Monday, September 27, 2010

Songket Hijau Buat Ku'a - Bab 32

Bab 32

"hijau lagi?..tak dak warna lain ka hang ni."

"Cantik apa hijau lumut ni."

"cukup cukup la hijau tu. Takkan kat masjid pun hang nak pakai hijau gak. Tak kena la, issy biul la hang ni Ku'a. kesian dia hang tau, mau kena gelak kat orang masjid ikut kepala katak hijau hang tu 24 jam."

"dia tak kata apa pun. Ikut suka aku ja dia kata. Hang tu pandai ja."

"ya la, nak bantah lagu mana. Hang monopoli semua. Tak kuasa dia nak bukak mulut. Nanti karang hang merajuk panjang dia pulak yang susah. Nak tak nak ikut ja la walau tanpa kerelaan hati. Hijau pun hijau lah janji dapat kawin dengan hang si ratu katak pisang."

"dengki la tu kan. "

"tak kuasa aku nak dengki kat hang, takdah pekdahnya pun. Issy, tukar la weh. Buruk la hijau lumut ni. Dah macam taik lembu ja aku tengok. Tukar la warna yang lembut sikit. Ni kat masjid la weh. Putih ni kan cantik Ku'a. Putih la baru kena dengan majlis di masjid. Bersih dan suci. Tukar no?"

"weh tu hijau lumut la, taik lembu hotak hang. Aku taknak putih. Hang nak hang ja ambik masa majlis dengan Mus nanti."

"ketegaq hang ni sama besaq dengan Gunung Jerai tu hang tau dak. Tak padan ngan kurus keding."

"amboi sesedapnya aja mengata aku ya."

"mana ada mengata hang, aku cakap depan hang ni. Mengata tu cakap kat belakang hang dan hang tak dengaq. Ni hang dengar...live tu!"

"ok kak, hijau lumut ni ya untuk akadnikah. Fitting nanti kami mai berdua."

"dah final ka ni Ku'a. Hijau ni? Hijau taik lembu ni ka?"

"hijau lumut Azad!"

"ya la, ya la. Issy dia ni memang la tau."

"berdua dengan cik ni?"

"dak eh. Dengan ehem ehem dia la kak. Saya coming soon."

"boleh ja buat sama dengan aku kan hang tu aja juai mahal."

"tak hingin aku. Rosak majlis gilang gemilang aku nanti pasal hang. Majlis bertemakan hijau...hijau katak pisang."

"amboiii mulut. Aku sumpah nanti hang jadi katak pisang baru padan."

"issy cabui la mulut hang ni Ku'a."

"padan muka hang."

"katak pisang kejam rupanya hang ni. Malangnya laki hang Ku'a...dah la dapat bini keding, kejam lagi...katak pisang pulak tu, kesian kesian..."

"Azad!"

* * * * * * *

Sedih?...tipulah kalau kata hati kecil ini tidak langsung disinggahi rasa itu. Bohonglah kalau jiwa ini tidak tersiat dengan keputusan dia ...tapi daya apa lagi yang diri ini ada. Itu haknya. Hak yang tidak boleh dicabar walau dengan mana-mana akta sekalipun. Soal hati..soal perasaan mana mungkin boleh disua-sua. Mana boleh ditegah-tegah. Mana boleh dicuba-cuba. Mana boleh dipaksa-paksa!

Kecewa?...kalau dikatakan tidak, sah dia penipu paling hina di muka alam ini. Mana mungkin tidak! Tuhan sahaja yang tahu pilu lara dijiwa tapi cuba disembunyikan bibit bibit itu kala berdepan dengan dia waktu itu. Cuba disembunyi dengan lontaran suara ceria bersilih ganti ucap tahniah. Cuba ditabir dengan pelangi berwarna warni biarpun pelangi sebenar dihatinya sudah bertukar kelabu pekat...kelam.

Selama ini dia khilaf membaca riak wajah si dia. Silap menilik hati sang bunga. Tersasar menyimpul kata. Tidak langsung terduga duduk sebenar ceritera mereka. Rupa-rupanya dia bertandak riang seorang diri selama ini sedangkan si dia sekadar memerhati.

Butanya mata hati lelakinya selama ini pada kemesraan yang dihulur.

Lalu, ikhlaskah melepaskan dia pada jejaka lain?

Ya, dia ikhlas melepaskan bunga hatinya itu. Seikhlasnya merelakan si dia mengorak langkah demi membina bahagia yang hakiki. Bahagia si dia, dia juga cuba menanam benih bahagia. Demi sayang yang tidak bertepi, demi kasih yang yang tekat bersulam dihati dia tega dengan takdir ini. Suratan yang sudah tersurat di depan mata ini cuba didakap kejap dijiwa lelakinya. Redha itu ada hikmahnya.

Semoga berbahagia hingga ke hujung nyawa Ku'a...

Selamat tinggal belahan jiwa...

Saturday, September 25, 2010

Istikharah Terakhir - Bab 31


Bab 31

Mata yang sudah sedia letih sejak pagi tadi mengadap timbunan data dan angka berbagai nilai di skrin Apple jadi makin pedih saat menatap kad yang baru diletakkan Hanim diatas meja bersama jambangan merah nan mempesona. Jambangan yang sudah tidak asing dipandangan mata tiap penghuni pejabat ini. Jambangan yang tidak jemu-jemu hadir dan singgah di sudut mejanya saban minggu.

Dikedipkan kelopak mata yang indah berhias nada nightblue sea Kryolan. Beberapa kali. Cuba dilontarkan jauh-jauh bayangan yang singgah dilayar mata. Ayat-ayat yang tertinta dihamparan coklat muda berlatar belakang percikan merah darah direnung kembali. Tapak tangan didaratkan dipinggir bibir. Dielus-elus perlahan dua ulas delima sambil minda jauh menerawang. Cuba dicari niat yang tersembunyi disebalik kiriman kiriman indah yang bertali arus hadir tanpa salam sebelum ini.


Misi memikat?

"awak ni macam tekukur tau...tapi nakal."

"tekukur? apa tu, erk...kukur kelapa ye."

"bukan la sayang."

"dah tu apa, issy cepat la awak ni beritau...saje jer main-mainkan orang, benci la."

"betul tak tahu?...poster besar kat pintu studio saya tu."

"burung tu. Awak samakan saya macam burung tu, teruk la awak ni!"

"sifat yang sama. Unik, cuma awak..."

"cuma saya apa? haa nak kutuk orang la tu."

"laa, mana ada. Ini penghargaan saya untuk awak."

Mengapa mahu dipikat kembali si tekukur nakal ini?

Bukankah dahulu si tekukur ini sudah dilepas pergi dari menghuni dahanan lengan yang satu itu?

Helaan nafas perlahan lahan dilepaskan. Untuk apa lagi semua ini. Jambangan merah direnung. Dada terasa sesak tiba-tiba.

"tak suka la bunga ni awak. Merah. Macam darah je, tak suka laa!"

"saya suka. Cantik."

"awak suka awak la ambik buat apa bagi kat saya."

"saya bagi kat awak sebab saya suka. Apa-apa yang saya suka saya akan bagi kat awak. Nanti awak akan ingat saya bila tengok bunga ni."

"kalau tak ingat?"

"mesti awak akan ingat."

"iye la tu. Alasannya?"

"hanya saya seorang saja yang bagi awak bunga merah ni. Tak ada orang lain. Bunga yang awak tak suka."

Mata dipejamkan. Rapat. Ibu jari dan jari telunjuk diurut pada pelipis.

Janganlah lagi singgah mengirim utusan rindu yang sudah sekian lama dipasungkan jauh dilubuk hati yang pernah tersiat parah suatu waktu dahulu. Sudah dihumban pergi hikayat ceritera cinta yang tidak kesampaian itu walau dia pernah mengharap akan bersanding berdua di mahligai impian mereka. Sudah tidak mengharap apa-apa lagi. Sudah puas dahulu rintih dan ratap berlagu di tasik jiwa. Kolam rindunya tidak lagi menunggu hadirnya kolek kasih yang sudah jauh berdayung ke muara. Sudah jauh meninggalkan dirinya. Membuang dirinya. Melontar dirinya ke dalam lautan bersangkar yang tiada ikhsan. Sangkar yang memenjarakan seluruh jiwa dan raganya tanpa belas kasihan.

Sudah diredhakan segala yang terjadi. Hatinya kini baru mendapat sayap kebebasan. Mahu merasa riang terbang di langit nan biru. Mahu menghirup segar angin kedamaian yang selama ini tidak berani menjenguk wajah di beranda hatinya. Mahu menatap sepuasnya serakan pelangi kehidupan. Mahu terbang berdendang lagu ria mengisi duka ditaman jiwa yang menyepi sunyi bagai berkurun lama.

Kenapa muncul sekarang?

Selepas 5 tahun?

Kenapa setelah hatinya dapat membenam seluruh cinta itu, ia mahu digali kembali kini?

Bunyi jeritan interkom pantas mencantas kotak lamunan. Jari telunjuk nan runcing dibenamkan pada butang hijau.

" ya Hanim."

"Cik Zita, Encik Fazwan Anuar dari MSF Industries sudah sampai. Boleh saya bawa masuk?"

"sebentar Hanim."

Tangan pantas melontar kad yang dipegang ke dalam laci dikiri kerusi yang sedia ternganga. Ditolak rapat laci. Dikemaskan duduk. Tubuh yang tadinya mengelunsur didada kerusi pantas ditegakkan. Jari jemari pantas berlari disekitar wajah. Mahu dikemaskan penampilan agar tiada yang perasan apa yang bersarang dan bergelora di jiwanya saat ini. Tidak mahu dikongsi rasa itu. Tidak mahu dimaklum pada sesiapa pun.

"ok, bawa Encik Fazwan masuk ke bilik saya Hanim."

Ketukan dipintu disambut dengan silaan masuk. Hanim sudah membuka pintu. Senyum manis sudah bertukar dan bertaut. Tetamu sudah melangkah masuk menyusun langkah ke hadapan lalu kerusi ditarik dan duduk dilabuhkan. Mata saling bertukar pandangan. Mesra dan santun Hanim mencelah bertanyakan minuman yang dimahukan sebelum perlahan mengatur langkah keluar.

"Zita sihat?" Anggukan kepala disua sambil senyum manis pantas diukir.

"macam yang abang Wan tengok sekarang. Sangat-sangat ceria. Kan?"

Bibir berkumis nipis itu menyimpul senyum bersama anggukan kepala.

"ceria dan bertambah cantik. Berseri-seri." Ketawa kecil tercetus dari mulut mungil Zita.

"Ada-ada je. Abang macam mana?"

Helaan nafas dihembus. Jawapan yang dinanti tergantung seketika. Cermin mata yang melorot ditolakkan kembali ke pangkal hidung. Pandangan mata mereka bertaut.

"diri abang secara peribadi atau secara keseluruhan?"

Berkerut dahi Zita mendengar kata yang keluar dari mulut lelaki dihadapan. Apa pula kisahnya ni?

"apa maksud abang ni. Zita tak faham. Lain macam saje bunyinya. Wanna share?"

Tolakan pada pintu mematahkan butir kata yang sudah siap disusun dari bibir Fazwan. Mata dikedip memandang Hanim yang sopan menyorong cawan berisi nescafe dihadapan. Ucapan terima kasih dilaungkan perlahan. Cangkir yang masih bersisa awanan asap itu dicapai perlahan. Ditiup perlahan-lahan sebelum dihirup penuh hati-hati.

Zita masih setia menanti Fazwan melengkapkan susunan kata yang terputus sebentar tadi. Fazwan dilihat mengelus jambangan merah indah yang tersergam disudut mejanya.

"beautiful. Azhar bagi?" Gelengan kepala dihadiahkan pada soalan Fazwan.

"owh. Then, siapa?"

"someone."

"someone who?"

"abang tak kenal."

"then kenalkan."

"kalau jumpa."

"hmm, secret admirer i guess?"

Ketawa kecil terletus dari ulas delima itu. Fazwan hanya memerhati. Makin berahsia wanita cantik dihadapannya ini. makin berhati-hati dalam berbicara.Tidak seperti dahulu.

"abang tak jawab soalan Zita tadi kan. Pandai ye tukar topik. Cepat." Giliran Fazwan yang memecah suasana dengan tawa. Zita hanya memerhati."

"Zita pun. Tu, tak jawab soalan abang."

Kalau boleh memang tak akan dijawab soalan itu abang. Tidak akan dijawab sampai bila-bila pun abang. Biar Zita simpan saja jawaban itu. Biar tiada siapa-siapapun yang tahu. Biar terhapus tanpa dapat dikesan. Biar hilang lenyap. Zita tidak ingin mengingatinya lagi. Carikan dihati yang sudah sembuh ini tidak akan diizinkan untuk dilapah lagi. Cukuplah.

Zita, makin sukar sungguh memahami hatimu. Zita yang sudah menutup jendela dan pintu dirinya dari dihampiri sesiapa jua. Mana perginya Zita yang dahulu. Zita yang mudah berbicara apa sahaja. Zita yang mudah bercerita dan mengadu rasa.

"Zita." Wajah diangkat sedikit. Raut berkumis itu terus dijamah.

"Faisal. Dia ada hubungi Zita?" tangan yang tadinya selesa berbaring diatas riba diangkat sedikit. Owh, jadi ini tujuan kedatangan rupanya.Abang...abang. Masih tidak putus asa merisik khabar rupanya. Masih setia demi seorang Shahrum Faisal.

"abang, urusan Zita dengan Faisal sekarang hanya berasaskan urusan professional. Urusan kerja dengan MSF Industries Group. Itu sahaja. Tidak lebih. Tidak kurang." Nafas dihela sedikit. Senyuman manis cuba diukir.

"Zita ada tanggungjawab baru. Tanggungjawab yang amat berat. Syarikat ini..." Mata dibawa melihat disekitar bilik.

"papa akan serahkan pada Zita abang. Zita tidak mahu fikirkan yang lain-lain. Zita mahu mulakan hidup baru. Terlalu banyak masa yang Zita sia-siakan abang. Lima tahun yang sia-sia. Cukuplah."

Ya, cukuplah apa yang sudah aku lalui dahulu. Aku bukan lagi si tekukur nakal itu yang dipaksa terbang ke dahan lain tanpa kerelaan hati. Bukan juga isteri yang pasrah yang hanya menyerah takdir diri pada suami. Aku tidak mahu lagi jadi Zita yang itu. Zita yang itu sudah tiada lagi. Sudah lama tiada di muka alam ini. Sudah terkubur. Sudah mati!

Tuesday, September 7, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri...




Buat semua pengunjung tersayang diteratak tempat kucc merapu meraban tak tentu hala ni selamat menyambut eidulfitri nan bahagia...maaf zahir batin jika ada salah silap kucc disepanjang pengendalian blog ini...samada yang disedari atau tidak...samada yang disengajakan atau tidak. Moga kita semua akan berjumpa lagi di ramadhan al mubarak yang akan datang, insyaallah...

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...