Tuesday, June 20, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

“Puan Fazira.” Bahu yang disentuh lembut menerbangkan segala kenangan yang menghembus fikiran. Kepala menoleh pada Cik Zara yang mempamer wajah manisnya. Dia yang seakan faham perasaan aku saat ini mengelus belakang tubuhku.
“Saya okey, Cik Zara. Insyaallah.” Mata aku kerdipkan. Aku tidak mahu dia bimbang. Aku cuma perlukan masa untuk melepaskan semua rasa yang aku alami hari ini.
Ya. Masa akan merawat segalanya. Merawat duka dan luka. Merawat sedih dan perih. Dan masa akan menimbus dan menguburkan kesedihan ini.
Dia balas dengan anggukkan kepala. Aku genggam tangan halusnya. Terlalu banyak pertolongan dan bantuan wanita muda ini dalam aku mengharungi perjalanan ke sini hari ini.
“Terima kasih banyak-banyak Cik Zara sebab bantu saya…wakili saya untuk kes hari ini. Tak tahulah macam mana keadaan saya kalau tak ada bantuan Hanafiah & Co dan Cik Zara pada saya.” Senyum manisnya terus meniti di bibir.
“Saya hanya jalankan tugas saya sebagai peguam, puan. Saya lakukan yang terbaik untuk kebaikan, puan. Itu tugas dan tanggungjawab kami di Hanafiah & Co.”
Aku angguk kepala. Dia memang sudah melakukan yang terbaik untukku hari ini. Mata aku nampak Zainal sedang beriringan keluar dengan peguamnya. Perempuan itu yang menunggu di bangku luar kamar bangun dan mendapatkannya. Zainal menoleh padaku seketika sebelum berkalih pada perempuan itu. Seakan tidak mahu lagi memandang padaku. Mata aku jatuh pada jari manis kanan. Cincin berlian yang tersarung aku elus sebelum perlahan-lahan aku tanggalkan dari jari. Aku kembali singgah ke wajah peguamku yang ikut memandang ke arah mereka.
“Cik Zara…boleh ke kalau saya nak jumpa bekas suami saya sekejap?” Dia angguk.
“Mari. Saya temankan.” Aku ikut mengangguk. Kami melangkah beriringan ke arah mereka. Kedatangan kami buat ketiga-tiga menghentikan perbualan.
“Puan Fazira tunggu sekejap ye.” Cik Zara mendekati peguam Zainal dan kedua-duanya bergerak ke tepi. Aku, Zainal dan perempuan bernama Janice itu hanya saling memandang. Cik Zara dan peguam Zainal kembali mendekati kami.
“Puan Fazira nak bercakap dengan you sekejap.” Peguam Zainal melontar kata. Zainal pandang aku kemudian memandang Janice. Cik Zara dan peguam Zainal bergerak ke hujung untuk beri ruang aku dan Zainal.
“You nak cakap apa?” Zainal pandang aku seketika sebelum beralih ke arah Janice. Matanya seakan tidak mahu memandangku. Aku toleh ke belakang memandang peguamku dan peguam Zainal yang sedang menatap kami. Aku lempar senyum. Kembali aku bawa tatap pada Zainal.
“I nak pulangkan ni.” Aku hulur cincin berlian yang aku tanggalkan dari jari sebentar tadi.Cincin perkahwinan ini milik Zainal dan aku mahu pulangkan padanya. Aku tidak mahu menyimpan apa-apapun milik lelaki ini.
Zainal pandang cincin yang aku hulur. Dahinya berkerut.
“Kenapa nak pulangkan?”
“Sebab I nak cincin di jari you. Pulangkan pada I.” Laju jari manis kanannya ditatap. Cincin perak yang aku sarungkan ke jarinya waktu pernikahan kami dihala padaku.
“Cincin murah ni?” Aku senyum tawar. Betapa dia tidak menghargai pemberian itu rupanya. Aku beli dengan duit gaji yang aku simpan beberapa bulan demi kasih dan cintaku waktu itu. Aku nampak dia tersenyum sinis bersama Janice.
“Murah di mata you. Tapi tak ternilai di mata I. Pulangkan.”
Pantas ditanggalkan dari jari lalu dihumban ke lantai.
“Take it. I tak hadappun nak simpan cincin murah you. Nak gadaipun tak laku.” Dia lempar senyum belati. Bersulam dengan senyum tajam Janice. Aku pandang muka Zainal. Sungguh lelaki ini sudah hilang harganya di mataku.
“I sangka you lelaki penuh adab. I silap rupanya.” Aku tarik tangannya dan letakkan cincin berlian yang dia sarungkan ke jari aku lima tahun dahulu di tapak tangannya.
“Cincin ni terlalu mahal. Tapi sayang…dia jadi terlalu murah di mata I kerana dia disalut penipuan dan curang. You boleh hadiahkan pada orang yang layak memakainya.” Aku kerling pada Janice seraya tunduk mengambil cincin yang dihumban Zainal. Langkah aku atur ke arah Cik Zara. Langsung tidak menoleh pada lelaki itu lagi.
Terima kasih Zainal atas penghinaan ini. Aku akan ingat sampai bila-bila!

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...