Tuesday, June 20, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

“Puan Fazira okey?” Cik Dhia Zara, Peguam Syarie yang mewakili aku hulur tanya. Aku yang duduk di bangku luar kamar mahkamah layang senyum kecil. Kepala mengangguk.
“Okey, Cik Zara.”
“Good.” Aku nampak Cik Zara sedang menekan telefon. Mungkin mahu bertanyakan pembantunya tentang sebutan kes yang diwakilinya selepas kes aku. Dia ada sebut tadi masa dalam perjalanan lepas ambil aku di flat milik suami Zai yang aku sewa. Kata Cik Zara, lepas kes aku, dia ada satu lagi kes tuntutan perceraian di sini juga.
Sementara menunggu kami dipanggil, mata aku berlegar di sekitar luar kamar mahkamah. Orang yang lalu lalang dengan urusan hidup masing-masing bertali arus menyapa pandangan. Aku hela nafas. Rasa takut dan gugup mula bersarang dalam hati. Tangan serta jari-jemari yang terasa sejuk aku ramas-ramas. Debaran jantung sama menari. Istighfar aku alun bertali arus. Itu pesan abah dan mak masa aku telefon tadi beritahu aku dah sampai ke mahkamah.
Waktu sampai tadi, kepala mendongak pandang bangunan mahkamah syariah yang tersergam megah. Pertama kali dalam hidup aku jejak ke sini. Kalau aku sorang-sorang tak tahulah macam mana agaknya keadaan aku. Mahunya kaki aku terpasak tak bergerak depan bangunan mahkamah. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan urusan aku dengan menghadirkan Cik Zara di sisi. Dia banyak menenangkan aku. Beri aku kata-kata semangat untuk menghadapi sebutan kes aku dan Zainal hari ini.
Di bangku hujung aku nampak Zainal bersama seorang lelaki sedang rancak berbual. Aku tahu itu peguam Zainal. Kedua-dua sedondon dengan suit berwarna hitam dengan kemeja putih. Songkok ikut tersarung di kepala. Dan mata aku tertancap pada satu susuk tubuh berbaju kurung merah samar yang duduk di sebelah Zainal. Perempuan yang mengenakan selendang dari warna yang sama dengan baju dipakai. Aku pasti itulah cinta hati Zainal…Janice.
Aku sempat tilik wajah itu dari jauh. Cantik dan bergaya orangnya. Aku tilik diri sendiri. Tak padan dengan aku yang biasa-biasa ni. Memang padanlah dengan Zainal macam yang kak long kata. Aku lempar tatap pada Zainal yang masih berbual dengan peguamnya. Teringat peristiwa di rumah mertua aku semalam. Aku tahu kak long masih tak puas hati padaku. Aku tak peduli. Aku hanya mahu mak mertua aku tahu apa yang terjadi antara aku dan Zainal yang mengheret kami ke sini hari ini. Dan aku yakin dia percaya yang aku bercakap benar. Zainal aku lihat berkalih ke sebelah dan berbual dengan perempuan itu. Nampak cukup mesra. Jelas terpancar kebahagiaan di wajah mereka. Aku jala senyum pahit.
Moga you bahagia dengan dia, Zainal.
“Puan Fazira..” Terasa kura tangan aku ditepuk lembut. Senyum dari wajah cantik peguam di sebelah aku ini singgah di mata. “Ya.” Aku ikut balas senyum.
“Jom masuk. Kita dah dipanggil.” Cik Zara hala ibu jari ke kamar hadapan. Aku ikut memandang ke hadapan. Serentak degup jantung mula berlari. Tuhan…berikan aku ketenangan untuk hadapi urusanku ini. Permudahkan ia, Tuhan. Dia bangun dari duduk. Aku ikut berdiri.
“Sedia?” Cik Zara elus belakang baju kurung hitam yang aku pakai. Aku sempat lempar pandang ke bangku hujung. Zainal dan perempuan itu ikut memandang pada aku. Lama kami saling berpandangan. Betapa mata aku melihat mereka sangat sepadan. Sama cantik. Sama bijak. Bukan macam aku. Nafas aku lepaskan perlahan-lahan.
Moga kalian berbahagia.
Aku kalih semula pandang Cik Zara. Aku angguk kepala.
“Insyaallah, Cik Zara.”
“Okey. Jom.”

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...