Saturday, March 18, 2017

Hati Ini Pilih Kamu


AKU DIAM lepas dengar apa yang Zainal cakap. Memang dari dia mula bercakap tadi aku diam. Sepatah pun aku tak celah. Aku biarkan dia bercakap. Aku biarkan Zainal bongkar segala dosa yang dia buat di belakang aku selama ini. Aku tadahkan telinga dengar segala penipuan yang dia cipta pada aku. Pengakuan yang akhirnya terpaksa dia luahkan kerana dia harus buat satu keputusan penting. Keputusan yang melibatkan perkahwinan aku dan dia. Aku tak pernah bermimpi yang aku akan berdepan perkara macam ni selepas kahwin dengan Zainal. Sungguh aku tak pernah bermimpi. Selama ini aku tengok benda-benda macam ni dalam drama-drama melayu kat tv aje. Dan habis-habis aku memang maki aje jantan tak guna dalam drama tu. Sekarang ni jantan versi drama tu ada depan mata aku sekarang. Dan aku sedang terfikir haruskah aku maki dia? Tak. Aku bukan setakat nak maki. Aku rasa nak terajang dia aje.
Zainal yang duduk di sofa hujung diam lepas habis bercakap. Hanya mata dia yang tak lepas pandang aku. Bila aku ulang balik apa yang Zainal cakap tadi, fikiran aku jadi keliru. Kenapa baru sekarang Zainal nak cakap yang dia kahwin dengan aku sebab terpaksa. Sebab tak mahu lukakan hati mak dia. Sebab aku ni pilihan mak dia. Kenapa lepas lima tahun baru nak cakap benda ni? Kenapa?!!!
Aku memang sedar perubahan Zainal bulan-bulan kebelakangan ini. Aku bukan buta. Aku tahu dia bukan macam Zainal yang aku kenal selama ini. Dia dah mula kerap balik lewat. Hujung minggupun dah kerap tak ada kat rumah. Keluar aje. Dulu tak pernah. Tapi tak pernah nak bawak aku. Alasan sebab keluar dengan kawan-kawan office dan masing-masing pun tak bawak bini. Takkan dia nak bawak aku pulak. Macamlah aku ni bebal sangat. Ingat aku tak kenal ke kawan office dia yang dah kahwin. Ingat aku tak kenal bini dorang ke? Dari situ aku dah tahu dia dah mula tipu aku. Dan aku dapat tahu jugak akhirnya dia bukan keluar dengan kawan-kawan office macam yang dia kata. Dan akhirnya aku tahu dia keluar dengan siapa sebenarnya. Dunia ni kecil dan sempit aje. Pusing-pusing tertembung jugak. Zainal…Zainal. Kau ingat aku perempuan bangang ke?
Perubahan Zainal memang buat hidup aku jadi lain tapi aku diam aje. Aku tak tanya dia. Aku nak tengok setakat mana dia nak main wayang dengan aku. Duduk kat rumah pun perangai dia lain macam. Masuk dalam bilik air lama-lama. Siap bawak handphone dalam bilik air. Macam takut aku nak ambil menatang tu kalau dia dalam bilik mandi atau dia tengah buat urusan alam. Ingat aku ni kaki intip aktiviti dia dalam telefon dia ke? Orang kalau dah buat dosa kat belakang memang akan rasa macam tu kan. Rasa takut. Rasa tak selamat.
“I minta maaf.”
Aku tak angkat muka pun pandang dia. Kalau aku pandang muka dia sekarang aku memang akan bangun pergi dekat dia dan terus ludah muka dia nanti tapi aku tak mahu jadi isteri yang emosi macam tu. Aku takkan benarkan diri aku nampak murah depan Zainal. Apa yang lebih penting aku sedang berkira-kira dalam kepala tentang apa yang Zainal cakap tadi. Aku kena buat sesuatu. Aku memang kena buat sesuatu. Aku ada hak atas hidup aku.
“Zira…”
Aku masih jadi cendana kat sofa. Dari ekor mata aku nampak Zainal bangun dari sofa yang dia duduk dan datang ke sofa yang aku duduk. Zainal duduk depan aku. Lebih tepat duduk atas meja kayu jati depan aku. Tangan aku Zainal capai. Aku tarik dan kunci atas riba. Aku angkat mata. Aku pandang dia yang memang sedang renung aku.
“Jangan nak pegang-pegang tangan I lepas you sedap-sedap pegang perempuan lain.” Mulut aku buka lepas diam lama. Aku tengok Zainal raup muka bersalah. Mungkin dia tak sangka aku cakap macam tu. Aku tak peduli. Aku memang jijik dengan dia lepas apa yang dah dia lakukan di belakang aku. Badan aku sandar ke belakang. Dua tangan aku simpul ke dada.
“I tahu I berdosa pada you. Maafkan I.”
Senangnya lelaki minta maaf. Senang sungguh!
“Tapi…I tak mampu nak elak dia, Zira.”
Dah dua-dua sama-sama gatal, nak elak macam mana.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...