Tuesday, May 30, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku lambai tangan pada Zai dan Abang Jazli yang hantar aku balik. Kalau boleh aku memang tak mahu nak menyusahkan mereka berdua. Bukannya aku tak bersungguh menolak, tapi Zai dan suaminya beria benar tadi. Sampai aku tak tahu nak kata apa. Abang Jazli cakap waktu dalam kereta tadi yang aku ni dah macam adik dia. Susah aku, susahlah dia. Setakat mana dia boleh tolong, dia akan tolong. Zai pulak kata, kalau aku anggap dia kawan baik, tolong jangan tolak pertolongan dia. Dia rasa bersalah kalau tak tolong sedangkan dia mampu. Panas kolam mata dengar kata kedua-duanya. Segan, malu dan sedih pada nasib diri hanya Tuhan yang tahu.
Aku masih tegak macam patung di depan pintu pagar yang ternganga. Mata pandang kereta Saga biru yang berdenyut meninggalkan kawasan rumah. Dalam hati ada sebak yang menguis. Orang luar lebih ambil berat hal aku dari suami sendiri.
Suami.
Rasa berpasir liur yang aku telan bila perkataan itu singgah di rengkung. Aku toleh ke halaman yang sepi. Kereta mewah Zainal sudah terparkir tanda dia ada di dalam rumah. Kaki melangkah masuk melepasi pitnu pagar. Seiring juga ingatan kembali pada apa yang berlaku pagi tadi. Aku nampak Zainal berdiri di sisi pintu kereta. Dia nampak aku di pintu menyarung kasut untuk ke pejabat. Zainal lempar renungan tajam sebelum melolos masuk ke dalam perut kereta dan meninggalkan aku. Langsung tak pelawa aku. Aku tertanya-tanya sendiri. Aku ada buat salah ke? Malam tadi reaksi dan suara dia macam rasa bersalah sebab aku balik sendiri lepas jumpa kak long. Kenapa pagi rasa itu terus berubah?
Aku terasa hati sangat dengan tingkah Zainal. Dan rasa jauh hati itu terheret sepanjang perjalanan ke pejabat. Mata masih terbayang-bayang Zainal hempas pintu kereta dan menekan enjin kereta meninggalkan aku yang terpinga-pinga di halaman. Akal jahat aku tidak dapat menolak reaksi Zainal tadi ada kaitan dengan kak long. Kak long dah cakap apa pada Zainal? Aku putar tombol pintu utama usai beri salam. Pintu aku tutup semula dan berpusing ke depan. Aku terus heret kaki untuk ke atas.
“Zira..”
Spontan kepala aku terpusing ke arah ruang tamu. Zainal sedang duduk bersilang kaki dan tangan. Menghumban renung tajam. Kepalanya bergerak sedikit. Beri isyarat.
“Sini. I need to talk to you.”
Aku diam. Nafas aku telan dalam-dalam. Hati aku rasa tak sedap tapi aku tetap akur dengan arahan veto Zainal. Kaki bertukar kompas. Berputar ke ruang tamu. Langkah perlahan aku atur. Zainal masih merenung tajam. Aku duduk di sofa setentang. Dia masih terus merenung dalam bisu. Wajah ketatnya terpamer jelas. Aku tahu ada yang tak kena. Lima tahun hidup sebumbung dengan lelaki ini aku kenal benar perangainya. Aku letak tas tangan di sebelah. Renung Zainal aku balas tenang.
“I dah duduk. Cakaplah.”
Aku nampak Zainal macam menahan marah. Rahangnya bergerak-gerak. Dua tangan yang memaut tubuh tadi sudah terlerai dan digenggam kemas. Macam nak bertumbuk aje aku tengok. Dia nak tumbuk aku ke?
“Apa yang you cakap dengan kak long semalam?” Zainal tekan suara. Sedikit tinggi. Seketika aku diam. Tak jawab pertanyaan dia. Seperti yang aku duga, memang kak long punca riak dan perangai Zainal berubah 360 darjah dari malam tadi. Aku pandang muka Zainal. Dan diam aku rupanya buat dia letuskan amarah yang tadinya terpamer pada riak wajah.
“Jawab!!!”
Halilintar suara Zainal bergema. Memecah sunyi ruang tamu yang bisu. Aku terkejut. Mata terkelip-kelip. Bibir ikut terjeda dek terperanjat. Zainal tak pernah memetir begini. Apa yang dah kak long cakap pada dia? Aku rasa ada perkara tak betul yang kak long cakapkan pada Zainal tentang pertemuan kami semalam. Dan sebab itu Zainal tinggi suara. Aku tiba-tiba jadi sakit hati. Kalau kak long ada kat depan aku sekarang ni memang aku tanyakan apa yang dia dah cakap pada Zainal pasal hal semalam. Aku tak nak tuduh, tapi aku yakin kak long fitnah aku pasal hal semalam. Tak apa. Aku nak tahu apa yang kak long cakap.
“Cakap apa yang you maksudkan?” Aku tayang muka berani. Terkejut dan terperanjat tadi hilang dek rasa sakit hati yang menumbuk-numbuk dada.
“You jangan nak pura-pura, Zira!!!”
“Pura-pura apa!!!” Suara aku pulak sama naik. Marah pulak aku dituduh macam tu. Siapa yang pura-pura? Aku ke atau kak long kesayangan dia? Zainal hala telunjuk. Tepat ke muka aku. Aku langsung tak beriak. Lantaklah kalau dia nak kata aku tak hormat dia sebagai suami. Dia yang dulu tunjuk rasa tak hormat pada aku.
“Betul cakap kak long. You memang kurang ajar. Sekarang I tengok perangai sebenar you. Mak I pun dah tertipu dengan lakonan you.”
Aku dah agak dah. Kak long memang boleh menang award best actress. Antara benar aku dan bohong kak long tentu bohong kak long lagi Zainal percaya. Lagi menyakinkan dia tapi aku tak peduli.
"I tak ada bukti tapi I ada saksi. Tuhan." Aku pandang muka ketat Zainal.Muka tak puas hati. Muka sakit hati. Muka nak makan orang pun ada.
"Jangan nak guna nama Tuhan untuk tutup salah you, Zira. Admit it. You memang kurang ajar dengan kak long. Sanggup you tinggikan suara pada kak long. Caci I dan Janice. Janice tak pernah salah pada you. Tak perlu nak caci maki orang. Adab you selama ni yang mak I banggakan tu mana? Atau you memang pura-pura tunjuk baik depan I dan keluarga selama ini?"
Zainal humban perli. Aku senyum sinis. Hebat kau, kak long. Tapi…kau jangan lupa, lidah hebat kau tu akan dikunci di sana nanti. Biar mata dan seluruh anggota kau yang lain jadi saksi atas apa yang kau dah cakap pada Zainal tentang hal semalam. Zainal yang masih menunggu pengakuan bersalah aku jamah tanpa rasa takut.
“Betul I kurang ajar?” Aku tanya Zainal. Aku nak dia faham isyarat aku yang dia tidak adil pada aku sekarang sebab hanya dengar cakap kak long. Dia tak beri telinga dia peluang dengar cerita dari pihak aku.
“Memang you kurang ajar pada kak long!” Zainal humban suara keras. Aku angguk kepala. Dia dah jatuhkan hukuman sedangkan aku tak berpeluang bela diri.
"I kurang ajar...atau dia yang terlebih diajar?"
"Zira!"
“I kurang ajar bila orang yang lebih tua kurang ajar dengan I. Cerca maruah I. Caci diri I. Tanya kak long you apa yang dia cakap pada I.”
Aku bangun dari duduk. Tas tangan aku capai. Bukan niat nak kurang ajar pada Zainal, tapi aku rasa tak ada guna aku bertikam lidah pada perkara yang aku awal-awal dah dijatuhkan hukuman. Dan Zainal memang tidak mampu berlaku adil.
“Duduk! I belum habis lagi dengan you, Zira.”
“It’s done, Zainal. I’ve nothing more to say.” Aku bergerak mengatur kaki. Zainal pantas bangkit dan mencapai lengan kiri aku. Dicengkam kuat.
“I masih suami you, Zira. Hormat you mana pada I?”
Aku renung mata Zainal. “Hormat?” Aku layang senyum sinis. Kata-kata pedih kak long terngiang kembali di cuping. Aku tekan telunjuk ke dada bidang Zainal.
“You hormat I sebagai isteri you, Zainal?” Aku nampak muka Zainal tak beriak. Aku kulum senyum. “Tanya diri you…suami apa you ni yang sanggup kata isteri dia perempuan mandul. Suami apa you ni yang sanggup buka aib isteri sendiri? Suami apa you ni, Zainal?!” Aku tekan kuat lagi telunjuk.
“Zira! Jangan nak tuduh I yang bukan-bukan.”
“Tanya kak long you!!!”
“Jangan nak fitnah kak long!!!” Sebak menampar-nampar dinding hati bila diherdik Zainal tanpa belas. Kak long tetap benar di mata dan hati dia. Aku ketap bibir. Mata kami terus bersabung. Aku terus pandang Zainal.
“Terpulang pada you. You dah anggap I bersalah. Apa lagi yang I ada.”
“I dah buat keputusan tentang you dalam hidup I.” Zainal lepaskan cengkaman tangannya pada lengan aku.
Aku angguk. Macam tunggu hukuman mati. Tahu apa yang bakal aku terima.
“I tak boleh nak terima lagi perempuan yang berpura-pura macam you dalam hidup I. Cukup I tertipu dengan lakonan you selama ini.” Aku lempar tatap pada Zainal. Jiwa rasa dihiris-hiris. Hati bagai dicincang lumat. Kejamnya kata-kata Zainal. Ya Allah. Kuat Zira. Kuat! Aku ketap bibir. Kornea masih di wajah Zainal.
“I rela tak bersuami dari ada suami sekeji you, Zainal.” Aku nampak Zainal humban tatapan tajam. Peduli apa aku kalau dia terasa. Memang dia lelaki keji.
“I akan lepaskan you, Zira. Kita akan jumpa di mahkamah nanti. I akan failkan permohonan perceraian esok. I akan lepaskan you secara baik, Zira. I takkan aniaya you. I masih ada rasa perikemanusiaan pada you.”
Perikemanusiaan.
Akhirnya ini noktah hubungan aku dan Zainal. Dan ini hadiah Zainal atas segala patuh dan ikhlas aku sebagai isteri selama lima tahun. Aku terbayang wajah mak dan abah. Tak tahu apa yang akan aku beritahu. Maafkan, Zira mak…abah.
“Terima kasih atas perikemanusiaan you, Zainal.” Aku lafaz suara tenang sambil menyeru kekuatan untuk aku terus berdiri di saat tubuh mahu rebah. Aku angguk kepala pandang Zainal sekali lagi sebelum heret kaki ke arah tangga. Aku pandang keliling rumah. Rasa mahu menangis tapi aku tahan. Terlalu banyak kenangan manis yang terakam di rumah ini. Mungkin hari ini hari terakhir aku berpayung di rumah milik Zainal. Esok aku sudah jadi orang asing. Aku tak berhak lagi berteduh di sini.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...