Wednesday, April 26, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

"Kak long!!!" Suara aku naik tinggi. Geram yang aku tahan lebur. Aku tak boleh terima penghinaan begini. Maruah aku bukan boleh diinjak sesuka hati kak long.

“Jangan nak jerit-jerit kat aku!!!”

“Kak long hina saya!!!” Suara aku naik lagi membalas. Nasib baik tempat yang kami duduk dipisahkan oleh cermin dengan kawasan dalam café. Jadi suara kami tidak kedengaran ke dalam café. Kalau tidak aku tak tahu la. Mungkin kami akan jadi bahan tontonan berpasang-pasang mata di dalam café ini.

“Memang kau perempuan hina dan layak dihina!” Sinis kata-kata kak long buat nafas aku turun naik menahan marah yang memuncak. Aku tak sekeji macam yang kak long kata. Aku tak pernah menanam niat tidak baik dengan mak mertua aku selama aku kenal dia sebelum kahwin dengan Zainal. Segala apa yang aku lakukan ikhlas kerana aku anggap mak Zainal seperti mak aku sendiri. Sementelaah mak aku jauh di kampung. Demi Allah aku tidak pernah tahu latar belakang kewangan mak mertua aku sebelum aku berkahwin dengan anak dia.

“ Kau dengar sini perempuan.” Telunjuk kak long singgah tepat di dahi. Riak benci terlukis jelas di wajah kakak sulung Zainal ini. Perempuan lewat empat puluhan ini sungguh rendah adab dan sopan. Berbeza sungguh dengan ibu mertua aku yang begini indah pekerti budinya.

“Aku tak pernah terima kau dalam keluarga aku. Bagus pun kau mintak cerai. Aku akan pastikan Zainal ceraikan kau. Talak tiga lagi bagus supaya Zainal boleh bebas selamanya dari perempuan murahan macam kau. Dia masih nak simpan kau selama ini dah cukup baik tau. Kau pulak nak tunjuk lagak. Nak minta cerai kunun. Aku nak tengok nanti kau merempat lepas bercerai.”Aku telan pahit liur. Hina sungguh aku sampai harus diceraikan dengan talak tiga.

“Untuk pengetahuan kau, perempuan yang ada dalam hati Zainal sejak dahulu hanya Janice. Kau tu tak pernah wujud pun dalam hidup Zainal. Jauh sekali nak ada dalam hati dia. Kau jangan mimpi.” Aku kemam bibir. Sungguh ke, Zainal? Jadi apa makna semua layanan yang kau berikan pada aku selama ini? Nafsu? Atau kasihan? Aku nampak riak mengejek di wajah kak long. Mungkin dia sedang ketawakan aku di dalam hati. Ketawalah kak long. Ketawalah.

“Kau tu aku rasa lupa cermin diri kau. Yelah kan. Tikus bila dah jatuh dalam kepuk padi memang lupa diri. Tak sedar diri.” Hati aku rasa bagai disiat-siat. Kak long makin merapati meja. Lebih mendekat dengan aku yang duduk setentang. Telunjuknya makin menekan dahi. “Kau tau tak, Janice tu jauh lebih layak jadi isteri Zainal. Akupun sukakan dia. Serba-serbi sempurna. Setaraf dengan Zainal. Sama cantik. Sama bijak. Janice tu pilihan hati Zainal dari dulu. Bukan kau.” Kalau dah aku bukan pilihan hati dia sejak dahulu, kenapa nikahi aku? Sebab tak nak lukakan hati mak? Jadi sanggup jadi pendusta perasaan sendiri. Sanggup lukakan hati perempuan lain yang tak bersalah. Sangggup berhubung sulit dengan kekasih senyap-senyap di belakang isteri. Lelaki apa perangai macam tu? Lelaki dayus? Rengkung aku bergerak-gerak. Mahu sahaja aku muntahkan kata-kata ini pada kak long. Namun naluri aku menahan.

“Betul kata Janice pada aku. Kau ni harus diajar untuk sedar diri.” Oh. Aku angguk kepala sendiri. Jadi memang kedatangan kak long ini atas perintah Zainal dan perempuan itu rupanya. Kak long dikirim ke sini untuk mengajar aku erti sedar diri. Keji betul cara korang semua bersekongkol. Keji!

“Untuk pengetahuan kau juga, kau tu tak setanding dia. Tikus yang kotor macam kau mana layak nak dibanding dengan merak yang cantik. Macam langit dan longkang. Kau tu ibarat longkang. Tikus memang tempatnya dalam longkang kan.” Senyum sinis kak long terpapar di bibirnya yang merah. Aku ketap bibir. Tangan aku menggigil. Seluruh tubuh ikut menggigil. Kak long memang sudah kurang ajar! Aku tepis kuat telunjuk kak long. Tubuh kak long tersasar sedikit ke belakang. “Eh!...kau nak aku jatuh apa?” Jelingan kak long aku tak hirau. Kalau jatuh tergolek aku biarkan aje. Biar dia rasa!

Aku jeda seketika. Mata kami saling bersabung. Aku hela nafas dalam-dalam. Ya Allah. Bantu aku, ya Allah. Aku raup wajah sebelum kembali menghantar tatap pada kak long.

“Saya tak pernah mintak jadi pilihan Zainal. Ya. Saya sedar diri. Saya orang biasa-biasa. Bukan keturunan terhormat…kaya –raya macam keluarga kak long. Tapi saya tak pernah hadap nakkan kemewahan keluarga kak long. Kalau sungguh Zainal tak sukakan saya…tak boleh terima saya sebagai isteri, kenapa tunggu sampai sekarang. Lepas lima tahun baru nak cakap? Lima tahun kak long…” Aku angkat sebelah tapak tangan dan hala ke muka kak long. “…lima tahun perasaan saya dipermainkan. Cuba kak long letak diri kak long di tempat saya. Apa perasaan kak long?” Kak long humban cebikan.

“Siapa suruh kau perasan. Ada kau tanya Zainal dulu dia terima kau ke tidak? Ada?!” Jegil mata kak long terhumban. Aku telan liur. Kenapa aku yang harus bertanya? Kenapa tidak Zainal yang bersuara jujur pada aku dahulu? "Zainal tu kesian dengan kau sebenarnya. Kau yang lebih-lebih. Gatal. Dah kau bagi, dia ambil la. Takkan nak tolak. Lagipun ikhsan dia la tu bagi layanan kat kau. Nanti kau meroyan pulak Zainal tak bagi nafkah batin.”

“Kak long…” Lirih suara aku menahan kecewa. “…sampai hati kak long cakap macam tu.” Aku tak tahu apa yang Zainal dah cerita pada kak long pasal hubungan kami sebenarnya. Sampai hati kau, Zainal.

“Aku cakap yang betul. Dia tak pernah rasa bahagia pun hidup dengan kau selama ni. Kebahagiaan dia hanya ada pada Janice. Tapi adik aku tu baik. Tak sanggup nak buat kau sedih. Jadi layan aje la kehendak batin kau tu.” Ya Allah. Kau memang keji, Zainal. Keji!!!

“Tapi aku rasa Zainal pun dah tak boleh nak tahan siksa perasaan sendiri semata-mata nak penuhi kehendak batin kau. Dia tu lelaki. Tentulah dia nak zahirkan cinta dan kasih sayang dia pada perempuan yang dia cinta.” Aku genggam tangan kuat-kuat. Aku terjah pandang kak long yang sedang tersenyum sinis.

“Saya pun tak hingin walau sesaatpun lagi nak hidup dengan Zainal kalau itu yang dia fikir selama ini. Pura-pura baik. Dasar lelaki penipu. Lelaki tak guna!”

“Jangan nak hina adik aku perempuan mandul!!!” Mata aku tidak berkelip pandang kak long. Nafas bagai terhenti. Seluruh urat saraf terkulai.

Perempuan mandul.

“Kenapa?” Kak long jegilkan mata. “Terkejut? Kau memang perempuan mandul pun. Perempuan yang tak mendatangkan hasil pada Zainal. Lima tahun Zainal kahwin dengan kau. Apa yang dia dapat? Kau cakap dengan aku. Apa?” Aku masih jeda. Terpempan dengan kata-kata kak long yang tak aku duga. Zainal…sampai begini kau aibkan aku pada kak long. Sampai hati kau, Zainal.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...