Wednesday, May 31, 2017

Kau Yang Satu

“Buat apa tuuu, grandma to be…” Jeffrey leret suara sambal jenguk kepala di sebelah Asma. Bukan dia tak tahu apa yang isterinya sedang buat. Dari luar dapur tadi hidung dah terbau haruman rendang. Sengaja ditanya. Mahu mengusik sebenarnya. Asma kalih pandang sebelah sambil hulur cebik.
“Tengah jemur tilam ler atukkkk.”
“Oooo.” Panjang muncung Jeffrey. “Jemur tilam dalam kuali ke grandma to be? Formula baru ni. Kena beli banyak kuali la kan. Mahu licin kuali di pasaran kena borong dengan orang tu.” Asma laju hala siku ke rusuk suaminya.
“Ada yang masuk dalam kuali rendang ni karang.”
Terkekeh ketawa Jeffrey. Tangan memaut erat bahu Asma. Hela nafas ditelan. Bau rendang ayam yang diminta Sarah menusuk rongga. Siap diminta buat banyak. Nanti boelh makan banyak kali sebelum balik ke Melbourne. Air tangan isterinya ini sentiasa yang terbaik. Dan dia benar-benar bersyukur dianugerahkan wanita istimewa ini dalam hidup.
“Atuk…” Asma tepuk lengan Jeffrey. “…please help me to get that puding leaf.” Asma tunjuk daun puding yang terletak dalam tapis di tepi sinki. Jeffrey pantas ke sinki. Dicapai tapis plastik dan dihulurkan pada Asma. “Here your’re. The secret ingredient to your marvelous chicken rendang.”
“Thank you, atuk.” Asma layang sengih. Jeffrey balas sengih Asma.
Atuk.
I hate that word.
Daun puding selamat diterjunkan Asma ke dalam kuali. Tangan lincah mengacau rendang yang sudah bergaul dengan daun puding yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga. Terbayang senyum Sarah bila makan nanti.
“Yang…”
“Hurm.”
“Nak minta tolong boleh tak?”
“Name it Mister Chairman.”
“Jangan panggil I atuk boleh tak? Bunyi macam bongkok tiga aje. I ni hot lagi tau. Hot grandpa.” Asma ketawa kecil. Hot grandpa la sangat.
“Jangan ketawa, Yang. Fact okay. Anak-anak dara pun toleh berkali-kali kalau nampak I.” Mula dah dia.
“You need to know an important fact about man, Yang.”Asma angguk. “Okay. Say it Mister Chairman.” Tangan putar suis dapur. Tangan capai mangkuk kaca yang diletakkan di tepi dapur tadi. “Lelaki ni bila makin berusia, nilai dia makin mahal di mata perempuan. Especial a gentleman like me. Priceless.” Asma jongket kening pandang Jeffrey.
“Really?”
“Of course, dear. Hottest chairman in town. ” Jeffrey siap pegang dagu dan dipusing ke kiri dan kanan.Reaksi yang mengundang batuk kecil Asma.
“Gelinya telinga.”
“Eleh geli kunun. Tapi peluk kita tiap malam tak lepas-lepas tu tak geli.”
“Abang..” Asma humban sengih.
“Ya, Yang…” Jeffrey ikut baling sengih.
“Nak rasa rendang manusia tak? Sedap tau. Lagi-lagi daging Mister Chairman Jeffrey Iskandar. Manusia yang hot sangatttt tu.” Asma leret suara.
Berderai ketawa Jeffrey.
#AsmaJeffrey
#KauYangSatu

Tuesday, May 30, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku lambai tangan pada Zai dan Abang Jazli yang hantar aku balik. Kalau boleh aku memang tak mahu nak menyusahkan mereka berdua. Bukannya aku tak bersungguh menolak, tapi Zai dan suaminya beria benar tadi. Sampai aku tak tahu nak kata apa. Abang Jazli cakap waktu dalam kereta tadi yang aku ni dah macam adik dia. Susah aku, susahlah dia. Setakat mana dia boleh tolong, dia akan tolong. Zai pulak kata, kalau aku anggap dia kawan baik, tolong jangan tolak pertolongan dia. Dia rasa bersalah kalau tak tolong sedangkan dia mampu. Panas kolam mata dengar kata kedua-duanya. Segan, malu dan sedih pada nasib diri hanya Tuhan yang tahu.
Aku masih tegak macam patung di depan pintu pagar yang ternganga. Mata pandang kereta Saga biru yang berdenyut meninggalkan kawasan rumah. Dalam hati ada sebak yang menguis. Orang luar lebih ambil berat hal aku dari suami sendiri.
Suami.
Rasa berpasir liur yang aku telan bila perkataan itu singgah di rengkung. Aku toleh ke halaman yang sepi. Kereta mewah Zainal sudah terparkir tanda dia ada di dalam rumah. Kaki melangkah masuk melepasi pitnu pagar. Seiring juga ingatan kembali pada apa yang berlaku pagi tadi. Aku nampak Zainal berdiri di sisi pintu kereta. Dia nampak aku di pintu menyarung kasut untuk ke pejabat. Zainal lempar renungan tajam sebelum melolos masuk ke dalam perut kereta dan meninggalkan aku. Langsung tak pelawa aku. Aku tertanya-tanya sendiri. Aku ada buat salah ke? Malam tadi reaksi dan suara dia macam rasa bersalah sebab aku balik sendiri lepas jumpa kak long. Kenapa pagi rasa itu terus berubah?
Aku terasa hati sangat dengan tingkah Zainal. Dan rasa jauh hati itu terheret sepanjang perjalanan ke pejabat. Mata masih terbayang-bayang Zainal hempas pintu kereta dan menekan enjin kereta meninggalkan aku yang terpinga-pinga di halaman. Akal jahat aku tidak dapat menolak reaksi Zainal tadi ada kaitan dengan kak long. Kak long dah cakap apa pada Zainal? Aku putar tombol pintu utama usai beri salam. Pintu aku tutup semula dan berpusing ke depan. Aku terus heret kaki untuk ke atas.
“Zira..”
Spontan kepala aku terpusing ke arah ruang tamu. Zainal sedang duduk bersilang kaki dan tangan. Menghumban renung tajam. Kepalanya bergerak sedikit. Beri isyarat.
“Sini. I need to talk to you.”
Aku diam. Nafas aku telan dalam-dalam. Hati aku rasa tak sedap tapi aku tetap akur dengan arahan veto Zainal. Kaki bertukar kompas. Berputar ke ruang tamu. Langkah perlahan aku atur. Zainal masih merenung tajam. Aku duduk di sofa setentang. Dia masih terus merenung dalam bisu. Wajah ketatnya terpamer jelas. Aku tahu ada yang tak kena. Lima tahun hidup sebumbung dengan lelaki ini aku kenal benar perangainya. Aku letak tas tangan di sebelah. Renung Zainal aku balas tenang.
“I dah duduk. Cakaplah.”
Aku nampak Zainal macam menahan marah. Rahangnya bergerak-gerak. Dua tangan yang memaut tubuh tadi sudah terlerai dan digenggam kemas. Macam nak bertumbuk aje aku tengok. Dia nak tumbuk aku ke?
“Apa yang you cakap dengan kak long semalam?” Zainal tekan suara. Sedikit tinggi. Seketika aku diam. Tak jawab pertanyaan dia. Seperti yang aku duga, memang kak long punca riak dan perangai Zainal berubah 360 darjah dari malam tadi. Aku pandang muka Zainal. Dan diam aku rupanya buat dia letuskan amarah yang tadinya terpamer pada riak wajah.
“Jawab!!!”
Halilintar suara Zainal bergema. Memecah sunyi ruang tamu yang bisu. Aku terkejut. Mata terkelip-kelip. Bibir ikut terjeda dek terperanjat. Zainal tak pernah memetir begini. Apa yang dah kak long cakap pada dia? Aku rasa ada perkara tak betul yang kak long cakapkan pada Zainal tentang pertemuan kami semalam. Dan sebab itu Zainal tinggi suara. Aku tiba-tiba jadi sakit hati. Kalau kak long ada kat depan aku sekarang ni memang aku tanyakan apa yang dia dah cakap pada Zainal pasal hal semalam. Aku tak nak tuduh, tapi aku yakin kak long fitnah aku pasal hal semalam. Tak apa. Aku nak tahu apa yang kak long cakap.
“Cakap apa yang you maksudkan?” Aku tayang muka berani. Terkejut dan terperanjat tadi hilang dek rasa sakit hati yang menumbuk-numbuk dada.
“You jangan nak pura-pura, Zira!!!”
“Pura-pura apa!!!” Suara aku pulak sama naik. Marah pulak aku dituduh macam tu. Siapa yang pura-pura? Aku ke atau kak long kesayangan dia? Zainal hala telunjuk. Tepat ke muka aku. Aku langsung tak beriak. Lantaklah kalau dia nak kata aku tak hormat dia sebagai suami. Dia yang dulu tunjuk rasa tak hormat pada aku.
“Betul cakap kak long. You memang kurang ajar. Sekarang I tengok perangai sebenar you. Mak I pun dah tertipu dengan lakonan you.”
Aku dah agak dah. Kak long memang boleh menang award best actress. Antara benar aku dan bohong kak long tentu bohong kak long lagi Zainal percaya. Lagi menyakinkan dia tapi aku tak peduli.
"I tak ada bukti tapi I ada saksi. Tuhan." Aku pandang muka ketat Zainal.Muka tak puas hati. Muka sakit hati. Muka nak makan orang pun ada.
"Jangan nak guna nama Tuhan untuk tutup salah you, Zira. Admit it. You memang kurang ajar dengan kak long. Sanggup you tinggikan suara pada kak long. Caci I dan Janice. Janice tak pernah salah pada you. Tak perlu nak caci maki orang. Adab you selama ni yang mak I banggakan tu mana? Atau you memang pura-pura tunjuk baik depan I dan keluarga selama ini?"
Zainal humban perli. Aku senyum sinis. Hebat kau, kak long. Tapi…kau jangan lupa, lidah hebat kau tu akan dikunci di sana nanti. Biar mata dan seluruh anggota kau yang lain jadi saksi atas apa yang kau dah cakap pada Zainal tentang hal semalam. Zainal yang masih menunggu pengakuan bersalah aku jamah tanpa rasa takut.
“Betul I kurang ajar?” Aku tanya Zainal. Aku nak dia faham isyarat aku yang dia tidak adil pada aku sekarang sebab hanya dengar cakap kak long. Dia tak beri telinga dia peluang dengar cerita dari pihak aku.
“Memang you kurang ajar pada kak long!” Zainal humban suara keras. Aku angguk kepala. Dia dah jatuhkan hukuman sedangkan aku tak berpeluang bela diri.
"I kurang ajar...atau dia yang terlebih diajar?"
"Zira!"
“I kurang ajar bila orang yang lebih tua kurang ajar dengan I. Cerca maruah I. Caci diri I. Tanya kak long you apa yang dia cakap pada I.”
Aku bangun dari duduk. Tas tangan aku capai. Bukan niat nak kurang ajar pada Zainal, tapi aku rasa tak ada guna aku bertikam lidah pada perkara yang aku awal-awal dah dijatuhkan hukuman. Dan Zainal memang tidak mampu berlaku adil.
“Duduk! I belum habis lagi dengan you, Zira.”
“It’s done, Zainal. I’ve nothing more to say.” Aku bergerak mengatur kaki. Zainal pantas bangkit dan mencapai lengan kiri aku. Dicengkam kuat.
“I masih suami you, Zira. Hormat you mana pada I?”
Aku renung mata Zainal. “Hormat?” Aku layang senyum sinis. Kata-kata pedih kak long terngiang kembali di cuping. Aku tekan telunjuk ke dada bidang Zainal.
“You hormat I sebagai isteri you, Zainal?” Aku nampak muka Zainal tak beriak. Aku kulum senyum. “Tanya diri you…suami apa you ni yang sanggup kata isteri dia perempuan mandul. Suami apa you ni yang sanggup buka aib isteri sendiri? Suami apa you ni, Zainal?!” Aku tekan kuat lagi telunjuk.
“Zira! Jangan nak tuduh I yang bukan-bukan.”
“Tanya kak long you!!!”
“Jangan nak fitnah kak long!!!” Sebak menampar-nampar dinding hati bila diherdik Zainal tanpa belas. Kak long tetap benar di mata dan hati dia. Aku ketap bibir. Mata kami terus bersabung. Aku terus pandang Zainal.
“Terpulang pada you. You dah anggap I bersalah. Apa lagi yang I ada.”
“I dah buat keputusan tentang you dalam hidup I.” Zainal lepaskan cengkaman tangannya pada lengan aku.
Aku angguk. Macam tunggu hukuman mati. Tahu apa yang bakal aku terima.
“I tak boleh nak terima lagi perempuan yang berpura-pura macam you dalam hidup I. Cukup I tertipu dengan lakonan you selama ini.” Aku lempar tatap pada Zainal. Jiwa rasa dihiris-hiris. Hati bagai dicincang lumat. Kejamnya kata-kata Zainal. Ya Allah. Kuat Zira. Kuat! Aku ketap bibir. Kornea masih di wajah Zainal.
“I rela tak bersuami dari ada suami sekeji you, Zainal.” Aku nampak Zainal humban tatapan tajam. Peduli apa aku kalau dia terasa. Memang dia lelaki keji.
“I akan lepaskan you, Zira. Kita akan jumpa di mahkamah nanti. I akan failkan permohonan perceraian esok. I akan lepaskan you secara baik, Zira. I takkan aniaya you. I masih ada rasa perikemanusiaan pada you.”
Perikemanusiaan.
Akhirnya ini noktah hubungan aku dan Zainal. Dan ini hadiah Zainal atas segala patuh dan ikhlas aku sebagai isteri selama lima tahun. Aku terbayang wajah mak dan abah. Tak tahu apa yang akan aku beritahu. Maafkan, Zira mak…abah.
“Terima kasih atas perikemanusiaan you, Zainal.” Aku lafaz suara tenang sambil menyeru kekuatan untuk aku terus berdiri di saat tubuh mahu rebah. Aku angguk kepala pandang Zainal sekali lagi sebelum heret kaki ke arah tangga. Aku pandang keliling rumah. Rasa mahu menangis tapi aku tahan. Terlalu banyak kenangan manis yang terakam di rumah ini. Mungkin hari ini hari terakhir aku berpayung di rumah milik Zainal. Esok aku sudah jadi orang asing. Aku tak berhak lagi berteduh di sini.

Wednesday, May 24, 2017

Kau Yang Satu (kompilasi istimewa)


“Dulu…lepas arwah Suhana meninggal dan lepas Duhaila tolak abang…abang rasa dunia abang ni akan berakhir berseorangan tanpa sesiapa di sisi sampai hujung nyawa. Sepi. Gelap.” Akhmal jeda seketika. Ingatan kembali pada dua wanita yang terdahulu hadir dalam hidup. Moga Suhana tenang di sana. Moga bahagia Duhaila dan keluarga tercinta akan berkekalan hingga ke taman syurga.“Tapi takdir itu maha indah sebenarnya. Dia hadirkan bintang paling terang pada langit hidup abang yang gelap. Dia datangkan Siti dalam hidup abang dan Ben. Siti macam mimpi indah abang yang hadir dalam dunia nyata. Dan sekarang bila abang tengok anak-anak membesar…ada cucu-cucu, abang rasa inilah hikmah atas segala ujian yang Dia berikan pada abang dulu.” Siti balas pautan jari-jemari Akhmal. Tahu akan kisah dua wanita yang pernah hadir dalam hati suaminya.
“Dulu…” Siti hala kornea ke langit. “…hidup Siti pun macam langit tu. Nasib tak ubah macam si Bawang Merah yang malang. Tak pernah terfikir akan datang suatu hari nanti seorang penyelamat…seorang putera kacak yang akan bawa Siti keluar dari dunia duka lara. Saluti Siti dengan permata bahagia. Hidup bahagia dalam istana cinta.” Akhmal pandang Siti. Kening diangkat rendah.
“Abang ni putera kacak ke, hurm?”
“Putera paling kacak di hati Siti.”
Ketawa kedua-duanya bertaut.
“Sayang…”
“Ya, abang.” Siti tayang mata yang bercahaya.
“Terima kasih jadi mimpi terindah dalam hidup abang.”
“Terima kasih juga sebab buat mimpi indah Siti jadi kenyataan.” Akhmal senyum. Satu kucupan singgah di dahi Siti. Ditarik tubuh kecil isterinya dalam pelukan. Tangan Siti paut kemas pinggang Akhmal. Mata kedua-duanya terus tegun menatap langit yang bergemerlapan.

Monday, May 22, 2017

KAU YANG SATU (kompilasi istimewa)

“DAH sampai pun. Rindunya mama dengan Sarah.” Asma peluk dan cium pipi gebu Maisarah.  Tangan menyentuh perut menantunya ini. “Sarah dan baby sihat?” Maisarah angguk. Mata melempar sinar bahagia.
            “Alhamdulillah. Sihat, mama.” Danish labuh tangan ke bahu Maisarah. Dipaut mesra.
            “Hai ma. Sarah dengan baby dalam perut aje ke mama rindu? Danish yang terbabas kacak ni mama tak rindu ke?”
            “Tak kuasa mama.” Asma humban cebik.
            “Sampai hati.” Bibir Danish ikut tarik cebik mengusik. “Ni yang nak merajuk. Nak balik Australia semula la. Jom, yang.” Danish mengacah tarik tangan isterinya. Maisarah tergelak. Ngada-ngada betul!
Asma cubit pipi Danish. Dilabuhkan ciuman pada kedua-dua belah pipi Danish sebelum menarik kembali bibir. “Mana boleh tak rindu pada anak mama yang paling nakal ni. Mama missed you sooo much, Mister dentist.” Danish balas cium pipi Asma.
“I missed you too, my darling mama.”
Jeffrey tersenyum tengok gelagat kedua-duanya. Bahu Danish ditepuk. “Jom..jom masuk.” Asma tarik tangan Maisarah. Danish dan Jeff angkat dua Samsonite hitam yang terdampar di depan pintu. Tombol pintu utama ditarik Jeff. Empat pasang langkah menghala ke ruang tamu utama. Asma tarik Sarah duduk di sebelah. Danish ikut melabuh duduk di sebelah Asma.
            “Sarah penat? Jauhkan travel. Kesian menantu mama ni.” Asma elus tangan halus menantunya. Maisarah geleng kepala. Melempar wajah manis. “Tak adalah mama. Sarah okey.”
            “Ha’a. Mana ada jauh mama. Sekelip mata aje dah sampai. Kami kan naik personal jet Danish. Baru je beli bulan lepas. Cash lagi.”
            “Tak habis-habis loyar buruk dia.” Asma cubit lembut lengan Danish.
            “Auchh.”Danish menyeringai.
            “Padan muka!” Sarah jelir lidah. Danish jenguk pandang Maisarah. Kening diangkat rendah.
            “Yang, jangan la jelir-jelir macam tu kat abang. Kita baru sampai ni. Biar abang lepaskan penat jap ye. Lepas tu kita masuk bilik okey.” Danish lempar kenyit. Maisarah rasa pipi membahang. Malunya pada kedua ibu mertua yang ikut memandang sambil tersenyum-senyum. Bibir diketap. Danish ni memang la tau! Danish yang nampak reaksi isterinya ingin terus mengusik. Mana sah kalau sehari tak mengusik Maisarah. Boleh hilang selera makan!

            “Ala yang. Tak payah nak tayang pipi merah tu. Buat apa nak malu-malu.  Mama dan papa faham dah. Kita kan nak meramaikan umat nabi Muhammad.” Mata bulat Maisarah dilempar pada Danish. Eeei..dia ni. Memang tak tahu malu sungguh!
#KauYang Satu
#DanishMaisarah

Hati Ini Pilih Kamu


“Dia cakap macam tu pada Kak Hana?” Janice pamer wajah terkejut. Pagi-pagi tadi dia terima panggilan dari Zainal yang beritahu akan datang menjemputnya di rumah. Tahu benar pasti ada yang tidak kena. Zainal kalau dah buat panggilan pagi-pagi dan datang jemput di rumah tentu ada perkara yang berlaku. Masak benar Janice dengan perangai kekasihnya ini. Telahannya benar bila Zainal diam sahaja sepanjang perjalanan hinggalah mereka tiba di café ini. Zainal selalu begitu. Bila hatinya dipukul sesuatu yang memberat perasaan, bibirnya akan ambil masa untuk meluahkan yang terbuku di jiwa.
Zainal angguk perlahan. Sayu suara kak long tatkala bercerita semalam masih sukar dilempar dari ingatan.
“Teruknya perangai dia. Tak hormat langsung pada orang yang lebih tua. How could she do that to Kak Hana. Pity her.” Mata masih melekap ke wajah Zainal. “Mesti Kak Hana sedih. Ni semua salah I. I yang salah sebab minta tolong Kak Hana jumpa Zira. I fikir Zira akan dengar nasihat Kak Hana. Tak sangka jadi lain. I fell so guilty, sayang.” Wajah sayu Janice singgah di mata. Zainal geleng. Pipi Janice disentuh.
“Bukan salah you. Salah I. I yang minta kak long jumpa dia. Tak jangka Zira bertindak di luar dugaan.”
Janice elus lembut lengan lelaki di sebelah. Tahu lelaki ini masih berperang dengan rasa marah. Zainal yang dia kenal selama ini bukan jenis lelaki pemarah. Lelaki ini lembut dan romantis orangnya. Ambil berat dan penyayang. Sikap yang buat dia terpaut sayang dan jatuh kasih. Dan rasa kasih yang menggunung itu buat dia tekad untuk berjuang mendapatkan lelaki ini secara mutlak. Tiada kompromi lagi dengan Zira. Janice tidak akan biarkan Zainal terus hidup dengan perempuan yang buruk perangai macam Zira. You tak layak buat dia, Zira! Nampak depan aje baik rupanya. Semalam sudah terserlah sikap buruk yang tersembunyi selama ini. Walaupun bersimpati dengan apa yang dah terjadi, Janice perlu berterima kasih pada Kak Zaihana. Peristiwa semalam pastinya makin memudahkan hasratnya dan Zainal untuk berkahwin. Zainal tidak perlu lagi rasa bersalah pada Zira. Dasar perempuan plastik!
“I memang tak boleh nak tolerate dengan orang yang tak hormat pada yang lebih tua.” Nafas halus Janice terhembus. Seketika jeda. Janice pandang keluar café. Pasangan tua yang berpimpin tangan menyapa kornea. Dikalih semula pandangan pada Zainal. “ Papa dan mama I ajar I hormat orang tua. Jangan biadap. Knowing Kak Hana, she is such a nice person. I…I…just can’t…”Janice geleng kepala. Tidak mampu menghabiskan kata-kata. Simpati dengan apa yang dah berlaku pada Kak Zaihana. Zira memang melampau!
Zainal lepas dengusan perlahan sambil geleng kepala. Kata-kata Janice buat marahnya pada Zira kembali membara. Tangan meraup wajah. Simpatinya pada wajah lesu Zira semalam hilang disapu dengan cerita pilu kak long. Simpati terus lebur dan dia langsung rasa tak bersalah membiarkan Zira ke pejabat sendiri tadi. Tidak dipelawa langsung mahu menghantar. Tak hingin! Zainal tayang muka keras tak berperasaan waktu bertembung dengan Zira yang nak keluar. Bukan dia tidak nampak raut mintak simpati Zira. Jangan harap dia nak sambut. Perempuan macam ni jangan diberi muka. Dasar penipu.
Tak sangka betul Zira boleh berkelakuan kurang ajar dengan kak long. Semalaman Zainal simpan amarah dengan segala apa yang diceritakan kak long malam tadi. Kalau ikut rasa itu yang memekat dalam hati, mahu sahaja dia seret Zira keluar dari bilik malam tadi. Mahu ditampar-tampar mulut mungil yang celupar itu. Biar berdarah. Dia tak peduli. Biar perempuan itu belajar hormat pada kak long. Dia sendiri tidak pernah tinggi suara pada kak long walau apapun keadaan. Jauh sekali mahu menjerit dan menengking. Dia sangat hormatkan kak long. Berdesing telinga dengar cerita kak long tentang kurang ajar Zira. Sungguh dia tidak boleh terima kurang ajar Zira pada kak long.
Memang niat awal dia telefon kak long mahu bertanya kenapa kak long tak hantar Zira balik seperti yang dipesan. Ada rasa tak puas hati asalnya bila lihat Zira yang sampai lewat sebab terpaksa ambil pengangkutan awam. Rasa bersalah dan kasihan saling bergaul. Sebaik salamnya disambut, terus diterjah kak long dengan pertanyaan.
“Nal nak tanya ni.”
“Tanya apa, Nal?”
“Kenapa kak long tak hantar Zira balik? Kan Nal dah pesan tadi. Kak long pun dah janji kan. Ni kak long pergi biar Zira balik sendiri apasal. Dah lewat terayap-rayap jalan sensorang. Bahaya tau tak? Kalau jadi apa-apa, siapa yang susah. Nal kan? Kenapa kak long buat macam tu pada Zira. Tak baik buat macam tu, kak long. Kesian Nal tengok dia tadi. Muka letih sangat.”
“Ya Allah, Nal. Kenapa cakap macam tu kat kak long? Tuduh kak long yang bukan-bukan.”
“Nal tak tuduh. Sebab tu Nal tanya. Nak tahu apa yang dah jadi. Nal hanya cakap apa yang Nal nampak dan dengar dari Zira.”
“Apa yang Nal nampak dan apa Zira cakap kat Nal? Cakap dengan kak long, Nal.” Suara lembut kak long menyapa. Menghalau rasa tidak puas hati yang tadinya bermaharajalela.
“Nal nampak dia sensorang depan pintu pagar. Nal tak nampak kereta kak long. Nal tanya Zira balik dengan apa. Dia cakap balik naik bas. Naik LRT. Naik bas lagi dan jalan kaki sampai ke rumah. Kak long, apa semua ni? Apa yang dah jadi tadi? Kenapa biar Zira balik sendiri?” Mahu tahu benar apa yang menyebabkan sampai Zira balik sendirian ke rumah tanpa ditemani kak long.
“Nal…dengar ni kak long nak cakap.Bukan kak long tak nak hantar. Dia yang tak mahu dihantar. Kak long ni bukan kejam. Nal kenalkan kak long macam mana. Walaupun kak long tak berapa berkenan dengan dia dari dulu, pernah ke Nal nampak kak long buat benda tak elok kat Zira selama ini? Kak long layan dia dengan baik. Nal pun tahu tu kan.
Kak long tahu kak long akan ambil masa Zira. Sebab tu kak long janji akan hantar dia balik. Kak long dah janji, memang kak long pegang. Tapi…dia berkeras tak mahu. Marah-marah.Kak long nak cakap apa. Bukan kak long tak pujuk. Dia tetap berkeras tak nak.”
“Kak long cakap apa kat dia sampai dia tolak tak nak kak long hantar? Kak long ada marah Zira ke tadi?”
“Ya Allah. Mana ada kak long marah dia, Nal. Kak long cakap baik-baik, Nal. Kan itu niat asal kita. Macam yang kita bincang kan. Macam tarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus. Tepung tak berselerak. Kak long nak sangat tengok Nal, Zira dan Janice dapat hidup baik-baik. Rukun damai.
Tapi…tak sangka dia maki kak long bila kak long beritahu niat kak long jumpa dia. Dia kutuk kak long perempuan tak sedar diri. Kata kak long macam-macam. Caci Nal dan Janice. Kak long tak sanggup nak dengar dia cakap macam tu tentang Nal. Tak sangka kak long, perangai Zira macam tu. Kita ni dah tertipu Nal. Kesian mak. Selama ni mak kena tipu hidup-hidup. Kak long memang dah rasa tak sedap hati dari dulu lagi tapi dah mak suka sangat kat dia kan. Kak long reda aje. Harap pilihan mak buat Nal tu yang terbaik walaupun jauh di hati kak long tetap kata Janice yang terbaik. Tapi Tuhan dah tayang perangai buruk Zira tadi. Kak long urut dada, Nal. Allah. Kak long terbayang muka mak. Sampai hati Zira tipu mak kita, Nal.”
Zainal hempas dengus. Geram membuak kembali. Sukar dilupa segala yang kak long katakan. You memang melampau, Zira!
“So…what is your plan, sayang?” Janice renung wajah sebelah yang masih rusuh. Zainal balas renungan Janice. Jari-jemari Janice disulam dan digenggam kemas. Kepala terbias dengan ucapan kak long malam tadi.
“Ceraikan dia, Nal. Kalau ikut marah dan sakit hati ni, kak long nak suruh Nal ceraikan dia talak tiga terus. Dia siap cabar kak long suruh cakap pada Nal. Ceraikan dia talak tiga kalau berani. Bongkak betul dia.” Zainal genggam tangan kuat. You jangan cabar I, Zira. “Dia nak sangat…biar dia kena cerai talak tiga. Biar dia tak ada peluang lagi muncul dalam hidup Nal. Kak long tak nak Nal terus hidup dengan perempuan yang pura-pura baik macam Zira tu. Tak guna Nal terus simpan perempuan jenis macam tu. Tak berbaloi. Sia-sia hidup Nal 5 tahun ni.
Pandai sungguh dia berpura-pura baik supaya Nal sayang kat dia. Tunjuk baik depan kita. Belakang kita…Tuhan aje yang tahu. Kak long sedih sangat Nal dengan sikap dia tadi. Kak long datang jumpa cara baik. Nak bincang. Tapi…macam tu dia sambut kak long. Maki hamun. Menjerit…menengking. Kata kak long macam-macam. Tapi kak long sabar. Tapi bila kata Nal…kata Janice, kak long memang tak boleh tahan. Bila kak long tegur, dia memetir hamun kak long. Mana adab sopan dia, Nal. Malu kak long ada adik ipar macam dia. Tak pernah kak long dimalukan depan orangramai. Kak long malu sangat, Nal. Tergamak Zira malukan kak long. Apa salah kak long pada dia?” Telinga Zainal masih basah dengan suara sayu kak long yang sedih dengan biadap Zira. Esakan kak long masih basah di cuping. Esak yang berganti dengan wajah lembut mak. Bait kak long terngiang semula.
Kesian mak, Nal.
Sampai hati Zira tipu mak kita, Nal.
Zainal bawa genggaman tangan Janice ke dada. Senyum Janice dibalas.
Maafkan Nal, mak.
Maafkan, Nal.

Thursday, May 18, 2017

KAU YANG SATU ( kompilasi istimewa)



Ada yang tanya saya, kak...Kau Yang Satu (KYS) ni ada berapa buku. Tak fahamlah. Cer citer sikit.

Okey. Saya citer banyak ye. Untuk yang kabur keliru, saya bagi pencerahan. KYS satu buku sahaja. Edisi Khas.  Hadiah buat pembaca yang setia menyokong saya dari zaman blog hingga ke zaman sekarang juga selama2nya....hikhikik. Ada 3 segmen dalam KYS.

1. Entri Khas
    Mengggabungkan entri2 khas dari beberapa tajuk menjadi satu cerita.
   (a) Dan Cinta Itu Menyatukan Kita Semua - Nasi Lemak Buah Bidara, Roman Cinta Kita & Dia Idaman Hati
    (b) Dan Cinta Itu Tidak Tersalah Memilih -  Lafaz Cinta Di Jari Manis, Mr Sirap Bandung & Kerana Cinta Itu Ada Saktinya
    (c) Cinta Jangan Ditunggu - Kerana Aya Sofya, Abaya Buat Ed, Akulah Perempuan Yang Kau Singkirkan & Tika Itu Inai Masih Merah
    (d) Ranumkan Cinta Ini - 13 Ros Merah & Lelaki Terpilih

2. Versi Baharu
    2 ceritera dari blog yang diberi sentuhan baharu ; Rindu Semalam & Istikharah Terakhir. Versi ini agak berlainan dari versi asal.

3. Bonus
    DAYANG. 

Specialkan KYS. So...kalau terlepas KYS, RUGI. 

Moga2 yang kabur jadi cerah, yang keliru sekarang dah tahu.

KAU YANG SATU (kompilasi istimewa)


KAU YANG SATU (kompilasi istimewa)


KAU YANG SATU (kompilasi istimewa)


“Bila nak buat kenduri tu, mama?” Filzah sambut cawan berisi kopi yang dihulurkan Ben. “Thanks, sayang.” Ben kerdip mata. Bibir siap balas dengan ucapan yang buat Filzah lebar tersenyum. Love you too, sayang. Siti capai mangkuk berisi been hoon siam yang digoreng atas permintaan si kembar Hajar dan Ismail. Cucu-cucu bertuahnya itu sudah hilang di tingkat atas. Tahu sangat ke mana perginya. Ke bilik maksu Chahnya la yang suka sangat mengumpan dengan permainan baharu.
“Mama dengan Auntie Asma rancang nak buat kenduri 12 Rabiul awal nanti. Kita dua keluarga berkumpul di sini.”
“Danish dengan Sarah ada sekali ke, mama?” Ben jadi teruja. Sejak kedua-duanya ke Australia kerana Sarah sambung ambil master, aidilfitri tahun lepas merupakan perjumpaan terakhir mereka. “Katanya balik sebab Sarah mengidam nak makan lauk kenduri. Mana nak dapat kat sana. Jenuh la Danish nak cari.” Siti senyum. Teringat akan rasa teruja Asma yang bakal menyambut cucu pertama.
“Wow.” Ben tepuk tangan. Mata melirik pada Filzah. “Dapat jugak diorang baby made in Australia, sayang."Ben ingat lagi kata-kata Danish waktu menghantar kedua-duanya di KLIA dua tahun lepas.
"Aku pergi sana bukan setakat teman mem besar aje, bro. Misi terpenting aku akan terlaksana di sana."
"Misi amende kau ni. Kau jangan nak cari pasal buat misi mengorat awek kat sana. Kau tu bukan aku tak kenal."
"Amende misi mengorat. Misi buat anak la dengan mem aku. Made in Australia. Baby..wait for papa okay. Papa is coming." Ben ketawa. Danish dan sengal memang seirama.
"Kalau dapat girl, mahunya tuan doktor perasan lelaki terhandsome di muka bumi letak nama Mirranda.”
“Itupun kalau dapat approval Sarah la, sayang.” Ben dan Filzah ketawa besar. Tahu benar obses Danish pada model cantik kelahiran Australia itu. Akhmal dan Siti ikut ketawa.

Monday, May 15, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

AKU nampak kereta BMW Zainal di garaj. Sah dia dah balik dan ada di dalam. Aku hirup nafas. Buang jauh-jauh rasa pilu di hati. Orang dah tak suka, jangan kau nak terhegeh-hegeh, Zira. Orang dah singkap kau luar dalam, jangan kau buat muka tak malu. Sedar diri! Aku raup muka. Ya, aku sedar diri. Tangan putar tombol pintu utama usai mengucap salam yang antara dengar dengan tidak di telinga. Aku kunci grill dan pintu. Telefon di tangan aku sumbat ke dalam tas tangan. Tadi, sesampai di depan pintu pagar rumah aku terus telefon Zai beritahu aku dah selamat sampai. Tak nak Zai risau. Kesian dia. Bila Zai mula soal macam-macam, aku cakap esoklah aku cerita. Aku perlu tenangkan diri sekarang. Kalau aku terus cakap bila Zai tanya tadi, pasti aku akan menangis. Silap-silap aku meraung. Aku terlalu sedih dengan kata-kata kak long tapi aku tak mahu Zai dengar suara kesedihan aku. Aku malu.
Ruang tamu dah gelap. Aku tahu Zainal di atas. Mungkin dah tidur. Atau berkurung dalam bilik. Mungkin. Kaki menapak lemah menaiki anak tangga ke tingkat atas. Aku letih dan penat sangat. Aku nak cepat masuk bilik dan hempaskan tubuh ke ranjang. Aku heret kaki ke bilik tetamu di hujung.
            “Zira.” Zainal menapak perlahan mendekati. Susuk tubuh yang membelakangkannya dihampiri. Tadi waktu menjenguk di balkoni setelah penat menunggu di dalam bilik dia nampak Zira seorang di depan pintu pagar. Tak nampak kereta kak long. Mana kak long? Bukan kak long kata akan hantar Zira balik? Bertubi-tubi soalan hinggap di kepala. Kak long yang beria-ia kata akan hantar Zira balik. Siap pesan Zainal jangan bimbang. Kak long akan hantar Zira sampai depan rumah. Tapi kenapa Zira balik sorang? Kalau ikut dari gaya isterinya itu, Zira macam balik dengan kenderaan awam. Zira naik bas?
            Telinga yang cekap hantar isyarat buat kepala berputar. Aku tegak. Hanya mata yang jadi saksi Zainal sedang berjalan mendekati. Belum tidur rupanya.
            “Baru sampai?” Tadi waktu nampak Zira di pintu pagar sempat di kerling pergelangan tangan. 11.30.
            Aku diam. Kepala angguk patung.
            “Balik dengan…”
            “Bas…LRT…bas. Jalan kaki.”
            Zainal telan liur. Bas. LRT. Bas. Jalan kaki.
Kak long.
Rasa bersalah membuak-buak.
            “Kak long tak hantar?” Cuba dicari jawapan di mata Zira. Mahu tahu kenapa kak long tidak menghantar Zira balik seperti yang dijanjikan. Kenapa sampai biarkan Zira balik sendiri lewat malam begini. Kalaulah dia tahu…
            Kak long. Aku pandang mata Zainal. Lama. Nama itu bagaikan belati paling tajam yang pernah tercipta di muka bumi ini. Terngiang-ngiang kembali kata-kata tak berperasaan kak long tadi. Aku hela nafas lalu pusing semula ke depan. Aku biarkan pertanyaan Zainal terdampar tanpa jawapan. Dia nak tahu, dia pergilah tanya sendiri pada kak long kesayangan dia. Aku seret semula kaki ke bilik.  Zainal laju ke depan. Melihat reaksi isterinya, dia tahu pasti kak long ada lakukan sesuatu. Bahu Zira dicapai. Aku henti langkah. Mematung seketika. Terus memandang ke depan.
            “Zira…I…”
            “Saya penat. Saya nak mandi. Solat dan nak tidur. Esok nak kerja.”
            Tangan yang memaut bahu isterinya perlahan-lahan ditarik semula. Faham penolakan Zira bila sudah membahasakan dirinya saya. Bukan dia tidak faham perangai Zira.
            “Dah makan?” Harap kak long bawa Zira makan tadi. Memang dia pesan pada kak long sebab dia tahu Zira memang suka makan dan kuat makan.
            “Dah.” Aku bohong. Selera aku terbang dibawa angin duka. Perut sebu dengan seranah sumpah dan maki kak long hinggakan aku lupa aku tidak menjamah apa-apa sejak perjumpaan tadi. Kaki terus aku tarik ke depan. Tangan capai tombol pintu. Aku putar dan tubuh melolos masuk. Aku tekan punat dari dalam. Bibir aku kemam. Tubuh yang bersandar perlahan-lahan melorot ke bawah. Aku tarik dua kaki rapat ke dada. Wajah tak bersalah Zainal tadi terlayar di mata. Dan suara kejam kak long kembali menyapa cuping dan bergema di seluruh pelusuk dan penjuru bilik.
            Perempuan mandul!!!
            Aku pejam mata. Kepala jatuh pada kaki yang dipaut. Dada pecah dengan tangis senyap. Hanya tubuh yang bergegar. Tangis bisu ini bagai sedang menjerut seluruh pembuluh darah. Rasa macam nak mati. Makin kuat aku paut kaki ke dada.
            Sampai hati you, Zainal.
            Zainal masih memerhati. Zira yang sudah hilang di balik pintu terus direnung. Kepala laju berputar. Ada rasa tidak enak yang tersangkut di hati melihat riak di wajah Zira. Ada lembayung sedih yang berlabuh pada redup sepasang mata isterinya itu. Apa kak long dah cakap pada Zira tadi? Akal tidak mampu menunggu lagi. Kaki laju di bawa ke bilik. Telefon yang terdampar di meja kecil di sisi katil disambar. Ditekan skrin. Gajet di tangan berpindah ke cuping.
            “Assalamualaikum. Kak long.”


Friday, May 12, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku masih termangu dengan kata-kata kak long. Seakan boleh aku nampak wajah tak bersalah Zainal di raut wajah kak long. Dada aku macam nak pecah. Salah akukah Zainal bila kita masih tidak dikurniakan zuriat? Bukankah kau dahulu yang kata tak perlu risau. Kita masih punya banyak masa lagi.

Masa.

Aku geleng kepala. Zainal…Zainal. Baru aku faham sekarang. Masa yang kau sebut tu rupanya ruang untuk kau menyulam kembali cinta dengan kekasih lama di belakang aku. Ruang untuk kau berdua secara senyap menikam aku dari belakang. Bodohnya aku. Hebat permainan kau Zainal. Hebat sekali!

Diam aku buat kak long tersenyum lebar. Gembira bila piala kemenangan sudah tergenggam di tangan. Aku yang tersungkur di medan pertikaman lidah masih jeda. Kepuasan terlukis di wajah kak long kerana berjaya buat buat lidah aku terkunci dari membalas. Aku hanya diam memandang kak long menolak kerusi dan tegak di depan mata. Kak long menunduk. Matanya yang galak merenung tepat mata aku. Jari telunjuknya lurus ke wajah. Aku tidak berkutik.

“Aku nak pesan kat kau. Sedar diri yang kau tu perempuan tak sempurna…perempuan mandul. Adik aku masih simpan kau sebab kesian pada kau. Itu aje.” Rengkung suara aku bagai mahu melontar jerit. Aku tak perlukan rasa kesian Zainal. Aku tak sudi! “Tapi kau pulak nak tunjuk lagak. Cermin diri tu kau tu. Jangan nak perasan. Kau ingat kalau Zainal humban kau, ada jantan lain akan kutip perempuan mandul macam kau? Jangan harap! Berlumut la kau tak berlaki sampai mati.” Aku ketap bibir. Kejamnya lidah kak long. Aku lebih rela jadi janda sampai mati dari bersuamikan lelaki sekeji Zainal.

“Adik aku perlukan perempuan yang mampu sempurnakan hidup dia. Janice tu perempuan paling sempurna buat Zainal. Bukan perempuan mandul macam kau!” Serentak telunjuk kak long menerjah dahi aku. Tubuh aku tersandar ke belakang. Langkah juara kak long gah meninggalkan aku yang terus bisu di kerusi kaku. Liur maha pahit aku telan. Ya. Aku sedar yang aku bukan perempuan sempurna. Jika kau mencari yang sempurna, aku bukan orangnya, Zainal. Kenapa tidak dari dahulu kau katakan pada aku? Aku akan faham dan rela undur diri. Kenapa sampai begini kau aibkan aku Zainal? Kau fikir aku tak punya maruah? Tergamak kau jaja kisah rumahtangga sendiri demi kepentingan diri kau. Kau memang keji, Zainal. Keji!

Tanpa sedar air mata mengalir ke pipi. Pilu menghiris seluruh jiwa. Semua yang terjadi tadi buat aku rasa ditelanjangi oleh kak long. Oleh Zainal. Oleh perempuan itu. Semua mereka sedang ketawa tanda kemenangan. Aku sapu pinggir mata yang basah perlahan-lahan. Sebak yang bertandang di penjuru hati cuba aku damaikan dengan istighfar. Akau tekan tapak tangan ke dada. Sabarlah, Zira. Sabarlah. Ujian ini hadiah Dia untuk hambanya yang terpilih. Ada hikmahnya. Yakinlah, Zira.

Aku pandang langit malam yang pekat hitam. Ya Allah. Tunjukkan jalan yang terbaik buat masa depan aku. Tunjukkan ya Allah. Aku mohon padaMu. Dan bas yang aku naiki makin deras menderu membelah pekat malam. Neon-neon jingga yang tergantung di tiang-tiang lampu jalanraya seakan mahu memberikan aku pesanan. Akan ada cahaya buatmu, Zira. Cahaya itu akan muncul juga nanti. Cahaya yang akan menyuluh hidupmu. Cahaya yang tidak akan sesekali mengkianatimu. Cahaya yang akan mendampingimu. Selama-lamanya.

Pasti.

Yakinlah.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...