh tak jangan buat lawak. Muka kau tak ada ciri-ciri orang baru lepas accident la Iq. Free jer karang kau kena sembur dengan Mimi. Iqram senyum dalam hati. Si  pipi merah. mengingatkan gadis itu, Iqram rasa mahu ketawa. Sungguh gadis yang ditemui pagi tadi membuatkan dirinya merasa teruja. Teruja untuk mengenali si pemilik nama Damia Humaira itu. 
                      " Lu nak hantar gua balik rumah gua?"
                       " Yeah. Any problem?"
                       "Lu jangan buat lawak boleh tak bro. Telinga gua rasa geli aar. Lu, Ada kapas tak? Gua nak korek telinga gua ni kejap." Damai selamba gosok cuping telinga didepan Iqram tanpa langsung segan silu. Iqram gagal sembunyi senyum dengan telatah spontan Damia. Mata Damia bertembung dengan pandangan bebola mata Iqram. Terjeda seketika. Tidak berkelip. Walla Pot, apa kes gua tak perasan tadi nih. Bingka ubi hangus ni mata dia coklat wooo. Perrghhh beb. Seksi maut! Lu kalau tengok ni gerenti lu pengsan tujuh pusingan, Pot.
                       "Dah puas belek muka saya,hmmm."
                         Iqram terus tabur senyum ke wajah yang terhias sepasang pipi nan merah didepannya ini.  
                        Damia lontar deheman. Iqram senyum.
                        "Apa barang gua nak belek muka lu lak."
                         Iqram terus tabur senyum. 
                         "I knew my look always enchanted lady eyes."
                         "Enchanted? Apasal gua rasa tekak gua kembang aar. Lu tahu tak sebab apa, bro? Macam nak muntah aar bro." Iqram sembunyi senyum. Dia ni, issh memang tak cover sungguh kalau mengutuk. But i like her. Gosh, what happened to you, Iqram Faysal!
                        " Just admit Ms Damia." Dan si pipi merah didepannya ini di lihat membuat aksi mencekik leher. Pecah ketawa Iqram. Gagal ditahan. "Lu ingat muka lu giler gempak la sangat. Ekeleh. Lu tau tak bingka ubi hangus rupa dia macam mana?"
                        "What did you call me?"
                        "Tu kembar lu la tu. Baik lu perati betul-betul. Memang seiras lu, bro."   
                         Bingka ubi hangus. Iqram senyum terus bila teringatkan kata-kata spontan dan tak berpolisi insuran si pipi merah itu. Muka aku yang gila punya handsome ini dia kata macam bingka ubi hangus. Too much haa Damia. Iqram geleng kepala dengan senyum yang kian lebar.
                       "I tengah sakit-sakit ni pun, you masih boleh senyum-senyum kan. You sebenarnya tipu i kan sayang? You sebenarnya tak accident kan? You sengaja jer buat alasan supaya takkan datang teman i tadi. Betul kan?" Tangan Iqram yang singgah dipipi ditepis. Dilontar wajah ke arah lain seketika. 
                       " Baby..I..."
                        "Tengok diri you. Cuba you tengok diri you betul-betul." Mimi hala semula mata menjalar keseluruh wajah dan tubuh Iqram sebelum dihala tatapan ke wajah kacak lelaki yang duduk rapat disisinya. " Tak macam orang lepas accident jer. Sayang...baik you cakap terus terang dengan i. You pergi mana sebenarnya ni? I tak suka you tipu i. I sakit-sakit pun, you nak main-mainkan perasaan i. Tak baikkan you buat i macam ni. I tak pernah pun tipu you selama kita couple ni. Tak pernah kan?"
                        Aduh, kantoi la pulak!
                       "Baby, i tak tipu you. Betul. Sumpah. Memang i accident. I langgar orang tua naik basikal. Kesian dia." Iqram pamer wajah rusuh...wajah muram tapi dalam hati Iqram dah pecah ketawa. Berderai memenuhi segenap ruang hati. Sorrylah baby. I bukan sengaja nak tipu you. I terpaksa. Tapi betul i accident, baby...cuma bukan dengan orang tua. I accident dengan si pipi merah. 
                       Mata Mimi bulat. Sengaja. Tangannya yang masih dalam genggaman Iqram dipaut erat. Dibawa ke dada. Ditekan. Mata dijunamkan ke wajah Iqram yang jelas risau. Hati sinis tersenyum. Jangan nak kelentong aku ye Iqram. Aku tau cerita yang sebenar nanti, jagalah kau Iqram Faysal. Well, kau jangan fikir kau hebat ye Iqram. Kau lupa ke aku ni siapa. Ni Mimi Ain Syafina laa. Aktress terbaik festival filem. Aktress popular.
                       Mimi pamer mimik gusar...mimik risau yang teramat. Kepala Iqram diusap penuh prihatin. Tangan yang kemudiannya dicapai oleh Iqram lalu digenggam erat.  "Then...orang tua tu..orang tua tu macammana, sayang. Cedera? Mati? Sayang...you jangan takutkan i. I...i taknak you kena tangkap nanti. Taknak." Mimi laju geleng kepala. Air mata sudah laju merembes keluar dari tebing kolam  mata. Iqram tahan ketawa yang sudah berderai didalam. Iq, kau memanglah pandai ayat perempuan kan. Kau tengok aktress handalan pun boleh jatuh nangis dengan cerita wayang kulit kau.                      
                        "Sayang, i taknak apa-apa jadi kat you. I sayang you. I cintakan you. You know how much i love you. You're my everything, Iq."
                         Iqram angguk kepala. Senyum. Tangan Mimi yang berada dalam genggaman dikucup lagi sebelum digenggam kembali. Dielus-elus lembut.
                         "Sebab tu i lambat datang. I settlekan hal tu. Nasib baik orang tu tak ada apa-apa. I hantarkan orang tu ke klinik. Lepas tu i hantar dia balik. Then i rush datang sini jumpa you, baby. Kalau i tak sayang you, i tak terkejar-kejar pagi tadi sampai i accident. I love you as much as you love me. Trust me baby. Trust me."
                          Mimi dilihat mengurut dada. Senyum manis diukir. Berbalas senyum dengan senyuman manis Iqram. Nasib baik. Tidak, habislah saham aku. Status dan imej aku ni sebagai aktres popular dan terkenal harus tercemar.  Paparazzi-paparazzi yang laparkan gossip terbaru aku tu pulak dapat spot gambar aku dengan Iqram kat balai polis . Harus keluar paper dan majalah nanti. Eeei, tak maulah aku. Tak kuasa! Tapi, kalau tak pergi nanti dia ingat aku tak care pulak kan. Aku kan kekasih dia. Habislah peluang aku nak jadi calon wife dia. Huh, menyusahkan betullah Irqam ni. Kalau tak pasal kau ni anak dari keluarga kaya-raya, anak tokoh korporat pemilik konglomerat automobil terkenal harus jer aku tak layan kau dari mula kau nak pikat aku.
                       
                        "Beb.." Pot henti suapan nasi ambeng yang baru dibeli dari kedai wak Man tempe diseberang jalan. Wajah teman serumah merangkap teman sekampungnya itu ditatap tunak. Damia ni kalau mencekik nasi ambeng haram tak toleh kiri kanan!
                         "Haa.." Damia masih tunduk mengadap bungkus nasi ambeng yang dibeli Pot. Dua bungkus tadi Pot beli. Memang ini hidangan rutin makan tengahari gua dan Pot. Almaklumlah gua berdua ni kan anak dara yang terlebih vitamin M dalam sistem hormon ...hahaha. Kalau korang nak tahu Pot ni kawan baik sehidup semati gua. Nama betul dia Puteri Mariana Aida. Glemerkan. Peergh glemer weh. Tapi si mangkuk Pot ni tak suka nama dia yang giler gempak tu. Dia suruh gua carikan nama yang rock sikit. Ganas laa bunyinya. Tu yang gua beri nama dia Pot. Ganaskan?
                         "Lexus hitam kebaboom gempak yang hantar lu balik tu siapa? Handsome giler woo gua tengok mamat tu."
                          " Ohh. Tu bingka ubi hangus. Lu tak nampak ke muka dia ke? "Damia laju suap sambal tempe ke mulut yang penuh. Wak Man tempe ni gua rasa ada letak ganja aar dalam nasi ambeng dia nih. Tu pasal gua dengan Pot ketagih jer pekena nasi ambeng dia. Mak gua masak pun tak kick macam ni. Kalau gua dengan Pot tak makan sehari, gerenti gua rasa ada yang tak best aar. Ada yang miss ja dalam hidup gua. Takpa nanti satu hari gua nak ajak Pot skodeng Wak Man tempe masak. Gua nak tengok dia letak apa dalam ramuan nasi ambeng dia ni. Kalau betul dia letak bahan terlarang, gua belasah dia sampai lembik!
                           Pot jegil bijik mata. Bingka ubi hangus?! Damia ni kan. Memang aar bakar darah jer!
                           "Lu biar betul, beb. Ingat gua tak nampak ke muka mamat tu tadi. Gila handsome. Gua sikit punya besar kat pintu pagar haram lu nak kenalkan kan. Lu memang bedebah aar."
                            "Apsal lu tak kenalkan diri lu sendiri tadi. Lu macam tak biasa pulak buat kerja-kerja kembang setaman ni. Gua malas nak jadi ejen penjodoh bilangan ni." Pot rasa macam nak hantuk-hantuk kepala kat meja. Damia kalau bercakap memanglah syarikat insuran pun tak mahu jual insuran kat dia.
                          " Alah. Lu cakap jer la lu dah jatuh syok kat mamat tu. Lu taknak gua kacau daun kan." Damia tersedak. Tangan pantas ditepuk-tepuk ke dada. "Gila terkena rasukan jin gua mana pulak lu ni Pot? Daun apa yang lu kacau ni? Weng apa lu tengah-tengahari buta ni."
                            Pot cebik." Lu nak coverlah tu kan."
                            "Malas gua nak berbahas dengan lu ni Pot. Buang tenaga solar badan gua jer."
                             Pot tarik tubuh rapat ke meja. Wajah Damia dihadapan makin rapat dimata.  Tangan kiri dipanggung ke dagu."Walla beb, lu tangkap ikan paus dalam diam-diam. Mana lu kenal dengan mamat Lexus hitam tu beb? Cer citer kat gua. Gua tengok tadi mamat tu. Peerghh. Maut punyer handsome weh."Pot angkat-angkat kening. Sengih.
                            Damia jilat jari satu persatu. Pertanyaan Pot dibiarkan selamba tanpa berjawab. Mata dihala sekilas memandang Pot yang sedang menanti jawapan. Bekas kendi basuh tangan dicapai. Dihulur tangan. Tangan dihala pada tuala ditepi Pot." bak tuala lap tangan tu kat gua." Pot jeling lalu capai dan hulur pada Damia. Ditabur sengih. "mekasih Potku sayang." Gelas air suam didepan dicapai. Diteguk tenang.
                           "Bismillah tak baca la tu." Pot mengacah mahu mengetuk kepala Damia. Geram pertanyaannya tidak berbalas. Rambut panjang Damia yang mencecah bahu teralun-alun kala kepala Damia laju mengelak. "Baca dalam hati mana lu dengar. Telinga lu kan kat luar." Damia ni kan mulut dia memang kalah naga berapi. Gua kadang rasa nak je lepuk lu sampai lembik!
                          "Mamat Lexus hitam tu boyfriend baru lu kan beb. Baik lu mengaku. Tidak gua report kat abah lu. Lu ingat yer, gua ni dah diamanahkan abah lu untuk tengok-tengokkan lu, beb." Pot dah keluar teknik ugut. Damia ni kalau sebut nama abah dia gerenti dia kibar bendera putih.
                        Damia lepas nafas dalam-dalam. Ni yang gua malas ni. Abah, gua kan dah cakap mangkuk Pot ni memang suka buli gua tapi abah tak percaya gak kat gua. Ni yang gua nak marah ni, bah!  Tak kira. Nanti gua balik kampung gua nak balas dendam gak kat abah. Gua nak cantas semua pokok pisang kat kebun abah!
                        "Pot, untuk pengetahuan ilmu am lu yang tak berapa nak cantik grednya tu si bingka ubi hangus yang naik Lexus hitam kebaboom tu laki orang. Dia hantar gua balik jer sebab dia dah jahamankan uniform kerja gua pagi tadi. Tu yang sebabnya gua kena emergency leave."
                         Mata Pot macam nak melompat keluar.
                         "Giler handsome maut macam tu laki orang ker?"
                         "Ha'a. Gua suspek bini dia nak bersalin pagi tadi. Tu yang dia teraccident dengan gua sebab pecut macam lumba haram Lexus kebaboom  dia tu."
                          "Rugi aar beb. Giler maut punya handsome wooo tapi laki orang. Issy." Pot geleng kepala laju laju.
                          " Ala, laki orang nak buat apa. Giler maut punya handsome pun tak guna. Ehh tapi kan Pot...ada satu ni. Kalau lu tau harus lu pengsan tujuh round. Confirm!" Damia hala mata yang bercahaya ke wajah Pot. Sengih melebar. 
                          "Amende?" Pot sudah teruja.
                           "Mata bingka ubi hangus tu..."
                           "Kenapa kenapa dengan mata dia.."      
                            Damia kenyit mata.
                            "Co...ko..lat!!!!!!!!!"
                            Damia dan Pot saling memandang. Sengih. Mata terkelip-kelip.
                           "Seksinya!!!!!!!!!!!!!!!"
                            Dua suara saling bergabung. Bergema.    

Friday, April 12, 2013

13 Ros Merah - Bab 2


Bab 2
                          "Cik cakap apa tadi? Boleh tolong ulang? Saya tak faham maksud cik."Iqram beranikan diri bersuara seraya melontar renungan kearah wajah ketat gadis didepannya ini. Sepasang mata itu tidak berkelip memandang. Sudahnya dia pulak yang terkedu. Tidak terkata lalu gagal menyambung bicara. Mata bulat yang bersinar itu sungguh tajam menatapnya dan pandangan itu terus terjun ke dasar hati lelakinya. Namun, selamba sahaja mimik wajahnya. Dengan bersandar di tepi Lexus Iqram bersama dua tangan yang bersilang di tubuh kecilnya dalam keadaan seluarnya yang separuh lencun dan berpalit lumpur basah, gadis ini jelas sedang menguasai situasi.
                          Mata masih terus melatari wajah didepannya saat ini. Menunggu dia memberi jawapan balas. Namun masih diam. Iqram sudah resah. Kepala runsing memikirkan habuan yang bakal diterima daripada Mimi nanti. Janganlah buah hatinya itu merajuk lagi. Iqram benar-benar mahu menyelesaikan hal ini secepat mungkin. Dia mahu segera ke hospital. Buntu dibuatnya oleh si pipi merah ini. Sudahlah tadi huluran maafnya tidak bersambut. Dibalas pula dengan kata-kata yang sungguh di luar akal fikiran. Garangnya dia ni! Air liur ditelan lagi bila memikirkan hal tadi. Kenapalah muka lawa-lawa macam ni tapi garang. Kalau sweet kan ke bagus. Sayang betul laa!
                         Tadi dia dengan penuh hormat meminta gadis didepannya ini bergerak ke kawasan lapang dihadapan, tidak jauh dari tempat mereka mula-mula berdiri tadi agar mereka boleh berbincang dengan lebih tenang tanpa gangguan bunyi kenderaan yang lalu-lalang. Iqram fikir hanya ini sahaja cara terbaik untuk dia menyelesaikan perkara ini setelah beberapa pelawaan awalnya untuk menghantar gadis ini ke klinik ditolak mentah-mentah. Langsung tidak ada tolak-ansur. "Gua cakap tak payah. Gua bukan cedera parahpun. Lu ni leceh aar, bro." Hairan benar Iqram dengan sikap gadis ini. Boleh dengan selamba sahaja dia kata yang dirinya bukan cedera parahpun yang perlu dihantar ke klinik. Buang masa sahaja! Aduhai, Iqram sungguh mati kutu. Tidak terkata apa dah. Yang bercalar-calar kat tapak tangan yang jelas ada carik-carik luka tu bukan cedera ke namanya cik kak? Lukisan cat merah ye. Namun dia lega akhirnya bila si pipi merah ini mahu menurut cadangannya untuk berbincang bagi menyelesaikan hal yang berlaku. 
                         Bukan Iqram tidak dengar apa yang disebut si pipi merah ini tadi. Jelas ditelinga setiap patah ayat yang keluar dari mulut gadis ini. Dan dia sememangnya sungguh terkejut bila diminta berbuat demikian.Biar betul! Dahlah dia tidak pernah terjebak dalam kemalangan selama ini, dan kali pertama terkena dek kecuaiannya, Iqram dihidangkan dengan sesuatu yang sungguh diluar akal warasnya. Gadis yang sedang berdiri didepannya ini dan memandang tajam kearahnya membuatkan Iqram tidak keruan. Dia ni memang lain macam sungguhlah!  
                          "Apa lu cakap? Ulang?" Damia jegil biji mata. Ulang? Bingka ubi hangus ni suruh gua ulang apa gua cakap tadi. Damia betulkan sandar. Ditegakkan badan betul-betul setentang dengan lelaki dihadapannya. Ni yang gua malas nak deal guna bahasa sekolah kampung gua ni. Susah sangat ke nak faham ayat gua. Gua bukan guna bahasa melayu sastera pun. Bahasa Afrika lagi la bukan. Lu jangan nak main-main dengan gua bingka ubi hangus. Lu nak rasa ke kena swing dengan gua. Tangan gua dah lama tak makan muka orang ni. Lu jangan spoilkan hari jumaat gua dengan buat dosa belasah orang. Damia meramas-ramas jari-jemari. 
                         "Lu sekolah kat mana bro? Uganda? Ke...kat Antartik?" Damia selamba melantun balas jawapan. Mata dicerlung ke arah wajah bujur sirih didepan. Apsal lah muka gempak macam ni boleh lembab otak. Tak rock betul!
                         "Saya...ok..ok...macam nilah. Why not, saya hantar cik ke klinik dulu, dapatkan cuti sakit. Then saya hantar cik ke tempat kerja, boleh?"
                          Damia mendengus. Tak boleh jadi ni. Lagi lagi klinik. Klinik, Klinik. Tak faham bahasa betul laa bingka ubi hangus ni. Ni gua nak marah ni. Damia ramas jari-jemari. Sengaja dikuatkan bunyi jari-jemari yang meletup kala diramas dengan kuat. Damia  " Lu.." Damia tuding jari telunjuk tepat ke wajah lelaki di depannya ini. "bak sini telefon lu. Cepat bagi gua. Cepat. Jangan nak buang masa gua. Tau tak gua dah lambat? Lu pun sama kan. Karang tak sempat lu tengok bini lu kat wad bersalin, lu pulak yang kena angkut masuk wad." Damia tadah tapak tangan. "Cepat!"
                          Iqram terkebil-kebil. Terkejut disergah. "Err..."Tangan kanan menyeluk poket. Perlahan-lahan ditarik keluar iPhone. Dihulurkan ke tangan gadis didepannya ini.
                         Damia belek telefon yang baru bertukar tangan. Walla, iPhone 5 tu. Mata dilontar ke wajah didepan yang memandangnya tidak berkelip. Bibir menguntum senyum kecil. "Gua bukan nak rembat telefon lu pun kalau itu yang ada dalam kepala lu sekarang ni. Gua bukan muka rembat harta orang ok. Lu tak payah risau. Walaupun gua miskin gua tak hadap harta orang. Mak abah gua tak ajar gua jadi kaki rembat." 
                        Iqram geleng kepala. Never in my mind la cik kak pipi merah. 
                        Damia tenang menekan nombor dilantai telefon milik lelaki didepannya ini. "Gua tekan nombor boss gua, lu cakap macam yang gua cakap kat lu tadi. Lu ingat apa gua cakap kat lu tadi?"Dan lelaki ini dilihat mengangguk laju. "Pandaipun lu. Gua ingat lu stok mamat lembab tadi. Harap muka jer giler gempak. Potong stim lu tau tak."
                     Lembab? Potong stim? Iqram geleng kepala lagi. Namun aneh dia sedikitpun tidak marah. Bibir menguntum senyum.
                      Damia jongket kening saat mata menangkap senyum yang terukir dibibir lelaki didepannya ini. Ekeleh, boleh senyum pulak lu kena kutuk dengan gua. Weh bro, cover baek nampak!
                     "Lu tahu tak, gua ni dah lambat masuk kerja. Boss gua sedang tunggu gua tau tak. Lu ada fikir tak dengan baju gua kotor macam ni, seluar gua yang dah wassalam lu dah simbah air lopak berlumpur, lu nak suruh gua pergi kerja. Lu fikir la sikit bro." Damia letak telefon ditelinga seketika sebelum dihulurkan pantas kepada lelaki didepannya ini."haa..cakap." Dia berbisik perlahan. Telefon bersambut. 
                     "Nama boss cik?" Perlahan Iqram bertanya. 
                      "Ms Ow.." 
                      Nama cik?" Iqram bertanya lagi sebelum telefon dihala ke telinga.
                      "Apsal pulak lu nak tau nama gua?!!" Damia bulatkan biji mata namun suara masih diperlahan.
                       "Nak ke tak ni suruh saya cakap dengan boss cik?!" Giliran Iqram jegilkan biji mata.Eh, berani pulak nak jegil biji mata dengan gua bingka ubi hangus ni. Gua swing sebijik karang ni!
                      "Damia Humaira." Damia ketap bibir.
                      Iqram senyum. Sempat dikenyitkan mata. Damia Humaira.
                      " Hai morning. It this Ms Ow? Great. Hai, this is Iqram...Iqram Faysal. I'm actually Damia Humaira's friend. Well actually she..."
                       Damia buntang biji mata. Kenyit  mata. Gua korek bijik mata lu baru tau. Eh..jap jap. Bingka ubi hangus ni sebut apa tadi kat Ms ow. Friend?...Friend!!! Weh bingka ubi hangus, bila pulak lu jadi kawan gua!
                     
                      Iqram berdehem perlahan. Gadis didepannya ini dilihat melontar dengus perlahan. Tangan gadis ini dilihat memusingkan gelas sirap yang sudah kosong. Gelas jus oren didepan Iqram ditatap sekilas. Sudah separuh diteguk. Gelas sirap limau gadis didepannya ini sudah awal-awal licin. Dia hanya mampu menggelengkan kepala melihat aksi bersahaja si pipi merah ini tadi kala menghabiskan minuman. Mahu ketawa dia bimbang bakal dihumban dengan jelingan garang si pipi merah ini. Yelah, nanti tak pasal-pasal pulak dia kena sembur didepan orangramai di kafetaria ini nanti. Si pipi merah ini bukan boleh agak kata-kata yang bakal keluar dari mulutnya yang comel itu.
                      "Lu tak faham ke gua cakap. Gua boleh balik sendiri. Lu tak payah nak buang masa hantar gua balik aar. Gua kan dah tak ada apa-apa. Lu pun dengar tadi nurse kat unit kecemasan tu cakap gua luka sikit jer. Leceh aar lu ni. Mengelabah lebih. Lu memang suka gabra ek? "Damia humban kata-kata tidak puas hati. Disebabkan lelaki ini sudah menyelesaikan masalah Damia dari dimarahi pengurusnya kerana terpaksa cuti kecemasan hari ini, Damia terpaksa akur menurut "perintah" lelaki ini yang tetap bertegas mahu membawanya membuat pemeriksaan . Damia lalu dilarikan oleh Lexus hitam gempak lelaki ini ke kaunter kecemasan di hospital ini tadi. 
                     Cakap pasal Lexus hitam lelaki ini, Damia sengih dalam hati. Seronok jugak Damia tadi. Merasa jugak naik Lexus hitam yang giler gempak. Tapi tadi Damia terkejut jugak. Lelaki ini siap bukakan pintu untuk Damia. Walla weh, bingka ubi hangus ini memang jenis stok hormat awek aar. Siap ambik jaket dia alaskan tempat duduk bagi  Damia tadi. Damia perhatikan jaket dia. BMW. Sah mahal...dan sah jahaman jaket dia sebab seluar Damia kan bersalur lumpur. 
                    Dalam kereta tadi pun Damia berbalah lagi dengan bingka ubi hangus ini. Damia cakap turunkan Damia kat stesen teksi yang berdekatan. Damia boleh balik. Tak payah nak buat pemeriksaan ni bagai. Boring la masuk hospital ni. Macam bau dettol jer. tak suka aar gua! Lelaki ini tetap bertegas. Nak jugak seret Damia pergi unit kecemasan. Bimbang jika Damia mengalami apa-apa luka dalaman. Kata lelaki ini..eh jap jap, nama dia tadi yang dia sebut masa telefon Ms Ow tadi Iqram kan. Iqram...Iqram apa ek? Ah...lantak la Iqram apapun gua peduli apa, dia bukan ada apa-apa dengan gua. Kata lelaki ini dia tidak mahu nanti kalau apa-apa yang terjadi kepada Damia kesan dari kecuaiannya tadi, dia bakal didakwa pulak di hari kemudian. Mana tau Damia buat report kat polis dia langgar Damia pastu lari. Ekeleh bingka ubi hangus ni. Ingat gua kaki balai polis ke nak report report bagai. Tak kuasa aar gua bro.
                      Iqram geleng kepala.  Mata masih tidak berkalih melihat gadis didepannya ini. "Nak balik macammana kalau dah macam ni,hmmm?" Mata disusuri ke arah pakaian Damia. Damia Humaira. Baharu sebentar tadi Iqram tahu nama cik kak pipi merah didepannya ini. Cantik. Secantik orangnya. Cuma tak sangka pulak si pembawa nama yang cantik ini yang setaraf dengan wajah yang dikurniakan punya sifat yang sangat bertentangan. 
                    "Bro, tadi lu kata lu memang nak ke hospital ni kan. Gua tau bini lu nak bersalin. Sekarang kita dah settle. Gua dah tak ada apa-apa. Tengok. Takat baju dengan seluar gua ni, takda hal. Gua kan nak balik rumah je." Damia berdiri dari duduk lalu dengan selamba memusingkan tubuhnya ke kiri dan kanan. Langsung tidak memperdulikan mata-mata di kafetaria yang memandang aksinya.
                  Iqram geleng kepala memandang gadis didepannya ini. Dengan isyarat tangan, dia mengarahkan gadis ini duduk kembali.
                   "Ingat teksi nak bagi ke naik kalau dah pakaian dah kotor macam tu."
                    "Berani la teksi tu taknak ambik gua. Memang cari nahas dengan gua. Dah dah. Sekarang bagi gua duit tambang teksi. Gua balik sendiri. Cepat." Damia selamba tadah tapak tangan. 
                   Iqram terpempan. Tambang teksi? Gosh...from which planet does she belong?!!                        

Sunday, April 7, 2013

13 ROS MERAH - BAB 1

Bab 1
MEMANG nak makan maki gua laa orang dalam Lexus hitam ni. Weh bahlol, lu sepupu Kassim Selamat apa? Bawak kereta macam siot. Lu kalau gian nak terbang, lain kali pergi buat landasan lu sendiri. Jangan guna jalanraya. Memudaratkan oranglain. Gua pun ada sumbangan bina jalanraya ini tau tak. Tiap tahun gua bayar cukai kepada gomen. Errk...walaupun tu duit Pot yang punya, tapi sebab gua yang tolong pergi bayar, kira tu pun sumbangan gua jugak tau tak? Damia buang dengus geram. Bibir diketap kuat. Sakit hati sudah tidak terhitung. Berlapis-lapis rasa itu terhadap pemandu Lexus hitam yang telah menyebabkan dia terduduk dirumput tepi jalan dek mengelak pencikan deras air lopak tadi. Tapi dek nak mengelak, dia gagal mengimbangi tubuh lalu jatuh terduduk dan separuh seluarnya lencun. Basah kuyup. 
                 Mata mencerlung tajam ke arah kereta dihadapan. Kalau tak sebab badan gua rasa sengal-sengal, mahu je gua tabuh lu cukup-cukup. Bawak macam pelesit tanah sampai tak nampak gua yang jalan kat bahu jalan ni. Gua bukan makan jalan lu pun. Bingka ubi hangus betul! Damia terus hambur amarah. Berjela-jela. Mata tajam memandang baju seragam coklatnya yang sudah kotor tercalit lumpur kesan becak dari lopak. Hatinya meledak. Bengang. Bengang gila! Ni siapa nak ganti uniform gua yang dah bertukar diluar warna kejadian asal. Tahu tak ni baju uniform baharu gua? Gua memang sengaja pakai yang baru sebab nak dapat pahala hari jumaat tau tak? Perlahan Damia bangkit dari jatuh. Muka berkeriut menahan sakit. Tubuh terasa sengal kesan terjatuh tadi dek mengelak simbahan air dari lopak yang dilanyak tayar Lexus hitam didepannya. Tudung yang sedikit senget dibetulkan dengan tapak tangan. Disapu laju. Beg kura-kura yang masih tersangkut dibelakang ditanggalkan. Mata membelek depan dan belakang beg. Nasib baik tak tercedera beg gua. Kalau tak, gua mintak lu ganti beg klasik gua ni. Gua tak kira! Tangan yang sedikit bercalar dan sedikit pedih kemudian laju dihala ke belakang badan menyapu belakang seluar coklat muda yang tersarung. Kesan lumpur yang lembab dan basah sudah melekat ke punggung. Mata dihala tajam ke arah Lexus didepan. Lu ni lesen kedai mamak pokok ketapang apa? Bawak kereta sampai tak nampak gua yang sebesar pokok belimbing nih. Hati Damia terus menyumpah-yumpah. Mata memandang bahagian bawah seluar yang sudah lencun bermandikan air lopak yang berwarna teh susu pekat. Apa punya malang la gua pagi ni. Dah la dia lambat bangun pagi tadi pasal si jam loceng kat rumah tadi cuti pulak hari ini. Teruk betul laa lu, Pot. Lu dah tau nak cuti hari ni, lu kejutkan la gua lepas lu solat subuh tadi. Lu tau kan gua ABC lagi. Ni tidak. Boleh lu terjun berbungkus sama sebelah gua. Baek punyer berkeruh. Lu memang hampas kelapa aar Pot. Tengok, kan dah jadi tragedi gua bangun melangkah syuruk. Ni, mangkuk bingka ubi hangus ni pulak lagi dah melambatkan gua. Harus gua kena sembur dengan Ms Ow ni karang. Tapi takkan gua nak pergi kerja macam ni. Uniform gua dah jahanam berbalut lumpur. Aahhh..tensionya gua! Wajah pengurusnya sudah terpampang di depan biji mata. Ms Ow tolonglah jangan marah gua. Ini memang diluar kawalan kuasa radar otak gua aar. Semua pasal mangkuk bingka ubi hangus Lexus hitam kat depan tu haa. Dia aar punya angkara yang memalangkan hari jumaat gua. Dia yang sebabkan gua terpaksa emergency leave hari ni. Sorry aar Ms Ow. Gua bukan sengaja aar.
              Iqram tepuk dahi. Keluhan perlahan terluncur. Macammana dia boleh tak perasan ada lopak dalam ditepi jalan tu tadi.bawa. Tu la bahana bawak kereta ikut hati.  Bukan ikut undang-undang. Nasib baik tak langgar orang...cuma disebabkan kecuaiannya tadi menyebabkan ada orang yang terduduk di tepi jalan. Diundur kereta perlahan. Nasib baiklah kenderaan pagi ini tidak begitu sesak. Hari minggu begini, awal-awal pagi jalanraya memang lapang. Mata terhala kepada gadis berbaju kemeja dan seluar serba coklat. Gadis yang sedang bangkit dari jatuh itu dilihat sedang membetulkan tudung di kepala. Mata dikalih sesaat ke pergelangan kanan. Bebola menjunam ke permukaan cermin Tag Heuer. Sah Mimi dah masuk bilik bedah ni. Mau panjang muncung buah hatinya itu sebab tak nampak bayang Iqram sedangkan semalam dia sudah berjanji untuk datang sebelum pembedahan. Padanlah muka kau, Iqram. Tulah, tidur lagi lambat-lambat. Berembun jer malam-malam minggu. Kan dah terlajak. Tapi sekarang yang lebih penting dia harus menyelesaikan masalah yang didepan matanya saat ini. Wajib!Tali pinggang pantas ditanggalkan. Pemegang pintu dicapai deras. Tubuh kurus tingginya diloloskan keluar daripada perut kereta. Gadis yang sedang menyapu bahagian belakang seluar dihampiri. Dada menahan debar. Iqram tahu memang dia akan mendapat habuan daripada gadis ini. Dia akur. Memang salah diapun. Kalau kena maki, kena sembur, kena marah..diam sahaja lah.  Minta maaf. Itu paling selamat. 
                  "Errk..cik, cik ok? Saya minta maaf. Saya tak sengaja. Sungguh tak sengaja." Mata Iqram jatuh pada wajah didepan yang sedang merenungnya tidak berkutik. Wajah putih mulus itu tidak berkelip ditatap. Merahnya pipi dia! Tapi...ni bukan merah pasal marah. Issy, yang pergi tenung pipi dia kenapa. Tak nampak ke mata dia yang tajam tu. Hati berbisik. Tapi..pipi dia memang merah laa!
                  Masih tiada jawapan. Hanya dua pasang mata mereka yang bertembung.
                  Maaf kunun. Banyak la lu punya tak sengaja!                   
                  "Cik tak apa-apa ke? Kita ke klinik ye." Suara perlahan Iqram tapi cukup jelas terus bergema. Tidak putus asa. Dia tahu memang dia yang bersalah. Dan dingin beku layanan gadis dihadapannya ini memang wajar. Senyum sinis yang terukir dibibir gadis berpipi merah didepannya ini membuatkan dada berdebar gusar. Cool Iqram. Just be cool ok. Hati membisik semangat. Mata Damia terus memandang. Bulat. Geram dan rasa sakit hati saling bercampur. Mata terus beradu pandang. Tidak dijawab pertanyaan yang diajukan. Juga pertanyaan yang tadi. Lelaki kacak berpakaian santai kemeja tee Polo warna hitam, berseluar jeans dan berkaca mata hitam yang baru keluar dari kereta hitam yang menyiram air lopak ke seluar uniformnya masih tegak berdiri dihadapan. Memandang dan menegur Damia dengan penuh sopan. Berhemah. Prihatin. Damia pamer senyum sinis memandang lelaki dihadapannya ini. Walla...sopan santun la pulak bingka ubi hangus ni. Cover ampun baek punyer aar vokal lu sebab dah humban gua terduduk tepi bahu jalan ni kan. Apa, lu Ingat gua akan terpesona ker dengan suara lu. Apa barang nak bawak gua pergi klinik. Gua bukan cedera la bahlol! Dilempar lagi renungan tajam kepada lelaki dihadapannya ini.
                  Iqram telan liur. Dua pertanyaan tadi langsung tidak bersambut. Gadis dihadapannya ini hanya merenung dia dari tadi. Tajam. Iqram elus pelipis. Mata menyusuri seluar gadis ini yang sudah basah separas lutut. Ada kesan lumpur.  Disebalik rayban, mata terpaku pada tapak tangan gadis ini. Ada kesan garis-garis calar luka yang jelas. Hati dibalut rasa bimbang. Rasa bersalah. Apa nak cakap ni. Kepala dah buntu. Pertanyaannya awal tadi langsung tidak berjawab. Sah gadis didepannya ini memang marah kepadanya. Iqram hela nafas perlahan.  
                  "Cik ok tak ni? Saya bawakkan ke klinik yer." 
                   Damia rasa macam nak luku jer kepala lelaki dihadapannya ini. Ekeleh bingka ubi hangus ni. Boleh lu tanya gua ok ker tidak. Mata mana? Bukak lah spek hitam lu tu. Gua tak heran pun rayban lu tu. Haa ni..cuba tengok gua betul-betul. Tengok uniform gua yang selamat lu mandikan dengan air lopak. Hai la labu kuning, ada jer yang kena tomoi dengan gua pagi-pagi jumaat yang sejahtera dan permai ni karang. Woi mangkuk rayban hitam, lu pakai mata batu apa! Lu tak nampak uniform gua dah kuyup separuh lutut ni. Seluar gua dah berlumpur ni. Lu boleh tanya lagi. Bengap tol aar. Damia ketap bibir. Geram. Mata dah macam buah saga tua tenung objek hidup didepan yang sedang memandangnya. Menyala. Jari-jemari dah diramas-ramas. Kalau gua swing sebijik dia ni mau jadi drama sebabak di tepi bahu jalan. Ahh..memang suwei aar tuan kereta hitam gedabak ni. Harap muka jer meletup. Bawak kereta macam lumba haram!
                   "Cik..cik ok tak ni? Kalau tak, saya hantar ke klinik ye." Iqram terus bertanya. Tenungan gadis ini benar-benar merisaukannya. Dia bimbang kalau-kalau gadis ini mengalami apa-apa kecederaan dalaman. Kebisuan gadis ini benar-benar membuatkan Iqram mati kutu. Cik kak ni memang marah sungguh nampak gayanya. Habislah kau, Iqram. Nak buat apa lagi ni? Nak minta maaf sekali lagi ker? Tapi pipi merah ni asyik tenung jer. Mulut sikit pun tak buka. Iqram usap pelipis. Buntu. 
                    Memang rentung bingka ubi hangus ni gua kerjakan karang. Gua panas ni. Gua tak kira walau muka lu meletup handsome. Gua memang nak belasah lu gak! Telinga gua dah keluar asap Pinatubo ni. Berdesup-desup ni. Lu nampak tak?
                  Tak boleh jadi ni. Mau tak settle kalau terus macam ni. Iqram toleh bebola mata ke pergelangan kanan. Memang sah Mimi akan merajuk nanti ni. Aduh. Mata dihala ke wajah didepan yang tidak lepas merenungnya dari tadi. Ni satu hal lagi. Aaah..cakap la sekali lagi. Minta maaf jer. Harap dia boleh terima. Amin..amin..Ya Tuhan, tolonglah hambamu yang bersalah ni yer.
                  "So so sorry ye cik. Saya..saya memang tak sengaja. Saya tahu memang salah saya. Saya sebenarnya sedang berkejar ke hospital."
                 Banyak lu punya sorry molly. Nampak tapak Adidas gua yang berlumpur nih! 
                 Damia lontar renungan tajam kepada lelaki dihadapannya ini.Beg kura-kura dibelakang dibetulkan kedudukannya. Tali beg yang terjuntai diketatkan ikatannya. Mata masih tidak berganjak memandang lelaki didepan yang sudah banyak kali memohon maaf. Aahh..ingat senang-senang ke gua nak lepaskan maaf gua kat lu lepas apa yang lu dah buat kat uniform kesayangan gua. Malam sikit! 
                "cik..saya minta ma.."
                "Lu apa kes bawak kereta macam tersampuk puting beliung, bro? Bini lu ada dalam wad bersalin ke? Bawak kereta pasang mata sama. Jangan simpan dalam poket."
                 Iqram telan liur. Kata-kata dipintas deras oleh suara garang gadis didepannya ini. Tapi..tapi dia sebut apa tadi. Lu? Bini? Wad bersalin? Bibir Iqram mahu menghambur ketawa tapi ditahan bila melihatkan renungan tajam gadis didepannya.  Fuh, garangnya cik kak pipi merah ni. Bahasa ganas betul. Macam kongsi gelap. Tak padan dengan badan. Tapi..muka dia lawa gila. 
                 "Kalaupun bini lu nak bersalin, lu jangan babitkan oranglain dengan hal peribadi lu, bro. Lu tengok sekarang gua dah lambat pergi kerja...uniform gua lu dah siram dengan air lopak berlumpur. Lu fikir tak lu dah susahkan hidup gua hari ini. Kalau gua kena buang kerja sebabkan gua tak datang kerja hari ni, lu nak tanggungjawab? Gua nampak lu kecik jer sekarang ni. Eei..geram betul gua dengan lu ni. Lu tau tak lu dah rosakkan hari jumaat gua? Sebab lu, gua nak kena tunggu seminggu lagi nak jumpa jumaat. Lu nak ganti ke pahala gua yang dah ilang hari ni sebab lu dah wassalamkan uniform gua ni haa?" Damia lontar amukan. Berdas-das. Haa..ambik lu! Buat hal lagi dengan gua.
                "Errk..saya.."
                "Gua tak kira. Lu call boss gua sekarang jugak. Lu cakap lu yang sebabkan gua tak dapat datang kerja hari ni. Lu yang sebabkan gua terlibat dalam kemalangan hari ini dan lu akan bayar gantirugi untuk gaji gua hari ini kepada dia. Mana telefon lu. Cepat bagi gua." Damia hulur tapak tangan. Pantas mencantas kata-kata lelaki didepannya ini. Tidak mahu memberi peluang.
                "Haa? Aw..awak cakap apa nih?" Dahi Iqram sudah berlapis kerut. Terkejut diterjah dengan kata-kata spontan dari gadis didepannya ini. Kata-kata yang mengandungi permintaan yang tidak disangka-sangka!
                "Lu ni memang stok mamat lembab aar. Harap muka je giler gempak yang boleh buat awek-awek  terjun lombong sebab rebutkan lu. Bro, lu nak gua cakap bahasa apa dengan lu. Tamil?"
                Mata Iqram tidak berkelip memandang gadis didepannya yang mempamer muka bersahaja. Which star does she come from? Dia ni memang sungguh ganas laa!

Wednesday, April 3, 2013

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 34


Bab 34
Bibir Joe ukir senyum sambil geleng kepala. Mulut yang tadi asyik mengunyah kentang goreng yang terbongkang bilah-bilahnya diatas lantai pinggan kaca dihadapan terhenti.  Tengahari tadi kala pulang menjalankan rutin menemankan Qistina makan, seperti kebiasaan Joe bertanyakan isterinya ini apa yang Qistina mahu untuk makan malam nanti. Akan diminta makcik dayang menyediakannya. Perlahan bibir comel itu meluncurkan jawapan. Qistina mahukan makanan barat. Qistina mahukan rib eye steak! Ditambah pulak pesanan tambahan mahukan rib eye steak yang dimasak sendiri oleh Joe. Bukan yang dibeli dari luar. Qistina tidak mahu. Memang sebelum ini Joe pernah memasak sendiri hidangan tersebut untuk Qistina. Sekadar mahu menukar menu tempatan yang saban hari dihadap oleh isterinya ini. Dan demi memenuhi permintaan wanita yang paling dicintainya ini, Joe sanggup meredah kesesakan lalulintas usai waktu pejabat tadi menghala stereng ke pasaraya berdekatan demi mendapatkan bahan-bahan untuk penyediaan makan malam mereka berdua. Kepada makcik dayang dipesankan tidak perlu memasak apa-apa malam ini untuk dia dan Qistina. Joe yang akan menjadi tukang masak malam ini dan makcik dayang akan menjadi pembantu chef! Ketawa wanita itu dengan canda Joe. Hujung jari manis dihala ke hujung bibir Qistina yang sedikit comot namun tetap comel dimata Joe. Aaah, apa-apa sahaja mengenai Qistina takkan ada yang jelik dimata lelaki Joe. Semuanya indah. Semuanya mempesonakan. Semuanya mengasyikan. 

"ada apa?" Qistina yang sedikit hairan dengan perlakuan Joe laju bertanya. Mata tajam dihala ke wajah Joe yang cuma seinci jaraknya dengan wajah Qistina. Hembusan nafas dari liang rongga lelaki ini mencecah pendengaran Qistina. 

Joe sapu hujung jari kanan ke tepi bibir Qistina. "black pepper sos ni pun suka kat you, sayang. Nak melekat kat bibir comel you ni. Come..i bersihkan,hmmm." Disapu penuh berhati-hati dengan mata yang tunak memandang ke arah ulas delima yang tidak bercalit sebarang warna itu. Sos yang sudah berpindah ke hujung jari Joe dibawa bibir. Hujung jari kanan sudah tenggelam ke dalam mulut. Bibir melontar senyum lagi kepada Qistina yang dilihat masih asyik merenungnya dari tadi. Pipi gebu Qistina diusap lembut. Masih terus menjaring senyum. Qistina yang takzim disebelah hanya memerhati tiap tindakan Joe tanpa berkelip. Dibelek dengan lirik mata raut wajah polos gebu yang begitu hampir mendekati wajahnya. Ada rasa yang sedang mengepung didalam dada. Sukar sekali mahu dilafazkan. Joe hembus nafas tenang. Disambung suapan potongan kecil rib eye yang sudah bersalut sos lada hitam yang dimasak sendiri tadi ke mulut Qistina. 

Mulut Qistina yang mengunyah perlahan tidak berkalih memandang dan tidak berkelip memerhati tiap tingkah dan perlakuan Joe yang masih mengusap pipinya. Dibiarkan sahaja. Tidak ditahan seperti lazim dahulu. Sudah terbiasa dengan cara Joe yang sentiasa memanjai dirinya. Jauh di lubuk hati Qistina tahu Joe terlalu baik meladeninya dengan segala kepayahan dan karenah yang mencabar sabar dan iman lelaki itu selama berbulan-bulan. Qistina tahu Joe sayangkan dirinya. Terlalu sayang. Jika tidak, masakan Joe sanggup menerima dirinya yang seperti ini. Diri yang adakala sukar mengawal diri sendiri. Memang adakala dia sukar mengawal diri terutama bila rasa dan kenangan itu datang menghambat naluri dan fikiran. Dan Qistina tahu dia hanya boleh percaya lelaki ini sahaja. Lelaki ini sahaja yang tahu...yang faham jiwa dan hati Qistina yang sengsara kala diri dihempas perasaan tentang kenangan peristiwa pahit itu. Dan hanya lelaki inilah yang tahu apa yang dialami Qistina selama ini. Kepada lelaki ini diluahkan segala-gala yang terpendam...terkunci di penjara hati. Qistina tahu kepada Joe dia mampu berbicara seenaknya. Melepaskan semuanya. Menghamburkan apa sahaja. Dan bicara lelaki yang tidak putus-putus memberinya tenang kala jiwanya runtuh, berada disisi kala semangatnya berderai membuatkan Qistina percaya hanya Joe sahaja yang paling   mengerti keinginan Qistina. Keinginan yang tidak pernah terpadam dari kotak ingatan.  Kerana itu lah dia bersetuju dengan permintaan dan percaya janji lelaki ini. Qistina akur dengan pujukan ayah dan umi. Kata ayah, hanya lelaki ini yang ayah percaya mampu menjaga Qistina. Dan di depan ayah, lelaki ini sah memegang jawatan sebagai suami Qistina. Qistina tahu perasaan Joe kepada dirinya. Walau diri dalam keadaan begini, dia masih mampu merasainya. Joe, aku tahu perasaan kau, Joe. Tapi..tapi aku tak mampu, Joe. Maafkan aku, Joe... 

Suami..

Ya, lelaki disebelahnya ini suaminya kini. Suaminya yang sah. Qistina masih ingat perkara yang satu ini. Dia tidak lupa. 

Tapi Khal... Qistina juga tidak boleh lupa pada Khal. Takkan lupa sampai bila-bila! Khal kan dah kata dulu tentang rencana mereka berdua..Janji mereka bersama. Qistina akur. Khal pun. Mereka dah setuju. Dan Qistina tidak boleh lupa perkara yang satu itu juga. Tidak akan lupa sampai bila-bila. Qistina dan Khal kan dah janji...dah janji.

Khal...kenapa kita jadi begini. Qis...Qis...tak boleh, Khal. Qis tak boleh lupakan  Khal. Khal..Khal ada dalam hati Qis. Tapak tangan kejap memegang dada. Bibir diketap. Mata yang hangat berkelip laju. Cuba ditahan. Dia tidak mahu menangis didepan Joe. 

Tapi Qis..Joe kan suami Qis, sekarang. Bibir makin kuat diketap. 

Ingat Qis. Joe suami Qis, sekarang. 

Bukan Khal!

Bukan Khal!!!

Alur degup jantung mulai terasa deras kala sebaris kata itu menghentam pintu hati. Tidak pernah diduga begini jadinya takdir hidup yang tertulis. Bukan dipinta suratan ini. Kenapa?!!! Kenapa mesti dia? Kenapa tidak oranglain? Bibir diketap kuat. Dinding hatinya bergegar kuat. Nafas laju memecut. Apa salah diri sampai dia harus menanggung semua ini. Mata dipejamkan sesaat. Wajah itu muncul kembali. Tersenyum. Pantas mata dibuka. Dada berombak kencang. Khal? Mata liar memandang ke kiri dan kanan. Laju mengelilingi sekitar ruang makan utama. Tiada. Khal? Khal!!!!! Jeritannya hanya bergema didada lohong suara yang terkunci. Liur ditelan. Joe disebelah yang memerhati sambil bertanya tidak dihiraukan. Khal. Khal...Qis....Qis minta maaf, Khal. Qis..Qis yang salah. Semua sebab Qis. Kalau..kalau kita tak....Ditelan nafas dalam dalam. Hujung kolam mata terasa hangat. Seraut wajah itu saban waktu hadir dalam fikiran. Segala-gala yang berlaku dahulu terlayar di matanya. Saban waktu. Tiap saat. Berulang-ulang. Kali ini dia harus menyatakan keinginan yang lama terpendam di lubuk jiwa. Qistina sudah tidak mampu bertahan lagi. Bayang Khal makin kerap hadir. Dia sungguh rindukan Khal. 

"Joe..." Tatapan sepasang mata Joe masih tidak berkalih. Gelagat Qistina sebentar tadi dapat diduga puncanya. Cukup difahami bahasa tubuh wanita Qistina. Dua pasang mata saling beradu tatapan. Qistina kemam bibir. Nafas yang sesak menekan dada. Dia harus menyatakan kepada lelaki ini tentang hasratnya itu. Dia mesti!

"hmmm.."Senyum dibibir Joe dilihat masih belum berlabuh. Pandangan redup lelaki disebelahnya ini masih takzim menanti ulas bicara Qistina. Qistina telan liur.

"bila kita nak pergi jumpa Khal?" Qistina tatap dalam-dalam anak mata Joe. Penuh pengharapan. Joe dilihat hanya khali. Marahkah lelaki ini dengan permintaannya. Tidak inginkah lelaki ini melayani permintaannya lagi. Tapi dia tidak mampu menahan lagi. Dia sudah tidak mampu! Disapu kolam mata yang kian panas dengan hujung jari. Menahan sebak yang menggila. "Tolonglah Joe! Tolonglah. Qis nak jumpa Khal, Joe. Qis...Qis dah lama tak jumpa Khal, Joe." Tangan kanan Joe dicapai. Digoncang. Berkali-kali. Joe masih takzim dilihat melontar renungan. Tiada balasan dari bibir itu. Qis kemam bibir. Rasa mahu menangis!

Jeda seketika. Qistina hela nafas. Tangan Joe digenggam erat. " Q..Qis..Qis janji." Tapak tangan kiri diangkat separas bahu dengan bicara yang tersekat-sekat. Joe dilihat tidak berkelip memandang. Dia tidak peduli. Dia perlu menyatakannya. Dia tidak mahu menunggu lagi. "Qis..Qis takkan buat macam dulu. Qis janji, Joe. Qis janji. Qis akan dengar cakap Joe. Qis sumpah, Joe. Qis sumpah." Kepala diangguk laju. Mengiyakan kata-kata yang diucapkan. "Joe..." Tangan Joe yang berada dalam genggaman makin erat dipaut. "Joe, tolonglah bawak Qis jumpa, Khal. Tolonglah, Joe. Joe...Joe kan dah janji pada Qis. Joe dah janji kan." Tangan Joe kembali digoncang. Qistina terus merayu.

Joe cuba sedaya upaya meraih tenang kala memandang wajah polos disebelah yang tidka henti-henti merayu. Merintih ikhsannya. Bukan dia tidak rasa. Dia merasai apa yang sedang dirasai Qistina saat ini. Hakikat dadanya ini bagai dihentak kuat. Bukan dia tidak mahu memenuhi permintaan Qistina. Tapi keadaan Qistina yang masih belum pulih sepenuhnya tidak akan mengizinkan perkara ini terjadi. Joe tidak sanggup melihat keadaan Qistina nanti. Joe tidak berupaya menahan perlakuan Qistina. Tangisan isterinya ini nanti pasti meruntun jiwa lelaki Joe yang selama ini cuba diwajakan demi sebuah janji. Joe tidak terdaya nanti kalau Qistina sudah rebah! Dan Joe yakin Qistina pasti akan terjelepuk lagi nanti...seperti pertama kali dahulu. 

Hembus nafas yang kencang cuba diladeni. Cuba dikawal. Istighfar meniti dibibir. Berulangkali. Renungan Qistina yang menanti jawapan balasnya dibiarkan seketika. Ditolak pinggan yang takzim dihadapan ke tengah meja. Diletakkan garfu berlabuh disudut pinggan. Dipusingkan tubuh. Betul-betul mengadap Qistina disebelah. Dijala senyum kecil. Tangannya yang masih didalam genggaman Qistina dikemaskan pautannya. Digenggam erat. Dua pasang mata mereka beradu tatap.

"sayang...i faham apa yang you rasa. I mengerti perasaan you. Kalaulah boleh i ambilalih tempat you...i akan lakukan." Ditelan liur. Pahit. Joe tahu dia perlu berhati-hati kala berbicara tentang hal ini dengan Qistina. Qistina perlu diladeni secara lembut dan penuh perhatian dan pengertian. Dia masih ingat pesanan pegawai perubatan kala   sesi akhir kaunseling dan psycho-therapy (terapi rundingcara) yang dijalankan ke atas Qistina. Masalah kemurungan Qistina sudah semakin baik. Itu yang dimaklumkan kepada Joe. Qistina sudah mampu berbual. Mampu bercerita. Tidak seperti awal-awal dahulu. Walau tidak banyak namun sekurang-kurangnya dia sudah boleh berbicara. Itu satu perkembangan yang baik. Itulah yang dimaklumkan oleh juru terapi yang mengendali kes Qistina. Dan demi untuk kebaikan Qistina, Joe tahu dia terpaksa menolak permintaan isternya ini. Tidak buat masa ini. Tunggulah bila Qistina benar-benar sudah pulih. Bila Qistina benar-benar sudah kuat dan bersedia. Joe tidak sanggup melihat airmata Qistina lagi. Dia tidak sanggup lagi..

"i tahu you nak sangat jumpa Khal. I tahu. Tapi..." Joe hela nafas tenang. Tangan Qistina terus erat digenggam. Sepasang mata Qistina yang cantik itu ditatap dalam-dalam.  "kalau Khal tau you akan sedih nanti bila jumpa dia...you akan terus salahkan diri you lagi bila jumpa dia...tentu Khal akan sedih sama. Khal tak sanggup tengok you macam tu, sayang. You tahu kan Khal sayang you sangat-sangat. You tentu tak mahu tengok Khal sedih kan. You sayang Khal kan,hmmm." Qistina menahan tangis. Kepala diangguk laju. Joe tahan rasa. 

"i akan bawak you jumpa Khal. I tahu janji i, sayang. I takkan lupa. I takkan mungkir. Tapi..you kena janji dengan i yang you akan sihat macam dahulu. You tentu mahu Khal jumpa Qistina yang cantik manis..Qistina si barbie doll yang comel. Kan?" Joe junam matanya pada kolam mata Qistina yang sudah melimpah.

"Joe janji? Janji ye, Joe?" Qistina goncang tangan Joe. Bertubi pertanyaannya menerjah cuping telinga. Joe senyum. Angguk kepala. Pipi licin Qistina di usap penuh kasih. Joe tahu janjinya kepada Qistina. Dia tahu sungguh tentang itu. Tapi..bukan sekarang masanya, Qis. Bukan sekarang, sayang. Maafkan Joe.
--------------------------------------------------------------------------------

NOTA:
Ini merupakan entri terakhir di blog bagi ceritera LAFAZ CINTA DI JARI MANIS. kucc sedang dalam proses penyediaan manuskrip penuh untuk diberikan kepada penerbit bagi tujuan penilaian.  Doa2kan untuk LCDJM yer. Ameen. Dan bagi meneruskan perjalanan karya di teratak  kucc ni, nantikan ceritera baharu dari kucc ; 13 ROSE MERAH...cumelkan tajuk dye..hikhikhik.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...