Friday, June 30, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku beberapa minggu lalu cukup jelas. Tuduhan dan hinaannya takkanku lupa sampai bila-bila.
Kalau mahu aku boleh sahaja tuntut hak aku selama perkahwinan kami atas rumah tu. Tapi maruahku jauh lebih bernilai dari rumah itu.
"Siapa yang cakap awak tak ada hak?" Renungnya cukup dalam. Aku senyum tawar. Tapak tangan aku letak ke dada.
"Hati saya yang cakap." Dia diam. Matanya beralih ke cermin hadapan.
"Jangan ikut hati. Nanti mati."
"Bukan ikut hati. Tapi sedar diri." Laju dia berpusing memandangku.
“Maksud awak?” Aku sekadar tersenyum kecil. Perkara ini tidak harusku babitkan orang lain. Lagi-lagi lelaki ini. Cukuplah ia untuk peringatan buatku.
Dia diam seketika bila aku tidak memberikan jawapan pada pertanyaannya. Matanya melontar pandang pada sekitar kawasan flat.
“Sini rumah sendiri?”
“Sewa.”
“Sewa?” Kepalanya berputar semula ke arahku. Hanya anggukkan kepala yang menjawab pertanyaannya. Mungkin dia tengok flat yang aku sewa ni rupanya sedikit buruk kut. Cat kat dindingnya pun dah dimamah hari.
Memang flat ni flat lama. Flat empat tingkat yang Abang Jazli beli masa dia masih bujang dulu. Tapi aku bersyukur. Ini syurga baru buatku. Tali pinggang keledar aku tanggalkan.
“Duduk dengan siapa kat sini?” Matanya masih tidak berpindah. Tepat ke arah mataku. Sedikit hairan dengan soalannya. Kenapa dia nak tahu pulak. Dahlah aku pun bukan kenal siapa dia sebenarnya. Sekadar lelaki yang hampir melanggar aku, kemudian membantu menghantar ke klinik dan kini membantu menghantarku ke rumah. Aku kena berhati-hati. Berjaga-jaga demi keselamatan diri itu tak salah. Dahlah aku tinggal bersendirian di flat ini. Manalah tahukan. Sekarang ni orang baik dan orang jahat bukannya ada tanda kat dahi yang boleh bagi amaran. Lebai yang serban sebakul dan labuh sampai menyapu tanahpun belum tentu boleh dipercayai.
Aku diam. Lebih baik tak jawab soalannya. Tas tangan di riba aku sandang ke bahu. Aku tahu dia masih memandangku.
“Terima kasih hantar saya balik, Encik Amir.” Aku senyum segaris. “Assalamualaikum.” Kepala aku angguk tanda hormat. Telinga dengar dia jawab salam.
“Awak boleh jalan ke ni? Saya boleh tolong papah awak sampai ke pintu rumah.” Papah ke pintu rumah? Aku ni baru aje disahkan sebagai janda…janda muda pulak tu. Status panas di mata masyarakat. Sengaja undang bala kalau aku benarkan dia buat begitu. Sekeliling kawasan flat ini orang melayu. Tak memasal nanti aku jadi buah mulut orang.
“Tak apa. Saya boleh jalan sendiri.” Aku tunduk betulkan kasut di kaki yang masih rasa sakitnya. Tubuh tegak semula.
“Betul ke ni?” Aku pandang dia yang pamer riak bimbang. “Insyaallah boleh. Jalan pelan-pelan.” Cukuplah aku noktahkan pertolongannya padaku hari ini. Tangan capai pintu. Mahu melolos keluar.
“Duduk tingkat berapa?” Aku berpaling.
“Bawah.” Aku senyum segaris. Harap dia tak nampak senyum aku senyum orang yang menipu. Tapi menipu untuk keselamatan diri tu dibenarkan. Dia angguk kepala. Aku bawa tubuh keluar perlahan-lahan dan tunduk pandang dia buat kali terakhir.
“Terima kasih, Encik Amir.” Dia angguk.
“Jalan elok-elok. Jalan pelan-pelan.” Giliran aku angguk kepala.
“Jaga diri. Awak tu duduk sorang diri. Naik tangga kat tingkat bawah tu hati-hati.” Aku kerut dahi. Macam mana dia…
“Assalamualaikum.” Belum sempat aku cari jawapan, dia hulur salam pamit. Dan salamnya aku sambut seraya menolak pintu. Keretanya bergerak perlahan meninggalkanku yang masih terpinga-pinga.
Dia tahu ke aku tipu dia?

Hati Ini Pilih Kamu

“Betul tak cakap saya?” Dia ni memang jenis selamba aje ke kalau bercakap? Buatnya aku ni masih isteri orang, tak ke huru-hara jadinya.
Telefon aku menjerit dari dalam tas tangan. Telefon yang aku hidupkan semula tadi waktu nak bagi nombor telefon Jimmy pada lelaki ini. Dalam terkejut waktu lelaki ini mintak nombor Jimmy aku boleh tak ingat nombor boss sendiri. Memang blurr sekejap. Lepas tu lupa pulak aku nak matikan semula. Tapi ada hikmah aku tak matikan tadi. Tidak, tak jadilah dia penyelamat waktu aku dah hilang kata-kata nak jawab pertanyaan lelaki ini.Aku seluk dan keluarkan telefon asal negara Korea.
Nama Zai terpapar di skrin bersama isyarat bateri yang tinggal nyawa-nyawa ikan aje. Aku boleh agak mesti pasal lelaki di sebelah aku ni telefon Jimmy beritahu pasal kes kereta dia hampir terlanggar aku di luar mahkamah tadi dan Jimmy beritahu Zai. Tak boleh cakap lama-lama ni. Karang terputus pulak tengah jalan. Nanti kat rumah lepas cas aku akan telefon dan cerita semua pada Zai. Tahu sangat perangai kawan baikku ini. Mesti dia tengah risau gila.
“Suami puan?” Aku geleng kepala. Aku dah dilucutkan jawatan isteri sebentar tadi. Dah tiada lagi suami dalam hidup aku. “Kawan office saya.”
“Oh.” Dia angguk perlahan bersama riak tanya tanda di muka. Aku abaikan reaksinya dan lekatkan gajet ke telinga. Salamku hulur.
“Assalamualaikum.” Zai jawab salam dalam nada cemas.
“Kau macam mana? Teruk ke? Jimmy baru beritahu aku ni lepas dia habis meeting. Teruk betul la mamat tu.” Kan betul aku cakap. Jimmy tu aku rasa dia tak nak Zai risau. Boss aku tu memang jenis relax and cool aje.
“Beb..nanti sampai rumah, aku call kau ye. Bateri aku nazak betul ni.”
“Kau teruk ke? Cedera? Patah?” Kesian Zai. Risau benar dia akan keadaanku.
“Aku okey, Zai. Kau janganlah risau. Luka sikit sikit aje. Kaki terseliuh. Tu aje. Eh…aku nak offkan phone ni. Nanti sampai rumah aku call kau balik ye.”
“Okey..okey. Take care ye. Sampai rumah terus call aku tau.”
“Ye. Aku call kau bila sampai nanti. Assalamualaikum.”
Sebaik Zai sambut salam, gajet aku tarik dan terus aku matikan dan sumbat dalam tas tangan.
“Nah..”
Mata aku dihidangkan telefon canggih yang dihulurkan lelaki ini. Aku laju pusing sebelah.
“Buat apa ni?”
“Gunalah telefon saya untuk call suami, puan. Nanti dia risau kalau dia call tak dapat-dapat.” Mungkin dia dengar aku sebut bateri aku nazak masa berbual dengan Zai tadi. Aku pandang dia lama. Ada rasa sayu yang menyapa. Zainal takkan risaukan aku lagi. Dah tak perlu.
“Saya dah tak ada suami.” Perlahan aku tutur sambil pandang ke kaunter. Dari ekor mata aku nampak dia pandang ke arahku. “Tadi tu masa encik hampir langgar saya, saya baru keluar dari mahkamah. Kami baru lepas bercerai.” Bibir aku kemam. Sebak bila mengingatkan saat Zainal melafazkan talak yang meleraikan ikatan sah antara kami.
“Oh. Maafkan saya. ” Aku senyum segaris pada dia yang pamer wajah bersalah.
“ Tak apa, encik. Dah habis jodoh kami.” Bukan setakat habis. Terputus terus dan takkan mungkin bersambung lagi. Aku takkan berpaling lagi pada lelaki seperti Zainal. Aku lebih rela jadi janda sampai mati dari kembali semula pada dia.
Nama aku dipanggil dan dia beri isyarat suruh aku duduk. Dia bangun dan terus ke kaunter. Selesai urusan dia kembali padaku menjinjit satu plastik putih.
“Jom. Saya hantar awak balik.” Aku bangun perlahan-lahan. Kaki kananku masih berdenyut. Dia terus capai dan letak tanganku ke bahunya. Sebelah tangannya memaut pinggangku dan membantu aku berjalan ke pintu. Sampai ke kereta, seperti masa waktu datang tadi, dia dudukkan aku di kerusi penumpang hadapan dengan penuh hati-hati. Kaki aku juga dia angkat dan letakkan perlahan-lahan. Dia pasangkan tali keledar dan tutupkan pintu. Plastik putih yang dia jinjit dia hulurkan padaku.
“Ubat untuk awak.”
“Terima kasih.” Aku sumbat ke dalam tas tangan dan letakkan ke riba. Dia masuk dan duduk di sebelah. Enjin kereta dihidupkan. Aku lirik pada dia.
“Encik.” Dia pusing dan pandangannya melekat padaku.
“Hurm?”
"Terima kasih sebab hantar saya ke klinik. Bayarkan bill." Dia senyum. Manis sekali senyumannya.
"Sama-sama. Saya yang salah sebab hampir langgar awak. Saya minta maaf. " Aku laju goyangkan tangan. Semua yang jadi tadi seratus peratus salahku.
"Saya yang salah. Main luru aje tak pandang depan. Saya yang patut minta maaf sebab dah susahkan encik. Ni encik kena hantar saya ke klinik. Pastu kena hantar saya balik. Dah buang masa encik aje."
"Okey. Sama-sama salah. Kita seri." Lelaki ini senyum lagi. Aku ikut senyum.
"Saya Amir. Amir Rashid. Panggil Amir. "
"Saya Zira. Fazira Huda. Panggil Zira aje." Dia angguk kepala sambil. pusing stereng dan keretanya mula bergerak keluar dari kawasan klinik.
“Okey Zira. Kita nak ke mana?”
“Ha?” Aku kerut dahi. Reaksi aku buat dia ketawa. Aku tambah pelik.
“Kenapa ketawa?”
“Awak ni comel jugak bila blurr kan.”
“Mana ada saya blurr. Awak tanya soalan pelik.”
“Cik Zira…soalan saya tak pelik. Saya tanya kita nak ke mana tu maknanya saya tanya rumah awak di mana. Ke awak nak ikut balik rumah saya?” Dia terus tersenyum. Aku telan liur sendiri. Berapa kali dah dia ni dengan kata-katanya buat aku tertelan liur hari ini.

Wednesday, June 21, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Dia tarik pintu bilik doktor dan pegang lenganku yang masih terhincut-hincut berjalan dengan satu kaki. Dia bawa aku duduk di kerusi depan kaunter mengambil ubat dan pembayaran.
“Okey?” Aku angguk, isyarat dah duduk dengan selesa di kerusi. Dia labuhkan duduk disebelahku. Beberapa orang yang menunggu giliran berjumpa doktor dan mengambil ubat memandang kami. Aku lirik sekilas pada dia yang sedang mengeluarkan telefon dan jari-jemarinya lincah menekan skrin. Mungkin menghantar pesanan. Tengok pada kekemasan pakaian rasanya dia mungkin kerja kat pejabat juga. Agak akulah.
Mata singgah pada pintu bilik rawatan yang tertutup. Kepala terus teringat masa pemeriksaan kat dalam bilik doktor berbangsa cina tadi. Lelaki ini ikut masuk ke dalam tadi walaupun mulanya aku menegah. Aku cakap aku boleh jumpa sendiri. Aku tak apa-apa. Luka sikit aje. Dia tetap nak ikut masuk sekali. Katanya dia nak dengar apa kata doktor. Dia nak tahu keadaanku sebab dia yang menyebabkan aku sampai ke sini. Kalau ada kecederaan dalaman ke, tulang kaki aku yang terhincut-hincut ni retak ke, dia kena bertanggungjawab sebab dia yang jadi punca aku cium tar jalan. Tak sudah-sudah dia cakap dia yang salah. Sudahnya aku mengalah. Dah tak tahu aku nak cakap macam mana. Aku pandang kembali dia yang tenang bersandar sambil menunggu giliran aku dipanggil untuk mengambil ubat dan membuat pembayaran.
“Encik.” Dia berpaling padaku dan layang senyum segaris.
“Ya.”
“Maaf pasal kat dalam tadi.”
“Hurm?” Dia kerut dahi. Aku pandang keliling sebelum rapatkan sedikit wajah.
“Doktor tadi tu fikir encik suami saya.” Suara aku sedikit berbisik. Segan kalau didengar orang yang duduk di sekitar kami. Macam mana doktor tu tak fikir macam tu. Dia yang bertanya macam-macam pasal aku. Terlebih ambil berat. Dan setiap kali doktor tu sebut isteri encik yang merujuk pada aku, dia mengangguk aje.
“Encik patut cakap yang betul tadi. Doktor dah salah faham pasal kita. Maaf ye.” Dia ketawa kecil.
“Tak apa. Mungkin dia nampak sepadan kut kita ni. Suami yang prihatin pada isteri.” Tertelan liur aku dengar kata-katanya.

Tuesday, June 20, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

“Pin!!!!!!!!!!!!!!!!”
“Bummm!!!!!”
“Allah.”
Tubuh aku sudah tersembam ke jalanraya. Rasa sakit yang menyucuk mengalir ke seluruh urat nadi. Perlahan-lahan aku bangun. Tubuh masih terduduk di atas tar jalan. Muka berkerut menahan sakit yang mula menjalar. Aku pandang tapak tangan yang tersagat pada tar jalan memercikkan sedikit luka. Aku tiup tapak tangan yang terasa ngilu. Apalah malangnya aku hari ini. Lepas kena cerai, nyaris nak kena langgar pulak.
“Puan? Puan macam mana? Puan cedera ke?” Suara garau yang hinggap di cuping buat aku berpaling. Mata kami sama bertembung. Seorang lelaki muda yang berkemeja biru cair melontar wajah cemas. Raut seperti lelaki cina itu terus-menerus merenung. Aku geleng perlahan.
“Tak..tak apa-apa. Luka sikit aje. Saya okey.”
“Saya minta maaf, puan.” Aku geleng kepala lagi. Dia tak salah apa-apapun. Aku yang cuai tadi. Dah cuai memang mendapatlah. Kan dah kena!
“Saya yang salah, encik. Saya minta maaf.” Memang aku yang salah meluru ke jalan sebab nak kejar cincin yang Zainal baling tadi. Langsung tak tengok kiri kanan. Serentak aku tersedar. Mata melilau ke kiri kanan.
“Eh…mana cincin tadi? Cincin…cincin.” Aku pandang keliling.
“Cincin ni ke?” Lelaki ini hulurkan cincin yang buat kejar tadi. Aku angguk.
“Ya.” Dia senyum. Aku belek-belek cincin perak di tangan. Nasib baik tak bercalar. Terus sahaja aku masukkan ke dalam tas tangan yang tersandang di bahu. Tapak tangan yang terasa pedih buat aku kembali sedar yang aku masih terduduk di atas jalan. Tubuh cuba bangun, tapi..
“Aduh!” Aku gigit bibir. Mata ikut mengecil. Kaki terasa sakit. Mungkin terseliuh. Tulah. Pakai lagi kasut tumit tinggi. Zai la punya cadangan. Katanya ke mahkamah kenalah jaga penampilan. Kena lawa. Jangan nak pakai sandal pulak macam pergi office.
“Kita ke klinik ye?” Dan serentak tangan dan tubuhku dipaut lelaki yang duduk di depan aku tadi. Tas tangan aku dia capai dan disandang ke bahunya.
“Eh..tak apa…tak apa, encik. Saya…” Aku cuba jatuhkan tangan dari bahunya. Segannya tangan dah pegang bahu lelaki yang aku tak kenal. Tapi tangan kanannya terus utuh memaut pinggang dan tanganku kembali diletakkan ke bahu. Dia terus papah aku ke kereta putihnya yang berada di tepi jalan. Hendak tak hendak aku terpaksa juga merelakan tubuh dipapah. Kaki kanan aku memang sakit sungguh. Terhincut-hincut aku berjalan dengan sebelah kaki.
“Kita ke klinik, puan. Puan luka banyak ni. Kena jumpa doktor.” Dia bersuara lagi. Klinik? Aku geleng kepala. Aku kena balik office. Mana pulak ada masanya nak ke klinik. Lagipun aku cuma luka sikit aje. Tak banyakpun. Calar-calar kat tangan aje. Seliuh kaki ni esok lusa baiklah.
“Tak apa, encik. Saya luka sikit aje ni. Lagipun saya nak balik office. Saya kena pergi kerja ni.” Aku pamer riak muka tak main-main. Memang aku tak main-mainpun.
“Kita pergilah klinik dulu ye. Mana tau ada kecederaan dalaman.” Dia terus memujuk. Pintu kereta penumpang hadapan dicapai dengan tangan kiri. Dia dudukkan aku perlahan-lahan dan penuh berhati-hati di kerusi dan mengangkat penuh cermat kaki kanan dan kiri ku masuk ke dalam kereta. Tas tangan aku yang dia sandang tadi diletakkan ke riba. Tali pinggang keledar ditarik dan dipasangkan ke tubuhku.
Aku hanya mampu telan liur tengok apa yang dia buat. Zainal pun tak pernah buat macam ni masa bawa aku ke klinik sebab jatuh kat bilik air dulu. Dan aku tertangkap merenungnya bila dia mengangkat muka. Bibirnya ukir senyum kecil. Aduhai. Malunya!
“Kita ke klinik ye.” Sebaik sahaja dia pastikan aku dah duduk dengan betul, dia ulang lagi ucapan tadi sambil tutup pintu. Aku hanya pandang dia berpusing dan masuk ke dalam perut kereta.
“Tapi encik. Nanti boss saya…” Aku pandang mukanya. Aku memang kena balik office. Nanti apa pulak kata Jimmy. Mentang-mentang kena cerai nak raih simpati dia pulak. Taknaklah aku.
“Biar saya telefon boss, puan. Saya akan cakap puan accident… cedera dan saya nak bawa puan ke klinik. Okey?” Dia balas pandangku. Aku terkebil-kebil.
Cedera? Bila masa pulak aku cedera?

Hati Ini Pilih Kamu

“Puan Fazira.” Bahu yang disentuh lembut menerbangkan segala kenangan yang menghembus fikiran. Kepala menoleh pada Cik Zara yang mempamer wajah manisnya. Dia yang seakan faham perasaan aku saat ini mengelus belakang tubuhku.
“Saya okey, Cik Zara. Insyaallah.” Mata aku kerdipkan. Aku tidak mahu dia bimbang. Aku cuma perlukan masa untuk melepaskan semua rasa yang aku alami hari ini.
Ya. Masa akan merawat segalanya. Merawat duka dan luka. Merawat sedih dan perih. Dan masa akan menimbus dan menguburkan kesedihan ini.
Dia balas dengan anggukkan kepala. Aku genggam tangan halusnya. Terlalu banyak pertolongan dan bantuan wanita muda ini dalam aku mengharungi perjalanan ke sini hari ini.
“Terima kasih banyak-banyak Cik Zara sebab bantu saya…wakili saya untuk kes hari ini. Tak tahulah macam mana keadaan saya kalau tak ada bantuan Hanafiah & Co dan Cik Zara pada saya.” Senyum manisnya terus meniti di bibir.
“Saya hanya jalankan tugas saya sebagai peguam, puan. Saya lakukan yang terbaik untuk kebaikan, puan. Itu tugas dan tanggungjawab kami di Hanafiah & Co.”
Aku angguk kepala. Dia memang sudah melakukan yang terbaik untukku hari ini. Mata aku nampak Zainal sedang beriringan keluar dengan peguamnya. Perempuan itu yang menunggu di bangku luar kamar bangun dan mendapatkannya. Zainal menoleh padaku seketika sebelum berkalih pada perempuan itu. Seakan tidak mahu lagi memandang padaku. Mata aku jatuh pada jari manis kanan. Cincin berlian yang tersarung aku elus sebelum perlahan-lahan aku tanggalkan dari jari. Aku kembali singgah ke wajah peguamku yang ikut memandang ke arah mereka.
“Cik Zara…boleh ke kalau saya nak jumpa bekas suami saya sekejap?” Dia angguk.
“Mari. Saya temankan.” Aku ikut mengangguk. Kami melangkah beriringan ke arah mereka. Kedatangan kami buat ketiga-tiga menghentikan perbualan.
“Puan Fazira tunggu sekejap ye.” Cik Zara mendekati peguam Zainal dan kedua-duanya bergerak ke tepi. Aku, Zainal dan perempuan bernama Janice itu hanya saling memandang. Cik Zara dan peguam Zainal kembali mendekati kami.
“Puan Fazira nak bercakap dengan you sekejap.” Peguam Zainal melontar kata. Zainal pandang aku kemudian memandang Janice. Cik Zara dan peguam Zainal bergerak ke hujung untuk beri ruang aku dan Zainal.
“You nak cakap apa?” Zainal pandang aku seketika sebelum beralih ke arah Janice. Matanya seakan tidak mahu memandangku. Aku toleh ke belakang memandang peguamku dan peguam Zainal yang sedang menatap kami. Aku lempar senyum. Kembali aku bawa tatap pada Zainal.
“I nak pulangkan ni.” Aku hulur cincin berlian yang aku tanggalkan dari jari sebentar tadi.Cincin perkahwinan ini milik Zainal dan aku mahu pulangkan padanya. Aku tidak mahu menyimpan apa-apapun milik lelaki ini.
Zainal pandang cincin yang aku hulur. Dahinya berkerut.
“Kenapa nak pulangkan?”
“Sebab I nak cincin di jari you. Pulangkan pada I.” Laju jari manis kanannya ditatap. Cincin perak yang aku sarungkan ke jarinya waktu pernikahan kami dihala padaku.
“Cincin murah ni?” Aku senyum tawar. Betapa dia tidak menghargai pemberian itu rupanya. Aku beli dengan duit gaji yang aku simpan beberapa bulan demi kasih dan cintaku waktu itu. Aku nampak dia tersenyum sinis bersama Janice.
“Murah di mata you. Tapi tak ternilai di mata I. Pulangkan.”
Pantas ditanggalkan dari jari lalu dihumban ke lantai.
“Take it. I tak hadappun nak simpan cincin murah you. Nak gadaipun tak laku.” Dia lempar senyum belati. Bersulam dengan senyum tajam Janice. Aku pandang muka Zainal. Sungguh lelaki ini sudah hilang harganya di mataku.
“I sangka you lelaki penuh adab. I silap rupanya.” Aku tarik tangannya dan letakkan cincin berlian yang dia sarungkan ke jari aku lima tahun dahulu di tapak tangannya.
“Cincin ni terlalu mahal. Tapi sayang…dia jadi terlalu murah di mata I kerana dia disalut penipuan dan curang. You boleh hadiahkan pada orang yang layak memakainya.” Aku kerling pada Janice seraya tunduk mengambil cincin yang dihumban Zainal. Langkah aku atur ke arah Cik Zara. Langsung tidak menoleh pada lelaki itu lagi.
Terima kasih Zainal atas penghinaan ini. Aku akan ingat sampai bila-bila!

Hati Ini Pilih Kamu

“Puan Fazira okey?” Cik Dhia Zara, Peguam Syarie yang mewakili aku hulur tanya. Aku yang duduk di bangku luar kamar mahkamah layang senyum kecil. Kepala mengangguk.
“Okey, Cik Zara.”
“Good.” Aku nampak Cik Zara sedang menekan telefon. Mungkin mahu bertanyakan pembantunya tentang sebutan kes yang diwakilinya selepas kes aku. Dia ada sebut tadi masa dalam perjalanan lepas ambil aku di flat milik suami Zai yang aku sewa. Kata Cik Zara, lepas kes aku, dia ada satu lagi kes tuntutan perceraian di sini juga.
Sementara menunggu kami dipanggil, mata aku berlegar di sekitar luar kamar mahkamah. Orang yang lalu lalang dengan urusan hidup masing-masing bertali arus menyapa pandangan. Aku hela nafas. Rasa takut dan gugup mula bersarang dalam hati. Tangan serta jari-jemari yang terasa sejuk aku ramas-ramas. Debaran jantung sama menari. Istighfar aku alun bertali arus. Itu pesan abah dan mak masa aku telefon tadi beritahu aku dah sampai ke mahkamah.
Waktu sampai tadi, kepala mendongak pandang bangunan mahkamah syariah yang tersergam megah. Pertama kali dalam hidup aku jejak ke sini. Kalau aku sorang-sorang tak tahulah macam mana agaknya keadaan aku. Mahunya kaki aku terpasak tak bergerak depan bangunan mahkamah. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan urusan aku dengan menghadirkan Cik Zara di sisi. Dia banyak menenangkan aku. Beri aku kata-kata semangat untuk menghadapi sebutan kes aku dan Zainal hari ini.
Di bangku hujung aku nampak Zainal bersama seorang lelaki sedang rancak berbual. Aku tahu itu peguam Zainal. Kedua-dua sedondon dengan suit berwarna hitam dengan kemeja putih. Songkok ikut tersarung di kepala. Dan mata aku tertancap pada satu susuk tubuh berbaju kurung merah samar yang duduk di sebelah Zainal. Perempuan yang mengenakan selendang dari warna yang sama dengan baju dipakai. Aku pasti itulah cinta hati Zainal…Janice.
Aku sempat tilik wajah itu dari jauh. Cantik dan bergaya orangnya. Aku tilik diri sendiri. Tak padan dengan aku yang biasa-biasa ni. Memang padanlah dengan Zainal macam yang kak long kata. Aku lempar tatap pada Zainal yang masih berbual dengan peguamnya. Teringat peristiwa di rumah mertua aku semalam. Aku tahu kak long masih tak puas hati padaku. Aku tak peduli. Aku hanya mahu mak mertua aku tahu apa yang terjadi antara aku dan Zainal yang mengheret kami ke sini hari ini. Dan aku yakin dia percaya yang aku bercakap benar. Zainal aku lihat berkalih ke sebelah dan berbual dengan perempuan itu. Nampak cukup mesra. Jelas terpancar kebahagiaan di wajah mereka. Aku jala senyum pahit.
Moga you bahagia dengan dia, Zainal.
“Puan Fazira..” Terasa kura tangan aku ditepuk lembut. Senyum dari wajah cantik peguam di sebelah aku ini singgah di mata. “Ya.” Aku ikut balas senyum.
“Jom masuk. Kita dah dipanggil.” Cik Zara hala ibu jari ke kamar hadapan. Aku ikut memandang ke hadapan. Serentak degup jantung mula berlari. Tuhan…berikan aku ketenangan untuk hadapi urusanku ini. Permudahkan ia, Tuhan. Dia bangun dari duduk. Aku ikut berdiri.
“Sedia?” Cik Zara elus belakang baju kurung hitam yang aku pakai. Aku sempat lempar pandang ke bangku hujung. Zainal dan perempuan itu ikut memandang pada aku. Lama kami saling berpandangan. Betapa mata aku melihat mereka sangat sepadan. Sama cantik. Sama bijak. Bukan macam aku. Nafas aku lepaskan perlahan-lahan.
Moga kalian berbahagia.
Aku kalih semula pandang Cik Zara. Aku angguk kepala.
“Insyaallah, Cik Zara.”
“Okey. Jom.”

Thursday, June 15, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Langkah aku atur ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Satu persatu anak tangga aku daki bersama lafaz doa. Tuhan…aku sedang berjuang untuk sebuah masa depan. Permudahkanlah urusan aku ini, Tuhan. Aku mohon. Suara sayu mak sedang meniti di cuping. Aku terus menyusun derap hingga ke anak tangga terakhir. Ruang tamu di tingkat atas aku tuju. Langkah terus dibilang hingga kaki kecil aku terhenti di muka ruang tamu utama tingkat atas.
“Zira…”
Suara perlahan mak mertua aku yang pertama menjamah telinga. Suasana di ruang tamu sepi. Tiada lagi bunyi tingkah suara seperti waktu aku mula sampai tadi. Aku tidak tahu apa yang dah berlaku dan aku tak ingin bertanya walaupun aku tahu akulah yang menjadi tajuk pertingkahan tadi. Aku hanya ingin mendapatkan mak mertua aku. Itu tujuan aku ke sini.
Wanita bernama Hajah Zainon ini sedang duduk lemah di sofa. Mata singgah pada satu-persatu susuk tubuh yang sedang menghumban pandang padaku. Aku balas tenang pandangan kak long yang tajam mencerlung. Pandangan yang seakan tidak berpuas hati. Zainal hanya tunduk di sofa bersebelah mak mertua aku. Kak ngah dan kak lang yang duduk si sofa setentang ikut melempar tatap bisu. Aku atur langkah mendekati mak mertua aku. Tidak aku peduli pandangan mereka semua yang jelas semua sedang menghumban pandang pada kami. Aku labuh tubuh di depannya.
“Mak…” Dua tangan tuanya aku capai dan aku genggam. Ada kesan airmata yang sudah kering di pipinya. Aku sapu dengan tapak tangan.
“Mak panggil Zira datang ke sini. Zira dah datang mak. Cakaplah apa yang mak nak cakap. Zira dengar mak.” Tangan tua yang aku genggam kini singgah di pipiku. Aku pandang sepasang mata beningnya yang sedang menyampaikan rasa sedih hati dan jiwanya padaku.
“Mak nak tanya Zira.” Suara yang bercampur serak dari esak tangis lekat di telinga.
Aku angguk. “Tanyalah mak.”
“Betul Zira nak bercerai dengan Zainal? Betul Zira yang minta cerai dari Zainal? Cakap dengan mak. Terus-terang dengan mak, Zira.” Aku nampak mata yang merah itu bergenang. Aku lempar lirik pada Zainal yang kebetulan ikut memandang padaku. Lama kami berpandangan. Aku bawa semula kornea pada wajah mak mertua aku.
“Mak….” Aku cuba ukir senyum. Tangannya aku elus. “Dalam hidup ni, kita merancang. Tuhan juga merancang, mak. Dan perancangan Tuhan itulah yang terbaik. Itu yang tertulis buat kita. Dan dah tertulis juga jodoh Zira dan Zainal setakat ini sahaja. Walau apapun cara untuk selamatkannya, kalau sudah tertulis kami bukan ditakdirkan bersama selamanya, kita kena terima mak. Inilah yang terbaik buat hidup Zira…buat masa depan Zainal yang Tuhan dah tetapkan.” Aku diam seketika. Nampak mak mertua aku tertunduk. Aku terus elus jari-jemari tuanya yang sudah dimamah usia.
“ Zira tahu mak sedih. Zira faham perasaan mak. Zira pun sedih mak.” Aku pandang matanya. Nampak titis airmata mengalir ke pipi. Aku usap dengan jari-jemari. “Mak… Zira nak mak reda. Sepertimana Zira reda dengan ketentuan ini. Zira akan lupakan kegagalan ini tapi Zira takkan lupa hikmah dari kegagalan perkahwinan kami. Zira nak mak juga yakin ada hikmah yang tertulis buat Zira dan Zainal.” Aku lirik pandang kak long yang menayang muka masam.
“Zira ni perempuan yang tak sempurna mak. Macam kata Zainal pada kak long. Zira ni perempuan mandul. Lima tahun kahwinpun tak mendatangkan hasil.” Aku lempar senyum pahit. Aku nampak mak mertua aku baling tatap pada Zainal. “Betul la tu. Zira terima walaupun Zira tak minta jadi begini. Bahagian Zira ni, mak.” Dari lirik mata aku nampak Zainal angkat muka memandang padaku dan ke arah kak long. Aku ikut memandang pada kak long. Reaksi Zainal buat telunjuk kak long lurus padaku.
“Kamu jangan pusing cerita, Fazira! Mana ada kak long cakap macam tu. Jangan nak buat fitnah. Kamu yang kata Zainal mandul! Lelaki tak guna. Sebab tu kamu minta cerai dengan dia. Mak…menantu kesayangan mak ni penipu. Kan along dah cakap tadi. Dia dah tipu mak. Tipu kita semua dengan perangai malaikat dia. Sia-sia aje mak tatang dia selama ni.”
“Biar Zira habis cakap dulu. kamu dah puas bercakap tadi. Sekarang giliran dia.” Perlahan suara mak mertua aku menegah.
“Tapi mak, dia ni penipu. Jangan percaya cakap dia. Kita semua jangan percaya dengan dia lagi.” Kak long masih tidak puas hati. Aku tahu dia takut tembelangnya pecah. Kak long…kak long. Aku kesian pada abang long ada isteri seperti ini.
“Mak cakap biar Zira habis cakap dulu, long.” Lirik mata mak mertuaku singgah di wajah kak long yang duduk di sofa hujung.
“Mak."
“Diam!” Tempik suara tegas mak mertua aku buat kak long tersenyap. Sunyi seketika. Aku lempar lirik padanya. Aku hairan betul dengan kak long ini. Apa yang dia sakit hati dan dendam sangat padaku?
“Zira nak mak tahu Zira dah tak mampu lagi untuk teruskan hidup dengan Zainal. Zira dah letih, mak. Zira dah terlalu letih dengan sikap pura-pura Zainal selama ini. Zira harap mak faham perasaan Zira. Zira ada hati dan perasaan. Zira bukan patung.” Dari ekor mata aku nampak renungan Zainal.
“Maksud Zira?” Aku kalih ke arah Zainal seketika. Lama dia renung aku. Aku lempar wajah tak beriak sebelum kembali mencari wajah mak mertua aku.
“Mak, perkahwinan ini melibatkan perasaan mak. Cinta dan kasih sayang itu bukan boleh dipindah-pindah. Perasaan Zainal selama ini bukan pada Zira. Cinta dan kasih sayang Zainal bukan milik Zira. Hati dan jiwa Zainal milik orang lain. Dia dah mengaku dan Zira terima walaupun sedih." Ya. Aku memang teramat sedih waktu Zainal buat pengakuan dahulu. Dan mana-mana isteripun akan rasa seperti yang aku rasa ketika itu. Aku diam sejenak. Kepala tunduk memandang riba. Cuba menghalau pilu dari bertandang. Aku tak mahu kalah di medan airmata lagi. Cukuplah airmata yang aku buang selama ini.
"Zira tak nak bohong pada mak perasaan kecewa Zira. Zira sedih sangat mak sebab selama ini Zira ikhlas terima Zainal. Ikhlas sayang dan cintakan dia. Tapi Zira nak mak tahu Zainal berhak pilih pada siapa dia mahu berkongsi itu rasa itu semua. Dia berhak untuk bina bahagia dan keturunan. Zira tidak ditakdirkan untuk beri itu semua pada Zainal. Mak izinkan la Zainal pilih jalan bahagia dia sendiri.”
“Jadi Zira tetap nak bercerai dengan Zainal? Zira dah tak sayang mak? Mak tak nak hilang Zira.” Aku renung wajah perempuan yang amat aku sanjung dan sayang dalam hidup. Dua tangannya aku cium dan lekap ke dada.
“Zira tetap anak mak walaupun bukan menantu mak lagi nanti. Itukan perjanjian kita dulu waktu mula-mula kita kenal di luar pintu pagar. Mak ingatkan?” Kepala mak mertua aku terangguk perlahan. Airmatanya menitis lagi. Aku ikut mengangguk dan ukir senyum.
“Zira sayang mak seikhlas hati Zira. Zira anggap mak macam mak kandung Zira. Sayang dan kasih Zira pada mak bukan sebab harta dan kekayaan mak. Demi Tuhan…Zira tak pandang itu semua. Zira sedar keluarga Zira tak sesenang mak. Mak dan abah Zira orang kampung. Orang yang kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Tapi mak dan abah tak ajar Zira untuk jadi tamak. Jadi hamba pada harta dunia.Kami orang susah mak, tapi kami ada maruah. Dan maruah kami tak boleh dibeli dengan harta dunia.
Satu dunia boleh kata dan tuduh Zira terima mak…dekati mak...sayang mak kerana kekayaan mak. Nak kaut harta benda mak. Zira pura-pura baik depan mak dan yang lain. Tapi Zira nak mak tanya hati kecil mak sendiri…Zira ini begitu ke orangnya mak? Mak kenal Zira kan?” Aku nampak mak hala tatap pada kak long dan kemudian beralih pada Zainal, kak ngah dan kak lang. Tekaan aku tepat. Pasti kak long sudah melempar segala cerita buruk tentang aku pada semua. Aku ikut memandang wajah kesemuanya. Satu persatu sebelum berhenti semula ke wajah kak long yang tidak berkelip memandang padaku sambil mengetap bibir. Aku tegakkan jari telunjuk ke atas. Tuhan itu maha kaya, kak long. Jangan kau lupa tentang itu.
Mak mertua aku bangkit dari duduk. Aku ikut bangun. Empat pasang mata yang duduk di sofa hanya diam memandang. Dua tangan aku digenggam kemas. Aku nampak dia kemam bibir melawan rasa pilu yang bertebaran di jiwa.
“Maafkan mak. Maafkan anak mak Zainal.” Tangisnya pecah. Aku pusing pandang Zainal yang ikut melempar tatap. Laju dia bangun, meluru dan memeluk erat tubuh mak mertua aku dari belakang. “Maafkan Nal, mak. Maafkan Nal.” Sebak mengintai jiwa. Aku tahan rasa itu dari melepasi jendela hati.
“Maafkan mak sebab buat perkahwinan Zira berakhir macam ni. Mak minta maaf pada Zira, mak dan abah Zira.” Aku geleng kepala. Mak tak salah. Mak cuma merancang.
“Zira reda, mak. Zira nak mak reda juga. Zira tak mahu mak salahkan diri mak. Lepaskan Zira dengan reda. Janji dengan Zira, mak.” Aku balas genggaman kemas jari-jemarinya. Tubuh aku ditarik dan dibawa dalam pelukan. Erat sekali.
“Janji yang Zira akan tetap kekal jadi anak mak sampai bila-bila.” Aku angguk dan balas pelukannya.
“Zira anak mak sampai bila-bila.”

Hati Ini Pilih Kamu

Waktu sampai di perkarangan rumah besar mak mertua aku, susuk tubuh Kak Ngah Zainora dan Kak Lang Zailina yang cemas sedang menanti di halaman. Siap melambai-lambai. Isyarat suruh kami keluar cepat dari kereta. Zainal dan aku saling memandang seketika sebelum dia dahulu melolos keluar dari perut kereta. Hati dah rasa tak sedap. Dengup jantung berlari kencang. Janganlah jadi apa-apa pada mak mertua aku. Doa bertali arus dipanjatkan. Aku tanggal tali pinggang dah ikut laju melolos keluar.
“Cepat, Nal. Cepat!” Kak ngah laju menerpa sambil menyambar tangan Zainal. Aku ikut lajukan langkah. Muka cemas kak ngah terlukis jelas di depan mata kami. Aku telan liur.
“Kenapa ni, kak ngah?” Zainal tanggalkan kasut. Aku salam dan cium tangan kak lang. “Kenapa kak lang?” Aku bisik perlahan. Muka rusuh kak lang buat hati aku makin tak sedap rasa. Dia hanya mengunci mulut. Aku tanggalkan kasut. Kedua-duanya aku pandang silih berganti bersama gusar dan galau yang ikut bertempur dalam hati. Apa yang dah berlaku ni?
“Mak, Nal. Mak. Jom naik ke atas. Cepat!” Kak ngah tak jawab soalan Zainal sebaliknya terus menarik tangan adik bongsunya ini. Sebaik dengar nama mak disebut, Zainal meluru masuk ke dalam rumah dan berlari menaiki tangga ke tingkat atas. Aku capai tangan kak ngah dan aku cium. Terasa kak ngah seakan sedang merenung. Kak lang ikut merenung aku.
“Kenapa dengan mak, kak ngah?” Kak ngah tak jawab tapi terus pandang aku.
“Mak dengan kak long tengah bergaduh kat atas sebab kamu, Zira. Sebab kamu mak dan kak long bergaduh. Apa yang dah kamu buat ni? Tak cukup ke kasih sayang mak yang melimpah ruah pada kamu selama ini? Sampai hati kamu buat mak macam ni. Malukan mak. Kamu tahu tak mak sedih sangat. Apa dosa mak pada kamu?”
Suara kak ngah cukup sinis di telinga. Kak ngah yang aku hormat berubah sekelip mata. Aku tak tahu apa yang dah berlaku sebelum aku sampai. Tapi reaksi kak ngah dan kak lang sudah menceritakan segalanya. Aku telan liur. Aku sedang dipersalahkan tanpa aku sempat bela diri. Kak ngah dan kak lang terus berlalu masuk ke dalam rumah dan meninggalkan aku yang seakan tidak diundang untuk masuk ke dalam.
Bibir bergerak-gerak. Seakan mahu memberitahu. Zira tak salah, kak ngah…kak lang. Tolonglah beri peluang Zira bercakap. Tapi aku hanya terdaya memandang susuk tubuh dua kakak ipar aku laju menaiki tangga. Dan mereka langsung tak menoleh ke belakang. Sayup-sayup telinga dihadiahkan suara mak dan kak long yang saling bertingkah disusuli suara Zainal. Aku kemam bibir. Tubuh terduduk di depan pintu.
Zira minta maaf, mak.
Zira minta maaf.

Tuesday, June 13, 2017

Kau Yang Satu (Satu kompilasi istimewa)


Ilham labuh duduk di sofa sambil jenguk ke dalam rumah. Tiada kelihatan bayang Ed. “Duduk, Man.” Elman yang berada di belakang dipelawa duduk sekali. Ilham hala kepala ke tingkat atas. Dihulur suara memanggil.
“Sayang, abang dah balik.” Plastik di tangan berisi kurma diletakkan di atas meja.
“Coming darling.” Ed laju menuruni tangga. Tadi dia dah dengar bunyi enjin kereta waktu di dalam bilik. Dikuis langsir dan dia nampak Ilham dan Elman keluar dari perut kereta. Laju Ed melompat duduk di sofa sebelah Ilham.
“Hai, Elman.” Ed tayang senyum pada Elman. Ilham yang baru sampai bersama Elman ikut lempar senyum balas.
“Hai sis.” Elman hulur sapaan balas.
Ed peluk Ilham. “Missed you, darling.” Selamba dipagut bibir Ilham di depan Elman. Elman buat aksi tutup mata sambil geleng kepala. Ed…you never change. Ilham ketawa. Dicuit pipi Ed. “Tu…tengok. Ada orang sakit mata.” Dihala telunjuk pada Elman. Ed lepas pelukan. Disandar tubuh ke tubuh Ilham.
“You can open your eyes, Elman. I’m done with my kissing.” Elman geleng kepala. Tangan dijatuhkan ke leher sofa.
“Ed…please la.”
“What?” Ed usap lengan Ilham yang terdedah.
“Behave.”
“I’m not doing any sin. Just kissed my husband…” Laju dicium sekali lagi bibir Ilham. “..like this.” Ilham kulum senyum. Ed mana boleh kalah kalau bercakap bab ni. Mahunya hujah kita, dia cantas. Tangan capai bekas plastik berisi kurma yang dia baru beli tadi waktu makan bersama Elman.
“I tak cakap you buat dosa. Tapi tengok la keliling.”
“Well. You can practice it later with your beloved Zara. Right, darling?” Ilham angguk sambil jongket kening pada Elman. Reaksi yang buat Elman ikut balas dengan riak yang sama.
“What?”
“Aku okey je kalau kau cium future wife kau depan kami nanti.” Elman laju geleng kepala. “No way, bro. I am not going to do that in public.” Rosak budak berdua ni. Kalau aku nak pun, mampus Zara maki aku nanti.
“Papa pun cium mama depan kita kan. You okey aje.” Ed ikut beri hujah.
“Papa cium pipi mama aje. But you…” Elman tak habiskan ayat. Tak kuasa nak berhujah dengan Ed. Mesti ada jawabnya nanti.
“Tak kisah. Pipi ke. Dahi ke. Bibir ke. Janji is a kiss. And it is not wrong.”
“Whateverlah, Ed.”
Ilham gumpal senyum. Dah kata dah. Mesti kalah punya kau, Man. Plastik berisi kurma dibuka. Sebiji dicapai. Ed yang melihat ikut menjenguk ke dalam plastik.
“Apa tu?”
“Kurma ajwa.” Kurma di tangan terus disumbat ke dalam mulut.
“Ajwa?! Kurma nabi?!” Ed goncang tangan Ilham.
“Hmmm.”
“Darling nakkkk..” Ed dah keluar rengek. Dipaut tubuh Ilham. Melengkar tangan ke leher suaminya. Senyum Ilham menguntum. Dah masak dengan manja isterinya ini. Ajwa yang dikunyah dikeluarkan ke hujung bibir lalu disuakan ke bibir Ed.
“Aduh!” Elman humban suara tengok aksi kedua-duanya. Tangan singgah ke dahi. Ditepuk keras. “Korang berdua ni agak-agaklah nak buat aksi terlarang. Tak cukup ke berkiss-kiss tadi. Aku ni bukan patung. Haish. Sakit mata aku tengok.”
Ilham dah bantai gelak. Ed yang mengunyah baki kurma ikut ketawa.
“Mana pulak kitaorang buat aksi terlarang ni, Man.”
“Ha’ah. Mana ada kan, darling.”
“Main transfer kurma bibir ke bibir tu aksi apa? Senaman bibir?” Elman geleng kepala. Buat aku dah terbayang bukan-bukan ajelah korang ni.
Ketawa Ilham pecah lagi.
“Itu bukan aksi terlarang la Elman. Tapi sunnah.”
“What did you say, Ed?” Elman kecilkan mata. “Sunnah? Really?”
“Hurm.” Ed capai sebiji kurma lalu dikunyah dan disuakan pula ke bibir Ilham.
“Rasulullah pun buat macam ni kat Aisyah tau.” Elman pandang Ilham yang sedang mengunyah kurma.
“Betul, Am? Aku kalau Ed ni 1% pun susah nak percaya cakap dia bab-bab ni.” Elman nak dengar jawapan adik iparnya ini. Tahu yang Ilham banyak mengubah hidup Ed jadi muslimah dan isteri yang baik.
Ilham angguk. “Betul la tu apa Ed cakap. Itu cara rasulullah tunjukkan kemesraan pada isterinya. Ilmu yang baginda turunkan untuk para suami. Praktis nanti dengan Cik Zara tu. Kan sayang?” Ilham lempar kenyit pada Ed.
“Barulah Cik Zara tambah sayang kat you, Elman. Macam Aisyah kasihkan Rasulullah yang romantik. Macam I kasihkan my darling Am yang muahhhhh.” satu ciuman hinggap di pipi Ilham. Elman simpul senyum. Seraut wajah manis Dhia Zara sedang terukir di mata.

Friday, June 9, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Kaki aku terpasung di luar pintu pagar usai keluar dari perut teksi yang aku naiki dari pejabat. Susuk tubuh kak long tegak di depan pintu utama. Muka ketatnya bersama mata galak yang tajam menghumban renung. Di depannya ada dua buah beg pakaian. Seakan dicampak sahaja di situ. Aku kenal beg itu. Beg yang aku bawa masa mula-mula masuk ke dalam rumah ini. Kalau dah menyampah dengan tuannya…begnya juga ikut dibenci. Aku sudah dapat meneka tujuan kak long berada di rumah Zainal ini. Aku susun langkah perlahan memasuki halaman. Kaki makin mendekati. Tak perlulah sampai minta kak long halau I begini, Zainal. I tahu keluar sendiri. Kan semalam I dah minta izin you? Memang semalam aku yang minta dari Zainal untuk keluar dari rumah dan duduk di tempat lain sehingga tempoh kami dipanggil ke mahkamah. Itu yang terbaik. Aku dah minta nasihat Cik Zara dan dia pun cakap kalau Zainal izinkan, itu lebih baik demi mengelakkan sebarang hubungan intim berlaku.
“Assalamualaikum kak long.” Aku hulur salam. Tangan ikut aku hulur pada perempuan yang bergelar kakak ipar padaku.
“Tak payah nak tunjuk baiklah!” Tangan aku ditolak kuat. Tubuh aku tersasar sedikit ke belakang. Aku hempas nafas bersama gelengan kepala. Perempuan ini terlalu membenci aku sejak dari mula tanpa aku tahu sebab dan puncanya. Dan sehingga kini aku masih tertanya-tanya kenapa kak long benci sangat padaku.
“Tu…” Muncung kak long panjang menghala pada beg-beg pakaian yang terdampar di depan. “…ambil beg-beg buruk kau. Angkut kain baju kau semua. Kau pun memang nak keluar kan?” Senyum sinis kak long tertangkap di mata. Aku masih tegak. Takzim memandang perempuan yang begitu dipercayai kata-katanya oleh Zainal. Telunjuk kak long lurus ke muka. Aku masih tidak berganjak. “Eh…kau jangan nak terhegeh-hegeh lagi duduk kat sini. Zainal dah tak hingin pandang muka kau lagi!”
Aku akan ingat hari ini, Zainal. Dan kau ingat Zainal, sekali aku melangkah, aku tak menoleh lagi.
“Apa lagi yang kau tunggu!!! Berhambuslah!!!” Kak long humban jerit sambil menolak bahu aku. Aku diam tunduk mencapai beg-beg yang dicampakkan. Seakan mengutip tubuh sendiri yang dilemparkan tanpa ikhsan. “Orang dah humban, berhambus aje la! Jangan nak jadi betina muka tak malu! Betina tepi jalan aje yang muka tak malu ni.” Sindiran tajam kak long terus mengasak. Dan di lantai halaman yang kaku aku seakan nampak Zainal sedang tersenyum. Mata aku pejam sesaat. Menghalau wajah itu dari layar mata.Aku angkat muka. Kak long yang masih tajam merenung aku balas pandang.
“Saya pun tak pun hingin walau sedetikpun untuk duduk sebumbung lagi dengan jantan dayus adik kesayangan kak long tu.”
“Kurang ajar punya betina!” Aku merapati kak long.
“Kak long cermin diri sendiri dulu sebelum kata saya kurang ajar. Selama ini siapa yang kurang ajar? Saya? Atau kak long?”
"Kurang ajar kau ye betina!" Dan aku tak sempat mengelak bila hayunan tangan kanan kak long laju singgah di pipi.
“Pang!!!!”

Tuesday, June 6, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku duduk menongkat dagu di palang serambi rumah. Mata menjilat kepulan awan kelabu yang berlegar-legar di langit yang muram. Awan kelabu pekat yang membawa khabar bahawa akan turun hujan. Suasana mendung menyelimuti udara persekitaran. Puput angin pagi menderu lembut menyapa pipi. Aku kuis helaian rambut yang menampar pipi lalu aku selitkan ke telinga. Mata jatuh ke halaman. Daun-daun kelapa mawar yang tegak di kiri dan kanan pintu pagar ikut menghulur lambai.
Malam tadi aku sampai di kampung selepas cuti aku selama dua hari diluluskan Jimmy. Aku beritahu Jimmy aku ada hal di kampung. Dan Jimmy yang memang tahu aku dan Zainal akan bercerai hanya menganggukkan kepala. Aku nampak wajah muram sahabat Zainal ini. Mungkin dia rasa bersalah pada aku kerana menyembunyikan hal hubungan Zainal dan Janice yang sudah lama terjalin di belakang aku. Dan natijahnya Zainal buat keputusan untuk ceraikan aku dan pilih Janice. Jimmy ada beritahu aku lepas Zainal buat pengakuan tentang hubungannya dengan Janice. Kata Jimmy, dia sebenarnya tak tahu macam mana nak beritahu aku pasal hal itu. Dia serba salah sebab kedua-duanya kawan baik dia masa di universiti. Aku tak pernah salahkan Jimmy. Bukan salah Jimmy. Kalau dia bermati-matian berusaha halang pun, kalau dah tersurat aku memang akan diceraikan Zainal, tiada kuasa yang mampu menggugah.
Aku bangun sedikit menjenguk ke bawah rumah. Aku tak nampak motor buruk abah di tepi pangkin. Mungkin abah dah ke pekan sehari. Abah memang begitu. Setiap kali aku dan Zainal balik ke kampung, abah pasti akan carikan makanan kegemaran kami di pekan sehari. Abah tahu aku dari kecil sukakan tapai pulut dan lemang pulut hitam. Zainal pula suka sangat makan gulai ikan sungai yang mak masak. Jadi abahlah yang paling sibuk untuk dapatkan makanan kegemaran kami. Nanti macam-macam yang dia bawak balik.
Tapi kali ini aku balik berseorangan. Balik berseorangan buat pertama kali sejak aku berkahwin. Balik tanpa Zainal. Dan kepulangan aku tanpa dia, naik bas pulak malam-malam mengundang macam-macam pertanyaan mak. Aku ingat lagi malam tadi waktu sampai di muka pintu. Mak terjenguk-jenguk di halaman bila tak nampak kereta Zainal. Bertanya mana Zainal. Aku jawab aku balik sorang naik bas. Airmuka mak berubah. Mak tanya kenapa? Apa yang dah jadi pada Zainal? Aku tarik senyum kecil walaupun kala tu hati aku dah menangis. Kesian aku tengok mak. Tertanya-tanya dan tercari-cari menantu yang dia sayang.
Maafkan Zira, mak.
Zainal takkan datang ke sini lagi jumpa mak. Dia takkan datang lagi,mak.
Abah hanya tenang. Dia seakan dapat menghidu sesuatu yang dah terjadi antara aku dan Zainal lalu tidak bertanya apa-apa. Hanya suruh aku masuk dan abah tolong bawakkan beg pakaian yang aku bawa. Bila mak mahu buka mulut bertanya lagi, abah melarang dengan gelengan kepala. Mak yang memang faham bahasa tubuh abah terus diam. Abah suruh aku masuk bilik dulu sebab aku mesti penat. Abah cuma tanya aku dah makan atau belum. Bila aku cakap aku dah makan masa bas berhenti rehat tadi, abah angguk. Abah cakap tidurlah sebab dah lewat malam. Esok kita sambung berbual. Abah tarik tangan mak masuk bilik.
Aku nampak mak toleh pandang aku. Aku nampak galau di wajah mak. Aku nampak riak kesedihan di wajah abah walaupun abah cuba sembunyikan dengan tayang senyum kecil. Dan jauh di sudut hati aku sedang meraung pilu. Aku pulang dengan bawa berita yang pasti akan buat mak dan abah terduduk. Anak tunggal mereka ini yang dikatakan perempuan penipu yang pura-pura baik untuk jadi menantu keluarga kaya…perempuan mandul…perempuan yang tidak mendatangkan hasil akan bergelar janda dalam tempoh dua minggu lagi.
Hujung kolam mata terasa panas. Laju aku sapu dengan tapak tangan. Menahan kolam sedih dari retak. Kata-kata kejam kak long itu terus terngiang-ngiang. Gegak gempita ketawa riang kak long bergema kerana aku berjaya disingkirkan dari hidup Zainal. Aku kemam bibir dan mata terhala ke arah tangga. Bagai ternampak-nampak saat mak dan abah menghantar aku untuk mengikut Zainal balik ke Kuala Lumpur usai majlis kenduri perkahwinan kami lima tahun dahulu. Bagai terlayar senyum bahagia mak dan abah yang mendoakan bahagia hidup rumahtangga aku yang baru bermula akan berkekalan hingga akhir hayat.
Aku geleng kepala. Bahagia itu dah tiada lagi mak…abah. Zira tak mampu nak pertahankannya hingga akhir hayat macam yang mak dan abah harapkan. Bahagia tu dah terputus dan takkan mungkin bersambung lagi. Bahagia yang akan dikuburkan Zainal dengan kain kapan bernama talak. Aku gagal tahan airmata yang mengalir laju menuruni lembah pipi.
Maafkan Zira, abah…mak.
Maafkan Zira.

Saturday, June 3, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

"Perceraian cara persetujuan bersama atau bahasa mudahnya kita sebut cerai cara baik ni bila ada persetujuaan dari dua-dua pihak untuk bercerai. Puan setuju ke nak bercerai?"
Aku pandang Zai. Dari bawak meja terasa tangan digenggam kemas oleh Zai. Aku balas genggaman tangan Zai. Aku sudah bulat dengan kata hati. Kalau Zainal tak setuju pun aku akan tetap nak bercerai jugak. Buat apa ada suami, kalau diri dicurangi dan dikhianati dalam diam. Kalau suami sendiri dah tak percaya pada isteri apa lagi yang tinggal dalam rumahtangga. Baik bercerai sahaja. Lagipun ini memang yang Zainal nak. Dan ini tentu berita paling menggembirakan kak long.
"Ya, Cik Zara. Saya setuju nak bercerai dengan suami saya." Peguam muda yang cantik depan aku ini menganggukkan kepala. Ada segaris senyum di bibirnya. Aku nampak dia sedang menulis sesuatu di atas buku nota yang dia bawa. Suasana cafe lewat petang agak lengang dan damai.
"Suami puan cakap dia akan failkan perceraian ini?" Aku angguk. Itu yang Zainal beritahu semalam dan pagi ni aku cerita semuanya pada Zai. Aku menangis depan Zai. Aku sedih sangat dengan apa yang Zainal cakap semalam. Aku luahkan semua pada Zai. Termasuk fitnah kak long yang buat Zainal mengamuk. Sampai hati kak long. Apa dosa aku pada dia sebenarnya. Aku terus cakap dengan Zai aku nak jumpa peguam yang dia cakapkan sebelum ni. Aku nak tanya pasal hal ini. Dan Zai yang ikut sakit hati terus buat temujanji dan bawak aku jumpa peguam ini. Kata Zai kita selesaikan hari ini jugak, Zira.
"Kalau macam tu, dalam tempoh 21 hari selepas suami puan failkan permohonan perceraian, kes ini akan dipanggil di mahkamah. Kalau dia failkan hari ni, hujung bulan depan insyallah puan akan dipanggil oleh mahkamah."
"Kena bicara ke, Cik Zara?" Aku nak tahu jugak. Sebut kena panggil dengan mahkamah aku dah terbayang kena soal macam-macam yang selalu aku tengok dalam tv. Peguam di depan aku ini senyum.
" Puan tak perlu bimbang. Takkan ada sesi soal-jawab macam-macam." Macam dia tahu aje apa yang dalam kepala aku.
"Perceraian cara ni tak perlukan perbicaraan. Yang penting masa sebutan kes puan kena suci...tiada hubungan kelamin dalam tempoh suci. Itu penting."
Aku telan nafas dalam-dalam. Sejak Zainal buat pengakuan ada hubungan dengan perempuan bernama Janice yang rupakan kekasih lama dia, kami memang sudah tidur berasingan. Tiada hubungan seksual lagi antara kami. Aku rasa selama lima tahun ini mungkin bukan aku yang dia bayangkan ada di sisi waktu kami berhubungan...tapi perempuan itu. Setiap lafaz dan kata-kata cinta dan sayang bukan ditujukan untuk aku tapi perempuan itu. Terlalu pilu untuk aku kenang segala yang manis dan indah yang pernah aku lalui. Indah dan manis yang ternyata bukan buat aku tapi untuk perempuan itu. Batang tubuh aku ini rupanya hanya tempat dia melepaskan segala berahi yang terpendam pada perempuan itu.
"Mahkamah akan tanya puan tentang persetujuan puan. Itu sahaja. Kalau puan setuju, mahkamah akan minta suami puan lafazkan cerai. Suami puan lafaz cerai, terus selesai."
"Berapa lama boleh selesai kes ini Cik Zara?" Zai hulur tanya. Aku pandang wajah peguam muda ini.
"Paling cepat boleh selesai dalam masa 6 jam."
6 jam.
Aku pandang meja yang kaku. Ada sebak yang menghempas jiwa. Aku kemam bibir. Hubungan kami yang terikat dengan lafaz terima tulus ikhlas di hati aku akan terlerai dalam tempoh 6 jam. Aku tak pernah menyangka akan jadi janda dalam usia muda. Begini berakhirnya status isteri kepada Zainal Rauf yang aku sandang selama lima tahun. Status yang akan berpindah pada perempuan paling Zainal cinta. Dan perempuan itu tentunya bukan aku tapi Janice.
Moga you bahagia, Zainal.
Moga you bahagia.

Wednesday, May 31, 2017

Kau Yang Satu

“Buat apa tuuu, grandma to be…” Jeffrey leret suara sambal jenguk kepala di sebelah Asma. Bukan dia tak tahu apa yang isterinya sedang buat. Dari luar dapur tadi hidung dah terbau haruman rendang. Sengaja ditanya. Mahu mengusik sebenarnya. Asma kalih pandang sebelah sambil hulur cebik.
“Tengah jemur tilam ler atukkkk.”
“Oooo.” Panjang muncung Jeffrey. “Jemur tilam dalam kuali ke grandma to be? Formula baru ni. Kena beli banyak kuali la kan. Mahu licin kuali di pasaran kena borong dengan orang tu.” Asma laju hala siku ke rusuk suaminya.
“Ada yang masuk dalam kuali rendang ni karang.”
Terkekeh ketawa Jeffrey. Tangan memaut erat bahu Asma. Hela nafas ditelan. Bau rendang ayam yang diminta Sarah menusuk rongga. Siap diminta buat banyak. Nanti boelh makan banyak kali sebelum balik ke Melbourne. Air tangan isterinya ini sentiasa yang terbaik. Dan dia benar-benar bersyukur dianugerahkan wanita istimewa ini dalam hidup.
“Atuk…” Asma tepuk lengan Jeffrey. “…please help me to get that puding leaf.” Asma tunjuk daun puding yang terletak dalam tapis di tepi sinki. Jeffrey pantas ke sinki. Dicapai tapis plastik dan dihulurkan pada Asma. “Here your’re. The secret ingredient to your marvelous chicken rendang.”
“Thank you, atuk.” Asma layang sengih. Jeffrey balas sengih Asma.
Atuk.
I hate that word.
Daun puding selamat diterjunkan Asma ke dalam kuali. Tangan lincah mengacau rendang yang sudah bergaul dengan daun puding yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga. Terbayang senyum Sarah bila makan nanti.
“Yang…”
“Hurm.”
“Nak minta tolong boleh tak?”
“Name it Mister Chairman.”
“Jangan panggil I atuk boleh tak? Bunyi macam bongkok tiga aje. I ni hot lagi tau. Hot grandpa.” Asma ketawa kecil. Hot grandpa la sangat.
“Jangan ketawa, Yang. Fact okay. Anak-anak dara pun toleh berkali-kali kalau nampak I.” Mula dah dia.
“You need to know an important fact about man, Yang.”Asma angguk. “Okay. Say it Mister Chairman.” Tangan putar suis dapur. Tangan capai mangkuk kaca yang diletakkan di tepi dapur tadi. “Lelaki ni bila makin berusia, nilai dia makin mahal di mata perempuan. Especial a gentleman like me. Priceless.” Asma jongket kening pandang Jeffrey.
“Really?”
“Of course, dear. Hottest chairman in town. ” Jeffrey siap pegang dagu dan dipusing ke kiri dan kanan.Reaksi yang mengundang batuk kecil Asma.
“Gelinya telinga.”
“Eleh geli kunun. Tapi peluk kita tiap malam tak lepas-lepas tu tak geli.”
“Abang..” Asma humban sengih.
“Ya, Yang…” Jeffrey ikut baling sengih.
“Nak rasa rendang manusia tak? Sedap tau. Lagi-lagi daging Mister Chairman Jeffrey Iskandar. Manusia yang hot sangatttt tu.” Asma leret suara.
Berderai ketawa Jeffrey.
#AsmaJeffrey
#KauYangSatu

Tuesday, May 30, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku lambai tangan pada Zai dan Abang Jazli yang hantar aku balik. Kalau boleh aku memang tak mahu nak menyusahkan mereka berdua. Bukannya aku tak bersungguh menolak, tapi Zai dan suaminya beria benar tadi. Sampai aku tak tahu nak kata apa. Abang Jazli cakap waktu dalam kereta tadi yang aku ni dah macam adik dia. Susah aku, susahlah dia. Setakat mana dia boleh tolong, dia akan tolong. Zai pulak kata, kalau aku anggap dia kawan baik, tolong jangan tolak pertolongan dia. Dia rasa bersalah kalau tak tolong sedangkan dia mampu. Panas kolam mata dengar kata kedua-duanya. Segan, malu dan sedih pada nasib diri hanya Tuhan yang tahu.
Aku masih tegak macam patung di depan pintu pagar yang ternganga. Mata pandang kereta Saga biru yang berdenyut meninggalkan kawasan rumah. Dalam hati ada sebak yang menguis. Orang luar lebih ambil berat hal aku dari suami sendiri.
Suami.
Rasa berpasir liur yang aku telan bila perkataan itu singgah di rengkung. Aku toleh ke halaman yang sepi. Kereta mewah Zainal sudah terparkir tanda dia ada di dalam rumah. Kaki melangkah masuk melepasi pitnu pagar. Seiring juga ingatan kembali pada apa yang berlaku pagi tadi. Aku nampak Zainal berdiri di sisi pintu kereta. Dia nampak aku di pintu menyarung kasut untuk ke pejabat. Zainal lempar renungan tajam sebelum melolos masuk ke dalam perut kereta dan meninggalkan aku. Langsung tak pelawa aku. Aku tertanya-tanya sendiri. Aku ada buat salah ke? Malam tadi reaksi dan suara dia macam rasa bersalah sebab aku balik sendiri lepas jumpa kak long. Kenapa pagi rasa itu terus berubah?
Aku terasa hati sangat dengan tingkah Zainal. Dan rasa jauh hati itu terheret sepanjang perjalanan ke pejabat. Mata masih terbayang-bayang Zainal hempas pintu kereta dan menekan enjin kereta meninggalkan aku yang terpinga-pinga di halaman. Akal jahat aku tidak dapat menolak reaksi Zainal tadi ada kaitan dengan kak long. Kak long dah cakap apa pada Zainal? Aku putar tombol pintu utama usai beri salam. Pintu aku tutup semula dan berpusing ke depan. Aku terus heret kaki untuk ke atas.
“Zira..”
Spontan kepala aku terpusing ke arah ruang tamu. Zainal sedang duduk bersilang kaki dan tangan. Menghumban renung tajam. Kepalanya bergerak sedikit. Beri isyarat.
“Sini. I need to talk to you.”
Aku diam. Nafas aku telan dalam-dalam. Hati aku rasa tak sedap tapi aku tetap akur dengan arahan veto Zainal. Kaki bertukar kompas. Berputar ke ruang tamu. Langkah perlahan aku atur. Zainal masih merenung tajam. Aku duduk di sofa setentang. Dia masih terus merenung dalam bisu. Wajah ketatnya terpamer jelas. Aku tahu ada yang tak kena. Lima tahun hidup sebumbung dengan lelaki ini aku kenal benar perangainya. Aku letak tas tangan di sebelah. Renung Zainal aku balas tenang.
“I dah duduk. Cakaplah.”
Aku nampak Zainal macam menahan marah. Rahangnya bergerak-gerak. Dua tangan yang memaut tubuh tadi sudah terlerai dan digenggam kemas. Macam nak bertumbuk aje aku tengok. Dia nak tumbuk aku ke?
“Apa yang you cakap dengan kak long semalam?” Zainal tekan suara. Sedikit tinggi. Seketika aku diam. Tak jawab pertanyaan dia. Seperti yang aku duga, memang kak long punca riak dan perangai Zainal berubah 360 darjah dari malam tadi. Aku pandang muka Zainal. Dan diam aku rupanya buat dia letuskan amarah yang tadinya terpamer pada riak wajah.
“Jawab!!!”
Halilintar suara Zainal bergema. Memecah sunyi ruang tamu yang bisu. Aku terkejut. Mata terkelip-kelip. Bibir ikut terjeda dek terperanjat. Zainal tak pernah memetir begini. Apa yang dah kak long cakap pada dia? Aku rasa ada perkara tak betul yang kak long cakapkan pada Zainal tentang pertemuan kami semalam. Dan sebab itu Zainal tinggi suara. Aku tiba-tiba jadi sakit hati. Kalau kak long ada kat depan aku sekarang ni memang aku tanyakan apa yang dia dah cakap pada Zainal pasal hal semalam. Aku tak nak tuduh, tapi aku yakin kak long fitnah aku pasal hal semalam. Tak apa. Aku nak tahu apa yang kak long cakap.
“Cakap apa yang you maksudkan?” Aku tayang muka berani. Terkejut dan terperanjat tadi hilang dek rasa sakit hati yang menumbuk-numbuk dada.
“You jangan nak pura-pura, Zira!!!”
“Pura-pura apa!!!” Suara aku pulak sama naik. Marah pulak aku dituduh macam tu. Siapa yang pura-pura? Aku ke atau kak long kesayangan dia? Zainal hala telunjuk. Tepat ke muka aku. Aku langsung tak beriak. Lantaklah kalau dia nak kata aku tak hormat dia sebagai suami. Dia yang dulu tunjuk rasa tak hormat pada aku.
“Betul cakap kak long. You memang kurang ajar. Sekarang I tengok perangai sebenar you. Mak I pun dah tertipu dengan lakonan you.”
Aku dah agak dah. Kak long memang boleh menang award best actress. Antara benar aku dan bohong kak long tentu bohong kak long lagi Zainal percaya. Lagi menyakinkan dia tapi aku tak peduli.
"I tak ada bukti tapi I ada saksi. Tuhan." Aku pandang muka ketat Zainal.Muka tak puas hati. Muka sakit hati. Muka nak makan orang pun ada.
"Jangan nak guna nama Tuhan untuk tutup salah you, Zira. Admit it. You memang kurang ajar dengan kak long. Sanggup you tinggikan suara pada kak long. Caci I dan Janice. Janice tak pernah salah pada you. Tak perlu nak caci maki orang. Adab you selama ni yang mak I banggakan tu mana? Atau you memang pura-pura tunjuk baik depan I dan keluarga selama ini?"
Zainal humban perli. Aku senyum sinis. Hebat kau, kak long. Tapi…kau jangan lupa, lidah hebat kau tu akan dikunci di sana nanti. Biar mata dan seluruh anggota kau yang lain jadi saksi atas apa yang kau dah cakap pada Zainal tentang hal semalam. Zainal yang masih menunggu pengakuan bersalah aku jamah tanpa rasa takut.
“Betul I kurang ajar?” Aku tanya Zainal. Aku nak dia faham isyarat aku yang dia tidak adil pada aku sekarang sebab hanya dengar cakap kak long. Dia tak beri telinga dia peluang dengar cerita dari pihak aku.
“Memang you kurang ajar pada kak long!” Zainal humban suara keras. Aku angguk kepala. Dia dah jatuhkan hukuman sedangkan aku tak berpeluang bela diri.
"I kurang ajar...atau dia yang terlebih diajar?"
"Zira!"
“I kurang ajar bila orang yang lebih tua kurang ajar dengan I. Cerca maruah I. Caci diri I. Tanya kak long you apa yang dia cakap pada I.”
Aku bangun dari duduk. Tas tangan aku capai. Bukan niat nak kurang ajar pada Zainal, tapi aku rasa tak ada guna aku bertikam lidah pada perkara yang aku awal-awal dah dijatuhkan hukuman. Dan Zainal memang tidak mampu berlaku adil.
“Duduk! I belum habis lagi dengan you, Zira.”
“It’s done, Zainal. I’ve nothing more to say.” Aku bergerak mengatur kaki. Zainal pantas bangkit dan mencapai lengan kiri aku. Dicengkam kuat.
“I masih suami you, Zira. Hormat you mana pada I?”
Aku renung mata Zainal. “Hormat?” Aku layang senyum sinis. Kata-kata pedih kak long terngiang kembali di cuping. Aku tekan telunjuk ke dada bidang Zainal.
“You hormat I sebagai isteri you, Zainal?” Aku nampak muka Zainal tak beriak. Aku kulum senyum. “Tanya diri you…suami apa you ni yang sanggup kata isteri dia perempuan mandul. Suami apa you ni yang sanggup buka aib isteri sendiri? Suami apa you ni, Zainal?!” Aku tekan kuat lagi telunjuk.
“Zira! Jangan nak tuduh I yang bukan-bukan.”
“Tanya kak long you!!!”
“Jangan nak fitnah kak long!!!” Sebak menampar-nampar dinding hati bila diherdik Zainal tanpa belas. Kak long tetap benar di mata dan hati dia. Aku ketap bibir. Mata kami terus bersabung. Aku terus pandang Zainal.
“Terpulang pada you. You dah anggap I bersalah. Apa lagi yang I ada.”
“I dah buat keputusan tentang you dalam hidup I.” Zainal lepaskan cengkaman tangannya pada lengan aku.
Aku angguk. Macam tunggu hukuman mati. Tahu apa yang bakal aku terima.
“I tak boleh nak terima lagi perempuan yang berpura-pura macam you dalam hidup I. Cukup I tertipu dengan lakonan you selama ini.” Aku lempar tatap pada Zainal. Jiwa rasa dihiris-hiris. Hati bagai dicincang lumat. Kejamnya kata-kata Zainal. Ya Allah. Kuat Zira. Kuat! Aku ketap bibir. Kornea masih di wajah Zainal.
“I rela tak bersuami dari ada suami sekeji you, Zainal.” Aku nampak Zainal humban tatapan tajam. Peduli apa aku kalau dia terasa. Memang dia lelaki keji.
“I akan lepaskan you, Zira. Kita akan jumpa di mahkamah nanti. I akan failkan permohonan perceraian esok. I akan lepaskan you secara baik, Zira. I takkan aniaya you. I masih ada rasa perikemanusiaan pada you.”
Perikemanusiaan.
Akhirnya ini noktah hubungan aku dan Zainal. Dan ini hadiah Zainal atas segala patuh dan ikhlas aku sebagai isteri selama lima tahun. Aku terbayang wajah mak dan abah. Tak tahu apa yang akan aku beritahu. Maafkan, Zira mak…abah.
“Terima kasih atas perikemanusiaan you, Zainal.” Aku lafaz suara tenang sambil menyeru kekuatan untuk aku terus berdiri di saat tubuh mahu rebah. Aku angguk kepala pandang Zainal sekali lagi sebelum heret kaki ke arah tangga. Aku pandang keliling rumah. Rasa mahu menangis tapi aku tahan. Terlalu banyak kenangan manis yang terakam di rumah ini. Mungkin hari ini hari terakhir aku berpayung di rumah milik Zainal. Esok aku sudah jadi orang asing. Aku tak berhak lagi berteduh di sini.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...