Tuesday, June 6, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku duduk menongkat dagu di palang serambi rumah. Mata menjilat kepulan awan kelabu yang berlegar-legar di langit yang muram. Awan kelabu pekat yang membawa khabar bahawa akan turun hujan. Suasana mendung menyelimuti udara persekitaran. Puput angin pagi menderu lembut menyapa pipi. Aku kuis helaian rambut yang menampar pipi lalu aku selitkan ke telinga. Mata jatuh ke halaman. Daun-daun kelapa mawar yang tegak di kiri dan kanan pintu pagar ikut menghulur lambai.
Malam tadi aku sampai di kampung selepas cuti aku selama dua hari diluluskan Jimmy. Aku beritahu Jimmy aku ada hal di kampung. Dan Jimmy yang memang tahu aku dan Zainal akan bercerai hanya menganggukkan kepala. Aku nampak wajah muram sahabat Zainal ini. Mungkin dia rasa bersalah pada aku kerana menyembunyikan hal hubungan Zainal dan Janice yang sudah lama terjalin di belakang aku. Dan natijahnya Zainal buat keputusan untuk ceraikan aku dan pilih Janice. Jimmy ada beritahu aku lepas Zainal buat pengakuan tentang hubungannya dengan Janice. Kata Jimmy, dia sebenarnya tak tahu macam mana nak beritahu aku pasal hal itu. Dia serba salah sebab kedua-duanya kawan baik dia masa di universiti. Aku tak pernah salahkan Jimmy. Bukan salah Jimmy. Kalau dia bermati-matian berusaha halang pun, kalau dah tersurat aku memang akan diceraikan Zainal, tiada kuasa yang mampu menggugah.
Aku bangun sedikit menjenguk ke bawah rumah. Aku tak nampak motor buruk abah di tepi pangkin. Mungkin abah dah ke pekan sehari. Abah memang begitu. Setiap kali aku dan Zainal balik ke kampung, abah pasti akan carikan makanan kegemaran kami di pekan sehari. Abah tahu aku dari kecil sukakan tapai pulut dan lemang pulut hitam. Zainal pula suka sangat makan gulai ikan sungai yang mak masak. Jadi abahlah yang paling sibuk untuk dapatkan makanan kegemaran kami. Nanti macam-macam yang dia bawak balik.
Tapi kali ini aku balik berseorangan. Balik berseorangan buat pertama kali sejak aku berkahwin. Balik tanpa Zainal. Dan kepulangan aku tanpa dia, naik bas pulak malam-malam mengundang macam-macam pertanyaan mak. Aku ingat lagi malam tadi waktu sampai di muka pintu. Mak terjenguk-jenguk di halaman bila tak nampak kereta Zainal. Bertanya mana Zainal. Aku jawab aku balik sorang naik bas. Airmuka mak berubah. Mak tanya kenapa? Apa yang dah jadi pada Zainal? Aku tarik senyum kecil walaupun kala tu hati aku dah menangis. Kesian aku tengok mak. Tertanya-tanya dan tercari-cari menantu yang dia sayang.
Maafkan Zira, mak.
Zainal takkan datang ke sini lagi jumpa mak. Dia takkan datang lagi,mak.
Abah hanya tenang. Dia seakan dapat menghidu sesuatu yang dah terjadi antara aku dan Zainal lalu tidak bertanya apa-apa. Hanya suruh aku masuk dan abah tolong bawakkan beg pakaian yang aku bawa. Bila mak mahu buka mulut bertanya lagi, abah melarang dengan gelengan kepala. Mak yang memang faham bahasa tubuh abah terus diam. Abah suruh aku masuk bilik dulu sebab aku mesti penat. Abah cuma tanya aku dah makan atau belum. Bila aku cakap aku dah makan masa bas berhenti rehat tadi, abah angguk. Abah cakap tidurlah sebab dah lewat malam. Esok kita sambung berbual. Abah tarik tangan mak masuk bilik.
Aku nampak mak toleh pandang aku. Aku nampak galau di wajah mak. Aku nampak riak kesedihan di wajah abah walaupun abah cuba sembunyikan dengan tayang senyum kecil. Dan jauh di sudut hati aku sedang meraung pilu. Aku pulang dengan bawa berita yang pasti akan buat mak dan abah terduduk. Anak tunggal mereka ini yang dikatakan perempuan penipu yang pura-pura baik untuk jadi menantu keluarga kaya…perempuan mandul…perempuan yang tidak mendatangkan hasil akan bergelar janda dalam tempoh dua minggu lagi.
Hujung kolam mata terasa panas. Laju aku sapu dengan tapak tangan. Menahan kolam sedih dari retak. Kata-kata kejam kak long itu terus terngiang-ngiang. Gegak gempita ketawa riang kak long bergema kerana aku berjaya disingkirkan dari hidup Zainal. Aku kemam bibir dan mata terhala ke arah tangga. Bagai ternampak-nampak saat mak dan abah menghantar aku untuk mengikut Zainal balik ke Kuala Lumpur usai majlis kenduri perkahwinan kami lima tahun dahulu. Bagai terlayar senyum bahagia mak dan abah yang mendoakan bahagia hidup rumahtangga aku yang baru bermula akan berkekalan hingga akhir hayat.
Aku geleng kepala. Bahagia itu dah tiada lagi mak…abah. Zira tak mampu nak pertahankannya hingga akhir hayat macam yang mak dan abah harapkan. Bahagia tu dah terputus dan takkan mungkin bersambung lagi. Bahagia yang akan dikuburkan Zainal dengan kain kapan bernama talak. Aku gagal tahan airmata yang mengalir laju menuruni lembah pipi.
Maafkan Zira, abah…mak.
Maafkan Zira.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...