Wednesday, April 26, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

"Kak long!!!" Suara aku naik tinggi. Geram yang aku tahan lebur. Aku tak boleh terima penghinaan begini. Maruah aku bukan boleh diinjak sesuka hati kak long.

“Jangan nak jerit-jerit kat aku!!!”

“Kak long hina saya!!!” Suara aku naik lagi membalas. Nasib baik tempat yang kami duduk dipisahkan oleh cermin dengan kawasan dalam café. Jadi suara kami tidak kedengaran ke dalam café. Kalau tidak aku tak tahu la. Mungkin kami akan jadi bahan tontonan berpasang-pasang mata di dalam café ini.

“Memang kau perempuan hina dan layak dihina!” Sinis kata-kata kak long buat nafas aku turun naik menahan marah yang memuncak. Aku tak sekeji macam yang kak long kata. Aku tak pernah menanam niat tidak baik dengan mak mertua aku selama aku kenal dia sebelum kahwin dengan Zainal. Segala apa yang aku lakukan ikhlas kerana aku anggap mak Zainal seperti mak aku sendiri. Sementelaah mak aku jauh di kampung. Demi Allah aku tidak pernah tahu latar belakang kewangan mak mertua aku sebelum aku berkahwin dengan anak dia.

“ Kau dengar sini perempuan.” Telunjuk kak long singgah tepat di dahi. Riak benci terlukis jelas di wajah kakak sulung Zainal ini. Perempuan lewat empat puluhan ini sungguh rendah adab dan sopan. Berbeza sungguh dengan ibu mertua aku yang begini indah pekerti budinya.

“Aku tak pernah terima kau dalam keluarga aku. Bagus pun kau mintak cerai. Aku akan pastikan Zainal ceraikan kau. Talak tiga lagi bagus supaya Zainal boleh bebas selamanya dari perempuan murahan macam kau. Dia masih nak simpan kau selama ini dah cukup baik tau. Kau pulak nak tunjuk lagak. Nak minta cerai kunun. Aku nak tengok nanti kau merempat lepas bercerai.”Aku telan pahit liur. Hina sungguh aku sampai harus diceraikan dengan talak tiga.

“Untuk pengetahuan kau, perempuan yang ada dalam hati Zainal sejak dahulu hanya Janice. Kau tu tak pernah wujud pun dalam hidup Zainal. Jauh sekali nak ada dalam hati dia. Kau jangan mimpi.” Aku kemam bibir. Sungguh ke, Zainal? Jadi apa makna semua layanan yang kau berikan pada aku selama ini? Nafsu? Atau kasihan? Aku nampak riak mengejek di wajah kak long. Mungkin dia sedang ketawakan aku di dalam hati. Ketawalah kak long. Ketawalah.

“Kau tu aku rasa lupa cermin diri kau. Yelah kan. Tikus bila dah jatuh dalam kepuk padi memang lupa diri. Tak sedar diri.” Hati aku rasa bagai disiat-siat. Kak long makin merapati meja. Lebih mendekat dengan aku yang duduk setentang. Telunjuknya makin menekan dahi. “Kau tau tak, Janice tu jauh lebih layak jadi isteri Zainal. Akupun sukakan dia. Serba-serbi sempurna. Setaraf dengan Zainal. Sama cantik. Sama bijak. Janice tu pilihan hati Zainal dari dulu. Bukan kau.” Kalau dah aku bukan pilihan hati dia sejak dahulu, kenapa nikahi aku? Sebab tak nak lukakan hati mak? Jadi sanggup jadi pendusta perasaan sendiri. Sanggup lukakan hati perempuan lain yang tak bersalah. Sangggup berhubung sulit dengan kekasih senyap-senyap di belakang isteri. Lelaki apa perangai macam tu? Lelaki dayus? Rengkung aku bergerak-gerak. Mahu sahaja aku muntahkan kata-kata ini pada kak long. Namun naluri aku menahan.

“Betul kata Janice pada aku. Kau ni harus diajar untuk sedar diri.” Oh. Aku angguk kepala sendiri. Jadi memang kedatangan kak long ini atas perintah Zainal dan perempuan itu rupanya. Kak long dikirim ke sini untuk mengajar aku erti sedar diri. Keji betul cara korang semua bersekongkol. Keji!

“Untuk pengetahuan kau juga, kau tu tak setanding dia. Tikus yang kotor macam kau mana layak nak dibanding dengan merak yang cantik. Macam langit dan longkang. Kau tu ibarat longkang. Tikus memang tempatnya dalam longkang kan.” Senyum sinis kak long terpapar di bibirnya yang merah. Aku ketap bibir. Tangan aku menggigil. Seluruh tubuh ikut menggigil. Kak long memang sudah kurang ajar! Aku tepis kuat telunjuk kak long. Tubuh kak long tersasar sedikit ke belakang. “Eh!...kau nak aku jatuh apa?” Jelingan kak long aku tak hirau. Kalau jatuh tergolek aku biarkan aje. Biar dia rasa!

Aku jeda seketika. Mata kami saling bersabung. Aku hela nafas dalam-dalam. Ya Allah. Bantu aku, ya Allah. Aku raup wajah sebelum kembali menghantar tatap pada kak long.

“Saya tak pernah mintak jadi pilihan Zainal. Ya. Saya sedar diri. Saya orang biasa-biasa. Bukan keturunan terhormat…kaya –raya macam keluarga kak long. Tapi saya tak pernah hadap nakkan kemewahan keluarga kak long. Kalau sungguh Zainal tak sukakan saya…tak boleh terima saya sebagai isteri, kenapa tunggu sampai sekarang. Lepas lima tahun baru nak cakap? Lima tahun kak long…” Aku angkat sebelah tapak tangan dan hala ke muka kak long. “…lima tahun perasaan saya dipermainkan. Cuba kak long letak diri kak long di tempat saya. Apa perasaan kak long?” Kak long humban cebikan.

“Siapa suruh kau perasan. Ada kau tanya Zainal dulu dia terima kau ke tidak? Ada?!” Jegil mata kak long terhumban. Aku telan liur. Kenapa aku yang harus bertanya? Kenapa tidak Zainal yang bersuara jujur pada aku dahulu? "Zainal tu kesian dengan kau sebenarnya. Kau yang lebih-lebih. Gatal. Dah kau bagi, dia ambil la. Takkan nak tolak. Lagipun ikhsan dia la tu bagi layanan kat kau. Nanti kau meroyan pulak Zainal tak bagi nafkah batin.”

“Kak long…” Lirih suara aku menahan kecewa. “…sampai hati kak long cakap macam tu.” Aku tak tahu apa yang Zainal dah cerita pada kak long pasal hubungan kami sebenarnya. Sampai hati kau, Zainal.

“Aku cakap yang betul. Dia tak pernah rasa bahagia pun hidup dengan kau selama ni. Kebahagiaan dia hanya ada pada Janice. Tapi adik aku tu baik. Tak sanggup nak buat kau sedih. Jadi layan aje la kehendak batin kau tu.” Ya Allah. Kau memang keji, Zainal. Keji!!!

“Tapi aku rasa Zainal pun dah tak boleh nak tahan siksa perasaan sendiri semata-mata nak penuhi kehendak batin kau. Dia tu lelaki. Tentulah dia nak zahirkan cinta dan kasih sayang dia pada perempuan yang dia cinta.” Aku genggam tangan kuat-kuat. Aku terjah pandang kak long yang sedang tersenyum sinis.

“Saya pun tak hingin walau sesaatpun lagi nak hidup dengan Zainal kalau itu yang dia fikir selama ini. Pura-pura baik. Dasar lelaki penipu. Lelaki tak guna!”

“Jangan nak hina adik aku perempuan mandul!!!” Mata aku tidak berkelip pandang kak long. Nafas bagai terhenti. Seluruh urat saraf terkulai.

Perempuan mandul.

“Kenapa?” Kak long jegilkan mata. “Terkejut? Kau memang perempuan mandul pun. Perempuan yang tak mendatangkan hasil pada Zainal. Lima tahun Zainal kahwin dengan kau. Apa yang dia dapat? Kau cakap dengan aku. Apa?” Aku masih jeda. Terpempan dengan kata-kata kak long yang tak aku duga. Zainal…sampai begini kau aibkan aku pada kak long. Sampai hati kau, Zainal.

Tuesday, April 25, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku pandang luar tingkap bas yang gelap. Pasti aku akan lewat sampai ke rumah malam ini. Pergelangan tangan kanan aku kerling. Sudah menghampiri pukul 10.30 malam. Zainal langsung tak telefon bertanya aku di mana. Tak hiraukan keselamatan aku yang saat lewat macam ni masih belum sampai ke rumah. Ada sedih yang bertamu di sudut hati. Aku pejam mata. Mahu membuang jauh rasa itu. Aku kena sedar diri. Fazira Huda ini sudah terbuang dari keutamaan hidup Zainal Rauf.

Telefon aku berbunyi tanda ada pesanan masuk. Mata terjunam pada pesanan Zai. Bertanya samada aku sudah sampai rumah ke belum. Bertanya keadaan aku bagaimana. Aku okey ke tidak. Berpesan agar aku membalas segera pesanannya. Dia risau sangat sebab sudah lewat dan aku belum sampai lagi ke rumah. Zai sampaikan pesanan agar aku berhati-hati jalan balik ke rumah nanti. Kawasan perumahan yang aku tinggal memang agak ke dalam sedikit dari jalan utama. Aku telan liur luka. Memang tadi aku ada titipkan pesanan pada Zai waktu aku naik bas dari pejabat lepas habis berjumpa dengan kak long. Zai yang cuma tahap sahabat lebih risaukan diri aku dari suami sendiri. Aku tarik nafas. Sebak yang meninjau pintu jiwa aku tepis. Tak apa, Zira. Tak apa. Sabar. Jari-jemari laju menari di atas papan kekunci. Aku balas pesanan Zai.

Aku tahu Zainal ikut bersekongkol dengan kak long mahu mengenakan aku. Dan kak long sengaja heret aku berlama-lama di cafe tadi. Sengaja tak nak bagi aku balik awal. Mahu balas dendam pada aku sebab tolak cadangan dia untuk berjumpa di luar awalnya tadi. Jauh di sudut hati aku masih tertanya kenapa benci sungguh kak long pada diri ini. Salah apa aku pada dia sebenarnya hingga terlalu hitam benci kak long.

Bas yang bergerak laju seiring pantas dengup jantung aku yang direntap kata-kata kejam kak long.Masih terngiang-ngiang bait yang terlontar dari lidah tajam kak long.

"Kau tu dulu ibarat tikus yang jatuh ke dalam kilang beras. Tau tikus? Tikus yang tak diundang. Tapi kau tikus yang tak sedar diri. kalau dah dasar tikus....tetap tikus sampai bila-bila." Aku telan liur payau. Terpempan dengan kata-kata kak long. Hina betul aku di mata kak long. Aku tak pernah minta ini semua. Takdir jodoh yang tentukan aku masuk ke dalam keluarga berada Zainal.

"Saya tak minta ini semua kak long. Jodoh saya dengan Zainal, Allah yang tentukan." Aku masih ingat cebikan sinis kak long.

"Tak payah nak sebut jodoh la dengan aku. Kau memang dah plan nak masuk dalam keluarga aku sebab tahu kami orang kaya. Pandai kau kan pikat mak aku. Bagi kuih la. Bagi lauk la. Ajak pergi masjid sama-sama la. Teman jalan-jalan la. Dasar perempuan murahan."

"kak long!!!"

Friday, April 21, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Salam jumaat semua. Redakan amarah. Meh kenal secoet dgn hero di hati zira.
________________________________

"Terima kasih encik hantar saya ke klinik. Bayarkan bill."
"Sama-sama. Saya yang salah sebab langgar puan. Saya minta maaf. "
"Eh. Tak. Tak. Saya yang salah. Main luru aje tak pandang depan. Saya yang patut minta maaf sebab dah susahkan encik. "
"Okey. Sama-sama salah." Lelaki ini senyum. Aku ikut senyum.
"Saya Amir. Amir Rashid."
"Saya Zira. Fazira Huda."

Hati Ini Pilih Kamu


AKU berjalan keluar melepasi mesin pengimbas elektronik. Swipe card yang aku lekatkan pada mesin pengimbas tadi aku sumbat ke dalam tas tangan. Beberapa pekerja di Menara Enigma ikut melepasi mesin pengimbas. Laju aje langkah masing-masing. Macam semut keluar dari busut. Dari jauh di luar lobi aku sudah nampak Kak Long Zaihana berdiri di tepi kereta. Langkah perlahan aku atur.
“Assalamualaikum, kak long.” Aku sapa tanda hormat. Siap dengan pakej senyum kecil. Muka ketat kak long sambut sapaan aku. Haram nak senyum balik. Dah tu, sikit pun tak jawab salam. Harap dia jawab dalam hati. Berdosa kan tak jawab. Hilang pahala satu hal.
“Naik.” Suara keras kak long terlantun. Macam warden penjara aje lagaknya. Tak sempat nak berbahasa basi lagi dia dah bagi arahan. Kak long tarik pintu. Aku pandang muka dia. Tak. Aku takkan ikut dia pergi mana-mana. Karang dia pedajal tinggalkan aku kat mana-mana ke, aku nanti yang susah. Aku dah fikirkan hal ni masa dalam lif tadi. Aku kena fikir yang buruk dulu sebab aku tahu kak long memang sangat tak sukakan aku dari dulu. Tak mustahil dia boleh buat sesuatu untuk kenakan aku.
“Kita cakap kat sini aje la, kak long. Banyak café kat dalam tu. Pilih aje. Tak payah nak pergi mana-mana. Nanti lambat. Zira balik naik bas. Sini bas bukan senang kalau dah lewat.” Aku bagi isyarat supaya dia faham Zainal tak ambil aku. Dulu kalau lewat macam mana atau sibuk macam mana pun, dia pasti akan ambil aku. Aku tahu Zainal terlibat sama dalam hal kedatangan kak long petang ini. Mesyuarat yang dia cakap tu hanya alasan. Tak apa. Aku boleh balik sendiri. Aku nampak muka menyinga kak long bila aku cakap macam tu. Siap mata dikecilkan pandang aku. Tajam sekali. Dan aku balas tayang muka batu.
“Bumm!” Kak long hempas pintu. Siap dengan lontaran jeling. Aku tahu kak long protes. Mungkin dia dah rancang yang lain dan cadangan aku membantutkan rancangan yang dah kak long atur. Langkah kasut tumit tinggi dia hempas meninggalkan aku menuju ke arah lobi. Aku ikut langkah dia dari belakang dan masuk semula ke dalam lobi Menara Enigma.
Kak long pilih masuk ke dalam Dome cafe. Aku ikut. Dia pilih meja paling sudut. Lokasi tersorok. Aku dah boleh agak dia memang nak sembur aku. Sebab tu dia pilih lokasi terpencil. Aku labuh duduk. Sebaik sahaja aku duduk kak long terus jalan ke depan ke arah kaunter. Aku hanya pandang sekilas sebelum beralih tengok keliling café yang lengang. Ada beberapa wajah staff yang aku kenal. Saling melontar senyum. Kak long datang semula dengan gelas chocolate shake. Dia labuh duduk depan aku. Gelas minuman diletakkan depan dia.
Satu gelas sahaja.
Dia tak belipun untuk aku. Aku senyum dalam hati. Aku tak hadap duit dia pun. Aku tengok kak long humban kerling sambil sedut minuman. Aku diam. Tunggu apa yang dia nak cakap. Gelas dia letakkan semula. Mata dia renung aku atas bawah. Macam tak puas hati. Aku batukan diri. Tunggu dia mulakan apa yang dia nak cakap pada aku.
“Kau tahu tak yang kau ni perempuan jenis tak sedar diri? Tak tahu berterima kasih?” Kak long mulakan mukadimah bual bicara dengan ayat sinis. Kalau tak menyinis aku, bukan Kak Long Zaihana namanya. Aku diam. Tunggu ayat dia yang seterusnya.
“Kau nak ugut Zainal kan? Ugut supaya Zainal serba-salah? Dasar perempuan tak tahu diuntung.”
Ugut? Bila masa pulak aku ugut Zainal ni. Aku baling renung balas.
“Maksud kak long?”
“Kau jangan nak pura-pura!” Kak long baling mata yang bulat menikam.
“Apa kak long nak cakap sebenarnya ni?” Aku humban kata balas. Geram pulak aku. Sedap aje tuduh aku ugut adik dia. Bila masa?
“Kau ingat kau pandai?”
“Saya tahu saya tak sekolah tinggi. Takat SPM aje.”
“Sedarpun diri tu bodoh. Tapi nak tunjuk lagak pandai.” Aku nampak kerling menyampah kak long.
“Kak long suruh saya tunggu sebab nak cakap ini aje ke?”
“Kurang ajar kau kan?”
“Saya tak kurang ajar. Saya tanya. Takkan itu pun salah.”
“Eh..” Telunjuk kak long lurus ke arah aku. “Kau ni jangan nak berlagak tau. Kau jangan ingat mak aku sayang kau, kau boleh perasan. Boleh nak tunjuk bagus.”
“Saya tak mintapun mak sayangkan saya. Tapi itu rezeki saya. Alhamdulillah.”
“Rezeki kunun.” Kak long jala senyum sinis. “Kau tu memang dah guna-gunakan mak aku. Tu sebab orang tua tu lebih-lebihkan kau. Sayang kau macam nak gila. Kau ingat aku tak tahu ke perangai buruk kau?” Aku geleng kepala sambil pandang kak long.
“Astaghfirullahalazim. Apa ni kak long.” Aku lepas nafas. Lama aku diam. Benci kak long pada aku sampai ke tahap ini rupanya. Ya Allah. Aku tunduk seketika. Cuba memanggil udara tenang. Aku angkat mata. Kak long gulung mata ke atas. Nampak sangat menyampah nak pandang muka aku.
“Saya memang bukan ahli agama, kak long. Saya tak pandai agamapun. Tapi…sejahil-jahil saya…saya masih tahu mana halal mana haram. Tahu bezakan mana syirik…mana khurafat. Jangan nak tuduh saya kalau kak long tak ada bukti. Itu fitnah namanya. Berdosa besar, kak long.”
“Eh.” Kak long picing mata. “Kau tak payah nak jadi ustazah mee segera depan aku. Sekarang ni aku tanya kau. Apa tujuan kau minta cerai dari Zainal?” Akhirnya terjawab tujuan kak long suruh aku jumpa dia. Benar telahan aku.
Sebab Zainal.
Sebab aku minta Zainal ceraikan aku.

Thursday, April 20, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

“Zira.”

Suara Jimmy yang serak-serak basah buat kepala aku spontan terangkat. Lelaki serani sebaya Zainal yang sudah punya anak tiga ini sangat aku hormati. Pandangan kami bercantum. Aku cuba tarik senyum yang rasa payah sangat.

“Erk…yes, Jimmy. Anything you want me to do?” Tangan capai semula sticker tadi dan aku lekatkan pada inbois lalu masukkan dalam folder. “Please sign this.” Aku hulur folder pada Jimmy.

“You okey ke Zira?” Jimmy sambut folder yang dihulurkan Zira. Mata jatuh pada inbois yang terselit dalam folder. Kembali dihala renung pada Zira. Bukan dia tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam rumahtangga keraninya ini. Biarpun Zira tidak pernah buka mulut dan bercerita, dia tahu apa yang dah Zainal lakukan di belakang Zira. Bukan sekali dua dia terserempak Zainal keluar dengan Janice. Jimmy kenal Janice. Mereka bertiga satu university dahulu. Dan dia juga tahu Janice kekasih Zainal. Hanya jodoh yang tak mengizinkan mereka bersatu bila Zainal akur dengan pilihan ibunya yang memilih Zira sebagai isteri Zainal. Dia tahu kekecewaan Janice tapi dia tetap tidak setuju dengan cara kedua-dua terus berhubung secara sulit selepas perkahwinan Zainal. Sebagai kawan memang dia tidak setuju dengan perbuatan Zainal. Mengenali Zira selama lima tahun sebagai kerani dibawah seliaannya, mata melihat tiada yang kurang pada isteri sahabatnya itu. You tak patut, bro. Kesian dia. Dia tak bersalah.

“O..okey. I okey, Jimmy.”

Aku nampak Jimmy geleng kepala sambil lepaskan nafas. Mata aku tak lepas pandang Jimmy. Hairan dengan reaksi ketua aku ini.

“I am sorry, Zira. I harap you kuat. I know you will. Tuhan tu adil.” Jimmy tepuk bahu aku perlahan. Aku kerut dahi pandang Jimmy yang dah bergerak masuk ke dalam bilik. Kepala aku cuba cerna makna kata-kata Jimmy. Aku tak pasti samada Jimmy dah tahu cerita pasal hal rumahtangga aku dengan Zainal. Kemungkinan besar itu memang ada. Naluri aku kuat ke arah itu. Jimmy kan kawan baik dan satu universiti dengan Zainal. Dan sebab itu juga aku dapat kerja kat Enigma ni. Jimmy yang tolong rekomenkan aku pada HR Department sebab Zainal mahu aku kerja di sini. Jimmy juga yang minta aku ditempatkan di bawah seliaannya atas permintaan Zainal. Senang nanti dia tahu apa yang berlaku pada aku kat sini. Dan berdasarkan semua fakta itu, kebarangkalian Jimmy dah tahu pasal hubungan Zainal dan perempuan itu memang ada. Cuma Jimmy mungkin tak mahu beritahu aku. Tak mahu campurtangan urusan rumahtangga kawan dia. Tak nak jadi Mak Esah kepochi.

“Zira..” Aku pusing ke sebelah. Zai pandang aku. Pandangan yang aku faham maknanya. Mesti Zai pun nampak dan dengar apa yang Jimmy cakap tadi. Aku hempas duduk ke perut kerusi. Mata aku hala ke arah skrin desktop. Dari ekor mata aku nampak Zai masih tak lepas pandang aku.

“Aku rasa Jimmy tahu pasal hal kau dengan Zainal, Zira. Kau fahamkan makna cakap dia tadi?” Aku masih tegun pandang skrin desktop. Barisan email di skrin aku nampak bagaikan benang yang berpintal. Berpintal membelit leher aku. Nafas rasa tercekik. Kata-kata Zai terulang. Tiba-tiba aku rasa malu dengan Jimmy. Malu bila rahsia kisah kemelut rumahtangga aku tertayang di depan mata lelaki itu. Entah apa agaknya penerimaan Jimmy. Kalau aku rungkai makna kata-kata Jimmy tadi macam yang Zai cakap, aku seolah-olah rasa Jimmy mahu aku terima suratan yang terjadi. Menerima hakikat Zainal sudah ada orang lain. Zainal sudah pilih orang lain. Dan aku kena terima dengan hati terbuka. Aku kena kuat. Macam kata Jimmy tadi. Aku tak kuat, Jimmy. Aku tak. Sebab tu aku minta diceraikan. Aku tak sanggup nak berdepan dengan mereka kalau aku harus berkongsi hidup. Aku boleh jadi gila nanti. Aku kalih pandang Zai. Tiba-tiba aku teringat panggilan dari Kak Long Zaihana tadi.

“Zai…”

“Ya.”

“Kak long Zainal suruh aku tunggu dia kat bawah lepas kerja nanti.” Aku nampak mata Zai terbeliak.

“Nak apa dia suruh kau jumpa dia? Nak pujuk kau jangan bercerai?” Aku geleng kepala perlahan. Tak mungkin kak long nak pujuk aku. Hati aku kuat cakap dia akan sembur aku. Perli aku. Sinis aku. Aku bukan tak kenal dengan kakak Zainal yang satu itu. Berbanding kak ngah dan kak lang yang lembut macam mak mertua aku, kak long ni macam dilahirkan untuk benci aku habis-habisan. Sampai sekarang aku masih tak tahu sebab apa dia bencikan aku sangat-sangat. Aku ada pernah buat salah dengan dia ke sebelum aku kahwin dengan Zainal?

“Ke…dia nak paksa kau setuju dengan niat si Zainal keparat tu untuk berpoligami?” Aku geleng kepala lagi.

“Aku tak tahu, Zai. Tapi kalau itu tujuan dia, aku takkan ikut. Aku tetap dengan keputusan aku.”

“Bagus. Kau jangan lembik. Lawan. Dia mesti nak menangkan adik dia kan. Sama aje dua ekor tu. Dia kan yang kau cerita kat aku tak suka kat kau. Selalu perli-perli kau bila jumpa kat rumah mak mertua kau? Dia kan?”

Aku diam pandang Zai. Nampak muka bengang Zai. Memang aku pernah luahkan rasa terkilan dengan sikap kak long pada Zai.

“Kau nak aku teman kau ke? Aku boleh beritahu laki aku suruh dia lambat sikit ambil aku.” Aku geleng kepala. “Tak apa, Zai. Aku boleh jumpa dia sorang-sorang. Aku okey. Kau jangan bimbang. Aku boleh jaga diri sendiri.” Tak mahu terus susahkan Zai dalam masalah aku dengan Zainal.

“Betul ke kau ni? Karang dia apa-apakan kau ke. Kurang-kurang aku ada. Boleh jugak aku bukak silat. Biar aku terajang dia kalau dia nak kurang ajar dengan kau. Boleh dia merasa tapak kaki aku ni.” Aku ketawa dengan lelucon Zai.

“Aku okey. Dia takkan boleh apa-apakan aku. Kat bawah tu ramai orang la, Zai. Takkan dia nak malukan diri sendiri.” Zai rapatkan tubuh ke kubikel aku.

“Kau jangan mengalah ye, Zira. Kalau dia marah kau, kau marah dia balik. Kalau dia maki, kau maki dia balik. Dia yang mulakan. Bukan kau. Yang penting biar dia tahu kau bukan perempuan lemah. Kau bukan perempuan yang boleh diperbodohkan.” Aku layang senyum kecil pada Zai.

Ya. Aku bukan perempuan bodoh.

Aku bukan perempuan lemah.

Bukan lagi!

Tuesday, April 18, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

DIVORCE?"

Zainal angguk perlahan. Menjawab lantun pertanyaan Janice. Sebelah tangan mengelus pangkal hidung. Sejak malam tadi dia tidak dapat melelapkan mata. Kata-kata Zira malam tadi masih bergayutan di minda. Mengasak dinding fikir. Janice yang faham bahasa tubuh lelaki di sebelahnya ini perlahan-lahan mengelus tangan Zainal. Lebih sepuluh tahun menyulam cinta dia cukup mengerti setiap rinci bahasa tubuh lelaki ini.

“Sayang…”

“Hmmm.” Mata Zainal tepat menghala ke mata Janice yang redup. Tangan membalas elusan jari-jemari halus Janice.

 Janice…perempuan dambaan jiwa yang dia cinta seluruh nyawa sejak dulu. Sejak diperkenalkan sepuluh tahun dahulu, Janice...yang berdarah kacukan cina belanda ini buat seluruh cinta dan kasih sayang Zainal tertumpah padanya. Hingga kini perasaan itu tetap utuh. Makin kukuh dan tak mungkin runtuh oleh apa jua halangan. Disebabkan makin kuat perasaan itu, dibulatkan seluruh rasa untuk mengahwini gadis yang setia menanti sejak dahulu. Janice yang tidak berpaling biarpun terpaksa merelakan Zainal mengahwini Zira lima tahun dahulu. Janice yang setia harus dibalas kesetiannya dengan mahligai cinta yang mereka impikan sejak dahulu. Dan Zainal mahu mengotakan janjinya pada gadis ini. Tidak sanggup lagi dia membiarkan Janice terus menunggu. Dia sendiri tidak sanggup lagi berpura-pura bahagia di mata Zira sedangkan hakikat jiwanya kosong tanpa Janice di sisi. Maafkan I, Zira. Maafkan I.

"She serious?" Pesanan WhatsApp yang Janice terima malam tadi dari Zainal buat hatinya gembira bercampur risau. Gembira kerana dia tidak perlu lagi berkongsi Zainal dengan Zira. Risau kerana Janice tahu yang Zainal tidak boleh menceraikan Zira. Itu janji Zainal pada ibunya waktu pernikahan kedua-duanya. Ibunya yang mahu Zira kekal sebagai isteri Zainal hingga akhir hayat.

Zainal diam. Pertanyaan Janice tidak terus dijawab. Hanya hela nafas yang bersuara. Dan bahasa nafas itu amat dimengerti Janice. Tangan Zainal digenggam kemas. Sebelah tangan lagi singgah di pipi Zainal. Diusap lembut. Mahu menyalurkan rasa tenang pada lelaki paling dicintai dalam hidupnya selama ini. Zainal tidak harus dibebankan dengan perkara remeh begini. Tidak perlu! Dan Janice tahu sesuatu perlu dilakukan. Perempuan tidak tahu bersyukur itu harus sedar diri. Dasar perampas! Zira perlu diajar untuk faham makna berterima kasih!

"Wanna ask someone help to talk to her?" Anak mata Zainal terhala kembali pada Janice. Tahu siapa yang dimaksudkan. Dan Zainal tahu benar sayang kak long pada Janice selama ini. Dan kak long juga yang menyokong kuat dia berkahwin dengan Janice dahulu namun terpaksa akur dengan keputusan mak yang memilih Zira. Bukan Janice.

“You rasa dia boleh tolong?”

Janice angguk. “Of course she will, sayang.” Senyum mekar di bibir. Genggaman tangan Zainal makin erat. Seraut wajah Kak Zaihana terlayar di mata.

“Habis…Zainal cakap apa bila kau suruh dia ceraikan kau?”

 Aku diam sejenak. Tak jawab terus pertanyaan Zai. Gelas air panas mati di depan aku capai. Aku hirup tenang. Zai hanya memandang sambil sambung suap nasi kukus ayam dara yang kami beli di medan selera tadi.

 “I tak nak kita bercerai, Zira. Please. Jangan suruh I ceraikan you. I takkan lakukannya. I minta maaf kalau pengakuan jujur I buat you kecewa. I minta maaf kalau hubungan I dan Janice yang berlaku di belakang you selama ini buat hati you terluka. I tak nak you terus terluka dan kecewa kalau you tahu perkara ini nanti dari mulut orang lain. Sebab itu I berterus-terang pada you. Walaupun I tak pernah cintakan you selama ini, I akan tetap bertanggungjawab pada you lepas I kahwin dengan Janice. I akan berlaku adil sebagai suami pada you. Trust me, Zira. I akan tetap jadi suami yang baik pada you.”

 Terluka?

 Kau dah buat aku lebih dari terluka dengan perbuatan senyap dan sulit kau selama ini, Zainal. Kau cincang lumat seluruh percaya yang aku berikan pada kau selama ini.

 Suami yang baik?

 Aku geleng kepala. Baikkah kau sebagai suami hingga tega menipu isteri kau sampai begini? Buat hubungan di belakang isteri kau sendiri? Baikkah kau sebagai suami?

 Adil?

Kau takkan boleh berlaku adil, Zainal. Sekarang pun kau dah tak jujur. Apatah lagi nanti bila perenmpuan itu nanti sudah sah kedudukannya dalam hidup kau. Aku takkan benarkan kau musnahkan hidup aku, Zainal. Aku takkan benarkan kau rosakkan seluruh perasaan dan jiwa aku. Cukuplah apa yang dah kau buat selama ini di belakang aku.

 “Dia cakap macam tu?” Zai buntangkan mata. Aku sambung suap nasi dalam bekas polistrin yang masih separuh berbaki. Hanya anggukkan kepala yang beri isyarat jawapan pada pertanyaan Zai.

 “Kurang ajar betul! Setan punya jantan!” Aku angkat sedikit mata pandang muka sakit hati Zai. Macam Zai, aku juga sakit hati dengan jawapan tak ada perasaan Zainal. Ingat aku apa?! Perempuan tolol? Perempuan bodoh bendul?!

 “Habis..kau jawab apa pada jantan tak guna tu? Eei..geramnya aku pada Zainal ni.” Zai ketuk-ketuk sudu pada bekas polistrin. Penzahiran amarah. Aku berhenti suap nasi. Aku sandarkan tubuh pada dada kerusi. Seketika aku hanya pandang muka geram Zai. Kepala melayang pada peristiwa malam tadi.

 “Kalau you tetap tak nak ceraikan I dengan cara baik, I akan dapatkan peguam untuk kemukakan permohonan cerai. Kita jumpa nanti di mahkamah.”

 “Zira…please.” Aku lepaskan pautan tangan Zainal di tubuh. Kaki aku bawa ke katil. Aku duduk perlahan-lahan. Zainal yang masih tegak dan berpusing memandang aku tatap tanpa rasa. Tiada lagi pandangan sayang dan cinta yang dahulu bermukim di hati. Semuanya sudah hilang. Semuanya sudah berkubur tanpa  nesan.

 “You dah ada dia. You dah pilih dia. Perempuan yang paling you cinta dan sayang selama ini. Kenapa masih nak simpan I? Sebab you tamak? Cukuplah, Zainal. Cukup mainkan perasaan I. Lima tahun you tipu I. Lima tahun you bodohkan I. Buat I gila bayang sendiri. Buat I rasa bahagia yang rupanya palsu. I dah penat, Zainal.  Penat. I cuma minta satu. Ceraikan I. You boleh nikah dengan perempuan yang paling you cinta lepas you ceraikan I. Itu yang terbaik buat kita.”

 “Bagus kau cakap macam tu, Zira. Lawan dia. Desak dia. Jangan bagi muka lagi. Aku bukanlah nak hasut kau Zira tapi aku geram la dengan dia. Kau kena kuat dan tegas dengan keputusan kau.” Zai hala genggaman tangan pada aku. Aku balas senyum kecil sambil angguk kepala. “Aku tahu Zai. Kau sahabat baik aku.” Aku tahu Zai hanya bersimpati pada aku. Dia yang banyak tadah telinga dengar luahan perasaan aku selama ini. “Jangan dia ingat kau perempuan lembik. Huh. Kalau aku ada semalam, mahu aje aku hadiahkan tapak kaki aku ni kat jantan tu. Biar dia sedar diri. Jangan fikir dia boleh tindas kau sesuka hati.”

Aku lepas nafas. Sempat aku toleh keliling. Hanya kami berdua sahaja di café. Kebanyakkan staff keluar makan tengahari di luar. Maklumlah hari ini hari gaji. Semua seronok nak menghabiskan duit yang masih panas di dalam dompet masing-masing. Cuma aku dan Zai sahaja yang tapau makan. Aku kena berjimat dari sekarang. Kena bersedia kalau nanti lepas aku bercerai, Zainal minta aku keluar dari rumah, mana aku nak cari duit untuk menyewa rumah lain. Aku dah kena siapkan bajet untuk itu. Tubuh kembali aku rapatkan ke meja. Nasi yang sedikit berbaki aku habiskan. Aku tahu Zai sedang merenung. Aku angkat mata. Aku lempar senyum.

 “Aku okey. Kau jangan bimbang.” Aku suap lagi nasi yang berbaki nyawa-nyawa ikan. Aku habiskan hingga licin bekas polistrin. Kena habiskan tiap butir. Mana tahu pada butir-butir nasi yang terakhir itu letakkan barakah pada makanan yang aku beli dengan rezeki halal yang aku dapat.

 “Zira..”

 “Hurm.” Aku masukkan bekas polistrin yang kosong ke dalam plastik merah. Aku simpul kemas dan bangun ke arah sinki.

 “Kau nak jumpa peguam yang aku cakapkan hari tu?” Aku pusing pandang Zai. Nafas aku telan perlahan-lahan.

 “Aku kena sediakan duit dulu, Zai. Aku kena keluarkan duit simpanan aku dulu.” Zai bangkit dari duduk. Bahu Zira dielus lembut.

 “Jumpa dia dulu dan minta pendapat…minta nasihat. Jumpa kat luar. Bukan kat pejabat dia. Nak minta pendapat ni bukan terus bayar ribu-riban. Sesi ni tak silap aku dia charge seratus ringgit aje. Kalau naik pun maybe dalam lingkungan tu juga la. Tak banyak beza. Kawan aku dulu buat macam ni la. Kau cerita dulu masalah kau dengan Zainal. Tengok apa yang dia suggest kau kena buat. Lepas tu nanti baru boleh fikir soal yuran guaman kalau kau nak guna khidmat dia untuk kemukakan permohonan cerai.”

 “Boleh ke macam tu, Zai?” Zai angguk. Bahu Zira dipaut.

 “Nanti aku call dia. Aku teman kau jumpa dia.” Aku angguk laju.

 “Terima kasih, Zai.”

 “Aku kan kawan kau. Apa guna jadi kawan kalau tak tolong kawan masa dia perlukan aku kan.” Aku capai tangan Zai. Aku genggam erat. Zai memang kawan yang paling baik yang aku pernah ada. Terima kasih, Zai.

Monday, April 10, 2017

DaYanG


“Okey. Cik Hajaratul Ain boleh ambil semula fail ini.” Azie hulur kembali fail biru mengandungi sijil-sijil akademik milik wanita muda di hadapannya ini yang selesai disahkan dengan salinan yang diberikan padanya sebelum ini. Dayang sambut fail yang dihulur dalam debar. Besar harapannya agar dia berjaya memperolehi jawatan kerani akaun yang diingini syarikat ini. Macam yang Liya dan Rose beritahu.
Azie tunduk menulis sesuatu pada interview evaluation form. Dayang yang duduk di depan hanya merenung dan menanti keputusan temuduga yang baru selesai. Dada ikut berlari risau. Kalau gagal, terpaksalah dia mencari kerja di tempat lain. Ke manalah haluannya pula. Sudahlah dia tidak punya kenalan di Kuala Lumpur. Mesti Liya dan Rose kecewa kalau Dayang gagal dalam temuduga ini. Azie angkat muka. Pen di tangan diletakkan semula ke lantai meja. Senyum dijalin.
“Saya bagi pihak Syarikat Gemilang Waja mengucapkan tahniah kerana Cik Hajaratul Ain berjaya dalam temuduga jawatan kerani akaun yang kami tawarkan. Cik boleh mula kerja isnin minggu depan. Surat tawaran akan pihak syarikat kurierkan petang ni. Kalau setuju dengan gaji dan syarat jawatan, datang hari isnin nanti, berikan pada kami salinan surat tawaran yang cik dah tandatangan.” Azie lempar senyum lagi. Mengerti riak debar yang terpamer di wajah hitam manis di hadapannya ini.. Dayang raup wajah. Allah…terima kasih. Doa kesyukuran terus dipanjatkan dalam hati urusan temuduganya di Gemilang Waja hari ini dipermudahkan olehNya.
“Alhamdulillah. Syukur.” Tangan kembali diletakkan ke riba. Senyum balas dijala pada wanita bernama Azie yang menemuduganya sebentar tadi. Segala yang terbeban di dada terlerai sudah. Liya…Rose, aku dapat kerja ni. Mahu dia menjerit saat ini memnberitahu dua sahabat baiknya itu.
“Terima kasih, Puan Azie. Terima kasih banyak-banyak. ” Azie angguk. Tangan dihulur pada Dayang.
“Tahniah sekali lagi. Selamat datang ke Gemilang Waja.” Dayang sambut huluran tangan.
“Terima kasih, Puan Azie. Terima kasih sebab terima saya bekerja di sini.” Azie bangkit dari duduk. Dayang ikut bangun dari perut kerusi yang diduduki. Fail biru di atas meja dicapai dan dibawa ke dada. Azie atur kaki mendekati Dayang.
“Mari…” Azie tarik lembut lengan Dayang. “Saya kenalkan Cik Hajaratul Ain pada Pengurus Kewangan Gemilang Waja..Cik Razlin Hamra.” Dayang angguk. Dua pasang kaki melangkah keluar dari bilik Azie yang merupakan Pengurus Sumber Manusia Gemilang Waja.
“Puan Azie.”
“Erm…” Azie humban senyum manis.
“Puan Azie boleh panggil saya Hajar aje. Panjang sangat nak sebut nama penuh saya tu kan. Kena ambil dua nafas kalau nak sebut.” Dayang senyum senget. Cuba berseloroh. Azie angguk sambil ketawa.
“Tapi nama awak cantik. Saya suka. Sedap pun sedap bunyinya.”
“Alhamdulillah. Arwah nenek yang bagi nama tu. Arwah mak ikut aje.”
“Oh ye ke.” Azie tahu yang wanita muda ini balu yang kematian suami dan anaknya lebih dua bulan yang lalu. Azie juga tahu wanita ini yatim piatu. Kehilangan ibu waktu berumur 10 tahun dan disusuli kematian nenek yang menjaganya waktu berusia 12 tahun. Dan semenjak itu dia dimasukkan ke rumah anak yatim piatu hingga menamatkan persekolahan. Itu yang diceritakan wanita ini waktu temuduga tadi kala diminta bercerita tentang latar belakang diri dan keluarga. Sedih juga Azie mendengarkan nasibnya.
Azie ketuk daun pintu bilik Razlin Hamra yang terkuak. Razlin paling wajah dari skrin IBM yang tekun ditenung sejak tadi. Senyum terlayar spontan.
“Hai Zie.” Tubuh Razlin spontan tegak dan berjalan ke arah pintu. Mata jatuh pada wanita muda berkulit hitam manis di sebelah Azie. Senyum saling bertukar.
“Ni…I nak kenalkan pada you kerani akaun kita yang baru. Minggu depan dia mula bekerja di sini. She will be under your supervision.” Razlin angguk menghampar senyum seraya menghulur tangan pada Dayang. Tangan Dayang ikut menyambut.
“Hai, apa khabar? Saya Razlin Hamra. Panggil Razlin aje ye. ”
“Saya Hajaratul Ain, Cik Razlin. Boleh panggil saya Hajar.”
“Okey…Hajar.” Razlin angguk kepala spontan. Senyum manis bersimpul. “Selamat datang ke Gemilang Waja. Hajar akan bekerja dengan saya di jabatan kewangan nanti.” Dayang angguk. Jabat makin erat. Saling bertukar senyum. Azie ikut tersenyum.
“Okeylah Lin. I hantar Hajar ke pintu keluar dulu. Mari Hajar.”
Dayang angguk. Senyum dilayang pada Razlin. Kepala diangguk tanda hormat.
“Terima kasih, Cik Razlin. Saya balik dulu.” Razlin angguk. Senyum.
“Jumpa isnin nanti ye.”
“Lin…” Azie melangkah masuk ke dalam bilik Razlin usai menghantar Dayang hingga ke pintu keluar tadi.
“Erm…” Tangan masih lincah di papan kekunci. Laporan prestasi jualan perlu disiapkan petang ini dan diserahkan pada James, pengarah kewangan Gemilang Waja. Ini memang rutin tugas Razlin setiap bulan. Kalau tak siap, mahulah kena bambu dengan pakcik muda tu.
“Aku ada benda nak cakap kat kau ni.” Razlin angkat muka.
“Benda apa?”
“Kerani akaun yang akan masuk tu…”
“Hajar? Yang tadi tu kan?”
Azie angguk. Mata terus melekat pada Razlin.
“Dia tu baru habis pantang bersalin. Suami dia baru meninggal dalam kemalangan.” Razlin humban pandangan terkejut pada Azie. Kepala Azie mengangguk.
“Anak dia yang dilahirkan di hospital pada hari kemalangan tu ikut meninggal dunia.” Razlin tekup mulut.
“Kesiannya dia, Zie.” Azie mengangguk lagi.
“Sedih sangat kan. Aku tak boleh nak bayangkan perasaan dia masa tu. Kalau aku kat tempat dia…” Azie hela nafas. Tak terdaya mahu menghabiskan kata-kata. Razlin yang jeda dipandang.
“Kau tau tak tadi masa interview, dia tanya kita kat sini ada tak sediakan nursing room. Of course kita ada provide nursing room for those mothers. Aku terfikir juga masa tu kenapa dia tanya pasal ni.”
“Okey.” Razlin angguk. Cuba dicerap cerita yang sedang disampaikan Azie.
“Dia kata boleh ke dia dibenarkan keluar ke bilik tu waktu kerja. Dia cakap susu dia masih banyak keluar walaupun anak dia dah tak ada. So…kenalah keluarkan. Tidak nanti mudarat. Bengkak. Sakit. Aku tahulah. Aku dah dua kali beranak.” Razlin tujah bebola mata pada Azie. Lama direnung teman baiknya yang satu ini. Ada sesuatu yang melintasi fikiran.
“Kau fikir tak apa yang aku sedang fikir sekarang?” Azie depa tubuh ke depan. Merapati meja teman baiknya ini. Azie angguk. Faham apa yang dimaksudkan Razlin.
“Itu yang aku datang ni. Itu jugak yang nak aku cakapkan dengan kau.” Azie sandar tubuh ke dada kerusi semula. Razlin yang merenung dijamah.
“Aku rasa Hajar mungkin boleh tolong masalah anak abang kau tu.” Razlin sandar tubuh. Nafas dihela. Dia tahu masalah Rais untuk mencari ibu susuan untuk anaknya masih belum menemui jalan penyelesaian. Dah merata mereka sekeluarga mencari dan hujung minggu ini sepupu mereka yang menjadi ibu susuan sementara akan balik ke Kuching untuk memulakan tugas. Dua tangan memaut dagu. Azie dilihat mengangkat kening.
“Kau rasa dia nak tolong tak?” Razlin hala bibir yang dimuncungkan. Azie paut dua tangan ke dada.
“Tak cuba kau tak tahu. Lagipun aku fikir semua ibu sama, Lin.”
“Maksud kau?”
“Setiap ibu itu punya naluri kasih sayang yang tinggi. Dia bantu ni dah kira macam satu kewajiban sebab dia ada kemampuan untuk tolong anak saudara kau tu. Aku yakin dia akan tolong. Insyaallah.” Razlin angguk perlahan. Dua tangan dijatuhkan ke lantai meja.
“Harap-harap gitu la, Zie. Kami dah buntu sangat ni. Aku dah tak tahu nak tolong Rais macam mana.” Kepala dijatuhkan ke meja. Seraut wajah comel Ismail Muqri terlayar. Maksu harap dia boleh tolong Muqri ye, sayang. Muqri doa ye.

Monday, April 3, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

AKU berlari laju menaiki anak tangga ke tingkat atas. Airmata yang membasahi pipi aku sapu dengan tapak tangan. Aku tahan esak dari berderai. Kaki panjang aku melangkah setiap dua anak tangga. Aku mahu segera ke bilik. Sebaik sampai di depan bilik, aku putar tombol pintu dan melolos masuk. Punat pintu aku tekan dari dalam. Tubuh aku sandarkan ke dinding pintu. Seketika aku jeda. Kepala mengulangi semula apa yang aku cakapkan sebentar tadi pada Zainal. Terlayar setiap baris kata-kata itu di mata. Dan kata-kata akhir aku tadi bagaikan memancar-mancar di pandangan. Kata-kata itu bagaikan bersuara. Menjerit.
            Lepaskan hati I, Zainal. Lepaskan.
            Lepaskan!!!
            Aku kemam bibir. Kenapa aku rasa sedih sangat saat ini? Bukankah ini keputusan yang dah aku ambil? Hati rasa teramat sedih bila kata-kata itu kembali menjerit di telinga. Dada rasa nak pecah. Ya Allah, sakitnya ujianMu ini. Aku tekan tapak tangan ke dada. Kenapa mesti jadi begini? Kenapa mesti aku yang lalui semua ini? Kenapa aku?!
Zira…sabar. Sabarlah.
Suara jiwa sedang memujuk. Aku tekup mulut. Airmata makin lebat. Aku biarkan. Menangislah, Zira. Menangislah sepuasnya. Lepaskan semua. Jangan simpan. Suara jiwa terus memujuk. Tubuh yang tegak kini menggelungsur ke lantai. Dua kaki aku tarik rapat ke dada. Aku paut kuat dan aku sembamkan muka ke kepala lutut. Esak terus menghumban suara nyaring. Hati aku meraung hiba. Beratnya dugaanMu ini ya Allah. Berat sangat.
            Zainal pandang pintu bilik yang tertutup rapat. Dua tangan meraup wajah. Dia tahu Zira ada di dalam. Nafas di hela. Tangan yang meraup wajah kini jatuh ke sisi. Mata masih merenung daun pintu. Kata-kata Zira tadi waktu di dalam kereta terus terngiang. Permintaan Zira masih menghentak kepala. Kepala digeleng. Tak mungkin, Zira. Tak mungkin!
Zainal menapak rapat ke pintu. Kura tangan singgah di daun pintu.
            “Tok! Tok! Zira…buka pintu ni, please.”
            Ketukan di pintu memanggil nama aku buat aku tersedar dari alunan perasaan sedih. Aku angkat kepala. Aku tahu itu Zainal. Aku matikan diri. Tak ingin mahu membalas seruannya. Jauh sekali membuka pintu. Aku sapu wajah yang basah seraya menarik nafas. Fikiran kembali terawangan. Berfikir tentang apa yang akan jadi dengan hidup aku lepas ini. Bercerai bermakna aku akan kembali ke garis permulaan hidup. Bermula dengan kosong. Benar-benar bersediakah aku untuk itu? Juga bersediakah aku berhadapan dengan keluarga? Masyarakat sekeliling?
            Bisu.
Tiada jawapan dari Zira. Zainal hempas nafas. Dia tahu perasaan Zira sekarang tapi Zainal harus memujuk isterinya itu. Walau apapun, mereka tidak boleh bercerai. Dan dia tidak akan sesekali menceraikan Zira. Itu muktamad. Melepaskan Zira bermakna akan mengundang malapetaka dalam hidup. Dia belum gila mahu terjun ke dalam gaung malapetaka. Zainal tidak mahu terjerumus dalam lubang bala itu. Bala yang akan meranapkan hubungannya dengan ibunya. Dia tahu benar sayang ibunya pada Zira. Melebihi dirinya sendiri.
            “Zira, please. Open the door. We neek to talk.”
            Aku pandang pintu yang kaku. Aku macam boleh nampak Zainal yang sedang berdiri. Aku pandang muka dia. Aku pandang mata dia. Cakap apa lagi, Zainal? Dah tak ada apa-apa lagi yang perlu kita cakapkan. Aku geleng kepala. Dah tak ada, Zainal.
            “Zira, please. Dengar apa yang I nak cakap dulu.”
            Aku biarkan Zainal. Biarkan dia lelah sendiri. Nanti penat dia akan berhenti dan tinggalkan aku. Aku tahu sangat perangai Zainal. Dia bukan jenis pemujuk. Aku pandang sekeliling bilik. Buat pertama kali aku rasa macam orang asing di rumah sendiri. Rumah yang sudah aku diami selama 5 tahun. Rumah yang aku anggap syurga dunia sejak bergelar isteri pada lelaki yang aku serahkan seluruh jiwa dan raga. Cinta dan kasih sayang hanya buat dia. Lelaki yang aku mahu hidup bersama sampai nafas terakhir. Itu impian hidup yang aku sematkan dalam hati sejak aku jadi isteri Zainal. Harapan aku hanya mahu hidup dengan Zainal sampai mati. Mahu jadi isterinya sampai mati. Tapi segala impian dan harapan itu semua dah tak ada. Syurga itu sudah ranap. Musnah kerana kecurangan Zainal.
            “Zira…please. I boleh buka pintu bilik ni kalau I mahu.”
            Aku humban mata ke pintu. Bukalah. Ini kan rumah you, Zainal. Perlahan-lahan aku bangkit dari duduk. Aku terus biarkan Zainal menunggu di luar bilik. Kaki menapak ke meja hias. Tas tangan yang tersangkut di bahu aku letakkan di lantai meja. Aku raup wajah yang masih berbekas air mata. Aku pandang muka sendiri di cermin dalam bilik tamu. Muka yang berbalut jaring sedih. Muka yang bersalut benang pilu.   
Ye. Bilik tamu.
Sejak semalam aku tak tidur dalam bilik kami. Sejak dia buat pengakuan berani mati yang menghancurkan seluruh jiwa dan raga aku. Meranapkan seluruh kepercayaan aku selama ini padanya. Aku yang selama ini berharap segala yang terjadi…segala yang terdengar hanya khilaf yang tak disengajakan. Rupanya aku sahaja yang berharap. Sedangkan Zainal bersungguh. Aku rasa jijik dengan Zainal. Aku rasa aku lebih hina dari pelacur jalanan. Sekurang-kurangnya pelacur itu dibayar untuk tidur bersama dengan lelaki yang mahukan khidmat layanan seksualnya. Tapi aku? Percuma. Zainal tak perlu bayar apa-apa untuk dapatkan layanan aku. Bila-bila sahaja dia mahukan aku…mahukan layanan intim, aku tunaikan hasrat dia tanpa apa-apa bayaran. Aku yang bodoh ini begitu bahagia sekali melakukannya. Tanpa aku tahu dia tak pernah sukakan aku. Tak pernah cintakan aku selama ini. Mungkin dia membayangkan bekas kekasih dia waktu bersama dengan aku selama ini. Membayangkan setiap inci tubuh aku ini yang dia jamah dan ulit tubuh perempuan itu. Aku pejam mata. Bibir aku gigit kuat. Kejinya you, Zainal. Keji!
Zainal elus dahi. Mata terus menikam pintu bilik. Zira masih enggan. Masih berkeras. Kunci di tangan disorongkan ke lubang pintu. Memang tadi waktu mendaki tangga ke tingkat atas dia masuk dahulu ke dalam bilik utama mengambil kunci bilik ini. Dia sudah bersedia dengan plan sokongan jika Zira enggan membuka pintu seperti malam tadi. Sorry Zira, you tak beri I pilihan. Tangan memutar tombol.  

Telinga cekap menghantar isyarat pintu bilik sedang dibuka. Aku sapu airmata yang mengalir. Jangan nak menangis lagi, Zira. Berhenti! Aku pusing tubuh. Kaki melangkah perlahan ke katil. Satu-persatu derap aku telan bersama sebak di jiwa. Tubuh aku hempaskan ke katil. Aku pandang pintu bilik yang sudah ternganga. Zainal yang tegak di muka pintu singgah di mata.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...