Saturday, June 2, 2012

Mr Sirap Bandung - Bab 5


Bab 5

Helmet bercermin gelap yang tertera Ducati di bahagian dahi ditanggalkan dari kepala. Dikemaskan ikatan rambut lurusnya. Diletakkan helmet berkenaan di atas perut Ducati Sport Classic yang sudah diparkir di porch bersebelahan dengan Benelli Century Racer, Aprilia Factory dan Norton Commando Cafe Racer kesayangannya. Harley Davidson Superlow warna merah hati hadiah daripada mummy kerana dia bersetuju untuk pulang yang berada diantara Benelli dan Norton ditatap ceria. Mummy dan daddy sangat tahu akan kegilaannya terhadap motosikal berkuasa tinggi dari dia kecil lagi. Sejak kecil minatnya sememang sudah terarah kesitu. Setiap kali mengikut mummy atau daddy ke gedung buku samaada di sini mahupun luar negara, majalah-majalah berkenaan motosikal akan menjadi pilihannya. American Motorcyclist, Cycle, SuperBike, PB (Perfomance Bikes),The Motorcycle, Cycle News, The Classic Motorcycle, MCN (Motor Cycle News), Cycle World, Easyriders, Bike, Classic Bike adalah kegilaannya dan semakin dewasa American Iron Magazine, Motociclismo, RoadRUNNER, Motosprint, SoundRIDER! dan The Rider's Digest adalah antara barisan majalah jentera berkenaan yang menambahkan koleksi di ruang perpustakaan peribadinya.


Mata terus menerawang seketika di sekitar porch yang terletak di sebelah kiri banglo tiga tingkat keluarganya ini. Dua buah BMW hitam dan sebuah Lexus kelabu takzim disitu namun BMW putih mummynya tidak kelihatan. Thaqif pasti mummy masih belum pulang dari butiknya. Tadinya mummy ada menghubunginya di pejabat memaklumkan yang dia akan lewat pulang sedikit hari ini. Ada kerja yang belum selesai di butik. Entah di butik mana agaknya mummy berada sekarang ini. Mummynya mempunyai beberapa butik atas nama Wafeeqa House of Fashion and Boutique di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam. Thaqif bukan tidak tahu kecintaan mummy yang terlalu mendalam terhadap dunia fesyen. Sejak dari kecil dia sudah biasa ditinggalkan bersama daddy di rumah jika mummy perlu menghadiri pertunjukkan fesyen di luar negara sebagai peserta atau atas jemputan penganjur. Dan daddy yang begitu memahami kecintaan mummy tidak pernah menghalang malahan memberi sokongan dan galakan kepada mummy dalam dunia fesyen yang diceburinya. Keterlibatan mummy dalam dunia fesyen sejak di zaman muda sememangnya menggagumkan. Bermula sebagai pereka amatur mummy pantas mendaki tangga kejayaan menjadi pereka yang amat dikagumi hasil sentuhannya. Rekaan mummy sentiasa sahaja menjadi tumpuan dan pilihan terutama dikalangan para kenamaan. Pelanggan di butik mummy sememangnya tertumpu dikalangan golongan ini. Mummy yang merupakan lulusan Fashion Institute of Technology di State University of New York (SUNY) seringkali menjadi juri jemputan dipertunjukkan fesyen antarabangsa.  Di sini, sudah menjadi kewajiban mummy saban tahun untuk hadir di Malaysian International Fashion Week (MIFW) dan akan berkolabrasi bersama Malaysian International Fashion Alliance (MIFA) dalam penganjuran acara tahunan tersebut. Kepakaran mummy sebagai ikon fesyen juga dilibatkan dalam Malaysian International Fashion Awards (M-IFA). Dan mummy selalunya tidak akan pernah gagal dalam memberikan sentuhan ajaibnya pada tiap tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.


Langkah diatur mendekati pintu utama banglo. Perlahan tombol pintu diputar. Samsonite yang tersandang di bahu melorot kedudukannya. Ditolak sedikit dengan jari-jemari kiri. Kaki terus melangkah menuju ke ruang tamu utama. Set sofa buatan Itali gabungan rona putih gading dan coklat tua melatari keseluruhan ruang. Langsir putih gading yang menghiasi ruang sememangnya begitu terserlah. Segala yang tersergam di ruangan ini adalah hasil sentuhan dan pilihan mummy. Candelier kristal kuning cair yang melatari ruang siling melengkapkan kemewahan suasana.  Kaki dibawah melepasi ruang tamu utama menuju anak tangga untuk naik ke tingkat dua. Melepasi dua anak tangga, langkah terhenti. Haruman wangi dari arah dapur kering menarik perhatian. Diundur langkah menuruni anak tangga semula. Diputarkan arah haluan ke arah dapur kering melepasi ruang makan utama yang dihiasi set makan yang kusyennya diwarnai rona coklat muda dan digabungkan pula dengan permaidani berjalur besar buatan tangan dari rona yang sedikit gelap. Jambangan besar bunga Lily nan putih dari bekas kristal berkaki sederhana besar yang menghiasi tengah meja membuatkan seri di ruangan ini begitu terserlah. Thaqif akui mummy memang handal juga dalam seni hiasan dalam dan setiap sentuhan perabut didalam banglo ini adalah dari cetusan idea mummy. Thaqif tahu set ini ditempah mummy dari Itali dan baharu sahaja tiba seminggu yang lalu menggantikan set terdahulu.


Bibir mengukir senyum segaris. Mak Leha dilihat sedang menyusun sesuatu didalam pinggan di meja makan kedua di ruang dapur kering. Mak Leha; wanita berusia separuh abad yang sudah bersama keluarga Thaqif sejak dia dilahirkan. Mak Leha balu yang kematian suami sewaktu awal perkahwinanya dan mempunyai seorang anak lelaki; Malek mengambil keputusan menerima tawaran mummy untuk menjadi pembantu rumah bagi keluarga ini dan terus menetap bersama mereka sehingga kini. Mak Leha yang diperkenalkan kepada mummy oleh salah seorang teman lamanya yang sekampung dengan mak Leha. Thaqif sudah menganggap mak Leha seperti ibunya sendiri sementelaah sejak dari kecil mak Leha lah yang menjaganya jika mummy dan daddy perlu ke luar negara atas urusan perniagaan. Dan Malek, anak tunggal mak Leha yang tiga tahun tua daripadanya adalah satu-satunya sahabat baik Thaqif  sejak kecil dan hingga kini persahabatan itu terus mekar dan erat. Malek adalah pembantu peribadi kepada daddy di Arena Kiara sejurus tamat pengajian di UKM dan kini menjadi pembantu peribadinya pula di pejabat. 


"Mak Leha masak apa ni...wanginya bau." Langkah mendekati meja makan. Mata tertumpu pada pinggan dihadapan mak Leha. Senyum di bibir terukir lagi. Thaqif sudah jelas dengan objek yang sedang disusun mak Leha. Leher kerusi kayu buatan Itali berwarna coklat tua dan berpetak besar corak kusyennya ditarik perlahan. Dilabuhkan duduk. Somsonite dibahu diturunkan lalu diletakkan di atas meja. Mak Leha dilihat tersenyum lebar. 


"kan Qif masa makan malam tadi cakap dah lama tak makan kuih ni. Mak Leha buatkanlah hari ni. Qif tu bukan mak Leha tak tahu, suka benar makan kuih ni dari kecik. Siap suruh mak Leha letak air gula lebih lagi. Pastu hirup air gula tu sampai licin."


Thaqif senyum. Kenangan waktu kecil yang diimbas kembali oleh mak Leha satu memori manis yang sentiasa dekat di hati. Lengan mak Leha diusap perlahan. " Tu yang Qif sayang mak Leha banyak ni. Mak Leha kalau Qif sebut nak makan apa, mesti mak Leha masakkan."


Senyum mak Leha makin lebar. Tapak tangan Qif ditepuk perlahan. Mesra. "dah tugas mak Leha, Qif. Lagipun mak Leha memang suka masak untuk Qif.  Suka tengok Qif makan...kita pun jadi berselera dibuatnya. Masak banyak kali pun takper, mak Leha tak kisah. Pasal Qif..anytime!" Mak Leha kenyit mata. Pecah ketawa kedua-duanya. 


"baru masak ke nih, mak Leha?" Tangan mencapai piring kecil yang sememangnya sudah disediakan mak Leha. Sudu kecil didalam bekas kaca bulat di tepi meja ditarik keluar. 


"Memang baru keluar dari kukus. Panas lagi nih. Mak Leha terus masukkan dalam pinggan. Mak Leha tahu Qif mesti balik macam biasa." Sebungkus kuih diletakkan cermat oleh mak Leha ke dalam piring Thaqif biarpun dilarang. Kata Thaqif dia boleh melakukannya sendiri. Mata sudu dibenamkan kedalam lapisan pertama lalu dibawa ke bibir. Dihidu sebelum disumbatkan kedalam mulut dengan tertib.  Mata terpejam seketika. 


"haa..dah baca bismillah ke belum tu.." Suara mak Leha mengingatkan. Seperti biasa. Thaqif sudah arif. Kepala diangguk sambil telunjuk kiri dilekatkan ke dada. Mulut bergerak perlahan. Menikmati isian lapis pertama berwarna putih yang cukup lemak rasanya. Ibu jari kiri ditegakkan lalu dihalakan ke wajah mak Leha yang sedang asyik memerhatikan gelagat Thaqif.


"hmmm...best, Mak Leha. Rasa dia sama macam masa Qif kecil-kecil  dahulu. Tak berubah langsung. The best tepung pelita in the world!...dan mak Leha memang chef terbaik di dunia!" Sudu dibibir dijilat licin sebelum dibenamkan semua ke dalam bungkusan tepung pelita dihadapannya. 


"hmmm..air gula dia manis...sedap!" Thaqif kenyit mata ke arah mak Leha. Dan wanita itu mengelus lembut kepala Thaqif. Senang melihat anak majikan yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu menikmati hasil dari air tangannya. Sejak kecil, kuih inilah yang paling disukai Thaqif berbanding kuih-kuih yang lain. Boleh dikatakan tiap-tiap hari mak Leha harus membuatkan atas permintaan Thaqif.


"ni semua mak Leha buat untuk Qif. Mak Leha tu Qif memang hantu tepung pelita. Habiskan ye. Tan Sri dan Puan Sri tak suka sangat kuih manis-manis nih. Anak dia yang handsome ni yang suka...sebab tu orangnya pun manis."


Thaqif dilihat mak Leha tersenyum lebar. Lesung pipit yang terbentuk di kedua-dua kelopak pipi menyerlahkan ketampanan anak tunggal majikannya ini. Kulit putihnya kelihatan kemerahan-merahan saat senyuman manis itu terukir.


Thaqif tarik kerusi disebelah. Ditepuk perut kerusi seraya menarik lembut tangan mak Leha. "Mak Leha makan sekali dengan Qif okay. Kalau tak, Qif taknak habiskan. Mari duduk sebelah Qif ni." Piring dihadapan beserta sudu didalam bekas kaca diambil lalu diletakkan di atas wajah piring. Dicapai sebungkus tepung pelita lalu diletakkan ke dalam piring. Mak Leha menurut seraya tersenyum. Dicapai sudu didalam piring lalu dibawa mencecah permukaan tepung pelita yang dibungkus menggunakan daun pandan. Thaqif dilihat mencapai bungkusan tepung pelita yang kedua. Laju sahaja sudu dibenamkan sebelum dibawa isian yang memenuhi ruang perut sudu ke mulut.


"Qif..." Sudu yang dikeluarkan dari bibir dicecahkan semula kedalam bungkusan tepung pelita. Thaqif yang asyik menikmati menoleh. Tersenyum.


"ya mak Leha.."


"keje macammana? ok? Diam tak diam, dah seminggu Qif ganti tempat Tan Sri kan.Tapi mak Leha tau. Qif mesti boleh jadi macam Tan Sri. Tengok kesungguhan Qif, mak Leha yakin Qif akan berjaya macam Tan Sri suatu hari nanti. Malek pun cakap macam tu pada mak Leha. Kata Malek, Qif memang layak untuk gantikan tempat Tan Sri. Mak Leha pun harap Qif dapat gantikan daddy Qif. Biar daddy tu berehat pulak. Dah sampai masanya orang muda macam Qif ini meneruskan usaha yang daddy Qif dah bina. Jangan biarkan usaha keras dan penat lelah daddy Qif hilang  begitu sahaja."


Thaqif senyum lagi seraya menganggukkan kepala. Mendengarnya seperti mudah, namun hakikat bukan mudah menjadi seorang ketua ditambah lagi dengan diri yang masih baharu dalam dunia perniagaan yang terlalu rencah laluannya. Mengambilalih tugas daddy satu tanggungjawab besar yang tergalas di bahu. Dia tahu dan arif sejak kecil bahawa suatu hari  nanti memang dia yang akan mengambilalih dan menerajui Arena Kiara. Itu yang sering diberitahu mummy dan daddy kepadanya. Namun dia tidak sangka suatu hari itu datang terlalu pantas. Hadir didalam keadaan diri yang belum sepenuhnya bersedia. Mahu tidak mahu dia harus menghadapinya tambahan keadaan kesihatan daddy yang tidak menentu kebelakangan ini. 


Thaqif menoleh ke sekitar dapur. "Mike mana, mak Leha? Tak balik lagi ker. Tadi rasanya dia keluar dulu dari Qif di pejabat." Malek anak tunggal mak Leha yang sudah sinonim dipanggil Mike sejak kecil oleh daddy daan mummy. Dan sejak tu memang itulah nama panggilan buatnya berbanding nama asal. Hanya mak Leha sahaja yang memanggilnya Malek.


"hmmm, budak bertuah tu...apa lagi..main bola jer la kejenya. Bukannya Qif tak tahu Malek tuh. Kalau tak sepak bola tu sehari, boleh demam. Tak paham mak Leha. Berhantu agaknya bola tuh ye Qif. Berbuih dah mulut mak Leha ni bagi nasihat. Bukan nak dengar. Ditakutkan kita pulak. Katanya kalau mak tak bagi Malek main bola, Malek nak protes kayuh basikal laju-laju tak berhenti-henti sampai tercabut kepala lutut. Biar tak boleh jalan terus. Biar mak nangis bengkak-bengkak mata macam Kassim Selamat. Nanti mak jadi Zaleha Selamat katanya. Tak kuasa dah mak Leha nak melayan si Malek tu Qif. Sama jer kamu berdua tu. Sorang gila bola...sorang gila motor besar. Haa..padanlah kamu berdua tuh."


Thaqif ketawa besar sampai keluar air mata. Mike..Mike. Malek sememangnya dari kecil meminati sukan bolasepak. Di sekolah dahulu dia selalu sahaja mewakili sekolah di MSSM dan di ketika di unversiti, Malek terlibat dalam MASUM untuk sukan berkenaan. Sememangnya Malek dan bolasepak tidak boleh dipisahkan. Thaqif sangat maklum tentang itu. Kegilaan Malek terhadap bolasepak tidak pernah pudar. Dari kecil hingga kini.


"Qif.."


Senyum masih terletak di bibir. Bungkusan tepung pelita penghabisan sudah selamat diselesaikan. Ditarik kotak tisu lembut yang dibaluti sarung mengkuang merah berpetak putih diluarnya. Dibawa ke bibir. Tertib dikemaskan hujung bibir.


"tak ada yang berkenaan ke kat sana. Mesti ramai yang cantik-cantik kat pejabat tu kan."


"mak Leha dah nak jadi macam mummy pulak." Thaqif geleng kepala. Tersenyum lagi.


"apa salahnya kalau Qif berkenaan kan. Puan Sri rasanya tak ada masalah. Lagi suka mak Leha rasa. Qif tu memang dah patut pun cari calon. Semua dah ada, apa yang nak disusahkan lagi. Kalau Qif ni, sekali kelip mata, berduyun yang berbaris hantar borang. Sampai penuh bakul. Tak muat nak masukkan borang permohonan."


 Pecah ketawa Thaqif lagi. Dalam hati dia sungguh belum terfikir lagi tentang perihal yang itu. Masih jauh dari perancangan diri. Terlalu banyak perkara yang perlu dia selesaikan dahulu. Arena Kiara itu keutamaanya. Kepercayaan daddy harus dibalas dengan suatu bukti nyata. Bukti yang menunjukkan kelayakkan diri. Namun dia tidak pasti samaada "Dia" sudah menetapkan sesuatu untuknya di sini. Dan kerana itu jugalah hatinya yang selama ini beku untuk menerima tawaran mummy dan daddy, mudah sahaja jadi cair.


* * * * * * *
TJ2 = Teja Tanduk Dua!!!!


"Hapa? Si itik tembak email macam tu kat kau pasal initial baharu kau tuh?." Mata Jane sudah terbuntang mengalahkan buah tembikai. Tubuh yang sedang berdiri dihadapan Teja yang menyilangkan tubuh seraya duduk di kerusi turut membuang pandang padanya. Kerusi beroda lima itu digoyangkan ke kiri dan kanan. Teja mengangguk laju sambil tangan kanan mengepal penumbuk. Batang kayu aiskrim coklat Magnolia yang yang diberikan Jane tadi sudah lunyai menjadi mangsa gigitan giginya. isi aiskrim sudah lama selamat masuk ke dalam perut. Digerakkan lagi batang kayu ke kiri dan kanan.


"Jane, aku rasa M16 tak cukup hebat buat si itik ni. Kita kena guna kete kebal Russia. Baru berkecai. Kau rasa Russia nak tak pinjamkan kita kete kebal diorang kejap kat kita untuk misi menghancur dan memusnahkan musuh utama kita nih." Issy, si TJ ni sampai ke Russia laa pulak nak meminjam kete kebal. Kete kebal sini takder ke. Macammana laa kempen belilah barangan 1 Malaysia nak tercapai.


"Jane..kau ada rasa nak tumbuk dia tak? Penumbuk aku ni rasa macam dah melayang-layang jer kat pipi itik nila gedik tuh. Eei..geram..geramnya aku." Teja tepuk meja beberapa kali.


Giliran Jane kebal penumbuk. Dihempas penumbuk tangan kanannya ke tapak tangan kiri. Dilepaskan nafas kuat.


"Beruang tanah betul perempuan gedik sedunia tuh. Eei, mahu aje aku pulas-pulaskan batang leher dia yang pendek tu. Tak padan dengan itik. Kalau aku ada majik kan TJ, mahu jer aku sumpah dia jadi siamang. Baru padan dengan mulut dia yang jahat tu. Dia menghina initial yang aku cipta. Dia tak tahu ker betapa aku nih punyer berpulas otak mereka cipta benda tuh. Boleh dia kutuk dan buat lawak intial canggih yang aku cipta. Ciss, bedebah punyer itik nila! Aku  marah ni tau TJ..marah ni." Penumbuk Jane berkali-kali menghentam tapak tangan.


"Bukan kau aje tahu. Aku pun. Apa dia ingat aku ni kambing gurun hapa. Aku ni makhluk tercomel di Arena Kiara ni tau tak. Mangkuk tingkat besi berkarat punya itik."


"bukak bukak email tuh TJ, aku nak baca. Nak kena sungguh dia nih ngan kita yea." Tubuh Jane sudah dibongkokkan sedikit memandang skrin DELL dihadapan Teja. Tangan kanan Teja dihalakan pada tetikus. Empat bijik mata itu tunak memandang skrin empat segi dihadapan. Tidak berkelip. Bunyi derapan gigi Jane yang diketap kuat pantas menghentam gegendang Teja. Digosokkan cuping sambil mata memandang ke arah wajah Jane yang statik memandang skrin. Huh, Jane Jenab ni, bunyi gigi berlaga punyalah kuat. Kau nak asah gigi hapa, Jane. Nak makan orang perempuan nih gamaknya. Jane nih kalau naik minyak memang kalah mek bunga kat Kuala Gandah tuh. Bersepai tulang temulang jadinya. Sabar Jane, aku ni yang patut naik minyak kau tak! 


Bunyi helaan nafas Jane yang dalam dan sedikit kuat jelas terlontar. Teja ikut memandang ke wajah teman baiknya itu. 


"relax Jane. Aku tau kau marah. Aku pun marah. Dah macam Merapi nih kau tau." 


"Habis kau tak nak balas email budak sekolah tadika tak kemas nih? Dia ingat initial dia HJA tu canggih manggih amat ek. Orang semua ikut susunan nama buat initial. Dia nak buat lain dari yang lain kunun. Eleh..poodaahh!" Jane mencebik.


"HJA..HJA..HJA..." Teja ulang beberapa kali singkatan nama yang merujuk pada Jasmin Haifa,musuh tradisinya dan Jane di Arena Kiara. Tapak tangan mengurut dagu beberapa kali.


"Kau kenapa. Yang asik sebut initial itik nila gedik sedunia tu buat hapa. Bernanah telinga aku ni tau tak. Issy! "


Bibir Teja mengukir senyum jahat. Sesuatu sedang melintas di kepala. HJA..HJA. Hmm..nanti ye itik. Kau cakap aku Teja Bertanduk Dua yea. Digamit Jane ke sisi. Temannya itu akur. Teruja. Dirangkul bahu teman akrabnya itu. Dibisikkan sesuatu ke cuping Jane. Mata bulat Jane terbuntang namun kemudiannya bercahaya. Bibir Jane mengukir senyum lebar sebelum ketawa kuat dan nyaringnya pecah. Ketawa Teja turut pecah. kedua-duanya mengenyit mata. Tapak tangan Teja diangkat sedikit. Jane juga. Bergabung. Erat.


Hehehe..jaga kau itik. Perang antara kita sudah bermula okay!

7 comments:

mizz acu said...

Ekekekke.. Ade ek beruang tanah?
Chumell je thaqif ni.. Mesti manja dolu2 kan?
Bila teja nak tau thaqif tu bos dia nih.. Xsabauuu nih!
Tu apa plak nama nak bg kat itik tu.. Pape pon ai sokong! Hehe
Ps: more pleaseee.. ;)

eija said...

Sbuggggggh...

nursyafika said...

Heee best2 nk lagiii

zue said...

brutal habis budak berdua nih. bab initial pun boleh jd 'perang'.

aneesanuraim said...

ayooo....mcm2 nama haiwan dh keluar..hehe...1st time baca story yg mcm ni....bestt..

Kak Sue said...

dari bab 2-5 baca sekali jalan.... x sempat baca .... rasanya cerita ckucc kali ini lain dari yang lain.... besttt... biskut lemak berkrim x boleh tahan.... hahaha... cepat sambung.....

aqilah said...

bezzzzzzzzzzzzzzzzzzz.........
i followwwwwwwwwwwwwwwww

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...