Thursday, November 25, 2010

Istikharah Terakhir - Bab 36


Bab 36

Kasih aku padamu sudah tiada lagi...sudah berkubur. Mengertilah!...

Selangkah kaki ini mengorak kehadapan tidak akan sesekali berpaling lagi berundur. Bukankah pernah aku lafazkan dahulu padamu. Padamkanlah niatmu itu. Jangan sesekali cuba mengetuk pintu hidup ini. Perasaan itu tidak akan mungkin datang semula. Tidak akan datang. Aku amat pasti tentang itu. Tidak pernah terdetik disanubari ini ingatan padamu, jauh sekali mahu membuka ruang hati yang sudah aku simpul mati ikatannya. Jangan buang masa mengejar bayang-bayang. Sedarlah...

Fahamilah...bila hati ini sudah memilih, jiwa ini tidak akan berganjak biar seinci! Takkan mampu digugat oleh sesiapa. Berkerat rotan berpatah arang pada keluargamu tidak pernah terlintas dihati ini. Mama dan ayah itu insan mulia yang aku hormati. Jangan sesekali kau mempergunakan mereka untuk meraih kasih ini. Jangan kau jadi lelaki begitu. Jangan biar aku benci padamu untuk kali kedua. Jadilah adam yang mulia disisi hawa.

Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Khalid...moga ini adalah jawapan-Mu atas doa-doa hambamu ini. Moga ini adalah noktah pada doa-doaku selama ini. Rahmati dan berkati hambamu ini Tuhan.

* * * * * * *

Kereta yang dipandu sudah membelok memasuki simpang di Jalan Kuantan. Ketenangan Tasik Titiwangsa petang itu dipandang sekilas sebelum pemanduan diteruskan ke destinasi yang ingin dituju. Insan kecil disebelah kerusi penumpang dipandang. Senyuman manisnya sungguh mendamaikan.

"papa, bila kita nak sampai ni? jauh lagi ke papa?"

Mata terus memandang ke hadapan. BMW hitamnya terus meluncur perlahan.

"sekejap lagi sayang..."

Banglo putih dua tingkat berpintu pagar kayu sudah tersergam didepan mata. Kelihatan pintu pagar sudah siap dibuka. Kereta dipandu memasuki banglo.

"come sweet heart, let's go..." Pintu kereta dibuka.

Figura yang begitu dikenali sudah berdiri didepan pintu sambil tersenyum menyambut kedatangan mereka dua. Tangannya sudah ditarik-tarik perlahan oleh insan disebelah. Kepalanya sudah menunduk memandang.

"ni rumah kak Zita ke papa?" bibir mengukir senyuman.

"rumah kak Zita dan papa kak Zita." Mata si kecil dilihat sudah bercahaya. Senyumannya makin menyerlah. Tangan sudah melambai pada Zita yang sedang berdiri di pintu. Sengaja Azhar merahsiakan tentang destinasi mereka petang ini dari puterinya itu. Dia menyebut akan ke rumah "mama baru" sahaja. Maisarah kala itu masih tidak berpuashati dan terus bertanya siapa "mama baru" yang dimaksudkan dan adakah dia pernah berjumpa dengannya. Azhar terus mengunci mulut. Mahu melakukan kejutan buat puteri tunggalnya itu. Mahu melihat reaksi pertama puterinya itu. Dan melihat senyuman manis Maisarah tadi kala melihat Zita, Azhar yakin keputusannya ini tepat.

"assalamualaikum..." Mata Zita sudah mendarat pada wajah tenang Azhar sebelum singgah pada wajah comel Maisarah. Sejambak mawar ditangan Maisarah menarik perhatiannya.

"walaikumsalam...jom masuk. Jom Sarah. Hmmm,bunga ni untuk kak Zita ke?"

"Papa cakap bunga ni untuk mama baru Sarah. Tadi papa cakap nak pergi rumah mama baru Sarah. Kan papa? Kak Zita mama baru Sarah ye." Azhar sudah tersenyum. Zita sudah tersipu. Pipi mulus Sarah sudah dicubit manja.

"Zita, kenapa biar tetamu berdiri lama depan pintu ni?" tepukan lembut pada bahu mengejutkan Zita. Empat pasang mata saling memandang. Bebola mata Maisarah sudah berkelip-kelip memandang susuk tubuh yang berdiri disebelah Zita.

"ini papa kak Zita ye?" Tuan Zainal sudah tersenyum. Tubuh sudah direndahkan agar setara dengan Maisarah.

"ni Sarah kan?. Ya, atuk ni papa kak Zita. Tapi nanti atuk ni akan jadi atuk Sarah. Suka tak?" Kepala Maisarah sudah laju mengangguk. Jambangan bunga terus dihulurkan pada tuan Zainal.

"eh nape bagi bunga kat atuk ni. Bunga ni bukan untuk kak Zita?" kepala digelengkan. Azhar dan Zita sudah memandang dengan wajah hairan.

"ala atuk, nanti bila kak Zita jadi mama Sarah, hari-hari papa boleh bagi bunga. Lagi banyak dan lagi besar dari bunga ni. Kan papa?"

Ketawa tuan Zainal sudah berderai. Kepala Maisarah diusap-usap lembut. Azhar dan Zita sudah saling bertukar senyuman.

* * * * * * *

Takdir ini adalah yang terindah...

Terima kasih Tuhan. Terima kasih atas segala-galanya. Terima kasih kerana memakbulkan doa istikharahku yang terakhir. Terima kasih atas destinasi hidup yang telah Kau pilih untukku ini. Terima kasih kerana terus disisi hambamu ini.

Syukur, alhamdulillah.Segala sudah selesai. Mama dan ayah sudah dapat menerima keputusannya. Doanya agar Faisal juga begitu. Pada mama sudah dititipkan agar menyampaikan pesanan ini pada Faisal. Harapannya moga Faisal akan bertemu insan lain yang jauh lebih baik dari dirinya. Doanya moga dibukakan pintu hati Faisal untuk menerima takdir ini.

Tangan sudah meraup wajah. Tubuh yang masih berbalut telekung masih bersimpuh di sejadah. Ketukan dipintu disertai bunyi tombol pintu dipulas perlahan menarik perhatian. Wajah manis Maisarah sudah menggamit senyuman Zita.

"mama....."

- Tamat-

Sunday, November 21, 2010

Istikharah Terakhir - Bab 35

Bab 35

Bicara papa lewat pagi tadi ketika mereka bersarapan masih bersauh dikotak minda. Masih segar tiap patah perkataan yang berhati-hati disusunatur papa...bagai rangkap gurindam yang terus terngiang-ngiang ditelinga. Zita tidak memberikan jawapan pada persoalan yang diajukan papa. Persoalan yang sangat memerlukan kata pemutus darinya. Dari mula papa berbicara, sepatah pun dia tidak memberi reaksi dan tindakbalas. Peti suara terus dimatikan sambil tangan digagahi menyumbat nasi lemak yang dimasak pembantu rumah mereka. Tekak tidak langsung mampu mencerna kesedapan nasi lemak yang dimakan untuk disalurkan ke minda. Sudahnya bicara tamat saat Zita minta izin papa untuk pamit ke pejabat kerana dia perlu mempengerusikan mesyuarat kewangan bagi suku tahun ketiga pagi ini.

Fail-fail dari bahagian kewangan yang dibawa masuk Hanim dari bilik mesyuarat masih terhampar diatas meja. Mesyuarat berlangsung dengan lancar biarpun dia bagai tidak sepenuhnya memberi perhatian dan tumpuan. Nasib baik ada Hasanah; pengurus kewangan mereka yang banyak membantu dirinya didalam mengendalikan hal ehwal kewangan syarikat. Hatinya bagai tiada keinginan untuk menyentuh fail-fail tersebut. Hatinya sedang gundah. Hatinya sedang libang-libur saat ini. Dada terasa begitu sesak ketika persoalan papa tadi kembali mengasak dinding hati. Zita faham papa hanya utusan. Hanya menyampaikan hasrat orang. Papa sudah awal-awal menyatakan dia tidak akan sesekali masuk campur jauh sekali memaksa. Segalanya diserahkan pada Zita. Budi bicara Zita sendiri. Ini soal hidup...dan masa depan Zita. Ya...ini soal hidup...soal masa depan dirinya. Tidak mungkin dia akan sewenangnya memberikan jawapan. Dia bukan lagi Zita yang dahulu. Dia kini sudah berikrar akan memperjuangkan masa depannya sendiri. Tidak mahu lagi menyerahkan nasib diri ditangan orang lain seperti dahulu. Tidak mahu lagi menjadi insan pasif. Bunyi telefon yang menjerit terus menerbangkan segala yang sedang bersarang dikepala. Dibiarkan sahaja jeritan mesin empat segi itu memenuhi ruang biliknya.

Telefon dimejanya terus berbunyi. Tubuh yang tadinya bersandar pada dada kerusi ditegakkan. Mata dibawa menoleh untuk melihat nama yang tertera di skrin telefon...Hasanah. Segera ditekan butang speaker.

"ya Hasanah."

"cik Zita...saya dah update semua data dan maklumbalas dari setiap pengurus bahagian yang diperolehi didalam mesyuarat tadi. Cik Zita boleh menyemak semua data berkenaan pada database kewangan di T drive. Terus sahaja pada folder 2010 dan kemudian ke sub folder 3rd Quarter Finance Report." Jari terus dibawa ke skrin notebook dihadapan. My computer ditekan lalu T drive dicari. Terus diklik Zita sudah melihat beberapa folder bahagian kewangan mengikut turutan tahun. Folder 2010 diklik kemudian jarinya terus menekan pula sub folder yang disebut Hasanah diclik. Beberapa fail berformat excel terpapar.

"ok Hasanah. Saya dah buka sub folder tu. Saya akan semak semua fail yang awak sediakan. Terima kasih. Kalau ada yang saya tak faham nanti saya akan email pada you, ok."

"no problem cik Zita. Dah tugas saya."

Butang speaker dimatikan. Nafas dihela perlahan. Teringat pesanan papa sewaktu dia memulakan tugas...jangan sesekali terganggu dengan masalah peribadi tika mengendalikan soal kerja. Akan menjejaskan prestasi kerja nanti. Cubalah "simpan" sekejap masalah peribadi yang melanda. Ya, dia sedang cuba mencari ruang kosong untuk menyimpan sebentar persoalan peribadi yang melanda diri. Tidak mahu persoalan itu mengganggu kerjanya yang menuntut tumpuan demi kelancaran operasi syarikat. Dia tidak mahu mengabaikan tanggungjawab baru yang terpikul dibahu. Tidak mahu juga mempersia-sia kepercayaan yang diberikan papa padanya.

Di saat begini, dia benar-benar memerlukan kata-kata semangat itu. Kata-kata semangat dari seseorang yang sentiasa memberi dorongan dan keyakinan padanya. Seseorang yang telah berjanji akan sentiasa disisi...kala suka dan duka.

* * * * * * *

"Eh, kenapa balik ke rumah ni? Kan ke semalam kata kat mama nak terus pejabat dari airport?" langkah laju diatur ke sofa. Kepala ditoleh ke bilik bacaan. Soalan Puan Sri Marini dibiarkan sepi.

"papa mana mama?"

"mana lagi petang-petang ni....meeting kat padang golf la papa tu." Kepala diangguk.

"Macammana mama?" Mata Faisal terus menjunam pada tubuh Puan Sri Marini sedang santai di sofa. Punggungnya dilabuhkan disebelah mamanya itu. Pertanyaannya masih tidak dijawab mamanya. Tadi selepas dijemput pulang oleh Pak Jalil; pemandu keluarganya dari KLIA dia segera minta dihantar ke rumah dahulu walaupun sepatutnya dia ada mesyuarat di pejabat petang ini. Sudah diminta Irene menunda mesyuarat tersebut. Baginya ada perkara lain yang jauh lebih penting.

"Mama...macammana?" Terluncur lagi pertanyaan yang sama untuk kali kedua.

Tangan Puan Sri Marini menepuk perlahan paha anak bongsunya yang sedang tunak memandangkan sejak mula sampai tadi. Bukan dia tidak mahu menjawab pertanyaan anaknya itu tapi sememangnya dia tiada jawapan untuk pertanyaan anaknya itu. Dia harus akur permintaan pihak disebelah sana. Dia tidak mahu dikatakan mendesak dan memaksa. Ini soal hati dan perasaan. Ini soal masa depan anak orang biarpun anak orang itu pernah bergelar "menantu" keluarganya.

"uncle Zainal dah cakap pada mama dan papa." Wajah mama direnung.

"uncle cakap apa mama?"

"Uncle serahkan pada Zita untuk buat keputusan. Dia akan terima apa pun keputusan Zita. Dia harap kita faham dan akan terima apa jua keputusan Zita nanti."

"kenapa pulak uncle tak boleh buat keputusan macam dulu?...Zita tu kan anak dia, mestilah kena dengar cakap orang tua. Faisal tahu uncle masih tak maafkan Faisal mama."

"Faisal..." kepala digeleng perlahan."tak baik cakap uncle macam tu."

Kepala dihempaskan pada tengkuk sofa yang disandar. Mata dipejamkan. Terasa tangannya diusap lembut oleh mama. Dibiarkan sahaja. Hatinya kecewa dengan apa yang dikatakan mama sebentar tadi. Harapannya begitu menggunung untuk mendapatkan Zita semula. Dia bersungguh-sungguh meminta mama dan papanya pergi melamar Zita kembali sejak minggu lepas lagi. Dia tahu mama dan papa keberatan kerana masih segan pada uncle Zainal dengan apa yang pernah terjadi. Dia tahu papa masih marah padanya. Dia tahu dia tersilap langkah dahulu. Dia terlalu mengikut hati mudanya dan kesannya dia kehilangan insan paling baik yang dianugerahkan Tuhan padanya. Dia sedar kini hatinya dan jiwanya sudah dicuri wanita itu. Dia kesal terlewat menyedari perkara ini.

"mama faham perasaan Faisal..."

"susahnya Faisal nak bahagia mama. Faisal cuma minta peluang kedua mama." Tercetus keluhan kecil Faisal.

"jodoh tu urusan Tuhan Faisal. Kita tak mampu nak buat apa tentang perkara ni. Buat masa sekarang kita kena tunggu jawapan Zita. Faisal kena ingat kalau ada jodoh Faisal dengan Zita semula tiada siapa mampu menghalang...sabar ye." tangannya terus diusap mama.

"Faisal sayang Zita mama...Faisal sayang dia." Kepalanya dilentukkan ke bahu mama. Rambutnya dilurut perlahan-lahan lalu diusap lembut oleh mama.

"mama tahu..."

* * * * * * *

"i akan jumpa papa you dan terus melamar. Kalau papa you setuju i akan hantar mak dan ayah datang jumpa papa you. Kita kena ikut adat kan."

"Har...jangan dulu."

"why not? I'm serius."Wajah Zita direnung.

"i belum cakap apa-apa pada papa pasal kita. I taknak papa terkejut kalau tiba-tiba saje you datang and propose me."

"Jangan bimbang sayang. I akan cakap nanti and i pasti dia boleh faham. I taknak bercinta lama-lama. Letih." Kepala digelengkan. Tidak setuju. Tangan sudah digoyang pada Azhar dihadapan.

"jangan Har. Biar i cakap dengan papa dulu ok, lagipun...lagipun i kena selesaikan satu perkara penting dulu."

Dahi Azhar sudah berkerut.

"perkara penting?"

nak cakap ke tidak ni?. Bibir diketap. Kepala ditundukkan sambil jari jemari terus memutar-mutar straw didalam gelas dihadapan.

"Zita?"

Kepala diangkat perlahan-lahan.

"sayang?"

"Faisal...." Mata Azhar lekat diwajah Zita saat nama itu disebut.

"Di...dia..dia hantar mama dan ayah jumpa papa semalam.."

Dan mata mereka terus bertaut...

Monday, November 15, 2010

Istikharah Terakhir - Bab 34

Bab 34

Mengapa kau harus muncul lagi sekarang Zakhrul!

Setelah apa yang telah kau lakukan dahulu pada aku, tega kau kembali menagih kasih itu semula. Tidak terfikirkah betapa kejamnya kau dahulu. Tidak terlintaskah difikiranmu betapa sengsaranya aku melalui hidup sendirian. Tidak terasakah dihati segala perbuatan kau pada aku dahulu. Kau, satu-satunya lelaki yang aku harapkan dahulu pergi meninggalkan aku menghadapi papa sendirian sedangkan kau telah berjanji untuk bersama-sama denganku dikala senang dan susah. Kau langsung tidak memberi peluang aku menerangkan hubungan kita pada papa. Kau tuduh aku macam-macam. Sanggup kau berpaling dari menadah telinga mendengar penjelasan dari aku hanya kerna egomu yang terlalu agung itu. Sudah lupakah kau tentang semua itu Zakrul? Mudahnya kau melupakan semua itu...mudahnya kau Zakhrul!

Tahukah kau Zakhrul hati aku begitu pilu diperlakukan kau. Langsung tiada rasa kasihan dan simpati kau pada aku dahulu. Saat kiriman kad undangan kau aku terima, hati dan jiwa aku "mati". Semuanya sudah tiada erti. Aku terima segala yang sudah tersurat. Aku bakar segala kenangan bersama kau. Aku kuburkan semua abu-abunya. Aku berkelana sendirian dirantau orang. Status isteri yang aku sandang hanya pada nama. Zahirnya sahaja. Derita batin yang aku tanggung tidak pernah aku dedahkan. Segalanya aku simpan rapat. Kejap. Selagi aku mampu bertahan. Itulah yang aku lakukan hinggalah aku tiba ke titik kemuncak kesabaran. Dan kesudahannya disinilah aku sekarang. Kembali ke tanahair dan kini memegang status baru.

Tapi aku tak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku antara kita Zakhrul. Cuma...aku kesal. Kesal dengan sikap kau. Kesal dengan tindakan kau.

* * * * * * *

Kenapa mesti jumpa dia?

"pergilah jumpa dia. You kena bersemuka dengan dia Zita."

"untuk apa lagi i jumpa dia Har. I tak mahu. Tak mahu! "

"I fikir selagi you terus mengelak begini selagi itu dia akan terus mengejar you."

"Biarlah. Kalau dah penat dan bosan nanti dia berhenti."

Terdengar keluhan kecil. Azhar dilihat menggelengkan kepala.

"Kalau dia tak penat dan bosan malah tambah bersemangat macammana?"

Mata sudah saling bertaut.


* * * * * * *

Straw ditangan sudah entah kali keberapa diputar. Gelas berisi jus mangga itu dipandang sekilas. Mata dibawa melihat ke arah luar Restoran Bunga Emas di The Royale Chulan itu. Susuk tubuh yang dinanti masih tidak kunjung tiba. Mungkirkah dia? hati kecil sudah berdetik. Tak mungkin! Dia kenal sungguh dengan orang yang dinanti. Bukan begitu sikapnya. Dari jauh dia sudah melihat. Senyum sedikit mekar. Tapi cuma sebentar. Susuk tubuh yang saling berganding dengan insan yang dinanti sedikit mengurangkan rasa yang mula berbunga.

Dia tahu siapa lelaki itu. Sudah kerap dilihat mereka berdua berganding sama. Kemesraan mereka berdua cukup menggugat hati lelakinya. Dia sudah menyelidiki latar belakang lelaki itu. Bukan calang-calang juga orangnya. Dia melihat lelaki itu pesaingnya yang paling utama. Dia tidak akan mengaku kalah. Dia tidak mahu silap lagi seperti dahulu. Dia kesal dengan kebodohannya dahulu. Dia kesal dengan sikap terburu-burunya dahulu. Egonya telah menyebabkan insan yang dia sayang dan puja terlepas ke tangan orang.

Dia akan cuba sedaya-upaya mendapatkan semula Zita. Dia tidak pasti peluangnya namun dia tidak akan sesekali mengalah. Selagi Zita belum menjadi hak milik sesiapa, dia masih berpeluang.

"assalamualaikum . Maaf terlambat." Zakhrul yang sudah awal-awal berdiri menganggukkan kepala sambil menjawab salam dan tersenyum. Mata memandang wajah dihadapan. Wajah yang sekian lama dirindui. Zita dilihat sedikitpun tidak memberi reaksi. Sedikit pun tidak mahu membalas senyumnya.

"kenalkan...ini Azhar." Tangan Azhar sudah menghulur jabat.

"Azhar..."

"Zakhrul..."

Kedua-dua dipersilakan duduk oleh Zakhrul. Azhar sedia maklum tujuan pertemuan ini. Mulanya memang dia tidak mahu ikut serta. Tidak mahu mengganggu kerana ini pertemuan yang sangat peribadi namun permintaan Zita yang tidak mahu bersendirian menemui Zakhrul dan mahu dia ikut menemaninya. Zita tidak pasti apa tindakan Zakhrul nanti bila dikhabarkan tentang keputusannya. Bila difikirkan keselamatan Zita, Azhar akur dengan permintaan Zita. Azhar tidak mahu apa-apa yang tidak elok menimpa Zita nanti. Pastinya nanti Azhar akan menyesal seumur hidup jika apa-apa berlaku ke atas diri Zita. Azhar tidak mahu Zita diapa-apakan. Zita sangat penting dalam hidupnya kini.

"Saya tau saya memang salah. Saya tau awak masih marahkan saya sebab tu. Saya mohon maaf pada awak...tapi tolonglah awak...tolonglah maafkan saya. Hidup saya tidak tenteram selama ni disebabkan perbuatan saya pada awak dulu. Saya sentiasa diburu rasa bersalah. Dan Tuhan membalas segala perbuatan saya pada awak. Perkahwinan saya tidak bertahan. Isteri saya lari dengan kekasih lamanya selepas enam bulan kami berkahwin. Saya ditimpa aib yang sedemikian rupa."

Zita dilihat sudah tersenyum sinis. Zakhrul faham erti senyuman itu. Dia tahu dia memang layak disinis begitu. Padan dengan mukanya.

Azhar dilihat tenang mendengar dia membuka pekung sendiri.

"saya mahu menebus kesalahan saya pada awak dulu. Saya akan pastikan awak tidak akan dipersia-siakan lagi. Saya mahu kita kembali seperti dulu."

Gila!

Zita dan Azhar saling berpandangan. Azhar dilihat menganggukkan kepala.

"Zakhrul..." wajah manis Zita dipandang.

"saya tidak pernah doakan yang buruk-buruk untuk awak Zakhrul." Helaan nafas perlahan dilepaskan.

"saya juga tidak pernah berdendam pada awak atas segala yang berlaku. Saya belajar menerima takdir diri saya. Saya akui saya memang sedih dan kesal dengan tindakan awak dulu...hingga kini saya masih mengingatinya. Saya tidak akan boleh lupa."

"awak...sa.." Zita pantas mengangkat tangan mengisyaratkan bahawasanya dia belum selesai.

"Zakhrul..." Zita mencapai tangan Azhar. Digenggam erat. Azhar dilihat membalas genggaman tangan Zita. Dada Zakhrul sudah bergetar. Kencang.

"Segala yang awak lakukan kebelakangan ini tidak akan dapat mengubah apa-apa. Pendirian saya tetap sama. Saya bukanlah Zita Asyikin yang awak kenal lima tahun dulu. Saya sudah berubah Zakhrul. Berubah menjadi Zita Asyikin yang baru. Zita Asyikin yang sudah memilih jalan hidupnya sendiri. Saya sudah memiliki kehidupan baru yang saya pilih sendiri. Dan saya yakin dengan pilihan ini." Zita menoleh pada Azhar. Senyuman antara keduanya saling bertaut.

"saya tidak mahu kita menoleh ke belakang lagi. Apa yang terjadi antara kita dulu adalah sejarah. Sejarah yang akan kita kenang dalam lipatan kehidupan akan datang. Sejarah yang akan mematangkan diri kita. Saya sudah menemui kehidupan baru. Saya bahagia kini."

Zita memandang pada Zakhrul dihadapannya yang tersandar diam penuh takzim. Dia berharap sangat agar Zakhrul dapat menerima keputusannya.

"saya sudah memaafkan segala perbuatan awak Zakhrul. Tak perlu awak bimbang apa-apa. Saya mohon awak hormati keputusan saya ini. Saya sudah ada pilihan sendiri." Zita menoleh pada Azhar yang masih mengenggam erat tangannya. "Azhar adalah pilihan saya. Saya menyayangi dirinya. Saya harap awak faham dan dapat menerima keputusan saya ini."

"saya harap... kita akan kekal sebagai kawan Zakhrul."

Azhar dan Zita memandang pada Zakhrul yang hanya berdiam dari tadi. Azhar faham apa yang sedang melingkari hati dan jiwa Zakhrul saat ini. Tapi apa kan daya dia tidak mampu membantu. Ini soal hati. Soal perasaan. Tidak boleh dipaksa. Tidak akan boleh disua-sua. Dia juga menyayangi Zita dan tidak akan mahu kehilangan wanita yang kini bertakhta dihati.

Peritnya menerima segala luahan kata-kata yang dilafazkan Zita sebentar tadi. Inikah pembalasan yang harus diterima atas perbuatannya dahulu.Benarlah kini peluang dirinya untuk kembali menghuni dihati Zita sudah tiada lagi. Sudah tertutup. Keputusan Zita bak halintar yang membelah jiwanya. Bagaimana mahu dipujuk lara hatinya ini. Zita sudah tidak sudi lagi padanya. Zita sudah menyatakan keputusannya.

Dia sudah tewas pada Azhar!

* * * * * * *

Genggaman tangan dilepaskan saat memasuki lif. Kedua-dua hanya membisu seribu bahasa. Zita hanya tegak memandang pintu lif yang tertutup rapat. Sunyi dan sepi hinggakan hembusan nafas Azhar bagai jelas ditelinga Zita.

"betul ke apa yang you cakap pada dia tadi?"

"Haa?"

Azhar sudah tersenyum. Zita sudah tersipu. Malu!

"i tanya betul ke apa yang you cakap pada Zakhrul tadi."

Kepala diangguk laju memandang Azhar. Azhar sudah ketawa kecil melihat telatah lucu Zita. Comel!

"so, bila boleh i jumpa papa you?"

"Haa? you nak jumpa papa i? buat apa?" Mata Zita sudah membulat memandang Azhar disebelah.

Ketawa Azhar bergema.

"nak pinang you la sayang. Kan tadi you cakap kat Zakrul you dah pilih i."

Mata Zita sudah terkelip-kelip.

"i...i..." Azhar sudah mendekati Zita. Debaran didada Zita kian kencang.

"kita kahwin?"

Mulut Zita sudah sedikit terbuka.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...