Monday, October 31, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 4


Bab 4


Lelaki itu dah datang!

Kepala yang terjenguk di balik langsir ditarik kedalam. Anum garu kepala yang tidak gatal. Keluhan kecil terdesir keluar dari mulut. Dilepaskan langsir yang diselak. Langkah mula mundar-mandir di ruang tamu. Anum tidak tahu apa yang harus dilakukan. Yang Anum pasti selagi kak Laila tidak keluar dari rumah, selagi itulah lelaki itu tidak akan berganjak. Memang itu yang selalu terjadi. Walau tidak dipeduli dan diendahkan oleh kak Laila, lelaki itu tetap setia menunggu kak Laila saban hari dihadapan rumah. Entah apa sebenarnya terjadi antara mereka, Anum sendiri tidak tahu dan tidak berani mahu mengambil tahu. Yang Anum yakin sememangnya kedua-dua mereka ada hubungan. Kejadian malam kelmarin masih segar diingatan. Kak Ain dan kak Laila bertengkar kerana lelaki ini. Dan kerana lelaki ini kak Laila menitiskan airmata!

Diselak kecil langsir sekali lagi. Ahh, masih ada lagi kereta mewah hitam itu. Anum buntu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Masalahnya kak Laila tiada dirumah. Kak Ain sudah ke tempat kerja. Kenapa lah lelaki ini sampai selepas kak Ain keluar ke tempat kerja. Jika kak Ain ada pasti Anum tidak perlu menghadapi masalah ini sendirian. Sudahlah dia tidak kenal siapa lelaki itu dan apa mahunya, sekarang dia perlu menghadapi lelaki ini. Jika tidak pasti lelaki itu tidak berganjak dari luar pagar. Aduh!

Anum tahu Myvi kak Laila yang terparkir pasti membuatkan lelaki itu terpikir kak Laila masih didalam rumah. Anum garu kepala lagi dengan langkah yang masih mundar mandir di ruang tamu.

Ahh, beritahu sahaja lah yang kak Laila tak ada di rumah. Habis cerita! Susah sangat ke Anum..

Langkah dihentikan. Mata memandang ke arah pintu. Diraup wajah sambil menghirup nafas. Kaki dibawa menuju ke pintu utama. Tombol pintu diputar. Lafaz bismillah terlontar laju.


Anum perlahan-lahan menyarung selipar getah putih berbelang biru. Tubuh yang segak bersalut kemeja putih dengan seluar hitam itu direnung. Baru Anum perasan lelaki tampan ini berkaca mata. Langkah yang teragak-agak itu nampak sumbang. Jantungnya bergetaran. Nafasnya dihela beberapa kali. Dalam hati dipanjatkan doa moga dipermudahkan urusannya ini. Moga dia tidak melakukan tindakan yang salah. Anum cuma mahu lelaki itu cepat-cepat beredar dari kawasan rumah kak Laila. Anum segan dengan pandangan jiran-jiran sejak kemunculan lelaki ini di hadapan rumah kak Laila ini. Sudahlah mereka semua anak dara,tentu tidak elok dipandangan jiran jika lelaki ini terus sahaja dengan rutinya bertandang di sini saban pagi.


Tubuh gadis muda berbalut t-shirt dan kain batik yang tegak berdiri di depan pintu pagar yang berkunci menggamit langkahnya untuk maju ke hadapan. Wajah polos jernih dengan rambut lurus paras bahu itu ditatap seketika. Dihulurkan salam bersama senyuman manis. Wajah yang agak takut-takut dan penuh ragu-ragu itu ditatap. Salamnya disambut perlahan sahaja. Tiada senyuman pada wajah itu. Hanya kebimbangan yang jelas terlukis. Dilihat gadis dihadapannya menoleh ke kanan dan kiri sambil terjenguk-jenguk seakan takut perlakuannya sedang diperhatikan.

"err...encik ni cari kak Laila kan?"



Kepala diangguk. Senyuman terus ditabur. "iya. Dia ada?"


Kepala gadis itu dilihat menggeleng laju. Wazif terus memaku tumpuan pada bicara seterusnya.


"kak Laila tak ada kat rumah. Dia pergi seminar di Sabah. Malam tadi dia naik kapal terbang ke Kota Kinabalu. Kak Laila kata Lusa baru balik."


"seminar? seminar apa?"


"ha'a, seminar. Seminar kerja anjuran Perbadanan Kraftangan. Kak Laila kan kerja dengan anak syarikat Perbadanan. Encik tak tahu ke?..oopss!" Anum tekup mulut dengan tapak tangan. Bebola mata bulat. Dia terlanjur lancang berbicara. Dilihat lelaki dihadapan hanya senyum sahaja. Ya Allah. Kak Laila maafkan Anum, kak.


"saya tahu. Saya tahu semua tentang dia."


Anum telan air liur.


"Err..encik bolehlah balik. Jangan buang masa di sini. Encik tunggu pun tak guna jugak sebab kak Laila tak ada." Wazif mahu ketawa dengan bicara lurus gadis muda dihadapannya ini. Dia ingin mengenali dan mengetahui hubungan gadis ini dengan Laila. Yang pasti gadis ini bukan adik Laila kerana setahu Wazif, Laila anak tunggal.


"boleh saya tahu awak siapa dengan Laila? saudara Laila barangkali?"


Ekor mata Anum memandang pada wajah tampan berkaca mata dihadapannya. Wajah itu tetap tersenyum. Kepala Anum laju menidakkan pertanyaan lelaki dihadapannya ini. "saya Anum. Saya bukan saudara kak Laila. Saya tumpang je duduk di rumah kak Laila. Kak Ain, kawan serumah kak Laila tu kakak sepupu saya. Dia yang bawa saya tinggal di sini."


Wazif angguk kepala.


"terima kasih Anum kerana beritahu saya. Kirim salam saya pada Laila bila dia balik nanti, hmmm." Wazif memusingkan tubuh. Langkah mula diatur ke Harrier yang terparkir di luar pagar.


Anum garu kepala.


"err nanti dulu...siapa nama encik?"


Senyuman Wazif terus menguntum. Dipusingkan tubuh semula memandang Anum yang sedang menunggu. Wajah polos itu ditatap.


"saya Zahwan Wazif. Panggil saya Wazif sahaja. Assalamualaikum."


"err nanti. Apa hubungan encik Wazif dengan kak Laila?"



Wazif hela nafas.



"dia orang yang sangat penting dalam hidup saya. Seorang yang saya cari sejak sekian lama. Seorang yang pernah saya musnahkan kebahagiaan hidupnya."


Anum kerut dahi. Sukar difahami maksud sebenar disebalik kata-kata lelaki yang bernama Wazif ini. Siapa sebenarnya kak Laila pada Wazif?


"saya tak faham. Kak Laila kekasih encik ke? kekasih yang encik tinggalkan dahulu. Err..encik pernah buat sesuatu pada kak Laila dahulu ye sampai kak Laila menangis bila diri encik disebut. Dan sekarang encik datang tiap-tiap hari sebab nak minta maaf dengan kak Laila, betul kan?"


Wazif renung wajah Anum.



"Laila menangis? bila?" Soalan Anum dibiarkan tanpa jawapan. Wazif lebih berminat mengetahui tentang perkara yang satu itu. Laila menangis. menangis kerana dia!



Anum angguk kepala.


"malam kelmarin kak Ain bertengkar dengan kak Laila. Bertengkar..." Anum renung wajah Wazif. "pasal encik. Dan kak Laila menangis. Ada sebut nama Sofi...nama Aya Sofya jugak. Encik Wazif kenal Sofi...kenal Aya Sofya ke?"


Wazif hela nafas. Seraut wajah comel yang sedang ketawa riang bersama Laila terlayar di mata.


* * * * * * *


"best tak KK?" Ain sambar Polo hitam empat segi dikiri Laila.Disumbatkan ke dalam perut bonet Inspira yang sedia ternganga.


"best campur seronok...tapi penat jugak. Tapi aku sempat shopping kat Philippine market. Aku ada beli ole-ole untuk kau dan Anum. Mabuk aku tengok mutiara kat situ. Walau dah banyak kali pergi sana aku tetap jadi hilang akal kalau singgah kat situ. Sedar tak sedar tiga ratus terbang!" Ain gelak sambil menggelengkan kepala. Pintu pemandu ditarik sebelum tubuh kurusnya diloloskan masuk. Laila turut meloloskan tubuh ke dalam perut Inspira. Tali pinggang ditarik dan dipasang.


"Anum tak ikut ke?" Ain geleng kepala perlahan. Isyarat kanan diberi sebelum stereng dipusing untuk memasuki laluan keluar. " dia balik lambat hari ni. Katanya ada kerja lebih masa. Karang kita singgah pejabat dia. Aku nak fetch dia then kita terus gi dinner. Kau ok kan ke kau nak balik makan kat rumah. Kalau kau penat, kita tapau ja."


Laila senyum. Angguk. "aku ok je."


Anum tarik pintu belakang. Salam dihulur pada Laila dan Ain. Salam bersambut. Stereng Ain memasuki Jalan Bangsar.


"kak Laila, best tak gi KK. Mesti la best kan. Bila la Anum dapat gi sana."


"kerja rajin-rajin, Num. Kumpul duit. Ada tambang murah gila AirAsia kita sambar. Boleh buat rombongan ke KK. Cik Laila kita ni boleh pemandu pelancong sebab dia dah master tempat-tempat kat KK. Kita save lah budget bayar duit pemandu pelancong. Ok tak idea aku, Laila?" Ain angkat kening seraya menoleh sekilas pada Laila.


Anum teruja."betul ke kak Ain, kak Laila?"


Laila memusingkan kepala menoleh ke belakang.


"insyaallah. kak Laila takda masalah. Anum tu la. Boleh ke cuti, kan baru kerja. Kena kumpul duit juga kirim kat mak di kampung kan." Anum memuncungkan mulut. Kecewa. Ain gelak melihat reaksi Anum dari sisi cermin pandang belakang.


"mulut...kalah cencurut. Buruk la dik ooi. Ala, ada rezeki nanti Anum mesti sampai ke KK nanti. Mana tau kut kut jumpa boyfriend KK ke. Ha'a bolehlah ikut balik KK."


"Anum muda lagi la kak Ain..Anum nak kerja la...kumpul duit. Taknak la boyfriend-boyfriend ni sekarang. kalau mak kat kampung tahu, mampus Anum tau!" Ain dan Laila ketawa serentak. Lucu dengan kata-kata polos Anum. Sememangnya Anum gadis yang polos hatinya.


"tapi kan..." Wajah Anum bercahaya. Ain angkat kening memandang Laila. Bahu Laila terangkat. kedua-duanya terus menanti butir kata-kata seterusnya dari Anum.


"tapi kan, kalau dapat boyfriend handsome dan kaya macam boyfriend kak Laila tu takpa lah."


Laila dan Ain saling berpandangan.


"boyfriend kak Laila? siapa?" suara Ain mendahului. Laila hanya mendiamkan diri.


"encik Zahwan Wazif...yang selalu tunggu kak Laila setiap pagi di luar pagar rumah kita tu." Ain dan Laila saling tersentak. Ain menghela nafas.


"dia datang ke rumah?." Anum mengiyakan. Lurus.


Ain tidak puashati. Laila dilihat terus membatukan diri. Tidak langsung mahu menyampuk. Inspira Ain memasuki Jalan telawi. Jalan yang sedikit sesak dilalui dengan berhati-hati.


"mana Anum tahu nama dia?"


"Anum tanya dia. Takkan nak panggil encik encik je."


Ain geleng kepala. "dia bukan boyfriend kak Laila, Anum. Bukan boyfriend kak Laila, faham?" Sungguh Ain tidak menyangka Anum boleh melakukan perkara tersebut.


Anum telan air liur saat mendengar suara kak Ain yang sedikit tinggi.


"kenapa Anum jumpa dia. Anum tak kenal dia. Tahu tak bahaya. Kan kak Ain dah pesan banyak kali. Jangan bercakap dengan orang yang kita tak kenal. Sini bukan macam kampung. Macam-macam boleh berlaku. kalau jadi apa-apa kat Anum, kak Ain nak cakap apa dengan mak Anum,haa? Anum ni degil la!"


Laila toleh memandang Ain. Kepala digeleng perlahan.


Jeda.


Ain memarkir kereta di tepi Telawi 5.


Suasana terus sepi.


"Anum minta maaf. Anum minta maaf kak Laila...kak Ain. Anum..Anum cuma nak encik Wazif tu tak tunggu depan rumah lama-lama. Anum kasihan kat dia. Tu Anum jumpa dan cakap dengan dia kata kak Laila takda kat rumah."


Ain urut pelipis. Laila hanya menundukkan kepala.


"Anum ingat encik Wazif tu boyfriend kak Laila sebab dia cakap..."


"dia cakap apa?" Ain sudah memotong. Tidak sabar.


Anum tersentak. Terkejut. Laila memandang pada Ain. Tajam. Tidak gemar Ain memperlakukan Anum sedemikian. Laila tahu niat Anum. Gadis itu polos tindakannya. Tiada sebarang niat terselindung. Laila tahu Anum tidak mengerti apa-apa. Anum tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi antara Laila dan Wazif.


"dia..dia cakap kak Laila orang yang sangat penting dalam hidup dia. Seorang yang dia cari sejak sekian lama. Seorang yang pernah dia musnahkan kebahagiaan hidupnya." Ain terdiam. Tidak mampu berkata apa-apa. Wajah tenang Laila direnung.


Memang dia yang musnahkan kebahagiaan hidup aku!


Aku benci, dia!


Benci!!!!


Laila memandang keluar cermin tingkap. Langit malam yang pekat ditatap. Bibir dikemam. Kuat. Ada desiran rasa yang sedang sayu berdendang di jiwa. Ada suara comel manja yang tengiang-ngiang di cuping. Dipejam mata. Rapat. Dia mahu menangis.


Sofi..umi rindu, Sofi sayang...


umi rindu Sofi...

Saturday, October 29, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 3



Bab 3




Cahaya bulan berserakan di hamparan langit yang terbentang. Mata bundarnya terus memaku sinar pada wajah langit. Bayu malam yang sesekali meniup terdesir menerbangkan helaian rambut yang menutupi dahi. Ditolak perlahan ke tepi cuping. Kata-kata Ain berulang tayang di gegendang. Seraut wajah yang menghancur-lumatkan hati terlayar lagi. Keluhan berat terhambur keluar. Mengapa mesti ditemukan lagi dia dengan lelaki yang begitu dibenci sepenuh jiwa. Mengapa perlu lelaki itu hadir lagi didalam hidup ini. Mengapa mesti dirinya ini dicari lagi. Untuk apa lagi. Dia sudah tiada apa-apa lagi. Sofi sudah tiada.

Zahwan Wazif. Laila tidak akan lupa nama itu sampai bila-bila. Tidak akan dilupa wajah itu hingga akhir nyawanya. Tangan meraup wajah. Berkali-kali. Mengapa hidup barunya yang baru berputik tunas harus digoncang dengan kehadiran lelaki ini. Kemunculan yang satu masa dahulu tidak pernah diduga akan meranapkan kebahagiaan hidupnya dan Sofi.

"cik Fahratul Laila Haji Umar." Sesusuk tubuh kemas terpacak dihadapan pintu pejabat ketika dia sedang sibuk mengemaskini kertas kerja untuk pembentangan kepada pelanggan yang akan dikendalikan esok. Telinganya terpanar seketika. Nama penuhnya disebut. Tidak pernah begitu selama dia berkhidmat di E&O Group. Raut tampan penuh karisma dihadapan membuatkan diri tertanya-tanya. Siapa dan apa mahunya lelaki ini. Tidak pernah dilihat sebelum ini lelaki yang sedang berdiri dihadapannya saat ini.

"saya." Tubuh ditegakkan. Mata mereka masih saling memandang. Seulas senyum itu dibalas. Adab sesama manusia harus dijaga. Pesan umi dan walid masih kukuh terpahat di hati. Salam yang dihulur hanya dibalas dengan anggukkan sambil kedua-dua tapak tangan dilekatkan ke dada. Terlihat anggukkan perlahan pada wajah dihadapan.

"saya Zahwan Wazif dari Hanafiah & Co. Peguam Puan Aliyana dan Encik Fakhrul." Laila telan air liur. Debaran didada tiba-tiba menyerang saat kedua-dua nama itu disebut. Ada nyanyian tidak enak sedang berlagu di jiwa. Nafas mulai sesak. Seraut wajah comel Sofi pantas memenuhi ruang minda. Aliran darah ke pembuluh untuk ke jantung memecut kencang. Bibir digigit. Kuat.

"ini..." sehelai sampul bersaiz empat segi tepat sederhana besar diserahkan kepada Laila. Disambut lemah. Jari-jemari menggigil. "surat tuntutan Puan Aliya dan Encik Fakhrul untuk mendapatkan hak penjagaan penuh ke atas anak mereka, Aya Sofya binti Abdullah yang kini dalam jagaan cik Laila."

Laila geleng kepala. Laju. Sampai hati kau, Liya...

"Saya takkan serahkan Sofi pada mereka. Aya Sofya milik saya. Aya Sofya hak saya. Sofi anak saya!" Lantang jeritan yang terlontar. Tidak mampu dikawal. Seluruh tubuh Laila menggigil. Surat ditangan pantas diceraikan. Lumat. Lalu dihumbankan ke dalam tong sampah dikiri meja.

"Bukan ditangan kita keputusannya. Mahkamah syariah akan tentukan masa depan Aya Sofya. Cik Laila kena hormat undang-undang. Sila hadir ke mahkamah pada tarikh yang akan diberitahu kelak."

Kolam mata yang berkaca-kaca pecah akhirnya. Melimpah. Tubuhnya terhenyak di kerusi baldu merah hati. Esakan kecil terlontar. Malu dibuang jauh-jauh. Laila bingung. Buntu. Tidak langsung menduga Aliya nekad dengan niatnya mahu mengambil semula Sofi.


"Liya dah janji, encik. Liya dah janji Sofi anak saya sampai bila-bila. Liya takkan ambil Sofi. Liya takkan tuntut Sofi. Kau tipu aku, Liya. kau tipu aku. Sampai hati kau, Liya. Tolonglah encik. Tolonglah jangan ambil Sofi. Saya tak boleh hidup tanpa Sofi. Tolonglah."


Ada air hangat yang mengalir di tubir mata. Diseka dengan jari. Mata terus terpahat pada hamparan langit yang pekat gelap.


* * * * * * *


"Aku minta maaf."


Suasana hening disapa dengan lontaran suara yang sedikit serak. Langkah kaki lambat-lambat mendekati katil. Ain melabuhkan duduk di birai katil. Perlahan sekali. Kepala menoleh sekilas pada susuk tubuh bersalut pijama putih yang sedang bersandar di kepala katil sambil penuh takzim mengadap skrin IBM di riba. Tiada kata-kata yang keluar dari mulut itu. Terkunci rapat. Tiada sedikit reaksi yang dipamerkan. Wajahnya tetap tegun di skrin empat segi dihadapan. Ain tunduk seketika. Mencari ruang untuk meneruskan bicara.


Sepi.


"aku tak berniat nak buat kau teringat kembali kisah dahulu. Sungguh. Percayalah, tapi aku tahu aku sudah mengguris hati kau tanpa aku sedari. Aku minta maaf, Laila."
Laila masih bisu. Hanya jari-jemari runcingnya yang terus berbicara di lantai papan kekunci IBM hitam. Rancak sekali. Mata bundar miliknya melekap pada wajah empat segi di riba. Ain hanya mampu membatukan diri. Tidak tahu harus berkata apa lagi. Mati ilham. Terkunci semua kalam kata. Menghadapi Laila yang sekarang ini bukan seperti menghadapi Laila yang dahulu. Memang diakui salah dirinya. Memang salah lidahnya yang terlanjur menutur kata-kata.


Bukan dia tidak tahu apa yang telah terjadi antara Laila dan lelaki yang mencetuskan kedinginan antara mereka saat ini. Bukan dia tidak melihat apa yang telah dialami teman rapatnya ini sangat berkaitan dengan lelaki itu. Lelaki itu adalah pemusnah hidup bahagia temannya ini bersama Sofi dahulu. Dia menjadi saksi segala penderitaan yang dilalui Laila selama lima tahun ini. Lelaki itu puncanya. Laila yang hampir lumpuh seluruh jiwanya. Laila yang hampir mati semangatnya. Laila yang hampir hilang arah hidupnya. Semuanya kerana kesan daripada kehilangan Sofi. Dan kerana lelaki itulah, Laila hilang Sofi. Hilang buat selama-lamanya. Satu-satunya permata hati yang memberi sinar bahagia didalam hidup temannya ini dikala semua orang sekeliling yang rapat dan akrab memadamkan suluhan cahaya mereka buatnya. Sofi adalah segala-galanya didalam hidup Laila. Demi anak kecil yang comel dan lincah itu, Laila sanggup berkorban segalanya. Diharung semua. Diredah semuanya tanpa sedikit rasa sesal dan kesal. Tidak juga berjauh hati dengan sikap sekeliling. Ditabahkan hati. Semua demi si kecil Sofi yang tidak berdosa.


Kematian Sofi yang tidak terduga dan berlaku di depan mata satu tamparan paling hebat buat Laila. Dipangkuan Laila, Sofi nan comel menghembuskan nafas terakhir. Saat yang merengut sama seluruh jiwa dan semangat seorang Fahratul Laila. Pemergian Sofi turut membawa sama jiwa dan semangat uminya ini. Laila bagai turut sama mati biar nafas masih terpahat di tubuh. Memang benar bukan teman serumahnya ini yang mengandungkan Sofi. Memang benar juga bukan teman serumahnya ini ibu kandung kepada Sofi. Namun pada hakikat setiap mata yang memandang, pada cuping telinga yang mendengar, hati yang menilai hubungan antara kedua-dua insan ini, tiada siapa yang akan dapat menafikan Sofi adalah milik Laila. Hidup Laila demi Sofi. Hidup Sofi untuk Laila.


Ain tahu dan dia menjadi saksi akan kesukaran Laila menerima kenyataan maha pahit ini. Ain menjadi saksi kepayahan Laila bangkit dari keparahan jiwa akibat pemergiaan Sofi. Ain bersyukur setelah lima tahun usaha dan doanya dimakbulkan yang Esa. Teman rapatnya ini kembali semula sebagai Laila. Biarpun bukan sepenuhnya Laila yang dikenali dahulu, sekurang-kurangnya Laila sudah dapat menerima kenyataan. Menerima takdir yang tersurat buat dirinya.
Dan kini setelah hampir sembuh dari keparahan jiwa yang cukup memilukan, insan yang paling tidak ingin ditemui hadir kembali di dalam hidup Laila. Kehadiran yang mengocakkan kembali jiwa Laila yang baru sahaja menemui ketenangan. Bertandang saban hari tanpa jemu demi menagih sebuah kemaafan. Dan malam ini entah apa silapnya mulutnya ini lancang sahaja menutur bicara tentang lelaki itu dan menagih simpati Laila tanpa berfikir akan perasaan teman akrabnya ini. Di mana agaknya kewarasan akalnya sebentar lagi. Entah apa agaknya yang merasuk. Ain mengutuk diri sendiri.
Laila angkat wajah perlahan. Mata melirik pada tubuh dihadapan. Tubuh Ain yang menundukkan wajah di hujung birai katil. Sugul. Khali suasana bilik yang diterangi cahaya lampu tidur di kiri dan kanan katil. Nafas dihela dalam dalam. Lafaz istighfar diucap berulang kali. Mata kembali dibawa pada skrin empat segi diriba. Jari-jemari menari pantas sebelum wajah skrin empat segi itu ditutup dan diletakkan ke meja sisi disebelah kanan kepala katil. Diengsutkan tubuh perlahan-lahan ke hadapan. Duduknya kini disaingkan disebelah teman serumahnya itu. Laila tahu dia tidak sewajarnya terlalu beremosi sebentar tadi. Dia gagal mengawal perasaannya. Dia sudah mencuba. Ternyata dirinya gagal. Setiap kali memandang wajah itu, dia akan terlihat Sofi. Sofi yang berlumuran darah. Sofi yang berteriak halus memanggil namanya dalam penuh kepayahan disaat akhir nafasnya. Sofi yang akhirnya kaku dipangkuan.


Mata dipejamkan. Rapat.


Sofi...


Tangan meraih bahu Ain. Dielus lembut. Ain menoleh. Mata mereka berlaga. Bertatapan seketika."


"aku minta maaf."


Ain geleng.


"Aku yang harus minta maaf. Aku yang mulakan. Aku yang tak patut. Aku yang lancang mulut."


Tangan Ain digenggam erat. Dijatuhkan kepala pada bahu teman rapatnya ini. Ingin melepaskan lelah dijiwa seketika.


Jeda.


"aku dah cuba, Ain." Kepala Ain mengangguk laju. Genggaman dieratkan.


"tapi hati aku akan menangis bila terpandang dia. Hati aku sakit bila lihat dia. Hati aku yang baru sembuh lukanya ni bagai ditikam semula bila dia terpacak di depan mata. Aku nampak Sofi di wajah dia, Ain."


Dihela nafas lembut.


"biarlah hati ini yang memberi isyarat untuk langkah aku seterusnya. Samada..." kepala yang tersalai dibahu Ain ditegakkan. Wajah teman akrabnya itu direnung.


"akan menerima atau menolak, biarlah hati ini yang memutuskan. Aku akan terima keputusannya. Aku yakin pada pilihannya. Hati aku ini tidak akan sesekali menganiaya diri ini kerana dia paling mengetahui apa yang telah aku lalui. Suka duka. Pahit manis. Segalanya."


Kepala Ain mengangguk lagi untuk kesekian kalinya. Mata mereka terus bertatapan.

Thursday, October 27, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 2



Bab 2


Longlai langkah diseret ke arah halaman rumah. Wakaf sederhana besar di sudut taman orkid umi yang sedang rancak berbunga dituju. Dilonggar ikatan tali leher. Lengan kemeja biru muda yang tersarung ditubuh dilipat hingga ke pangkal siku. Helaan nafas panjang dilepaskan sambil punggung dilabuhkan pada lantai cengal yang licin berkilat kesan varnis yang jelas masih baru. Mata suramnya disorotkan pada satu dua kenderaan yang melalui jalan dihadapan banglo milik walid dan umi.


Zahwan Wazif meletakkan kedua-dua belah tangan tegak ke kebelakang dengan tapak tangan ditekankan sedikit pada permukaan lantai cengal. Nafas terus menghirup udara malam yang mula menjengah keluar. Mata dibawa memandang ke kaki langit malam yang cerah. Kepulan awan putih yang bertompok-tompok bagaikan pulau-pulau kecil di laut direnung seketika. Minda dibawa menerawang wajah malam yang baru membuka tirainya.


Suara angin malam dingin yang seakan-akan menggigil menderu laju masuk ke dalam cuping. Deruan yang membelai tangkai-tangkai orkid umi yang bergantungan lalu melenggok-liuk bagaikan batang-batang tubuh manusia yang sedang menari mengikut rentak irama yang mengasyikkan. Helaan nafas berat dilepaskan. Disandarkan tubuh pada tiang. Tangan yang tadinya menekan lantai kini dibawa melilit abdomen tubuh. Dada turun naik mengepung nafas yang seiring berlari dengan denyutan nadi. Seperti selalu sejak lima tahun diri terus tenggelam dalam kenangan pahit silam yang tidak dapat dihapuskan dari menguasai minda. Malam terus mengejek dirinya. Bulan terus mentertawakannya. kedua-dua saling mengutuk dirinya. Mengecam dirinya.


Laila....


Aya Sofya...
Kedua-dua figura itu silih berganti di ruangan pancaindera mata. Wajah comel Aya Sofya yang mesra dipanggil Sofi paling kerap meniti dipinggir kolam hati. Senyuman dan ketawa itu terngiang-ngiang saban malam. Mengejarnya siang dan malam. Menghambat diri walau dimana jua. Dia rasa begitu tertekan sekali. Barangkali benar dia yang bersalah. Barangkali benar dia yang berdosa. Salah dan dosa yang tidak mungkin akan terampun. Wazif merasakan begitu. Dosa itu seolah-olah terus mengekorinya selama lima tahun ini. Setiap saat dan ketika. Kerana dia, kehidupan bahagia sebuah keluarga kecil musnah. Kerana mahu mempertahankan undang-undang ciptaan manusia, nyawa seorang insan comel tersungkur. Dirinya terus dicengkam rasa berdosa bila mengenang kembali tangisan, jeritan dan raungan Laila saat tubuh kaku Aya Sofya terdampar di jalanan. Lencun darah merah pekat yang membasahi seluruh tubuh kecil itu masih segar di mata. Sukar dipadamkan sampai kini. Dan dosa itu makin menghimpit dan mengancam saat mengenangkan tubuh Laila yang kaku di pusara Aya Sofya semalaman!


Kacau bilau jiwa Laila kesan pemergian tragis Aya Sofya sukar dihakis dari ingatan. Terus mengugutnya kerana dialah punca semua ini. Betapa rasa sesal ini tidak terhitung sakitnya. Jika dia tidak bersetuju dahulu tentu alur hidup Laila tidak akan begini sudahnya. Jika dia tidak gelojoh mempamerkan ego yang mula bertaring di jiwa ketika itu pasti dia tidak sengsara menanggung akibat salah percaturannnya dahulu dan rasa bersalah serta berdosa yang melampau-lampau ini tidak akan terus mengekori dan menghantui hidup.


Tak guna lagi rasa bersalah awak itu...


dapat awak kembalikan dia pada saya semula kalau saya dengar penjelasan awak ni? dapat awak kembalikan kebahagiaan saya yang awak ambil lima tahun dahulu kalau saya dengar penjelasan awak ni?"


Maafkan saya, Laila...


Tolong maafkan saya, Laila...


"Zif..." Kepala ditoleh.


"umi..." Senyuman manis diberikan. Tangan umi diraih dan dikucup penuh hormat.


"kenapa tak masuk lagi. Sejuk kat luar ni." Suara lembut umi terus membuai. Senyuman makin lebar.


"lepaskan penat sekejap umi. Panas badan ni. Melekit."

Khali sejenak.

"dapat jumpa?" Mata diangkat. Redup wajah umi dijelajah. Gelengan perlahan dihadiahkan sebagai jawapan.

"hati dia keras, umi."


Terasa ada elusan lembut di kura tangan. Mata memandang raut lembut wajah umi. Ada curahan rasa simpati yang bergantungan pada wajah umi. Wazif tidak tahu bagaimana mahu meluahkan rasa sesal dan sakit yang saling berguling di jiwa.


"sakit kehilangan ini bukan boleh digambarkan dengan kata-kata. Apa lagi melibatkan nyawa insan yang paling dikasihi. Ia..." Tangan umi melekap di dada. Kejap sekali. Mata Wazif terkesima disitu. "di sini." Wazif telan air liur.


"hati ini kawasan Allah. hak mutlak Dia. Kita manusia tidak akan mampu menyentuhnya. Apalagi mahu menafsirkannya. Membayangi apa yang terisi..tertulis di situ juga jauh sekali. Yang boleh.." Telunjuk umi berpindah ke tepi pelipis. " Cubalah selami dan tawan emosi dan fikirannya. Hanya itu wilayah yang manusia mampu kuasai."


Wazif geleng perlahan. "mungkin ini balasan Tuhan atas perbuatan Zif, umi. Zif dah membunuh,umi. Membunuh satu jiwa...satu nyawa. Zif dah musnahkan sebuah kehidupan yang satu waktu dahulu begitu bahagia sekali. Zif berdosa besar, umi."


"Tuhan itu maha pengampun dan pengasih. Umi tahu anak umi tidak berniat begitu. Tuhan maha mengetahui apa yang tersirat didalam hati anak umi ini."


Wazif masih belum mampu berpuashati dengan pujukan umi.


"Walau gembira selepas lima tahun cuba menjejak dia, Tuhan makbulkan doa Zif dengan temukan kami semula, tapi.." Nafas dihela dalam-dalam. Wajah Laila terlayar di mata.


"dia dah lain. Dia bukan Laila yang Zif kenal dahulu, umi. Dia dingin. Dia keras. Dia beku. Zif..Zif mati kata-kata. Zif tak tahu lagi bagaimana cara mahu menerangkan pada dia. Dia tolak Zif terus."


"Zif kena sabar. Zif kena beri dia ruang dahulu. Ruang untuk dia kembali tenang. Ruang untuk kembali berfikir. Emosi dia belum sepenuhnya sembuh. Fahaminya jiwa dia dahulu,hmmm. Dunia guaman ini banyak cabaran juga dugaan. Umi tahu. Umi dah lalui itu semua. Umi faham perasaan anak umi. Apa yang umi harapkan anak umi jangan putus-asa,insyaallah. Umi akan terus doakan yang terbaik buat anak umi." Tangan lembut umi terus membelai kura tangan. Dibalas elusan umi. Dilebarkan senyuman biarpun hati bagai belum menjanjikan serakan pelangi indah yang sekian lama didambakan.


* * * * * * *


"bila pegawai Kementerian Penerangan tu nak ambil Gong Perak ni, Kak Munah?" Laila membelek catatan inbois yang baru diserahkan pembantu jualan kaunter barangan Perak kepadanya. Sewaktu pulang dari mesyuarat dengan Perbadanan Kraftangan Laila diberitahu oleh kak Munah ada pegawai dari Kementerian Penerangan yang datang bertemu dengannya minggu lepas datang lagi mahu mengesahkan tempahan Gong Perak seperti yang disebut dalam pertemuan pertama mereka.


"kata encik Fahmi, lusa cik Laila. Kak Munah dah mintak Zarith call Ah Ming. Katanya datang kejap lagi. Nak suruh si Ah Ming ukur untuk buat casing dengan engrave wording sekali. Diaorang nak casing kaca, cik Laila." Laila mengangguk sambil membuat sedikit catatan pada buku inbois ditangan sebelum diserahkan kembali kepada pembantu jualan yang dipanggil kak Munah.


"kak Munah dan periksa stok? cukup?" Laju kepala kak Munah mengangguk.


"cukup, cik Laila." Laila senyum.


"oklah, terima kasih kak Munah. Nanti saya telefon encik Fahmi tu. Kak Munah uruskan dengan Ah Ming. Ni regular customer kita kak Munah. Kena pastikan dia puashati dengan produk dan service kita. Nanti mintak Zarith uruskan driver untuk buat penghantaran. Macam biasa, kak Munah kena ikut driver kita sekali nanti masa penghantaran."


"baik cik Laila. Kak Munah faham. Kak Munah keluar dulu." Berbalas senyum dan saling menganggukkan kepala. Tombol pintu ditarik perlahan dari luar.


Butang speaker telefon dihadapan diaktifkan. Jari-jemari laju menekan nombor-nombor yang tertera diminda. Terdengar nada deringan sebelum bunyi gagang diangkat dan ucapan salam dihulur.


Dibalas.


"waalaikumsalam. Encik Fahmi. Fahratul Laila dari Karyaaneka Kraf. Maaf encik Fahmi saya tak dapat entertain encik Fahmi tadi. Datuk KP panggil mensyuarat tergempar pulak. Habis semua tergempar pagi-pagi ke bilik mesyuarat." Ketawa ditalian sana nyaring berpadu dengan ketawa halus Laila.


* * * * * * *


Laila angkat wajah. Seketika sebelum tunduk kembali mengadap pinggan yang masih tersisa separuh mee goreng yang dibeli sewaktu perjalanan balik tadi. Anum langsung tidak berdetik. Tunduk sejak mula sambil mulut terus mengunyah menghabiskan hidangan makan malam yang dimasaknya. Ain terus memaku pandangan pada seraut wajah indah dihadapan.


"jumpa lah dia, Laila. Aku kesian tengok dia. Orang kiri kanan tengok. Tiap-tiap hari Harrier dia terpacak kat depan tu."


Laila senyum sinis. Mulut terus mengunyah. Enggan melayan.


Anum mencuri pandang kedua-dua teman serumah tempat dia menumpang. Kak Ain adalah kakak sepupu yang membawa dia tinggal di rumah teres dua tingkat ini. Menurut kak Ain, rumah ini milik Kak Laila. Kata kak Ain lagi kak Laila temannya sejak di universiti lagi. Tidak banyak yang diketahui tentang kak Laila kerana kakak sepupunya itu tidak banyak membuka mulut tentang kak Laila. Anum juga segan untuk bertanya. Nanti dikatakan menyibuk pulak. Dia masih ingat pesan mak sewaktu mahu berangkat ke Kuala Lumpur selepas mendapat tawaran pekerjaan sebagai kerani di Jalan Pantai. Kata mak, pandai-pandai membawa diri di rumah orang. Jaga perlakuan dan tutur bicara. Cuma yang dia pasti kebelakangan ini ada seorang lelaki tampan yang saban hari menunggu di luar pagar mahu berjumpa kak Laila, namun tidak pernah dihiraukan kak Laila. Dan sekarang ini lelaki itu menjadi topik perbualan antara kak Ain dan kak Laila. Dia tidak pasti apa hubungan lelaki itu dengan kak Laila.


"Laila.." Ain terus memujuk.


"aku..kau tak kesian ke."


Ain geleng kepala. Nafas deras dilepaskan.


"Laila, kau macam tak kenal aku..."


"atau kau yang dah tak kenal aku lagi."


"Laila..." Mata keduanya saling merenung. Tajam. Anum telan air liur. Laila angkat tinggi tangan kiri.


"Ain...tolong hormat perasaan aku. Tolong. Jangan sebut tentang ni lagi."


"Lailaaa...cuba la faham maksud aku."


"Kau mungkin boleh melihat dan menjadi saksi apa yang dah terjadi pada aku dahulu Ain, tapi kau tak akan dapat merasa apa yang yang ada dalam hati aku ni. Tak akan, Ain. Sampai saat ni aku tak boleh lupa. Tak boleh lupa, Ain. Kerana dia, aku hilang Sofi. Kerana dia Sofi mati. Kerana dia, Aya Sofya aku mati!!!!" Laila tolak kerusi. Langkah laju dibawa keluar dari ruang dapur. Anum terkebil-kebil. Tidak mengerti apa-apa. Ain mengetap bibir. Tangan kiri mengelus ubun-ubun kepala. Wajah comel Sofi terdampar di meja.

Monday, October 24, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 1


Bab 1

"Laila..."


Pintu bilik air diketuk beberapa kali dari luar. Laila tahu suara siapa yang berkumandang. Dibiarkan sahaja suara itu menjerit. Tidak dihiraukan. Sahaja mahu menduga si pelantun suara. Lebih tepat mahu mengusik. Tangan terus menggomol rambut panjangnya yang baru dilumur Sunsilk. Manik-manik jernih yang tajam dan lebat menuruni lubang pancuran yang entah berapa banyak itu dihalakan ke arah kepala yang memutih dengan buih.

"Fahratul Laila!!!!" Gema suara diluar bilik berpadu dengan desiran kuat air yang turun dari pancuran. Dalam mata yang terpejam dek pedih buih-biuh putih yang mengerumuni wajah bibir sempat menguntum senyum.


"ya...aku dengar." Jeritnya dengan mulut yang dibasihi air yang laju turun dari pancuran besi di atas kepala.


"kau mandi ke?"

Lagi mahu tanya!

"taklah...aku berenang!" Makin lebar senyum Laila. Ketawa yang sedikit tergelincir dipancung.


"ooo....kuak lentang la tu kan. Sebab tu aku sahut nama kau sampai lari pitching suara aku kau tak boleh nak sahut ek."

"taklah. Kuak dada!"
"kerek la perempuan ni..."


"kau tu kerak..."


Pecah ketawa. Didalam dan di luar bilik mandi.


Khali seketika.


"Lailaaaa..."

"iye sayang...." Sengaja digemersikkan suara. Lembut. Halus. Menggoda. Terdengar ketawa mengilai di luar pintu. Itu memang trademark teman serumahnya yang satu itu. Semua penghuni yang tinggal dirumah ini akan sedia maklum jika terdengar bunyi ketawa sedemikian pastinya milik Irfa Ain.

"mintak nasi goreng yang kau masak tu sikit. Aku nak bawak bekal gi office. Malas nak gi kafe."

"Ambik je la. Kau memang malas pun."

"macih...love you...muuaahhhh."

" eei...geli."

"wahai perempuan di dalam, tak payah la berenang lama-lama dalam tu, kau bukannya pakai life jacket. Karang lemas lagi. David Hasselhoff dah pencen tau."


"tak payah. Aku kan Jenny Thompson Malaysia. Kau lupa ye."


"berlagak!"


Ketawa lagi.


"dah la, aku chow dulu. Sudah-sudahlah berenang tu, kuak dada tak baik untuk kesihatan. Nanti dada kau yang sedia mengembang tu bertambah kembang pulak."


"Ain!!!!!!!!!!!!" Terdengar ketawa menggilai yang lebih kuat di luar.

Sepi seketika.


Pintu diketuk lagi.


"apa lagi Cik Irfa Ain..."


"er..kak Laila, Anum ni kak. Kak Ain baru gi keje..."

Tangan terhenti membilas rambut. Mata dikelipkan seketika.

"ada apa Anum." Suara diperlahankan. Pancuran air dihentikan seketika.

"er..orang tu datang lagi kak. Ada kat luar pagar."

Nafas terasa dikepung. Sesak lohongan untuknya bernafas. Kedua-dua belah tapak tangan saling menggenggam.



* * * * * * *

Sepasang kaki berbalut tumit tinggi Vincci hitam melangkah masuk ke Karyaaneka Kraf. Sepasang kebaya labuh rona ungu muda yang lembut bersulam nada yang lebih gelap tersarung anggun di tubuh kecil moleknya. Tudung ungu gelap yang tersarung dikepala menambahkan lagi keserasian warna yang terpancar. Sepasang brooch mutiara yang dibeli ketika menghadiri kursus anjuran Perbadanan Kraftangan di Kota Kinabalu menghiasi di biri dan kanan bahu. Tersemat kemas di hujung tudung. Pintu kaca yang sudah terbelah dua itu menyambut kedatangannya dengan senyuman dari Zarida yang duduk di meja penyambut tetamu.

"Assalamualaikum. Pagi cik Laila."

Senyuman manis penyambut tetamu itu dibalas mesra.

"waalaikumsalam. Pagi Zarith. Awak dah sarapan?" Kepala gadis manis berkebaya pendek nyonya rona jingga muda dari kain kasa rubia itu terangguk kecil. " bawak sandwich dari rumah. Jimat cik Laila. " Laila kenyit mata sambil menunjukkan isyarat bagus. Tangan kanan yang memegang beg kertas ungu berjalur putih dihalakan pada Zarida. Senyuman mereka berpadu. Langkah diatur masuk kedalam premis. Beberapa orang staff yang juga memakai kebaya pendek nyonya sama seperti Zarida dilihat sedang tekun mengemaskan kaunter jagaan masing-masing. Senyuman manis Laila terus ditabur pada setiap staff yang menoleh pandang sambil mengganggukkan kepala padanya.

Tombol pintu yang memisahkan bilik dengan ruang pameran diputar perlahan. Diloloskan tubuh ke dalam perut bilik. Ditutup pintu perlahan. Suis ditepi dinding batu ditekan. Bilik yang tadinya samar kini terang bercahaya. Langkah diatur mendekati meja separa bulat dihadapan. Ditarik sedikit kerusi beroda lima berwarna merah hati. Dilabuhkan punggungnya. Tas hitam Vincci yang berbentuk empat segi diletakkan di atas riba. Ditarik zip. Tangan dimasukkan kedalam. Menyelongkar. Segugus kunci dibawa keluar. Nokia N9 turut dikeluarkan. Diletakkan diatas meja gajet berkenaan. Disorongkan sekeping anak kunci kecil ke lubang tengah laci di kirinya. Ditarik perlahan laci. Tas tangan dicampakkan ke dalam. Mata menekan suis Ienovo Thinkpad dihadapan. Sementara menanti paparan seterusnya, Nokia N9 disambar. Mata membulat. Ada pesanan yang tidak dibaca. Dahi berkerut. Bila pula pesanan ini masuk dan mengapa dia langsung tidak sedar. Mata meneliti keseluruhan skrin. Kepala menggeleng. Sungguh dia terlupa memadamkan silence mode pada telefon tangannya sejak dari malam tadi. Ditekan butang hijau.

aku nampak kereta dia tadi masuk masa aku kat simpang keluar. Dia jumpa kau?

Diletakkan kembali gajet komunikasi itu ditengah meja kaca dihadapannya. Disandarkan tubuh pada leher kerusi. Digoyangkan kepala ke kiri dan kanan..perlahan. Dipejamkan mata seketika. Helaan halus nafas yang keluar dari rongga terdesir di cuping. Kenangan pagi tadi berlegar diruangan minda.

Diselak langsir putih yang menutupi wajah jendela. Dijengah memandang ke bawah. Diluar pagar Harrier Hitam terparkir betul-betul di tepi pohon mangga yang sedang lebat berbunga. Dengusan kasar dilepaskan. Dihempaskan tabir langsir. Tubuh dibawa ke hujung katil. Ikatan tuala dikepala ditanggalkan. Rambut yang masih basah terurai. Digosok-gosok dengan tapak tangan. Ditarik pengering rambut di hujung meja sisi katil. Ditekan suis. Dihenyakkan tubuh kecilnya diatas hamparan yang sudah siap dikemaskan sebelum melangkah ke bilik mandi tadi. Bunyi yang tercetus dari pengering rambut bagai menambah suhu yang makin membahang didalam tubuhnya. Diketap bibir. Kuat. Tangan terus mengurai-urai rambut bersama pengering rambut dihalakan ke arah rambut.

Dari aras dua mata memandang ke arah ruang tamu di bawah. Anum sedang terbaring mengadap peti empat segi di atas riba. Langkah kaki diatur menuruni tangga. Dibawa terus ayunan kaki ke meja makan di ruang makan. Sebuah bekas tupperware berwarna merah jambu dicapai.

Kepala menjenguk ke ruang tamu.

"Anum...dah sarapan?"

"dah kak Laila."

Tangan pantas mencapai senduk plastik didalam mangkuk nasi goreng yang dimasak selepas subuh tadi. Masih banyak lagi. Sengaja dimasak lebih. Disenduk lalu dimasukkan ke dalam bekas tupperware. Terdengar langkah Anum memasuki ruang makan. Dibiarkan sahaja. Mata terus difokuskan pada mangkuk nasi dan bekas tupperware di hadapan.

"kak Laila..."

"hmmm..."

"er..orang tu ada lagi kat luar la kak."

"takper. Biarkan je dia."

"dia mesti tunggu akak keluar tu. Dia mesti tau akak ada lagi kat dalam rumah. Myvi putih akak tu dia kenal."

Senyum.

Dikemaskan penutup tupperware. Diangkat lalu dimasukkan ke dalam beg kertas ungu muda berbelang putih. Langkah diatur ke muka pintu utama. Wajah Anum yang cemas sambil mengekori dibelakang direnung.

"Tutup pintu. Jangan pergi mana-mana. Sekarang orang memang tak boleh percaya. Apa-apa call kak Laila atau kak Ain,hmmm." Anum mengangguk laju.

"er..kak Laila...orang kat luar tu.." Telunjuk Anum dihala ke arah pintu.

Laila senyum.

"jangan risau. Akak uruskan dia, ok." Tangan menarik tombol pintu.

Ditekan punat ditangan. Langkah dibawa mendekati Myvi putih yang terparkir di halaman. Pintu pagar yang sedia terbuka dipandang sekilas. Sesusuk tubuh sasa kemas berkemeja panjang biru lembut dipadankan dengan seluar panjang berwarna hitam sedang mengatur langkah mendekati Laila. Dibiarkan sahaja. Pintu kereta terus dibuka. Dibongkok tubuh sedikit. Diletakkan beg kertas berisi tupperware nasi goreng tadi di tempat duduk disebelah pemandu.

"assalamualaikum.."

Ditegakkan tubuh perlahan-lahan. Mata mereka berlaga. Senyuman manis di bibir itu dibiarkan sahaja. Tidak mahu dibalas.

"waalaikumsalam."

"saya perlu bercakap dengan awak, Laila."

"saya bekerja hari ini dan saya sedang dalam perjalanan untuk ke tempat kerja."

"lepas waktu kerja?"

Helaan nafas dilepaskan.

"awak nak apa lagi dari saya. Tak cukup ke apa yang awak dah ambil dari saya dahulu. Tak cukup lagi?"

"saya tahu saya bersalah. Saya..."

Senyuman sinis terlontar di wajah Laila.

"tak guna dah rasa bersalah awak tu pada saya lagi." Tubuh diloloskan masuk ke dalam perut kereta. Kunci disorongkan masuk ke punatnya. Diputar sekali lalu enjin tersedia bernafas.

"merata saya cari awak selama lima tahun ni, Laila. Saya tahu dosa saya pada awak takkan mungkin terhapus, tapi tolonglah dengar penjelasan saya. Awak perlu tahu apa yang sebenarnya terjadi."

Direnung tajam wajah tampan dihadapan.

"dapat awak kembalikan dia pada saya semula kalau saya dengar penjelasan awak ni? dapat awak kembalikan kebahagiaan saya yang awak ambil lima tahun dahulu kalau saya dengar penjelasan awaak ni?"

Lelaki dihadapan dilihat meraup wajah.

Ditarik pintu. Myvi bergerak keluar dari halaman. Mata sempat menoleh tubuh sasa itu yang masih menghantar pandangan padanya. Ditekan pedal minyak. Myvi meluncur laju meninggalkan kejiranan Taman Seroja.

Dicapai Nokia N9 ditengah meja. Direnung skrin sebelum jari-jemari runcingnya laju menari diatas papan kekunci. Aksara demi aksara ditekan memenuhi ruang skrin pesanan. Ditekan butang hijau. Tidak lama kemudian dendangan suara Anuar Zain memenuhi ruang pejabat. Ditekan butang hijau.

sampai bila kau nak mengelak. Dia akan terus buru kau. Dia takkan mengalah, Laila.

Bibir dikemam. Dilepaskan nafas. Dalam dalam.

Saturday, October 22, 2011

Kerana Aya Sofya - Prolog



Prolog




Hati yang terluka umpama sekeping besi mampat yang bengkok. Walau diketuk berkali-kali, sukar sekali kembali pada bentuk asalnya. Tidak akan boleh menyamai yang asal biar sedaya mana sekalipun cuba dikerahkan usaha menggunung. Usahlah membuang masa! Usahlah membuang tenaga. Tiada gunanya.



Begitu juga hati ini. Hati ini sudah kematu kerasnya. Tidak mungkin boleh dilentur ke bentuk asalnya. Hatinya ini sudah parah. Tidak akan boleh dirawat lagi. Tidak akan ada ubatnya biar hingga ke hujung dunia dicari. Biar diharung tujuh lautan. Tiada akan ketemu kerana satu-satunya belahan jiwa yang menjadi penawar hatinya sudah lama meninggalkan dunia juga diri ini. Penawar hidupnya selama ini. Dialah segala-galanya dalam hidup. Racun dan madu dialah jua. Perginya meluluhkan hati ini. Lebur jiwa ini. penawar hidupnya itu diragut dengan kejam. Tanpa rasa kasihan..jauh sekali ihsan kemanusiaan!



Perjalanan hidup ini bagai tiada ertinya lagi sejak belahan jiwanya pergi. Seluruh hidup ini bagai turut diusung pergi. Semangatnya mati. Dirasakan tiada gunakan lagi diteruskan perjalanan ini. Semuanya sudah tidak bererti lagi. Hanya tubuh kurusnya ini yang masih bernafas sedangkan jiwanya sudah lama tidak bernyawa. Dia bagai layang-layang di angkasa yang terbang tiada tujuan...tiada arah...tiada destinasi dituju.



Dunia ini memang terlalu kejam pada dirinya. Mengapa mesti diri ini terhukum sebegini. Mengapa mesti diri ini harus berdepan dengan musibah seberat ini. Dia sudah tidak terdaya lagi. Sungguh. Dia pasrah. Dia sudah hilang segala-galanya. Segala-gala yang amat bererti didalam hidupnya selama ini.


Sofi....mengapa tinggalkan umi, sayang.


Kerana Aya Sofya, dia rela dibuang walid dan umi. Kerana Aya Sofya, dia rela dihalau dari rumah yang memayungi hidupnya sejak menjengah dunia. Kerana Aya Sofya, dia rela diri dihumban dari salasilah keluarga Haji Umar dan Hajah Khadijah. Kerana Aya Sofya, dia rela namanya dipadamkan daripada keturunan walid dan umi sedangkan dialah anak kesayangan walid dan umi. Dia adalah waris keturunan walid dan umi. Tapi tidak selepas Aya Sofya hadir. Dia sudah dicop sebagai anak yang memalukan keturunan Haji Umar. Semuanya kerana dia mempertahankan Aya Sofya. Ya, semuanya ditelan demi kerana Aya Sofya.


Dan kerana Aya Sofya jugalah dia rela diputuskan ikatan yang bakal menjalin dua keluarga menjadi satu. Ikatan yang bakal mengeratkan hubungan dua keluarga yang sudah sekian lama saling mengenali. Dia rela kehilangan lelaki itu. Lelaki yang dahulunya cukup menyayanginya. Tapi tidak selepas Aya Sofya muncul. Dirinya ditolak. Dirinya dijauhi. Tiada lagi kiriman kata-kata manis yang sering menemani tidur. Dia akur. Dia tidak berkecil hati jauh sekali menyimpan dendam. Tidak guna diteruskan jika rasa percaya sudah tiada didalam diri lelaki itu terhadapnya. Tidak guna diteruskan jika nantinya akan menyeret mereka ke gaung kemelut yang berpanjangan. Tidak guna diteruskan jika akhirnya nanti akan menghumbankan mereka ke kancah penceraian. Nauzubillah. Dia tidak mahu membuat walid dan umi sedih. Cukuplah dia seorang yang menanggung segalanya malu yang terpalit pada mereka sekeluarga. Dia rela. Dia sanggup. Kerana Aya Sofya, dia rela.


Sofi..umi rindu, Sofi!


* * * * * * *


"umi, siapa uncle dan auntie tadi tu? Kenapa dia orang datang rumah kita,umi."


"err...mereka kawan umi, sayang."


"kawan umi? Sofi tak pernah tengok pun sebelum ni dia orang datang rumah kita."


"err..dia orang tak ada masa,sayang. Banyak kerja. Sibuk."


"Dia orang duduk jauh ye umi? Jauh yang kena naik kapal terbang ye, umi."


"err..ya ya. Jauh."


"oooh..."


"umi..."


"ya, sayang."


"kenapa auntie tadi tu tak pakai tudung macam umi? Ustazah kat tadika selalu cakap dosa kalau tak pakai tudung. Allah suruh semua perempuan kena pakai tudung. Nanti rambut dengan kepala kena bakar dekat akhirat kalau tak pakai tudung. Auntie tu tak takut ke rambut dengan kepala dia kena bakar,umi?"


"insyaallah, nanti Allah buka pintu hati auntie tu untuk dia pakai tudung ye sayang. Kita doa-doakan dia ye."


"umi."


"ya, sayang.."


"kenapa auntie tadi tu bila Sofi salam dia macam umi suruh tu dia terus peluk-peluk Sofi. Sofi tak suka lah umi. Dia peluk Sofi kuat laa,umi. Sofi rimaslah umi."


"tak baik cakap macam tu, sayang."


"yelah. Memang dia peluk Sofi kuat umi. Lagipun auntie tu dari dia mula masuk rumah kita dia asik tengok Sofi la, umi. Asik pandang je Sofi. Kenapa auntie tu macam tu, umi?"


"dia suka tengok anak umi ni agaknya. Kan anak umi ni cantik...comel. Kan, hmmm."


"yelah, Sofi kan anak umi. Umi kan cantik, mestilah Sofi pun cantik macam umi. Kan,umi."


"Sofi sayang umi?"


"sayang!..Sofi sayang umi."


"banyak mana?"


"seribu."


"seribu je? sikit!"


"seribu banyak la umi...teacher Maria cakap seribu tu banyak. Ada tiga kosong kat belakang nombor dia."


* * * * * * *


"Dia anak aku, Laila. Anak aku!"


"dia anak aku, Liya. Anak aku! Bukan anak kau!"


"Kau tak boleh nafikan hakikat sebenar tentang dia, Laila. Kau pergilah ke mahkamah mana sekalipun di dunia ni. Aku tetap akan menang. Kau takkan mampu menafikan hak aku terhadap dia. Aku ibu dia. Aku ibu kandung dia. Bukan kau!"


"sejak bila? cakap dengan aku sejak bila,haa?"


"aku yang lahirkan dia. Kau lupa? Dia yang duduk dalam rahim aku ni sembilan bulan sepuluh hari. Bukan dalam rahim kau! Kau nak nafikan itu. Jangan lupa Laila, hak aku atas dia tetap takkan gugur...tidak kira apa sekalipun situasinya."


"aku yang besarkan dia, Liya. Aku yang besarkan dia dari sejak dia dilahirkan. Kau..kau lupa tu Liya?"


"aku sedar sekarang. Sebab itu aku mahu hak aku semula."


"Kau lupa janji kita, Liya. Kau lupa. aku berkorban segalanya. Demi kau...demi Sofi."



"Sofi anak aku Laila. Aku mahu kau serahkan semula dia pada aku. Aku lebih berhak terhadap dia. Bukan kau."


"kau penipu, Liya. Kau pengkhianat! Aku takkan serahkan Sofi pada kau. Kau tak layak menjadi ibu Sofi. Kau memang tak berperikemanusiaan,Liya."


"Kita jumpa di mahkamah nanti Laila. Aku akan pastikan Sofi kembali ke pangkuan aku...ibu kandungnya yang sebenar. Kau pasti akan kalah Laila."


"sampai hati kau,Liya."


"hmm, sebelum tu terima kasih atas perngorbanan kau selama ini. Kalau kau mahu gantirugi, aku akan bayar. Kau sebut sahaja jumlahnya ok, Fakhrul akan uruskan cek pembayarannya nanti. Aku akan minta dia hantar sendiri pada kau...by hand!"


"setan kau, Liya!"

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...