Monday, May 15, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

AKU nampak kereta BMW Zainal di garaj. Sah dia dah balik dan ada di dalam. Aku hirup nafas. Buang jauh-jauh rasa pilu di hati. Orang dah tak suka, jangan kau nak terhegeh-hegeh, Zira. Orang dah singkap kau luar dalam, jangan kau buat muka tak malu. Sedar diri! Aku raup muka. Ya, aku sedar diri. Tangan putar tombol pintu utama usai mengucap salam yang antara dengar dengan tidak di telinga. Aku kunci grill dan pintu. Telefon di tangan aku sumbat ke dalam tas tangan. Tadi, sesampai di depan pintu pagar rumah aku terus telefon Zai beritahu aku dah selamat sampai. Tak nak Zai risau. Kesian dia. Bila Zai mula soal macam-macam, aku cakap esoklah aku cerita. Aku perlu tenangkan diri sekarang. Kalau aku terus cakap bila Zai tanya tadi, pasti aku akan menangis. Silap-silap aku meraung. Aku terlalu sedih dengan kata-kata kak long tapi aku tak mahu Zai dengar suara kesedihan aku. Aku malu.
Ruang tamu dah gelap. Aku tahu Zainal di atas. Mungkin dah tidur. Atau berkurung dalam bilik. Mungkin. Kaki menapak lemah menaiki anak tangga ke tingkat atas. Aku letih dan penat sangat. Aku nak cepat masuk bilik dan hempaskan tubuh ke ranjang. Aku heret kaki ke bilik tetamu di hujung.
            “Zira.” Zainal menapak perlahan mendekati. Susuk tubuh yang membelakangkannya dihampiri. Tadi waktu menjenguk di balkoni setelah penat menunggu di dalam bilik dia nampak Zira seorang di depan pintu pagar. Tak nampak kereta kak long. Mana kak long? Bukan kak long kata akan hantar Zira balik? Bertubi-tubi soalan hinggap di kepala. Kak long yang beria-ia kata akan hantar Zira balik. Siap pesan Zainal jangan bimbang. Kak long akan hantar Zira sampai depan rumah. Tapi kenapa Zira balik sorang? Kalau ikut dari gaya isterinya itu, Zira macam balik dengan kenderaan awam. Zira naik bas?
            Telinga yang cekap hantar isyarat buat kepala berputar. Aku tegak. Hanya mata yang jadi saksi Zainal sedang berjalan mendekati. Belum tidur rupanya.
            “Baru sampai?” Tadi waktu nampak Zira di pintu pagar sempat di kerling pergelangan tangan. 11.30.
            Aku diam. Kepala angguk patung.
            “Balik dengan…”
            “Bas…LRT…bas. Jalan kaki.”
            Zainal telan liur. Bas. LRT. Bas. Jalan kaki.
Kak long.
Rasa bersalah membuak-buak.
            “Kak long tak hantar?” Cuba dicari jawapan di mata Zira. Mahu tahu kenapa kak long tidak menghantar Zira balik seperti yang dijanjikan. Kenapa sampai biarkan Zira balik sendiri lewat malam begini. Kalaulah dia tahu…
            Kak long. Aku pandang mata Zainal. Lama. Nama itu bagaikan belati paling tajam yang pernah tercipta di muka bumi ini. Terngiang-ngiang kembali kata-kata tak berperasaan kak long tadi. Aku hela nafas lalu pusing semula ke depan. Aku biarkan pertanyaan Zainal terdampar tanpa jawapan. Dia nak tahu, dia pergilah tanya sendiri pada kak long kesayangan dia. Aku seret semula kaki ke bilik.  Zainal laju ke depan. Melihat reaksi isterinya, dia tahu pasti kak long ada lakukan sesuatu. Bahu Zira dicapai. Aku henti langkah. Mematung seketika. Terus memandang ke depan.
            “Zira…I…”
            “Saya penat. Saya nak mandi. Solat dan nak tidur. Esok nak kerja.”
            Tangan yang memaut bahu isterinya perlahan-lahan ditarik semula. Faham penolakan Zira bila sudah membahasakan dirinya saya. Bukan dia tidak faham perangai Zira.
            “Dah makan?” Harap kak long bawa Zira makan tadi. Memang dia pesan pada kak long sebab dia tahu Zira memang suka makan dan kuat makan.
            “Dah.” Aku bohong. Selera aku terbang dibawa angin duka. Perut sebu dengan seranah sumpah dan maki kak long hinggakan aku lupa aku tidak menjamah apa-apa sejak perjumpaan tadi. Kaki terus aku tarik ke depan. Tangan capai tombol pintu. Aku putar dan tubuh melolos masuk. Aku tekan punat dari dalam. Bibir aku kemam. Tubuh yang bersandar perlahan-lahan melorot ke bawah. Aku tarik dua kaki rapat ke dada. Wajah tak bersalah Zainal tadi terlayar di mata. Dan suara kejam kak long kembali menyapa cuping dan bergema di seluruh pelusuk dan penjuru bilik.
            Perempuan mandul!!!
            Aku pejam mata. Kepala jatuh pada kaki yang dipaut. Dada pecah dengan tangis senyap. Hanya tubuh yang bergegar. Tangis bisu ini bagai sedang menjerut seluruh pembuluh darah. Rasa macam nak mati. Makin kuat aku paut kaki ke dada.
            Sampai hati you, Zainal.
            Zainal masih memerhati. Zira yang sudah hilang di balik pintu terus direnung. Kepala laju berputar. Ada rasa tidak enak yang tersangkut di hati melihat riak di wajah Zira. Ada lembayung sedih yang berlabuh pada redup sepasang mata isterinya itu. Apa kak long dah cakap pada Zira tadi? Akal tidak mampu menunggu lagi. Kaki laju di bawa ke bilik. Telefon yang terdampar di meja kecil di sisi katil disambar. Ditekan skrin. Gajet di tangan berpindah ke cuping.
            “Assalamualaikum. Kak long.”


No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...