Friday, May 12, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku masih termangu dengan kata-kata kak long. Seakan boleh aku nampak wajah tak bersalah Zainal di raut wajah kak long. Dada aku macam nak pecah. Salah akukah Zainal bila kita masih tidak dikurniakan zuriat? Bukankah kau dahulu yang kata tak perlu risau. Kita masih punya banyak masa lagi.

Masa.

Aku geleng kepala. Zainal…Zainal. Baru aku faham sekarang. Masa yang kau sebut tu rupanya ruang untuk kau menyulam kembali cinta dengan kekasih lama di belakang aku. Ruang untuk kau berdua secara senyap menikam aku dari belakang. Bodohnya aku. Hebat permainan kau Zainal. Hebat sekali!

Diam aku buat kak long tersenyum lebar. Gembira bila piala kemenangan sudah tergenggam di tangan. Aku yang tersungkur di medan pertikaman lidah masih jeda. Kepuasan terlukis di wajah kak long kerana berjaya buat buat lidah aku terkunci dari membalas. Aku hanya diam memandang kak long menolak kerusi dan tegak di depan mata. Kak long menunduk. Matanya yang galak merenung tepat mata aku. Jari telunjuknya lurus ke wajah. Aku tidak berkutik.

“Aku nak pesan kat kau. Sedar diri yang kau tu perempuan tak sempurna…perempuan mandul. Adik aku masih simpan kau sebab kesian pada kau. Itu aje.” Rengkung suara aku bagai mahu melontar jerit. Aku tak perlukan rasa kesian Zainal. Aku tak sudi! “Tapi kau pulak nak tunjuk lagak. Cermin diri tu kau tu. Jangan nak perasan. Kau ingat kalau Zainal humban kau, ada jantan lain akan kutip perempuan mandul macam kau? Jangan harap! Berlumut la kau tak berlaki sampai mati.” Aku ketap bibir. Kejamnya lidah kak long. Aku lebih rela jadi janda sampai mati dari bersuamikan lelaki sekeji Zainal.

“Adik aku perlukan perempuan yang mampu sempurnakan hidup dia. Janice tu perempuan paling sempurna buat Zainal. Bukan perempuan mandul macam kau!” Serentak telunjuk kak long menerjah dahi aku. Tubuh aku tersandar ke belakang. Langkah juara kak long gah meninggalkan aku yang terus bisu di kerusi kaku. Liur maha pahit aku telan. Ya. Aku sedar yang aku bukan perempuan sempurna. Jika kau mencari yang sempurna, aku bukan orangnya, Zainal. Kenapa tidak dari dahulu kau katakan pada aku? Aku akan faham dan rela undur diri. Kenapa sampai begini kau aibkan aku Zainal? Kau fikir aku tak punya maruah? Tergamak kau jaja kisah rumahtangga sendiri demi kepentingan diri kau. Kau memang keji, Zainal. Keji!

Tanpa sedar air mata mengalir ke pipi. Pilu menghiris seluruh jiwa. Semua yang terjadi tadi buat aku rasa ditelanjangi oleh kak long. Oleh Zainal. Oleh perempuan itu. Semua mereka sedang ketawa tanda kemenangan. Aku sapu pinggir mata yang basah perlahan-lahan. Sebak yang bertandang di penjuru hati cuba aku damaikan dengan istighfar. Akau tekan tapak tangan ke dada. Sabarlah, Zira. Sabarlah. Ujian ini hadiah Dia untuk hambanya yang terpilih. Ada hikmahnya. Yakinlah, Zira.

Aku pandang langit malam yang pekat hitam. Ya Allah. Tunjukkan jalan yang terbaik buat masa depan aku. Tunjukkan ya Allah. Aku mohon padaMu. Dan bas yang aku naiki makin deras menderu membelah pekat malam. Neon-neon jingga yang tergantung di tiang-tiang lampu jalanraya seakan mahu memberikan aku pesanan. Akan ada cahaya buatmu, Zira. Cahaya itu akan muncul juga nanti. Cahaya yang akan menyuluh hidupmu. Cahaya yang tidak akan sesekali mengkianatimu. Cahaya yang akan mendampingimu. Selama-lamanya.

Pasti.

Yakinlah.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...