Saturday, April 10, 2010

Rindu Semalam - Bab 45



Bab 45

Siapalah dia nan kerdil ini untuk menahan takdir-Nya...

Yang ada cuma doa...doa...dan doa.

Bukankah doa itu penghubung dirinya dengan yang maha Khaliq...dan doanya tidak pernah putus sejak dia menjejakkan kaki ke sini.

Hidup ini hanyalah satu persinggahan...satu perhentian sementara untuk ke destinasi yang lebih abadi. Hidup ini penuh dengan nikmat misteri yang tidak terungkap oleh kata-kata...tidak tercapai oleh daya akal kita yang setitis cuma. Lalu masa singkat yang dipinjamkan ini seharusnya dimanafaatkan sebaik-baiknya. Jangan disia-siakan peluang dan nikmat yang diberi kerana kita tidak tahu bila masanya kita akan dijemput pergi...

Tubuh yang sedang lena diperbaringan itu dengan alunan nafas yang turun naik ditatap penuh tulus. Air hangat yang mengalir lesu dari tubir mata dibiarkan sahaja. Tapak tangan itu masih kejap dalam genggaman. Tapak tangan bersama jemari yang masih harum dengan bauan inai itu dikucup lembut. Dahi itu diusap perlahan. Balutan dikepala itu dipandang sayu. Persekitaran bilik yang berona putih suci ini langsung mengingatkan dirinya pada kata-kata itu. Nafas dihela perlahan. Bunyi pintu diketuk dan tombolnya dipulas mengalihkan pandangan matanya dari tubuh di hadapan pada permukaan pintu di sebelah kanan. Tiga susuk tubuh wanita menghampirinya perlahan. Dia mahu bangun tapi isyarat tangan wanita yang paling hadapan menghalang dia berbuat demikian. Bahunya dipegang lembut oleh salah seorang dari mereka.

"tak bangun lagi dia?" kepala diangguk sambil tangan dibahunya dicapai lalu dikucup. Kepalanya dielus perlahan oleh wanita yang sudah mengambil tempat disebelah kiri katil. Sesekali terdengar helaan nafas berbau kesedihan dari mereka bertiga. Dia hanya mampu menundukkan wajah. Tidak mahu turut sama hanyut dengan melodi sedih itu. Dia sedar dia sangat beruntung, maka dia harus bersyukur dengan nikmat yang dilimpahkan ini.

"Duha taknak makan?..mak bawak nasi goreng. Mak masak sendiri pagi tadi. Makan ye." Kepala digeleng sambil senyuman kecil dilemparkan pada wanita yang masih utuh memegang bahunya.

"Duha tak lapar lagi mak. Mak dengan ibu dah makan? Fatin dah?" Bekas putih hijau ditangan ibu mertuanya itu diambil oleh Fatin Aina lalu disuakan kehadapan Duhaila. Tangannya mengambilnya sambil ucapan terima kasih diberikan pada adik iparnya itu.

"akak, makan lah. Dari malam semalam tak makan. Tengok muka akak, dah letih sungguh."

"makan ye nak, ibu suapkan ye." kepala tetap digeleng.

"Duha tak lapar ibu. Nanti Duha makan ye, ibu jangan risau. Duha ok." kepalanya dikucup lembut. Ibu mertuanya sudah mengelap airmata dengan lengan baju kurungnya. Kasihan mak.

"sabarlah kak. Taufik dah lepas tahap bahaya macam doktor kata kelmarin. Kita perlu banyak berdoa dan bersabar kak. Insyaallah dia akan pulih."Tangan kedua-dua wanita itu sudah saling bertaut antara satu sama lain. Fatin turut sama menyapu air hangat di pipinya.

Duhaila tahu kerisauan yang melanda kedua-dua ibu dan ibu mertuanya itu pada dirinya. Sejak dia berkampung di hospital Bentong ini tiga hari lepas jadual makannya memang sudah kucar-kacir. Tidak tentu hala. Tidak terurus. Yang ada dikepala, yang ada fikiran cuma suaminya itu. Ya, mereka sudah selamat diijabkabulkan di wad ini atas permintaan Taufik sendiri. Walau pada mulanya ramai yang tidak bersetuju, namun rayuan Taufik mengatasi segalanya. Mereka selamat bergelar suami isteri di hospital Bentong ini.

Saat mengetahui Taufik dan Akhmal ditimpa musibah lalu dihantar ke hospital Bentong, Duhaila sudah bagai hilang separuh nyawanya. Sepanjang perjalanan doanya tidak putus untuk kedua-dua lelaki itu. Dan demi melihat keadaan Taufik yang sedikit parah berbanding Akhmal dan terbaring lesu di wad, hatinya sudah meraung dan merintih. Tolonglah Tuhan...jangan Kau ambil dia lagi. Berikan kami kesempatan untuk hidup bersama di dunia ini. Dan sesungguhnya dia amat bersyukur doanya diangkat ke atas sana...Taufik sedar akhirnya selepas seharian terlantar bisu.

"nikahkan kami di sini mak, ibu. Taufik mohon sangat-sangat. Taufik tak nak berlengah lagi. Tolong paksu uruskan ye dengan pihak hospital."

Bunyi salam di muka pintu menerbangkan ingatan itu serta-merta. Mata sudah bertaut pada lelaki yang duduk dikerusi roda bersama seorang kanak-kanak comel disebelahnya. Senyuman sudah saling bertukar.

"masuk Mal..mari Ben dekat nenek." Fatin sudah pantas mendapatkan Akhmal sambil tangannya mencapai pemegang kerusi roda. Akhmal sudah ditolak perlahan-lahan menghampiri katil. Benjamin sudah mencapai tangan kedua-dua wanita itu sambil dikucup hormat. Tangan Duha turut dicapai.

"Mal dah sihat betul ke ni?...kan doktor kata kena berehat..jangan banyak bergerak."

"dah sihat dah ni mak long...cuma kaki je sikit ni ha. Bosan la asyik terbaring je kat katil tu." tangan Akhmal sudah menunjukkan ke arah kaki kanannya yang berbalut.

"Taufik camner mak long?"

"alhamdulillah...tu doktor bagi dia ubat untuk rehatkan dia. Kamu tahu la perangai Taufik tu macammana bukan. Bukan reti duduk diam. Tak tahu diri tu cedera."

"Duhaaa..." sepantasnya mata Duhaila juga yang lain-lain sudah berkalih ke hadapan. Taufik sudah membuka mata. Semua mata sudah tertumpu padanya.

"mak..ibu. adik pun ada ye.." Duhaila sudah berdiri bila melihat Taufik sudah seakan mahu bangun dari perbaringan. Suis dihujung katil ditekan. Bantal dibelakang sudah ditegakkan. Tangannnya sudah erat digenggam Taufik. Senyuman mereka sudah saling bertaut. Mata saling bertatap.

"ehem..." Pantas mata mereka berkalih pada empunya suara. Duhaila sudah menundukkan wajah sambil berundur untuk memberi laluan pada Akhmal mendekati katil Taufik. Taufik masih tersenyum. "alahai sabarlah sikit Fik. Tak larinya bini kau tu." Bahu temannya itu ditumbuk mesra bersama ketawa kecil.

"Mal...kau ok dah? " Anggukkan berserta senyuman menghiasi wajah tampan dihadapan Taufik. Tangan mereka berdua saling bertaut.

"thanks Fik. Kalau tak sebab tindakan pantas kau belokkan stereng kereta ke arah tembok estet tu tak tahulah apa jadi dengan nasib kita."

"syukur pada Allah Mal masih panjangkan umur kita lagi di dunia ni."

Benarlah takdir Tuhan itu tiada siapa yang tahu. Taufik sendiri tidak menduga dia diberikan kesempatan lagi untuk bernafas di muka bumi ini. Dengan kecederaannya yang parah dikepala akibat hetakan kuat keretanya ke tembok batu di kiri jalan akibat cuba mengelak dari bertembung dengan lori yang tiba-tiba datang dari arah hadapan tiada siapa menduga dia mampu bertahan. Syukur Tuhan kau kabulkan doaku untuk hidup bersama wanita yang aku amat cintai ini. Mata Taufik sudah singgah pada wajah ayu isterinya di tepi jendela. Mata mereka sudah saling memandang...sudah saling berbicara. Bicara rindu. Akhmal sudah memandang dengan ekor mata. Senyuman sudah terukir di bibir.

"mak long, baiklah kita semua ni tinggalkan pengantin berdua ni haa...tak larat dah mata Mal tengok diaorang ni..sorang pandang, sorang senyum!" ketawa Taufik sudah berderai. Duhaila sudah tertunduk.


Tangan masih saling menggenggam. Mata masih saling bertatapan.

"sayang..."

"hmmm..."

"terima kasih."

"untuk apa?"

"sudi terima lelaki yang berbalut dengan kepala berdarah ini untuk jadi pengantin lelaki sayang. Sudi diijabkabulkan dengan Fik dalam keadaan yang tidak sempurna. Bersaksikan bangunan hospital, ditemani bau ubat-ubatan. " Mata Duhaila sudah berkaca.
"Fik,nape cakap macam tu. Kita selamat diijabkabulkan adalah perkara terindah dalam hidup Duha. Tahukan hati Duha tak pernah akan sedikitpun berubah biar apa pun keadaan Fik. Tahukan betapa sedihnya Duha saat tahu Fik ditimpa kemalangan. Duha tak sanggup kehilangan Fik. Duha tak sanggup kecewa lagi Fik. " Jarinya sudah menyapu air hangat yang mengalir pada pipi mulus isterinya itu. Fik tahu sayang, terima kasih!

"sayang.." Mata sudah saling memandang. Jemari halus runcing itu sudah dikucup lembut.

"terima kasih sudi jadi isteri Fik...sudi jadi kawan baik Fik selama-lamanya." Genggaman tangan itu dieratkan lagi pegangnya oleh Duhaila.

"Duha sangat sayangkan Fik...dan akan terus sayangkan Fik sehingga akhir hayat. Moga ikatan perkahwinan kita ini akan kekal hingga ke syurga. I love you Fik..." Tubuh kurus Duhaila sudah tenggelam dalam dalam pelukan sasa Taufik. Dahi isterinya itu sudah dikucup lembut.

"insyaallah sayang. I love you too and will always love you forever."

2 comments:

Anonymous said...

terbaik..berdebar..takut taufik mati..hehe...

Noryati Kabulai said...

Memg best..akhrnya bersatu jga la dorang kn.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...