Tuesday, April 27, 2010

Bukan Idaman Hati - Bab 6

Bab 6
Mata Noor sudah mendongak sedikit melihat nombor yang tertera pada skrin diatas lif. 9. Yup, dah sampai! Langkah diatur pantas ke lorong hadapan sambil pergelangan tangan kanan diangkat sikit ke muka. 7.30 pagi. On time, bagus. Senyum sebaris tercalit di pinggir bibir.
Kaki sudah terhenti betul-betul dihadapan pintu kaca unit no.8 di Suasana Sentral Loft Condominium. Serentak itu juga kunci ditangan yang dikeluarkan dari beg kura-kura dipandang. Salinan kunci yang diberikan Puan Sri Aimal padanya minggu lepas tatkala dia selesai diberikan penerangan tentang tugasnya di kondominium ini. Jari sudah menggaru kepala yang tidak gatal sambil mata menala pada permukaan kaca bersegi empat tepat yang siap bergrill dihadapan. Boleh main redah jer ke masuk rumah orang ni?
"Noor masuk saja nanti bila sampai. Jangan risau apa-apa ye. Makcik dah beritahu anak makcik tu jadual kerja Noor kat sini." Yelah tu makcik. Karang buatnya saat pintu dibukak je ada pulak makhluk yang tengah dalam situasi "tak siap" sedang terpacak lepas tu terkaku sekejap ala-ala patung cendana sebab terkejut lalu bertembung mata pulak lagi dengan dia yang dah macam tercangak-cangak ni sambil mulut melopong...haa mahu nahas!

Wei Noor imaginasi tahap panca delima betul, masuk je la! Redah je.

Betul ke ni main redah je, tak payah ketuk dan bagi salam dulu ke? Rumah orang ni tau, tak ada adab langsung la pulak kalau main redah je. Kalau mak tahu ni mahu seminggu gamaknya dia kena kutbah free. Masuk rumah orang tak bagi salam!

"ini salinan kunci rumah anak makcik. Senang Noor datang masa kerja nanti. Nanti kalau takda kunci rumah jenuh pulak ketuk pintu. Is tu yang cadangkan makcik bagi Noor kunci salinan ni. Hujung minggu dia memang suka berkurung dalam bilik je waktu pagi. Selalunya tengahari sikit baru dia keluar dari bilik. Memang Is pesen macam tu dari dahulu. " tangannya sudah dicapai wanita anggun yang membahasakan dirinya "makcik" itu. Senyum sebaris hadir dipinggir bibir seraya menganggukkan kepala. Ha, Puan Sri Aimal dah bagi green light hari tu, jadi boleh je la dia redah masuk rumah ni kan. Lagipun "orang tu" mesti tengah berkurung dalam bilik. Berkurung? yelah tu..ntah-ntah tengah baek punya membuta!

Haa baru ingat, nama "orang tu" tu Is. Is apa ek? Pendeknya nama "majikannya" itu. Nama manja kut, takpun nama timang-timangan yang Puan Sri Aimal panggil kut. Ismail kut nama penuh orang tu, takpun Islahuddin. Amboi pandai-pandai je ye. Jangan menyibuk boleh tak Noor?

Sah la "majikan" barunya itu spesies tidur melangkah matahari. Puan Sri Aimal tu mestilah cover line kata si Is tu "berkurung" kunun. Pemalas la tu! Issh mulut sedap je ye Noor, cili karang baru tau. Ala betul apa, mak dia selalu cakap dahaulu tidur melangkah matahari ni tak elok tahu. Kalau dia dahulu jangan mimpi nak bangun pagi lambat biarpun masa hari cuti atau tengah "bercuti", alamat suara soprano makcik Tijah akan bergemalah kat rumah buruk kami tu.

Kaki sudah melangkah masuk. Sunyi. Kunci cepat dimasukkan ke dalam beg kura-kura. Bola mata meliar memandang sekeliling sambil kepala terjenguk-jenguk ke hadapan. Tiada kelibat "Dia". Tidur lagi la tu. Noor, mulut tu jaga sikit ye..yelah, maaf! Langkah dari arah pintu dibawa melepasi kawasan ruang tamu. Mata terhenti melihat koleksi kristal yang cantik bersinar dari dalam almari kaca di tepi ruang tamu. Cantiknya. sejak kedatangan kali pertama dahulu kala dibawa oleh Puan Sri hatinya sudah jatuh hati pada kilauan kristal berkenaan. Langsir pada sliding door kaca ditarik dan diselakkan. Ha, baru terang sikit, cahaya masuk. Noor sudah berdiri di tengah-tengah balkoni sambil nafas dihela perlahan-lahan. Tangan diangkat ke atas. Mata terpejam. Perlahan nafas dilepaskan. Kaki melangkah kehadapan sedikit. Palang besi balkoni dipegang sambil kepala sempat menjenguk ke bawah. Terlihat kolam renang yang masih sepi tanpa pengunjung. Semua orang masih dibuai mimpi gamaknya ni. Langkah dihala masuk semula ke dalam. Kaki dibawa melangkah perlahan-lahan masuk ke kawasan dapur. Kepala menjenguk ke dalam. Tiada juga. Mata sempat menala persekitaran dapur. Terkagum pada suasana dan susun atur perkakasan dapur yang nampak cukup kemas dan bersih. Hmm, bagus jugak dia ni. Rajin berkemas.

Kaki melangkah ke ruang makan. Saat tangan mahu meletakkan beg diatas meja kaca segi empat bujur dihadapan mata tertancap pada sehelai kertas yang diselit dibawah pasu bunga mawar putih segar. Dahi sudah berkerut. Kertas dialihkan perlahan dari bawah pasu. Dibawa dekat ke muka. Uik!

SENARAI TUGAS MINGGU INI. Tajuk yang ditulis dengan huruf besar dan siap diboldkan (sengaja la tu!) diatas lembar kertas diteliti. Dibaca satu-persatu.

Awak pasti sudah mama saya beritahu mesin cucian kering terletak di mana juga peralatan elektrik yang lain bukan...so:

  1. Pakaian yang perlu dicuci kering sudah saya letakkan didalam bakul biru dipintu hadapan bilik saya. Awak tahu bukan yang mana satu bilik saya? Pastikan dicuci dengan berhati-hati. Baju saya bukan murah!...Mata Noor sudah membulat, kerek betul dia ni!
  2. Pakaian yang sudah dicuci kering harus digosok. Sila hati-hati waktu menggosok pakaian saya. Semua tu mahal!...sila simpan pakaian yang sudah siap digosok ke dalam almari hitam didalam bilik bersebelahan bilik saya. Bibir Noor sudah mencebik...ala, mana aku tahu, ntah-ntah kau beli tu semua kat Chee Cheong Kai!
  3. Pastikan waktu awak mengemaskan ruang tamu barang-barang perhiasan yang saya letakkan di kawasan sekitar ruang dijaga rapi. Saya tidak mahu barang saya dirosakkan atas sebab kecuaian awak. Ingat!...Bibir bawah diketap, aku pecahkan betul-betul nanti koleksi kristal kau ni baru padan!
  4. Masakan tengahari, barangan boleh awak pilih di dalam peti sejuk. Saya tidak cerewet. Jangan berminyak. Jangan terlalu pedas, saya tak tahan. Jangan termasin tapi jangan sampai takda rasa langsung pulak!...saya tidak cerewet kunun! aku masukkan julap karang baru padan muka!
  5. Pastikan dapur dan semua perkakasan dalam keadaan kemas, bersih dan teratur selepas digunakan. Saya tidak suka bersepah. Semak mata!...orang tau la!
  6. Pastikan sliding door ditutup dan langsir berkeadaan asal selepas awak masuk dari luar balkoni. Eh, dia letak cctv ke kat sini?
  7. Sila pastikan pintu dikunci bila awak balik nanti. Jangan cuai!...tak, nanti bila nak balik aku bukak pintu depan tu luas-luas!..hapa, ingat orang tak sekolah ke?

"Life was like a box of chocolates. You never know what you're gonna get". Minda kembali teringat kata yang dilafazkan Tom Hanks dalam Forrest Gump. Benarlah hidup ini sukar diramal perjalanannya. Takdir-Nya tidak terduga akal. Sabar itu ubat paling mujarab. Maka sabarlah Noor! Nafas dihela panjang. Kepala digeleng perlahan. Ya, sabar tu penawar yang tiada tolok bandingnya. Kertas dilipat kemas lalu disorong masuk kedalam poket jeans biru lusuhnya. Matanya menala pada pintu bilik utama di hujung kanan ruang. Bakul biru di depan pintu bilik tersebut pantas menangkap bebola matanya.

Sunday, April 25, 2010

Songket Hijau Buat Ku'a -Bab 24

Bab 24

Ku'a tahu dia memang selalu dapat markah gagal bila bicara bab warna. Memang fail!

Dia masih ingat kata-kata Kak Lin dahulu yang warna sememangnya membawa maksud tertentu dan adalah medium untuk menyampaikan maksud tertentu. Atas sebab itu jugalah maka ada sebabnya kejadian sesuatu ciptaan itu didatangkan dengan warna tertentu. Warna hijau pada bumi, pada tumbuh-tumbuhan juga warna biru di langit misalnya. Ada maksudnya, ada sebabnya warna itu dipilih. Hatta kita manusia pun sebenarnya ada pelbagai warna.

Dia tahu itu cuma sahaja yang tidak mahu ambil tahu. Tidak mahu ambil berat. Terukkan?

Dahulu fikirnya ala, bukan penting apapun untuk tahu benda-benda ni. Itulah pendapat pada fikiran singkatnya suatu masa dahulu. Tak kisahlah...tapi sekarang dia dilanda kemusykilan berkenaan warna yang memerlukan penyelesaian.

"Ku'aaa!"

"hang ni kan selalu lagu tu laa...elok-elok la perangai sikit Azad."

Ketawa kuat. Issh, anak dara sorang ini, ikut suka dia ja kalau nak gelak sekuat alam!

"haa apa..pepagi buta dah kacau aku, orang banyak keja la!"

"wei dengar ni, mesti hang terkejut beruang..."

"banyak la beruang hang..."

"betui ni. Aku yang tak dapat ni pun terkejut sakan, hang lagi la mau tergolek aku rasa. Ada surprise ni untuk hang kat depan pintu rumah. Cantik wei!"

Adalah tu nak pekena aku, bukan boleh percaya Azad ni!

"kalau nak suruh aku tapau mee goreng mamak kat simpang tu petang nanti cakap ja, toksah duk usha aku macam-macam."

Ketawa halus dihujung talian. Sah la tu!

"saja la hang tu kan nak main-mainkan aku. Azad, aku banyak keja ni tau, toksah dok kacau la. Hang pi masuk tidoq. Aku tahu hang letih baru balik dari outstation."

"wei aku tak main-main la.Ni memang ada bunga ni untuk hang. Depa hantaq kat rumah. Sejambak tu. Amboi hang, senyap-senyap no!"

Bunga? untuk aku?

"Rose jingga wei. Mak ai warna tak hinggat tu. Memancar! Tapi memang cantik la Ku'a!"

"Orange? jingga!"

"ha la, mawar jingga!..orange roses!"

Dahi Ku'a sudah berkerut. Mawar jingga? Biar betul!

J.I.N.G.G.A!!!!!!

"ya ka warna tu Azad? warna lain kut. Cuba tengok betui-betui. Hang mamai tu."

"weeei mangkuk!..." adus! sakitnya telinga aku.

"hang ingat aku buta warna ka pagi-pagi ni Kua? Cepat balik rumah.Tengok sendiri. Hang yang rabun ka atau aku yang dah kena pi jumpa Oftalmologi! "

mampus aku!

Kak Lin!!!!!!!!!!!


* * * * * * *

Seumur hidup, inilah kali pertama dia dihadapkan dengan situasi sebegini. Susah juga bila perlu berfikir tentang hal-hal begini. Bukanlah rumit manapun sebenarnya cuma...

"sungguh hang tak tau siapa?"

Kepala digeleng laju. Dua pasang mata saling bertatapan di meja makan. Tangan sudah menuang air barli yang baru dikeluarkan dari peti sejuk ke dalam dua mug dihadapan. Satu sudah disorongkan pada Azad.

"betui ka ni? tak baik bohong na.."

"ada ja yang dinner makan bunga karang ni." Mata tajam menikam wajah selamba teman dihadapan.

Ketawa.

Kata Kak Lin jingga tu warna yang melambangkan keterujaan seseorang. Makanya..

"pendapat akak orang yang bagi bunga tu nak kenal Salha dengan lebih dekat. Salha ada peminat misteri ye, amboi dalam diam ada secret admirer cik pengetua kita ye."

Bebola mata Azad sengaja dipusing-pusing. Jari telunjuk diketuk-ketuk pada dagu.

"Kak Lin kata lagu tu kat hang?"

"ha la."

Soalnya sekarang siapa pulak yang berani-berani main hantar bunga padanya. Siap dengan pilihan warna yang cukup simbolik lagi. Jingga tu! Tulis la nama kut ya pun. Ni main sembunyi-sembunyi pulak. Buat orang pening kepala ja. Issh!

"ntah ntah budak kedai bunga tu salah rumah kut Azad. Patut rumah orang lain, dia hantaq ke sini." Tangan Azad sudah mengacah mahu mengetuk kepala Ku'a dengan Mug ditangan. Ku'a sudah menutup kepala dengan kedua-dua belah tangan sambil menjelirkan lidah.

"cuba hang tengok kad kat bunga tu. Punya terang tulis TUNKU SALHA. Sapa ja yang nama Tunku Salha kat area sini makcik ooi. Hang kan? takkan makcik Latifah ada nickname Tunku Salha kut, ka aci depan rumah tu. Ka makcik Kalsum kat hujung sana tu. Ka pak Mail dah tukaq nama baru? tak tau pulak aku."

Ketawa sudah terburai dari mulut mungil Ku'a.

"aku rasa dua ekor ja Ku'a." Mug yang baru singgah dibibir terhenti. Diletakkan diatas meja semula. Mata sudah menala pandangan pada teman serumah dihadapan yang sedang enak mengunyah kentang goreng. Kening diangkat sebaris. Ha, siapa?

"Zaid...atau mangkuk sebelah ni."

"Zaid?" Kepala Azad laju mengangguk.

"mangkuk sebelah pun?" Bagai si belatuk, Azad masih setia menggangguk laju.

Ku'a sudah mengangguk-anggukkan kepala sambil jari telunjuk ditekan pada pipi.

"eh, sebelah ni kan ada dua mangkuk...ntah-ntah dua-dua pun ada saham kut." Azad sudah menggeleng pantas.

"Mus tu mana usha hang." Senyum sudah tersuring dipinggir bibir Ku'a. Mata turut tersenyum.

"wah wah dah panggil Mus tu. Mesranya bukan main." Azarina sudah menghadiah jeling tajam pada Ku'a.

Ketawa galak sudah terhambur dari pinggir bibir Ku'a.

"Amboi jeles nampak orang tu bila aku kata lagu tu. Ala aku tau hang suka mangkuk sekoq tu, tapi saja juai mahal kan. Kalau suka cakap ja, nanti lambat dia usha yang lain. Kalau nak aku tolong, boleh ja..no hal. Habaq ja no."

"ada ja yang nak kena baham ni."

Ketawa terus bergema di daerah dapur rumah mereka.

* * * * * * *

Jambangan mawar jingga diatas meja dipandang penuh minat. Kedua-dua kaki sudah disila, diatas kerusi kayu kayu dihadapan meja. Kedua-dua belah tangan saling menompang dagu.

"Zaid atau mangkuk sebelah ni." Kata-kata Azarina sebentar tadi menjengak minda.

Zaid...

Azrief...

"pendapat akak orang yang bagi bunga tu nak kenal Salha dengan lebih dekat." kata-kata Kak Lin kembali menerawang di layar mata.

Nak kenal dengan lebih dekat?

Wednesday, April 21, 2010

Istikharah Terakhir - Bab 23


Bab 23

Buntu.

Keliru.

Dia memang tengah buntu.

Dia sungguh keliru dengan situasi sekarang.

"papa serahkan pada Zita. Papa yakin Zita tahu apa yang perlu dilakukan. Papa tak akan sesekali masuk campur dalam urusan ini...but if you need me, my door is always open for you dear."

"papa this is to complicated for me. Mama.." kata-kata Zita terhenti disitu. Sukarnya bila harus berdepan dengan mama. Dia terlalu menghormati wanita nan satu itu.

"papa, Zita..." Kepala sudah tertunduk. Kedua-dua belah tangan sudah menutup wajah.

Belakang badannya sudah diusap perlahan. Tangan lembut papa sudah mendarat dibahu. Kepala diangakt. Wajah mereka bertemu. Senyuman papa yang tulus singgah di mata Zita.

"papa tahu Zita boleh handle mama. Zita kenal mama sejak kecil kan. Zita lebih kenal mama dari papa kan. Use all your strength over her without hurting her. Zita fahamkan maksud papa?"

Wajah diraup dperlahan-lahan dengan kedua-dua belah tapak tangan. Kepala disandarkan pada kerusi baldu biliknya. Kata-kata papa mengasak dada yang sudah tepu. Tepu dengan permasalahannya dengan Faisal yang masih belum berkesudahan. Lalu apa istilah yang mahu dilabelkan pada mama dalam penglibatannya di kala ini. Nafas dihela panjang bersama sebuah keluhan yang dilepaskan.

Mama.

Zita merenung dokumen yang diberikan papanya sebentar tadi. Acceptance letter yang sudah ditandatangani mama selaku Managing Director MSF Industries Sdn Bhd. Dan selaku senior manager on the job, Zita sedar dia nantinya akan sering berjumpa mama untuk urusan kerja berkenaan. Tidak terdaya akalnya memikirkan apa tujuan penglibatan mama didalam hal ehwal MSF Industries Sdn Bhd. Jika disemak dari rekod terdahulu semua urusan berkaitan proposal baru dikendalikan pengarahnya sahaja; Bernard Low. Zita sudah menghubungi Bernard, jawapan yang diterima sangat menimbulkan tandatanya. Menurut Bernard, semua urusan antara MSF Industries Sdn Bhd dengan syarikat papa Zita akan diuruskan Puan Sri Marini dan pasukan yang akan dilantik olehnya. Arahan ini kata Bernard berkuatkuasa serta-merta. Berkuatkuasa serta-merta?

Mama, Zita sungguh tak tahu apa yang cuba mama lakukan sekarang ini.

Ingin rasa dia memindahkan serta-merta tugasan ini pada pengurus yang lain agar dia tidak perlu berurusan dengan mama. Tidak perlu dia berjumpa lebih kerap dengan mama. Tidak perlu dia menghubungi mama selalu atas tiket urusan kerja. Zita tidak mahu didalam tempoh ini fikirannya diganggu dengan unsur-unsur yang mungkin menggugat keputusan "itu". Zita tidak mahu hatinya nanti goyah. Zita pasti mama sedang merencanakan sesuatu. Sesuatu yang sangat pasti ada kaitan dengan dirinya.

Namun Zita tahu kalau dia mengelakkan diri begini, ia sebenarnya akan menampakkan kelemahan diri sendiri. Dan... yang lebih utama Zita tidak mahu nanti persoalan professionalisme,kepercayaan papa dan etika kerja yang terpikul di pundaknya tercalar kesan kelemahannya mengendalikan masalah peribadi.

Tubuh yang tadi tersandar lesu dikerusi dibawa melangkah kearah jendela. Tirai kelabu yang menutupi jendela ditarik perlahan-lahan.

Hujan!

Mata Zita penuh takzim menatap titis hujan yang mencurah-curah. Pintu langit nampak berkabus.Titis yang tanpa jemu jatuh satu persatu menimpa cermin jendela lalu kemudian mencecah ke bumi. Indahnya hujan. Indahnya pemandangan. Dada rasa sebak tiba-tiba. Dirinya juga sudah lama basah dengan hujan. Hujan air mata. Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang melihat.

Hanya Dia yang tahu. Hanya Dia yang melihat...

Airmatanya bagai sudah bersatu dengan air hujan diluar sana. Laju menuruni kolam mata. Membasahi lekuk pipi. Ingin rasanya dia keluar membasahi diri dengan titis hujan yang turun. Mahu rasanya dia menangis sepuasnya tanpa siapa yang tahu dan sedar. Biar segala duka yang terhambur dari kolam matanya dihanyutkan oleh curahan hujan yang menggila!

Thursday, April 15, 2010

Bukan Idaman Hati - Bab 5



Bab 5


Bukan senang untuk jadi senang dalam hidup kalau tanpa usaha yang gigih..

Usaha itu cabang utama untuk berjaya....berjaya dalam apa juga yang dilakukan...penanda aras kearah kehidupan yang lebih terjamin. Cabaran dan dugaan itu pula lumrah hidup. Manusia kerdil sepertinya sudah terbiasa dengan asam garam sedemikian. Rencam hidup yang jauh lebih getir sudah pernah ditempuh. Ia seperti irama yang mengasyikkan. Tidak pernah menggugat diri juga semangat jiwanya.

Tray plastik biru yang sudah bersepah dengan besi-besi pelbagai saiz dan rupa dibawa ke sinki. Paip dipulas. Cecair pencuci sudah ditekan dengan ibu jari.

Kelahiran dalam lohong kehidupan yang sentiasa sempit dan sukar sejak kecil adalah ubat pada segala kepayahan yang terpaksa ditempuhi oleh dirinya sekarang. Noor tidak pernah mahu mengeluh. Yang lebih payah dari ini pun sudah pernah ditelannya. Apalah ertinya sukar...apalah maknanya susah dalam kamus hidup seorang Noor Asma. Miskin?..sudah terlalu sinonim ditelinga sejak sekian lama.

Air dari paip di sinki yang laju mengalir direnung. Tangan terus lincah mencuci instruments sesi orthodontic sebentar tadi. Minda jauh merawang bersama aliran laju air di sinki. Masalah kehidupan bukan semudah air yang mengalir. Laju memasuki corong untuk disalurkan ke loji penapis untuk proses kitaran semula lalu untuk dilahirkan sebagai air bersih semula. Masalah mana boleh ditapis dan dikitar semula!

"Noor.." kepala yang tadinya tunduk takzim berpusing 90 darjah menala ke arah pintu. Wajah manis Jenny dipandang.

"yup Jenny..."

"Oral hygiene TR2. Demo on disclosing tablet too."

Jari telunjuk dan ibu jari sudah bergabung membentuk bulatan lalu dihala pada Jenny.

"now ok. I'll get Rajes to clean those instruments for you."kepala diangguk.

"coming Jenny."

Gloves ditanggalkan dari kedua-dua belah tangan. Lifebuoy hand wash ditekan dengan ibu jari. Kedua-dua tapak tangan digosok, jari-jemari kedua-dua belah tangan diselang lalu digosok teliti. Paip sinki dipulas. Isi kotak paper towel diatas kepala ditarik perlahan. Selesai. Langkah diatur ke arah TR2 dihadapan. Perlahan-lahan pintu belakang TR2 ditarik. Senyuman Dr Farid sudah bertemu dengan sebaris senyuman Noor.

Gloves sudah ditarik lalu disarung sepantasnya sambil duduk dilabuhkan. Mask yang berlabuh didagu dibiarkan. Mata sudah memandang tepat pada Dr Farid dihadapan.

"kadangkala kita ni cik Rohani rasa kita dah berus gigi dengan sebersih-bersihnya. Kita rasa dah berus dengan cara yang betul." Mata pesakit wanita melayu muda itu begitu tekun menatap wajah Dr Farid yang sedang rancak memberi penerangan."tapi jika kita tidak tahu kaedah memberus yang betul, macammana nak pastikan gigi dah betul-betul bersih kan." Pesakit yang dipanggil cik Rohani oleh Dr.Farid tadi dilihat mengangguk-angguk kepala.

"Noor, mix the disclosing tablet please." Kepala diangguk. Tangan pantas membuka laci kabinet dihadapan. Sebiji tablet merah jambu dikeluarkan dari sarungnya lalu dimasukkan kedalam tooth paste container. Air dari sinki dititiskan. Perlahan-lahan menggunakan spatula tablet merah jambu tadi dihancurkan perlahan-lahan hingga membentuk cecair merah jambu didalam bekas tersebut. Berus kecil didalam tray dicapai lalu diserahkan bekas berisi cecair disclosing tablet tadi berserta berus kecil ke tangan Dr. Farid.

"cecair ditangan saya ini asalnya tablet merah jambu yang dipanggil disclosing tablet. Noor bring me the actual tablet please." Pantas tangan membuka laci kabinet lalu sekotak dislosing tablet diserahkan pada Dr. Farid.

"Ini disclosing tablet dalam bentuk asal sebelum dihancurkan menjadi cecair macam yang ada ditangan saya ini." Dr. Farid menunjukkan bekas berisi cecair merah jambu ditangannya. "saya akan sapukan cecair ini dikeseluruhan gigi cik Rohani. Selepas selesai cik Rohani perlu berkumur-kumur kemudian bersihkan mulut. Kita akan lihat nanti sejauhmana berkesannya kaedah pemberusan gigi cik Rohani selama ini. Cik Rohani ada apa yang nak ditanya sebelum kita mulakan?" "cecair ini tak kesan sampingan apa-apa kan doktor?" Dr. Farid sudah tersenyum.

Tangan Noor cekap menarik pemegang dental light agar terletak pada posisi yang tepat mengarah ke mulut pesakit. Dental chair sudah selesa mengambil tempat kala ditekan suis oleh Dr Farid. Pesakit sudah terbaring pada posisinya. Dr Farid mendekatkan dentist chair yang didudukinya dengan kedudukan pesakit. "jangan risau cik Rohani, tablet ini selamat digunakan dan tiada kesan apa-apa. So jangan risau ok." Jari-jemari Dr.Farid sudah pantas dan cermat mewarnakan cecair merah jambu tersebut ke tiap permukaan gigi pesakit.

"warna yang masih tertinggal di permukaan gigi adalah kawasan yang perlu cik Rohani tumpukan tika memberus. Masih ada plaque yang tertinggal di situ." Cermin ditangan pesakit masih teguh melihat keadaan giginya selepas sesi mewarna.

"cara saya berus gigi salah ke doktor?" Dr. Farid menggeleng sambil tersenyum.

"bukan salah, cuma kurang tepat." Model gigi serta berus gigi bersaiz XXL sudah berpindah tangan dari Noor ke Dr. Farid. Mata pesakit sudah singgah pada model gigi dan berus gigi bersaiz "gergasi" ditangan Dr. Farid.

"gigi kita ada 3 permukaan sebenarnya cik Rohani." Dr.Farid tekun memberi penerangan.

* * * * * * *

"saya dengar awak dapat keje part time jadi pembantu rumah ye Noor?"

Kepala diangguk. "ha'a doc. Hari ahad je. 1/2 hari. 250. oklah. kan?"

"tak penat ke Noor? Takde rehat langsung awak."

"ala..biasalah doc. Nak dapat duit lebih kenalah usaha lebihkan. Saya orang susah doc."

Senyum. Kepala Dr. Farid sudah diangguk perlahan.

"saya tau awak boleh buat Noor. Jangan putus asa ok. Cabaran tu biasa. Hidup tak meriahlah kalau takde cabaran."

Ketawa.

* * * * * * *

"Noor?"

"ha laa.."

"biar betul kau Ana..naya budak tu. Kau bukan tak tahu hangin mamat kat dalam tu."

Mariana tekun menyemak dokumen yang baru diambil dari mesin pencetak.

"Noor tu la the best candidate for this job Nan. Puan Sri berkenan sungguh dengan Noor. Two tumbs up kau tau. Perfect! Puan Sri pun suka masakan Noor. "

Mata Hannan sudah liar memandang ke kiri dan kanan. Mata kemudian menala pada bilik dihadapan yang kejap bertutup rapat sejak pagi tadi. Memang begitu sejak mula. Huh,tak tahu langsung mahu bermasyarakat!

"yelah kau. Mak dia berkenan tapi Noor bukan keje kat rumah mak dia. Noor keje rumah dia la Ana...rumah tu..." muncung Hannan sudah panjang menghala ke arah bilik dihadapan yang rapat bertutup. Mata Mariana ikut sama mengikut arah muncung Hannan.

"jangan risau la. Dia dah tau. Puan Sri dah inform dia." Mata Mariana masih tekun meneliti dokumen ditangan. Perlu diperiksa, disemak dengan hati-hati sebelum dibawa ke dalam bilik ketuanya itu. Mariana maklum perangai dan sikap perfectionist lelaki tersebut. Zero mistake Mariana!

"harap dapat la Noor survive dengan boss baru dia Ana. Janganlah budak baik tu kena telan hidup-hidup dengan raksaksa tu."

"issh kau ni!...tu boss kau jugak apa, banyaklah kau punya raksaksa." Hannan sudah mencebik.

"tu kau punya immediate boss...boss aku Mr Joseph." Mariana memandang Hannan sekilas. Ada pulak!, dengar dek mamat tu karang 24 hour notice baru kau tau Hainan!

Terdengar pintu dibuka. Hannan sudah kelam kabut memaku pandangan pada skrin empat segi dihadapannya. Ayunan langkah dari sepatu makin menghampiri meja. Kepala Hannan makin tunduk.

"I'm going out for lunch appointment at Meridien. Call pak Mail to wait at the lobby entrance."

"Ok Encik Jeffry." Tangan Mariana sudah lincah menekan butang nombor pada telefon dihadapan.

"Ana...kalau kau dengan aku yang dah lama keje pun sikit punya kecut bila dia bukak mulut, ni kan si budak Noor yang innocient giler tu." Mariana menoleh sekilas pada Hannan yang memaku pandangan pada langkah Encik Jeffry yang sudah melepasi pintu untuk ke lif.

"insyaallah. Noor tu lain budaknya."

"maksud kau?" Mariana sudah tersenyum sebaris.

"tengok je nanti Nan..."

Kening Hannan sudah terangkat. Senyum Mariana makin melebar.

Nota kaki:

1. Disclosing tablets - Harmless red vegetable dye that reveals plaque left on your teeth by turning it reds temporarily.

2. Plague - a biofilm (usually colourless) that builds up on the teeth.

Songket Hijau Buat Ku'a - Bab 23


Bab 23

"aku?" kepala Ku'a sudah laju mengangguk.

"ha la..Hang. Sapa lagi. Kita ja kan berdua dalam rumah ni."

Teman dihadapan sudah menggeleng.

"taknakkk!"

"Pi la sat chek ooi...aku nak solat ni. Bukan jauh mana pun. Sebelah kaki ja."

"saja la tu hang....pekena aku kan."

"laaa..."

Muncung teman dihadapannya sudah sedepa. Boleh buat sangkut payung pun kalau sesak. Ku'a sudah ketawa.

"kita pi sama-sama la Ku'a. Aku tunggu sat hang solat na...boleh la..." Azarina sudah pamer muka raih simpati.

Ada ja yang kena baham dengan aku ni karang...

Mangkuk tingkat ayan warna kuning di atas kabinet dapur pantas dicapai Ku'a lalu diletakkan pada genggaman tangan teman dihadapan. Tubuh temannya didorong ke hadapan. Hingga ke pintu.

"pi hantaq. Aku dah masak. Hang hantaq ja Azad. Kalau suruh hang masak, aku rasa abad satu lagi pun belum tentu dapat merasa. Malas nak jalan, jerit pun buleh kat tepi pagaq tu...tu pun kalau hang rasa suara hang sedap la kan."

Mangkuk ayan enamel betul la Ku'a ni!

"hang kan tahu aku memang tak reti masak. Aku kan dari kecik duduk boarding school. Dah tu pulak..." suara Azad sudah perlahan. Provakasi untuk membuatkan Ku'a rasa kasihan dan bersalah.

"dah..jangan nak guna taktik zaman Malim Deman tu. La ni orang tengok Avatar."

Aduh!..

"pegang mangkuk tingkat tu baik-baik...sat nanti tumpah pulak gulai ikan baung tu. Penat ja aku berpanas kat dapuq."

"ya la...aku pi."

Kaki pantas menyambar selipar jepun putih berjalur hijau dengan lukisan kartun beruang kuning dihadapan. Ala makcik cedeking ni mana tau aku pakai selipar dia pun...

Kepala sudah terjenguk-jenguk di tepi pagar. Sepi. Mana pulak makcik Latifah ni, selalu ada ja duduk kat buaian bawang putih bawang merah petang-petang ni. Aku kena masuk jugaklah ke rumah jawabnya.

Langkah diatur melepas pagar lalu memasuki halaman depan rumah teres dua tingkat berona biru putih. Pakcik Din ni, mentang-mentang la pesara polis, rumah pun dah macam balai polis.

Langkah sudah menghampiri pintu. Pintu diketuk.

"Assalamualaikum...makcik..ooo makcik."

Diam. Nafas dihela perlahan. Tiga kali ja kan kena bagi salam. Takdak, aku balik.

"Assalamualaikum. Makcik Latifah. Makcik..." pintu diketuk dua kali.

Terdengar bunyi selak pintu dari arah dalam sedang dibuka. Azarina menarik nafas lega. Selamat. Tidak lauk ni sapa nak makan. Kat rumah dah ada portion aku ngan Ku'a.

Azarina sudah mematung didepan pintu. Senyum manis sudah diukir siap-siap.

Mata saling memandang. Azarina sudah menelan air liur.

Dalam ramai-ramai orang dalam rumah ni, kenapalah mesti makhluk ni yang bukakan pintu. Bagilah makcik Latifah ka yang bukak, Pakcik Din ka atau si Azrief ka...ni, issh. Aku ada terlanggar biawak ka tadi masa pi keja? ka tergelek cicak mengkarung masa balik tadi?..

"waalaikumsalam. Eh, cik kak tocang dua sebelah rumah rupanya." Mustaffa sudah senyum madu secawan. Azarina senyum sebaris.

"Ada apa yang boleh saya bantu cik?"

apa, ingat aku pi ketuk meja kaunter pertanyaan ka...ada yang makan selipar beruang kuning ni karang!

"makcik Latifah ada?" senafas saja dituturkan ayat. Wajah dihadapan pintu masih dengan senyum madu. Rasanya dah bertambah secawan lagi.

"makcik takda. Dia pergi kenduri tahlil kat rumah kat simpang masuk tu."

owh patutlah banyak keta masa nak masuk kat simpang tu tadi.

"makcik takder..tapi saya ada." wajah didepan terus tersenyum.

Ni awat, senyum dari tadi..tak letih ka saraf gusi tu!

Mangkuk tingkat ditangan dihulur.

"nah, bagi kat makcik. Sampaikan terima kasih dan maaf sebab lambat pulangkan mangkuk tingkat ni."

Mangkuk tingkat sudah berpindah tangan.

"sapa masak? u ?"

Azarina menggeleng kepala.

"Ku'a. Kirim salam pada makcik Latifah."

"i dah agak dah pun..."Azarina yang sudah berpusing dengan langkah menuju ke halaman berpaling semula.

"apa awak cakap?"

Mustaffa senyum lebar sambil mengangkat kening.

betullah dia ni memang nak kena sumbat dengan selipar beruang kuning...

"dah hantaq?"

"dah..."

"makcik Latifah ada?"

"makcik Latifah nama Mustaffa yang ada..."

Ku'a yang sedang melangkah ke pintu dapur terhenti. Wajah cemberut Azarina yang sedang memaku pandangan pada skrin TV ditatap.

"sapa?'

"hang dengar. Aku tau. Jangan tanya lagi. Nanti dengan hang aku baham sama."

Ketawa Ku'a sudah pecah.

Tuesday, April 13, 2010

Istikharah Terakhir - Bab 22


Bab 22
Tabir kelabu yang tadinya ditarik keatas sudah diturunkan ke bawah. Langkah dibawa dari jendela kaca ke kerusi baldu hitam yang sedia menanti. Perlahan-lahan duduknya dilabuhkan. Fail hitam dihujung meja yang sudah terbuka tadinya dijeling sekilas. Ballpen hitam diatas meja dicapai lalu diputar-putar dengan jari-jemari.
Alangkah seronoknya hidup ini kalau diri boleh lepas bebas terbang seperti burung di angkasa!
Tapi... dia sedar...dia adalah Zita...Zita Asyikin yang masih terikat tangannya biarpun kaki dan tubuhnya sudah berjaya keluar dari sangkar yang telah memenjarakan dirinya untuk sekian lama. Dia gagahi diri untuk berlari juga biar dengan tangan yang masih terikat utuh. Sepanjang pelarian ini, tidak pernah sekali dia tidak cuba meleraikan ikatan itu. Gagal. Sudah dicuba dengan pelbagai usaha dan daya untuk melepaskan ikatan yang begitu menyakitkan lagi menyiksakan jiwanya itu. Walau sukar, Zita tidak akan sekali putus asa. Dia yakin bahawa usaha dan doanya pasti tidak akan dipersiakan oleh-Nya. Dia tidak akan sesekali menzalimi hamba-hambanya yang teraniaya. Insyaallah.
Fail hitam berlabel Proposal yang sudah hampir selesai disemak tadinya dibuka semula. Zita meneruskan kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Ballpen yang tadinya dibawa menari marry go round dengan jari-jemarinya kini sudah berpindah ke atas lembar putih. Kepala yang sudah sedikit tunduk dengan matanya tajam meneliti pada kertas cadangan yang dikemukakan syarikat papa kepada MSF Industries Berhad berkaitan kerja-kerja baikpulih bangunan pejabat lama syarikat berkenaan yang akan dijadikan stor penyimpanan fail-fail syarikat. Bola mata tersangkut pada sebaris nama yang tertera di atas dokumen. Puan Sri Marini Yusof. Mama? Sejak bila pulak mama masuk dunia korporat ni? Terlontar nama itu dari rongga mulut. Mata dipejamkan seketika. Terlayar seraut wajah di depan matanya.
Mama menghubungi pagi tadi bertanyakan khabar tentang kerja barunya di pejabat papa ketika Zita mahu ke pejabat. Mama yang sentiasa prihatin.Terlebih prihatin pula dirasakan sejak kebelakangan ini. Mama yang tidak berkurang rasa kasih padanya sejak dahulu. Sejak dia masih kecil lagi. Ketika umi masih ada lagi. Panggilan mama pagi tadi dilayan sebaik mungkin. Mama tidak bersalah. Zita tidak mahu menyeret mama didalam kemelut dirinya dan Faisal. Zita tahu tujuan mama. Tahu sangat-sangat, tapi dia tidak akan berganjak dengan keputusan yang telah dibuat. Pada mama diterangkan dengan sebaik-baiknya. Bukan dirinya kejam...bukan dirinya lupa pengorbanan dan kasih sayang mama namun dia hanya ingin kembali menikmati harga diri yang sekian lama dinafikan. Walaupun nantinya dia akan secara rasmi bukan lagi berstatus isteri kepada Shahrum Faisal Tan Sri Sulaiman, mama tetap akan kekal sebagai mama dihatinya.
Ombak Hijau Mohram sudah mengambilalih carta dari Caravansary Kitaro untuk terus berlagu dari speaker notebook dihadapan. Mata Zita berkalih ke jam di penjuru kanan notebook. 3.37pm. Kepala dipusingkan perlahan ke kiri dan kanan. Mug berwarna hijau epal dengan lukisan sekuntum kembang merah menghiasi dinding dicapai. Huh, dah habis la pulak air. Zita bangun lantas memusingkan tubuhnya ke kiri dan kanan. Rambut yang diikat tocang kuda turut terbuai-buai mengikut lenggok tubuh kurusnya. Mug dan fail hitam yang tadinya disemak dicapai lalu langkah dibawa ke arah pintu.
Meja Yumna, setiausaha papa dihampiri. Senyuman manis Yumna menyambut kedatangannya.
"cik Zita nak jumpa Tuan Zainal ke?" kepala digelengkan. Mug ditangan kanan diletakkan diatas meja Yumna. Fail ditangan dibuka lalu dokumen berkaitan MSF Industries Berhad dikeluarkan dari fail.
"apa status proposal MSF Industries Berhad ini kak Yumna?" dokumen sudah berpindah ke tangan Yumna.
"oh, kita dah dapat acceptance letter untuk proposal ini minggu lepas cik Zita." Zita sudah mengerutkan dahi. Minggu lepas? Seakan faham maksud ekspresi wajah Zita, Yumna tersenyum. " Original copy masih dalam bilik Tuan Zainal, sebab tu saya tak buat salinan lagi untuk dimasukkan dalam fail proposal ni untuk tujuan rekod."
"papa tak sign lagi ke kak Yumna?." kepala digelengkan. Mata Yumna masih setia pada seraut wajah cantik dihadapannya. Zita menghela nafas perlahan-lahan.
"takper la kak Yumna, nanti Zita jumpa papa sendiri. Anyway thanks for the update." Fail diserahkan kepada Yumna untuk disimpan semula. Langkah diteruskan ke arah pantry dihadapan bersama mug yang diusung ditangan kanan.

"papa, can we talk?"
"come.." Tuan Zainal sudah bangun dari kerusi. Langkah diatur menghampiri Zita yang sudah melabuhkan duduk di sofa. Wajah anak tunggalnya itu direnung.
"comfortable with this new environment?" Senyum segaris sudah terukir. Zita menganggukkan kepala.
"so far so good. I'm still learning to adapt with all this papa."
Tuan Zainal sudah menganggukkan kepala. Bahu anaknya itu dielus perlahan "good. That's my girl."
"your team?..any problem with them?" kepala diggeleng sambil tangan digawang laju.
"All the team are great. They were wonderful."
Zita menghela nafas perlahan. Wajah papa disebelah dipandang.
"papa...kenapa Zita tak tahu tentang mama and MSF Industries Berhad?"
Matanya bertamu pada wajah tenang papa. Segaris senyuman sudah terukir diwajah papa.
"you knew her better."
"yeah..but this is not her skill papa."
"i guess you knew the answer."
Pelipis diurut perlahan. Mata Zita dan mata papanya sudah bertembung.
Mama ada agenda ke?

Sunday, April 11, 2010

Rindu Semalam - Epilog


Epilog

resah hatiku merinduimu
terbayang-bayang anggun senyum dan tawamu
baru semalam rasanya bagai setahun
pemergianmu tak tertanggung...

indah suasana tika bersama
siang dan malam seolah dialam syurga
cintamu itu cinta yang setulus jiwa
dimana ku cari gantinya...

Air mawar didalam jag kaca yang sudah siap bercampur kuntuman mawar merah dialirkan bermula dari arah kepala lalu diteruskan hingga ke hujung kaki. Lalu diulang sekali. Mata yang sedikit berkaca dibawa pada nisan kaku berukir cantik tulisan jawi "Suhana binti Suhaimi". Tangan kecil Benjamin yang sedang duduk takzim disebelah dicapai lalu dibawa berdiri sambil memegang jag kaca berkenaan. Bersama lafaz bismillah, tangannya yang sudah bertaut dengan tangan si kecil Ben mencurahkan air yang masih berbaki ke atas kuburan wanita istimewa buat mereka berdua.

Sepi dunia didalam riuh rendahnya
pedih jiwaku tanggung derita
patah hatiku
kesalan tiada terhingga
kau satu dalam berjuta...

kepada Tuhan tempatku taruh harapan
engkau selamanya dalam bahagia
cintamu itu biarku kenanginya
disudut kamar hatiku...

sekadar coretan buat kenangan
cerita kita disini kuabadikan
tinggi harapan semoga diketemukan
di alam impian syurga idaman...

Langkah perlahan diatur keluar meninggalkan kawasan perkuburan Bukit Kiara. Kepala kembali menoleh kebelakang. Memandang nisan yang kaku.

"papa..."

"ye Ben..."

"papa rindu mama?" Kepala diangguk.

"rindu macam semalam masa papa nangis dan hug pictures mama ye." Tubuh kecil itu didakap erat.

Papa tetap rindu mama Ben sampai bila-bila...

Saturday, April 10, 2010

Rindu Semalam - Bab 45



Bab 45

Siapalah dia nan kerdil ini untuk menahan takdir-Nya...

Yang ada cuma doa...doa...dan doa.

Bukankah doa itu penghubung dirinya dengan yang maha Khaliq...dan doanya tidak pernah putus sejak dia menjejakkan kaki ke sini.

Hidup ini hanyalah satu persinggahan...satu perhentian sementara untuk ke destinasi yang lebih abadi. Hidup ini penuh dengan nikmat misteri yang tidak terungkap oleh kata-kata...tidak tercapai oleh daya akal kita yang setitis cuma. Lalu masa singkat yang dipinjamkan ini seharusnya dimanafaatkan sebaik-baiknya. Jangan disia-siakan peluang dan nikmat yang diberi kerana kita tidak tahu bila masanya kita akan dijemput pergi...

Tubuh yang sedang lena diperbaringan itu dengan alunan nafas yang turun naik ditatap penuh tulus. Air hangat yang mengalir lesu dari tubir mata dibiarkan sahaja. Tapak tangan itu masih kejap dalam genggaman. Tapak tangan bersama jemari yang masih harum dengan bauan inai itu dikucup lembut. Dahi itu diusap perlahan. Balutan dikepala itu dipandang sayu. Persekitaran bilik yang berona putih suci ini langsung mengingatkan dirinya pada kata-kata itu. Nafas dihela perlahan. Bunyi pintu diketuk dan tombolnya dipulas mengalihkan pandangan matanya dari tubuh di hadapan pada permukaan pintu di sebelah kanan. Tiga susuk tubuh wanita menghampirinya perlahan. Dia mahu bangun tapi isyarat tangan wanita yang paling hadapan menghalang dia berbuat demikian. Bahunya dipegang lembut oleh salah seorang dari mereka.

"tak bangun lagi dia?" kepala diangguk sambil tangan dibahunya dicapai lalu dikucup. Kepalanya dielus perlahan oleh wanita yang sudah mengambil tempat disebelah kiri katil. Sesekali terdengar helaan nafas berbau kesedihan dari mereka bertiga. Dia hanya mampu menundukkan wajah. Tidak mahu turut sama hanyut dengan melodi sedih itu. Dia sedar dia sangat beruntung, maka dia harus bersyukur dengan nikmat yang dilimpahkan ini.

"Duha taknak makan?..mak bawak nasi goreng. Mak masak sendiri pagi tadi. Makan ye." Kepala digeleng sambil senyuman kecil dilemparkan pada wanita yang masih utuh memegang bahunya.

"Duha tak lapar lagi mak. Mak dengan ibu dah makan? Fatin dah?" Bekas putih hijau ditangan ibu mertuanya itu diambil oleh Fatin Aina lalu disuakan kehadapan Duhaila. Tangannya mengambilnya sambil ucapan terima kasih diberikan pada adik iparnya itu.

"akak, makan lah. Dari malam semalam tak makan. Tengok muka akak, dah letih sungguh."

"makan ye nak, ibu suapkan ye." kepala tetap digeleng.

"Duha tak lapar ibu. Nanti Duha makan ye, ibu jangan risau. Duha ok." kepalanya dikucup lembut. Ibu mertuanya sudah mengelap airmata dengan lengan baju kurungnya. Kasihan mak.

"sabarlah kak. Taufik dah lepas tahap bahaya macam doktor kata kelmarin. Kita perlu banyak berdoa dan bersabar kak. Insyaallah dia akan pulih."Tangan kedua-dua wanita itu sudah saling bertaut antara satu sama lain. Fatin turut sama menyapu air hangat di pipinya.

Duhaila tahu kerisauan yang melanda kedua-dua ibu dan ibu mertuanya itu pada dirinya. Sejak dia berkampung di hospital Bentong ini tiga hari lepas jadual makannya memang sudah kucar-kacir. Tidak tentu hala. Tidak terurus. Yang ada dikepala, yang ada fikiran cuma suaminya itu. Ya, mereka sudah selamat diijabkabulkan di wad ini atas permintaan Taufik sendiri. Walau pada mulanya ramai yang tidak bersetuju, namun rayuan Taufik mengatasi segalanya. Mereka selamat bergelar suami isteri di hospital Bentong ini.

Saat mengetahui Taufik dan Akhmal ditimpa musibah lalu dihantar ke hospital Bentong, Duhaila sudah bagai hilang separuh nyawanya. Sepanjang perjalanan doanya tidak putus untuk kedua-dua lelaki itu. Dan demi melihat keadaan Taufik yang sedikit parah berbanding Akhmal dan terbaring lesu di wad, hatinya sudah meraung dan merintih. Tolonglah Tuhan...jangan Kau ambil dia lagi. Berikan kami kesempatan untuk hidup bersama di dunia ini. Dan sesungguhnya dia amat bersyukur doanya diangkat ke atas sana...Taufik sedar akhirnya selepas seharian terlantar bisu.

"nikahkan kami di sini mak, ibu. Taufik mohon sangat-sangat. Taufik tak nak berlengah lagi. Tolong paksu uruskan ye dengan pihak hospital."

Bunyi salam di muka pintu menerbangkan ingatan itu serta-merta. Mata sudah bertaut pada lelaki yang duduk dikerusi roda bersama seorang kanak-kanak comel disebelahnya. Senyuman sudah saling bertukar.

"masuk Mal..mari Ben dekat nenek." Fatin sudah pantas mendapatkan Akhmal sambil tangannya mencapai pemegang kerusi roda. Akhmal sudah ditolak perlahan-lahan menghampiri katil. Benjamin sudah mencapai tangan kedua-dua wanita itu sambil dikucup hormat. Tangan Duha turut dicapai.

"Mal dah sihat betul ke ni?...kan doktor kata kena berehat..jangan banyak bergerak."

"dah sihat dah ni mak long...cuma kaki je sikit ni ha. Bosan la asyik terbaring je kat katil tu." tangan Akhmal sudah menunjukkan ke arah kaki kanannya yang berbalut.

"Taufik camner mak long?"

"alhamdulillah...tu doktor bagi dia ubat untuk rehatkan dia. Kamu tahu la perangai Taufik tu macammana bukan. Bukan reti duduk diam. Tak tahu diri tu cedera."

"Duhaaa..." sepantasnya mata Duhaila juga yang lain-lain sudah berkalih ke hadapan. Taufik sudah membuka mata. Semua mata sudah tertumpu padanya.

"mak..ibu. adik pun ada ye.." Duhaila sudah berdiri bila melihat Taufik sudah seakan mahu bangun dari perbaringan. Suis dihujung katil ditekan. Bantal dibelakang sudah ditegakkan. Tangannnya sudah erat digenggam Taufik. Senyuman mereka sudah saling bertaut. Mata saling bertatap.

"ehem..." Pantas mata mereka berkalih pada empunya suara. Duhaila sudah menundukkan wajah sambil berundur untuk memberi laluan pada Akhmal mendekati katil Taufik. Taufik masih tersenyum. "alahai sabarlah sikit Fik. Tak larinya bini kau tu." Bahu temannya itu ditumbuk mesra bersama ketawa kecil.

"Mal...kau ok dah? " Anggukkan berserta senyuman menghiasi wajah tampan dihadapan Taufik. Tangan mereka berdua saling bertaut.

"thanks Fik. Kalau tak sebab tindakan pantas kau belokkan stereng kereta ke arah tembok estet tu tak tahulah apa jadi dengan nasib kita."

"syukur pada Allah Mal masih panjangkan umur kita lagi di dunia ni."

Benarlah takdir Tuhan itu tiada siapa yang tahu. Taufik sendiri tidak menduga dia diberikan kesempatan lagi untuk bernafas di muka bumi ini. Dengan kecederaannya yang parah dikepala akibat hetakan kuat keretanya ke tembok batu di kiri jalan akibat cuba mengelak dari bertembung dengan lori yang tiba-tiba datang dari arah hadapan tiada siapa menduga dia mampu bertahan. Syukur Tuhan kau kabulkan doaku untuk hidup bersama wanita yang aku amat cintai ini. Mata Taufik sudah singgah pada wajah ayu isterinya di tepi jendela. Mata mereka sudah saling memandang...sudah saling berbicara. Bicara rindu. Akhmal sudah memandang dengan ekor mata. Senyuman sudah terukir di bibir.

"mak long, baiklah kita semua ni tinggalkan pengantin berdua ni haa...tak larat dah mata Mal tengok diaorang ni..sorang pandang, sorang senyum!" ketawa Taufik sudah berderai. Duhaila sudah tertunduk.


Tangan masih saling menggenggam. Mata masih saling bertatapan.

"sayang..."

"hmmm..."

"terima kasih."

"untuk apa?"

"sudi terima lelaki yang berbalut dengan kepala berdarah ini untuk jadi pengantin lelaki sayang. Sudi diijabkabulkan dengan Fik dalam keadaan yang tidak sempurna. Bersaksikan bangunan hospital, ditemani bau ubat-ubatan. " Mata Duhaila sudah berkaca.
"Fik,nape cakap macam tu. Kita selamat diijabkabulkan adalah perkara terindah dalam hidup Duha. Tahukan hati Duha tak pernah akan sedikitpun berubah biar apa pun keadaan Fik. Tahukan betapa sedihnya Duha saat tahu Fik ditimpa kemalangan. Duha tak sanggup kehilangan Fik. Duha tak sanggup kecewa lagi Fik. " Jarinya sudah menyapu air hangat yang mengalir pada pipi mulus isterinya itu. Fik tahu sayang, terima kasih!

"sayang.." Mata sudah saling memandang. Jemari halus runcing itu sudah dikucup lembut.

"terima kasih sudi jadi isteri Fik...sudi jadi kawan baik Fik selama-lamanya." Genggaman tangan itu dieratkan lagi pegangnya oleh Duhaila.

"Duha sangat sayangkan Fik...dan akan terus sayangkan Fik sehingga akhir hayat. Moga ikatan perkahwinan kita ini akan kekal hingga ke syurga. I love you Fik..." Tubuh kurus Duhaila sudah tenggelam dalam dalam pelukan sasa Taufik. Dahi isterinya itu sudah dikucup lembut.

"insyaallah sayang. I love you too and will always love you forever."

Wednesday, April 7, 2010

Rindu Semalam - Bab 44



Bab 44

Inilah tika yang dinanti sekian lama...

Inilah saat yang sekian hari dihitung...

Inilah detik yang sering bermain di ruang mata...

Sukarnya untuk Duhaila menggambarkan perasaan hatinya saat ini!

Semua rasa yang menghuni lubuk hatinya selama ini bagai berlumba-lumba mahu keluar memperagakan diri masing-masing dimatanya . Mahu dia menyaksikan luahan dan ekspresi tersebut. Nafas kian deras mengalirkan hujan debaran. Kotak tisu diatas meja solek dicapai perlahan. Sehelai kertas tisu ditarik lalu ditekap ke dahi. Dari duduk penuh takzim di pinggir katil yang sudah indah terhias, Duhaila sudah berdiri memandang cermin dihadapan. Diri yang lengkap sepersalinan putih nan indah bersulam direnung dihadapan bingkai kaca bersegi empat bujur. Seumpama melihat biasan dirinya yang suatu waktu dulu yang pernah mengimpikan saat ini tiba namun takdir mengatasi segala impian remajanya. Dan kini dia berdiri kembali melihat wajah dirinya yang sudah bertukar menjadi gadis yang kian dewasa, kian matang.

Gajet blackberry Bold 2 Duhaila sudah berdendang diatas meja. Mata yang sudah indah bertatarias berpindah dari layar kaca dihadapan ke lantai meja. Pantas gajet berwarna hitam itu diambil. Dibuka kotak pesanan. Mata sudah tersenyum.

"Assalamualaikum. I'm on my way sayang. 30 minit lagi sampai kut. Akhmal drive. Gementar sangat ni. Hope everything gonna be fine, insyaallah. Take care sayang. love you. see you soon." Pantas jemari runcingnya menekan-nekan aksara-aksara pada blackberry ditangan. Senyum manis masih tersimpul dibibir.

Ziha sudah menepuk perlahan bahu kak Maria yang sedang asyik menatarias wajah Ziha.

"apa?" muncung Ziha sudah menghalakan pandangan kak Maria pada sesusuk tubuh dihadapan cermin yang tersenyum manis sambil rancak menekan-nekan blackberry ditangan.

"akak rasa la kan apa yang membuatkan cik pengantin kita nan jelita itu yang tadinya muram persis wombit tertelan ais tetiba bertukar karektor macam kerang tersiram gula." Kak Maria sudah mengerut dahi..ni peribahasa manalah diceduk si Ziha!

"alahai Ziha, kamu ni buat-buat tanya pulak...sapa lagi, bakal laki dia la tu yang hantar sms. Tengok senyum dia yang dah macam lori madu tumpah tu akak dah tau." Ziha sudah tergelak.

"pandai ek kak Maria. Mesti berdasarkan pengalaman akak masa nikah dulu ye. Akak pun masa tu sibuk bersms ngan laki akak kan..cuma bukan dengan blackberry la kan kak sebab masa tu blackberry takde lagi. Telefon pun besar gadang je masa tu kan." Kak Maria sudah ketawa besar. Ketawa yang mengejutkan Duhaila yang sedang leka memandang blackberry yang sudah mendarat kembali diatas meja. Langkah diatur ke arah tepi katil.

"ketawa pasal apa ni kak Maria...ada topik lucu ke?"

"ini ha, kau tanyalah pengapit perasan vogue ni...macam-macam aje dia ni." Duhaila sudah mengangkat kening pada Ziha yang sedang duduk di tepi katil. Ziha sudah tersengih." issy, kau ni kan Ziha tengok keje akak cat muka kau langsung terbantut. Cubalah duduk diam-diam sikit. Macam ulat nangka kau ni!"

"ooo, pengapit vogue ye kak Maria. Macam nak overshadow pengantin jer. Orang tu nak sabotaj saya ke kak?" Duhaila sudah mengenyit mata pada kak Maria. Ketawa halus mereka berdua saling bertingkah di kamar pengantin yang dihiasi persalinan serba putih. Itu kehendak Taufik yang berkali-kali dipesan pada Duhaila. Mahu agar kamar beradu mereka di sini berwarna putih. Serba putih. Pelik juga Duhaila namun diikutkan juga kehendak Taufik itu kerana ibu turut bersetuju. Kata ibu putih itu tanda suci, tanda tulus, tanda ikhlas. Wah Taufik memang sejiwa dengan ibu lah!

"Pengapitpun mesti vogue apa, tak acilah orang pandang pengantin je kan. Aku pun nak gak tumpang flash kamera." Lalu terburai ketawa mereka bertiga.

Pintu diketuk. Ketawa galak ketiga-tiga mereka serentak terhenti. Tiga pasang mata sudah memandang ke arah pintu. Ziha mengangkat tangan isyarat biar dia yang membuka pintu.

Tersembul wajah cilik Aiman, anak bongsu maksu Salmiah.

"rombongan pengantin lelaki dah sampai...pengantin belum lagi. Kejap lagi katanya. Nenek suruh kak Duha sedia. Nanti tok kadi nak jumpa kak Duha."

"ok handsome boy.." Ziha sudah mengenyitkan mata pada Aiman yang sudah tersenyum malu.

* * * * * * *

Kereta BMW hitam Taufik yang dipandu Akmal sudah memasuki daerah Telemong. Taufik sudah resah. Jam Tissot dipergelangan tangan sudah kerap dijenguk. Songkok di kepala sudah beberapa kali diperbetulkan.

"diorang semua dah sampai sana bro. Kita je yang tak sampai lagi ni. Cepat sikit Mal." Akhmal sudah tersenyum. Taufik, Taufik.

"sabar sikit bro. Tak larinya doktor manis belahan jiwa kau tu. Relax la. Tak jauh lagi dah pun. Aku ni kena berhati-hati memandu sebab aku bawak pengantin. Pengantin yang dah tak sabar nak genggam tangan tok kadi!" Taufik sudah ketawa dengan kata-kata lucu Akhmal.

"dalam perkahwinan ini, akadnikah ni lah yang paling istimewa sekali kau tau bro. Saat yang akan dikenang sepanjang hayat. Seumur hidup. Saat mana diri kita ni ditabalkan menjadi suami yang sah disisi Tuhan...juga disisi undang-undang. Momentum yang akan kekal abadi di jiwa."

Taufik menoleh seketika pada Akhmal yang sedang tenang memandu.

"terima kasih Mal...terima kasih atas segala-galanya. Kau sahabat aku dunia akhirat."

Akhmal sudah menepuk bahu Taufik.

"Mal lori kat depan tu apahal terhoyong hayang semacam je...hati-hati Mal." pandangan Akhmal sudah tercacap pada kenderaan berat dihadapannya. Stereng dipegang berhati-hati. Lori dilaluan sebelah dipandang dari jauh. Memang sedang dalam keadaan terhoyong hayang. Begitu merbahaya sekali pemanduannya.

"ya Allah lori belakang Mal, belok cepat Mal!.....Mal!!!!!!!"

* * * * * * *

Setiap wajah diruang hadapan dimana upacara akadnikah dijadual berlangsung sedang bermandikan keresahan. Kebingungan mewarnai setiap insan di ruang nan luas itu. Farah Aina sudah beberapa kali bangun bersama gajet ditangan. Ke hulu ke hilir. Resah dan bimbang sudah makin menekan ruang hati. Ditekan berkali-kali gajet ditangan. Tiada jawapan. Baik Taufik mahupun Akhmal. Bisu kedua-dua. Farah Aina sudah rasa sungguh tidak enak didalam hatinya. Ya, Allah selamatkan mereka. Selamatkan abangku ya Allah!

"tak dapat?" tok imam sudah bertanya mewakili tok kadi yang sudah duduk bersila ditengah-tengah ruang nan luas di rumah itu. Mata tok imam sudah singgah di wajah muram durja Farah Aina. Wajah yang lain-lain turut sama menandang. Ibu Farah Aina sudah tersandar di bahu bakal besannya yang ternyata sangat tenang. Airmata tua ibunya sudah banyak mengalir sejak tadi. Esak tangisnya terus berdendang sayup.

"tak lagi tok. Minta maaf banyak-banyak. Kita tunggu kejap je lagi ye tok. saya cuba lagi hubungi mereka. Mungkin kenderaan mereka rosak agaknya." hati yang sudah berperang rasa takut cuba ditenteramkan. Tolonglah ya Allah, jangan apa-apa yang buruk berlaku pada mereka berdua. Kasihani mereka ya Allah. Tolong kasihani ibuku!kasihani abangku!

Paksu Hamdan sudah bangun. Kunci kereta dicapai.

"biar saya pergi menyusur dari sini hingga ke Telemong kak long. Apa-apa nanti saya telefon. Tolong ye tok imam, bagi kami 1/2 jam je lagi. Rashid, kamu ikut pak su sekali." Langkah kedua-dua lelaki itu pantas menuruni anak tangga. Ibu Duhaila sudah menganggukkan kepala. "hati-hati Dan. Telefon kami cepat je kalau jumpa diorang berdua tu karang. Kesian kak long tengokkan omak si Taufik ni ha."Maksu Salmiah sudah memandang suaminya. "hati-hati bang bawak kereta tu."

"abang..." Rashid sudah mendongak ke arah atas rumah. Farah Aina sudah tercegat di muka pintu sambil menyeka airmata. "call me immediately ok." Kepala diangguk. Tubuh pantas diloloskan kedalam Naza Citra milik paksu Hamdan.

Airmata sudah laju mengalir sejak tadi dari kelopak mata nan indah itu. Ziha pantas menyeka dengan tisu ditangan. Tangan teman akrabnya itu digenggam erat. Bahu temannya itu dipaut. esak tangis masih berlagu ditelinganya. Ya Allah kasihani temanku ini. Jangan hancurkan impiannya. Lindungilah Taufik ya Allah. Janganlah ditimpakan bencana pada mereka berdua.

"Sabar Duha. Sabar. Doa banyak-banyak moga Allah lindungi mereka berdua. Jangan menangis lagi, tak elok."

"aku takut Ziha...takut apa-apa jadi pada Taufik...ya Allah aku tak sanggup nak hadapinya Ziha." Ziha sudah menepuk-nepuk lembut bahu teman akrabnya itu. Simpatinya sudah melimpah pad Duhaila. Seperti Duhaila dia juga memohon agar Taufik dan Akhmal selamat.

Pintu dibuka dari luar. Wajah Farah Aina sudah tercegat. Airmata sudah deras mengalir. Langkah diatur perlahan mendekati Duhaila di tepi katil. Tubuh bakal kakak iparnya itu didakap erat. Esak tangis berlagu di sebalik cuping telinga Duhaila.

"kak Duha.......ab...abang..."

"abang Taufik mana Farah?, tolonglah Farah cakap kat akak, abang Taufik dimana..." Duhaila sudah menggoncang tubuh Farah Aina.

"abang...abang....di Hospital Bentong. Abang...."

"Ya Allah..." Airmata sudah deras mengalir. Tubuhnya sudah bertaut dengan pelukan Farah Aina dan Ziha. Seakan melayang sudah segala semangat dalam dirinya.

Fik, tolong jangan tinggalkan Duha!

Tuesday, April 6, 2010

Bukan Idaman Hati - Bab 4

Bab 4

Apa salahnya jadi pembantu rumah!

memang tak salah...tapi aku ni boleh ke?

Topeng mulut berwarna biru muda ditarik ke dagu. Tangan pantas menyusun hand instruments yang baru selesai disteril kedalam laci kabinet.

ok apa...lagipun 1/2 hari je kau keje kat rumah tu...dapat 250 tu!..takat kemas-kemas rumah, cuci, gosok, masak ringkas-ringkas untuk sorang makan..ala hujung kuku kau je tu Noor...ala kau ni,macam tak biasa!

rumah orang mana sama dengan rumah sendiri...buatnya dia tak suka cara aku, ha camner?

kau cubalah dulu...positif la sikit Noor!

"Jenny, TR1 next treatment apa?" suara dilaungkan sambil tangannya masih lekat dilaci kabinet. Masih asyik menyusun instruments. Jenny sudah menjengukkan kepala ke dalam ruang di bilik rawatan 1 itu. Kepala Jenny sudah bergoyang ke kiri dan kanan sambil tangan kanannya turut digoyangkan dengan aksi yang sama.

"dah tak de patients?'Jenny sudah tersenyum.

"this one hour you are free Noor. Later at 3pm, CB1, 44. Completed her RCT last 2 week. "

Kepala diangguk perlahan. Dulang plastik berwarna senada dengan topeng mulut yang dipakainya dikeluarkan dari laci keempat kabinet dihadapan tempat duduk. Dulang kemudian diletakkan diatas permukaan atas kabinet yang beralaskan marmar putih.

"you seem not so cheerful today Noor, anything wrong? not well haa?"

Matanya sudah bertembung dengan mata Jenny yang masih menanti jawapan pada persoalan yang ditanya.Kepala digeleng.

"Jenny, am i good enough to be a maid?" Mata Jenny sudah membuntang. Pantas kerusi disebelah ditarik Jenny. Duduknya sudah dilabuhkan disitu. Bahu gadis manis disebelah disentuh perlahan.

"maid?, you wanna be a maid Noor? kidding haa?" Lalu mulut mungil Noor laju sahaja berkisah tentang tawaran kak Mariana semalam demi meringankan beban dirinya disamping niatnya kak Mariana yang mahu dia meraih pendapatan sampingan yang lebih baik tanpa perlu bekerja seharian. Tidak ketinggalan cerita Kak Mariana tentang sifat dan perangai "bakal majikannya" itu yang juga adalah ketua Kak Mariana di pejabat. Gerun juga dirinya tatkala diceritakan kak Mariana tentang "bakal majikannya" itu. Semuanya diceritakan kembali pada Jenny. Tiada satupun yang tertinggal.

Jenny sudah menyandarkan badannya di kerusi. Bahu Noor diusap-usap perlahan. Senyum dilemparkan pada Noor.

"if you can get along Dr Chia style very well Noor, this is not a big problem to you. Come on la, another male lion for you is just piece of cake, right my dear?"

Hmm..belum cuba,belum tahu kan Noor!

Senyumnya sudah saling bertaut dengan senyuman manis Jenny.

* * * * * * *

"kak Ana pun tak tahu rumah baru boss akak tu ke?" Mariana yang sedang memandu menoleh seketika pada Noor disebelah sambil menggelengkan kepala.

"dia baru pindah je ke kondo tu...tu pun Puan Sri Aimal yang cakap dengan akak masa dia nak cari pembantu rumah tu." Tangan Mariana pantas menarik CD Mohram lantas memasukkannya kedalam pemacu. Sampul CD dicapai Noor. Tangannya membelek-belek sambil melihat catatan diluar sampul CD berkenaan.

"akak minat Mohram?" Mariana yang masih memaku pandangan dihadapan hanya ketawa dengan soalan yang ditanya Noor.

"tu kak Hannan yang hadiahkan pada akak sebab dia tahu minat akak pada muzik sebegini. Kita ni kena bangga dengan muzik kita sendiri Noor. Jangan asyik memuja muzik orang luar hingga lupa akar budaya kita sendiri." Noor sudah menganggukkan kepala. Bersetuju dengan kata-kata yang terlafaz dari mulut Mariana.

Kereta dipandu Mariana sudah membelok masuk ke perkarangan sebuah banglo indah di Bukit Jelutong. Noor sudah menjengok sedikit dari luar tingkap. Matanya sudah membulat rasa kekaguman pada bangunan cantik dihadapannya.

"jom Noor." Noor sudah menutup pintu. Matanya masih terus tercegat pada keindahan binaan di hadapan mata.

"rumah siapa ni kak Ana?, mak datuk cantiknya, macam mahligai!"

"BIG boss akak. Puan Sri Aimal tu la. dah jom, dia dah lama tunggu kita ni."

Noor sudah menggosok-gosok kedua-dua belah tangannya. Rasa sungguh tidak selesa diperhatikan begitu sekali oleh wanita anggun dihadapannya saat ini. Sudahlah tadi ketika diperkenalkan dirinya oleh kak Mariana, dia seperti terasa ditilik dari rambut ke kaki. Aduh, telitinya wanita ini mencari calon pembantu rumah untuk anak lelaki tunggalnya. Kalau calon menantu, entah bagaimana pula tilikannya. Mungkin diperiksa kulit ke kulit agaknya.

"sedap nama Noor ye, pandai mak ayah pilih..Noor Asma Abu Bakar. Nama wanita yang banyak berjasa dalam sejarah islam tu." Noor sudah menelan air liur.Wah, bagus pengetahuan wanita anggun ini. Namanya dikaitkan dengan sejarah islam. aduh, bangga sekali rasa dihati. Walau dia tahu kisah itu, namun bila orang lain yang menuturkannya, perasaan bangga dan terharu itu akan lebih dirasai.

"jadi, Noor memang takda masalah buat kerja-kerja rumah kan. Mariana sudah menceritakan latar belakang Noor pada saya. Saya terkagum pada Noor." Mariana yang duduk dibelah sudah tersenyum. Noor menganggukan kepala. "sebab itu saya minta Mariana bawa Noor berjumpa saya dahulu. Saya ingin lihat sendiri orangnya." Noor masih kejap mengenggam kedua-dua belah tangan. "dan saya rasa saya suka pada Noor." Senyuman manis saling bertukar antara keduanya.


Puan Sri Aimal mula menerangkan perihal anak tunggal lelakinya itu. Segala suka dan tidak sukanya, karenahnya, segala pantang larangnya. Do and Don't. Noor sudah mencatat apa yang perlu diketahuinya. wah, susah jugak jadi pembantu rumah ni. Kena ada pengetahuan psikologi juga. Yelah, buatnya si majikan mudanya itu diserang taufan Katrina, dia sudah bersedia dengan perisai di tangan!

"esok pagi saya akan datang ambil Noor dirumah Mariana ye. Nanti saya bawakan Noor ke tempat tinggal anak saya tu." Mariana sudah menganggukan kepala memandang ke arah Puan Sri Aimal dihadapan." Di sana nanti saya kan tunjukkan persekitaran kondo dan perincikan tugas-tugas Noor disana."

"boleh saya tahu tempat tinggal anak Puan Sri tu?..bukannya apa Puan Sri, sekurang-kurangnya saya boleh merancang masa dan perjalanan saya ke sana nanti."

"Suasana Condominium di KL Sentral." Puan Sri Aimal sudah memandang Noor sambil tersenyum. "takder masalah kan Noor. Dekat jer dengan hub public transport."

Dekat tak dekat, 2 bas jugak la saya ni Puan Sri...

Nota :

1. RCT : root canal treatment.

2. CB1 : crown & bridge stage 1.

3. 44 : first premolar, lower right jaw.

Friday, April 2, 2010

Songket Hijau Buat Ku'a - Bab 22


Bab 22

"Ha, dia cakap dia suka kat hang?" Kepala diangguk. Tangan Ku'a masih leka membelek deretan tudung dirak.

"dia kata suka sungguh-sungguh?" Kepala diangguk lagi. Ya la!

"biaq betul mamat angkasa tu Ku'a!" kepala Ku'a sudah diangkat memandang terus pada wajah penuh aksi terkejut Azarina.

Azad ni kan suara dia sungguhlah tidak boleh dikawal kuasa oftahnya. Mesti capai kunci tertinggi sekali tiap kali rongga mulutnya tu ternganga..issy. Ku'a sudah memandang Azarina sambil meletakkan jari telunjuknya dibibir. Mata sudah siap dibulatkan besar-besar. Tapi Azarina memanglah Azarina. Kecoh dan kepohnya adakala sangatlah menakutkan...

"La, bukan kita mengumpat orang pun chek ooi. Hang ni Ku'a, itu pun nak takut orang dengar." Eei, mahu sahaja bibir yang bercat warna jambu berkilat itu Ku'a tutup dengan tapak tangannya. Biar dia tidak boleh bersuara. Geram sungguh la dengan Azad ni taw!

"hang ni kan buleh dak turn down sikit hang punya volume speaker tu." Ku'a sudah menjeling sedikit pada Azarina dihadapan. Tangannya masih terus membelek-belek rak tudung dihadapan. Tadinya Ku'a yang mengajak Azarina menemaninya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Dia mahu membeli tudung untuk dipadankan dengan baju kurung birunya yang baru siap diambil dari kedai jahit temannya kelmarin. Dan Azarina yang kebetulan juga mahu membeli kain baru untuk ditempah baju kebaya dengan senang hati campur rela bersetuju dengan ajakan Ku'a.

Ku'a ni memanglah...sora aku memanglah lagu ni kan sejak azali...saja ja dia tu dengki sora aku ni sungguh sedap dan menawan dari sora dia!

Azad, hang jangan dok perasan ya...kalau menawan sangat sora hang tu awat tak pi masuk AF8 ka? Mentor ka?..

malaih la aku..bagi chance la kat orang lain...

pi la hang!...

hang nak suruh aku nak pi mana pulak...

Sehelai tudung biru laut dengan sedikit jahitan batu yang menghiasi rak kayu di hadapan sudah menawan pandangan Ku'a. Digamit adik jurujual yang sedang berdiri menyusun tudung di rak besi beroda dihadapan untuk mengambilnya.

"Azad..yang ni, cantik dak?" Ku'a sudah menayangkan tudung biru yang diturunkan si adik jurujual dari rak kayu tadi dihadapan Azarina. Tiada respon walau mata Azarina dilihat sedang memandnag padanya.

Jeda.

"Azad, cantik dak weh tudung ni?"

masih Jeda. Dahi Ku'a sudah berkerut. Sah Azad ni tengah terbang entah ke negara mana.

"Azaddd!"

Azarina mengedip-ngedipkan matanya beberapa kali sambil memandang pada Ku'a yang sedang berdiri dihadapannya.

"aaa...hang tanya apa Ku'a?"

Azad ni, eei letih sungguh la dengan dia!

"hang dah sampai Tokyo ka Seoul?..jumpa Takuya Kimura ka jumpa Bae Yong Jun?" Azarina sudah mempamerkan sengihannya. Ku'a sudah menjeling sedikit dengan ekor mata.

Foodcourt di tingkat bawah Kompleks SemuaHouse sedikit sesak dengan orangramai. Biasalah keadaan sebegini jika hujung minggu. Sungguhlah orang KL ni kaya, tiap minggu pasti ramai yang turun membanjiri kawasan segitiga emas di Jalan TAR ini untuk menghabiskan duit!

Ku'a dan Azarina sudah mengambil meja yang berdekatan dengan eskulator. Beg-beg plastik yang berisi beberapa helai tudung dan potongan kain siap sudah mendarat di atas meja. Ku'a melepaskan lelahnya sambil tersandar dikerusi plastik berwarna kuning pudar.

"hang nak makan apa Ku'a, biaq aku pi order..'

"cantonese yee mee dengan cendol beb, nak letak ais parut extra. Nah.." sekeping not merah dihulurkan pada Azarina. "jangan nak mengada, macam tak biasa makan belanja aku!" Ku'a sudah tersengih. Not kembali disimpan. "Terima kasih Azad, sayang hang." Azarina sudah mencebik.

Hmm, sedapnya cendol!

"aku bukan apa Ku'a...cuma ambik berat ja. Hang tu kawan rapat aku. Teman akrab aku. Sahabat yang paling aku sayang." Azarina sudah mula menyuap nasi goreng USAnya kedalam mulut. "Hang bukan kenal sangat pun mamat tu. Takat dia anak jiran kita ja." Ku'a masih asyik menyuap yee mee kedalam mulut. Azarina turut menyambung suapan nasi goreng USA dihadapannya dengan penuh berselera. Berhenti menyuap, tangan Ku'a mencapai mangkuk cendol lalu menyuapnya pula kedalam mulut. Tidak langsung membalas bicara Azarina tadi. "memanglah kita kenai mak pak dia orang baik-baik, tapi zaman la ni Ku'a, anak belum tentu ikut perangai baik mak pak depa." Eh makcik kurus ni, kita cakap dengan dia, boleh dia buat tak tau ja, ada yang nak kena mandi dengan cendol ni...

issy, Azad ni kan banyak kali dah kita pesan kat dia masa makan jangan dok bercakap, tak baik la...tak nak ikut sunnah nabi betui la!

"boleh dak jangan bercakap masa hang makan. Nanti tersembuq ayam USA hang tu kat muka aku yang cun ni. tak ingat lagi apa tok pesan dulu?"

"ya la...aku lupa pesan dan petua tok hang tu."

Ku'a mencapai tisu lalu melekapkan perlahan-lahan ke mulutnya. Air suam Azarina dicapai lalu diminum sedikit. Alhamdulillah, syukur pada nikmat Allah!

"Dia kan cuma cakap isi hati dia. Hak dia la tu. Aku tak kata apa pun lagi kat dia, hang ja yang kalut lebih."

"dah tu hang pun syok sama la kat dia ya?"

"aku kan kata tadi..aku tak kata apa-apa lagi kat dia." Ku'a mencapai sehelai facial blotter dari dalam beg kecilnya lalu ditekat pada muka, hidung juga dahinya. Kertas yang sudah renyok dilenyek dikawasan muka dipandang sekilas. Fuh, berminyaknya muka.

"aku mahu terus berkawan macam biasa dengan dia dulu Azad. Soal yang tu biaq la tuhan yang tentukan."

'eh Ku'a, awat aku macam kenai ja dua ekoq yang sedang turun tangga tu?" Ku'a sudah menoleh memandang. Tapak tangan kanan sudah diletakkan pada mulut.

"asal kita pi mana ja, depa ni mesti ada interframe!" Ketawa Ku'a sudah bergema dibalik tapak tangan yang masih setia di mulut.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...