Saturday, June 3, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

"Perceraian cara persetujuan bersama atau bahasa mudahnya kita sebut cerai cara baik ni bila ada persetujuaan dari dua-dua pihak untuk bercerai. Puan setuju ke nak bercerai?"
Aku pandang Zai. Dari bawak meja terasa tangan digenggam kemas oleh Zai. Aku balas genggaman tangan Zai. Aku sudah bulat dengan kata hati. Kalau Zainal tak setuju pun aku akan tetap nak bercerai jugak. Buat apa ada suami, kalau diri dicurangi dan dikhianati dalam diam. Kalau suami sendiri dah tak percaya pada isteri apa lagi yang tinggal dalam rumahtangga. Baik bercerai sahaja. Lagipun ini memang yang Zainal nak. Dan ini tentu berita paling menggembirakan kak long.
"Ya, Cik Zara. Saya setuju nak bercerai dengan suami saya." Peguam muda yang cantik depan aku ini menganggukkan kepala. Ada segaris senyum di bibirnya. Aku nampak dia sedang menulis sesuatu di atas buku nota yang dia bawa. Suasana cafe lewat petang agak lengang dan damai.
"Suami puan cakap dia akan failkan perceraian ini?" Aku angguk. Itu yang Zainal beritahu semalam dan pagi ni aku cerita semuanya pada Zai. Aku menangis depan Zai. Aku sedih sangat dengan apa yang Zainal cakap semalam. Aku luahkan semua pada Zai. Termasuk fitnah kak long yang buat Zainal mengamuk. Sampai hati kak long. Apa dosa aku pada dia sebenarnya. Aku terus cakap dengan Zai aku nak jumpa peguam yang dia cakapkan sebelum ni. Aku nak tanya pasal hal ini. Dan Zai yang ikut sakit hati terus buat temujanji dan bawak aku jumpa peguam ini. Kata Zai kita selesaikan hari ini jugak, Zira.
"Kalau macam tu, dalam tempoh 21 hari selepas suami puan failkan permohonan perceraian, kes ini akan dipanggil di mahkamah. Kalau dia failkan hari ni, hujung bulan depan insyallah puan akan dipanggil oleh mahkamah."
"Kena bicara ke, Cik Zara?" Aku nak tahu jugak. Sebut kena panggil dengan mahkamah aku dah terbayang kena soal macam-macam yang selalu aku tengok dalam tv. Peguam di depan aku ini senyum.
" Puan tak perlu bimbang. Takkan ada sesi soal-jawab macam-macam." Macam dia tahu aje apa yang dalam kepala aku.
"Perceraian cara ni tak perlukan perbicaraan. Yang penting masa sebutan kes puan kena suci...tiada hubungan kelamin dalam tempoh suci. Itu penting."
Aku telan nafas dalam-dalam. Sejak Zainal buat pengakuan ada hubungan dengan perempuan bernama Janice yang rupakan kekasih lama dia, kami memang sudah tidur berasingan. Tiada hubungan seksual lagi antara kami. Aku rasa selama lima tahun ini mungkin bukan aku yang dia bayangkan ada di sisi waktu kami berhubungan...tapi perempuan itu. Setiap lafaz dan kata-kata cinta dan sayang bukan ditujukan untuk aku tapi perempuan itu. Terlalu pilu untuk aku kenang segala yang manis dan indah yang pernah aku lalui. Indah dan manis yang ternyata bukan buat aku tapi untuk perempuan itu. Batang tubuh aku ini rupanya hanya tempat dia melepaskan segala berahi yang terpendam pada perempuan itu.
"Mahkamah akan tanya puan tentang persetujuan puan. Itu sahaja. Kalau puan setuju, mahkamah akan minta suami puan lafazkan cerai. Suami puan lafaz cerai, terus selesai."
"Berapa lama boleh selesai kes ini Cik Zara?" Zai hulur tanya. Aku pandang wajah peguam muda ini.
"Paling cepat boleh selesai dalam masa 6 jam."
6 jam.
Aku pandang meja yang kaku. Ada sebak yang menghempas jiwa. Aku kemam bibir. Hubungan kami yang terikat dengan lafaz terima tulus ikhlas di hati aku akan terlerai dalam tempoh 6 jam. Aku tak pernah menyangka akan jadi janda dalam usia muda. Begini berakhirnya status isteri kepada Zainal Rauf yang aku sandang selama lima tahun. Status yang akan berpindah pada perempuan paling Zainal cinta. Dan perempuan itu tentunya bukan aku tapi Janice.
Moga you bahagia, Zainal.
Moga you bahagia.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...