Friday, June 30, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

“Betul tak cakap saya?” Dia ni memang jenis selamba aje ke kalau bercakap? Buatnya aku ni masih isteri orang, tak ke huru-hara jadinya.
Telefon aku menjerit dari dalam tas tangan. Telefon yang aku hidupkan semula tadi waktu nak bagi nombor telefon Jimmy pada lelaki ini. Dalam terkejut waktu lelaki ini mintak nombor Jimmy aku boleh tak ingat nombor boss sendiri. Memang blurr sekejap. Lepas tu lupa pulak aku nak matikan semula. Tapi ada hikmah aku tak matikan tadi. Tidak, tak jadilah dia penyelamat waktu aku dah hilang kata-kata nak jawab pertanyaan lelaki ini.Aku seluk dan keluarkan telefon asal negara Korea.
Nama Zai terpapar di skrin bersama isyarat bateri yang tinggal nyawa-nyawa ikan aje. Aku boleh agak mesti pasal lelaki di sebelah aku ni telefon Jimmy beritahu pasal kes kereta dia hampir terlanggar aku di luar mahkamah tadi dan Jimmy beritahu Zai. Tak boleh cakap lama-lama ni. Karang terputus pulak tengah jalan. Nanti kat rumah lepas cas aku akan telefon dan cerita semua pada Zai. Tahu sangat perangai kawan baikku ini. Mesti dia tengah risau gila.
“Suami puan?” Aku geleng kepala. Aku dah dilucutkan jawatan isteri sebentar tadi. Dah tiada lagi suami dalam hidup aku. “Kawan office saya.”
“Oh.” Dia angguk perlahan bersama riak tanya tanda di muka. Aku abaikan reaksinya dan lekatkan gajet ke telinga. Salamku hulur.
“Assalamualaikum.” Zai jawab salam dalam nada cemas.
“Kau macam mana? Teruk ke? Jimmy baru beritahu aku ni lepas dia habis meeting. Teruk betul la mamat tu.” Kan betul aku cakap. Jimmy tu aku rasa dia tak nak Zai risau. Boss aku tu memang jenis relax and cool aje.
“Beb..nanti sampai rumah, aku call kau ye. Bateri aku nazak betul ni.”
“Kau teruk ke? Cedera? Patah?” Kesian Zai. Risau benar dia akan keadaanku.
“Aku okey, Zai. Kau janganlah risau. Luka sikit sikit aje. Kaki terseliuh. Tu aje. Eh…aku nak offkan phone ni. Nanti sampai rumah aku call kau balik ye.”
“Okey..okey. Take care ye. Sampai rumah terus call aku tau.”
“Ye. Aku call kau bila sampai nanti. Assalamualaikum.”
Sebaik Zai sambut salam, gajet aku tarik dan terus aku matikan dan sumbat dalam tas tangan.
“Nah..”
Mata aku dihidangkan telefon canggih yang dihulurkan lelaki ini. Aku laju pusing sebelah.
“Buat apa ni?”
“Gunalah telefon saya untuk call suami, puan. Nanti dia risau kalau dia call tak dapat-dapat.” Mungkin dia dengar aku sebut bateri aku nazak masa berbual dengan Zai tadi. Aku pandang dia lama. Ada rasa sayu yang menyapa. Zainal takkan risaukan aku lagi. Dah tak perlu.
“Saya dah tak ada suami.” Perlahan aku tutur sambil pandang ke kaunter. Dari ekor mata aku nampak dia pandang ke arahku. “Tadi tu masa encik hampir langgar saya, saya baru keluar dari mahkamah. Kami baru lepas bercerai.” Bibir aku kemam. Sebak bila mengingatkan saat Zainal melafazkan talak yang meleraikan ikatan sah antara kami.
“Oh. Maafkan saya. ” Aku senyum segaris pada dia yang pamer wajah bersalah.
“ Tak apa, encik. Dah habis jodoh kami.” Bukan setakat habis. Terputus terus dan takkan mungkin bersambung lagi. Aku takkan berpaling lagi pada lelaki seperti Zainal. Aku lebih rela jadi janda sampai mati dari kembali semula pada dia.
Nama aku dipanggil dan dia beri isyarat suruh aku duduk. Dia bangun dan terus ke kaunter. Selesai urusan dia kembali padaku menjinjit satu plastik putih.
“Jom. Saya hantar awak balik.” Aku bangun perlahan-lahan. Kaki kananku masih berdenyut. Dia terus capai dan letak tanganku ke bahunya. Sebelah tangannya memaut pinggangku dan membantu aku berjalan ke pintu. Sampai ke kereta, seperti masa waktu datang tadi, dia dudukkan aku di kerusi penumpang hadapan dengan penuh hati-hati. Kaki aku juga dia angkat dan letakkan perlahan-lahan. Dia pasangkan tali keledar dan tutupkan pintu. Plastik putih yang dia jinjit dia hulurkan padaku.
“Ubat untuk awak.”
“Terima kasih.” Aku sumbat ke dalam tas tangan dan letakkan ke riba. Dia masuk dan duduk di sebelah. Enjin kereta dihidupkan. Aku lirik pada dia.
“Encik.” Dia pusing dan pandangannya melekat padaku.
“Hurm?”
"Terima kasih sebab hantar saya ke klinik. Bayarkan bill." Dia senyum. Manis sekali senyumannya.
"Sama-sama. Saya yang salah sebab hampir langgar awak. Saya minta maaf. " Aku laju goyangkan tangan. Semua yang jadi tadi seratus peratus salahku.
"Saya yang salah. Main luru aje tak pandang depan. Saya yang patut minta maaf sebab dah susahkan encik. Ni encik kena hantar saya ke klinik. Pastu kena hantar saya balik. Dah buang masa encik aje."
"Okey. Sama-sama salah. Kita seri." Lelaki ini senyum lagi. Aku ikut senyum.
"Saya Amir. Amir Rashid. Panggil Amir. "
"Saya Zira. Fazira Huda. Panggil Zira aje." Dia angguk kepala sambil. pusing stereng dan keretanya mula bergerak keluar dari kawasan klinik.
“Okey Zira. Kita nak ke mana?”
“Ha?” Aku kerut dahi. Reaksi aku buat dia ketawa. Aku tambah pelik.
“Kenapa ketawa?”
“Awak ni comel jugak bila blurr kan.”
“Mana ada saya blurr. Awak tanya soalan pelik.”
“Cik Zira…soalan saya tak pelik. Saya tanya kita nak ke mana tu maknanya saya tanya rumah awak di mana. Ke awak nak ikut balik rumah saya?” Dia terus tersenyum. Aku telan liur sendiri. Berapa kali dah dia ni dengan kata-katanya buat aku tertelan liur hari ini.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...