Langkah aku atur ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Satu persatu anak tangga aku daki bersama lafaz doa. Tuhan…aku sedang berjuang untuk sebuah masa depan. Permudahkanlah urusan aku ini, Tuhan. Aku mohon. Suara sayu mak sedang meniti di cuping. Aku terus menyusun derap hingga ke anak tangga terakhir. Ruang tamu di tingkat atas aku tuju. Langkah terus dibilang hingga kaki kecil aku terhenti di muka ruang tamu utama tingkat atas.
“Zira…”
Suara perlahan mak mertua aku yang pertama menjamah telinga. Suasana di ruang tamu sepi. Tiada lagi bunyi tingkah suara seperti waktu aku mula sampai tadi. Aku tidak tahu apa yang dah berlaku dan aku tak ingin bertanya walaupun aku tahu akulah yang menjadi tajuk pertingkahan tadi. Aku hanya ingin mendapatkan mak mertua aku. Itu tujuan aku ke sini.
Wanita bernama Hajah Zainon ini sedang duduk lemah di sofa. Mata singgah pada satu-persatu susuk tubuh yang sedang menghumban pandang padaku. Aku balas tenang pandangan kak long yang tajam mencerlung. Pandangan yang seakan tidak berpuas hati. Zainal hanya tunduk di sofa bersebelah mak mertua aku. Kak ngah dan kak lang yang duduk si sofa setentang ikut melempar tatap bisu. Aku atur langkah mendekati mak mertua aku. Tidak aku peduli pandangan mereka semua yang jelas semua sedang menghumban pandang pada kami. Aku labuh tubuh di depannya.
“Mak…” Dua tangan tuanya aku capai dan aku genggam. Ada kesan airmata yang sudah kering di pipinya. Aku sapu dengan tapak tangan.
“Mak panggil Zira datang ke sini. Zira dah datang mak. Cakaplah apa yang mak nak cakap. Zira dengar mak.” Tangan tua yang aku genggam kini singgah di pipiku. Aku pandang sepasang mata beningnya yang sedang menyampaikan rasa sedih hati dan jiwanya padaku.
“Mak nak tanya Zira.” Suara yang bercampur serak dari esak tangis lekat di telinga.
Aku angguk. “Tanyalah mak.”
“Betul Zira nak bercerai dengan Zainal? Betul Zira yang minta cerai dari Zainal? Cakap dengan mak. Terus-terang dengan mak, Zira.” Aku nampak mata yang merah itu bergenang. Aku lempar lirik pada Zainal yang kebetulan ikut memandang padaku. Lama kami berpandangan. Aku bawa semula kornea pada wajah mak mertua aku.
“Mak….” Aku cuba ukir senyum. Tangannya aku elus. “Dalam hidup ni, kita merancang. Tuhan juga merancang, mak. Dan perancangan Tuhan itulah yang terbaik. Itu yang tertulis buat kita. Dan dah tertulis juga jodoh Zira dan Zainal setakat ini sahaja. Walau apapun cara untuk selamatkannya, kalau sudah tertulis kami bukan ditakdirkan bersama selamanya, kita kena terima mak. Inilah yang terbaik buat hidup Zira…buat masa depan Zainal yang Tuhan dah tetapkan.” Aku diam seketika. Nampak mak mertua aku tertunduk. Aku terus elus jari-jemari tuanya yang sudah dimamah usia.
“ Zira tahu mak sedih. Zira faham perasaan mak. Zira pun sedih mak.” Aku pandang matanya. Nampak titis airmata mengalir ke pipi. Aku usap dengan jari-jemari. “Mak… Zira nak mak reda. Sepertimana Zira reda dengan ketentuan ini. Zira akan lupakan kegagalan ini tapi Zira takkan lupa hikmah dari kegagalan perkahwinan kami. Zira nak mak juga yakin ada hikmah yang tertulis buat Zira dan Zainal.” Aku lirik pandang kak long yang menayang muka masam.
“Zira ni perempuan yang tak sempurna mak. Macam kata Zainal pada kak long. Zira ni perempuan mandul. Lima tahun kahwinpun tak mendatangkan hasil.” Aku lempar senyum pahit. Aku nampak mak mertua aku baling tatap pada Zainal. “Betul la tu. Zira terima walaupun Zira tak minta jadi begini. Bahagian Zira ni, mak.” Dari lirik mata aku nampak Zainal angkat muka memandang padaku dan ke arah kak long. Aku ikut memandang pada kak long. Reaksi Zainal buat telunjuk kak long lurus padaku.
“Kamu jangan pusing cerita, Fazira! Mana ada kak long cakap macam tu. Jangan nak buat fitnah. Kamu yang kata Zainal mandul! Lelaki tak guna. Sebab tu kamu minta cerai dengan dia. Mak…menantu kesayangan mak ni penipu. Kan along dah cakap tadi. Dia dah tipu mak. Tipu kita semua dengan perangai malaikat dia. Sia-sia aje mak tatang dia selama ni.”
“Biar Zira habis cakap dulu. kamu dah puas bercakap tadi. Sekarang giliran dia.” Perlahan suara mak mertua aku menegah.
“Tapi mak, dia ni penipu. Jangan percaya cakap dia. Kita semua jangan percaya dengan dia lagi.” Kak long masih tidak puas hati. Aku tahu dia takut tembelangnya pecah. Kak long…kak long. Aku kesian pada abang long ada isteri seperti ini.
“Mak cakap biar Zira habis cakap dulu, long.” Lirik mata mak mertuaku singgah di wajah kak long yang duduk di sofa hujung.
“Mak."
“Diam!” Tempik suara tegas mak mertua aku buat kak long tersenyap. Sunyi seketika. Aku lempar lirik padanya. Aku hairan betul dengan kak long ini. Apa yang dia sakit hati dan dendam sangat padaku?
“Zira nak mak tahu Zira dah tak mampu lagi untuk teruskan hidup dengan Zainal. Zira dah letih, mak. Zira dah terlalu letih dengan sikap pura-pura Zainal selama ini. Zira harap mak faham perasaan Zira. Zira ada hati dan perasaan. Zira bukan patung.” Dari ekor mata aku nampak renungan Zainal.
“Maksud Zira?” Aku kalih ke arah Zainal seketika. Lama dia renung aku. Aku lempar wajah tak beriak sebelum kembali mencari wajah mak mertua aku.
“Mak, perkahwinan ini melibatkan perasaan mak. Cinta dan kasih sayang itu bukan boleh dipindah-pindah. Perasaan Zainal selama ini bukan pada Zira. Cinta dan kasih sayang Zainal bukan milik Zira. Hati dan jiwa Zainal milik orang lain. Dia dah mengaku dan Zira terima walaupun sedih." Ya. Aku memang teramat sedih waktu Zainal buat pengakuan dahulu. Dan mana-mana isteripun akan rasa seperti yang aku rasa ketika itu. Aku diam sejenak. Kepala tunduk memandang riba. Cuba menghalau pilu dari bertandang. Aku tak mahu kalah di medan airmata lagi. Cukuplah airmata yang aku buang selama ini.
"Zira tak nak bohong pada mak perasaan kecewa Zira. Zira sedih sangat mak sebab selama ini Zira ikhlas terima Zainal. Ikhlas sayang dan cintakan dia. Tapi Zira nak mak tahu Zainal berhak pilih pada siapa dia mahu berkongsi itu rasa itu semua. Dia berhak untuk bina bahagia dan keturunan. Zira tidak ditakdirkan untuk beri itu semua pada Zainal. Mak izinkan la Zainal pilih jalan bahagia dia sendiri.”
“Jadi Zira tetap nak bercerai dengan Zainal? Zira dah tak sayang mak? Mak tak nak hilang Zira.” Aku renung wajah perempuan yang amat aku sanjung dan sayang dalam hidup. Dua tangannya aku cium dan lekap ke dada.
“Zira tetap anak mak walaupun bukan menantu mak lagi nanti. Itukan perjanjian kita dulu waktu mula-mula kita kenal di luar pintu pagar. Mak ingatkan?” Kepala mak mertua aku terangguk perlahan. Airmatanya menitis lagi. Aku ikut mengangguk dan ukir senyum.
“Zira sayang mak seikhlas hati Zira. Zira anggap mak macam mak kandung Zira. Sayang dan kasih Zira pada mak bukan sebab harta dan kekayaan mak. Demi Tuhan…Zira tak pandang itu semua. Zira sedar keluarga Zira tak sesenang mak. Mak dan abah Zira orang kampung. Orang yang kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Tapi mak dan abah tak ajar Zira untuk jadi tamak. Jadi hamba pada harta dunia.Kami orang susah mak, tapi kami ada maruah. Dan maruah kami tak boleh dibeli dengan harta dunia.
Satu dunia boleh kata dan tuduh Zira terima mak…dekati mak...sayang mak kerana kekayaan mak. Nak kaut harta benda mak. Zira pura-pura baik depan mak dan yang lain. Tapi Zira nak mak tanya hati kecil mak sendiri…Zira ini begitu ke orangnya mak? Mak kenal Zira kan?” Aku nampak mak hala tatap pada kak long dan kemudian beralih pada Zainal, kak ngah dan kak lang. Tekaan aku tepat. Pasti kak long sudah melempar segala cerita buruk tentang aku pada semua. Aku ikut memandang wajah kesemuanya. Satu persatu sebelum berhenti semula ke wajah kak long yang tidak berkelip memandang padaku sambil mengetap bibir. Aku tegakkan jari telunjuk ke atas. Tuhan itu maha kaya, kak long. Jangan kau lupa tentang itu.
Mak mertua aku bangkit dari duduk. Aku ikut bangun. Empat pasang mata yang duduk di sofa hanya diam memandang. Dua tangan aku digenggam kemas. Aku nampak dia kemam bibir melawan rasa pilu yang bertebaran di jiwa.
“Maafkan mak. Maafkan anak mak Zainal.” Tangisnya pecah. Aku pusing pandang Zainal yang ikut melempar tatap. Laju dia bangun, meluru dan memeluk erat tubuh mak mertua aku dari belakang. “Maafkan Nal, mak. Maafkan Nal.” Sebak mengintai jiwa. Aku tahan rasa itu dari melepasi jendela hati.
“Maafkan mak sebab buat perkahwinan Zira berakhir macam ni. Mak minta maaf pada Zira, mak dan abah Zira.” Aku geleng kepala. Mak tak salah. Mak cuma merancang.
“Zira reda, mak. Zira nak mak reda juga. Zira tak mahu mak salahkan diri mak. Lepaskan Zira dengan reda. Janji dengan Zira, mak.” Aku balas genggaman kemas jari-jemarinya. Tubuh aku ditarik dan dibawa dalam pelukan. Erat sekali.
“Janji yang Zira akan tetap kekal jadi anak mak sampai bila-bila.” Aku angguk dan balas pelukannya.
“Zira anak mak sampai bila-bila.”