Monday, April 3, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

AKU berlari laju menaiki anak tangga ke tingkat atas. Airmata yang membasahi pipi aku sapu dengan tapak tangan. Aku tahan esak dari berderai. Kaki panjang aku melangkah setiap dua anak tangga. Aku mahu segera ke bilik. Sebaik sampai di depan bilik, aku putar tombol pintu dan melolos masuk. Punat pintu aku tekan dari dalam. Tubuh aku sandarkan ke dinding pintu. Seketika aku jeda. Kepala mengulangi semula apa yang aku cakapkan sebentar tadi pada Zainal. Terlayar setiap baris kata-kata itu di mata. Dan kata-kata akhir aku tadi bagaikan memancar-mancar di pandangan. Kata-kata itu bagaikan bersuara. Menjerit.
            Lepaskan hati I, Zainal. Lepaskan.
            Lepaskan!!!
            Aku kemam bibir. Kenapa aku rasa sedih sangat saat ini? Bukankah ini keputusan yang dah aku ambil? Hati rasa teramat sedih bila kata-kata itu kembali menjerit di telinga. Dada rasa nak pecah. Ya Allah, sakitnya ujianMu ini. Aku tekan tapak tangan ke dada. Kenapa mesti jadi begini? Kenapa mesti aku yang lalui semua ini? Kenapa aku?!
Zira…sabar. Sabarlah.
Suara jiwa sedang memujuk. Aku tekup mulut. Airmata makin lebat. Aku biarkan. Menangislah, Zira. Menangislah sepuasnya. Lepaskan semua. Jangan simpan. Suara jiwa terus memujuk. Tubuh yang tegak kini menggelungsur ke lantai. Dua kaki aku tarik rapat ke dada. Aku paut kuat dan aku sembamkan muka ke kepala lutut. Esak terus menghumban suara nyaring. Hati aku meraung hiba. Beratnya dugaanMu ini ya Allah. Berat sangat.
            Zainal pandang pintu bilik yang tertutup rapat. Dua tangan meraup wajah. Dia tahu Zira ada di dalam. Nafas di hela. Tangan yang meraup wajah kini jatuh ke sisi. Mata masih merenung daun pintu. Kata-kata Zira tadi waktu di dalam kereta terus terngiang. Permintaan Zira masih menghentak kepala. Kepala digeleng. Tak mungkin, Zira. Tak mungkin!
Zainal menapak rapat ke pintu. Kura tangan singgah di daun pintu.
            “Tok! Tok! Zira…buka pintu ni, please.”
            Ketukan di pintu memanggil nama aku buat aku tersedar dari alunan perasaan sedih. Aku angkat kepala. Aku tahu itu Zainal. Aku matikan diri. Tak ingin mahu membalas seruannya. Jauh sekali membuka pintu. Aku sapu wajah yang basah seraya menarik nafas. Fikiran kembali terawangan. Berfikir tentang apa yang akan jadi dengan hidup aku lepas ini. Bercerai bermakna aku akan kembali ke garis permulaan hidup. Bermula dengan kosong. Benar-benar bersediakah aku untuk itu? Juga bersediakah aku berhadapan dengan keluarga? Masyarakat sekeliling?
            Bisu.
Tiada jawapan dari Zira. Zainal hempas nafas. Dia tahu perasaan Zira sekarang tapi Zainal harus memujuk isterinya itu. Walau apapun, mereka tidak boleh bercerai. Dan dia tidak akan sesekali menceraikan Zira. Itu muktamad. Melepaskan Zira bermakna akan mengundang malapetaka dalam hidup. Dia belum gila mahu terjun ke dalam gaung malapetaka. Zainal tidak mahu terjerumus dalam lubang bala itu. Bala yang akan meranapkan hubungannya dengan ibunya. Dia tahu benar sayang ibunya pada Zira. Melebihi dirinya sendiri.
            “Zira, please. Open the door. We neek to talk.”
            Aku pandang pintu yang kaku. Aku macam boleh nampak Zainal yang sedang berdiri. Aku pandang muka dia. Aku pandang mata dia. Cakap apa lagi, Zainal? Dah tak ada apa-apa lagi yang perlu kita cakapkan. Aku geleng kepala. Dah tak ada, Zainal.
            “Zira, please. Dengar apa yang I nak cakap dulu.”
            Aku biarkan Zainal. Biarkan dia lelah sendiri. Nanti penat dia akan berhenti dan tinggalkan aku. Aku tahu sangat perangai Zainal. Dia bukan jenis pemujuk. Aku pandang sekeliling bilik. Buat pertama kali aku rasa macam orang asing di rumah sendiri. Rumah yang sudah aku diami selama 5 tahun. Rumah yang aku anggap syurga dunia sejak bergelar isteri pada lelaki yang aku serahkan seluruh jiwa dan raga. Cinta dan kasih sayang hanya buat dia. Lelaki yang aku mahu hidup bersama sampai nafas terakhir. Itu impian hidup yang aku sematkan dalam hati sejak aku jadi isteri Zainal. Harapan aku hanya mahu hidup dengan Zainal sampai mati. Mahu jadi isterinya sampai mati. Tapi segala impian dan harapan itu semua dah tak ada. Syurga itu sudah ranap. Musnah kerana kecurangan Zainal.
            “Zira…please. I boleh buka pintu bilik ni kalau I mahu.”
            Aku humban mata ke pintu. Bukalah. Ini kan rumah you, Zainal. Perlahan-lahan aku bangkit dari duduk. Aku terus biarkan Zainal menunggu di luar bilik. Kaki menapak ke meja hias. Tas tangan yang tersangkut di bahu aku letakkan di lantai meja. Aku raup wajah yang masih berbekas air mata. Aku pandang muka sendiri di cermin dalam bilik tamu. Muka yang berbalut jaring sedih. Muka yang bersalut benang pilu.   
Ye. Bilik tamu.
Sejak semalam aku tak tidur dalam bilik kami. Sejak dia buat pengakuan berani mati yang menghancurkan seluruh jiwa dan raga aku. Meranapkan seluruh kepercayaan aku selama ini padanya. Aku yang selama ini berharap segala yang terjadi…segala yang terdengar hanya khilaf yang tak disengajakan. Rupanya aku sahaja yang berharap. Sedangkan Zainal bersungguh. Aku rasa jijik dengan Zainal. Aku rasa aku lebih hina dari pelacur jalanan. Sekurang-kurangnya pelacur itu dibayar untuk tidur bersama dengan lelaki yang mahukan khidmat layanan seksualnya. Tapi aku? Percuma. Zainal tak perlu bayar apa-apa untuk dapatkan layanan aku. Bila-bila sahaja dia mahukan aku…mahukan layanan intim, aku tunaikan hasrat dia tanpa apa-apa bayaran. Aku yang bodoh ini begitu bahagia sekali melakukannya. Tanpa aku tahu dia tak pernah sukakan aku. Tak pernah cintakan aku selama ini. Mungkin dia membayangkan bekas kekasih dia waktu bersama dengan aku selama ini. Membayangkan setiap inci tubuh aku ini yang dia jamah dan ulit tubuh perempuan itu. Aku pejam mata. Bibir aku gigit kuat. Kejinya you, Zainal. Keji!
Zainal elus dahi. Mata terus menikam pintu bilik. Zira masih enggan. Masih berkeras. Kunci di tangan disorongkan ke lubang pintu. Memang tadi waktu mendaki tangga ke tingkat atas dia masuk dahulu ke dalam bilik utama mengambil kunci bilik ini. Dia sudah bersedia dengan plan sokongan jika Zira enggan membuka pintu seperti malam tadi. Sorry Zira, you tak beri I pilihan. Tangan memutar tombol.  

Telinga cekap menghantar isyarat pintu bilik sedang dibuka. Aku sapu airmata yang mengalir. Jangan nak menangis lagi, Zira. Berhenti! Aku pusing tubuh. Kaki melangkah perlahan ke katil. Satu-persatu derap aku telan bersama sebak di jiwa. Tubuh aku hempaskan ke katil. Aku pandang pintu bilik yang sudah ternganga. Zainal yang tegak di muka pintu singgah di mata.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...