Monday, November 21, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 10


Bab 10

Ain menjengah ke ruang dapur. Bibir mengukir senyum meleret. Laila dilihat lincah menyenduk nasi ke dalam mangkuk buluh. Langkah diatur menghampiri meja empat segi kecil di tepi Toshiba. Asap dari mangkuk kaca berwarna kuning telur dan berbentuk buah labu berisi kurma daging yang baru diisikan Laila berkepulan ke atas. Aroma rempah-ratus yang teradun benar-benar membuka selera Ain. Bebola mata ghairah melihat segala yang ada di depan mata. Bebola mata galak Ain bulat melihat pinggan bujur yang diisi ayam masak merah dan dihiasi taburan kacang peas. Ain telan air liur. Ditenung ayam merah tidak berkelip. Mata berkalih pula ke mangkuk bujur berbentuk seakan buah nenas yang dipotong dua. Pajeri nenas kelihatan comel dipotong empat segi bergandingan dengan hirisan cili merah yang dipotong memanjang begitu menggamit jemari Ain untuk menyentuhnya namun cuba ditahan. Jelingan Laila memberi isyarat nyata. Kau sentuh, kau nahas Ain.. Huh! Mata menoleh pada jam empat segi biru disebelah si Panasonic putih pemanas makanan.


"lambat lagi ke sampainya tetamu istimewa kau tu, aku dah lapar ni. Perut aku dah berjoget lambak ni Laila." Tangan kanan Ain sengaja digosok ke permukaan perut. Cuba menarik perhatian Laila yang tekun menghiasi nasi beriani dengan taburan gajus, kismis juga bawang goreng. Jemari runcing Laila rancak menari diatas bekas nasi berbentuk bulat yang diperbuat dari anyaman buluh. Sebatang senduk bujur dari bahan yang sama terselit di tepi mangkuk. Ain masih ingat mangkuk unik lagi menarik ini dihadiahkan kepada Laila oleh seorang pelanggan setianya yang berasal dari Surabaya, Indonesia.

"kejap lagi. Dalam perjalanan katanya. Sabar la kejap. Nanti boleh je kau belasah sesuka perut kau...aku tak larang." Ain mencebik seraya mencapai gelas di rak besi yang terletak di tepi sudut meja. Langkah dibawa mendekati Toshiba. Laila ketawa seraya menggelengkan kepala. Pintu Toshiba ditarik perlahan. Mata terpegun pada isi yang terhidang diatas pinggan berukir bunga mawar merah. Hirisan buah naga merah membuatkan Ain menelan air liur lagi. Buah merah ini memang diketahui menjadi kegemaran Laila. Disabarkan diri agar tidak merosakkan susunan cantik buahan tersebut yang pasti dari kerja halus jemari Laila. Sebuah jag berwarna merah diangkat keluar. "aku rasmikan dulu jus tembikai kau ni, boleh kan. Sangat menggiurkan aku ja jus kau ni. " Ketawa pecah lagi. Laila menganggukkan kepala. Tidak menoleh. Dituangkan isinya sedikit kedalam gelas yang diletakkan pada palang pintu Toshiba. Diletakkan semua jag pada kedudukan asalnya. Ditolak pintu Toshiba. Kerusi di tarik lalu dilabuh duduk. Jus tembikai dihirup rakus. Mata memandang pada Laila. Dia tidak pasti apa yang istimewa tetamu temannnya ini hinggakan dia nyata bersungguh menyiap segala hidangan. Siapa agaknya orang ini dan hubungannya dengan Laila. Lelaki ke? atau perempuan barangkali. Ain menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bila ditanyakan kepada Laila, jawapan sakit jiwa yang diberi."kau tengok jer nanti." Issyy!

"nak aku tolong apa-apa ke ? boring ni menunggu tetamu istimewa kau yang tak sampai-sampai lagi, kurang-kurang boleh hilangkan rasa kelaparan aku yang sudah mencecah darjah suhu kecemasan...dah masuk zon kecederaaan ni, Laila." Pecah ketawa Laila berterusan. Melangsing bunyinya. Tak tertahan dengan kata-kata lucu spontan Ain. Anum yang tiba-tiba muncul spontan tercegat di palang ruang dapur menghentikan ketawa Laila. Baik Laila mahupun Ain, kedua-duanya memaku pandangan pada Anum yang seperti ingin menyampaikan sesuatu. Tangan Anum menggapai seakan mahu memberitahu sesuatu. Laila dan Ain saling berpandangan.

"ha! Num, ada apa ni?" Ain laju menyapa. Pelik dengan sikap Anum.

Tangan kanan yang dibengkokkan sedikit menghala ke arah ruang hadapan.

"tadi ada bunyi kereta kat luar pagar. Anum intai. BMW hitam. Besar giler kak. Ada sorang perempuan keluar dari kereta tu. Dia...dia ada kat luar. A..a..anum...tak..tak..." kalam Anum tersangkut-sangkut. Mata memaku pada wajah kedua-dua teman serumahnya.

Laila tepuk dahi. "itulah tetamu akak. Nape tak bagi dia masuk..Anum, Anum." Anum garu pelipis. Ain tekan telunjuk di pelipis sambil menjegilkan mata pada Anum. Tangan Anum berpindah ke kepala. Pantas menggaru. Laila atur langkah ke hadapan. Ain dan Anum membuntuti dari belakang. Ain siku perut Anum. Anum mengaduh seraya menepuk lengan Ain. Langkah Laila terhenti seketika. Menoleh kebelakang. Kepala menggeleng perlahan sebelum meneruskan hayunan ke pintu. Anum dan Ain terhenti tingkah. Masing-masing saling memandang..saling mencebik. Langkah Laila terus diekori.

Sambil melangkah mulut terus berbicara. "Anum mintak maaf kak. Anum ingat tetamu akak lelaki. Anum ingat perempuan kat luar tu jual barang."

Ain tepuk dahi.

"jual barang apanyer malam-malam buta ni. Apalah Anum ni. Slow!" Tapak tangan dihalakan ke arah Anum. Anum mencebik tapi masih tidak puas hati. "mana tau dia memang sengaja datang malam-malam nak jual barang. Siang-siang kita semua takda. Dia maybe dah siasat laa kak Ain." Dalam menggeleng kepala, senyum Laila tersuring. Langkah ketiga-tiga didepan pintu. Terdengar salam dari luar. Laila menyambut. Ain menyambut sama tapi nyaring. Anum ketawa. Tombol pintu dicapai.

Seraut wajah anggun dengan sepersalinan kurung biru dilengkapi dengan selendang yang tersemat dibahu membuatkan Ain dan Anum sedikit terlopong. Laila mengukir senyum manis. Tangan wanita dihadapan digenggam erat dan mesra.

"maaf buat auntie lama tunggu di luar, kami semua kat dapur tadi. Tu yang tak sedar auntie dah sampai. Maaf ye auntie." Puan Zahra mengangguk perlahan dan menyatakan tidak mengapa sambil memohon maaf atas kelewatannya. Dimaklumkan pada mereka semua ada kemalangan tadi sewaktu mahu ke rumah Laila. Jalan menjadi sesak.

"auntie, kenalkan ini teman serumah Laila. Yang pakai pijama kartun smuff macam kanak-kanak ribena tu Anum. Yang sebelah pakai kaftan merah jambu tu, Ain." Anum dan Ain saling menjual senyum dan menghulur jabat. Berbalas genggaman dan bersaing senyum. Laila menarik Puan Zahra ke dalam. Genggaman tangan keduanya masih erat.

"jom auntie. Kita masuk dahulu. Laila masak special untuk auntie malam ni tau. Ada orang dah tak sabar sebab kena tunggu auntie." Laila angkat kening sambil tersenyum memandang Ain dan Anum yang makin meleret senyum. Puan Zahra ketawa kecil seraya memaut mesra bahu Laila."hmmm, mesti sedap ni, tu yang sampai tak sabar...Betulkan Ain, Anum?" Pecah ketawa kesemuanya. Ain paling nyaring dengan berlucu menyatakan Laila sengaja mendera emosi dengan memaksanya melihat sahaja hidangan yang sudah siap dimasak tetapi tidak boleh disentuh dahulu. Puan Zahra menggelengkan kepala. Terhibur dengan gelagat lucu Ain. Kesemua mereka berdedai masuk ke dalam.

Beg kertas warna coklat bertukar tangan. Laila menyambut diikuti dengan ucapan terima kasih. Puan Zahra dipersilakan duduk di ruang tamu dahulu. Laila melabuhkan duduk disebelah. Ain dan Anum sudah hilang ke ruang dapur. Sangat faham tugas masing-masing. Diberi ruang untuk Laila melayan tetamunya yang baru tiba sementara mereka berdua melangsaikan tugas menghidangkan makan malam di meja makan utama.

"apa ni auntie." Kepala Laila menjenguk ke dalam perut beg kertas yang dikuak sedikit. Dikeluarkan perlahan. Penuh tertib. Sebuah bekas plastik empat segi bujur berwarna biru ditatap. Bau semerbak pastri memenuhi ruang cukup dikenali. Akal sudah dapat mengagak isi disebalik bekas empat ditangan.

"apple pie. Auntie buat...special buat Laila." Laila senyum. Didekatkan bekas ke hidung. Senyuman manis terukir. Bertaut dengan senyuman manis Puan Zahra. "Wanginya. Mesti sedap ni. Tak sabar nak makan ni. Macam tau tau je Laila suka makan apple pie ye."

"oooo ye ke. Langkah kanan la auntie malam ni. Sama pulak Laila dan anak auntie. Dia suka sangat apple pie. Seminggu sekali memang auntie kena buat untuk dia. Tidak, mau panjang muncungnya." Puan Zahra ketawa seraya menggelengkan kepala tatkala bercerita tentang anak tunggalnya pada Laila. Wajah Wazif terzahir diruang mata. Diakui Wazif dirumah begitu berbeza dengan Wazif di pejabat. Pasti tidak akan ada yang percaya jika dikatakan Wazif manja orangnya. Disebalik ketegasan sikapnya kala menjalankan tugas, anak tunggalnya itu sebenarnya berhati lembut.

Mata Laila terkalih pada Ain yang sudah berdiri di belakang. Memberi isyarat dengan kedua-dua ibu jari ditegakkan. Laila mengenyitkan mata. Tersenyum. Perlakuan kedua-dua menarik perhatian Puan Zahra. Mata Laila dan Puan Zahra bertaut. Senyum Laila mekar. Tangan puan Zahra dielus perlahan.

"jom auntie, kita makan." Kedua-dua sudah bangun dari duduk. Ain yang tercegat di belakang tersengih.


"jom auntie, Ain pun tak sabar ni nak makan..dari tadi menahan deraan emosi dan mental. Pandang pandang, jeling jeling. Sentuh tak boleh!"

Pecah ketawa Puan Zahra dengan kata-kata lucu Ain. Bahu kedua-dua gadis itu dipaut mesra. Langkah diatur ke ruang makan utama disebelah ruang tamu. Anum sedang menuangkan gelas-gelas yang tersusun dengan jag berisi jus tembikai. Puan Zahra dipersilakan duduk. Wajah ketiga-tiga gadis muda dihadapan direnung. Hatinya mekar berbunga. Anak-anak gadis yang sedang berada dikelilingnya saat ini terasa begitu akrab..begitu dekat di hati. Mesra...bagaikan anak sendiri. Alangkah bertuahnya diri jika dia juga punya seorang puteri.

* * * * * * *

Jari-jemari runcing yang rancak menari di atas kekunci Thinkpad ienovo terhenti. Pintu bilik pejabat yang diketuk dari luar ditatap seketika. Suaranya dilantun menyahut ketukan. Terjenguk wajah comel Zarida yang berkebaya nyonya rona jingga didepan pintu. Digamit dengan anggukkan kepala. Isyarat meminta penyambut tetamu di pusat pameran Karyaaneka Kraf untuk masuk kedalam.


"maaf ganggu cik Laila."


Kepala digeleng. Senyum dilontar. "tak per. Ada apa, Zarith?"


"err...kat luar ada sorang lelaki nak jumpa Lynn. Saya..saya tak tahu nak cakap apa cik Laila. Dah dua hari Lynn tak datang keje. Telefon pun tidak. Kita call pun tak jawap. Saya ingat nak jenguk dia petang ni. Risau jugak. Tunang dia pun tak nampak muka dua hari ni. Heran laa cik Laila. Dahlah dua hari sebelum ni dia murung jer..diam. Cakap sepatah sepatah je."


Laila hela nafas perlahan.


"ada orang tu cakap siapa dia?"


Kepala Zarida laju menggeleng.


Laila cuba bertenang. Tubuh yang tersandar di kerusi empuk ditegakkan.


"takpe lah, Zarith. Saya jumpa orang tu sendiri. Mari." Zarida angguk kepala. Langkah laju mendahului ketuanya. Dari jauh kelihatan seorang lelaki yang membelakangi kaunter penyambut tetamu. Tubuh sasa dengan kemeja putih berjalur biru lembut dipadan dengan seluar hitam. Kemas dan segak. Itu yang dapat diterjemahkan mata melihat figura itu dari sisi belakang. Pasti bukan sebarangan. Ada apa urusan lelaki ini dengan jurujualnya. Minda Laila cuba memutar maklumat. Tidak pernah dilihat lelaki sasa ini datang atas urusan berjumpa Lynn sebelum ini. Lynn atau nama sebenarnya Azlinda adalah antara jurujual yang bertugas disini. Laila tahu Lynn sudah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Yang selalu dilihat datang adalah Zaki; tunangan Lynn. Zaki bertubuh kurus sahaja, bukan seperti lelaki ini!


"err..encik.." Tubuh yang disapa berpaling.

Laila tergamam. Nafas seakan terhenti. Lelaki dihadapan cukup tenang. Sempat tersenyum. Minda Laila bergelumang saat ini. Berhempas-pulas. Cuba menggali maklumat sederas mungkin. Urusan apa lelaki ini dengan Lynn. Siapa dia pada jurujualnya itu.

"encik, ini pengurus kami..cik Laila. Err..encik boleh berurusan dengan cik Laila tentang cik Azlinda ye."

Wazif angguk kepala. Melontar senyum pada penyambut tetamu yang ditemui tadi sambil mengucapkan terima kasih. Wajah Laila dihadapan ditatap. Bukan Wazif tidak tahu dia pasti akan berhadapan gadis ini hari ini. Menyelak data peribadi Azlinda Razak; pelanggan yang sedang diuruskan kes tuntutan terhadap bekas tunangannya di mahkamah syariah membuatkan Wazif benar-benar terkejut. Namun dalam masa yang sama hatinya bagai melonjak riang. Tidak diduga Azlinda rupanya petugas jualan di pusat pameran Karyaaneka Kraf. Alangkah kecilnya dunia ! Ya, Karyaaneka Kraf juga adalah tempat kerja Laila, gadis yang terlalu cuba menghindari dirinya sejak sekian lama. Ironinya makin cuba gadis ini menjauhi, makin kerap mereka ditemukan secara tidak terancang. Dalam diam, dipanjatkan kesyukuran pada-Nya.

Laila cuba mengawal diri. Berlagak setenang mungkin. Tidak mahu Zarith mensyaki apa-apa.

"silakan ke pejabat saya, encik. Kita bincang di sana. Lebih sesuai." Laila berbahasa basi. Senyuman paksa diukir. Berat rasa bibir. Hati sedang berlagu tidak enak. Wazif mengangguk senyum. Peluang harus direbut. Serampang dua mata harus diatur. Beriringan jalan kedua-dua.
Laila menatap wajah tenang dihadapan. "ada apa urusan encik Wazif mahu berjumpa staff saya?"

"urusan rasmi. Urusan cik Azlinda dan saya."

Laila makin masak dengan helah lelaki dihadapannya ini. Sengaja memprovokasi amarahnya. Dia tidak mahu terperangkap dengan mainan kata-kata lelaki ini.

"Encik Wazif datang ke sini. Di sini, cik Azlinda dibawah seliaan saya. Saya pengurus di sini. Saya bertanggungjawab atas semua staff di sini. Saya berhak tahu. Harap encik Wazif maklum."

Wazif tenang. Wajah ayu Laila dihadapan terus dijamah. Terbias riak tidak senang diwajah ini disebalik ketenangan yang cuba dipamerkan. Senyuman dihati disembunyikan. Keras hati gadis ini sengaja dibentengkan demi membina jarak antara mereka berdua. Akan diusahakan dahulu untuk merapatkan jarak itu. Akhirnya nanti akan dipesatkan ikhtiar untuk menghapuskan jarak antara mereka. Bak kata peribahasa; lulus jarum lulus kelindan. Usaha demi usaha harus digerakkan untuk merapati gadis yang satu ini. Nafas dihela lembut.

"staff cik Laila...pelanggan saya."

Tubuh genitnya terdorong kehadapan. Sedikit terkejut. Hairan.

"pelanggan? maksud awak?" Panggilan encik sudah dihilangkan. Hati Wazif bersorak.

"hmmm...pelanggan saya. Saya sedang kendalikan kes dia."

Dahi Laila membentuk kerut.

"kes dia? kes apa ni? kenapa saya tak tahu apa-apa pun." Hati Laila tidak enak dengan penjelasan Wazif. Ketidakhadiran Azlinda selama dua hari kebelakangan ini tanpa alasan cukup merisaukan Laila. Sudahlah perlakuannya yang agak pelik dari kebiasaan kebelakangan ini cukup menghairankan Laila. Seakan-akan menyimpan sesuatu masalah. Bila cuba ditanya, pantas dielak. Laila sedar akan hal itu. Dia tidak mahu mendesak. Cuba memberi ruang untuk Lynn bersendiri.

"awak tak dimaklumkan oleh cik Azlinda?" Giliran Wazif membuang panggilan cik untuk Laila.

Laila menggeleng lemah. Wajah manis Azlinda yang berambut keperang-perangan terlayar diruang mata. Patutlah dia berkelakuan pelik kebelakangan ini. Rupanya ada rusuh didalam hati. Dipanjatkan doa moga gadis itu dipelihara dari sebarang bahaya. Azlinda gadis baik. Laila cukup mengenali sifat dan pekerti gadis itu.

"kes tuntutan ke atas bekas tunangannya."

Dada Laila berdegup kencang. Bekas tunangan? Zaki? Lynn, apa makna ini semua?

Wajah Wazif direnung dalam. "saya tak faham. Tuntutan ke atas bekas tunangan? Tuntutan apa ni."

"tuntutan mungkir janji perkahwinan. Pertunangan mereka berdua sudah diputuskan oleh bekas tunangan cik Azlinda."

Laila terpanar. Putus tunang? Patutlah Azlinda murung kebelakangan ini. Inilah punca rupa-rupanya.

Pintu yang diketuk deras dari luar membuatkan bicara kedua-dua terhenti. Mata Laila dan Wazif saling bersaing mematah pintu yang tertutup. Laila melaung memberi keizinan untuk masuk. Tersembul wajah Zarida yang cemas.

"Zarith, kenapa ni? ada masalah di luar ke?"

Kepala laju menggeleng namun tangan Zarith yang terawang-awang mengapai tidak ketentuan arah membuatkan Laila dan Wazif saling berpandangan. Hairan.

Wazif cuba mengambilalih suasana. Membantu. "Tenang cik. Istighfar. Cuba beritahu kami. Perlahan-lahan."

Dada Zarida jelas turun naik. Kencang.

"cik Laila...Lynn..Lynnn...."

Wazif dan Laila berpandangan lagi untuk seketika. Laila deras bangkit dari kerusi empuknya. Bahu Zarida dielus perlahan. Cuba ditenangkan kakitangannya itu.

"Zarith, bertenang ok. Relax. Cuba cakap apa yang dah berlaku. Kenapa dengan Lynn,hmmm."

Zarida tatap wajah Laila. Renungan yang penuh bermakna. Ada lautan rasa bimbang dan risau di kolam jernihnya.

"Zaki..Zaki..dia.."

Laila pandang Wazif yang sudah berdiri. Ada rasa tidak enak sedang berlegar di minda. Ya, Tuhan selamatkan Lynn!

"Zaki ada di luar rumah sewa Lynn sekarang. Lynn..Lynn call..dia takut. Takut sangat! Zaki panjat pagar. Dia gegar pintu grill. Dia suruh Lynn keluar. Kalau..kalau tak dia nak bakar rumah. Dia nak bunuh Lynn, cik Laila. Zaki dah gila!. Cik Laila, tolong Lynn. Tolong Lynn, cik Laila!" Laila telan air liur. Tergamam seketika.

"awak tahu rumah dia?" Wazif sudah memintas. Dia harus pantas bertindak. Azlinda dalam bahaya. Dalam situasi begini, manusia sering hilang pertimbangan. Wazif pasti surat tuntutan yang dihantar kepada bekas tunangan pelanggannnya itu adalah punca perkara ini.

Laila laju mengangguk. Dia masih ingat dia pernah ke rumah sewa jurujualnya itu sewaktu sambutan harilahirnya awal tahun ini bersama Ain dan Anum. Laila masih ingat lagi jalan untuk ke rumah Lynn biarpun cuma sekali ke sana.

"ok, kita pergi sekarang. Kita naik kereta saya. Jom!" Laila capai LV di sudut meja belakang. Langkah Wazif diekori. Pada Zarida dikhabarkan agar bertenang dan jangan menghebahkan berita tersebut. Tunggu sehingga dia dan Wazif kembali dari rumah Lynn.

Wednesday, November 16, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 9


Bab 9


"perjanjian untuk berkahwin atau lazimnya disebut sebagai pertunangan dalam budaya masyarakat melayu bukan satu kontrak perkahwinan. Pertunangan tidak menghalalkan perhubungan intim antara lelaki dan wanita. Jelas kan."

Sorotan sepasang bebola mata Wazif tepat ditujukan pada susuk tubuh berkurung merah jambu dengan rambut keperang-perangan mencecah bahu yang takzim duduk dihadapan. Fail gadis dihadapannya ini sudah diserahkan kelmarin oleh kak Rohana; setiausaha walid. Kata kak Rohana dia diarahkan walid supaya menyerahkan kes gadis ini untuk dikendalikan oleh Wazif. Kata kak Rohana lagi, gadis ini dikategorikan sebagai penerima bantuan CSR (Corporate Social Responsibility) oleh biro bantuan guaman dan Tetuan Hanafiah & Co yang terlibat didalam aktiviti CSR biro diminta untuk membantu gadis ini. Kesibukkan dirinya berulang alik ke JAKESS (Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor) disebabkan kes pelanggan membuatkan dia tidak sempat meneliti latar belakang gadis ini walaupun dia tahu dia perlu mengetahuinya demi kelangsungan kes yang bakal dikendalikan. Hanya fakta berkenaan kes gadis ini sahaja yang diteliti semalam sebelum berjumpanya hari ini. Akan diteliti maklumat peribadi gadis ini kemudian nanti selepas selesai sesi pertama perjumpaan mereka hari ini. Wazif mahu memastikan tanggungjawab sosial yang terjunjung di pundak Tetuan Hanafiah & Co dilaksanakan dengan cemerlang. Nasib gadis ini harus dibela namun sebelum itu dia harus disedarkan tentang kesalahan yang telah dilakukan.

Menurut catatan fail, gadis ini mahu menyaman dan menuntut gantirugi terhadap bekas tunangannya atas keingkarannya memenuhi janji untuk berkahwin dengannnya. Kes tuntutan gantirugi mungkir janji perkahwinan memang biasa dikendalikan namun kes gadis ini sedikit berbeza. Kedua-duanya sudah terlanjur. Dan bekas tunangan gadis ini pastinya akan menggunakan perkara ini sebagai senjata utama untuk memastikan tindakannya memutuskan pertunangan tidak dilihat sebagai satu kesalahan. Gadis ini akan dianggap gagal untuk mempertahankan kehormatan dirinya sebelum mereka berkahwin. Ada rasa kesal dan kecewa yang bertandang di hati lelakinya. Namun tugas yang tergalas di bahu akan dilaksanakan sebaiknya. Akan dilakukan demi tanggungjawab yang sedang berada didepannya saat ini.

"sewajarnya cik Azlinda tahu dan faham hukum. Pasangan yang bertunang masih lagi perlu menjaga adab dan aurat apabila bersama. Hukum syarak tidak menghalalkan perhubungan semata-mata atas dasar pertunangan. Tanggapan bahawa selepas bertunang, pasangan itu boleh ke mana sahaja dan melakukan perkara tertentu sebenarnya tidak mempunyai asas di dalam hukum syarak dan ia suatu dosa. Oleh itu pasangan kekasih yang berdua-duaan walaupun sudah bertunang sebenarnya melakukan maksiat dan dimurkai Allah. Dan itu yang terjadi pada cik Azlinda dan tunangan, bukan? Bila terjadi begini, perempuan juga yang perlu menanggung akibatnya."


Wajah itu yang tadi tunduk penuh takzim mengangkat raut wajah bujur sirihnya perlahan-lahan. Mata mereka saling bertatapan. Gadis dihadapannya ini dilihat Wazif bagaikan sedang mengumpul kekuatan untuk bersuara. Bibirnya bergerak-gerak, seakan-akan mahu menyatakan sesuatu. Matanya berkaca-kaca. Wazif terus berbicara.

"Hikmah pertunangan adalah jelas iaitu bagi menjaga keharmonian masyarakat agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini yakni pergaulan yang bebas yang mungkin akan menjerumuskan pasangan ke arah dunia kemaksiatan. Namun sekarang ini yang nyata, ikatan ini disalahgunakan malahan digunakan sebagai tiket untuk lebih bebas bergaul tanpa sekatan. Alasan pasangan selalunya mereka akan kahwin juga nanti dan inilah adalah tempoh untuk mereka berdua saling mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam. Bila batasan yang digariskan agama itu diingkari dan dicabuli maka musibah yang akan diperoleh. Saya minta maaf jika kata-kata saya ini mengguris perasaan cik Azlinda tetapi ini tanggungjawab saya untuk menyatakannya kepada cik Azlinda. Khilaf yang dilakukan harus disedarkan. Bertaubatlah. Bertaubat dengan penuh suci hati,insyaallah. Dia maha melihat dan maha mengetahui segala apa yang terjadi. Banyakkan berdoa dan meminta ampun dari-Nya."

Kepala berselendang rona sedondon dengan kurung yang tersarung di tubuh mengangguk perlahan. Jari-jemari menyeka titis-titis manik jernih yang turun ke lembah kedua-dua pipi.

"saya tahu saya bersalah. Saya terlalu ikutkan hati. Saya memang bodoh. Saya memang buta. Saya terlalu sayangkan dia,tapi...dia dah berjanji akan bertanggungjawab atas perbuatan kami. Sa...saya tak sangka dia ambil keputusan ini. Saya malu, encik Wazif. Keluarga saya juga. Mereka tak tahu macam mana nak berhadapan dengan orang-orang kampung. Lagi seminggu majlis kahwin kami. Sampai hati dia buat saya dan keluarga saya macam ni. Ayah saya orang terhormat di kampung. Ayah sampai jatuh sakit. Terkejut dengan tindakan tunang saya dan keluarganya. Dia juga turut bersalah di dalam perkara ini. Dia yang mendesak saya...memujuk rayu. Dia langsung tak berbincang dengan saya tentang perkara ini. Tahu tahu keluarga dia datang minggu lepas dan putuskan pertunangan kami. Langsung tak beritahu sebab apa. Mudahnya keluarga dia cakap dah tak da jodoh. Nak letak kat mana muka kami sekeluarga. Maruah saya yang tergadai ini macammana. Haa, cakap macammana. Lelaki semuanya sama. Dasar jantan buaya..jantan sial! Saya sumpah hidup dia akan huru-hara kerana aniaya saya dan keluarga macam ni. "

Wazif menghela nafas dalam dalam.

"sabar dan cuba bertenang cik Azlinda. Istighfar banyak-banyak."

"sabar macammana lagi, encik Wazif. Hidup saya dah musnah. Maruah keluarga saya dah tercemar. Lebih baik saya mati sahaja. Habis cerita. Saya dah tak sanggup nak tanggung aib ni. saya malu!.. malu!" Tangisan dari raut bujur sirih dihadapannya ini terburai. Wazif jeda. Membiarkan pelanggannya ini menghamburkan segala sedih pilu semahunya. Itu lebih baik. Jika disimpan ia akan lebih parah.

Jeda.

"Azlinda, jangan putus harap dengan rahmat Allah. Saya ada disini untuk bantu. Saya akan cuba bantu cik Azlinda sedaya saya, insyaallah. Dunia ini bukan sekadar hitam dan putih sahaja. Dunia ini juga ada merah, hijau, biru, kuning, jingga dan sebagainya. Pandanglah dunia dengan minda yang lebih luas."

"dia mesti menang encik Wazif. saya tahu dia mesti menang. Dia mesti akan salahkan saya nanti."

Wazif geleng kepala.

"dengar sini cik Azlinda.." mata mereka berlaga.

"agama islam yang kita anuti ini ada undang-undang syariah yang menggariskan perlindungan pada orang-orang yang teraniaya. Allah itu maha adil dan saksama." Wazif merenung wajah lencun dihadapannya. Esakannya sudah usai. Disambung bicara lagi. "saya mahu memberitahu kedudukan kes cik Azlinda ini dari sudut syariah dan perundangan. Harap cik Azlinda dengar dengan teliti. Boleh bertanya saya jika kurang jelas, ok?"

Azlinda dilihat mengangguk tanda faham.

"Apabila suatu perjanjian dibuat maka kedua belah pihak adalah terikat dengan perjanjian itu. Memungkiri perjanjian itu akan mengakibatkan pihak yang satu lagi itu akan menanggung kerugian dan sebagainya. Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah. Seksyen 15 ini bermakna sekiranya satu daripada pihak mungkir untuk berkahwin selepas suatu perjanjian yang sah dibuat tanpa sebab yang dibenarkan syarak sedangkan pihak yang satu lagi itu bersedia untuk berkahwin dengannya maka pihak yang mungkir itu perlu;

a) Memulangkan segala hantaran yang diterimanya daripada pihak yang satu lagi ataupun jika tidak dapat memulangkannya maka perlu membayar dengan wang yang senilai dengan hantaran yang diberikan itu;
b) Menanggung perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak yang bersedia untuk berkahwin itu di dalam membuat persediaan bagi perkahwinan itu.

Kedua-dua perkara di atas hendaklah ditanggung oleh pihak yang mungkir kepada perkahwinan itu dan sekiranya ia enggan membayarnya maka pihak yang bersedia untuk berkahwin itu boleh menuntut remedi atau gantirugi itu di Mahkamah Syariah melalui seksyen 15 Akta yang disebut di atas. Bagaimanapun, jika pihak yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Saya perlu jelaskan pada cik Azlinda bahawa seksyen 15 di atas tidak memberi peruntukan secara spesifik untuk menuntut ganti rugi atas perasaan malu pihak yang dimungkiri untuk dikahwin itu. Seksyen 15 hanya mengehadkan kepada dua perkara yang dinyatakan di atas saja. Oleh itu, persoalan sama ada boleh menuntut ganti rugi itu ataupun sebaliknya dan mahkamah manakah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar persoalan sedemikian akan saya jelaskan kemudian. Faham setakat ini, cik Azlinda?"

Kepala dihadapannya mengangguk perlahan. "ok, saya teruskan."

"Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak mempunyai peruntukan mengenai penggunaan hukum syarak seperti dalam sembilan negeri lain di Malaysia. Peruntukan mengenai penggunaan hukum syarak membawa maksud bahawa mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan yang tidak selaras dengan hukum syarak adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu dan jika ada lakonan atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata di dalam akta, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak. Peruntukan sebegini boleh memberi kesan bahawa tuntutan ganti rugi kemungkiran perkahwinan boleh dituntut di Mahkamah Syariah dengan syarat ia boleh dibuktikan tidak berlawanan dengan hukum syarak walaupun tiada peruntukan spesifik mengenainya.
Pihak yang menuntut di Mahkamah Syariah itu hendaklah meyakinkan Mahkamah Syariah bahawa tuntutannya itu tidak tersasar dari apa yang digariskan di dalam hukum syarak sebelum mahkamah boleh memberikan perintah pihak yang mungkir itu membayar ganti rugi akibat perasaan malu yang ditanggungnya selepas diputuskan pertunangan tanpa sebab yang sah.
Namun, beban pembuktian diletakkan kepada pihak yang menuntut bagi membuktikan bahawa ia tidak berlawanan dengan hukum syarak. Jadi, mahkamah yang berhak membicarakan tuntutan sebegini adalah Mahkamah Syariah seperti yang termaktub di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang menjelaskan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar perkara berhubung pertunangan, perkahwinan dan sebagainya. Jelas sekarang dimana kedudukan kes cik Azlinda ini?"



Wazif tatap wajah rusuh Azlinda yang mengangguk. Wazif terus menyambung bicara.

"cik Azlinda bersedia untuk membuka cerita aib tentang keterlanjuran awak dan bekas tunang awak secara terperinci di mahkamah nanti. Mungkin ini sahaja satu-satunya cara untuk kita memastikan dia tidak terlepas dari tanggungjawab ini terhadap cik Azlinda."

Azlinda dilihat memejamkan mata seketika.

"saya dah hilang segalanya yang bernilai dalam diri akibat terpedaya oleh rayuan dan pujukan juga janji-janji manis yang ditabur oleh dia, encik Wazif. Saya tak akan membiarkan dia terlepas begitu sahaja. Saya mahu pastikan dia juga harus menerima balasan atas perbuatannya terhadap saya. Saya ada simpan semua bukti resit dan rakaman yang kami buat. Malu yang terpalit ini harus dikongsi bersama. Dia harus bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan terhadap saya. Saya harap encik Wazif dapat membantu saya menuntut hak saya yang dirampas dan dicemar oleh dia. Saya mahu dia tahu saya bukan perempuan yang boleh dia buat sewenang-wenangnya."

Wazif angguk kepala. Dihela nafas perlahan. Ada rasa sesal yang tersangkut di dinding hati.

"ok, saya akan proceed dengan kes tuntutan gantirugi cik Azlinda ini. Kita sama-sama berdoa pada-Nya moga kerja kita ini dipermudahkan dan diberkati,insyaallah. Saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu cik Azlinda didalam kes ini. Saya mahu dalam tempoh ini, cik Azlinda jangan sesekali memberi sebarang kenyataan kepada pihak bekas tunangan cik Azlinda mahupun pihak peguam yang bakal dilantik olehnya. Mereka hanya boleh berurusan dengan saya sahaja. Jelas dan faham, cik Azlinda?"

Gadis dihadapan mengangguk laju. Ada bunga senyum yang tersingkap disebalik wajah rusuh ini.

* * * * * * *

"zif?"

Ada elusan lembut yang menjalar di lengan. Dipicing mata perlahan-lahan. Sekuntum senyuman manis umi sedang terhidang didepan mata. Perlahan-lahan tubuh letih yang terbaring di sofa di ruang tamu ditegakkan. Disandarkan kepala pada leher sofa. Umi dilihat melabuhkan duduk disebelah. Dijatuhkan kepala pada bahu yang berbalut kurung indah tanah biru dengan percikan bunga bunga kecil berwarna putih yang menghiasi permukaannya. Selendang biru lembut yang terletak digayakan bersama tampak cukup serasi dan indah di mata.

"penat sangat ke? banyak kerja di pejabat tadi?" Elusan tangan lembut umi terus membelai lengan sasanya. Dibiarkan sahaja. Sedikit lega dengan sentuhan penuh kasih dan sayang umi.

Kepala menggeleng lembut."biasa je, umi."

"walid cakap zif ada handle kes dari biro bantuan guaman. Kes apa tu?"

Kepala mengangguk. "kes tuntutan mungkir janji perkahwinan,umi."

Giliran umi menganggukkan kepala.

"Senang-senang saja buat macam ni. Tak ingat keluarga ke diaorang ni. Malu mak bapak. Malu seluruh keluarga. Hairan umi kadang-kadang dengan kes -kes macam ni. Orang-orang muda sekarang macam nilah. Tak fikir panjang. Zif janganlah buat macam ni pada umi dan walid. Kalau Zif buat, umi ikat zif kat pokok nanti." Ketawa Wazif pecah. Puan Zahra menampar lembut tangan Wazif. Kepala yang terlentuk dibahu ditegakkan.

"haa, ketawa lah. Awak ingat umi tak berani ye ikat awak kat pokok." Ketawa Wazif terus bersambung bersulam dengan jelingan kecil Puan Zahra.

"Pasal apa yang sampai tak jadi kahwin? Siapa yang putuskan? Lelaki ke perempuan? Ada involvement pihak ketiga ke?"

Bicara umi yang bertubi-tubi disulam percikan bunga-bunga emosi membuatkan bibir Wazif terus menguntum senyum.

"salah kedua-duanya."

Dahi umi dilihat berkerut sedikit. "maksudnya?"

Wazif hela nafas. Wajah Azlinda terlayar diruang mata.

"dua-dua dah terlanjur...melakukan hubungan terlarang."

Puan Zahra menggelengkan kepala dengan lafaz istighfar meniti di bibir.

Wazif menoleh kembali memandang ke arah umi.

"Dari tadi zif nak tanya...umi nak kemana cantik-cantik ni."

Senyuman manis terukir di bibir umi.

"umi ada dinner date."

"dengan walid?"

Kepala umi dilihat menggeleng lagi. Makin mekar dilihat senyuman pada bibir itu. Ada akal yang sedang melintas difikiran. Wazif tersenyum. Wajah umi ditatap.

"umi dinner date dengan boyfriend lama ye. Tan Sri handsome yang masih bachelor lagi tu kan. Tan Sri yang frust menonggeng sebab tak dapat kahwin dengan umi."

Ketawa umi pecah. Bersambung-sambung. Wazif turut ketawa. Saling bersaing ketawa kedua-duanya.

Khali sejenak.

"umi dinner date dengan kawan baru umi lah sayang."

Dahi Wazif sedikit berkerut. "kawan baru? siapa umi.."

Senyuman di bibir Puan Zahra terus mekar. Lengan Wazif ditepuk perlahan. Tubuh yang tersandar di sofa ditegakkan. Wajah anak tunggalnya disebelah direnung lembut penuh kasih.

"satu hari nanti bila masanya tiba, umi kenalkan Zif dengan kawan baru umi yang sangat istimewa ni, hmmm. Tunggu ok."

Ada teka-teki yang sedang menjalar di minda Wazif. Hati bagai berkata teka-teki yang tiada pembayang pasti sukar untuk dicari jawapannya. Wazif pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan umi daripada pengetahuannya. Renungan dan senyuman umi bagai menyimpan sesuatu.

Monday, November 14, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 8


Bab 8


"Auntie Zahra?" Diri yang tenggelam dalam timbunan kertas-kertas juga fail-fail hitam di atas meja terbangun tiba-tiba. Terkejut dengan kehadiran tetamu yang cukup dikenalinya itu. Malahan sejak tugasan menyiapkan cenderamata untuk hadiah korporat puan Zahra yang mendapat pujian dari penerimanya, hubungan kedua-dua makin rapat. Sering juga puan Zahra datang ke pusat pameran Karyaaneka Kraf menemui Laila. Sebagai pelanggan, puan Zahra dilayan sebaiknya dan dari situ mereka tambah mesra. Sering juga berbual di telefon. Laila sendiri cukup senang dengan peribadi luhur dan merendah diri puan Zahra. Ada kala mereka makan tengahari bersama atau keluar minum petang. Keramahan dan keprihatin puan Zahra terhadap dirinya mengubat rindu Laila pada umi yang sekian lama tidak ditemui. Entah apa khabarnya umi sekarang. Sejak diharamkan walid dari menjejakkan kaki ke kampung, selama itulah juga rindu pada umi dipendamkan. Tidak mampu diluah. Walau adakala jiwanya merintih hiba namun dayanya tidak mampu menggapai hasrat yang sekian lama terpahat kukuh di hati. Laila akur dengan perintah walid. Keputusan dahulu kehendaknya sendiri. Walid dan umi tidak bersalah. Ada rasa sayu yang mula bertandang di pintu hati. Ditelan air liur. Pahitnya menjelajahi seluruh kerongkong. Wajah anggun dihadapan direnung. Cuba dijala senyuman. Dihulurkan tangan.

Senyuman manis Puan Zahra menyambut senyuman manis yang terzahir di wajah Laila. Salam yang dihulur dusambut erat. Tubuh genit Laila tenggelam dalam dakapan wanita separuh usia yang ternyata masih anggun dan punya tarikan. Laila mempersilakan tetamunya itu untuk duduk di kerusi baldu merah hati dihadapan meja. Tangan pantas menyusun serakan dokumen juga fail-fail yang bergelimpangan di atas meja. Sambil itu ditanyakan khabar puan Zahra.

"maaf ye auntie, berselerak meja. Orang gila kerja macam ni laa. Bersepah! " ketawa kecil Laila bersambut dengan ledakan ketawa Puan Zahra. "biasa la tu. Kalau dah namanya meja untuk kerja mestilah berselerak. Auntie dulu dulu pun macam ni...lebih teruk lagi, Laila. Suami auntie pun geleng kepala tengok auntie. " Makin galak ketawa kedua-dua bila persoalan itu dibangkitkan.

Didepakan tubuhnya sedikit kehadapan. Wajah manis Puan Zahra yang santai dengan jeans biru bersama blaus putih yang dipadankan bersama selendang biru abstrak yang terjuntai di kepala ditatap lagi.

"
ada apa-apa yang saya boleh bantu auntie."

"memang auntie datang ni nak minta tolong pada Laila. Bolehkan?"

Kepala mengangguk dengan leretan senyuman manis di bibir yang masih belum usai sejak tadi.

"boleh. Untuk auntie apa-apa pun boleh. Bisa diatur dong!" Kening Puan Zahra terangkat. Pecah ketawa kedua-dua.

"begini Laila..." puan Zahra dilihat menghela nafas perlahan. Senyuman manisnya masih tersuring pada ulas delima yang dihias rona merah samar. Laila terus menunggu bicara diteruskan.

"Auntie ada sorang kawan lama masa belajar dahulu. Dia wanita berbangsa inggeris. Dia ni memang minat seni kraf melayu. Dia nak minta auntie dapatkan koleksi seni tekat melayu untuk dijadikan hiasan di galeri seninya di London yang dibuka awal tahun hadapan. Terus-terang auntie memang tak tahu langsung pasal seni tekat ni. Jadi auntie harap sangat Laila boleh bantu auntie dan kawan auntie. Auntie yakin pengalaman luas Laila berserta pengetahuan Laila dalam bidang kraf ni dapat membantu auntie dalam merealisasikan permintaan teman auntie tu. Boleh kan Laila?"

Kepala diangguk seiring dengan senyuman yang mekar di bibir.

"insyaallah,auntie. Tak jadi masalah."

Puan Zahra meraup wajah.

"alhamdulillah. Lega auntie."

Senyuman Laila terus mekar.

"emmmm...Laila."

"saya, auntie."

"seni tekat tu macammana sebenarnya. Auntie tak tahu sangat. Maaf, tapi kadang auntie rasa malu jugak sebab tak kenal warisan seni kraf bangsa sendiri. Seolah-olah auntie lupa dan rasa benda ni tak penting. Orang luar...bangsa luar yang lebih tahu dan menghargainya berbanding bangsa sendiri. Teruk kan auntie ni Laila. "

Laila menggeleng kepala. Tangan puan Zahra dicapai dan dielus lembut.

"jangan cakap macam tu auntie. Laila dahulu macam tu jugak...tapi bila dah kenal baru tahu betapa indahnya seni warisan yang ditinggalkan generasi lama buat kita. Macam kata orang...tak kenal maka..." Senyuman Laila terpahat diwajah puan Zahra.

"tak cinta." sambung puan Zahra. Senyuman kedua-dua erat bertaut. Laila bangkit dari duduk. "sekejap ye auntie. Saya ambilkan fail. Boleh auntie tengok koleksi dan contoh-contoh hasil tenunan tekat yang Karyaaneka Kraf ada." Rak buku hitam disebelah kiri meja kerja Laila dihampiri. Sebuah fail hitam berlabel "Tenunan Tekat" ditarik. Dibuka dan diselak. Langkah kembali dihala ke meja. Dihulurkan fail ditangan pada puan Zahra. Laila kembali duduk dikerusi. Puan Zahra dilihat tekun menyelak isi fail.

"Masyarakat tradisional melayu dahulu begitu kaya dengan warisan seni halus yang diwarisi sejak zaman berzaman. Warisan yang diperturunkan turun-temurun. Tenunan, sulaman dan tekat umpamanya adalah antara seni halus yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kebudayaan. Jika kita teliti pada hasil kerja yang dibuat, kreativiti dan kehalusan seni begitu jelas terpancar dalam setiap hasil kerja tangan tradisional ini." Puan Zahra dilihat menganggukkan kepala. Fail ditangan ditutup dan diletakkan diatas meja. Mata difokuskan pada Laila. Mahu mendengar penjelasan lanjut gadis ayu ini. Gadis ini begitu mengagumkannya.

"Asal usul dan perkembangan tekat secara langsung dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana zaman dahulu. Perkembangan awal seni tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Kesan penggunaan sulaman dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina yang keturunan Baba Melaka. Mereka menggunakan sulaman tekat untuk pakaian-pakaian mereka. Hingga ke hari ini seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Sembilan Darul Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang banyak sekali mengusahakan kraf seni tekat timbul benang emas. Terdapat beberapa jenis tekat yang dikerjakan oleh pandai tukang menekat. Antaranya ialah tekat timbul benang emas, tekat gubah dan tekat perada."

"Untuk pengetahuan auntie, seni tekat termasuk dalam kategori tekstil yang dihasilkan dengan cara menyulam benang emas ke atas kain dasar jenis baldu. Tekat menekat ini juga disebut 'sulaman timbul' atau 'suji timbul'. Asal usul penciptaan dan penggunaan tekstil tekat dianggarkan sama dengan penggunaan tekstil songket berdasarkan kepada bahan asasnya iaitu benang emas, kain baldu dan juga rupabentuk ciptaannya."

"Seperti juga songket, tekat juga ada motif dan rupabentuk untuk kerja tangan yang mahu dihasilkan. Tekat bermotifkan flora, tumbuh-tumbuhan dan geometri. Rupabentuk tekatan terbahagi kepada dua iaitu dua dimensi dan tiga dimensi. Rupabentuk dua dimensi tu contohnya macam tikar, kipas dan penyangkut kelambu, selempang dan tetampan yakni lapik dulang. Rupabentuk tiga dimensi pula seperti tepak sirih, sarung bantal, kusyen, kasut dan tudung saji. Tudung saji dibentuk tiga segi; macam kon berongga. Bahagian yang dihias ialah bahagian luar dari puncak hingga ke tapaknya. Acuannya dibuat daripada daun nipah atau rumbia yang diikat dengan rotan atau buluh."

Puan Zahra menganggukkan kepala. Kagum.

"untuk proses pembuatan,bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar yakni kain dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan kanji/gam yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur ini bertujuan untuk menjadikan bentuk sulaman timbul. Ia juga bertindak sebagai acuan motif."


"rumit jugak ye, Laila." Laila senyum seraya menganggukkan kepala. Bicara diteruskan.

"Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5 cm dan 0.25 cm. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur. Seterusnya kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung kepada rekabentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Ini akan membuatkan kain baldu tadi akan menjadi tegang." Laila menghela nafas perlahan sebelum meneruskan bicara.


"Selepas itu benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentas, benang-benang emas haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas. Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman. Pada bahagian cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas atau labuci."

"kalau kita susuri secara lebih mendalam sejarah awal seni tekat ini auntie ia sebenarnya merujuk kepada pakaian dan bahan kelengkapan yang wujud serta berkembang di istana. Alatan yang dihiasi dengan tekat emas merupakan alat istana. Beberapa rupabentuk tekat dicipta digunakan sebagai bahan atau alat seharian, juga pakaian rasmi sultan. Seni tekat telah berkembang kepada masyarakat luar istana dan dilakukan sebagai kraftangan sambilan. Malah kerana kerjanya yang harus berhati-hati dan memakan waktu yang lama untuk menyiapkannya, maka ia dibuat beransur-ansur apabila diperlukan. Misalnya bagi gadis-gadis yang telah bertunang akan menyediakannya sendiri secara berperingkat-peringkat alat-alat perkahwinannya dengan tekat, sebagai hiasan pelamin, sarung bantal, alas tempat tidur, kipas, kasut dan sebagainya. Walaubagaimanapun, fungsi tekat masih terbatas. Ia hanya digunakan untuk istiadat dan upacara tertentu. Ia digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Quran dan seumpamanya. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan seharian. Penggunaannya di kalangan masyarakat biasa agak terbatas kerana bahan asasnya merupakan bahan mewah. Penciptaannnya juga memerlukan waktu yang lama dan hasilnya yang dekoratif serta indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan. Namun kini Perbadanan Kraftangan cuba mengkomersialkan seni tekat ini dengan mempelbagai rangkaian produknya terutama untuk pasaran pelancongan antarabangsa. Hiasan dinding contohnya paling mendapat sambutan. Agak mahal, namun yang lebih penting nilai warisan budaya yang terhasil pada produk itu yang lebih utama. Bangsa itu bukankah dikenali dari hasil warisan seni tradisionalnya."
Kedua tapak tangan saling didekatkan. Saling menyentuh antara satu sama lain. Tepukan kekaguman dizahirkan. Gadis ayu dihadapannya ini memang istimewa dan cukup hebat. Jiwanya halus dan penuh seni indah. Bukan salah puteranya jika perasaan kagum itu lahir dijiwa. Gadis ini ternyata bukan calang-calang.

"hebatnya Laila. Auntie kagum sekali dengan pengetahuan Laila. Auntie juga bangga dengan Laila....generasi muda yang begitu menghargai seni warisan budaya bangsa melayu."

Senyuman tersuring di bibir mungil Laila.

"Seni itu indah auntie. Sukar diungkap dengan kalam. Tanpa seni, tiadalah budaya. Tanpa budaya maka akan hilang dan lenyaplah sebuah warisan
. Kitalah yang harus memeliharanya."

Kepala puan Zahra terangguk perlahan. Ada rasa segan yang bermukim di lubuk hati.

"ok auntie, jom kita ke kaunter tenunan." Tubuh ditegakkan sambil tangan didepa ke depan. Mempersilakan puan Zahra ke pintu. "Laila boleh tunjukkan contoh-contoh tenunan tekat yang kami ada di pusat pameran ini. Nanti auntie boleh pilih. Laila boleh cadangkan mana yang sesuai untuk galeri kawan auntie tu."Tangan Laila digenggam erat. Kedua-dua susuk tubuh melangkah keluar dari bilik pejabat menuju ke ruang pameran utama.

* * * * * * *

"siapa tadi yang lunch dengan kau?" Laila angkat kening. Anum yang menyenduk nasi ke pinggan hanya menjadi pendengar. Disusun pinggan yang sudah terisi nasi dihadapan Laila dan Ain. Anum melabuhkan duduk. Kedua-dua tapak tangan dirapatkan. Doa dibaca. Laila dan Ain mengaminkan doa.

"kau ada kat Seri Melayu ke tadi?" Laila memandang sekilas ke wajah Ain. Dicapai sudu dalam mangkuk gulai ikan masin sepat dan nenas. Disudukan sekeping potongan ikan masin sepat ke dalam pinggan. Kemudian disudukan sedikit sayur kacang panjang yang digoreng bersama udang kedalam pinggan.

"aku ada lunch dengan client kat situ. Tu yang aku nampak kau." Ain meminta Anum menghulurkan piring berisi ikan bawal goreng. Dipatahkan sekerat ikan berkenan sebelum dihulur semula piring kepada Anum.

"tu client aku jugak. Dia ajak aku lunch kat situ."

"client? tak macam client aku tengok cara dia bercakap dan layan kau. Siap bubuhkan lauk dlam pinggan...pastu suapkan kau lagi. Mesra...macam mak dengan anak je. Client istimewa ke?" Ain angkat kening. Laila senyum. Kenangan makan tengahari tadi terlayar di ruangan mata. Kemesraan puan Zahra mengubat rindu Laila pada umi.

"Memang client lah tapi dia anggap aku macam anak dia. Dia pun memang takde anak perempuan. Ada sorang je anak lelaki. Aku pun suka pada auntie ni. Dia memang baik. Humble orangnya walaupun dia berkedudukan. Selalu juga call aku kat office tanya kabar. Kadang drop by ajak lunch atau high-tea. Entah apa yang menarik pada aku ni yang dia suka sangat sampai anggap aku macam anak dia aku pun tak tahu. " Ain angkat-angkat kening sambil menjala senyum pada Anum yang sudah tersipu. Laila melirik dengan ekor mata melihat aksi kedua-dua rakan serumahnya.

"apahal korang berdua ni...tersenyum-senyum. Aku bukan buat lawak pun." Ketawa Anum pecah. Gagal ditahan. Ain cuba mengawal ledakan ketawa yang sudah mencecah mulut.

"nanti kita makan nasi minyak ye, Num." Ain terus menyusik. Anum sudah menundukkan wajah. Cuba disembunyikan senyuman yang belum usai.

Suapan Laila terhenti. Mata memandang ke arah wajah kedua-dua rakan serumahnya.

"ada port baru ke? best? kat mana, Ain?...eh, nak nak la. Aku pun nak joint korang. Jangan tinggalkan aku pulak. Lama gak aku tak makan nasi minyak ni."

Ain pandang Anum. Saling mengangkat kening. Pecah ketawa kedua-duanya. Laila memandang dengan kerut kehairanan yang jelas terpancar diwajahnya.

* * * * * * *

Laila melepaskan lelah yang tersangkut di dada. Tubuh di bongkokkan sedikit. LV yang tersandang di bahu dilontarkan pada kerusi penumpang hadapan. Kembali ditegakkan tubuh yang indah bersalut kebaya ungu. Mata dihalakan pada tubuh sasa yang santai berkemeja T Polo putih dipadan dengan jeans biru pudar yang takzim dihadapannya sejak tadi. Wajah berkacamata yang tersenyum itu ditatap berani.

"awak nak apa lagi ni encik Wazif."

"tak ada apa-apa. Saya cuma datang nak jenguk "sepupu"saya sahaja. Tak salah kan." Mata Laila tajam dihalakan pada lelaki dihadapan. Perkataan "sepupu" yang diucapkan lelaki dihadapannya ini mengingatkan diri akan peristiwa minggu lalu. Peristiwa yang hampir mengheret lelaki dihadapannya ini ke balai polis jika tidak dengan campurtangan Laila untuk meleraikan kekeliruan tanggapan jiran-jirannya yang ternyata tidak senang dengan kehadiran saban hari Wazif dihadapan rumah Laila.

"awak ni kenapa sebenarnya. Tak cukup jelas ke apa yang saya beritahu awak hari tu. Saya sangka awak cukup bijak dan matang untuk faham kata-kata saya. Atau awak nak saya tuliskan secara rasmi perkara tu, hmmm. Boleh. Tak da masalah. Sekejap." Ditundukkan tubuh kembali. Dicapai note book yang terdampar di atas dashboard. Dibuka zip LV. Sebatang papermate ditarik keluar. Tubuh kembali ditegakkan. Tangan laju mencatat sesuatu di atas note book. Dikoyakkan helaian kertas dari note book. Disuakan pada lelaki dihadapan. Bersambut. Dilihat lelaki dihadapannya ini terus tersenyum menatap helaian kertas yang dihulurkan. Laila gigit bibir.

"cukup jelas dan boleh difahami. Budak sekolah rendahpun boleh faham maksudnya."

Lelaki di hadapan dilihat menganggukkan kepala.

"jelas..tapi tak lengkap. Takda tarikh dicatat. Boleh dipertikaikan dari segi undang-undang."

Laila hela nafas. Kesabarannya cukup teruji dengan kerenah lelaki dihadapannya ini. Jika tidak difikirkan susila yang perlu dijaga, mahu sahaja dihamun dan dimaki lelaki ini.

Wazif angkat kening. Terus tersenyum.

"kita bukan di kamar mahkamah, encik Zahwan Wazif. Tolong jangan gunakan kepakaran undang-undang awak untuk menjerat orang seperti saya. Saya tahu saya memang tak arif tentang undang-undang tapi..." Mata Laila dihalakan pada Wazif. " itu bukan bermakna saya bodoh. Saya belajar dari pengalaman lalu. Belajar dari kebodohan saya dahulu. Kebodohan yang menyebabkan saya hilang insan paling bermakna dalam hidup. Tolonglah hormat permintaan saya. Saya tak mintak banyakpun dari awak. Sedikit pengertian dari orang terpelajar dan terhormat seperti awak yang saya harapkan. Atau awak mahu saya dapat perintah mahkamah secara rasmi untuk menghalang awak daripada menghampiri rumah saya. Saya boleh lakukan kalau itu yang awak mahu."

Wazif terkesima. Tidak disangka dia telah mengheret wanita ayu dihadapannya ini ke sejarah silam. Langsung tiada niatnya ke arah itu. Wazif mengutuk diri akan keterlanjuran kata-katanya.

"Laila...saya minta maaf. Bukan niat saya begitu. Jangan salah faham. Saya betul-betul ikhlas dengan awak."

Laila menggeleng kepala. Nafas dilepaskan. Perlahan.

"saya minta pada awak. Tolong jangan datang lagi ke sini. Tolonglah. Saya tak mahu jiran-jiran nampak awak dan saya lagi. Saya dah letih, Wazif. Berilah saya peluang untuk menikmati hidup baru saya dengan aman..tenteram. Saya mahu lupakan kisah-kisah pahit dahulu. Jiwa saya baru sahaja bernafas. Saya mohon timbang rasa dan perikemanusiaan awak sebagai insan."

"Laila.please. Dengar penjelasan saya. Awak kena dengar dahulu."

Kepala digelengkan. Tubuh dipusingkan lalu diloloskan masuk ke dalam perut Myvi. Disorongkan kunci ke punatnya. Ditarik tali pinggang keledar. Dihela nafas perlahan. Tidak dihiraukan pandangan Wazif yang terus memaku pandangan ke arahnya. Ditekan hon, isyarat meminta Wazif untuk ke tepi. Ditekan pedal minyak. Myvi meluncur keluar meninggalkan perkarangan rumah teres dua tingkat. Dari cermin pandang belakang dapat dilihat lelaki itu terus tercegat memerhati.

Dia tidak mahu tewas lagi. Cukup sekali itu.

Dia tidak mahu kecewa lagi. Cukuplah sekali itu.

Dia tidak mahu bersedih pilu lagi. Cukuplah sekali itu.

Dia tidak mahu rasa sakit lagi. Cukuplah sekali itu.

Cukuplah.

Thursday, November 10, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 7



Bab 7


Puan Zahra angkat kening seraya menoleh ke arah suaminya disebelah. Encik Hanafiah tersenyum sambil mengangkat bahu. Saling memandang. Dahi Puan Zahra pantas membentuk lapisan kerut-kerut halus. Bebola mata sedikit mengecil. Sorotan sepasang matanya dihalakan pada sesusuk tubuh yang sedang laju menaiki tangga sambil tersenyum meleret dan menyanyi dengan tangan melambung-lambung kunci kereta. Satu pemandangan yang sangat menghairankan buat kedua-dua suami isteri berkenaan. satu pemandangan yang tidak pernah disaksikan selama ini.



Wazif sedang menyanyi!


Wazif sedang menyanyi sambil tersenyum meleret. Senyuman yang penuh bermakna buat tuan empunya diri!


Minda Puan Zahra sedang berhempas-pulas menjejak jawapan pada apa yang sedang dilihatnya saat ini. Sesuatu yang belum pernah disaksikan selama ini. Wazif seakan tenggelam dalam dunia pelanginya yang tersendiri tanpa langsung mempedulikan kewujudan warna lain di sekeliling. Wazif yang selama lima tahun ini jarang bercakap banyak apatah lagi berwajah riang jauh sekali ketawa ria dan menyanyi!..tidak pernah!
Terasa lengan tangan dicuit lembut. Wajah suami yang sedang tersenyum ditatap.



"i rasa Wazif menang kes tuntutan harta sepencarian ahli politik yang dia handle tu. Dia ada cakap kat i hari ni kes tu akan diputuskan. Kes ni dari awal i tengok memang very complicated due to the media involvement but..." nafas encik Hanafiah dihela perlahan. Dibawa mata memandang ke tingkat atas. Tepat ke arah pintu bilik yang sedang tertutup rapat. Senyuman kecil tersuring di bibir. "this young man really wanna take the challenge. Wazif terima kes yang sedari awal diketahuinya ada risiko yang tinggi. Alhamdulillah. I bangga dengan keupayaan dia mengendalikan kes ni dengan cemerlang. Another good news for Hanafiah & Co....and for his profile too."


Puan Zahra menggeleng kepala. Tidak setuju dengan jawapan suaminya. Cawan berisi teh yang sudah suam dicapai lalu disuakan ke bibir. Lafaz bismillah diucap perlahan. Diletakkan kembali cawan diatas lapik piringnya.


"i tak rasa sebab tu."


Encik Hanafiah merenung wajah isteri disebelah. "you ada jawapan lain barangkali, hmmm. You kan lebih arif pasal anak teruna you tu. Dia kan manja dengan you."


Kepala menggeleng perlahan. Tersenyum kecil. Puan Zahra akui Wazif memang lebih rapat dengannya berbanding encik Hanafiah. Mungkin faktor anak tunggal menjadikan Wazif lebih banyak tertumpu padanya dan diri Puan Zahra sering menjadi rujukan dalam kebanyakkan perkara.


"kalau menang kes pun Zif tak pernah riang sampai macam ni, dear. Sampai tak perasan kita yang tengah bersantai kat sofa ni. Kalau you nak kata happy sebab menang case..dah macam-macam kes syarie dia handle and he won...even yang high profile dari ni pun ada...tapi takde pun dia react macam ni. I tahu anak i. There is something going on. There is something in his smile ...something. Don't you feel the same? " Puan Zahra menoleh sekilas ke tangga. Tuturkatanya terhenti. Kelibat Wazif sudah lama tenggelam di sebalik pintu kayu yang terletak di hadapan tangga. Wajah suami direnung kembali. Mengharapkan sebuah jawapan.


"ada la perkara yang buat dia gembira sangat. Nanti kita tau la tu. Just wait, hmmm. Apa apapun...i gembira tengok dia dah boleh tersenyum manis macam dulu dulu. I gembira tengok dia dah boleh riang macam tadi. I gembira tengok anak kita dah boleh ceria macam dahulu. Our old Wazif is back!" Senyuman encik Hanafiah makin lebar. Puan Zahra menganggukkan kepala. Senyuman kedua-dua makin bertaut.


Puan Zahra kembali memandang ke atas. Mata terus terpaku pada wajah pintu bilik yang tertutup rapat. Mata bagai boleh menembusi ruang disebalik pintu yang tertutup. Sesusuk tubuh yang masih belum usai senyumannya bagai bergayutan di ruangan mata. Hati kecil Puan Zahra yakin ada sesuatu sedang menguntum mekar didalam taman hati Wazif. Ada taburan kelopak-kelopak bahagia yang mulai berputik di jiwa anak terunanya itu.


* * * * * * *

"awak suka apa, hmmm."



"bukan urusan awak."


"suatu hari nanti mungkin akan jadi urusan saya..mana kita tahu kan. Itu urusan Dia."


Kepala digelengkan. Takkan mungkin terjadi.


Kisah dongeng Stacy berlagu dari Nokia N9 yang erat tergenggam di tangan menyentakkan diri yang tenggelam dalam lamunan remang senja. Bebola bundar merenung skrin gajet. Ada rasa yang tersekat didada. Dibiarkan sahaja Stacy terus berdendang.


Jeda.


Berdendang lagi Stacy dari gajet ditangan. Terus dibiarkan sahaja ia berlagu beberapa kali hingga ia lelah sendiri lalu berhenti berteriak. Dia tidak ingin berbicara apa-apa dengan si pemanggil. Dan sememangnya sudah tiada apa lagi yang mahu dibicarakan. Dia tidak mahu ada sebarang urusan lagi antara mereka. Segalanya sudah selesai...sudah selesai lima tahun dahulu.


Tubuh yang lama bersandar pada pintu Myvi ditegakkan. Nafas dilepaskan perlahan. Satu keluhan terhambur keluar dari ruangan dada yang sedikit sesak. Mata memandang suasana sekeliling yang mulai bercahaya dengan percikan lampu-lampu di halaman rumah jiran. Kiri dan kanan. Hadapan tidak terkecuali. Kelibat para tetangga yang semuanya sudah berkeluarga tenggelam didalam mahligai masing-masing. Dalam remang senja yang kian ke penghujungnya sisa-sisa rona jingga kelihatan mewarnai kaki langit. Langkah kaki disusun mendekati pintu rumah. Diucapkan salam perlahan sambil tangan menyeluk perut LV yang separuh ternganga. Segugus kunci dikeluarkan. Disuakan ke lubang pintu.


Kepala digoyang ke kiri dan kanan. Tubuh lesunya perlu dibelai dengan pancuran manik manik jernih suam di kamar mandi. Mahu rasanya berendam ditab buat seketika. Lelah sungguh tubuhnya hari ini. Terlalu banyak perkara yang perlu diladeni sejak awal pagi tadi. Kaki dibawa menuju ke arah tangga. Sorotan mata menangkap sebuah figura comel yang sedang tersenyum riang disebalik bingkai kayu yang kaku diatas meja hiasan di sudut tepi tangga. Seolah-olah sedang tersenyum padanya. Kaki membelok arah. Tidak jadi mendaki tanggan. Perlahan-lahan didekati meja hiasan. Figura yang kemas berbalut kaca disebalik bingkai kayu direnung tidak berkelip. Dicapai bingkai yang takzim duduk di atas meja hiasan. Ditatap figura si comel yang menghiasi wajah bingkai kayu. Senyuman manis itu tampak riang benar dengan pautan erat kedua-dua tangan di lehernya. Bebola bundar mulai berair. Dikemam bibir. Dilekatkan bingkai ke dada. Rusuh di jiwa yang menghampiri cuba ditahan. Dilabuhkan duduk di sofa. Disandarkan kepala pada leher sofa. Mata terpejam erat.


Sukarnya diri melepaskan belahan jiwanya ini pergi. Sukarnya jiwa ini membuang segala kenangan lampau. Sukarnya hati ini melupakan segala-galanya. Sukarnya menerima takdir yang tertulis ini. Sukarnya perasaan ini menerima hakikat sebuah kehilangan. Hakikat sebuah pemergian yang abadi. Betapa beratnya bebanan sebuah kebenaran yang perlu ditanggung.


Sofi....


Sofi...


Sofi...


"umi..."


"hmmm..."


"siapa uncle tadi yang kita jumpa tu. Dia kawan baharu umi ye. Sofi tak pernah nampak dia datang rumah kita sebelum ni pun."


"err..ye ye. Kawan baharu umi."


"ooo..."


"umi.."


"ya sayang..."


"kenapa uncle tu asik tanya Sofi soalan je. Asik tengok Sofi...pandang Sofi. Kenapa umi?"


"dia nak kenal Sofi la tu. Nak kenal dengan anak umi yang comel ni."


"tak naklah Sofi. He's so weird. Tanya macam-macam soalan. Sofi tak suka la umi."


"tak baik cakap macam tu, sayang."


Khali sejenak.


"umi..."


"hmmm..."


"Kenapa uncle tu tanya Sofi suka tak auntie Aliya dengan uncle Fakhrul. Tanya Sofi suka tak kalau duduk dengan auntie Aliya dan uncle Fakhrul. Kenapa umi?"


Senyum begitu berat terukir dibibir. Digagahi juga melakar wajah manis walau hati sedang berkalang pilu nan maha hebat.


"auntie Liya dan uncle Fakhrul kan suka Sofi...sayang Sofi. Sebab tu la uncle tu tanya. Dia nak tau."


"Sofi tak suka la auntie dan uncle tu. Sofi taknak duduk dengan diaorang. Sofi kan ada umi."


"kenapa cakap macam ni, sayang."


"yelah..kalau dia orang datang, umi mesti sedih. Nanti umi mesti menangis bila diaorang balik. Diaorang tu jahat. Sofi tak suka!"


Bibir dikemam kuat. Ditahan rasa walang yang singgah. Tidak mahu dikesan oleh sepasang bebola galak yang indah milik Sofi.


"tak baik cakap macam tu, sayang. Sofi kena hormat auntie dan uncle. Diaorang sayang Sofi."


"tapi Sofi sayang umi sorang saja. Sofi tak nak sayang orang lain."


"Auntie Aliya dan uncle Fakhrul pun sayangkan Sofi. Sofi kena belajar sayangkan diaorang dari sekarang. Nanti lama-lama Sofi sayanglah kat diaorang."


"Kenapa umi cakap macam ni. Umi dah tak nak sayang pada Sofi lagi ke."


"sayang, bukan macam tu." Tangan halus itu dikucup. Beratnya dugaannya ini. Dia tidak pasti mampukah diteruskan hidup selepas ini.


"Umi dah tak suka Sofi lagi sebab Sofi nakal kan. Umi nak bagi Sofi pada auntie dan uncle kan." Empangan comel dihadapan pecah. Esakan halus bersahutan. Tubuh Laila erat didakap.



" Sofi tak mahu umi..Sofi tak mahu!"


Tapak tangan menekup bibir.


" Umi...Sofi tak mahu. Tolong umi. Sofi minta ampun. Sofi tahu Sofi kadang jahat. Umi tolong jangan bagi auntie dan uncle ambik Sofi. Tolong umi..Sofi tak mahu."


Umi minta maaf, Sofi...


Umi minta maaf, sayang...


salah umi semua ini...


salah umi...


Tubuh yang tersandar di sofa terhingut-hingut menahan ledakan pilu yang pecah dari empangan hati. Bingkai kaku makin erat didakap.


* * * * * * *
Blackberry ditangan direnung. Kosong. Tangan mengurut pelipis. Minda sedang berlegar..berputar mencari jawapan pada persoalan yang menerjah di dinding kepala sejak tadi. Entah kenapa perasaan hati saat ini begitu sukar ditafsir maknanya.



Silap percaturan lagikah dia kali ini. Atau memang dia yang tersalah tafsir akan bahasa tubuh Hawa yang satu itu. Hawa yang sungguh lain dari hawa-hawa yang saban hari ditemui. Tangan meraup wajah. Tubuh yang tersandar di balkoni diheret masuk ke dalam. Langkah longlai menghala ke birai katil. Dihumbankan tubuh sasanya. Mata terkebil-kebil memandang langit siling. Sebuah figura terdampar di situ. Dilepaskan nafas. Dalam dalam.
"bukan urusan awak."



"suatu hari nanti mungkin akan jadi urusan saya..mana kita tahu kan. Itu urusan Dia."


Ada harapan yang tertanam di hati. Harapan yang sekian lama disemai dijiwa dengan bunga-bunga doa yang tidak pernah putus. Wajah ayu yang merenungnya sedang tersangkut di ruangan mata. Bergayutan di kedua-dua permukaan. Keluhan berat terhambur dari rongga. Masih samar lagi harapan itu rupanya. Kelopak mata dipejamkan. Rapat-rapat.

Saturday, November 5, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 6



Bab 6

Ain yang terbaring di sofa terbangun. Tubuh yang masih lengkap berpijama tersandar di sofa empuk rona coklat tua. Kerut terbentuk di dahi sambil mata terarah memandang ke arah pintu. Anum yang sedang terbongkok mengintai dari celahan langsir ditatap penuh perhatian. Minda berbisik pasti ada yang sedang menarik perhatian adik sepupunya itu yang kelihatan sungguh asyik hingga terlekap di langsir. Perlahan-lahan tubuh diangkat dari sofa. Terjingkit-jingkit kaki dihayun..perlahan-lahan. Bahu Anum yang berlapik kaftan hijau epal itu dicuit. Mata mereka bertentangan. Ada riak terkejut diwajah polos itu. Ain meletakkan jari telunjuk di bibir. Langsir diselak lagi. Kerut didahi makin berlapis. Wajah Anum dicari semula.

"apa hal kat luar tu, Anum?"

"sesi soal siasat rasanyalah kak Ain."

Bebola mata Ain makin mengecil.

"soal-siasat apa?"


"ntah. Tapi memang macam sesi soal siasat sungguh. Dah lama Anum perati gerak geri diorang. Serius je muka memasing. Seram gak. Tengoklah abang Wazif tu, kesian dia kan kak Ain. Macam pesalah je diaorang buat dia Anum tengok..padahal..." Nafas yang dihela dilepas perlahan.

"agak-agak pasal apa tu haa. Takkan pasal kita kut."

Anum angkat bahu. Bibir dimuncungkan memandang ke arah luar rumah sambil tangan dihalakan ke tingkat atas bersama gerakan ekor mata yang cukup jelas maknanya. Ain menggaru kepala yang tidak gatal sambil menggelengkan kepala. Langkah laju dibawa mendaki tangga. Deras kaki dibawa menuju ke bilik utama yang terletak di hujung tingkat atas. Kelima-lima jari tangan kanan berpadu lalu dilontarkan ke wajah pintu milik tuan rumah teres dua tingkat ini. Nama Laila dilaung serentak. Terdengar sahutan dari dalam. Tombol pintu diputar sebelum tubuh yang masih berbalut pijama coklat muda melolos masuk.

Laila memandang sekilas sebelum terus menyisir rambut ikalnya yang mencecah bahu. Ain melepaskan helaan nafas. Langkah dibawa ke birai katil. Dihumbankan tubuhnya ke atas hamparan putih yang terbentang di hadapan. Disembamkan wajah. Sebiji bantal ditarik lalu diletakkan diatas kepala. Keluhan berat dilepaskan. Bunyi yang jelas ditangkap oleh pendengaran Laila. Ditoleh ke belakang memandang sekujur tubuh yang sedang meniarap dengan sebuah bantal terlekat di atas kepala. Laila menggeleng kepala. Dicapai anak tudung yang terletak di atas penyidai kayu di tepi cermin hias. Disarungkan ke kepala.

" eh, kata cuti...ni apahal bangun pulak. Ada yang ganggu tidur kau ke?"

"kura-kura dalam perahu la kau ni tau."

Laila senyum manis. Dicapai tudung ungu muda di atas kayu penyidai.

"kura-kura mana pulak ni yang kacau kau, rasanya kat rumah ni kita tak bela binatang kan ,hmmm."

"kau ni kan..." Ain pantas menegakkan tubuh lalu melontar bantal ke arah Laila. Sempat dielak oleh temannya itu. Ketawa riang Laila terlontar.

"eh.. apa ni. Pagi-pagi dah mengamuk. Anak dara jangan mengamuk pagi-pagi nanti jodoh lambat."

"banyak la kau punya hukum jodoh. Tu.. kura-kura yang naik Harrier kat bawah tu. Aduh, Laila tolonglah selamatkan hari cuti aku. Aku nak tidur sampai zohor tau. Penat lah." Rengekkan Ain tidak bersambut. Laila terus menguntum senyum. Tangan pantas membuka laci di kiri meja hias. Laila menyematkan sepasang brooch di kiri dan kanan bahu. Dipusingkan wajah dan tubuh ke kiri dan kanan di hadapan cermin hias. Dikemaskan kebaya ungu yang tersarung di tubuh genitnya. Ain menggelengkan kepala.

"Aku nampak sesuatu kat luar rumah kita. Aku nampak satu pemandangan yang serius...satu situasi yang tegang. Hati aku tak sedap tengok adegan yang aku saksikan. Anum yang dari awal dah tengok beritahu dia nampak pakcik Halim, pakcik Idris dan abang Din sedang bercakap-cakap dengan kura-kura naik Harrier kat bawah tu. Macam menyoal-siasat mamat tu." Tangan yang mencapai LV empat segi diatas meja hiasan terhenti saat perkataan "kura-kura naik Harrier" itu terlontar dari bibir Ain. Hati Laila tidak perlu berdetik. Dia arif siapa yang dimaksudkan. Kepala dipusingkan memandang wajah Ain yang takzim duduk di birai katil. Mata mereka saling memandang. Langkah diatur ke birai katil. Dilepaskan duduk sibelah Ain.

Ain hela nafas perlahan.

"Aku bukan nak masuk campur urusan kau dengan dia lagi. Aku faham situasi kau. Dan aku bukan mahu memberi tekanan pada kau Laila, cuma..." Wajah Laila direnung seketika.


" kita ni hidup berjiran, Laila. Jiran tu ikut hukum saudara kita yang terdekat. Apa-apa berlaku diaorang dulu yang afdal kita cari untuk mintak tolong. Tentu tak elok kalau kita menyebabkan saudara kita ada menyimpan rasa yang tidak elok tentang kita. Cuba kita letakkan diri kita di tempat dia orang. Tentu kita pun ada perasaan macam tu...ada rasa ingin nak tahu. Kalau dah hari-hari dia terpacak kat luar tu tentulah dia orang pun curious nak tahu apa urusan dia dengan penghuni didalam rumah ni. Tentu diaorang risau...takut jugak kalau-kalau kura-kura naik Harrier tu penyangak ke. Tentu dia orang nak tahu apa ke halnya dia asik menunggu kat luar rumah ini saban pagi sejak dua bulan ni. Nak kata jemput sesiapa dalam rumah ni tak jugak. Aku taknak jiran-jiran kita berfikir yang bukan-bukan pasal kau...pasal kita semua dalam rumah ni. Fitnah dan prasangka ni kalau boleh kita elak..kita elak. Kita pun secara tidak sedar menjadi punca orang mencipta fitnah dan prasangka tu."

Jeda.

"aku tahu bukan mudah untuk kau..aku tahu perkara ni sangat berat untuk kau...tapi sesuatu yang sukar itu pasti ada hikmahnya. Siapa kita untuk mempertikaikan ketentuan-Nya. Hidup kita ini milik-Nya. Kita sekadar singgah sementara sahaja di sini...di dunia ini."

Laila menundukkan kepala. Bibir dikemam. Dipejamkan mata seketika.

* * * * * * *

"terima kasih.."

Jeda.

"terima kasih kerana selamatkan saya pagi tadi."

Jeda.

"kalau tak kerana penjelasan awak mahu saya diorang seret ke balai."

Jeda.

Mulut terus terkunci. Hanya mata sahaja yang berbicara. Ditundukkan wajah seketika. Laila capai cawan berisi coklat panas. Bismillah terucap perlahan namun masih cekap ditangkap oleh pendengaran Wazif. Disua ke bibir mungil yang bertatarias rona merah pudar. Dihirup perlahan dan penuh hati-hati.

Wazif menala sekilas pandangan ke wajah Laila yang masih terus sepi dari tadi sebelum beralih memandang ke meja. Wazif sedar bukan mudah untuk membawa Laila berbicara. Dia harus bersabar menanti walang hati gadis ini pulih sepenuhnya. Walang yang tercipta kesan dari kekhilafan dirinya. Bening dari sepasang sinar bundar itu menceritakan segalanya. Jelas terpancar. Wazif tahu Laila masih menyembunyikan kesedihan dahulu disebalik kedinginan sikapnya.

Piring berisi pai epal ditarik rapat ke hadapan. Dibenamkan sudu ke dalam mangkuk pie. Diangkat bahagian pie yang sudah berada didalam sudu lantas disuakan ke mulut. Dikunyah dengan penuh nikmat. Kepala Wazif mengangguk perlahan. Laila yang bersandar di kerusi kayu hanya memerhati perlakuan Wazif. Dia tidak ingin melontar suara buat seketika. Lebih selesa menjadi pendengar dan pemerhati sahaja.

"saya suka sangat makan pai epal. Umi saya pandai buat pai epal. Pai epal umi saya paling sedap...best in the world."

Jeda.

"senang je nak buat pai epal ni. Hmmm..." Wazif memejamkan mata seketika sebelum kembali membuka jendela matanya itu.

"Untuk buat inti pai ni kita guna epal hijau. Kupas kulit lepas tu kita potong..er..potong 12 setiap biji atau potong 15 ke. Terpulang. Guna gula pasir dan kismis. Sikit kismis, tepung jagung dan air. Untuk pai dia just guna tepung gandum then mentega, telur..2 biji rasanya and gula. Tu je. Tak banyak pun bahan dia. Senang. Siap dah pai epal yang lazat. Cubalah resipi umi saya ni, pasti awak puas hati."

Laila renung wajah Wazif yang masih memaku bebola mata ke arahnya.

"kalau awak ni jadi chef, mahu awak saya baling dengan kuali periuk. Biar padan! Penjelasan dah lah tak lengkap. Bahan yang diguna tak confirm betul-betul. Timbangan tak ada. Main rasa dan agak-agak pulak tu. Cara nak menyediakan tak tunjuk..tahu-tahu dan siap. Sepatutnya bahan-bahan nak guna kena lah bagi betul-betul jumlah dan timbangannya. Ingat ni main pondok-pondok ke. Cara-cara nak buat pun kenalah jelaskan langkahnya satu persatu sampai selesai. Barulah betul."

Wazif senyum. Pertama kali sejak lima tahun dia mendengar Laila bercakap panjang. Wajah ayu ini nampak comel sahaja dengan cara pertuturannya yang bersahaja.

"apa yang awak senyum-senyum. Ingat saya main-main. Ingat saya tak berani baling awak dengan kuali...periuk? Jangan sangka saya tak sanggup baling muka awak yang tampan tu dengan kuali." Laila tatap tidak berkelip ke arah wajah Wazif. Tajam direnung.

Senyum Wazif makin lebar...makin luas.

"awak nampak comel bila marah. Garang..tapi cute!" Wazif terus menebar senyuman manis ke arah Laila yang langsung tidak memberi sebarang respon atas pujian yang diberikan. Hanya berdiam sahaja. Wazif tidak kisah dan terasa. Kesudian Laila minum petang bersama hari ini sudah satu rahmat buatnya. Sudah lama dinanti peluang keemasan ini. Syukur dipanjatkan pada yang Esa kerana membuka pintu hati gadis ini. Biarpun cuma baru sedikit dibuka, ia sudah cukup memadai kepada Wazif. Suatu permulaan yang baik.


"awak sungguh nak resipi pai epal ni ke. Saya boleh dapatkan yang lengkap dari umi saya."


"saya tak suka pai epal."


"awak suka apa,hmmm."


"bukan urusan awak."


"suatu hari nanti mungkin akan jadi urusan saya..mana kita tahu kan. Itu urusan Dia." Laila renung jari telunjuk Wazif yang tegak ke atas. Dicapai cawan berisi coklat panas yang sudah mulai suam. Diletakkan ke bibir.

Wajah Wazif yang terus menganyam senyuman penuh gula ditatap seketika. Senyuman itu makin manis. Mata pantas dilarikan ke arah kaunter Secret Recipe. Ada debaran di hati yang tidak ingin dilayan.

Wednesday, November 2, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 5


Bab 5

Bunyi pintu diketuk dari luar menangkap pendengaran. Jemari yang laju menari di atas papan kekunci ienovo masih terus rancak. Dilaungkan penuh sopan meminta orang yang mengetuk masuk. Terdengar pintu ditolak dari luar. Mata yang terpaku di skrin empat segi beralih memandang ke hadapan. Terpacak kakak Wan Zubaidah penyelia pusat pameran Karyaaneka Kraf bersama senyuman bergula. Jemari berhenti menari. Senyuman manis itu dibalas.


"ha, kak wan. Ada apa apa ke." lembut dilontar pertanyaan kepada kak Wan Zubaidah yang mesra dipanggil kak Wan. Kak Wan merupakan antara kakitangan senior di sini dan dia sudah lebih dua puluh tahun berkhidmat di Karyaaneka Kraf. Banyak yang dipelajari Laila tentang selok-belok produk-produk kraftangan di sini dari kak Wan dan kak Wan tidak pernah lokek berkongsi ilmu pengetahuan dengannya. Segalanya dicurahkan kepada Laila. kak Wan juga sangat menghormati Laila biarpun Laila lebih muda daripadanya dan tidak pernah ada asas juga pengetahuan didalam bidang kraf. Bantuan dan tunjuk-ajar kak Wan banyak membantu Laila memahirkan diri juga meningkatkan pengetahuan berkenaan industi kraf ini sendiri.

"cik Laila, di luar ada sorang pelanggan. Perempuan...lewat lima puluhan. Orang korporat kak Wan rasa kalau tengok gaya dan cara dia bercakap. Dia nak dapatkan songket terbaik untuk hadiah pada pelanggan. Katanya dia mahu songket yang terbaik. Soal harga dia tak kisah." Laila terus memaku pendengaran dan tumpuan pada bicara kak Wan.

"kak Wan dah cadangan pada pelanggan tu songket dari Bibah songket. Lebih eksklusif. Sesuai untuk hadiah pelanggan korporat. Dia nampak macam setuju tapi dia nak jumpa pengurus dahulu katanya. Ni yang kak Wan datang jumpa cik Laila." Laila angguk kepala perlahan. Tubuh yang enak bersandar di kerusi beroda lima ditegakkan.

"takper kak Wan. Saya jumpa dia sekarang. Mari.." Laila mempersilakan kak Wan Zubaidah untuk mendahului keluar dari ruang bilik pejabatnya.

Salam dihulur dan dibalas lembut. Tangan saling berjabat. Mata bertatapan seketika sambil berbalas senyuman.

"saya Fahratul Laila, pengurus pusat pameran Karyaaneka kraf. Apa yang boleh saya bantu puan?" Tangan Laila kemas digenggam. Erat. Seolah tidak mahu dilepaskan. Laila merasakan sedikit kelainan pada genggaman wanita ini. Entah mengapa hatinya berdetik debar. Laila sendiri tidak pasti mengapa rasa itu hadir. Wanita anggun berkebaya serba biru dengan selendang di tersemat di bahu dihadapannya ini masih tunak memakukan pandangan ke arah wajahnya sejak tadi. Tidak berkalih. Laila merasakan genggaman tangan masih erat. Wajah itu ditatap.

"puan?" Dilaung perlahan. Penuh sopan. Laila lihat jelas wajah yang tunak memandangnya itu baru tersedar namun pantas dan pintar disembunyikan rasa terkejut yang hadir. Senyuman manis tersimpul pada ulas delima yang bertata rias rona merah lembut. Genggaman tadi dilonggarkan namun tidak dilepaskan. Ditepuk perlahan tapak tangan Laila.

"panggil sahaja saya, Zahra...auntie Zahra. tak payahlah berpuan -puan,hmm." Laila angguk tanda faham. Senyuman manis dibalas.

"Fahratul Laila dan lama kerja di sini?" Laila senyum.

"auntie Zahra panggil sahaja saya Laila. Semua staff di sini pun panggil saya dengan nama itu. Mudah. Ringkas. Senang. Sebut nama penuh nanti tergeliat pulak lidah."

Wajah anggun itu ketawa manis dengan lelucon Laila. Bebola matanya bercahaya.

"tapi auntie suka nama tu...Fahratul Laila. Cantik...secantik tuannya. Pandai mak ayah Laila pilih nama."

Laila tersenyum. Wajah umi terlayar di ruangan mata.

Laila membawa puan Zahra untuk diperkenalkan dengan produk-produk kraf yang terdapat di pusat pameran Karyaaneka Kraf. Bermula di kaunter batik mereka bergerak ke produk-produk seramik dan ukiran kayu. Akhirnya mereka berhenti di kaunter barangan perak dan tembaga yang dijaga oleh kakak Maimunah bila Laila melihat pelanggannya ini tampak terpesona dengan ukiran barang perak yang dipamerkan didalam almari kaca. Diterangkan kepada puan Zahra tentang barangan perak yang bersesuaian untuk dijadikan hadiah korporat juga perhiasan di pejabat. Puan Zahra nyata amat tertarik dengan sebilah keris perak yang berukir motif bunga raya. Laila tersenyum.

"keris perak memang sangat eksklusif dan menjadi pilihan utama untuk dijadikan hadiah korporat. Dengan casing yang indah ditambah engraving yang halus, pasti penerima akan kagum dengan keindahan seni ukiran produk kraf Malaysia khususnya barangan perak." Puan Zahra menganggukkan kepala sambil menyatakan pada kakak Maimunah dia akan memutuskan pilihan selepas melihat-lihat produk kraf yang lain.

"Laila rasa songket tidak sesuai untuk dijadikan hadiah korporat?" Langkah mereka menuju ke kaunter tenunan. Laila tersenyum. Suziana yang bertugas di kaunter tenunan menganggukkan kepala sambil tersenyum kepada Puan Zahra. Laila meminta Suziana mengeluarkan beberapa motif songket paling eksklusif untuk ditunjukkan kepada Puan Zahra. Suziana menganggukkan kepala. Locker kaca dihadapan dibuka kuncinya.

"Dalam hal ini, pemilihan bergantung kepada kemahuan pelanggan. Kami di sini bersedia memberikan cadangan pilihan yang terbaik demi kepuasan pelanggan. Itu hasrat juga tagline Karyaaneka Kraf. Keputusan akhir tetap ditangan pelanggan." Sehelai sarung songket putih gading bermotif bunga penuh dibuka lalu dibentangkan dihadapan Puan Zahra.

"Songket...lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Secara tradisi dahulunya songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas. Ia hanya dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan bangsawan sahaja." Laila tatap wajah Puan Zahra yang sedang takzim mendengar penjelasannya. Suziana turut menumpukan perhatian pada sesi penerangan Laila kepada puan Zahra.


"Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu. Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya. Kemahiran dan kretiviti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik. Untuk pengetahuan auntie Zahra, motif kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuhan." Laila hela nafas perlahan sebelum menyambung penerangannya kepada Puan Zahra.


Puan Zahra menganggukkan kepala. Kagum dengan pengetahuan mendalam Laila tentang songket. Ternyata gadis ayu manis ini begitu mencintai bidang tugas yang diceburinya ini.


"Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan. Motif-motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga-bungaan. Jika kita perhatikan dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometrik. Motif-motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penuh, bunga bertabur atau susunan bercorak. Motif pucuk rebung dan lawi ayam sering ditempatkan dikepala kain. Manakala motif 'awan larat' pula dijadikan sebagai kaki kain (border design)." Songket yang dibentangkan dihadapan disuakan ke hadapan Puan Zahra.


"yang ini adalah contoh motif bunga penuh. Auntie Zahra boleh lihat tenunan benang emas dan perak yang ditenun memenuhi keseluruhan kain ini. Songket tenunan bunga penuh bersulam ini juga dipanggil songket cuban." Dilipat lalu diletakkan di atas meja kaca dihadapan Suziana. Sehelai sarung songket berwarna merah hati dibuka lipatannnya lalu dibentangkan dihadapan puan Zahra.

"yang ini pula contoh motif bunga tabur. Jika auntie Zahra perhatikan.." Jari jemari runcing halus Laila bergerak diatas permukaan kain songket yang terhampar dihadapan. "corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah dari pilihan bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain." Puan Zahra menganggukkan kepala sambil tersenyum. Terpesona pada keindahan dan kehalusan tenunan songket bunga tabur yang ditunjukkan Laila.

Dilipat kemas songket merah hati lalu diserahkan pada Suziana. Tangan mencapai sehelai sarung songket berwarna ungu muda. Dibuka lipatan dan dibentangkan dihadapan Puan Zahra.

"yang ini contoh motif bercorak. Jika auntie Zahra lihat pada corak yang ditenun pada kain ini, susunan motif dibuat secara jaluran berdiri atau melintang. Corak pucuk rebung dipilih menghiasi kain songket ini. Cantik dan menarik bagi mereka-mereka yang menggemari motif pucuk rebung."


Dicapai dua helai sarung songket berwarna biru lembut dan merah jambu. Dibuka lipatan seperti yang yang tadi dan dibentangkan diatas lantai cermin kaca dihadapan kaunter tenunan.

"Pengaruh proses modenisasi didalam industri kraf tanahair yang berlaku turut membawa perubahan ke atas pembuatan songket dan hasilnya..." digerakkan jemari runcing ke atas permukaan dua helai sarung songket yang terbentang dihadapan. " corak tradisi seperti bunga tabur dan pucuk rebung kini digantikan dengan keindahan flora dan fauna serta dasar laut yang tampak eksklusif. Ini antara contoh dua songket yang mewakili motif yang mengalami proses modenisasi didalam dunia tenunan songket Malaysia. Satu kelainan...satu pembaharuan namun masih mengekalkan kehalusan seni tenunan pada sentuhannya. Inilah keistimewaan seni tenunan songket Malaysia. Walau zaman berganti..masa berlalu namun pesona keindahannya tetap memukau setiap mata yang memandang. Bagaimana? sudah ada pilihan yang mana satu?" Laila angkat kening sambil tersenyum memandang ke arah puan Zahra.



Kedua-dua tapak tangan Puan Zahra saling bertepuk. Kagum dan terpesona dengan penerangan lengkap penuh santun Laila. Paling utama gadis ayu manis ini sememangnya hebat didalam melaksanakan tugasnya sebagai pengurus pusat pameran kraf terkemuka yang cukup dikenali di Malaysia.


Benarlah seperti yang didengar dan yang dikhabarkan kepadanya, Laila memang istimewa orangnya! Itulah tujuan utamanya tadi. Menyampaikan hasrat mahu menemui pengurus pusat pameran ini sebelum membuat keputusan tentang pemilihan hadiah korporat yang sedang dicari oleh Hanafiah & Co. Mahu bertentang mata dengan pemilik nama Fahratul Laila. Ya, dialah satu-satunya Fahratul Laila yang diburu puteranya selama lima tahun ini. Dialah juga Fahratul Laila yang telah mengkucar-kacirkan hati puteranya selama lima tahun. Dan sekarang Puan Zahra mengerti, gadis ini sememangnya punya pesona yang tersendiri. Dan yang nyata, dia sekarang sudah jatuh hati pada keistimewaan gadis ayu ini!

Laila terus menjala senyuman. Suziana juga. Wajah puan Zahra ditatap. Menanti keputusan wanita anggun berkebaya dihadapan.

Tangan Laila dicapai. Digenggam perlahan. Senyuman manis terlakar pada ulas delima yang masih memikat itu.

"auntie mahu Laila yang putuskan. Auntie yakin Laila lebih arif untuk memilih yang terbaik. Soal budget.." wajah Laila ditatap lagi. " no limit. Jangan risau tentang itu." Laila angguk kepala. Genggaman dibalas. Lembut.

"insyaallah. Jika auntie Zahra yakin dengan saya, saya akan pastikan penerimanya nanti akan kagum dan terpesona dengan bingkisan dari auntie Zahra untuknya."

Puan Zahra tersenyum. Ucapan terima kasih terluncur dari bibirnya. Wajah ayu dihadapan terus dijamah.

* * * * * * *


"umi jumpa Laila? bila?" Wajah Wazif nyata terkejut dengan kata-kata yang baru terluncur dari mulut uminya. Mangkuk nasi yang dihulurkan kepadanya disambut penuh sopan.

Puan Zahra tersenyum. Encik Hanafiah turut tersenyum. Jug berisi air berwarna merah dicapai puan Zahra lalu dituangkan ke dalam gelas dan diletakkan di hadapan suaminya dan Wazif. Ucapan terima kasih serentak terluncur dari mulut kedua-dua lelaki berkenaan.

Wazif masih kabur. Tidak tahu sebab mengapa uminya menemui Laila. Wazif tidak mahu Laila akan berfikir nanti dia terpaksa menggunakan khidmat uminya ini untuk memujuk Laila setelah dia sendiri hampir gagal mendapatkannya. Tidak! Wazif tidak akan berputus-asa.Walau apapun, Wazif tetap akan terus berusaha untuk mendapatkan kemaafan daripada gadis itu. Dia perlu mendapatkannya sendiri. Bukan dengan bantuan orang lain...walaupun daripada umi sendiri. Wazif tidak tega melibatkan umi didalam perkara dia dan Laila.

"she's a very attractive young lady...full of confident yet very soft spoken. Beauty with brain. Umi suka dia. Umi jatuh hati pandang pertama pada dia!" Suapan nasi ke mulut terhenti. Mata memandang ke wajah umi yang tersenyum manis sebelum beralih ke wajah walid yang juga tersenyum. Apa semua ini!

"umi ni lain macam saja Zif tengok." Wazif menyambung suapan.

"mana ada lain macam, sayang. Salah ke umi suka dia. Salah ke umi jatuh hati pada gadis cantik dan baik hati juga bijak macam Laila. Umi tak langgar undang-undang kan. Right, dear?" Puan Zahra kenyit mata memandang suaminya disebelah. Encik Hanafiah angguk kepala. Ketawa kecil.

"kenapa umi jumpa Laila?" Wazif masih tidak dapat menebak tindakan uminya.

Puan Zahra memandang Wazif. Gelas berisi sirap diteguk perlahan. Diletakkan kembali gelas. Wajah suaminya ditoleh seketika sebelum berpindah semula ke wajah Wazif yang masih jelas tidak puas hati.

"urusan rasmi Hanafiah & Co."

Wazif kerut dahi.

Urusan rasmi Hanafiah & Co?

"urusan apa? Zif tak tahu dan tak dengar apa-apa pun. Walid?" Wajah walid ditatap.

"just wait young man...just wait, ok. Be patient,hmmm."

Umi dilihat terus menabur senyuman manis bersulaman senyuman walid. Wazif benar-benar bingung. Minda ligat berputar kerana dikerah mencongkak jawapan.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...