Monday, April 10, 2017

DaYanG


“Okey. Cik Hajaratul Ain boleh ambil semula fail ini.” Azie hulur kembali fail biru mengandungi sijil-sijil akademik milik wanita muda di hadapannya ini yang selesai disahkan dengan salinan yang diberikan padanya sebelum ini. Dayang sambut fail yang dihulur dalam debar. Besar harapannya agar dia berjaya memperolehi jawatan kerani akaun yang diingini syarikat ini. Macam yang Liya dan Rose beritahu.
Azie tunduk menulis sesuatu pada interview evaluation form. Dayang yang duduk di depan hanya merenung dan menanti keputusan temuduga yang baru selesai. Dada ikut berlari risau. Kalau gagal, terpaksalah dia mencari kerja di tempat lain. Ke manalah haluannya pula. Sudahlah dia tidak punya kenalan di Kuala Lumpur. Mesti Liya dan Rose kecewa kalau Dayang gagal dalam temuduga ini. Azie angkat muka. Pen di tangan diletakkan semula ke lantai meja. Senyum dijalin.
“Saya bagi pihak Syarikat Gemilang Waja mengucapkan tahniah kerana Cik Hajaratul Ain berjaya dalam temuduga jawatan kerani akaun yang kami tawarkan. Cik boleh mula kerja isnin minggu depan. Surat tawaran akan pihak syarikat kurierkan petang ni. Kalau setuju dengan gaji dan syarat jawatan, datang hari isnin nanti, berikan pada kami salinan surat tawaran yang cik dah tandatangan.” Azie lempar senyum lagi. Mengerti riak debar yang terpamer di wajah hitam manis di hadapannya ini.. Dayang raup wajah. Allah…terima kasih. Doa kesyukuran terus dipanjatkan dalam hati urusan temuduganya di Gemilang Waja hari ini dipermudahkan olehNya.
“Alhamdulillah. Syukur.” Tangan kembali diletakkan ke riba. Senyum balas dijala pada wanita bernama Azie yang menemuduganya sebentar tadi. Segala yang terbeban di dada terlerai sudah. Liya…Rose, aku dapat kerja ni. Mahu dia menjerit saat ini memnberitahu dua sahabat baiknya itu.
“Terima kasih, Puan Azie. Terima kasih banyak-banyak. ” Azie angguk. Tangan dihulur pada Dayang.
“Tahniah sekali lagi. Selamat datang ke Gemilang Waja.” Dayang sambut huluran tangan.
“Terima kasih, Puan Azie. Terima kasih sebab terima saya bekerja di sini.” Azie bangkit dari duduk. Dayang ikut bangun dari perut kerusi yang diduduki. Fail biru di atas meja dicapai dan dibawa ke dada. Azie atur kaki mendekati Dayang.
“Mari…” Azie tarik lembut lengan Dayang. “Saya kenalkan Cik Hajaratul Ain pada Pengurus Kewangan Gemilang Waja..Cik Razlin Hamra.” Dayang angguk. Dua pasang kaki melangkah keluar dari bilik Azie yang merupakan Pengurus Sumber Manusia Gemilang Waja.
“Puan Azie.”
“Erm…” Azie humban senyum manis.
“Puan Azie boleh panggil saya Hajar aje. Panjang sangat nak sebut nama penuh saya tu kan. Kena ambil dua nafas kalau nak sebut.” Dayang senyum senget. Cuba berseloroh. Azie angguk sambil ketawa.
“Tapi nama awak cantik. Saya suka. Sedap pun sedap bunyinya.”
“Alhamdulillah. Arwah nenek yang bagi nama tu. Arwah mak ikut aje.”
“Oh ye ke.” Azie tahu yang wanita muda ini balu yang kematian suami dan anaknya lebih dua bulan yang lalu. Azie juga tahu wanita ini yatim piatu. Kehilangan ibu waktu berumur 10 tahun dan disusuli kematian nenek yang menjaganya waktu berusia 12 tahun. Dan semenjak itu dia dimasukkan ke rumah anak yatim piatu hingga menamatkan persekolahan. Itu yang diceritakan wanita ini waktu temuduga tadi kala diminta bercerita tentang latar belakang diri dan keluarga. Sedih juga Azie mendengarkan nasibnya.
Azie ketuk daun pintu bilik Razlin Hamra yang terkuak. Razlin paling wajah dari skrin IBM yang tekun ditenung sejak tadi. Senyum terlayar spontan.
“Hai Zie.” Tubuh Razlin spontan tegak dan berjalan ke arah pintu. Mata jatuh pada wanita muda berkulit hitam manis di sebelah Azie. Senyum saling bertukar.
“Ni…I nak kenalkan pada you kerani akaun kita yang baru. Minggu depan dia mula bekerja di sini. She will be under your supervision.” Razlin angguk menghampar senyum seraya menghulur tangan pada Dayang. Tangan Dayang ikut menyambut.
“Hai, apa khabar? Saya Razlin Hamra. Panggil Razlin aje ye. ”
“Saya Hajaratul Ain, Cik Razlin. Boleh panggil saya Hajar.”
“Okey…Hajar.” Razlin angguk kepala spontan. Senyum manis bersimpul. “Selamat datang ke Gemilang Waja. Hajar akan bekerja dengan saya di jabatan kewangan nanti.” Dayang angguk. Jabat makin erat. Saling bertukar senyum. Azie ikut tersenyum.
“Okeylah Lin. I hantar Hajar ke pintu keluar dulu. Mari Hajar.”
Dayang angguk. Senyum dilayang pada Razlin. Kepala diangguk tanda hormat.
“Terima kasih, Cik Razlin. Saya balik dulu.” Razlin angguk. Senyum.
“Jumpa isnin nanti ye.”
“Lin…” Azie melangkah masuk ke dalam bilik Razlin usai menghantar Dayang hingga ke pintu keluar tadi.
“Erm…” Tangan masih lincah di papan kekunci. Laporan prestasi jualan perlu disiapkan petang ini dan diserahkan pada James, pengarah kewangan Gemilang Waja. Ini memang rutin tugas Razlin setiap bulan. Kalau tak siap, mahulah kena bambu dengan pakcik muda tu.
“Aku ada benda nak cakap kat kau ni.” Razlin angkat muka.
“Benda apa?”
“Kerani akaun yang akan masuk tu…”
“Hajar? Yang tadi tu kan?”
Azie angguk. Mata terus melekat pada Razlin.
“Dia tu baru habis pantang bersalin. Suami dia baru meninggal dalam kemalangan.” Razlin humban pandangan terkejut pada Azie. Kepala Azie mengangguk.
“Anak dia yang dilahirkan di hospital pada hari kemalangan tu ikut meninggal dunia.” Razlin tekup mulut.
“Kesiannya dia, Zie.” Azie mengangguk lagi.
“Sedih sangat kan. Aku tak boleh nak bayangkan perasaan dia masa tu. Kalau aku kat tempat dia…” Azie hela nafas. Tak terdaya mahu menghabiskan kata-kata. Razlin yang jeda dipandang.
“Kau tau tak tadi masa interview, dia tanya kita kat sini ada tak sediakan nursing room. Of course kita ada provide nursing room for those mothers. Aku terfikir juga masa tu kenapa dia tanya pasal ni.”
“Okey.” Razlin angguk. Cuba dicerap cerita yang sedang disampaikan Azie.
“Dia kata boleh ke dia dibenarkan keluar ke bilik tu waktu kerja. Dia cakap susu dia masih banyak keluar walaupun anak dia dah tak ada. So…kenalah keluarkan. Tidak nanti mudarat. Bengkak. Sakit. Aku tahulah. Aku dah dua kali beranak.” Razlin tujah bebola mata pada Azie. Lama direnung teman baiknya yang satu ini. Ada sesuatu yang melintasi fikiran.
“Kau fikir tak apa yang aku sedang fikir sekarang?” Azie depa tubuh ke depan. Merapati meja teman baiknya ini. Azie angguk. Faham apa yang dimaksudkan Razlin.
“Itu yang aku datang ni. Itu jugak yang nak aku cakapkan dengan kau.” Azie sandar tubuh ke dada kerusi semula. Razlin yang merenung dijamah.
“Aku rasa Hajar mungkin boleh tolong masalah anak abang kau tu.” Razlin sandar tubuh. Nafas dihela. Dia tahu masalah Rais untuk mencari ibu susuan untuk anaknya masih belum menemui jalan penyelesaian. Dah merata mereka sekeluarga mencari dan hujung minggu ini sepupu mereka yang menjadi ibu susuan sementara akan balik ke Kuching untuk memulakan tugas. Dua tangan memaut dagu. Azie dilihat mengangkat kening.
“Kau rasa dia nak tolong tak?” Razlin hala bibir yang dimuncungkan. Azie paut dua tangan ke dada.
“Tak cuba kau tak tahu. Lagipun aku fikir semua ibu sama, Lin.”
“Maksud kau?”
“Setiap ibu itu punya naluri kasih sayang yang tinggi. Dia bantu ni dah kira macam satu kewajiban sebab dia ada kemampuan untuk tolong anak saudara kau tu. Aku yakin dia akan tolong. Insyaallah.” Razlin angguk perlahan. Dua tangan dijatuhkan ke lantai meja.
“Harap-harap gitu la, Zie. Kami dah buntu sangat ni. Aku dah tak tahu nak tolong Rais macam mana.” Kepala dijatuhkan ke meja. Seraut wajah comel Ismail Muqri terlayar. Maksu harap dia boleh tolong Muqri ye, sayang. Muqri doa ye.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...