Thursday, April 7, 2016

Dia...Siratul Mustaqeem

“Awak sewajibnya bersyukur Sofia. Awak gadis yang beruntung. Terlalu beruntung.”
“Bersyukur? Maksud awak?”
Mustaqeem bangkit dari duduk di pangkin. Dihala mata pada kaki langit yang menjala cahaya jingga kemerah-merahan. Kembali dibawa kornea pada Sofia.
“ Awak orang yang bebas menekan punat kipas pada kelajuan yang awak inginkan. Bebas menghala alat kawalan pendingin udara tahap kedinginan yang awak mahu. Bebas menentukan mahu makan di hotel atau di tepi jalan. Bebas memilih makanan yang awak mahu atau suka. Sedangkan ada orang yang tak boleh dan tak punya pilihan. Hanya pasrah pada kenyataan. Reda dengan ketentuan. Sabar dengan keindahan hidup ini. Awak terhampar bahagia di lantai awan. Berbumbung kasih sayang camar-camar putih yang menebar sayapnya. Menjaga. Mengawasi. Dilindung dari panas dan hujan. Dipayungi bulan dan bintang tapi masih tetap tak mahu memandang langit. Bersyukurlah dengan kurniaan yang awak ada dalam hidup ini, Sofia. ”
“Awak nak cakap apa sebenarnya Mustaqeem?”
“Baliklah. Sejahat-jahat dia…dia tetap papa awak.”
“Balik? Awak nak saya balik pada dia?”
“Ya.”
“Tapi kenapa?”
“Sebab dia paling berhak atas diri awak. Bukan saya. Bukan juga orang lain. Baliklah pada papa awak, Sofia.”
Sofia geleng kepala. Tangan memaut bibir. How could you, Mustaqeem. How could you.
Mustaqeem faham rasa dalam jiwa gadis ini. Segala yang diceritakan Sofia selama ini buat dia cukup memahami akan rasa seorang Sofia. Tapi dia mahu Sofia sedar makna kehidupan. Dijadikan anak kepada seorang Ramone itu ujian buat hidupnya.
“Saya mahu awak faham dan terima ketentuan yang tertulis. Sekeji-keji dia, dia tetap manusia penyebab awak lahir dan melihat dunia.Jangan sisihkan dia dari hidup awak. Tak baik buat macam ni. Awak sendiri tahu kan betapa kasih dan sayangnya dia pada awak. Melebihi segalanya. Segalanya, Sofia.”
Sofia ketawa kecil. Hanya seketika. Bibir dikemam. Menzahirkan kekecewaan. Kepala mendongak ke lantai langit. Pandangan berbalam. Kelam. Sekelam jiwanya saat ini.
“Awak…dan semua orang tak pernah faham apa yang saya rasa selama ini. Jiwa saya. Hati saya. Tak siapa yang tahu.”
Pandangan Mustaqeem tertambat ke wajah lirih Sofia. Tahu benar yang gadis ini sedang dilambung ombak pilu.
Khali.
“Saya kenal dia. Cukup kenal, Mustaqeem.”
“Gunakan kelebihan awak itu, Sofia. Gunakan.”
“Maksud awak?” Diterjah kalam pada lelaki yang sedang berdiri dan memandang tepat ke arahnya.
“Berdoalah untuk dia. Sekejam-kejam lelaki yang awak panggil papa itu, dia belum pernah membunuh anaknya sendiri. Menanam hidup-hidup anaknya dengan tangan sendiri. Lihat diri awak, Sofia. Awak masih hidup hingga sekarang. Dijaga dan dibesarkan dengan limpahan kasih sayang. Diberikan kawalan keselamatan yang terbaik. Awak nak dustakan nikmat ini? Nikmat dikurniakan seorang papa macam dia. Jangan jadi manusia yang kufur nikmat, Sofia. ” Sofia jeda. Dada bagaikan dipanah busur paling bisa di dunia.
Mustaqeem hela nafas tenang. Sofia yang jeda direnung.
“Hidayah itu milik Dia. Bukan di tangan kita penentu perjalanan hidup orang lain di dunia ini. Jika Allah boleh beri hidayah pada manusia sekejam Umar Al-Khattab hingga dia dicatat dalam al-quran sebagai salah seorang penghuni syurga. Tiada kekangan untuk papa awak mendapat nikmat yang sama. Keajaiban itu Dia yang tentukan. Tugas kita…memohon. Berdoa. Jangan berhenti berharap pada rahmat dan kasih sayangNya. Jika benar awak kasihkan dia. Jika sungguh awak sayangkan dia…berdoalah agar Tuhan yang maha berkuasa menunjukkan siratul ke syurga pada papa awak. Berdoalah Sofia. Doa tulus seorang anak itu tiada hijab. Lebih-lebih lagi jika doanya buat lelaki yang menyebabkan dia lahir ke dunia ini. Tak ingin ke awak lihat dia berubah seperti yang awak harap-harapkan selama ini?”

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...