Monday, April 11, 2016

Mr Sirap Bandung 2.0

       "AKU LAGI?" Jari telunjuk Karmila tercacak di hidung. Mata terjegil. "Asik aku aje yang kena pergi ni apa kes. Asal surat urgent, aku. Asal dokumen urgent, aku. Kau ingat aku ni muka urgent ke, Zarul? Ada yang makan pelempang bomoh Uganda ni karang." Jelingan tajam Karmila terhumban.

"Tolonglah, beb. Please. Aku percaya kat kau aje hantar surat penting ni." Zarul letak sampul surat saiz A4 di atas meja Karmila. Pesan Datok Husin terngiang waktu dipanggil ke bilik Pengerusi syarikat tadi. Pastikan sampul ini sampai ke tuannya. Tengahari ni jugak. Pastikan juga Karmila yang hantar. Bukan yang lain. Zarul tahu sangat Karmila memang kesayangan Datok Husin. Dan dia tahu sangat sebabnya.

Jeling Karmila masih tidak berganjak. Terus melekat di muka Zarul.

“Ahh. Aku malas. Dan aku penat.” Karmila luncur jawaban.  Dihempas duduk. Helmet diletakkan di atas lantai meja. “Suruh Pacai pergi. Dia kan half day. Kejap lagi dia masuk kan. Aku baru balik dari Jalan Tun Razak tau tak. Penat redah jalan sesak dah satu hal. Panas giler usah cakap la. Satu badan macam kena salai. Kau mana tau. Duduk berteleku dalam air cond jer.” Karmila letak beberapa sampul dokumen yang dia baru ambil dari pejabat pelanggan di Jalan Tun Razak. Tangan dikipas pada wajah yang masih hangat dek panahan matahari.

“Milo, tolong aar. Aku harap kat kau je ni. Please laa, Milo.” Zarul terus memujuk. Tahu hanya Karmila yang boleh buat tugasan penting ini. Hanya Karmila yang dia percaya boleh laksanakan tugas ini. Kalau dia cakap tengahari ni, memang tengahari ni la gadis ini akan sampai ke tempat yang diarahkan.  

"Asik aku aje yang kena ni apahal. Kau anti aku apa, Zarul?” Mata tajam Karmila mendarat ke muka Zarul. “Kau memang sengaja nak buli aku kan? Sengaja sebab aku sorang je pompuan kat sini. Kan? Kecik besar kecik besar je aku tengok kau tau Zarul.”

"Bukan macam tu, Milo." Zarul laju memintas. Menidakkan kata-kata Karmila. “Tak baik kau tuduh aku macam ni. Aku ni ketua yang adil lagi saksama . Sedih aku dengar, Milo..” Karmila baling cebik. Sedih kunun. Sedih taik kucing!

"Adil dan saksama kunun. Eh…kau jangan nak dasar aparteid dengan aku. Oo…mementang aku ni gelap dari yang lain sesuka jiwa mak tiri angkat kau aje nak kenakan aku ek. Kau jangan nak cari pasal dengan aku, Zarul." Telunjuk Karmila singgah ke batang hidung Zarul. Tangan dah ringan nak cekak kemeja Zarul. "Ni nampak." Karmila hala penumbuk. "Lebam pipi licin kau tu karang." Jari-jemari diramas-ramas. Geram.

"Aku mana ada anti kau. Sayang sangat adalah." Sengih gatal dihumban.Tubuh diangkat sedikit. Duduk di birai meja Karmila. Mata mengadap Karmila yang berdiri.

"Apa sengih-sengih? Ingat handsome sangat ke muka kau buat macam tu. Simpan aje sengih kau tu buat si Jamilah janda yang kau syok tu."

"Haish.." Laju telunjuk Zarul melekap ke bibir sendiri. Karmila yang mencerlung dibalas. "Tolonglah, Milo. Antara hidup dan mati ni. Kau sanggup tengok aku mati? Tak kesian ke kat aku? Aku ni kekasih tak jadi kau yang sayang kau sampai mati tau." Karmila jongket bibir. Ada yang nak makan pang aku ni gamaknya. "Datok Chairman nak surat ni sampai tengahari ni jugak. Dia nak kau yang hantar ni. Personnal request, Milo. Wajib tu , Milo. Lagipun, kalau tak sampai...aku.." Zarul tayang muka sedih dengan tangan hala ke leher. Kepala angguk minta tolong. Angguk dengan leret muka simpati. Tahu hanya Karmila yang boleh terbang ke sana on time. Tak sampai surat ni tengahari ni, dia memang sah kena kapan dengan Datok Husin. Confirm!

Karmila capai sampul surat yang diletakkan Zarul. Dengar nama Datok Chairman kat mata dah terbayang seraut wajah. Haish. Tangan laju menggaru kepala yang tak gatal. Kacau la orang tua ni. Dibaca nama yang tertulis.

"Luqman Riayat Syah Datuk Thaqif Jazman. Kiara Arena Holdings." Peergh mamat ni. Nama macam pendekar zaman Hang Tuah. Mata dihumban pada Zarul.

"Kena sampai tengahari ni?" Diketuk sampul pada tapak tangan.

Zarul angguk dengan memek cebik. Karmila ketuk sampul ke kepala Zarul. Hanya dibiarkan Zarul. Sudah biasa dengan cara kasar Karmila. Semua kat mailing department ni pun dah biasa. Karmila memang macam tu. Kasar. Selamba. Ikut suka hati dia. Tapi mereka semua tetap sayang padanya. Karmila dah macam adik mereka semua. Adik yang comel tapi cukup nakal.

Karmila tekan hujung jari ke pipi Zarul. "Kau boleh tak simpan muka bulldog demam kau tu. Hilang selera aku nak makan karang." Kaki dihala ke pintu. Zarul humban ketawa. Aku tau kau pun sayang aku, Milo.

Kening berkerut saat kaki cecah depan kaunter penyambut tetamu. Kosong. Lengang. Alamak aii. Karmila garu kepala. Manalah pulak minah jaga kaunter ni? Aku dah la nak cepat ni, ko pulak hilang dari radar. Merayap ke mana la pulak ko cik kak lenggang. Menyahut panggilan azali apa. Leceh la minah muka kaler kaler ni. Kang aku lambat mahu mampus jalan jem. Mata junam ke kaunter. Tak ada loceng pulak. Tidak, boleh aku tekan-tekan biar sampai satu bangunan dengar. Kepala dijenguk kiri dan kanan. Mencari. Tak nampak jugak bayang orang yang dicari. Haish. Kak ooi. Pergi mana ni. Kaunter kosong ni kak. Karang kena rompak baru tau. Saya bawak lari telefon gadang ni karang. Karmila muncung bibir. Aduhai. Mana pulak cik kak ni. Satu umat manusia pun tak ada ni. Dan susuk tubuh yang sedang menuju ke tangga berlingkar yang menghala ke tingkat atas tiba-tiba sahaja tertangkap spontan dek kornea yang bulat. Karmila dan dan sengih lebar. Aiseyman. Sib baik ada orang. Alhamdulillah. Selamat aku.

“Assalamualaikum. Bro…bro.” Karmila lontar seru nyaring. Siap dengan pakej lambai tangan.

Luqman berpaling bila dengar suara nyaring menghulur salam di belakang. Kaki terhenti. Tak jadi nak panjat tangga ke tingkat atas. Senyum kecil tertayang pada gadis bertudung putih dengan kemeja sedondon yang tegak di depan meja penyambut tetamu sambil melambai padanya. Kaki membilang langkah mendekati tubuh yang bersarung jeans biru pudar. Luqman makin hampir ke meja penyambut tetamu. Mata terkelip pandang susuk di depan yang sedang memegang sampul surat di tangan. Sempat diteliti penampilan gadis di depannya ini. Lady despatch. Hmmm.

“Waalaikumsalam. Ya.  Ada apa yang boleh saya tolong?” Luqman tayang wajah manis. Memang dah jadi praktisnya begitu pada orang yang tak dikenali. Umi selalu cakap senyum aje kalau tak kenal. Bukan susahpun. Pahala sedekah tu.

Karmila terlongo seketika pandang lelaki berkemeja merah muda yang tegak di depan. Liur bergelen terjun ke lohong kerongkong. Ya rabbi. Ni manusia ke patung hidup? Lelaki yang menghulur senyum di depannya ini buat mata Karmila ternganga lagi. Apsal aku rasa macam sedang minum air nira asli bila tengok senyum dia. Ya Allah. Selamatkan hambamu ini dari godaaan dunia. Tapak tangan dilekap pada cuping. Allahu Akbar  Allahu Akbar. Asyhadu Allaa Ilaha Illallaah. Asyhadu Allaa Ilaha Illallaah. Asyhadu…

“Cik?” Luqman lambai lembut tangan. Gadis ini dilihat menekap tapak tangan ke cuping.

Suara lelaki ini sekali lagi buat Karmila ternganga. Spontan tapak tangan yang melekap di telinga terlerai. Mata kembali melopong. Cik? Dia panggil aku cik tu. Perrgh.
Karmila, azan tak habis lagi laa ooi.

Pause. To be continued.

Ooi!

Diam la!

“Cik? Cik okey ke?” Luqman kerut dahi pandang gadis di depannya ini. Pelik menghantar isyarat di kepala.

Karmila tongkat dagu. Senyum tergelincir tanpa sedar. Luqman sembunyi senyum lihat gelagat gadis di depannya ini. Tangan menggaru kening. Fulala. Bersopan santun di atas bangunan sungguh la mamat merah jambu ni. Jap jap. Dia garu kening pun nampak comel ooi. Kelopak mata Karmila tak mampu nak kelip. Macam kena tongkat. Mata laju menjelajah wajah lelaki ini. Walla. Muka giga gaban punya gempak. Ada lesung pipit kiri kanan tu. Super mantap wow. Boleh usyar ni. Hai Encik baju merah jambu yang handsome.  Boleh berkenalan tak? Nama saper ek. Nama saya Mi…

Karmila, istighfar. Istighfar. Ni bukan sesi taaruf nak berkenalan bagai.

Kepala digeleng. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Mata Karmila masih melekap pada lelaki di depannya ini. Aisymen…giga gaban punya handsome tuuu.

Karmilaaaa.

Ya. Aku istighfar ni.

“Cik?” Luqman seru lagi. Dipetik dua jari bila perasan gadis ini masih takzim merenungnya. Tindakan yang spontan buat mata Karmila terkelip. Adoiila. Terkantoi la pulak. Cover. Cover. Spontan tangan yang menongkat dagu ditarik perlahan. Sengih selamba dihumban.

 “Errk…boleh tolong sign tak, bro?” Karmila pantas hulur buku rekod di tangan. Luqman nampak nama Kiara Arena Holdings tertera di muka hadapan buku rekod itu. Dan logo Jasa Kurnia Berhad terpampang jelas. Kepala diangguk perlahan. Hmmm. Jasa Kurnia Berhad rupanya.
“Kenapa pulak saya kena sign buku ni?” Sengaja diduga. Bukan Luqman tidak tahu sebenarnya. Prosedur penghantaran dokumen penting memang sudah ditetapkan begini oleh Kiara Arena Holdings. Harus ada buku rekod sebagai bukti dua belah pihak.

Ekeleh. Bibir Karmila terangkat kecil. Mata menjunam kembali pada lelaki ini. Tukar gear kerek la pulak si merah jambu handsome ni.  Baru plan nak usyar. Kensel plan aar macam ni. Menyesal sungguh telan banyak air liur tadi.  Telan teh o ais limau lagi bagus.

Karmila tarik senyum plastik.

“Macam ni, bro. Kompeni saya suruh hantar surat penting ni ke sini.” Karmila tayang surat di tangan. “Walauapapun yang jadi, kena sampai gak sebelum lunch. Ribut ke, taufan ke, puting beliung ke..kena sampai gak. Surat maha penting ni, bro. Untuk..” Karmila hala mata pada sampul di tangan. “Encik Luqman Riayat Syah. Pengarah Urusan Kiara Arena Holding. Nama dia perrgh tu, bro. Kenal tak dia ni, bro?” Luqman angguk. Senyum. “Klasik tak hinggat tu nama. Ala-ala pendekar. Mesti keturunan pahlawan Melaka ni. Kirim salam nanti ek kat dia, bro. Cakap dari peminat misteri.” Luqman sembunyi senyum. Nak ketawa pun iya dengan kata-kata selamba gadis di depannya ini.

So apa kaitannya surat untuk Encik Luqman Riayat Syah dengan tandatangan saya?” Luqman buat-buat tanya. Sengaja. Mahu melihat sejauh mana gadis ini mampu mencari penyelesaian pada masalah yang sedang dihadapi.

Karmila garu kepala. Haish. Buat-buat tanya la pulak mamat merah jambu ni. Reaksi spontan Karmila mengundang senyum dalam hati Luqman makin mekar.

            “Problemnya sekarang bro, minah muka kaler-kaler yang selalu duduk kat depan ni takder sekarang ni. Habis camner bro? Takkan tak boleh tolong sign kut? On behalf. Tolong aar, bro. Saya mintak tolong sangat-sangat ni.” Karmila tayang muka mintak simpati. “Motor kat bawah saya park kat tepi jalan tu. Kang kalau lambat tak memasal kena saman. Guard Nepal kat lobi bawah tu dah la poyo, bro. Tak tolong pun bagi muka kat saya. Mementang bukan Aishwarya Rai yang mintak tolong. Masak la camtu kalau kena saman, bro. Mana nak cekau duit nak bayar. Tolonglah, bro. Hulurkan tangan, ringankan beban sesama saudara. Hari ni bro tolong saya. Esok esok mana tau saya tolong bro pulak.” Senyum Luqman dalam hati makin lebar dengar kata-kata selamba gadis ini. Karmila letak buku rekod kat depan lelaki bertee merah jambu yang tegak di depannya ini. Mata selamba renung muka lelaki ini. Fuh. Kulit dia licin siot. Mesti kaki spa mamat ni.

Luqman tarik buku yang terdampar di atas meja kaca. Pen di atas meja penyambut tetamu dicapai. Mata Karmila jatuh ke bawah. Kepala tergeleng perlahan. Tangan dengan kuku dia cantik tu. Berkilat woo. Mesti buat manicure mamat ni. Dasat la lu, bro. Pedicure buat tak, bro?

“Saya kena sign di mana?” Suara lembut Luqman bertanya buat kepala Karmila spontan terangkat. Mata terkelip-kelip.  Luqman humban senyum. Karmila rasa liur kembali terjun bergelen ke kerongkong. Dugaan sungguhlah mamat merah jambu ni. Tolong jangan senyum lagi boleh tak. Senyum lesung pipit ni bahaya, bro. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

"Cik?" Luqman masih belum simpan senyum. Karmila rasa muka dah tebal macam batu. Haish. Kantoi lagi. Bedebah betul la kamu muka. Cubalah cover supaya kekantoian tuanmu ini tersembunyi dengan jayanya.

 "Errk...sign sini, bro. Sini.” Jari ditunjukkan pada ruang kosong yang tertera Kiara Arena Holdings. Luqman tarik pen dan diconteng. Dihulurkan kembali buku pada gadis di depan. Karmila angguk. Senyum lebar terhampar.

“Haa..macam tu la, bro. Tolong menolong tu amalan mulia.” Karmila sengih lebar. Lega. “Terima kasih, bro.” Karmila sambut dan sumbat buku dalam beg sandang yang tersangkut di tubuh. Luqman memerhati  tanpa suara. Karmila hulur sampul putih yang dipegang pada lelaki di depan.

“Ni suratnya. Tolong ek bagi kat tuannya. Jasamu dikenang ,bro.” Luqman senyum.

“Chow dulu, bro.” Karmila atur tapak ke pintu.

“Cik..” Karmila berhenti melangkah. Tubuh berpaling.

 “Nama siapa?”

Ekeleh. Nak berkenal-kenalan la pulak mamat merah jambu ni.  Tapi..bagus jugak. Nasi lemak dicita, nasi beryani gam kambing yang jatuh ke riba…muahaha. Cantik aar. Hikhikhik.

Karmila tekan jari ke dada. Luqman angguk.

“Mi..Milo Ais.” Karmila sengih. Telunjuk dihala kembali pada lelaki itu.

Milo Ais. Hmmm.

“Teh O Ais Limau.” Tenang dibalas Luqman.

Ketawa Karmila terburai. Boleh geng nih, bro. Luqman ikut ketawa. 

Mata Karmila masih melekap pada lelaki di depannya ini. Dilirik dari atas ke bawah. Teh O Ais limau merah jambu. Cun..cun, bro. Memang confirm hilang dahaga..hikhikhik.

Karmilaaaa.

Astaghfirullah.

“Chow, Teh O Ais Limau. Jumpa lagi.” Karmila angkat tangan. Kaki laju mengejar pintu.


Luqman paut dua tangan ke tubuh. Senyum masih belum mati. InsyaAllah, kita jumpa lagi nanti, Milo Ais.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...