Saturday, March 18, 2017

Hati Ini Pilih Kamu


PROLOG
Pandangan kosong aku hala ke langit. Sekosong fikiran aku saat ini. Terik matahari yang membahang memercikkan titis peluh di dahi. Tapak tangan aku lap ke dahi. Aku pusing ke belakang semula. Bangunan kaku yang baru aku tinggalkan sebentar tadi aku pandang buat kali terakhir. Bangunan yang baru sahaja menghadiahkan status baru untuk aku sandang dan bawa selepas ini. Status panas bagi seorang perempuan. Juga buat perempuan-perempuan yang memandang. Aku hela nafas dalam-dalam. Aku takkan jejak lagi ke sini. Cukuplah sekali aku cemarkan kaki aku ke sini semata-mata menuntut sebuah keadilan buat diri aku.
Langkah kaki aku atur ke perhentian teksi. Aku kena balik semula ke pejabat. Aku cuma ambil cuti separuh hari sahaja hari ini sebab kata peguam yang uruskan kes aku kalau dua-dua pihak bersetuju kes boleh selesai cepat.
Ya. Aku memang nak selesai cepat urusan ini. Aku dah tak mampu nak tanggung lagi beban yang makin lama makin menekan seluruh jiwa raga. Aku bukan patung. Aku manusia. Aku ada perasaan. Aku ada mata. Ada telinga. Aku tak boleh nak buta dan tulikan apa yang aku nampak dan dengar. Dan aku bukan bodoh. Bukan dungu. Aku cuma mahu hak aku. Hak untuk hidup bahagia macam perempuan lain.
Aku labuhkan duduk di perhentian teksi. Muka kembali basah dengan peluh. Aku raup tapak tangan ke muka. Baju kurung hitam yang aku sarung pun dah rasa basah di bahagian belakang. Rasa yang melekit di tubuh. Tapak tangan akau kipas-kipas ke muka. Rasa berangin sikit. Kurang sikit bahang panas yang membakar. Tas tangan yang tersandang di bahu aku bawa ke riba. Aku buka dan seluk tangan ke dalam. Mencari telefon. Aku nak telefon Zai, kawan yang duduk di meja hadapan aku. Kalau-kalau aku terlambat sikit masuk, mintak dia tolong coverkan. Telefon asal negara Korea yang sudah lebih 7 tahun aku pakai aku lekap ke telinga lepas aku tekan nombor telefon Zai.
“Beb..”
“Dah selesai ke?” Zai kat talian sana terus tanya aku. Memang dia tahu aktiviti aku pagi ini. Dan dia memang tahu segala-galanya yang dah terjadi. Aku memang cerita kat dia sorang aje sebab aku percaya dia boleh simpan rahsia. Dia bukan spesies mulut ada kiri kanan depan belakang.
“Dah.” Aku tutur perlahan. Macam ada rasa sebak yang menepuk dada. Sedih ke aku?
“Beb..Kau okey ke?” Zai memang kawan yang prihatin. Mungkin dia boleh teka dari bunyi suara aku yang perlahan dan bergaul dengan desir sayu. Dia yang tua lapan tahun dari aku dan sudah berkahwin selama sepuluh tahun. Dia bernasib baik dapat suami yang baik. Yang penyayang. Bukan macam aku.
Pertanyaan Zai aku sendiri tak tahu nak jawab macam mana. Fikiran aku memang kosong sekarang. Macam langit yang terbentang kat atas sana. Putih.
“Okey kut. Kau janganlah risau sangat pasal aku. Aku kena terima semua ni, Zai. Takdir aku dah tertulis macam ni.”
Zai diam. Aku pun diam. Suasana sunyi tiba-tiba.
“Beb..kau tolong cover kalau aku lambat sampai office. Mana tau kut nanti boss tanya apasal aku lambat. Aku tunggu teksi ni. Harap cepat dapat.”Aku pecahkan suasana sunyi antara kami. Aku tak nak Zai terus risau pasal aku. Terus bimbangkan keadaan diri aku. Dah banyak sangat dia tolong aku selama ini. Masa…duit. Naik segan aku dengan dia. Nasib baik suami Zai, Abang Jazli baik dan faham keadaan aku. Aku pandang ke jalanraya. Tak ada sebijik pun teksi yang muncul.
“No hal la. Lagipun boss kan tahu kau pergi mana.” Iya tak iya jugak. Aku lupa pulak yang aku dah beritahu Jimmy semalam pasal urusan aku di sini. Jimmy angguk dan tak tanya apa-apa. Dia senyum kecil aje. Aku tahu Jimmy tak nak aku sedih. 

“Okey, beb. Nanti kita sambung cerita kat office. Aku nak off handphone ni. Bateri dah nazak. Aku lupa charge semalam. Assalamualaikum.” Usai dengan Zai jawab salam aku, telefon terus aku off kan. Aku seluk tangan ke dalam tas tangan nak masukkan telefon sambil mata pandang ke jalanraya. Tiba-tiba aku nampak cincin yang Zainal campakkan pada aku tadi jatuh ke bawah dan bergolek laju ke depan. Aku bangkit dan mengejar.

“Pin!!!!!!!!!!!!!!!!”

“Bummm!!!!!”

“Allah.”

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...