Wednesday, May 11, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Bab 5






Bab 5




"Siti!!!!!!!!!!!!!"




Langkah Siti sudah terkocoh-kocoh menaiki tangga. Tangan menyinsing sedikit kain batik yang tersarung bagi mempercepatkan lagi langkahnya. Pintu bilik Zurene yang sudah ternganga didekati. Air liur yang bagai tersangkut di kerongkong gagah ditelan. Tubuh yang bersarung tee putih sendat tanpa lengan yang dipadannya dengan skirt lurus hitam paras lutut itu dipandang. Mata mereka bertembung. Siti lihat ada lahar pada pandangan itu. Dia gerun. Dia kecut perut.




"hei, kau pergi mana haa?" Zurene sudah merapati Siti yang tegak berdiri didepan pintu. Jari telunjuknya sudah singgah didahi licin Siti.




"saya ada dibelakang jemur baju, cik Zurene." Jelingan Zurene menyambut jawapan yang diberikan Siti.




"mana skaf yang aku suruh kau iron semalam?" Zurene bercekak pinggang sambil memandang tajam ke arah Siti. Sakit hatinya melihat ketenangan pada wajah cantik dihadapannya itu. Biar cuma berbaju kurung pendek yang lusuh dan berkain batik buruk serta wajah yang bersih tanpa secalit warna yang menyentuh kulit mulusnya, kecantikan gadisnya tetap terserlah. Zurene gigit bibir. Irinya makin membara.





“saya dah gantungkan dalam almari, cik Zurene.” Zurene mendengus sambil memejamkan matanya seketika. Wajah Siti yang menundukkan kepala di tenung tajam.





“siapa suruh kau gantung dalam almari? Ada aku suruh?” Siti telan air liur mendengar herdikan Zurene. Dadanya berombak kencang. Nafasnya turun naik tidak tentu hala. Mindanya cuba memutar semula peristiwa semalam. Dia memang pasti Zurene ada mengarahkannya menyimpan skaf berkenaan didalam almarinya apabila siap diseterika. Dia tidak salah mendengar. Setiap arahan Zurene tertulis di minda dan disimpan terus didalam pengkalan data kepalanya. Siti angkat wajah perlahan-lahan. Matanya memandang wajah Zurene yang memandangkan penuh benci. Hati rasa berdebar-debar. Dia tahu pasti Zurene mahu mengenakannya lagi. Ya, Tuhan lindungi hambamu ini..





“tapi semalam cik Zurene kata…” Siti tidak sempat menghabiskan kata-katanya bila tapak tangan Zurene keras menghentam kepalanya. Sakit. Sedikit bergoyang tubuh kurus Siti. Siti tahan diri dengan bersandar di pintu. Dia beristighfar dalam hati.





“aku kata apa haa? Cakap. Cakaplah bodoh!" Lengan Siti ditampar Zurene. Kuat. Siti hanya membatu. Kepala ditundukkan memandang kaki.





“ kau jangan pandai-pandai nak reka cerita. Dasar budak kampung penipu. Liar!" jeritan Zurene bergema menyebabkan Zaza dan Zara yang berada dibilik sebelah dan bilik hujung membuka pintu mereka. Kedua-dua kembar itu menggelengkan kepala. Langkah diatur memasuki bilik Zurene. Zaza pandang wajah sayu Siti yang hanya tertunduk dipintu. Hatinya dilimpahi rasa kasihan pada gadis pembantu rumah yang sudah dianggap seperti kakak sendiri. Zara mengambil tempat disebelah Siti. Bahu Siti diusap lembut.





“Sudah sudah la tu kak. Benda kecik pun nak bising. Pakai je la skaf yang lain, habis cerita. Melambak skaf akak dalam almari tu pun kan.” Mata Zurene membuntang memandang wajah selamba Zaza yang berdiri disebelah Siti. Hatinya tambah sakit melihat kedua adiknya itu bagaikan cuba memenangkan Siti. Rasa bencinya makin meluap-luap pada Siti. Celaka!





“mind your own business!” Zaza dan Zara mencebik serentak. Menyampah dengan perangai Zurene yang keterlaluan. Biadap!





“tapi suara kak Zurene yang tak sedap tu mengganggu sistem pendengaran kami. Terbantut mimpi kitaorang. Kan Zara?” Zurene katup bibir. Wajah Siti yang cuba menyimpul senyum tertangkap oleh pandangannya. Zurene genggam erat kedua-dua tangan. Kurang ajar!





“yup.” Zara angguk laju sambil memandang selamba renungan tajam Zurene.





“orang nak rehatlah cuti-cuti ini kak. Please think about others ok. Don’t be selfish la sis!”





“watch up your mouth Zaza…Zara. Kurang ajar ye korang sekarang. Ni sebab banyak sangat habis masa dengan budak kampung tak guna ni la.” Siti terus menundukkan muka. Jantungnya berlari laju. Dia jadi takut melihat perang mulut ketiga-tiga beradik itu. Dan ia berpunca pula daripada dirinya.





“Takde kena mengena dengan kak Siti ni la. Kak Zurene tu yang kena kawal mulut sikit. Tak malu ke pagi-pagi menjerit-jerit macam ni. Kalau tak malu pada diri sendiri, malu lah untuk papa dan mama. Kesian papa dan mama.”





Jari telunjuk Zurene lurus menuding pada Zaza dan Zara. Tajam pandangan Zurene pada kedua-dua adiknya itu. Nafasnya turun naik. Sakitnya hatinya dipersenda dan dimalukan dihadapan Siti. Dia tidak boleh menerima penghinaan ini.





“Memang kurang ajar kan korang. Sudah. Out of my room. Now!!!. Pergi. Menyampah aku tengok muka korang semua. Pergi!!!!!!”





Jeritan Zurene mengundang langkah Datin Junainah yang baru keluar dari bilik. Zurene didekati. Belakang tubuh Zurene diusap lembut. Zaza dan Zara mempamerkan riak selamba dihadapan mama mereka.





“kenapa ni sayang, hmm. Pagi-pagi mama dah dengar bising-bising." Zurene lepas nafas dalam-dalam. Hatinya sakit dengan kata-kata Zaza dan Zara.





“ala ma, biasalah kakak ni. Kalau tak mengamuk sehari, tak sah. Boring betul!”




“jaga mulut kau Zaza!” Zurene jegil mata pada Zaza. Tangan ringan sahaja mahu menampar mulut Zaza yang celupar. Langsung tidak menghormati dirinya sebagai kakak.




Datin Junainah pandang Zaza sebelum beralih pada Zara. Renungan tajam dihadiahkan pada Siti yang terus sahaja menundukkan wajah. Hati kecilnya pasti ini tentunya ada kaitan dengan gadis itu. Benci betul dia memandang wajah itu.




“Zaza, kenapa cakap pada kakak macam tu. Tak baik kan. Mama tak ajar anak mama kurang ajar kan. Say sorry to kakak . Zara too dear. ”




Zurene senyum kemenangan. Serve you right!




“ tapi ma…” Datin Junainah geleng kepala melihat wajah cemberut Zaza dan Zara. Matanya merenung tajam pada Siti yang masih tercegat .





“yang kau tercegat lagi kat sini kenapa, cepat turun. Banyak kerja lagi kat bawah tu.” Jelingan tajam Datin Junainah menikam wajah Siti. Siti terkejut sebelum menunduk tubuh . Kata-kata maaf diberikan pada Zurene tetapi gadis itu memalingkan wajah ke arah lain. Siti melangkah laju ke arah anak tangga.





Zaza dan Zara saling memandang sebelum pandangan redup mereka jatuh pada wajah jernih Siti. Melaut rasa simpati mereka pada gadis itu. Zaza mahupun Zara masih tidak faham hingga kini kenapa mama mereka tidak boleh melayan Siti dengan baik. Seperti layanannya pada mak Jah dan pak Salleh.





* * * * * * *





"keluar jalan-jalan?" Zaza dan Zara serentak menganggukkan kepala.





"taknak la. Akak takut. Nanti Datuk dengan Datin tahu, habis akak. Kalau cik Zurene pun tahu, mati akak Zaza, Zara." Siti geleng kepala. Dia tidak berani.





Zara dan Zaza mendengus kecil. Tangan Siti yang sedang melipat pakaian yang dilonggokkan diatas katil dicapai. Tiga pasang mata saling memandang.





"papa dan mama pergi oversea esok la kak Siti. Kak Zurene pun ikut. 5 hari ke Paris."





"oversea? Paris? 5 hari?" Zaza dan Zara tebar senyum lebar sambil kenyit mata.





"tapi kenapa Zaza dan Zara tak ikut sama. Kan sekarang tengah cuti semester."





Zaza sandar tubuh pada dinding. Tangan mencapai sehelai jeans yang berada didalam longgokkan kain yang mahu dilipat oleh Siti.





"papa ikut rombongan misi pelaburan dan perdagangan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri dengan kerjasama MATRADE. Kira ni urusan rasmi. Sebab tu kak Zurene pun ikut sama. Papa nak dia belajar. Nanti kan kak Zurene yang akan ambilalih syarikat papa. Mama tu biasa la kan..pengiring setia papa." Zara sudah ketawa mendengar perkataan pengiring yang ditujukan Zaza pada mama mereka.

MATRADE (Malaysia External Trade Development Corporation )bersama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) sering menganjurkan secara tahunan beberapa misi perdagangan dan pelaburan kepada pasaran baru. Dengan menyertai misi perdagangan ini, syarikat-syarikat di Malaysia boleh meningkatkan rangkaian hubungan perniagaan mereka dengan pegawai, ahli perniagaan dan pembeli diperingkat antarabangsa. Misi selalu meliputi membawa delegasi menjelajah dan mengenal pasti peluang perdagangan dan pelaburan. Selain menghasilkan potensi jualan, misi ini juga membawa peluang untuk memperluaskan rangkaian perniagaan. Misi ini akan fokus pada pertemuan perniagaan individu antara delegasi Malaysia dan pengusaha tempatan, taklimat mengenai peluang perniagaan dan lawatan ke organisasi perniagaan dan syarikat yang berkaitan.





"tapi Zaza dan Zara tak terkilan ke tak ikut mereka pergi sana. Bolehlah habiskan cuti dengan melancong. Mesti seronok. Boleh tengok negeri orang. Kak Siti ni memang la tak da harapan untuk nak pergi tempat-tempat macam tu."





"ala, mana tahu rezeki kak Siti nanti. Entah-entah bukan setakat Paris, seluruh dunia akak dapat pusing. Kalah kitaorang tau." Siti ketawa kecil sambil menggelengkan kepala. Mana mungkin. Itu semua takkan mungkin terjadi. Dia kena sedar diri. Hendak ke bandar pun dia tak mampu kalau tidak dengan ikhsan kedua-dua gadis kembar ini, inikan pula ke luar negara. Lucu la Zaza ni!





"jadi, boleh kan kak?"





Siti pandang wajah Zaza dan Zara.





"nak kemana?"





"jalan-jalan, makan-makan, beli baju baharu, beli buku baharu..beli novel-novel baharu. Nak?" Siti teruja. Matanya bercahaya. Novel-novel yang dibelikan kedua-dua gadis itu sudah habis semuanya dibaca. Tentu ini peluang yang baik untuknya mendapatkan novel-novel baharu. Siti mahu beli novel penulis kesukaanya; Noor Suraya. Sejak Zaza hadiahkan Surat Ungu Untuk Nuha dia jatuh cinta dengan karya penulis ini. Kemudian bila Zara pula hadiahkan Nyanyian Tanjung Sepi, bertambah-tambah rasa cinta Siti pada karya penulis ini. Kata Zaza dan Zara, Noor Suraya ada novel baharu. Dia mahu dapatkannya. Siti juga mahu cari novel-novelnya yang lama-lama. Siti mahu kumpul. Mahu buat koleksi.





Siti akan guna wang gaji yang diberi Datuk Zainol tiap bulan padanya. Dia simpan duit gajinya sejak dua belas bulan berada di sini. Papa Zaza dan Zara itu baik orangnya. Dia beri Siti 700 ringgit tiap bulan. Jumlah itu banyak bagi gadis kampung macam Siti. Dan Siti tidak pernah guna wang gajinya itu. Semuanya disimpan di dalam bank. Atas jasa pak Salleh, Siti dibawa membuka akaun di bank untuk menyimpan semua wang gaji yang diterimanya. Dia tidak perlu beli apa-apa kerana semua dirumah ini sudah lebih dari cukup buatnya. Dia mahu simpan duit gajinya itu. Jika ada rezeki dia mahu sambung belajar semula. Semua itu kan perlukan duit, jadi dia perlu ada tabungan sendiri.




Siti senyum pada Zaza dan Zara.





"nanti kak Siti minta izin mak Jah ye."





"hooray!!!!!!" Zaza dan Zara sudah menjerit kegembiraan.





* * * * * * *





"er minta maaf adik. Kakak tak sengaja. Minta maaf banyak-banyak ye." Siti tunduk sambil
kutip buku-buku yang bertaburan di lantai. Budak lelaki yang dilanggar secara tidak sengaja tadi turut mencangkung sambil memandang Siti.





Siti senyum. Budak lelaki dihadapannya turut senyum. Comel!





Siti serahkan semua buku-buku cerita yang dikutip tadi ke tangan comel di hadapannnya. Matanya bertaut.





"adik nama siapa?"





"Ben."





"Van?" Siti kerut dahi. Biar betul!





"bukan van. Nama saya Ben. Benjamin."





"ooooo." Ulas delima Siti sedikit terbuka. Kepala mengangguk perlahan.





"nama kakak?"





Siti senyum.





"Siti Nur. Panggil kakak Siti sahaja."





"ok. Ben pergi dulu. Nanti papa cari. Bye kakak Siti." Ben berlari dengan buku didalam pelukan menuju ke arah rak buku-buku disebelah kanan.





Siti balas lambaian Ben.





Benjamin...





comelnya dia!

Monday, May 9, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Bab 4





Bab 4





Pintu belakang ditutup dan terus dikunci. Gerigi juga turut dikunci sama. Memang Siti sentiasa membawa kunci salinan bila ke masjid. Kunci salinan yang ditempah pak Salleh untuk dirinya. Siti yang memintanya. Dia tidak mahu menyusahkan mak Jah untuk membuka pintu setiap kali dia pulang sedikit terlewat. Lihatlah seperti hari ini dia sudah terlebih lewat. Nasib baiklah majikannya belum pulang dari hotel lagi. Jika tidak, dia pasti akan ada bahagian buatnya dari Zurene. Siti tahu Zurene membenci dirinya sejak dia mula menjejakkan kaki di banglo ini. Dan rasa benci itu kian hari kian bertambah. Akibatnya Siti akan sentiasa menjadi sasaran amarah gadis itu walaupun adakalanya tanpa sebarang sebab.




Langkah berhati-hati dibawa melangkah. Suis dibahagian dapur basah ditutup. Sudah biasa begitu, setiap kali dia pulang daripada masjid lampu dibahagian dapur ini akan terpasang. Sengaja mak Jah tidak menutupnya kerana mahu memudahkan Siti apabila pulang dari masjid.
Kata mak Jah, nanti kalau gelap tentu Siti susah nak buka pintu belakang pulak. Siti tahu mak Jah pasti akan menunggunya pulang dari masjid setiap malam walau wanita separuh abad itu tidak pernah menzahirkannya melalui kata-kata. Dan pintu bilik mak Jah pastinya akan direngangkan sedikit bagi memudahkan wanita itu mengetahui kepulangan Siti dari masjid. Kepala menjenguk sekilas memandang bilik mak Jah. Pintu bilik terbuka sedikit. Kedengaran suara dari televisyen. Kalau pak Salleh ada pastinya pak Salleh sedang menonton dan mak Jah pula melipat pakaian. Siti sangat maklum akan rutin pasangan tersebut.




Langkah Siti menghampiri pintu bilik mak Jah. Salam diberi sambil tangan mengetuk sekali pintu bilik. Kedengaran suara mak Jah menjawab salam sambil mengarahkan Siti masuk. Perlahan-lahan kepala dijengukkan ke dalam Siti melihat mak Jah sednag duduk dipenjuru katil sambil melipat pakaian.




"haa, dah balik. Lambat Siti malam ni. Risau mak Jah."




Siti melangkah masuk sambil melabuhkan duduk di sofa kayu dihujung katil. Telekung yang siap berlipat diletakkan diatas katil. Tudung ditanggalkan perlahan-lahan lalu diletakkan diatas telekung. Nafas dihela perlahan.




"tadi ada sorang makcik tu kaki dia tib-tiba kejang masa turun kat tangga masjid. Siti tolong dia mak Jah. Maaf mak Jah. Siti buat mak Jah risau."




Tangan mak Jah yang melipat pakaian terhenti. Matanya memandang wajah anak gadis dihadapannya. Siti sudah dianggap bagaikan anaknya sendiri. Apatah lagi dia sendiri tidak dikurniakan cahayamata sepanjang 20 tahun perkahwinannya dengan pak Salleh. Mak Jah redha dengan ketentuan Allah. Pasti ada rahmat disebalik semua ini.




"mak Jah bukannya apa, risau Siti balik jalan kaki malam-malam. Siti tu perempuan. Anak dara pulak tu. Hati mak Jah bimbang."




Siti capai tangan mak Jah. Digenggam erat.




"insyaallah, Siti tak ada apa-apa mak Jah. Lagipun kan Siti selalu balik dengan jiran depan sana tu. Cuma malam ni je, ada orang hantar Siti balik. Dan yang istimewanya Siti balik dengan kereta besar. Hantar sampai kat depan rumah lagi. " Siti tersenyum seraya ketawa kecil. Mak Jah pandang Siti. Keningnya sedikit berkerut. Siti cepat sahaja menangkap reaksi lurus mak Jah.




"makcik yang Siti tolong tu hantar Siti balik laa mak Jah. Pemandu makcik tu hantar sampai depan rumah tadi. "




Mak Jah tersenyum sambil menggelengkan kepala.




"jadi mem besar la sekejap tadi cik Siti Nur kita ni ye. Patutlah senyum saje." ketawa mak Jah dan Siti saling bergabung.




"haaaaaaa. apa ketawa ketawa ni. Oooo...ada sorok rahsia besar ye." Mak Jah dan Siti yang masih ketawa terkejut dengan suara nyaring Zaza dan Zara yang tiba-tiba menerpa di muka pintu. Kedua-dua anak gadis kembar majikannya itu tiba-tiba sahaja melompat didepan pintu sambil bercekak pinggang. Mak Jah urut dada sambil beristighfar panjang. Siti geleng kepala. Zaza dan Zara terus ketawa melihat gelagat mak Jah. Kedua-dua terus melabuhkan duduk di tepi katil mak Jah, bersebelahan Siti. Tubuh Siti dipeluk erat kedua-dua gadis kembar yang lincah itu.




"kenapa tak bagi salam dulu Zaza...Zara, hmmm. Tengok..kesian mak Jah, terkejut dia. Tak baik tau buat macam tu. Nasib baik mak Jah tak ada sakit jantung tau." Kepala kedua-dua gadis kembar tersebut Siti usap lembut dengan tapak kanannya. Memang kedua-duannya sangat manja dengan Siti. "ala, kita nak terperanjatkan sikit je tadi. Sikit macam ni.




"Zara arah jari telunjuk dan ibu jari yang didekatkan sedikit ke arah Siti. Zaza hanya menganggukkan kepala. Mengiyakan kata kakak kembarnya itu.




"kan elok sebelum masuk bilik orang, beri salam dulu. Kalau orang buat macam tu kat Zaza..kat Zara, mesti tak suka kan. Bilik orang kita hormat. tak boleh masuk macam tu aje. Tak sopan namanya." Zaza pandang wajah Zara. Zara angkat kening.




"sorry mak Jah. Zaza minta maaf."




"Zara pun mak Jah."




"uik, dengan kak Siti tak minta maaf."




"eh apa pulak. Ni bilik mak Jah laa, bukan bilik kak Siti."




Siti senyum sambil pandang wajah cemberut dihadapannnya.




"tapi tadi kan kak Siti pun kena sergah jugak. Kira itu tak berlaku sopan pada akak juga la kan. Jadi..." Siti kelipkan kelopak mata beberapa kali. Cuba memprovokasi kedua-dua gadis berkenaan. "kenalah minta maaf jugak. Kan mak Jah." Siti pandang mak Jah sambil mengenyitkan mata. Mak Jah sudah ketawa kecil. Siti cuba menyembunyikan tawanya saat melihat kedua-dua gadis berkenaan memandang wajahnya dengan muncung yang sudah ditarik kehadapan. Siti mahu ketawa sungguh tapi cuba ditahan.




"ala, akak ni...jahat tau. Saje je." Ketawa Siti pecah sudahnya. Tubuhnya terus terbaring diatas katil mak Jah akibat diasak oleh Zaza dan Zara. Jeritan kecil Siti bertingkah dengan jeritan nyaring kedua-dua gadis berkenaan. Mak Jah hanya menggelengkan kepala. Tahu sangat dengan perangai Zaza dan Zara yang nakal. Jauh disudut hati mak Jah gembira melihat kemesraaan kedua-dua beradik kembar itu dan Siti. Sekurang-kurangnya mereka tidak seperti kakak dan mama mereka yang sentiasa melayan Siti dengan buruk.




Siti sudah duduk bersandar ditepi katil mak Jah sambil membetulkan ikatan rambutnya yang terlerai akibat kenakalan Zaza dan Zara tadi. Jari-jemarinya pantas melurutkan rambut lalu ikatan rambut diperkemaskan semula.




"ganas la korang berdua ni tau. Tengok mak Jah, habis kusut masai rambut Siti dikerjakan budak bertuah ni. Taknak la Siti kawan dengan budak -budak ganas macam ni. Bahaya la mak Jah." Kedua-dua gadis itu memeluk lengan Siti sambil ketawa. Tidak langsung endah dengan kata-kata Siti. Mereka tahu Siti hanya bergurau dan tidak bermaksud apa-apa. Mereka tahu hati budi Siti yang tulus.




"kak Siti kalau merajuk tambah berseri macam bulan mengambang penuh tahu. Kan Zara?" Zaza angkat kening pada adiknya. Zara menegakkan kedua-dua ibu jarinya sambil dihalakan ke wajah Siti. Siti hanya mencebik.




Mak Jah tersenyum melihat gelagat ketiga-tiga gadis berkenaan. Tubuhnya yang sedikit gempal itu ditegakkan dari duduk lalu tangan mengangkat kesemua pakaian yang siap dilipat tadi untuk disimpan kedalam almari pakaian.




"apa yang mak Jah dengan kak Siti ketawa ketawa tadi." Mata kedua-dua gadis itu memandang pada mak Jah yang sedang berdiri menyusun pakaian didalam almari sebelum beralih pada wajah mulus Siti.




"cik Siti kita ni laa. Tadi balik dari masjid naik kereta besar. Ada pemandu orang kaya hantarkan dia sampai depan rumah. Cik Siti kita duduk kat belakang. Tu mak Jah cakap, merasa lah jadi mem sekejap." Mata Zaza dan Zara sudah bulat. Tangan kedua-duanya dilekatkan pada mulut yang sedikit ternganga. Siti ketawa melihat aksi kedua-dua beradik itu. Dia tahu mereka sengaja membuat reaksi sedemikian. Sengaja mahu mengusiknya.




"siapakah gerangan putera yang menghantar tuan puteri kita pulang ke istana kala malam bulan mengambang begini duhai bonda Jah?" Ketawa Siti pecah. Mak Jah turut ketawa mendengar kata-kata lucu yang diucapkan Zara. Zaza sudah berguling di atas katil dengan desiran ketawa yang gagal ditahan.




"itu kena la tanya tuan puteri sendiri." Mak Jah kenyit mata pada Zaza dan Zara. Kedua-dua gadis berkenaan menggoncangkan tangan Siti.




"tuan puteri tolong la beritahu patik berdua gerangan putera itu. Tolonglah katakan tuan puteri." Siti ketawa.




"enggak ada putera. Pak supir ya ada. Namanya mas Salim. Apa nona manis berdua mahu berkenalan sama mas Salim. Bisa aja dong!" Siti mengenyitkan mata. Mak Jah sudah ketawa besar.




"apa, pak supir!!!"




Dan bilik mak Jah sekali lagi digamatkan dengan ketawa ketiga-tiga gadis berkenaan. Ketawa mak Jah turut sama ikut bergabung.




* * * * * * *




"kenapa dengan kaki mak?" Akhmal Hafiz meluru menuruni tangan saat melihat ibunya yang baru melangkah masuk berjalan dengan kaki yang sedikit terhencut-hencut. Salim yang berada dibelakang dilihat memegang telekung yang disangkutkan pada lengan sambil tangan kanannya memegang lengan kanan ibunya. Salim lantas menceritakan perihal apa yang terjadi di masjid tadi kepada Akhmal.




Akhmal memegang lengan kiri ibunya lalu perlahan-lahan tubuh tua ibunya didudukkan di sofa diruang tamu. Salim diminta memanggil makcik Azizah; pembantu rumah berkenaan didapur. Langkah pemandu peribadinya itu panjang dan laju sahaja menuju ke arah ruang dapur. Akhmal melabuhkan duduk disebelah ibunya sambil tangan mengurut-ngurut kedua-dua kaki ibunya. Makcik Aishah menarik nafas perlahan.




"mak ok dah Mal, janganlah risau sangat. Sekejap je rasa kejang ni. Nanti nanti baik la dia." Akhmal menggelengkan kepala. Sudah acapkali dia meminta ibunya itu agar solat sahaja di rumah kerana kesihatan ibunya itu ada kalanya tidak menentu. Tetapi ibunya tetap juga mahu solat berjemaah di masjid. Kata ibunya itu, masjid yang sudah berdekatan dengan kawasan rumah bukankah elok dimmarahkan. Lagipun kata ibunya solat berjemaah di masjid bukankah 27 kali ganda pahalanya berbanding solat sendirian di rumah. Ibunya kalau sudah bukak kitab, Akhmal kena angkat bendera putih jawabnya.




Salim dilihat datang bersama makcik Azizah. Sebotol minyak urut turut berada didalam pegangan tangan makcik Azizah.




"Salim kata kaki akak kejang tadi. Sakit lagi kak?" Makcik Azizah sudah bersila dilantai sambil tangannya sudah singgah di betis makcik Aishah. Akhmal segera mengalihkan tangannya. Dia tahu makcik Azizah memang handal mengurut.




"sikit je Zah. Salim ni je yang berlebih-lebih." Makcik Aishah memandang Salim yang tersengih sebelum mengalihkan pandangannya pada Akhmal disebelah.




"eh tadi teruk apa puan. Terduduk puan kat tangga masjid tu. Nasib baik ada budak Siti tu tadi. Cepat jugak dia bertindak. Kalau tak ,tak tau jugak apa jadi kat puan tadi."




Siti?




Akhmal pandang Salim sambil angkat kening. Salim tayang senyum lebar. issy dia ni!




"siapa Siti mak?"




Akhmal alih pandangan pada wajah ibunya yang sedang tunduk melihat makcik Azizah mengurut betis dan pergelangan kakinya. Wajah Akhmal ditoleh sekilas sebelum melemparkan sebuah senyuman. Bahu Akhmal ditepuk perlahan. Senyuman dihalakan pula pada Salim yang masih berdiri dihadapan.




"bidadari masjid, tuan. Cun giler!" Salim angkat kedua-dua ibu jari ke atas dan dihalakan pada Akhmal. Makcik Aishah ketawa dengan kata-kata Salim. Dahi Akhmal berkerut dengan kata-kata yang dilafazkan pemandunya itu.




Bidadari masjid?

Thursday, May 5, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Bab 3






Bab 3






"berhenti di depan sana sahaja encik. Di tepi pokok mangga tu ye." suara lembut Siti menyapa telinga Salim yang sedang memandu. Mercedez perak sudah diperlahan sebelum Salim memberhentikan kereta di tepi pokok mangga sebagaimana yang diminta Siti. Kepala makcik Aishah sudah terjenguk-jenguk memandang keluar dari dalam kereta. Suasana persekitaran yang sunyi dengan hanya lampu-lampu jalan yang menyala juga lampu dari garaj rumah-rumah sekitar. Mungkin penghuninya tiada dirumah.






"yang mana satu rumah majikan Siti?" Makcik Aishah terus bertanya pada gadis manis yang duduk disebelahnya. Sukar untuknya menghadam kata-kata yang diucapkan oleh Siti sewaktu didalam perjalanan tadi. Siti hanya orang gaji. Sudah lebih dari dua belas bulan dia menghuni banglo itu dan berkhidmat kepada lima orang penghuni di situ. Kata Siti, selain dirinya ada mak Jah yang juga merupakan orang gaji kepada keluarga berkenaan. Suaminya mak Jah, pak Salleh adalah pemandu peribadi kepada keluarga Datuk Zainol. Mak Jah dan suaminya menurut Siti sudah lama berkhidmat dengan keluarga tersebut. Sejak sebelum kematian isteri Datuk Zainol lagi.






Sudah lama makcik Aishah mahu mengenali gadis itu namun tidak berkesempatan kerana selalunya sebaik selesai imam menamatkan doa, kelibatnya pasti hilang dari pandangan. Namun hari ini "jodoh" mereka ada lalu dia menjadikan faktor kekejangan kakinya sebab penyebab untuknya berkenalan dengan pemilik nama Siti Nur ini.






"rumah yang dibelakang pokok mangga tu makcik." Suara Siti yang lembut menyapa telinga mengembalikan makcik Aishah ke alam realiti.






Mata makcik Aishah mencari arah rumah yang dimaksudkan Siti. Banglo dua tingkat berwarna putih dengan reka bentuk kontemporari itu nampak sunyi sahaja. Kata Siti tadi majikannya beserta anak-anak tiada dirumah kerana menghadiri majlis perkahwinan anak rakan perniagaan mereka di hotel. Cuma mak Jah sahaja yang tinggal. Pak Salleh turut berada di hotel kerana nanti dia yang akan memandu kesemua mereka pulang. Kata Siti lagi, walau mereka tiada dirumah, dia harus sampai ke rumah sebelum majikannya pulang. Bila ditanya lebih lanjut mengapa, hanya senyuman sahaja yang dihulur. Tiada sepatahpun kata yang diucapkan bagi menjawab soalan yang ditanya sebentar tadi. Makcik Aishah tidak mahu bertanya lanjut, nanti apa pulak kata Siti. Mereka baharu sahaja mahu berkenal-mesra. Dia tidak mahu sikap ingin tahunya itu nanti akan membuatkan Siti menjauhkan diri biarpun dia tiada niat apa-apa. Sekadar ingin tahu sahaja. Hatinya bagai dapat merasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan Siti dari tutur katanya tadi. Biarlah. Mungkin suatu hari nanti dia akan tahu juga.






Telekung yang sudah ditanggalkan tadi sewaktu didalam perjalanan digantungkan pada lengan. Mini telekung coklat cair begitu sepadan dengan baju kurung pesak gantung daripada jenis kain kapas berwarna coklat tua berbunga tabur putih yang tersarung pada tubuh tinggi lampai Siti. Baju kurung dan tudung ini dibeli Zaza dan Zara buat Siti. Hadiah sempena Siti masakan mereka sambal tumis udang yang tersedap di dunia. Itu kata mereka, Siti jadi ketawa dengan kata-kata lucu Zaza dan Zara. Macam-macam sahaja dua anak gadis lincah dan baik hati itu. Siti jadi seronok sahaja melayan kerenah mereka berdua. Dia terhibur dengan kedua-dua mereka. Tanpa mereka, dia tiada teman untuk berbicara. Dia akan jadi sunyi. Hanya novel-novel yang dibeli mereka sahaja lah teman penghiburnya. Mahu diharapkan mak Jah tentulah tidak manis. Mak Jah kan perlu melayan pak Salleh. Dia tidak tega mengganggu masa emas kedua-duanya.






Tapak tangan Siti dihulurkan pada makcik Aishah. Senyuman yang terukir dari ulas delima yang basah tanpa palitan sebarang warna itu nampak begitu manis dimata tua makcik Aishah. Dia sudah jatuh kasih pada gadis dihadapannya ini. Entah mengapa perasaan itu mudah sahaja hadir dihati tuanya sedangkan dia baru sahaja beberapa minit berkenalan dengan Siti. Sejuk sahaja hati dan jiwanya melihat wajah manis bercahaya dihadapannya ini.






"terima kasih makcik sebab sudi hantar Siti balik. Siap sampai depan rumah lagi. Berlebih-lebih pulak Siti ni kan. Tak malu sungguh!" Siti ketawa kecil seraya menutup mulut. Sopannya dia! bisik hati kecil makcik Aishah. Kulitnya yang putih mulus itu jadi kemerah-merahan kala dia ketawa. Siti turut menyatakan rasa terima kasih kepada Salim. Pemandu makcik Aishah itu menganggukkan kepala sambil tersenyum.






"issy, kenapa pulak cakap macam tu. Kan makcik yang beria-ia nak hantar Siti tadi." Tangan gadis itu masih kejap didalam genggamannya. Sayang sekali dia mahu melepaskan gadis ini. Entah mengapa, dia sendiri tidak tahu.






Saya minta diri dulu ye makcik." Tangan makcik Aishah dikucup penuh tertib. Saat kepala ditegakkan, tubuhnya sudah ditarik didalam pelukan makcik Aishah. Siti membiarkan sahaja tubuhnya dipeluk erat. Hatinya senang diperlakukan begitu. Bagaikan pelukan yang dilimpahi rasa kasih sayang. Bagaikan pelukan dari seorang ibu sejati. Alangkah bertuahnya anak makcik Aishah kerana mempunyai ibu yang penyayang seperti ini. Kata makcik Aishah waktu mereka berbual-bual didalam perjalanan mahu menghantar Siti tadi anaknya cuma seorang sahaja. Lelaki. Siti jadi pilu seketika. Dirinya tidak sebertuah anak makcik Aishah itu. Dia dibuang ibu sendiri. Nafas dihela perlahan. Dia cuba melontar rasa sedih itu jauh jauh. Cuba untuk tidak mengenangnya lagi. Untuk apa kan. Orang dah tak mahu, maka dia harus sedar diri!






Senyuman ditebar pada wajah tua yang penuh kasih sayang dihadapannya ini. Wajah arwah wan terlayar dimata seketika. Hati Siti mula dibasahi rintik hujan! Wan..Siti rindu wan!






"makcik jaga diri baik-baik ye. Jangan banyak bergerak sangat sebab kaki makcik tu Siti rasa belum pulih lagi. Solat di rumah sahaja la sehari dua ni. Kalau dah sihat nanti barulah boleh berjemaah di masjid." Makcik Aishah jadi sebak dengan keprihatinan gadis ini. Alangkah baiknya jika dia ada anak perempuan. Namun cepat-cepat dia beristighfar didalam hati. Tidak baik mempertikaikan takdir Allah. Tentu ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya dia patut bersyukur. Dia tetap juga dikurniakan anak seorang anak lelaki. Dan juga patut rasa bersyukur anaknya itu sangat menyayangi dan menghormatinya. Tidak pernah ingkar padanya.






"tak dapatlah makcik jumpa Siti sehari dua ni nanti. Rindu la makcik." Canda makcik Aishah mengundang tawa Siti. Salim turut ketawa.






"wah puan, bahaya ni. Main rindu-rindu tu. Takper, boleh je telefon "buah hati" puan ni kalau dah rindu sangat nanti. Boleh kan Siti." Salim angkat kening sambil memandang Siti yang menyimpul senyum.






"issy kamu ni! kesitu pulak." Ketawa Salim makin galak. Makcik Aishah juga ketawa sudahnya. Siti turut ketawa kecil dengan kata-kata lucu Salim.






Siti berdiri sambil tangan memegang tangan makcik Aishah yang sedang memandangnya dari dalam kereta. Salim sudah menghidupkan enjin Mercedez perak yang sedia bergerak bila-bila masa sahaja.






"harap boleh jumpa malam jumaat nanti ye makcik. Siti akan doakan kaki makcik cepat sembuh. Ada bacaan Yaasin beramai-ramai. Bolehlah makcik turut serta. Boleh kita turut sama doakan pada arwah-arwahnya ahli keluarga yang dah pergi." Makcik Aishah menganggukkan kepala. Ya, dia juga berharap kakinya akan sembuh cepat. Dia tidak mahu melepaskan peluang bersama-sama Siti untuk majlis bacaan yaasin tersebut nanti. Mahu dia mendengar suara gadis itu kala mengaji. Pasti merdu dan indah didengar. Wajah cantik Siti yang masih tersenyum ditatap tanpa jemu. Betapa bertuahnya ibu dan bapa gadis ini. Sejuk perut ibu yang mengandungkan anak sebaik Siti. Setelah mengucapkan salam pada makcik Aishah dan Salim, Siti mula mengorak langkah memasuki perkarangan banglo dihadapan. Wajah dipusingkan kembali memandang ke belakang. Tangannya dilambaikan kepada makcik Aishah yang masih memerhatikan dirinya. Lambaian mereka saling bertukar.

Langkah Siti diekori dengan pandangan mata. Saat Siti melambaikan tangan padanya kala gadis itu sudah memasuki perkarangan halaman rumah, makcik Siti turut mengangkat tangan. Mata terus kaku tidak berkelip memandang hingga tubuh tinggi langsing itu tenggelam dari layar matanya.






Makcik Aishah melepaskan nafas panjang. Salim menoleh seketika kebelakang sebelum memandang semula ke hadapan.






"puan suka benar dengan budak tu. Macam dah lama kenal je saya tengok."






"entah la Lim. Hati tua makcik ni jadi macam tenang sahaja tengok dia. Sejuk mata pandang muka dia. Baik budaknya. Pekerti pun tertib. Budi bahasa pun elok. Rupa pun ada. Sempurna."






"berkenan ke puan?" Salim tersenyum mengusik. Makcik Aishah tersenyum penuh makna.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...