Tuesday, April 25, 2017

Hati Ini Pilih Kamu

Aku pandang luar tingkap bas yang gelap. Pasti aku akan lewat sampai ke rumah malam ini. Pergelangan tangan kanan aku kerling. Sudah menghampiri pukul 10.30 malam. Zainal langsung tak telefon bertanya aku di mana. Tak hiraukan keselamatan aku yang saat lewat macam ni masih belum sampai ke rumah. Ada sedih yang bertamu di sudut hati. Aku pejam mata. Mahu membuang jauh rasa itu. Aku kena sedar diri. Fazira Huda ini sudah terbuang dari keutamaan hidup Zainal Rauf.

Telefon aku berbunyi tanda ada pesanan masuk. Mata terjunam pada pesanan Zai. Bertanya samada aku sudah sampai rumah ke belum. Bertanya keadaan aku bagaimana. Aku okey ke tidak. Berpesan agar aku membalas segera pesanannya. Dia risau sangat sebab sudah lewat dan aku belum sampai lagi ke rumah. Zai sampaikan pesanan agar aku berhati-hati jalan balik ke rumah nanti. Kawasan perumahan yang aku tinggal memang agak ke dalam sedikit dari jalan utama. Aku telan liur luka. Memang tadi aku ada titipkan pesanan pada Zai waktu aku naik bas dari pejabat lepas habis berjumpa dengan kak long. Zai yang cuma tahap sahabat lebih risaukan diri aku dari suami sendiri. Aku tarik nafas. Sebak yang meninjau pintu jiwa aku tepis. Tak apa, Zira. Tak apa. Sabar. Jari-jemari laju menari di atas papan kekunci. Aku balas pesanan Zai.

Aku tahu Zainal ikut bersekongkol dengan kak long mahu mengenakan aku. Dan kak long sengaja heret aku berlama-lama di cafe tadi. Sengaja tak nak bagi aku balik awal. Mahu balas dendam pada aku sebab tolak cadangan dia untuk berjumpa di luar awalnya tadi. Jauh di sudut hati aku masih tertanya kenapa benci sungguh kak long pada diri ini. Salah apa aku pada dia sebenarnya hingga terlalu hitam benci kak long.

Bas yang bergerak laju seiring pantas dengup jantung aku yang direntap kata-kata kejam kak long.Masih terngiang-ngiang bait yang terlontar dari lidah tajam kak long.

"Kau tu dulu ibarat tikus yang jatuh ke dalam kilang beras. Tau tikus? Tikus yang tak diundang. Tapi kau tikus yang tak sedar diri. kalau dah dasar tikus....tetap tikus sampai bila-bila." Aku telan liur payau. Terpempan dengan kata-kata kak long. Hina betul aku di mata kak long. Aku tak pernah minta ini semua. Takdir jodoh yang tentukan aku masuk ke dalam keluarga berada Zainal.

"Saya tak minta ini semua kak long. Jodoh saya dengan Zainal, Allah yang tentukan." Aku masih ingat cebikan sinis kak long.

"Tak payah nak sebut jodoh la dengan aku. Kau memang dah plan nak masuk dalam keluarga aku sebab tahu kami orang kaya. Pandai kau kan pikat mak aku. Bagi kuih la. Bagi lauk la. Ajak pergi masjid sama-sama la. Teman jalan-jalan la. Dasar perempuan murahan."

"kak long!!!"

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...