Friday, April 22, 2016

Dia...Siratul Mustaqeem

Sofia hempas pintu kereta sekuat hati. Mata tajam memandang pintu utama mahligai papa yang tertutup rapat. Deras kaki dibawa menuju ke pintu utama. Lelaki itu mahu ditemui. Ada lava amarah yang mahu disimbah. Sofia tidak mahu berkompromi lagi. Dua pengawal yang berada di kanan dan kiri luar pintu yang menghulur sapaan tidak dihirau. Hatinya sedang mengelegak. Pintu yang tertutup ditolak keras. Geram membuak-buak. Tubuh membawa sepasang kaki melangkah laju menuju ke ruang utama mahligai milik Ramone. Ada perkara yang perlu diselesaikan dengan papanya itu. Dia sudah tidak boleh bersabar lagi. Sebaik memasuki pintu ke ruang utama maat dihidangkan dengan tiga susuk tubuh kekar berjaket hitam.
Wolf, Rentap dan Cobra nampak susuk tubuh Sofia anak tunggal Ramone yang deras melangkah memasuki ruang sebaik telinga dikejutkan dengan bunyi pintu ditolak keras. Masing-masing yang siap siaga dan bersedia memegang Sig Sauer dari balik jaket hitam yang dipakai kembali tenang. Langkah Sofia terhenti di depan ketiga-tiga mereka. Bebola mata bersilih ganti memandang. Faham akan renungan Sofia, Rentap dan Cobra hala isyarat pada  Wolf. Dua kaki Wolf melangkah ke depan. Kepala hulur tunduk hormat sebelum menyapa. 
“Petang Cik Sofia. Cari papa Cik Sofia ke?”
Sofia pandang wajah yang menyapa. Seorang dari tiga orang suruhan Blood yang mengawal di situ. Sofia ingat nama lelaki yang berparut panjang dari ekor mata membawa ke pipi kirinya itu. Sepasang matanya yang tajam menghumban tatap balas. Wolf. Nama yang cukup sesuai dengan raut gerun yang dimiliki. Wajah bengis itu ikut melempar tunduk hormat.
Hanya kepala diangguk membalas. Sofia tiada nafsu mahu bercakap. Hatinya masih panas. Membahang di setiap ruang dan penjuru. Dibuka langkah kembali. Mahu segera ke dalam. Mahu mencari papanya. Ada amarah yang mahu disimbah.
“Papa Cik Sofia dah keluar. Ada urusan di kelab.”
Kaki yang mula melangkah terhenti. Wajah lelaki berparut itu ditenung lama. Mahu mencari kebenaran dari wajah itu. Dua rakannya yang tegak ikut dilirik Sofia sebelum kembali kornea dilabuhkan ke wajah lelaki yang bersuara.
“Keluar?” Sepatah ditanya. 
Kepala Wolf terangguk.

Dihembus nafas kecewa. Hasratnya yang berkobar-kobar mahu menghambur amarah terkulai.
“Dengan Blood?” Sofia tahu kalau papa keluar mesti Blood akan ikut sama. Mesti!
Kepala Wolf menggeleng.
“Blade dan Tiger. Blood ada di bar. Sekejap lagi dia akan follow.” Dua nama itu Sofia tahu benar gerangannya. Orang kanan yang sangat dipercayai Blood. Dua tangan mencekak pinggang.
Langkah yang mati memandang sekeliling. Berfikir. Saat kornea singgah pada ruang menghala ke bar yang terbuka, akal laju menujah.
Blood.
Dihela nafas semangat. Tiada papa, dengan lelaki itu nampak gayanya dia harus berdepan. Sofia tidak kira. Dia sudah tidak boleh bertahan lagi.  Kaki dibawa ke ruang bar. Susuk kekar yang sedang duduk sendirian mengadap dinding bar sambil meneguk minuman direnung. Dikunci langkah di depan ruang masuk.
“Hentikan semua ini, Blood. Aku tak suka orang-orang kau ikut kemana aku pergi. Cukuplah. Just leave me alone. Get it into your head, Blood.” Cuping Blood menghantar isyarat namanya disebut. Namun dia tidak berganjak. Tetap takzim dan batu. Nada suara Sofia dia tahu maknanya. Dibiarkan sahaja. Lelaki yang duduk mengadap rak bar ini hanya membatu. Langsung tak memberi respon. Sofia hempas nafas. Geram ikut bertamu. Kaki menapak mendekati Blood. Bar chair di sebelah Blood ditarik. Dilabuhkan duduk.
“Aku dah ikut kehendak papa…kehendak kau. Suruh aku duduk sini, aku ikut. Suruh aku tutup studio, aku ikut. Apa lagi yang kau orang mahu?”
Blood masih bisu. Gelas yang berada dalam pautan dibawa ke bibir. Diteguk tenang. Sofia lontar dengusan. Geram dengan reaksi bisu lelaki ini.
“Am I talking to the wall?” Sinis dihumban.
Blood tarik botol bourbon whiskey. Tidak dihirau kata-kata Sofia. Dituangkan ke dalam gelas yang sudah separuh kosong. Ditarik sebiji gelas kosong. Dituangkan separuh cecair perang gelap itu hingga separuh gelas. Diletakkan di depan Sofia. Mata ditujah pada anak tunggal Ramone ini.
“Minum. Mood kau sedang tak stabil. Ni boleh buat kau tenang.”
Jelingan Sofia terlontar. Gelas berisi whiskey tyang diletakkan Blood ditolak keras ke arah Blood semula. Blood nampak jelas reaksi balas gadis ini. Tidak dihiraukan. Dikalih ke depan. Gelas berisi air perang gelap ditarik lalu dibawa ke bibir. Diteguk perlahan-lahan.
“I am talking to you, Blood.” Blood angkat gelas yang ditarik dari bibir. Dihala pada Sofia sebelum dipusing tubuh memandang ke rak bar yang dipenuhi berjenis-jenis botol arak dari pelbagai jenama.
“Aku dengar.”
“Tapi kau buat-buat tak faham kan? Aku cakap aku tak suka. Kau dan orang-orang kau jangan ikut aku lagi. Get it into your bloody head, Blood. Stay away from my life. ” Bahu keras Blood ditujah dengan tamparan. Blood tayang wajah tanpa rasa. Membiarkan Sofia meluahkan semua rasa yang terkumpul. Sofia sakit hati dengan reaksi kosong lelaki kepercayaan papanya ini. Blood teguk hingga kosong isi gelas di tangan. Diletakkan kembali di atas meja bar. Dipusingkan kerusi. Sofia yang masih tajam merenung dibalas.
“Kau tahu tugas aku bukan? Kau tahu tanggungjawab aku pada kau bukan?”
“Aku tak suka.”
“Kau tak ada pilihan, Sofia”
“Aku bukan banduan. Aku ada hidup aku sendiri.”
“Kau tak dikurung, Sofia. Kau bebas pergi ke mana-mana sahaja yang kau suka. Bebas keluar masuk di sini…atau di mana-mana kelab milik Ramone.”
Sofia ketap bibir. Makin geram dengan jawapan bersahaja Blood.
“Tapi kau dan orang-orang kau buat aku macam banduan, Blood. Kenapa mesti jadi bayang-bayang aku? Kenapa mesti ada dan ikut ke mana aku pergi?Aku tak suka! Aku tak sukaaaaaaa!” Tempik Sofia langsung ditelan tenang. Blood urut pangkal hidung. Sofia yang menghumban renung tajam dibalas.

“Kau anak Ramone Commando. Jangan kau lupa. Hidup kau di tangan dia. Keselamatan kau, nyawa aku taruhannya. Apa-apa jadi pada kau, aku akan bertanggungjawab. Kau bukan bodoh  untuk faham semua ini, Sofia.”
Dengus Sofia terluncur. Panah amarah dihumban ke wajah Blood. “Aku tak ikut arahan dia. Hidup aku, aku yang tentukan. Kau dan sesiapa saja tak ada hak nak tentukan hidup aku. Leave me alone damn it!” Jerit Sofia bergema. Blood silang dua tangan ke tubuh. Sofia yang sedang merah dengan badai amarah ditatap tenang.
 “Kau hak Ramone, Sofia. Sampai bila-bila. Hak Ramone bermakna hidup kau di bawah peraturan dia. Aku juga. Dan apa-apa arahan dari dia, aku anggap arahan dari tuhan. Kalau aku harus mati untuk arahan yang dia bagi, aku akan akur. Kau faham maksud aku?”
Kata-kata Blood tidak dibalas. Bibir dikunci. Dihadam kata-kata lelaki ini. Tubuh perlahan-lahan turun dari kerusi. Langkah lemah diatur meninggalkan ruang bar yang sedia sepi.
Kau hak Ramone, Sofia.
Sampai bila-bila.

Kata-kata itu bergema di seluruh penjuru deria. Dada sesak. Sendat dengan sebaris kata-kata itu. Dan Blood hanya mengekori dengan sepasang mata yang menghantar langkah Sofia hingga hilang ditelan daun pintu. 

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...