Tuesday, June 20, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

“Pin!!!!!!!!!!!!!!!!”
“Bummm!!!!!”
“Allah.”
Tubuh aku sudah tersembam ke jalanraya. Rasa sakit yang menyucuk mengalir ke seluruh urat nadi. Perlahan-lahan aku bangun. Tubuh masih terduduk di atas tar jalan. Muka berkerut menahan sakit yang mula menjalar. Aku pandang tapak tangan yang tersagat pada tar jalan memercikkan sedikit luka. Aku tiup tapak tangan yang terasa ngilu. Apalah malangnya aku hari ini. Lepas kena cerai, nyaris nak kena langgar pulak.
“Puan? Puan macam mana? Puan cedera ke?” Suara garau yang hinggap di cuping buat aku berpaling. Mata kami sama bertembung. Seorang lelaki muda yang berkemeja biru cair melontar wajah cemas. Raut seperti lelaki cina itu terus-menerus merenung. Aku geleng perlahan.
“Tak..tak apa-apa. Luka sikit aje. Saya okey.”
“Saya minta maaf, puan.” Aku geleng kepala lagi. Dia tak salah apa-apapun. Aku yang cuai tadi. Dah cuai memang mendapatlah. Kan dah kena!
“Saya yang salah, encik. Saya minta maaf.” Memang aku yang salah meluru ke jalan sebab nak kejar cincin yang Zainal baling tadi. Langsung tak tengok kiri kanan. Serentak aku tersedar. Mata melilau ke kiri kanan.
“Eh…mana cincin tadi? Cincin…cincin.” Aku pandang keliling.
“Cincin ni ke?” Lelaki ini hulurkan cincin yang buat kejar tadi. Aku angguk.
“Ya.” Dia senyum. Aku belek-belek cincin perak di tangan. Nasib baik tak bercalar. Terus sahaja aku masukkan ke dalam tas tangan yang tersandang di bahu. Tapak tangan yang terasa pedih buat aku kembali sedar yang aku masih terduduk di atas jalan. Tubuh cuba bangun, tapi..
“Aduh!” Aku gigit bibir. Mata ikut mengecil. Kaki terasa sakit. Mungkin terseliuh. Tulah. Pakai lagi kasut tumit tinggi. Zai la punya cadangan. Katanya ke mahkamah kenalah jaga penampilan. Kena lawa. Jangan nak pakai sandal pulak macam pergi office.
“Kita ke klinik ye?” Dan serentak tangan dan tubuhku dipaut lelaki yang duduk di depan aku tadi. Tas tangan aku dia capai dan disandang ke bahunya.
“Eh..tak apa…tak apa, encik. Saya…” Aku cuba jatuhkan tangan dari bahunya. Segannya tangan dah pegang bahu lelaki yang aku tak kenal. Tapi tangan kanannya terus utuh memaut pinggang dan tanganku kembali diletakkan ke bahu. Dia terus papah aku ke kereta putihnya yang berada di tepi jalan. Hendak tak hendak aku terpaksa juga merelakan tubuh dipapah. Kaki kanan aku memang sakit sungguh. Terhincut-hincut aku berjalan dengan sebelah kaki.
“Kita ke klinik, puan. Puan luka banyak ni. Kena jumpa doktor.” Dia bersuara lagi. Klinik? Aku geleng kepala. Aku kena balik office. Mana pulak ada masanya nak ke klinik. Lagipun aku cuma luka sikit aje. Tak banyakpun. Calar-calar kat tangan aje. Seliuh kaki ni esok lusa baiklah.
“Tak apa, encik. Saya luka sikit aje ni. Lagipun saya nak balik office. Saya kena pergi kerja ni.” Aku pamer riak muka tak main-main. Memang aku tak main-mainpun.
“Kita pergilah klinik dulu ye. Mana tau ada kecederaan dalaman.” Dia terus memujuk. Pintu kereta penumpang hadapan dicapai dengan tangan kiri. Dia dudukkan aku perlahan-lahan dan penuh berhati-hati di kerusi dan mengangkat penuh cermat kaki kanan dan kiri ku masuk ke dalam kereta. Tas tangan aku yang dia sandang tadi diletakkan ke riba. Tali pinggang keledar ditarik dan dipasangkan ke tubuhku.
Aku hanya mampu telan liur tengok apa yang dia buat. Zainal pun tak pernah buat macam ni masa bawa aku ke klinik sebab jatuh kat bilik air dulu. Dan aku tertangkap merenungnya bila dia mengangkat muka. Bibirnya ukir senyum kecil. Aduhai. Malunya!
“Kita ke klinik ye.” Sebaik sahaja dia pastikan aku dah duduk dengan betul, dia ulang lagi ucapan tadi sambil tutup pintu. Aku hanya pandang dia berpusing dan masuk ke dalam perut kereta.
“Tapi encik. Nanti boss saya…” Aku pandang mukanya. Aku memang kena balik office. Nanti apa pulak kata Jimmy. Mentang-mentang kena cerai nak raih simpati dia pulak. Taknaklah aku.
“Biar saya telefon boss, puan. Saya akan cakap puan accident… cedera dan saya nak bawa puan ke klinik. Okey?” Dia balas pandangku. Aku terkebil-kebil.
Cedera? Bila masa pulak aku cedera?

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...