Wednesday, December 23, 2009

Istikharah Terakhir - Bab 11

Bab 11

Perjalanan terasa begitu singkat. Kalau diikutkan jarak, destinasi yang dituju agak jauh juga namun kerana hati dan jiwa sedang berperang dengan pelbagai tingkahan rasa, tidak langsung dirasakan panjangnya perjalanan yang telah ditempuh. Mata dipejamkan seketika. Cuba menyeru kembali semangat yang telah disematkan di jiwa sejak mula dia mengambil keputusan nekad dahulu. Zita tahu dia harus berani menghadapi pertemuan ini. Dia tidak boleh menoleh kebelakang lagi.

Kereta dipandu pak Din sudah membelok masuk ke perkarangan banglo indah tapi masih mengekalkan ciri tradisional pada struktur binaannya yang masih mengekalkan penggunaan kayu sebagai bahan utama. Mata Zita sedikit mekar melihat perkarangan rumah yang sudah terlihat beberapa kereta mewah sudah siap terparkir. Hati kecil berdetik adakah semua ipar duainya turut serta dalam perjumpaan ini. Motif apa yang cuba digunapakai keluarga mertuanya ini. Terasa ada tangan kasar yang memegang tangannya. Zita menoleh, papanya melontarkan senyuman kecil. Genggaman dieratkan lagi.

Kereta diparkir pak Din di sudut yang sudah tersedia menanti. Perlahan-lahan kaki dilangkah keluar dari perut kereta. Zita berdiri memandang sekeliling banglo mewah milik keluarga mertuanya. Tempat ini penuh dengan kenangan dalam hidupnya. Di sinilah tempat dia dipertemukan dengan Faisal buat pertama kalinya. Di sinilah juga mereka pernah disandingkan penuh beradat pada majlis resepsi penuh warna-warni. Ahh...kenangan .

"Zita...jom sayang." Senyuman diberi sambil menganggukkan kepala pada papa yang sedang sabar menanti dia mengulangi imbauan kenangan silam. Nafas dihela perlahan. Lafaz Bismillah terluncur perlahan. Langkah penuh yakin diayun.

Bersama tangan yang saling bergandingan, mereka berdua melangkah tenang ke arah pintu utama. Terlihat Zita susuk Puan Sri Marini sedang berdiri disitu. Senyuman hambar yang hadir dibibir ibu mertuanya itu cuba tidak dihiraukan Zita. Dia tidak mahu ia bakal mempengaruhi keputusannya nanti. Senyuman manis diberikan Zita. Tangan mereka sudah saling bertaut. Jari jemari itu dikucup hormat sambil badan dibongkokkan sedikit.

"assalamualaikum mama...mama sihat?"Tubuh kurus dan tinggi Zita tenggelam dalam dakapan Puan Sri Marini. Kepalanya diusap-usap perlahan. Terasa penuh kasih dan sayang.

Tuan Zainal hanya memerhatikan adegan dihadapannya. Dia tahu Marini amat menyayangi Zita bagaikan anak sendiri. Tuan Zainal juga tahu betapa akrabnya hubungan Marini dan arwah Maizurah. Zita bagaikan pengganti kasih sayangnya pada Maizurah. Justeru itu, dialah juga yang bersungguh-sungguh mahu Faisal menikahi Zita dahulu.

"wa'alaikumsalam. Mama sihat sayang...Nal, apa khabar?." Tuan Zainal hanya mengganggukkan kepala sebagai membalas pertanyaaan besannya itu.

"Zita nampak kurus sangat...mama minta maaf sayang...mama..." air hangat mula terbit pada kolam mata wanita separuh abad ini. Tuan Zainal menundukkan pandangan. Zita memaut bahu Datin Marini lalu mengenggam erat tangannya.

"mama...mama taknak jemput Zita dengan papa masuk ke?"

Pertanyaan Zita berjaya menghentikan sedikit sendu Puan Sri Marini. Bersama tangan kanan Zita yang erat digenggam mereka berdua dipersilakan masuk ke dalam. Langkah mereka berdua dihalakan ke tingkat dua banglo tersebut. Kaki melangkah perlahan-lahan mendaki tangga. Sesekali Zita menoleh papa yang berada dibelakang. Di ruang tengah yang sering dijadikan tempat berbincang sudah sedia menanti insan-insan yang sudah seperti diduga hatinya sebentar tadi. Selain bapa mertuanya; Tan Sri Sulaiman yang sudah sedia duduk diruang itu, abang ipar sulungnya Farid bersama isterinya kak Intan, abang Fazlan dan kak Mira juga kakak Farah Hanim bersama suaminya abang Ikhsan turut serta disitu. Pandangan mereka semua terarah pada Zita yang sedang berdiri. Senyuman manis penuh ikhlas dihulurkan. Di sudut paling hujung Zita melihat Faisal sedang tunak memandangnya. Pantas dilarikan anak mata dari membalas renungan lelaki itu. Tangan Tan Sri Sulaiman dicapai lalu dikucup penuh hormat.

"assalamualaikum ayah...". Salam Zita dibalas lembut oleh bapa mertuanya. Ya, bapa mertuanya memang seorang lelaki yang berhemah. Alangkah baiknya jika Faisal juga punya peribadi sedemikian.

Ahh..perkara lepas usah dikenang Zita!

Seorang demi seorang ipar duainya disalam penuh hormat. Papa turut sama menyertainya. Papa kemudian melabuhkan duduknya disebelah Tan Sri Sulaiman. Kakak Farah Hanim memeluknya erat sambil mengalirkan airmata. Zita hanya membiarkan kakak ipar yang sangat dihormatinya itu melepaskan sendunya. Pelukan terlerai. Wajah Zita dikucup kakak iparnya itu. Zita hanya membiarkan.

"Zita..maafkan kakak...kakak tak tahu. Maafkan kami Zita..." senyuman kecil diberikan pada Farah. Tangan kakak iparnya itu diusap lembut.

"mari duduk di sebelah mama Zita. Faisal kamu juga..." Zita akur. Langkahnya dihalakan ke arah sofa yang diduduki Puan Sri Marini. Tan Sri Sulaiman dan Puan Sri Marini saling memandang. Tuan Zainal menganggukkan kepala tanda memberi izin.

"ayah dan mama panggil kamu semua hari ini kerana satu hal yang sangat penting. Ayah tahu kamu memang sudah sedia maklum tentang perkara itu. Kamu semua malah ayah dan mama juga dah dengar cerita dari mulut Faisal. Ayah panggil Zita dan uncle Zainal kemari kerana ayah mahu kita semua dengar cerita dari Zita pula. Zita tidak pernah sekalipun berkata apa-apa tentang hal ini. Baik pada ayah pada mama juga pada kamu semua malah juga pada saudara mara yang lain. Zita hanya berdiam diri selama ini dengan apa yang berlaku. Ayah kagum pada Zita kerana sangat menjaga aib dan kehormatan keluarga kita ini. Ayah banyak berterima kasih pada Zita kerana sudi hadir hari ini demi memenuhi permintaan ayah dan mama. Zita...ceritalah...ayah dan mama juga semua di sini mahu dengar segala apa yang berlaku dari mulut Zita pula. Ayah dan mama mahu bersikap adil..ceritalah pada kami.."

Wajah yang hanya ditundukkan sedari tadi terangkat sedikit tatkala mendengar bait-bait akhir yang keluar dari mulut ayah mertuanya itu. Zita menoleh memandang wajah Datin Marini yang sudah basah dengan linangan air hangat yang turun dari tubir matanya. Tangan Zita digenggam erat oleh ibu mertuanya itu.

ceritakan semula perkara itu?...mahu digali kembalikah kenangan maha pahit itu lalu dibentangkan pula disini...tapi untuk apa lagi?..tidak sanggup rasanya...

Tapi..inikan masanya yang kau tunggu-tunggu Zita, jadi rebutlah peluang yang sudah terbentang luas ini demi masa depan kamu...ceritakan sahaja pada mereka Zita...ceritakan semuanya,,jangan tinggal barang sekelumit pun...biar mereka tahu...biar mereka rasa apa yang kau rasa dahulu..ceritakan Zita!

Tidak!, aku tak mahu lagi mengingati perkara yang sangat menyakitkan itu...aku mahu lupakan semuanya...

memang bodoh kau ni!...kalau kau tak ceritakan, mana mungkin mereka tahu apa yang dah kau alami...kau tak mahu mereka rasa ke apa yang kau rasa dahulu Zita?

Zita menarik nafas perlahan-lahan. Wajah diangkat memandang pada semua yang sedang menumpukan pandangan padanya. Matanya singgah pada wajah jernih papa. Senyuman papa dibalas Zita.

"ayah..."

"mama..."

"abang-abang dan kakak-kakak semua...."

Nafasnya dihela lembut.

"Zita minta maaf banyak-banyak ayah, mama dan semua....Zita fikir tak perlulah Zita bercerita lagi tentang apa yang berlaku atau yang telah berlaku dalam rumah tangga kami...semua perkara itu dah lepas...Zita tak mahu nak ingat-ingatkan lagi perkara yang sungguh menyakitkan itu. Luka di jiwa Zita ini masih terasa lagi. Biarlah apa-apa yang pahit itu Zita telan sendiri. Biarlah Zita simpan semua segala aib dalam rumah tangga Zita itu di hati...Zita tak sanggup nak gali semula perkara yang sudah Zita kuburkan dalam hati ini." Nafas dihela seketika.

"Zita banyak berfikir selama dalam pelarian dan persembunyian Zita ini. Zita cuba bertanyakan pada diri Zita kesudahan perjalanan rumah tangga Zita ini. Zita tahu Zita bukanlah wanita dan calon isteri yang memenuhi piawaian Faisal. Zita bukan pilihan hatinya sejak dahulu...Zita cuma pilihan ayah dan mama...justeru,Zita mahu....Faisal lepaskan Zita...Zita mahu bercerai dengan Faisal. Ini keputusan akhir Zita. Zita minta maaf pada semua. "

Semua mata dihadapannya saat ini sudah membulat dengan mulut yang sudah melongo memandang kearahnya. Farah Hanim sudah menutup mulut dengan bahu yang sudah terhinggut-hinggut. Papa cuma menundukkan wajah. Faisal sudah bangun melangkah ke arah balkoni. Ayah dilihat cuma menggeleng-gelengkan kepala.

Tubuhnya didakap kemas oleh Puan Sri Marini yang sudah meraung.

"sampai hati Zita...kasihanlah pada mama sayang, mama sayang sangat pada Zita!"

Tiada siapa tahu saat ini hatinya sudah lebat dengan siraman airmata..tapi dia tiada pilihan lain. Inilah yang terbaik.

Maafkan Zita mama!.

Maafkan Zita...

2 comments:

misz nana said...

pe sbnrnya yg terjadi ek?
ke, ada mentioned kat n3 lepas2 but sy yg terlepas pndg? huhu..

aqilah said...

sudah tentunya kecurangan seorang suami....kan! yes! lepaskan zita, biar zita bersama dgn zahar.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...