Bab 14
Dari luar ruang tamunya Duhaila berdiri memeluk tubuh mengadap sliding door yang terbuka luas. Langkah diatur ke arah balkoni. Erat tubuh didakap oleh kedua-dua tangan menahan kedinginan malam. Tiupan angin yang lembut menerbangkan langsir yang memayungi pintu dibelakangnya. Buaian langsir yang mengikut alunan arah angin sesekali menyentuh ke tubuhnya yang kurus itu. Ditolak perlahan ke belakang langsir yang hampir menutup pandangannya yang sedang asyik melihat ke arah langit malam. Dari kejauhan dapat disaksikan suasana dipersekitaran kawasan kejiranannya. Sunyi sahaja. Mungkin ramai para penghuninya sudah lena dibuai mimpi. Mimpi indah. Cuma dia yang masih enggan lena. Mimpi bagai tidak mahu mendekatinya. Apatah lagi menemani lenanya. Entah kenapa. Dia sendiri sukar mendapatkan jawapannya.
Apartment ditingkat 10 itu cukup tenang dirasakan Duhaila malam ini. Dia sendirian sahaja di ruangan yang berukuran hampir 1000 kaki persegi itu. Dia sendirian bertemankan keheningan suasana malam. Malam yang pekat. Malam yang gelap. Malam yang hanya bertemankan bulan. Tiada kerlipan bintang -bintang. Kelmarin dia sudah berpindah masuk ke apartment yang baru dibelinya itu. Rancangan untuk membeli dan tinggal di rumah sendiri sudah lama direncanakan. Sejak dia mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur lagi. Hasrat yang diiringi cita-cita untuk membawa ibunya yang sudah sekian lama menabur budi pada hidupnya itu untuk tinggal bersama. Duhaila mahu ibunya berehat sahaja disini. Cukup-cukuplah segala perih jerih dia membesarkan dan menyekolahkan Duhaila selama ini. Ingin dibalas jasa ibunya walau dia tahu ia tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanannya selama ini. Tanggungjawab yang diambil-alih sejak pemergiaan arwah abah. Cuma ibu belum memberi kata putus. Sayang katanya meninggalkan rumah di kampung. Rumah yang terlalu banyak meninggalkan nostalgia buat ibu. Kenangan bersama arwah abah terlalu banyak di situ. Duhaila akur dengan perasaan ibu. Biarlah ibu membuat keputusan nanti. Dia akan setia menanti kedatangan ibu ke rumahnya itu. Rumahnya ini juga rumah ibu.
Petang tadi dia sudah menelefon ibu memberitahu dia sudah berpindah ke rumah baru. Lebih tepat lagi dia sudah melangkah keluar dari tinggal di mahligai keluarga Ziha. Bukan tidak mahu tinggal disana, cuma terasa malu dengan budi yang terlalu banyak ditabur oleh keluarga teman baiknya itu pada dirinya. Teramat berat rasanya bahu memikul beban budi yang dihulur. Dia mahu berdikari. Sewajarnya begitu. Walau Duhaila tahu Ziha menentang keras hasratnya itu, malah teman baiknya itu sedikit merajuk dengan keputusan yang dibuat, dia faham niat temannya itu. Dia pasti Ziha akan faham nanti.
"kenapa nak pindah pulak? kau dah tak mahu tinggal kat rumah aku ker Duha?. Aku ada buat apa-apa yang kau tak suka ke?..cakaplah Duha...kalau ada, aku minta maaf. Kau tahu la perangai aku ni memang macam ni..cakap lepas aje. Bukan reti nak break ke hapa...main belasah jer mulut aku ni.." Duhaila tersenyum melihat wajah muram dan penuh kesedihan teman baiknya itu. Sewaktu dia memaklumkan keputusannya itu, Ziha sungguh terperanjat. Sedikit marah, mungkin...terkilan kerana Duhaila merahsiakan perkara ini daripada pengetahuannya.
"diam-diam aje kau dah beli rumah. Sikitpun tak cakap ngan aku, apalagi nak bincang...sampai hati kau tau Duha. Mama ngan papa pun sedih tau Duha. Sedih sangat bila dengar kau nak pindah keluar dari sini. Kau dah macam anak diaorang jugak. Mama dan papa suruh aku pujuk kau supaya batalkan hasrat kau tu..tapi aku bukan tak kenal kau. Aku kenal kau sangat sangat. Kau tak mudah nak undur balik bila dah buat keputusan kan. Keras hati. Tak mudah alah dengan pujukan..rayuan atau tangisan kan. " Duhaila menggenggam erat tangan teman baiknya itu. Dia tersenyum mendengar bilah-bilah kata yang keluar dari mulut Ziha. Hanya mereka berdua didalam biliknya malam itu. Malam terakhir dia di mahligai mereka. Mahligai yang banyak meninggalkan memori manis sepanjang dia mula menjejakkan kaki ke bandaraya Kuala Lumpur. Kedua orang tua Ziha dimaklumkan sudah keluar menghadiri jamuan di rumah teman perniagaan mereka. Pada Duhaila mungkin mereka mahu memberi ruang untuk anak tunggalnya itu bersama denganya malam ini.
"Ziha...bukan mudah aku ambil keputusan ini. Aku tahu mungkin akan ada hati yang terkilan,akan ada hati yang sedih, kecewa. Ini hasrat aku Ziha. Impian aku. Cita-cita aku. Sekian lama aku simpan untuk direalisasikan. Ini umpama lambang kejayaan aku Ziha. Lambang kejayaan dalam hidup anak kampung macam aku. Apa yang aku harapkan cuma pengertian dari kau. Fahamilah hati aku Ziha. Izinkan aku membina hidup aku dengan kudrat aku sendiri. Aku mahu merasa bangga dengan usaha aku sendiri Ziha." Duhaila menghela nafas. Pandangannya masih pada wajah teman dihadapannya itu.
"Khabarkan pada mama dan papa aku tidak akan sekali-kali melupakan mereka jika aku tidak lagi tinggal sebumbung dengan mereka. Dengan kamu semua. Kau sekeluarga sentiasa dekat dihati aku Ziha. Budi kau sekeluarga terlalu banyak dalam hidup aku. Aku pasti akan sering singgah disini walau aku sudah ada rumah di sana. Kau juga boleh datang ke sana bila-bila masa Ziha. Pintu rumah aku sentiasa mengalu-alukan kedatangan kau."
Bunyi nada lagu yang bergema dari telefon bimbit yang terletak di atas meja di ruang tamu menghentikan lamunan Duhaila. Dia berpaling lalu melangkah masuk perlahan-lahan. Telefon bimbit diambil lalu matanya ditumpukan pada skrin melihat nama si pemanggil. Dahinya berkerut. kepala didongakkan ke dinding melihat jam yang gagah tergantung disana. 2 pagi!
"Assalamualaikum...Dr Taufik, ada apa-apa ke?"
"Waalaikumsalam...Duhaila. Maaf telefon awak malam-malam ni...mengganggu anak dara orang malam-malam buta pulak tu."
Ketawa Duhaila mendengar kata-kata yang keluar dari suara Dr. Taufik di hujung sana. Lucu pulak mamat ni.
"Ooopps, salah jarum jam kut...bukan malam lagi sayang...pagi dah ni tuan doktor. 2 pagi. Kalau dah tau salah besar tu, kenapa masih berani ganggu anak dara orang pagi-pagi hening begini ye tuan doktor."
Terdengar ketawa Dr. Taufik di hujung talian sebelah sana. Bibir Duhaila serta merta turut tersenyum.
"ooo...minta maaf cik Duhaila. I actually just trying my luck call you ni Duha. I'm still at the hospital. On duty malam ni. I pun tadi berkira-kira jugak dalam hati nak call you ke tidak...nak call you ke tidak. Duha, I was been told by Ziha petang tadi you've moved out from her house. Is that true?." Langkah diatur semula ke balkoni. Nafasnya dihela perlahan-lahan. Dia masih belum menjawap pertanyaan Dr. Taufik.
"Duha?...Duhaila?...are you still there?...ker dah tidur ni?"
Bibir Duhaila menguntum senyum. Ketawa kecil terbit dari hujung bibirnya.
"I'm still here Dr. Taufik."
Diam. Duhaila dapat mendengar dengan jelas helaan nafas Dr. Taufik.
"Duha...is it because of him?..because of Akhmal...Akhmal Hafiz."
Nafas Duhaila bagai terjeda sesaat mendengar nama itu berkumandang di gegendang telinganya. Matanya dipejamkan. Rapat.
"My decision has nothing to do with him Dr. Taufik. I have my own personnal reason for this. So please don't ever make any speculation. And please don't ever relate me and my present life with your Akhmal Hafiz. Please Taufik...please let me live happily."
"Duha...maafkan saya. Maafkan atas keterlanjuran kata-kata saya."
"Accepted. See you tomorrow Dr. Taufik. Assalamualaikum."
"Walaikumsalam.." Taufik merenung telefon lalu diketuk ke dahinya. Marah dengan keterlanjuran bicaranya tadi sedangkan dia sedia maklum Duhaila perlu diberi masa untuk perkara dirinya dan Akhmal.
I'm so sorry Duha...
Duhaila merenung bulan di langit nan gelap.
Akhmal...mengapa kau muncul kini dalam hidup aku...
Mengapa Akhmal???...
No comments:
Post a Comment