Tuesday, April 18, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

DIVORCE?"

Zainal angguk perlahan. Menjawab lantun pertanyaan Janice. Sebelah tangan mengelus pangkal hidung. Sejak malam tadi dia tidak dapat melelapkan mata. Kata-kata Zira malam tadi masih bergayutan di minda. Mengasak dinding fikir. Janice yang faham bahasa tubuh lelaki di sebelahnya ini perlahan-lahan mengelus tangan Zainal. Lebih sepuluh tahun menyulam cinta dia cukup mengerti setiap rinci bahasa tubuh lelaki ini.

“Sayang…”

“Hmmm.” Mata Zainal tepat menghala ke mata Janice yang redup. Tangan membalas elusan jari-jemari halus Janice.

 Janice…perempuan dambaan jiwa yang dia cinta seluruh nyawa sejak dulu. Sejak diperkenalkan sepuluh tahun dahulu, Janice...yang berdarah kacukan cina belanda ini buat seluruh cinta dan kasih sayang Zainal tertumpah padanya. Hingga kini perasaan itu tetap utuh. Makin kukuh dan tak mungkin runtuh oleh apa jua halangan. Disebabkan makin kuat perasaan itu, dibulatkan seluruh rasa untuk mengahwini gadis yang setia menanti sejak dahulu. Janice yang tidak berpaling biarpun terpaksa merelakan Zainal mengahwini Zira lima tahun dahulu. Janice yang setia harus dibalas kesetiannya dengan mahligai cinta yang mereka impikan sejak dahulu. Dan Zainal mahu mengotakan janjinya pada gadis ini. Tidak sanggup lagi dia membiarkan Janice terus menunggu. Dia sendiri tidak sanggup lagi berpura-pura bahagia di mata Zira sedangkan hakikat jiwanya kosong tanpa Janice di sisi. Maafkan I, Zira. Maafkan I.

"She serious?" Pesanan WhatsApp yang Janice terima malam tadi dari Zainal buat hatinya gembira bercampur risau. Gembira kerana dia tidak perlu lagi berkongsi Zainal dengan Zira. Risau kerana Janice tahu yang Zainal tidak boleh menceraikan Zira. Itu janji Zainal pada ibunya waktu pernikahan kedua-duanya. Ibunya yang mahu Zira kekal sebagai isteri Zainal hingga akhir hayat.

Zainal diam. Pertanyaan Janice tidak terus dijawab. Hanya hela nafas yang bersuara. Dan bahasa nafas itu amat dimengerti Janice. Tangan Zainal digenggam kemas. Sebelah tangan lagi singgah di pipi Zainal. Diusap lembut. Mahu menyalurkan rasa tenang pada lelaki paling dicintai dalam hidupnya selama ini. Zainal tidak harus dibebankan dengan perkara remeh begini. Tidak perlu! Dan Janice tahu sesuatu perlu dilakukan. Perempuan tidak tahu bersyukur itu harus sedar diri. Dasar perampas! Zira perlu diajar untuk faham makna berterima kasih!

"Wanna ask someone help to talk to her?" Anak mata Zainal terhala kembali pada Janice. Tahu siapa yang dimaksudkan. Dan Zainal tahu benar sayang kak long pada Janice selama ini. Dan kak long juga yang menyokong kuat dia berkahwin dengan Janice dahulu namun terpaksa akur dengan keputusan mak yang memilih Zira. Bukan Janice.

“You rasa dia boleh tolong?”

Janice angguk. “Of course she will, sayang.” Senyum mekar di bibir. Genggaman tangan Zainal makin erat. Seraut wajah Kak Zaihana terlayar di mata.

“Habis…Zainal cakap apa bila kau suruh dia ceraikan kau?”

 Aku diam sejenak. Tak jawab terus pertanyaan Zai. Gelas air panas mati di depan aku capai. Aku hirup tenang. Zai hanya memandang sambil sambung suap nasi kukus ayam dara yang kami beli di medan selera tadi.

 “I tak nak kita bercerai, Zira. Please. Jangan suruh I ceraikan you. I takkan lakukannya. I minta maaf kalau pengakuan jujur I buat you kecewa. I minta maaf kalau hubungan I dan Janice yang berlaku di belakang you selama ini buat hati you terluka. I tak nak you terus terluka dan kecewa kalau you tahu perkara ini nanti dari mulut orang lain. Sebab itu I berterus-terang pada you. Walaupun I tak pernah cintakan you selama ini, I akan tetap bertanggungjawab pada you lepas I kahwin dengan Janice. I akan berlaku adil sebagai suami pada you. Trust me, Zira. I akan tetap jadi suami yang baik pada you.”

 Terluka?

 Kau dah buat aku lebih dari terluka dengan perbuatan senyap dan sulit kau selama ini, Zainal. Kau cincang lumat seluruh percaya yang aku berikan pada kau selama ini.

 Suami yang baik?

 Aku geleng kepala. Baikkah kau sebagai suami hingga tega menipu isteri kau sampai begini? Buat hubungan di belakang isteri kau sendiri? Baikkah kau sebagai suami?

 Adil?

Kau takkan boleh berlaku adil, Zainal. Sekarang pun kau dah tak jujur. Apatah lagi nanti bila perenmpuan itu nanti sudah sah kedudukannya dalam hidup kau. Aku takkan benarkan kau musnahkan hidup aku, Zainal. Aku takkan benarkan kau rosakkan seluruh perasaan dan jiwa aku. Cukuplah apa yang dah kau buat selama ini di belakang aku.

 “Dia cakap macam tu?” Zai buntangkan mata. Aku sambung suap nasi dalam bekas polistrin yang masih separuh berbaki. Hanya anggukkan kepala yang beri isyarat jawapan pada pertanyaan Zai.

 “Kurang ajar betul! Setan punya jantan!” Aku angkat sedikit mata pandang muka sakit hati Zai. Macam Zai, aku juga sakit hati dengan jawapan tak ada perasaan Zainal. Ingat aku apa?! Perempuan tolol? Perempuan bodoh bendul?!

 “Habis..kau jawab apa pada jantan tak guna tu? Eei..geramnya aku pada Zainal ni.” Zai ketuk-ketuk sudu pada bekas polistrin. Penzahiran amarah. Aku berhenti suap nasi. Aku sandarkan tubuh pada dada kerusi. Seketika aku hanya pandang muka geram Zai. Kepala melayang pada peristiwa malam tadi.

 “Kalau you tetap tak nak ceraikan I dengan cara baik, I akan dapatkan peguam untuk kemukakan permohonan cerai. Kita jumpa nanti di mahkamah.”

 “Zira…please.” Aku lepaskan pautan tangan Zainal di tubuh. Kaki aku bawa ke katil. Aku duduk perlahan-lahan. Zainal yang masih tegak dan berpusing memandang aku tatap tanpa rasa. Tiada lagi pandangan sayang dan cinta yang dahulu bermukim di hati. Semuanya sudah hilang. Semuanya sudah berkubur tanpa  nesan.

 “You dah ada dia. You dah pilih dia. Perempuan yang paling you cinta dan sayang selama ini. Kenapa masih nak simpan I? Sebab you tamak? Cukuplah, Zainal. Cukup mainkan perasaan I. Lima tahun you tipu I. Lima tahun you bodohkan I. Buat I gila bayang sendiri. Buat I rasa bahagia yang rupanya palsu. I dah penat, Zainal.  Penat. I cuma minta satu. Ceraikan I. You boleh nikah dengan perempuan yang paling you cinta lepas you ceraikan I. Itu yang terbaik buat kita.”

 “Bagus kau cakap macam tu, Zira. Lawan dia. Desak dia. Jangan bagi muka lagi. Aku bukanlah nak hasut kau Zira tapi aku geram la dengan dia. Kau kena kuat dan tegas dengan keputusan kau.” Zai hala genggaman tangan pada aku. Aku balas senyum kecil sambil angguk kepala. “Aku tahu Zai. Kau sahabat baik aku.” Aku tahu Zai hanya bersimpati pada aku. Dia yang banyak tadah telinga dengar luahan perasaan aku selama ini. “Jangan dia ingat kau perempuan lembik. Huh. Kalau aku ada semalam, mahu aje aku hadiahkan tapak kaki aku ni kat jantan tu. Biar dia sedar diri. Jangan fikir dia boleh tindas kau sesuka hati.”

Aku lepas nafas. Sempat aku toleh keliling. Hanya kami berdua sahaja di café. Kebanyakkan staff keluar makan tengahari di luar. Maklumlah hari ini hari gaji. Semua seronok nak menghabiskan duit yang masih panas di dalam dompet masing-masing. Cuma aku dan Zai sahaja yang tapau makan. Aku kena berjimat dari sekarang. Kena bersedia kalau nanti lepas aku bercerai, Zainal minta aku keluar dari rumah, mana aku nak cari duit untuk menyewa rumah lain. Aku dah kena siapkan bajet untuk itu. Tubuh kembali aku rapatkan ke meja. Nasi yang sedikit berbaki aku habiskan. Aku tahu Zai sedang merenung. Aku angkat mata. Aku lempar senyum.

 “Aku okey. Kau jangan bimbang.” Aku suap lagi nasi yang berbaki nyawa-nyawa ikan. Aku habiskan hingga licin bekas polistrin. Kena habiskan tiap butir. Mana tahu pada butir-butir nasi yang terakhir itu letakkan barakah pada makanan yang aku beli dengan rezeki halal yang aku dapat.

 “Zira..”

 “Hurm.” Aku masukkan bekas polistrin yang kosong ke dalam plastik merah. Aku simpul kemas dan bangun ke arah sinki.

 “Kau nak jumpa peguam yang aku cakapkan hari tu?” Aku pusing pandang Zai. Nafas aku telan perlahan-lahan.

 “Aku kena sediakan duit dulu, Zai. Aku kena keluarkan duit simpanan aku dulu.” Zai bangkit dari duduk. Bahu Zira dielus lembut.

 “Jumpa dia dulu dan minta pendapat…minta nasihat. Jumpa kat luar. Bukan kat pejabat dia. Nak minta pendapat ni bukan terus bayar ribu-riban. Sesi ni tak silap aku dia charge seratus ringgit aje. Kalau naik pun maybe dalam lingkungan tu juga la. Tak banyak beza. Kawan aku dulu buat macam ni la. Kau cerita dulu masalah kau dengan Zainal. Tengok apa yang dia suggest kau kena buat. Lepas tu nanti baru boleh fikir soal yuran guaman kalau kau nak guna khidmat dia untuk kemukakan permohonan cerai.”

 “Boleh ke macam tu, Zai?” Zai angguk. Bahu Zira dipaut.

 “Nanti aku call dia. Aku teman kau jumpa dia.” Aku angguk laju.

 “Terima kasih, Zai.”

 “Aku kan kawan kau. Apa guna jadi kawan kalau tak tolong kawan masa dia perlukan aku kan.” Aku capai tangan Zai. Aku genggam erat. Zai memang kawan yang paling baik yang aku pernah ada. Terima kasih, Zai.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...