Thursday, June 15, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Waktu sampai di perkarangan rumah besar mak mertua aku, susuk tubuh Kak Ngah Zainora dan Kak Lang Zailina yang cemas sedang menanti di halaman. Siap melambai-lambai. Isyarat suruh kami keluar cepat dari kereta. Zainal dan aku saling memandang seketika sebelum dia dahulu melolos keluar dari perut kereta. Hati dah rasa tak sedap. Dengup jantung berlari kencang. Janganlah jadi apa-apa pada mak mertua aku. Doa bertali arus dipanjatkan. Aku tanggal tali pinggang dah ikut laju melolos keluar.
“Cepat, Nal. Cepat!” Kak ngah laju menerpa sambil menyambar tangan Zainal. Aku ikut lajukan langkah. Muka cemas kak ngah terlukis jelas di depan mata kami. Aku telan liur.
“Kenapa ni, kak ngah?” Zainal tanggalkan kasut. Aku salam dan cium tangan kak lang. “Kenapa kak lang?” Aku bisik perlahan. Muka rusuh kak lang buat hati aku makin tak sedap rasa. Dia hanya mengunci mulut. Aku tanggalkan kasut. Kedua-duanya aku pandang silih berganti bersama gusar dan galau yang ikut bertempur dalam hati. Apa yang dah berlaku ni?
“Mak, Nal. Mak. Jom naik ke atas. Cepat!” Kak ngah tak jawab soalan Zainal sebaliknya terus menarik tangan adik bongsunya ini. Sebaik dengar nama mak disebut, Zainal meluru masuk ke dalam rumah dan berlari menaiki tangga ke tingkat atas. Aku capai tangan kak ngah dan aku cium. Terasa kak ngah seakan sedang merenung. Kak lang ikut merenung aku.
“Kenapa dengan mak, kak ngah?” Kak ngah tak jawab tapi terus pandang aku.
“Mak dengan kak long tengah bergaduh kat atas sebab kamu, Zira. Sebab kamu mak dan kak long bergaduh. Apa yang dah kamu buat ni? Tak cukup ke kasih sayang mak yang melimpah ruah pada kamu selama ini? Sampai hati kamu buat mak macam ni. Malukan mak. Kamu tahu tak mak sedih sangat. Apa dosa mak pada kamu?”
Suara kak ngah cukup sinis di telinga. Kak ngah yang aku hormat berubah sekelip mata. Aku tak tahu apa yang dah berlaku sebelum aku sampai. Tapi reaksi kak ngah dan kak lang sudah menceritakan segalanya. Aku telan liur. Aku sedang dipersalahkan tanpa aku sempat bela diri. Kak ngah dan kak lang terus berlalu masuk ke dalam rumah dan meninggalkan aku yang seakan tidak diundang untuk masuk ke dalam.
Bibir bergerak-gerak. Seakan mahu memberitahu. Zira tak salah, kak ngah…kak lang. Tolonglah beri peluang Zira bercakap. Tapi aku hanya terdaya memandang susuk tubuh dua kakak ipar aku laju menaiki tangga. Dan mereka langsung tak menoleh ke belakang. Sayup-sayup telinga dihadiahkan suara mak dan kak long yang saling bertingkah disusuli suara Zainal. Aku kemam bibir. Tubuh terduduk di depan pintu.
Zira minta maaf, mak.
Zira minta maaf.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...