Thursday, March 30, 2017

Teaser - Lelaki Terpilih

Dentuman peluru terus kedengaran.
“Jangan risaukan papa. Cepat pergi selamatkan diri!” Ramone tolak tubuh Sofia ke dalam rumah. Blood tertoleh bila dengar Ramone menjerit.
“Bawak Mak Pah masuk. Berlindung dalam bilik air.” Blood laju tarik Magnum dari rusuk kiri jaket. Dihulur pada Sofia.
“Kalau perlu. Kau tahu apa nak buat kan?”
Sofia angguk. Pantas capai Magnum yang dihulur. Tangan tarik tangan Makcik Sharipah membongkok masuk ke arah bilik air.
-----------------------------------------------------
Sila order dengan sellers bagi yang belum. Kucc print sikit aje buku ni.


Tuesday, March 28, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku keluar dari perut lif bersama staff-staff Enigma Services yang lain. Aku tengok jam pada pergelangan kiri. Dah pukul 6.30 petang. Aku kena balik naik pengangkutan awam macam aku datang tadi. Walaupun Zai nak tumpangkan aku balik dan dia dah beritahu Abang Jazli tapi aku tolak dengan baik. Biar aku berdikari. Tak boleh manja lagi sekarang. Semua kena urus sendiri. Itu yang aku beritahu pada Zai. Silap aku yang bergantung pada Zainal selama ini untuk urusan hidup harus diperbetulkan.
Aku rasa sedikit lega lepas luahkan semuanya pada Zai pagi tadi. Dan lepas kami keluar dari surau, aku cuba lupakan semua yang berlaku semalam. Aku kena tumpukan pada kerja. Ini tempat aku cari rezeki. Aku tak mahu sebab Zainal, aku hilang tumpuan pada kerja. Aku buat macam biasa walaupun sedih yang aku rasa masih menggunung. Masa makan tengahari aku keluar dengan Zai. Banyak yang aku bualkan dan Zai banyak berikan pendapat tentang apa yang aku perlu buat kalau nekad mahu bercerai dengan Zainal. Zai juga cakap akan bawa aku jumpa seorang peguam syarie yang boleh tolong aku uruskan perceraian aku dengan Zainal. Kata Zai, peguam itu yang uruskan perceraian kawan lama dia dulu. Aku tak anggap Zai mahu menghasut aku bercerai. Aku tahu Zai mahukan yang terbaik dan aku juga mahu yang terbaik buat hidup aku. Buat masa depan aku.
Lepas dari pemeriksaan securiti, aku berjalan laju ke arah lobi. Aku perlu cepat ke perhentian bas. Nanti kalau terlepas bas, kena tunggu bas yang lain. Dah buang masa. Nanti lewat aku sampai ke rumah, Aku keluar aje dari payung lobi, aku nampak BMW hitam Zainal. Dia sudah siap berdiri di pintu penumpang hadapan dengan dua tangan bersilang di dada. Aku berhenti seketika di tangga lobi. Aku pandang dia. Dia pandang aku. Sejenak otak aku sedang berputar. Berfikir apa yang aku nak buat sekarang. Aku hela nafas. Takkan aku nak pecut lari pulak. Memang rupa macam perempuan bodoh laa kalau aku buat macam tu. Aku menapak tenang ke arah Zainal. Dia pandang aku. Dia lempar senyum. Aku tak balas. Aku buat muka tak ada perasaan. Memang aku dah tak perasaan lagi pada Zainal. Perasaan aku dah mati. Zainal yang bunuh perasaan aku.
“Jom.” Dia tarik pintu kereta. Aku pandang dia. Dia masih senyum. Kau takkan boleh beli lagi jiwa aku dengan gula senyum kau tu, Zainal. Aku masuk ke dalam perut kereta. Zainal tutupkan pintu. Aku buat macam biasa. Tarik tali pinggang keledar dan pasangkan. Zainal masuk dan tutup pintu kereta.
“Kita pergi dinner dulu, okey. Kita pergi tempat favourite you. Dah lama kita tak pergi makan kat situ.” Zainal pusing pandang aku. Aku diam. Langsung tak balas pandang muka dia. Sakit hati aku pada dia masih berapi. Jangan dia fikir dia boleh gula-gulakan aku macam budak-budak. Aku bukan perempuan dungu.
“Zira..”
“I tak lapar.” Aku jawab senafas. Suara yang tiada rencah perisa. Aku terus pandang cermin depan. Langsung tak kalih tengok Zainal.
I am sorry.” Aku terus batukan diri. Maaf dia dah tak ada makna lagi. Hati dan perasaan aku dah hancur lumat. Aku dengar keluhan nafas Zainal. Enjin kereta dihidupkan. Dari ekor mata aku nampak Zainal tarik tali pinggang keledar. Aku masih terus bisu. Kereta yang dipandu Zainal terus keluar dari kawasan lobi Menara Enigma menuju ke pusat bandar. Seketika hanya nafas pendingin hawa yang menguasai perut kereta. Aku matikan diri. Memang aku tak ingin nak cakap apa-apa dengan Zainal.
“I tahu perbuatan I pada you selama ini memang salah. I minta maaf. You berhak untuk marah, Zira. Tapi tolonglah jangan berdiam diri macam ni.” Nak cakap apa lagi, Zainal. Dah tak ada apa lagi. Lagipun aku tak ingin nak bergaduh waktu dia sedang memandu. Lain bala pulak nanti yang datang. Cukuplah bala yang dia dah timpakan pada aku malam tadi. Bala yang tak pernah aku sangka.
“I macam nak gila hari ni. You hilang dari rumah macam tu aje pagi ni. Call dan message I satupun you tak jawab. I risaukan you, Zira. I sampai kena call Jimmy tanya you ada kat office ke tidak.” Patutlah Jimmy pandang aku semacam aje dan tanya aku okey ke tadi masa aku masuk bilik dia hantar inbois yang dia suruh aku buat. Aku tahu Jimmy kawan Zainal masa kat universiti. Zainal yang beritahu dulu. Zainal call dia tanya pasal aku rupanya. Nak risaukan aku buat apa lagi. Aku bukan siapa-siapa pun dalam hati dia selama ini. Aku aje yang terhegeh-hegeh. Syok sendiri. Aku ni kan perempuan perasan. Perasan orang suka kat dia. Perasan orang sayang dan cintakan dia. Bodohnya kau selama ni, Zira.
“Zira..” Zainal capai tangan aku. Laju aku tarik. Aku masih diam dan pandang ke arah jalanraya. Kereta di lebuhraya makin sesak dengan barisan kereta yang bersimpang siur datang dari pelbagai arah. Perasaan aku ikut sesak dengan kata-kata Zainal.
Please say something.”
“Kita sampai rumah dulu.”
“Okey.” Dan kami terus senyap. Zainal terus memandu hingga sampai ke rumah. Aku tanggalkan tali pinggang keledar sebaik sahaja kereta memasuki garaj dan enjin kereta dimatikan Zainal.
“I minta maaf, Zira. I tahu you marah. Marahlah. I sedia terima apa juga marah you kalau itu dapat legakan perasaan you.” Aku geleng kepala. Mudahnya lelaki bercakap. Ingat perasaan marah dan sakit hati aku ni macam buih sabun. Lepas kena cuci akan terus hilang sekelip mata. Aku tarik nafas. Aku dah nekad dengan apa yang aku cakap pada Zai tengahari tadi.
“I nak you lepaskan I.” Aku lepas suara senafas. Allah. Sakitnya.
“Zira.” Zainal pusing pandang aku. Tangan aku dicapai. Aku tolak. Aku lontar pandang kosong pada dinding garaj. Hati aku sedang meraung. Menangis hiba. Allah. Sabarlah hati. Sabarlah jiwa.
“You nikahlah dengan bekas kekasih you tu. I takkan halang dan I tak berhak halang tapi ceraikan I.” Aku genggam tangan kuat-kuat. Allah, tolong kuatkan hati aku. Tolong ya Allah.
“Zira, I tak boleh ceraikan you. Please, Zira. I tahu salah I besar pada you. Tolong maafkan I.” Aku geleng kepala. Tak mungkin ada maaf untuk kau, Zainal. Tak mungkin! Aku pusing pandang Zainal yang sedang pandang aku.
“Lima tahun, Zainal. Lima tahun you permainkan perasaan I. Kasih sayang I. Cinta I. Cukuplah. Cukuplah you tipu I selama ini." Aku telan liur pilu. Kuatkan aku ya Allah. "Dah tak ada apa lagi yang tinggal. Takkan ada lagi Zainal Rauf dalam hati Fazira Huda. You kata you tak pernah cintakan I selama ni, Zainal. Jadi…tolong lepaskan I. Tolong jangan siksa lagi perasaan I. Pergilah pada hati yang you cinta selama ini. Lepaskan hati I.” Aku tolak pintu kereta. Tas tangan aku capai. Aku melolos keluar dari perut kereta. Kaki aku hala ke pintu utama. Zainal masih di dalam kereta.
Lepaskan hati I, Zainal. Lepaskan.

Monday, March 27, 2017

Teaser promo LELAKI TERPILIH


Ya. Memang dia lelaki terpilih buat Sofia. Lelaki luar biasa yang menerbitkan perasaan termahal dalam hati perempuan Sofia. Lelaki belahan jiwa yang tiada gantinya.

Siapa dia lelaki yang terpilih utk takdir Sofia Rana?

Tunggu kemunculan Lelaki Terpilih utk jawapannya.

DaYanG


“Aku dengan Rose nak kau ikut kami ke KL. Kerja kat sana. Macam kami.” Liya yang berdiri di depan almari baju buka mulut lepas semua mereka masuk ke dalam bilik Dayang.

“Ikut korang kerja di KL?” Dayang pamer muka sedikit terkejut.

“Ha’a. Ikut ye.” Rose angguk. Tangan Dayang dicapai. Mahu Dayang setuju dengan apa yang dicadangkan Liya.

“Ikut kita orang balik KL esok. Aku dah tanya tempat kami kerja tu. Dorang nak pakai kerani akaun. Kau kan buat akaun masa kat kilang dulu. Bolehlah kau mohon. Kau pun seminggu lagi habis pantang kan. Elok sangat la tu. Aku pun dah cakap kat orang HR aku ada kawan yang nak mohon. Dorang suruh aku bawak kau. Kau ikut ye.” Liya layang angguk memujuk pada Dayang.

“Aku…aku kalau boleh nak cari kerja dekat-dekat sini aje, Liya. Aku tak nak kerja  jauh-jauh.” Suara perlahan diluncur. Jauhnya kalau dia kerja di KL. Nanti susahlah dia nak ziarah kubur Azhar. Tentu dia akan rindukan Azhar. Tak..tak boleh. Dayang kena dekat dengan Azhar.

“Kau nak duduk Baling ni sorang-sorang? Apa-apa jadi kat kau nanti macam mana? Dah…aku tak izinkan.” Suara veto Liya terhumban. Dayang telan liur. Sejak dulu memang Liya bagaikan kakak bagi dia dan Rose. Dan dia juga Rose akan akur dengan kata-kata temannya ini. Liya hempas duduk di birai katil Dayang. Usai makan malam tadi Liya cakap dengan Dayang dia ada hal nak bincang.

“Tapi Liya…” Dayang pandang Liya dan Rose silih berganti. Memohon pemahaman.

“Dah tak ada siapa kat sini, Dayang. Kami tak mahu apa-apa jadi kat kau. Ikut kami balik KL ye.” Rose jala pujukan lagi.

“Tapi Azhar…” Liya hempas nafas. Tahu apa yang cuba disampaikan Dayang.

“Tak semestinya kau tak lawat kubur dia makna kau dah lupakan dia. Doa tu kan boleh aje kau kirim walau kat mana kau berada.”

“Tu tak sama, Liya.” Dayang terus merayu. Liya raup wajah.

“Kau tak ingat ke amaran mak dan kakak-kakak dia yang gila tu? Kau dah lupa apa jadi kat kubur semalam? Kau nak dorang pijak kau sampai mati? Kau nak?” Suara Liya naik sedikit. Rose baling jeling pada Liya. Dia ni kalau tak kuat suara tak sah! Dayang kemam bibir. Tahu Liya bukan marah. Kepala tunduk ke riba. Dua tangan saling digenggam. Masih hijau diingatan tentang apa yang berlaku semalam. Kalaulah Liya dan Rose tak datang semalam, entah apa nasib Dayang.

“Aku dah janji dengan Azhar akan selalu ziarah dia.” Rose dan Liya saling berpandangan. Rose angkat kepala. Isyarat pada Liya. Memang Rose dan Liya dah agak Dayang akan sebut tentang perkara ini. Desir nafas akur Liya terluncur. Mata dibawa pada Dayang yang tunduk memandang riba.


“Dayang…dengar apa aku nak cakap ni.” Dua pasang mata memusat pandang pada Liya yang bersila di birai katil.

Sunday, March 26, 2017

Hati Ini Piih Kamu

ZAI TARIK tangan aku masuk ke dalam surau lepas aku beritahu Zainal minta izin aku nak kahwin lain. Aku menurut aje langkah Zai. Masuk aje ke dalam surau, Zai tekan punat pintu dari dalam. Zai masih pegang tangan aku.
“Jom.”
Kami tanggalkan kasut masing-masing. Zai tarik aku sampai ke tingkap. Kami berdiri saling mengadap. Zai pandang mata aku yang merah dan basah. Aku kemam bibir. Aku malu pada Zai dengan keadaan rumahtangga aku yang tak macam dia. Betapa beruntungnya dia dapat Abang Jazli yang sangat baik dan sayang sangat pada Zai. Aku sapu mata yang basah. Lama kami berdiam dan saling memandang. Zai tarik tangan aku. Dia genggam.
“Kau macam mana?”
Aku geleng kepala. Sesak dada dengan pertanyaan Zai.
“Aku tak tahu. Aku tak boleh nak fikir sekarang.”
“Bila Zainal cakap dengan kau dia nak nikah lain dengan perempuan tu?” Aku diam sejenak. Tak terus jawab pertanyaan Zai. Cuba menenangkan hati. Perkataan nikah lain tu dah jadi racun paling bisa untuk aku dengar. Dan aku yakin untuk mana-mana perempuan pun akan punya rasa yang sama macam aku.
“Malam tadi.” Aku kalih pandang cermin jendela. Tak mampu aku nak pandang Zai. Sedih sangat aku dengan perbuatan Zainal. Aku pandang langit pagi yang putih bersalut kebiru-biruan. Langit pagi nampak cerah. Tapi langit hidup akan bakal gelap. Aku tahu dan aku yakin itu pasti akan berlaku. Semuanya sebab Zainal. Keputusan Zainal.
“Huh! Kurang ajar punya jantan.” Giliran Zai lepaskan nafas. Nafas bercampur maki. Tengok riak muka dia pun aku tahu Zai tengah marah. Dari berdiri aku menggelungsur duduk bersandarkan dinding surau. Dua kaki aku tegakkan dan paut rapat ke dada. Dada aku masih sesak dengan kata-kata kejam Zainal malam tadi. Zai ikut menggelungsur tapi dia pilih bersila depan aku. Buat seketika kami diam. Aku hela nafas. Aku pandang Zai.
“Zainal kata dia tak pernah cintakan aku selama ini.” Aku senyum sambil geleng kepala. “Macam mimpi dia cakap macam tu kat aku. Lepas lima tahun kami kahwin baru dia cakap tak pernah cintakan aku. Habis selama ni yang dia layan aku tu apa? Sebab nafsu? Cuba kau rasa apa yang aku rasa, Zai. Sakit, Zai. Sakit.” Aku tumbuk dada aku sendiri. “Sampai hati dia cakap macam tu.” Zai capai dan pegang tangan aku. Aku dongak pandang siling. Sakitnya dada aku rasa dengar kata-kata aku sendiri.
“Tak sangka dia tipu aku hidup-hidup selama ini. Tipu perasaan aku. Aku tak pernah tipu dia tapi dia…” Aku kemam bibir. Tangan aku paut ke bibir. Aku tahan diri dari menangis walhal hati aku dah meraung. Zai makin kuat pegang tangan aku.
“Aku tak minta jadi isteri pilihan mak dia. Aku ikhlas terima dia dalam hidup aku.Tapi dia tergamak gadai perasaan aku selama lima tahun semata-mata nak jaga hati mak dia. Apa salah aku pada dia, Zai? Apa salah aku? Aku salah apa-apa, Zai. Lima tahun aku jadi isteri dia, tak pernah aku abaikan dia, Zai. Aku setia, Zai. Aku patuh. Aku ikut semua apa kehendak dia. Kau tahu kan Zai aku isteri yang baik.” Zai angguk. Aku raup muka. Aku lepas keluhan kecil. Zai elus bahu aku. Mahu menenangkan aku.
“Selama ini aku dengar cerita pasal dia ada hubungan dengan perempuan lain. Kau pun tau kan pasal tu.” Zai diam. Makin kuat aku rasa elusan tangan Zai di bahu aku. “Aku diam aje. Aku tak tanya dia. Aku tunggu dia buka mulut. Dan masa dia buka mulut aku harap sangat dia minta maaf dengan aku sebab buat macam tu di belakang aku. Tapi aku silap, Zai. Aku silap. Dia dah tak boleh dipisahkan lagi dengan perempuan tu. Dia boleh tanpa rasa bersalah minta aku izinkan dia nikah dengan perempuan tu.”
“Kau cakap apa kat dia lepas dia kata nak nikah lain dengan perempuan tu?” Aku pandang Zai. Aku nampak muka Zainal malam tadi. Muka tak bersalah Zainal.
“You pilih antara I atau dia.”
“Zira, please.” Aku tolak tangan Zainal yang cuba capai tangan aku.
“You pilih I. Lupakan dia dan kita mulakan hidup baru. I akan anggap you tak cakap apa-apa pasal dia.”
“Zira…”
“You pilih dia…ceraikan I.”
“Dia cakap apa?”
Aku tundukkan kepala pada kaki yang aku paut.
“Dia pilih nak nikah dengan perempuan tu. Tapi dia tak mahu bercerai dengan aku. Dia tamak, Zai. Dia tamak. Aku benci dia. Aku benci dia!!!” Tangisan aku pecah. Zai peluk aku erat.

Thursday, March 23, 2017

Teaser LELAKI TERPILIH (Lentera)

Fae tayang senyum. Ooo. Si kekwat tu suka macam cokodok ikan bilis ek. Fae angguk-angguk kepala. Muka moden tapi suka cokodok. Makcik Jarah senyum-senyum pandang rambut Fae yang basah. Dan Fae yang perasan dan faham makna senyum itu laju goyang tangan.
"Makcik jangan salah faham pasal ni.” Fae tepuk kepala. “Tak ada apa-apa yang berlaku.”
Makcik Jarah ketawa. Lucu pulak dilihat reaksi isteri Umar.
“Haish. Makcik faham. Dah namanya pengantin baru kan. Tak apa. Makcik buat-buat tak nampak aje ye. Yang dah berlaku tu kan rahsia suami isteri.” Senyum Makcik Jarah bersimpul-simpul. Fae garu kening. Macam mana nak cakap ni.
“Siti okey lagi makcik. Kita orang kosong-kosong lagi.”
Ketawa Makcik Jarah terburai.
Fae garu kepala. Orang salah cakap ke? Orang selamat lagi la makcik!
“Umar tu baik sebab tu Siti okey. Takkan dia nak berkasar dengan isteri dia yang cantik ni kan.” Makcik Jarah jongket kening.
Aduh. Jauhnya dia konar sampai Sudan. Fae goyang tangan lagi.
“Bukan macam tu, makcik. Makcik salah faham ni. Rambut saya ni basah sebab ada accident tadi dalam bilik air.”
            “Accident?!” Makcik Jarah yang sedang menggaul tepung untuk dibuat cucur terlopong.
            “Ha’a.” Fae laju angguk kepala.
            “Siti kena cekup dengan lembaga separuh bogel. Lembaga tu tolak Siti masuk dalam bilik air. Kunci pintu bilik air. Lepas tu lembaga tu mandikan Siti.”
            “Lembaga separuh bogel?!!! Mandikan Siti?!!!”
            Kepala Fae mengangguk laju.

“Ha’a. Jahat lembaga tu. Dah la separuh bogel.”

Teaser - LELAKI TERPILIH ( Cinta Sofia Rana)



Hujan peluru terus menggila. Blood bangkit dan keluar berlari ke kiri dan kanan. Mengelak dan melompat dari sasaran peluru yang mengganas. Tubuh berlari menuju ke arah pangkin tempat Mustaqeem, Kamarul dan Adam berlindung.
Mustaqeem, Kamarul dan Adam sudah terperosok di bawah pangkin di halaman mencari perlindungan waktu tembakan bergema tadi. Dua tangan Adam dan Kamarul memegang kepala dengan wajah tersembam ke tanah. Tubuh Blood menggelungsur. Terbaring di sisi Mustaqeem. Laras Sig 226 ditarik pantas. Mustaqeem yang melihat menelan liur.
“Kau tak apa-apa?” Blood lirik pandang Mustaqeem.
“Tak…tak ada apa-apa.” Mustaqeem tergagap. Kepala masih menunduk ke tanah. Blood hala muncung senjata ke depan. Dilepaskan empat das tembakan. Tepat mengenai dua lelaki yang bersandar di luar pintu pagar. Tersembam kedua-dua di depan pagar. Mata Kamarul dan Adam menipis. Melihat reaksi tangkas Blood seperti menonton cerita aksi di tv. Tiga pasang mata tertumpu pada Blood yang melepaskan tiga das lagi tembakan.

Tuesday, March 21, 2017

Akan Datang...terbaharu dari saya


Blurb 
Lelaki Terpilih 1 - Cinta Sofia Rana

Dilahirkan sebagai anak Ramone Commando, ketua gengster terkenal bukan pilihan Sofia. Gerak-gerinya diperhati setiap saat. Diekori dan dikawal ketat oleh orang-orang suruhan Blood.

Blood…anak angkat dan orang kepercayaan Ramone. Lelaki yang sentiasa ada di sisi Sofia sejak kecil. Membesar bersama. Blood penjaga dan pengawal peribadi namun lelaki ini sukar ditelah hati dan jiwa. Antara mereka sering tak sekata. Tingkah bicara tak sehaluan sentiasa. Ada sahaja yang tak beres antara mereka berdua.

“Aku nak tanya kau satu soalan. Aku ni banduan pada kau?”-Sofia.
            “Kau tak dikurung. Kau bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja yang kau suka..”-Blood
Pertemuan dengan Mustaqeem yang menyelamatkannya dari cubaan culik mengubah kiblat hidup. Dari lelaki itu dia kenal destinasi addin. Bicaranya mendamaikan jiwa, hati dan  rasa.
            “Kenapa tanya? Awak rindu nak dengar suara saya ke?” –Sofia
            “Sebenarnya awak yang rindu nak dengar suara saya kan?”-Mustaqeem
Pertemuan ini juga membongkar hubungan sebenar antara Sofia dan Mustaqeem. Ada rahsia yang tersirat. Ada kisah yang tersurat. Antara Mustaqeem dan Blood, pasti satu yang tertulis buat Sofia. Tapi siapa?

Lelaki Terpilih 2 – Lentera

Umar Al-Walid dan Fae Roulette aka Siti Fatimah Az- Zahra. Kisah mereka umpama mimpi ngeri yang jadi nyata. Mereka bermula dengan pertemuan yang masam pahit. Umar si sinis sadis bertemu Fae si kaki melawan tahap petala sepuluh. Memang tak match la, orang kata. Tapi kalau jodoh itu sudah tersurat, ikan di Lautan Atlantik pun boleh berjumpa asam belimbing dalam periuk di Kuala Lumpur!
“Awak tu bakal isteri saya. Tentulah saya kena sibuk.”-Umar
“Siapa tah nak kahwin dengan dia. Awak tu mimpi ngeri tau tak?” – Fae

Bagi Fae, Umar itu lelaki mulut pedang. Tajam dan berbisa. Tapi sukar mahu ditolak kehadiran lelaki pilihan umi. Menjadi anak derhaka tidak sesekali. Menerima Fae sebagai isteri ada tugas berat menanti. Suami itu lentera seorang isteri.Membawa isteri ke syurga mampukah digalas Umar? Cukup bersediakah dia menjadi seorang Umar untuk memimpin hidup seorang Siti Fatimah Az Zahra yang masih tenggelam dengan nikmat dunia. 

Sunday, March 19, 2017

Hati Ini Pilih Kamu


Aku sampai ke pejabat lambat sedikit dari biasa. Lambat sebab aku pergi sendiri naik pengangkutan awam hari ini. Naik bas lepas tu tukar naik LRT. Lepas tu naik bas sekali lagi. Terkejar-kejar dan menggagau tanya orang pasal nombor bas untuk ke KL. Dari sana aku diberitahu kakak indon dalam bas tadi aku kena naik LRT untuk sampai ke pejabat aku. Aku redah dan terjah aje tanya kat orang di station LRT. Janji aku sampai ke pejabat. Alhamdulillah selamat aku sampai ke pejabat. Zainal tak hantar aku macam biasa. Bukan dia tak nak hantar tapi aku yang tak nak lagi dihantar oleh dia. Aku tinggalkan rumah waktu dia masih tidur. Lepas solat subuh aku terus keluar rumah. Aku dah putuskan malam tadi sebelum lelapkan mata. Biar aku uruskan hidup aku sendiri mulai hari ini. Aku takkan harapkan Zainal lagi.

Aku letak tas tangan atas meja. Kerusi aku tarik ke belakang. Aku hempaskan duduk dan lepaskan nafas penat sekejap. Pagi ini aku baru rasa dan tahu apa itu penat datang kerja. Baru aku tahu apa tu susah payah menunggu dan berkejar dengan kenderaan awam. Selama ini aku tak perlu menunggu. Tak pernah rasa penat pergi kerja sebab duduk aje dalam kereta berhawa dingin dan Zainal yang memandu sampai depan lobby office. Aku dah tak boleh manja-manja lagi. Kesilapan membiarkan aku bergantung penuh pada Zainal untuk urusan hidup seharian harus ditamatkan. Aku kena bergantung pada diri sendiri bermula hari ini.

Kunci laci yang terlekat bersama swipe card yang tergantung di leher aku sorong ke lubang laci. Aku pulas kunci. Aku tarik balik kunci. Lanyard berwarna merah yang tergantung di leher aku tarik dan letak tepi desktop. Laci aku tarik. Tas tangan aku capai dan keluarkan telefon. Aku tengok ada dua puluh missed call dari Zainal. Aku memang silentkan telefon waktu keluar dari rumah tadi. Sengaja aku buat begitu. Aku tahu Zainal pasti akan call bila dia bangun dan tengok aku dah tak ada kat rumah. Aku abaikan sahaja. Aku tak ada rasa nak call dia balik. Biar dia tahu aku sedang marah dan marah aku masih membara lagi. Marah aku takkan padam setelah apa yang aku dengar dari mulut dia malam tadi.  Aku tengok ada beberapa pesanan WhatsApp dari Zainal. Aku tak bukak. Nanti dia tahu aku dah baca message tu. Dan aku memang tak ada hati dan keinginan nak baca. Aku biarkan sahaja. Biar dia kepanasan bila aku bertindak dingin begini.

Aku masukkan tas tangan ke dalam laci dan aku tolak laci semula. Aku pusing kerusi mengadap desktop. Aku tekan suisnya. Layar skrin yang gelap mula bertukar warna. Aku renung skrin komputer. Hidup aku yang berwarna seperti skrin ini sudah tiada lagi. Warna bahagia yang kini bertukar warna duka. Warna bahagia yang hilang selepas Zainal buat pengakuan malam tadi.

"I tak mampu nak elakkan diri dari dia. I sayang dia. I cintakan dia. Dia cinta pertama I." Hati aku sedang dicincang Zainal dengan pengakuan kejam dia. Depan aku isterinya yang sah, dia mengaku cintakan perempuan lain. Terfikirkah dia kalau dia di tempat aku sekarang, mampukah dia terima kenyataan begini jika aku lafazkan pada dia yang aku cintakan lelaki lain?

"Mak tak setuju hubungan kami dahulu. Mak pilih you jadi isteri I. Mak mahu I kahwin dengan you. I tak mampu nak sakitkan hati mak jadi I pilih korban hati I." Aku geleng kepala. Bibir aku kemam. Jadi aku sekarang yang kena jadi korban? Berkorban demi satukan cinta korang berdua yang terputus selama ini. Maaf Zainal. Aku bukan malaikat. Bukan bidadari dunia berhati mulia. Aku perempuan biasa. Yang ada hati. Hati yang kini sudah kau cincang lumat.

"I minta maaf, Zira. Tapi I tak pernah cintakan you selama ini." Dada terasa nyilu dengan  kata-kata tidak bersalah Zainal. Jiwa halus aku sedang disiat-siat. Sampai hati Zainal buat aku macam ni. Salahkah aku sebab jadi pilihan mak dia? Aku tak minta itu semua. Aku layan mak dia macam jiran yang lain juga. Sebagai orang tua aku hormatkan mak dia. Aku tak pernah tahu mak dia sukakan aku  dalam diam dan mahu aku jadi menantu. Sumpah jika aku tahu Zainal ada orang lain dalam hati dahulu aku takkan minta mak abah setuju terima lamaran mak Zainal lima tahun dahulu. Kau yang bersalah, Zainal. Kau lelaki dayus! Kau pengecut!

"I dan dia akan bernikah." Aku  rasa siling ruang tamu rumah makin rendah. Mahu menghempap kepala. Dan jantung aku dicabut kejam dari dada bila Zainal cakap macam tu. Akhirnya teka-teki yang bersarang dalam kepala tentang hubungan Zainal dengan perempuan yang dirahsiakan dari pengetahuan aku selama ini sudah terlerai.

Bernikah.

Dan aku bagaimana?

"I harap you beri I izin nikahi, Janice. I tak mahu terus buat hati you terluka  bila kami berhubung secara rahsia lagi di belakang you." Oh. Jadi itu nama perempuan yang Zainal cinta selama ini. Aku pejam mata. Jangan harap aku akan setuju, Zainal. Kau kena buat pilihan. Aku atau dia. 

"Beb...apasal kau lambat hari ni? Bangun lambat?" Teguran Zai buat aku berpusing. Suara kejam Zainal ikut hilang. Untuk seketika aku hanya melempar pandangan kosong pada Zai. Aku pusing kepala semula pandang skrin komputer. Zai yang nampak reaksi Zira hala kaki ke meja Zira. Mesti pasal Zainal ni. Zai dah boleh teka.

"I tahu I berdosa pada you Zira tapi perasaan ini tak mampu I buang. Dia terlebih dahulu singgah dalam hati I." Aku kemam bibir. 

"Zira? Kau...kau okey ke?" Zai mencangkung di tepi kerusi aku. Aku pusing pandang Zai. Aku pandang mata Zai. Aku rasa mata aku panas, Tolonglah airmata jangan keluar sekarang. Aku tak mampu nak tahan nanti kalau aku menangis.

"Zainal nak nikah dengan perempuan tu, Zai. Dia minta izin aku."  Zai capai tangan aku. Dipegang kuat. Aku rasa dada aku macam nak pecah lepas dengar ayat aku sendiri. Aku balas genggaman tangan Zai. Ya Allah, beratnya ujian ini. Sampai hati Zainal kianati kesetiaan kasih sayang dan cinta aku pada dia selama ini.

Saturday, March 18, 2017

Hati Ini Pilih Kamu


AKU DIAM lepas dengar apa yang Zainal cakap. Memang dari dia mula bercakap tadi aku diam. Sepatah pun aku tak celah. Aku biarkan dia bercakap. Aku biarkan Zainal bongkar segala dosa yang dia buat di belakang aku selama ini. Aku tadahkan telinga dengar segala penipuan yang dia cipta pada aku. Pengakuan yang akhirnya terpaksa dia luahkan kerana dia harus buat satu keputusan penting. Keputusan yang melibatkan perkahwinan aku dan dia. Aku tak pernah bermimpi yang aku akan berdepan perkara macam ni selepas kahwin dengan Zainal. Sungguh aku tak pernah bermimpi. Selama ini aku tengok benda-benda macam ni dalam drama-drama melayu kat tv aje. Dan habis-habis aku memang maki aje jantan tak guna dalam drama tu. Sekarang ni jantan versi drama tu ada depan mata aku sekarang. Dan aku sedang terfikir haruskah aku maki dia? Tak. Aku bukan setakat nak maki. Aku rasa nak terajang dia aje.
Zainal yang duduk di sofa hujung diam lepas habis bercakap. Hanya mata dia yang tak lepas pandang aku. Bila aku ulang balik apa yang Zainal cakap tadi, fikiran aku jadi keliru. Kenapa baru sekarang Zainal nak cakap yang dia kahwin dengan aku sebab terpaksa. Sebab tak mahu lukakan hati mak dia. Sebab aku ni pilihan mak dia. Kenapa lepas lima tahun baru nak cakap benda ni? Kenapa?!!!
Aku memang sedar perubahan Zainal bulan-bulan kebelakangan ini. Aku bukan buta. Aku tahu dia bukan macam Zainal yang aku kenal selama ini. Dia dah mula kerap balik lewat. Hujung minggupun dah kerap tak ada kat rumah. Keluar aje. Dulu tak pernah. Tapi tak pernah nak bawak aku. Alasan sebab keluar dengan kawan-kawan office dan masing-masing pun tak bawak bini. Takkan dia nak bawak aku pulak. Macamlah aku ni bebal sangat. Ingat aku tak kenal ke kawan office dia yang dah kahwin. Ingat aku tak kenal bini dorang ke? Dari situ aku dah tahu dia dah mula tipu aku. Dan aku dapat tahu jugak akhirnya dia bukan keluar dengan kawan-kawan office macam yang dia kata. Dan akhirnya aku tahu dia keluar dengan siapa sebenarnya. Dunia ni kecil dan sempit aje. Pusing-pusing tertembung jugak. Zainal…Zainal. Kau ingat aku perempuan bangang ke?
Perubahan Zainal memang buat hidup aku jadi lain tapi aku diam aje. Aku tak tanya dia. Aku nak tengok setakat mana dia nak main wayang dengan aku. Duduk kat rumah pun perangai dia lain macam. Masuk dalam bilik air lama-lama. Siap bawak handphone dalam bilik air. Macam takut aku nak ambil menatang tu kalau dia dalam bilik mandi atau dia tengah buat urusan alam. Ingat aku ni kaki intip aktiviti dia dalam telefon dia ke? Orang kalau dah buat dosa kat belakang memang akan rasa macam tu kan. Rasa takut. Rasa tak selamat.
“I minta maaf.”
Aku tak angkat muka pun pandang dia. Kalau aku pandang muka dia sekarang aku memang akan bangun pergi dekat dia dan terus ludah muka dia nanti tapi aku tak mahu jadi isteri yang emosi macam tu. Aku takkan benarkan diri aku nampak murah depan Zainal. Apa yang lebih penting aku sedang berkira-kira dalam kepala tentang apa yang Zainal cakap tadi. Aku kena buat sesuatu. Aku memang kena buat sesuatu. Aku ada hak atas hidup aku.
“Zira…”
Aku masih jadi cendana kat sofa. Dari ekor mata aku nampak Zainal bangun dari sofa yang dia duduk dan datang ke sofa yang aku duduk. Zainal duduk depan aku. Lebih tepat duduk atas meja kayu jati depan aku. Tangan aku Zainal capai. Aku tarik dan kunci atas riba. Aku angkat mata. Aku pandang dia yang memang sedang renung aku.
“Jangan nak pegang-pegang tangan I lepas you sedap-sedap pegang perempuan lain.” Mulut aku buka lepas diam lama. Aku tengok Zainal raup muka bersalah. Mungkin dia tak sangka aku cakap macam tu. Aku tak peduli. Aku memang jijik dengan dia lepas apa yang dah dia lakukan di belakang aku. Badan aku sandar ke belakang. Dua tangan aku simpul ke dada.
“I tahu I berdosa pada you. Maafkan I.”
Senangnya lelaki minta maaf. Senang sungguh!
“Tapi…I tak mampu nak elak dia, Zira.”
Dah dua-dua sama-sama gatal, nak elak macam mana.

Hati Ini Pilih Kamu


PROLOG
Pandangan kosong aku hala ke langit. Sekosong fikiran aku saat ini. Terik matahari yang membahang memercikkan titis peluh di dahi. Tapak tangan aku lap ke dahi. Aku pusing ke belakang semula. Bangunan kaku yang baru aku tinggalkan sebentar tadi aku pandang buat kali terakhir. Bangunan yang baru sahaja menghadiahkan status baru untuk aku sandang dan bawa selepas ini. Status panas bagi seorang perempuan. Juga buat perempuan-perempuan yang memandang. Aku hela nafas dalam-dalam. Aku takkan jejak lagi ke sini. Cukuplah sekali aku cemarkan kaki aku ke sini semata-mata menuntut sebuah keadilan buat diri aku.
Langkah kaki aku atur ke perhentian teksi. Aku kena balik semula ke pejabat. Aku cuma ambil cuti separuh hari sahaja hari ini sebab kata peguam yang uruskan kes aku kalau dua-dua pihak bersetuju kes boleh selesai cepat.
Ya. Aku memang nak selesai cepat urusan ini. Aku dah tak mampu nak tanggung lagi beban yang makin lama makin menekan seluruh jiwa raga. Aku bukan patung. Aku manusia. Aku ada perasaan. Aku ada mata. Ada telinga. Aku tak boleh nak buta dan tulikan apa yang aku nampak dan dengar. Dan aku bukan bodoh. Bukan dungu. Aku cuma mahu hak aku. Hak untuk hidup bahagia macam perempuan lain.
Aku labuhkan duduk di perhentian teksi. Muka kembali basah dengan peluh. Aku raup tapak tangan ke muka. Baju kurung hitam yang aku sarung pun dah rasa basah di bahagian belakang. Rasa yang melekit di tubuh. Tapak tangan akau kipas-kipas ke muka. Rasa berangin sikit. Kurang sikit bahang panas yang membakar. Tas tangan yang tersandang di bahu aku bawa ke riba. Aku buka dan seluk tangan ke dalam. Mencari telefon. Aku nak telefon Zai, kawan yang duduk di meja hadapan aku. Kalau-kalau aku terlambat sikit masuk, mintak dia tolong coverkan. Telefon asal negara Korea yang sudah lebih 7 tahun aku pakai aku lekap ke telinga lepas aku tekan nombor telefon Zai.
“Beb..”
“Dah selesai ke?” Zai kat talian sana terus tanya aku. Memang dia tahu aktiviti aku pagi ini. Dan dia memang tahu segala-galanya yang dah terjadi. Aku memang cerita kat dia sorang aje sebab aku percaya dia boleh simpan rahsia. Dia bukan spesies mulut ada kiri kanan depan belakang.
“Dah.” Aku tutur perlahan. Macam ada rasa sebak yang menepuk dada. Sedih ke aku?
“Beb..Kau okey ke?” Zai memang kawan yang prihatin. Mungkin dia boleh teka dari bunyi suara aku yang perlahan dan bergaul dengan desir sayu. Dia yang tua lapan tahun dari aku dan sudah berkahwin selama sepuluh tahun. Dia bernasib baik dapat suami yang baik. Yang penyayang. Bukan macam aku.
Pertanyaan Zai aku sendiri tak tahu nak jawab macam mana. Fikiran aku memang kosong sekarang. Macam langit yang terbentang kat atas sana. Putih.
“Okey kut. Kau janganlah risau sangat pasal aku. Aku kena terima semua ni, Zai. Takdir aku dah tertulis macam ni.”
Zai diam. Aku pun diam. Suasana sunyi tiba-tiba.
“Beb..kau tolong cover kalau aku lambat sampai office. Mana tau kut nanti boss tanya apasal aku lambat. Aku tunggu teksi ni. Harap cepat dapat.”Aku pecahkan suasana sunyi antara kami. Aku tak nak Zai terus risau pasal aku. Terus bimbangkan keadaan diri aku. Dah banyak sangat dia tolong aku selama ini. Masa…duit. Naik segan aku dengan dia. Nasib baik suami Zai, Abang Jazli baik dan faham keadaan aku. Aku pandang ke jalanraya. Tak ada sebijik pun teksi yang muncul.
“No hal la. Lagipun boss kan tahu kau pergi mana.” Iya tak iya jugak. Aku lupa pulak yang aku dah beritahu Jimmy semalam pasal urusan aku di sini. Jimmy angguk dan tak tanya apa-apa. Dia senyum kecil aje. Aku tahu Jimmy tak nak aku sedih. 

“Okey, beb. Nanti kita sambung cerita kat office. Aku nak off handphone ni. Bateri dah nazak. Aku lupa charge semalam. Assalamualaikum.” Usai dengan Zai jawab salam aku, telefon terus aku off kan. Aku seluk tangan ke dalam tas tangan nak masukkan telefon sambil mata pandang ke jalanraya. Tiba-tiba aku nampak cincin yang Zainal campakkan pada aku tadi jatuh ke bawah dan bergolek laju ke depan. Aku bangkit dan mengejar.

“Pin!!!!!!!!!!!!!!!!”

“Bummm!!!!!”

“Allah.”

Thursday, March 16, 2017

DaYanG

“Hoi!!!!!!!!!!!”
Liya humban jerit nyaring. Mata membuntang lihat apa yang terhidang di depan sana. Liya nampak Dayang yang terbaring di atas tanah dengan dua tangan memaut perut. Sah-sah itu kerja tiga makhuk jahanam tu. Liya bukan tak tahu mereka memang benci sangat pada Dayang sejak dari masa berkawan dengan arwah Azhar lagi. Celaka punya manusia! Hati panas Liya dah menyumpah. Gigi diketap. Mata Liya merah menahan marah pandang Dayang yang terlentang menahan kesakitan. Dah la Dayang tu dalam tempoh berpantang lagi. Memang dasar manusia tak ada hati perut. Dua tangan digenggam kuat.
Aziah, Azma dan Puan Jiyah hala ke arah belakang serentak. Mencari suara yang menjerit. Azma lempar cebik nampak Liya. Aziah ikut tayang senyum sinis. Dia kenal susuk tubuh itu. Itu sekutu perempuan legam ni la. Tuii! Dihumban ludah ke tanah Dayang terbaring. Liya berlari deras dan melompat. Ketiga-tiga beranak tersentak. Terkejut. Liya tayang riak bengis. Tangan kanan dihunus ke arah mereka.
“Kau orang anak beranak ni memang binatang!”
“Kurang ajar ek mulut kau, celaka!” Azma membalas berani. Tubuh melintang ke depan.
Liya mara. “Kau tu yang kurang ajar, setan!” Serentak dua tangan Liya menolak kuat tubuh Azma. Terduduk Azma ke tanah. Aziah terkejut dengan tindakan Liya. Cuba membalas. Tangan diterjah ke depan. Mahu menampar Liya. “Hey celaka! Dah la hodoh. Perangai pun hodoh sama!” Liya lebih bersedia. Direntap tangan Aziah dan ditolak sekuat hati. Tersembam Aziah ke tanah. Jatuh di sebelah dan menimpa tubuh Azma. Puan Jiyah yang memandang membeliakkan mata. Terkejut.
“Aduh! Sakit la aku, long! Tepilah!!!!!” Azma tolak kuat tubuh Aziah. Muka berkerut menahan sakit. Hati menyumpah-nyumpah.
“Celaka ni yang tolak akulah, bodoh.” Tangan Aziah tolak Azma balik. Marah dengan tindakan Azma yang menolak kuat tubuhnya. Puan Jiyah bercekak pinggang pandang Liya. Telunjuk dituju pada Liya.
“Kau ni…”
“Haa…aku apa?! Cakaplah kalau berani!” Liya ikut cekak pinggang. Puan Jiyah terkumat-kamit memaki dalam diam. Nak cakap depan-depan memang dia tak berani bila dah tengok apa yang jadi pada Azma dan Aziah. Karang dia pulak yang mencium tanah.
“Kau pun nak rasa cium tanah kubur ke, perempuan tua?” Liya baling renung tajam. Puan Jiyah ketap gigi. Celaka betul budak ni! Macam tau-tau aje apa yang ada dalam kepala otak aku ni. Dihempas nafas tak puas hati seraya menjeling pada Liya.  Takut jugak kalau benar-benar Liya akan menolaknya. Dia sudahlah tidak kuat lagi. Kalau jatuh nanti mahu sakit-sakit badannya.  Dah tua-tua ni bila sakit memang lambat nak baik. Merungut pulak Aziah nanti kena jaga dia. Tubuh diterpa pada Azma dan Aziah yang terduduk di tanah.
“Sakit ke?” Disapu-sapu tubuh kedua-duanya.
“Mestilah sakit. Apa bodoh soklan mak ni.” Aziah tepis tangan Puan Jiyah.  Azma baling jeling. “Bodoh betul! Dah jatuh memanglah sakit. Takkan sedap pulak!” Puan Jiyah terkulat-kulat. Liya lempar senyum sinis. Padan muka!
 Dayang cuba bangkit. Rose yang sudah sampai laju menerpa ke arah Dayang. Dipapah tubuh lemah Dayang. Liya ikut membongkokkan tubuh. Tubuh Dayang diangkat. Rose paut bahu kanan Dayang.
“Kita pergi hospital dulu ye. Check. Aku risau kau bentan. Lama nak baik nanti.”  Azma dan Aziah yang mendengar dan memandang lempar cebikan. “Mampus lagi baik!” Dayang dan Rose saling memandang. Rose cuba bangun. Mahu melawan. Dayang tarik tangan Rose. Kepala menggeleng. Mata dikerdip. Menghalang. Rose lepas nafas. Suka sangat mengalah la kau ni, Dayang. Tu pasal dorang berani. Liya laju tegakkan tubuh. Merapatkan langkah pada Azma dan Aziah.
“Kau semua tu yang patut mampus, celaka!!” Liya lontar jerit. Memanah tajam pada kedua-duanya. Puan Jiyah ketap bibir. Setan punya budak. Maki yang cuma bergema dalam hati. Tidak berani diluahkan. Bimbang dengan tindakan balas Liya.
Rose elus wajah Dayang.
“Kita pergi hospital ye.”
“Tak payahlah. Aku tak ada apa-apa. Sakit sikit aje. Rehat aje kat rumah nanti okeylah.” Suara perlahan Dayang membalas. Rose geleng kepala. “Mana boleh camtu, Dayang.”
“Okey la sangat kau tu. Kau jatuh tau tak? Kau ingat kau tu badang ke?” Liya lempar renung tajam.  Rose ikut mengangguk.
“Haah, Dayang. Jatuh kan. Bahaya tu. Luka pembedahan tu pun belum baik lagi. Kau tu dahlah dalam pantang lagi. Kita pergi hospital ye.” Rose cuba pujuk Dayang.
“Dah. Jangan banyak cakap. Jom pergi hospital.” Liya keluar suara veto. Dayang terdiam. Bahu kiri Dayang disauk.  Dayang pusing pandang Aziah, Azma dan Puan Jiyah.
“Mak…kak long…kak ngah....Hajar minta maaf.” Dayang pusing pandang Liya. Tahu yang ketiga-tiganya pasti marahkan perbuatan Liya. Ketiga-tiganya hala pandangan tajam bergaul sakit hati. Sakit hati dengan apa yang telah dilakukan Liya pada mereka.
“Aku bukan mak kaulah, bodoh!” Puan Jiyah lempar jerit.
“Berhambus! Jangan kau pijak lagi kaki sial jijik kau tu ke sini.” Aziah bangkit melempar maki. Azma ikut bangkit.
“Kak long…”
“Dah. Mari balik. Jangan kau layan setan bertanduk tiga ekor ni. Orang-orang dalam kubur ni pun meluat tengok muka dorang. Aku lagilah nak muntah.”
“Hooi!”
“Apa?!” Liya jegilkan mata.
“Aku nampak muka kau orang jejak kawasan kubur ni lagi…jaga!”
“Kau ingat kawasan kubur ni bapak kau punya ke?”
“Kurang ajar punya perempuan hodoh!!!!!”
“Kau tu yang kurang ajar la, perempuan puaka.” Liya tak mahu mengalah. Panas hatinya dengan kata-kata Aziah.
“Kau tu yang puaka la setan.” Azma lempar provokasi balas. Liya sudah mendepa. Dayang pegang kuat tangan Liya. Menghalang.

“Jom kita balik.” Dayang bersuara perlahan sambil terus tarik tangan Liya. Tidak mahu makin marak nanti perang mulut Liya dengan kedua-dua kakak iparnya. Rose tepuk bahu Liya. ”Dah la. Jangan layan. Nanti kau pun sama mentel empat suku macam dorang.”  Liya hempas dengus sambil hunus telunjuk tajam pada ketiga-tiga. Jaga korang! Dayang terus tarik tangan Liya. Langkah diatur ke depan. Dayang sempat kerling pada kubur Azhar. Har…Hajar balik dulu ye. Nanti Hajar datang lagi lawat Har. Har rehat ye. Assalamualaikum.

Wednesday, March 15, 2017

DaYanG


Puan Atifah hulur mug berisi susu panas pada Rais yang duduk di ruang tamu. Mata dihumban ke skrin tv. Hmmm. Dah berita lewat malam.

“Terima kasih, ma.” Disambut mug yang dihulurkan mama. Mata kembali ke skrin tv. Rais bawa mug dibawa bibir. Dicicip perlahan-lahan. Usai makan malam tadi dan selepas bantu mamanya berkemas di dapur Rais terus ke ruang tamu. Sudah jadi kebiasaanya menonton berita lewat malam sebelum masuk tidur.

“Sama.” Dilabuhkan duduk di sebelah anak sulungnya ini. Rais dilirik.

“Rais..”

“Ya, ma.” Mug yang ditarik dari bibir dipegang sambil mata melirik pada mama di sebelah.

“Dah dapat orangnya?”

Rais lepas deheman kecil. Tahu makna pertanyaan mama. Bukan tidak diusahakan. Merata sudah dirisik khabar. Habis semua teman-teman di media sosial dirisik sama. Ditebalkan muka memohon pertolongan kalau-kalau ada kalangan mereka punya isteri yang boleh membantunya. Namun tiada rezeki untuk Muqri.

“Belum lagi, ma. Kawan-kawan di pejabat pun sedang tolong tanya-tanyakan. Harap-harap dapat orangnya, ma.” Diletakkan mug di tangan ke atas meja kayu di depan.

Puan Atifah hela nafas gusar.

“Minggu depan Liya dan bertolak semula ke Kuching. Dia nak mula mengajar dah. Kamu tahu kan?” Rais angguk. Dia tahu tentang itu. Liya sudah memaklumkan padanya. Liya sepupunya itu yang seminggu awal melahirkan anak sebelum Ismail Muqri dilahirkan. Liya yang menjadi ibu susuan anaknya itu sejak dilahirkan. Dan minggu depan Liya harus pulang ke Kuching untuk memulakan semula tugas perguruannya.

“Kau kena cepat cari orangnya, Rais. Kesian aku kat anak kau tu. Kau pun fahamkan keadaan aku. Kalaulah aku boleh tolong.” Suara Liya terdengar-dengar lagi di cuping.

"Aku faham, Liya. Terima kasih. Kau dah banyak tolong aku. Tak terbalas aku budi kau pada aku dan anak aku."

Puan Atifah pandang ke tingkat atas.

“Kamu kena cepat cari, Rais. Kesian cucu mama tu.” Rais ikut memandang ke tingkat atas. Hela nafas terhempas.

Mana papa nak cari ni, Muqri?

Tolonglah papa.

DaYanG



“Ma..” Kepala Rais menjenguk ke dapur. Tadi masa dia masuk ke dalam rumah Rais tak nampak mama di ruang tamu seperti biasa. Kaki laju hala ke dapur bila hidung tercium bau yang menusuk rongga.

“Ha. Dah balik kamu?” Puan Atifah yang sedang menyendukkan sambal tumis sotong ke dalam mangkuk menoleh ke pintu. Rais angguk membalas teguran mamanya. 

“Pergilah naik mandi dulu. Kamu dah solat?” Puan Atifah bawa mangkuk sambal tumis sotong ke meja.

“Dah ma. Kat office tadi.” Kaki menapak mendekati mama. Didekatkan wajah ke mangkuk sambal tumis sotong yang sudah mendarat ke atas meja. Fuhh. Sedapnya.

“Lapar, ma.” Rais gosok perut.

“Pergilah mandi dulu. Mama tunggu kamu. Kita makan sama-sama.” Rais paut bahu Puan Atifah. Bibir tarik senyum.

“Okey, ma.” Kaki menapak keluar dari ruang dapur. Tangga ke tingkat atas di tuju.

Rais tolak pintu bilik. Kaki diatur perlahan-lahan. Katil kecil di sebelah katilnya dihampiri. Mata bercahaya menatap si kecil yang pulas dibalut lena. Bibir ukir senyum. Ditundukkan kepala. Pipi mulus Ismail Muqri dicium. Ditarik bibir dari pipi gebu si kecil.

“Selamat malam anak papa.”

Jari menyentuh lagi pipi mulus si kecil. Masih belum puas menatap. Lama direnung tubuh kecil yang tenang dibuai mimpi. Rais betulkan selimut biru laut yang membalut tubuh anaknya. Kaki bergerak ke katil. Dilabuhkan duduk. Tangan dibawa ke dada. Butang kemeja yang membalut tubuh dibuka satu-persatu. Lelah nafas penat dilepaskan. Mata yang melata memandang ruang bilik tidur terhenti pada frame gambar yang tersangkut di dinding. Kornea berlabuh lama pada seraut wajah di frame.

“Kalau Ain pergi du..” Tangan Ain digenggam kemas. Jari tutup bibir isterinya.

“Jangan cakap macam tu. Ain akan selamat. Anak kita juga akan selamat.” Jarinya dipaut dan digenggam erat tangan halus Ain Maisarah. Dicium.

“Ajal maut kita tak tahu, Rais. Ain takut tak sempat cakap pada Rais.”

“Ain tak boleh tinggalkan Rais.” Tangan Rais digenggam. Dibawa ke dada Ain.

“Janji dengan Ain, Rais. Janji Rais akan teruskan hidup dengan bahagia kalau Ain dah tak ada. Janji Rais akan bahagiakan anak kita.”

“Ain akan selamat. Rais tahu Ain dan anak kita akan selamat.”

Tangan paut bibir. Mata basah tiba-tiba. Senyum manis Ain Maisarah di frame melekap di mata.

DaYanG


“Tu tu teksi tadi.” Telunjuk Liya bergoyang menghala ke depan. Rose yang memandu ikut memandang. “Berhenti, Rose. Aku pergi tanya teksi tu jap.” Serentak Kancil kuning yang dipandu Rose menghala ke kiri jalan. Liya laju buka pintu dan berlari ke tengah jalan yang lengang. Dua tangan diangkat ke atas dan digoyangkan ke kiri dan kanan.
Teksi yang berhenti pantas diterpa. Pemandu lelaki separuh abad yang berkopiah putih didekati.
“Assalamualaikum, pakcik.”
“Walaaikumsalam.”
“Pakcik, saya nak tanya ni.”
“Tanya apa?” Riak cuak di muka pemandu teksi jelas di mata Liya. Aku salah soalan ke?
“Perempuan yang naik teksi pakcik dari hospital tadi turun kat mana?” Liya nampak muka pemandu teksi itu berkerut. Siap pandang dia atas bawah pastu tenung muka Liya balik. Aku agak dah. Mementanglah muka aku ni muka tak siap.
“Saya ni memang muka buruk tapi saya bukan orang jahat, pakcik.”
“Pakcik tak cakap apa-apapun.” Tahu pulak rasa bersalah orang tua ni.
“Dah tu, pakcik pandang saya semacam aje. Atas bawah pandang saya. Tenung muka saya macam ada melekat pistol kat muka saya ni. Terasa tau saya, pakcik. Tak geng la macam tu pakcik.”
“Yelah. Pakcik minta maaf kalau kamu terasa.”
“Macam tu baru geng, pakcik." Liya pamer sengih.
" Saya Liya, kawan perempuan yang naik teksi pakcik tadi tu. Tu yang dalam Kancil kuning tu…” Muncung dan telunjuk Liya serentak hala ke seberang jalan. “Kawan dia juga. Rose. Kami cari dia pakcik. Dia tu baru aje lepas bersalin tiga minggu lepas. Lepas tu baru keluar hospital hari ini sebab dia kemalangan masa hari dia bersalin. Kami risau sangat ni, pakcik. Karang dia jatuh ke, tak ke naya. Dah la sensorang senja-senja ni.”
“Dia turun kat kawasan perkuburan. Tak jauh dari sini.”
Aku dah agak dah. Kau ni memang degil lah, Dayang!
“Okey, pakcik. Terima kasih. Saya akan bergegas ke sana. Assalamualaikum.” Liya tayang sengih sambil angkat tangan. Teksi yang ditahan bergerak meninggalkan Liya. Laju Liya berlari ke arah Kancil kuning. Pintu dicapai. Tubuh melolos masuk. Pintu ditarik.
“Jalan ke depan cepat, Rose.” Rose pusing stereng.
“Mana Dayang?”
“Kubur Azhar.” Rose pandang Liya.
“Apasal kau pandang aku?” Liya tunjuk stereng. “Cepat jalan. Dah nak maghrib ni.”
“Liya..”
“Apa dia..” Mata Liya fokus ke depan. Kepala tengah fikir macam-macam pasal Dayang. Orang cakap jangan pergi dulu, dia pergi jugak. Degil!
“Liya..” Suara Rose yang lain macam nadanya buat Liya pusing kepala.
“Apa?”
“Kubur.” Rose tayang muka tak berdarah. Liya tepuk dahi.
“Ekeleh dia ni. Kubur pun takut. Kau mati nanti masuk kubur jugak bengong. Dah cepat!” Liya buntangkan mata. Rose muncung bibir. Cakap macam tu pun nak marah. Memang mak tiri Snow White betul dia ni.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...