Friday, November 8, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Saktinya - Bab 11



Bab 11
 "OK, HMMM?"
   Aida angguk. Laju. Mata tidak berkelip. Mulut yang selesai menjalankan tugasan kunyahan langsung tidak terbuka. Bagai tersihir. Tidak terdaya mahu membalas pertanyaan si tukang sihir didepannya ini.
   "Sedap?"
    Aida angguk lagi. Sama seperti perlakuan yang tadi. Sepasang matanya yang bersinar tidak terkalih dan termampu untuk memandang ke arah lain. Sungguh dia sudah tersihir dengan segala yang sudah dilakukan si pemilik nama Fazwan Anuar didepannya ini.
  Usai potongan oren disuapkan ke mulut Aida, Fazwan yang masih mekar menjala senyum menoleh ke sisi kiri seraya minta Fyza menghulurkan kotak tisu dimeja sisi di tepinya. Ditarik dua helai lalu dibawa ke hujung bibir Aida. Mata Aida tidak berkelip melihat apa yang sedang dilakukan Fazwan. Tubuh bagai si patung cendana yang dipasung. Tidak mampu bergerak. Jauh sekali mampu menolak. Hanya membiarkan sahaja diri diladeni oleh lelaki dihadapannya ini. Debar dihati usah dihitung. Bagai beliung yang diputar laju. Dari ekor mata Aida dapat melihat senyum Fyza yang tersimpul disebalik kening yang terangkat. Eeei Fyza nih. Nak gelakkan orang la tu. Jari-jemari diramas-ramas. Menahan gelodak rasa yang menggoncang pintu jiwa. 
  Fazwan senyum. Wajah mulus yang dapat dilihat dengan begitu dekat saat ini jelas sedang membendung perasaan malu barangkali. Garis-garis merah yang tercarik di kedua belah pipinya yang halus bak telur dikupas itu menjadi bukti. Tangan mencapai mangkuk bubur nasi yang masih suam. Dikacau perlahan. Mata dihala ke wajah didepan yang tidak berkelip memandang.
  Aida telan liur. Mata masih tidak berkelip memandang seraut wajah didepan yang menatang mangkuk berisi bubur nasi yang dihidangkan tadi buat dirinya. Melihat perlakuan Fazwan, Aida tidak tahu apa yang harus dilakukan. Diri benar-benar sedang disihir saat ini. Bibir sungguh benar sedang dikunci ketika ini daripada melontar kata-kata.
 Fyza elus pangkal hidung. Melihat apa yang sedang terhidang didepan matanya saat ini buat hati kecil perempuannya tersentuh. Tidak menyangka wujud rupanya tampan lelaki seperti Fazwan yang punya pesona bukan kepalang. Ingatkan cuma dalam kisah-kisah khayalan yang selalu dia tonton dilayar kaca sahaja. Mencuri pandang wajah Fazwan dari dari dekat buat Fyza sukar menafikan tarikan pesona lelaki ini. Dengan rambut hitam lurus kemas yang hampir mencecah lantai bahu penampilan yang cukup seksi dimata perempaun Fyza. Raut wajah bujur sirih bersih dilengkapkan dengan hidung mancung bersama sepasang mata yang sedikit bundar tersembunyi disebalik kacamata menambahkan kesempurnaan wajah lelaki ini dan melengkapkan kesempurnaan wajah lelaki ini pastinya lekuk didagunya yang paling menawan sekali. Issh, biar betul dia ni laki orang. Ntah-ntah abang chik salah faham kut. Melihat Fazwan yang mengangkat pula mangkuk bubur dia tahu pasti lelaki ini mahu meneruskan sesi suapan seterusnya. Nafas dah tak terdaya mahu dihela. Sesak sungguh dada melihat apa yang terhidang didepan mata. Kenapalah lelaki ini caring sangat. Mahu tergolek dah Fyza rasa saat ini melihat apa yang dilakukan Fazwan untuk Aida. Alahailah encik Fazwan yang handsome maut kenapalah awak ni tersangatlah manis. Issh, Fyza, istighfar. Suami orang tuh. Yalah, tau tu..tapi Fazwan ni kan, ya Allah awat la segak nak mampuih!    
    Fazwan penuh takzim mengacau bubur nasi yang ditatang. "Orang yang nak sembuh dari sakit atau dalam proses pemulihan, sebenarnya elok makan makanan yang lembut macam bubur nih."
  " Ya ker encik Fazwan?"
  Fazwan angguk. Mengiyakan pertanyaa Fyza yang melontar pandangan ke arahnya.
 "kalau kita baca hadis, Rasullullahpun menyarankan makanan begini. Makanan sebegini ibarat penawar yang dapat mencuci perut kita seperti kita membersihkan wajah kita daripada kekotoran."
  Fyza angguk kepala. 
 "Wah, hebat jugak pengetahuan encik Fazwan tentang amalan rasullullah ye. Saya yang dah lama hidup ni pun tak tahu. Main sumbat jer apa. Ikut rasa. Bagus ni. Tambah pengetahuan buat saya."
  Fazwan senyum. Tangan masih asyik mengacau lembut bubur yang ditatang.
 "Tak adalah sangat. Sikit-sikit jer cik Fyza. Lebih kurang macam tulah hadis daripada isteri baginda; Siti Aisyah yang saya masih ingat sebab setiap kali saya demam atau jatuh sakit, arwah mak saya memang selalu ingatkan amalan Rasulullah ini."
    "So, cik pesakit manja yang cantik dan comel..." Fazwan kembali angkat kening menala ke wajah mulus Aida. Fyza dah senyum manis mendengar lafaz kata-kata yang terluncur daripada bibir Fazwan. Dihala mata ke wajah Aida yang merona. Hai lah Aida, kau memang sungguh kena loteri hari ini..hehehe. 
   Fazwan hala kerdip mata ke wajah didepannya. Suring bibir melakar senyuman. Senyuman manis." kita makan bubur,hmmm. Nak sihat cepat kan? " Fazwan hala sudu ke bibir Aida yang terbuka kecil. Dua pasang mata berpadu pandang. Terjeda. Fazwan senyum lagi. Aida kemam bibir.
    Fyza yang menyaksikan apa yang terhidang didepan mata pantas lepas deheman. Dua pasang mata serentak memandang. Fyza tayang senyum kecil. Tubuh ditegakkan.
    "Encik Fazwan bagilah budak manja ni makan bubur tu ye. Biar saya ke bilik air isikan air dalam pasu untuk rose merah jambu yang encik Fazwan bawak tu ye. Nanti saya bagi bunga tu nampak lagi cantik dan kemas. Letak air bagi dia hidup lama. Orang yang sakit tu gerenti cepat baik nanti." Fzya angkat kening. Sengih. Aida besarkan mata. Issh Fyza nih. Takkan nak tinggalkan Aida berdua pulak dengan Fazwan dalam bilik nih. Fyza, janganlah. Aida seganlah. 
    Fyza bangkit daripada duduk. Rose merah jambu yang terhampar diriba Aida dicapai. Begitu juga dengan kotak pasu yang terbaring disisi Aida. Saat matanya bertembung dengan sepasang mata Aida yang melontar renungan cukup bermakna, Fyza melontar kenyitan bersama sebuahan leretan senyum. Jari jemari Aida pantas menghadiahkan cubitan halus ke lengan Fyza. Senyum Fyza tambah lebar. Fazwan hanya memerhati gelagat kedua-duanya. Senyum kecil terlontar. Langkah Fyza menuju ke pintu dihantar bersama sebuah debaran yang mengoncang hati. Saat tubuh Fyza hilang disebalik pintu, dapat dirasakan debaran dihati makin kuat bergema. Perlahan-lahan dibawa wajah menghala ke wajah berkaca mata didepan yang sedang tersenyum memandangnya. Tangan yang takzim menatang bubur itu ditatap. Dihulur tangan. Mahu menyambut mangkuk bubur yang berada ditangan Fazwan. Fazwan dilihat melabuhkan sudu didalam dakapan jari-jemari kanan.
   "Saya makan sendiri bubur ni ye."
    Fazwan senyum.
    "Kenapa? Tak nak saya suapkan? Segan,hmmm?"
     "Err...tak..bukan. Saya..saya nak makan bubur ni sendiri sebenarnya."
     "Tak nak saya suapkan,hmmm? Betul nih Aida?"
   Aida kemam bibir. Jantung sungguh mahu tertanggal dari tangkainya saat ini. Debaran didalam hati kencang tidak terkejar. Menghadap lelaki ini bersama renungan dan bilah kata-katanya yang bagai ada sakti tu Aida sungguh tidak terdaya mahu membalas. Segala kosa-kata dalam kamus kepala bagai terpadam. Fyza ,tolonglah cepat datang!
   Fazwan tolak cermin yang sedikit melorot dengan jari telunjuk kiri. Mangkuk bubur masih takzim ditatang. Perlakuan yang turut menangkap pandangan Aida. Kembali saling memandang. Aida kemam bibir saat matanya cekap ditangkap pandangan si tukang sihir didepannya ini. Fazwan hala sudu kembali ke bibir Aida.
   "Tahu tak Aida, saya tak pernah suap perempuan makan...kecuali arwah mak saya. Sungguh saya tak pernah. Tapi hari ini..." Fazwan jala senyum lagi." saya sungguh rasa nak suap gadis didepan saya ini. So, please Aida. Let me, hmmm." Fazwan angguk kepala perlahan. Isyarat. Kembali dihala sudu ke bibir Aida.
   Aida telan liur. Tanpa sedar kelopak bibir terbuka. Fazwan senyum. Sudu disua kedalam rekahan bibir yang terbuka bersama lafaz bismillah. Lafaz yang juga bersambut dihati Aida. Mulut mengunyah lembut. Perlahan-lahan. Aida cukup sedar perlakuannya sedang disaksikan oleh lelaki di depannya ini. Sudah tidak keruan dibuatnya. Bila diri menjadi tatapan sepasang mata lagi-lagi mata itu milik si tukang sihir yang punya kuasa sakti, sungguh Aida hilang arah.
  " Sedap tak?"
   "Sedap."
   "Nak lagi?"
   "Nak."
  Fazwan ketawa.
  "Kenapa ketawa?"
  "Saya suka tengok Aida makan. Rasa macam sedap tu berpindah pada saya."
  "Awak nak rasa bubur ni ke?"
  Fazwan senyum.
  "Kalau iya, Aida nak suapkan saya ke,hmmm."
  "Err.."
  "Tak berani?"
   "Bu..bukan."
    "Tak sudi,hmmm."
     Jeda.
   "Takperlah kalau orang tu tak sudi."
   Aida yang masih memandang wajah didepan kemam bibir. Tangan perlahan mencapai sudu ditangan Fazwan. Kening Fazwan terangkat kecil. Senyum dihati tersimpul. Aida perlahan ceduk bubur didalam mangkuk lalu disua ke bibir Fazwan. Mata dikerdipkan. Fazwan senyum. Manis. Aida tayang muka selamba walaupun dihati sudah membadai debaran. Tinggi mencecah gunung. Namun memikirkan kata-kata lelaki ini tadi, tidak tega rasanya dia memperlakukan Fazwan sedemikian biar segannya tidak terhitung bilah-bilahnya.
   Aida angkat kening. Sudu masih berlabuh diluar mulut Fazwan.
   "Tak nak rasa? Ke..tak sudi saya suapkan?" Aida takzim melabuh redup tatap ke wajah tampan berkaca mata didepannya ini. 
   Senyum Fazwan terus mekar. Bibir mengorak kelopaknya. Terbuka. Sudu ditangan Aida bergerak perlahan-lahan mencecah mulut Fazwan. Kembali tertutup saat segala isi didalam sudu hilang ditelan gua kecil didepannya. 
   Fazwan kunyah perlahan. Penuh tertib. Aida takzim jadi pemerhati. Sudu ditangan sudah bertukar tangan. 
   "Hmmm. Nice."Fazwan sambung kunyahan. Sudu ditangan yang dicapai daripada tangan Aida dihala masuk ke dalam mangkuk bubur. Dikacau sedikit. " Sedap tu jadi bertambah sebab ada orang sudi suapkan. Hmmm, lama saya tak rasa orang suapkan saya makan macam arwah mak saya dahulu."Fazwan tabur senyum. Sudu yang berisi bubur dihala ke bibir Aida. Mata mereka bertaut lagi untuk kesekian kalinya. Ada rasa indah yang mengetuk pintu hati Fazwan. Rasa yang sama juga sedang mengibar-ngibarkan desir dendangnya ke jendela hati Aida. Jiwa dihembus bisik-bisik yang mendebarkan. Dihela nafas perlahan. Dan untuk sekali lagi bibir Aida mengorak kelopak menanti suapan yang dihulurkan si tukang sihir didepannya ini. Bergantian sudu saling berpindah tangan. Dan perjalanan sesi yang dihiasi bualan yang bersulamkan senyum dan bertabir ketawa kecil antara kedua berterusan hingga isi bubur didalam mangkuk selesai.
   Mangkuk yang sudah kosong isinya diletakkan kembali ke tempatnya. Fazwan kembali melabuhkan duduk disisi Aida. Gelas berisi air suam dicapai lalu dihulur ke arah Aida.
 "Kena minum air banyak,hmmm. Come..minum." Dihala ke bibir Aida. Sekali lagi bibir Aida mengorak kelopaknya. Tersihir untuk kesekian kalinya. Ucapan terima kasih yang berhiaskan senyuman terdesir perlahan. Fazwan angguk. Gelas air suam yang sedang dinikmati Aida masih takzim dipegang Fazwan. Saat bibir Aida melepaskan muncung gelas, sepasang mata Fazwan dilihat takzim menatapnya.  Aida kerdip mata. Tubuh gelas dipegang hujungnya.
  "Awak nak minum ke?"
  Fazwan senyum.
  "Kalau awak sudi nak berkongsi dengan saya."
  "Awak tak kisah ker minum air yang dah saya minum."
  "Tak ada salahnya. Bukannya bertukar racun pun air lebihan yang awak minum. Dan kalau sungguh kalau bertukar racun sekalipun, saya rasa ia takkan mampu mendatangkan mudarat pada saya kerana saya tahu...racun itu akan bertukar menjadi penawar saat ia mencecah bibir saya. Nak tahu kenapa?"
 Aida angguk. Lurus. Fazwan kembali melontar senyum manisnya.
 "Bukankah kita sudah berkongsi suapan tadi. Pasti penawar dari bibir awak sudah berpindah masuk ke bibir saya. Penawar sakti yang menjadi perisai buat diri saya dari sebarang ancaman hatta racun paling berbisa sekalipun,hmmm." Fazwan lontar kerdip mata bersama juraian senyum. 
  Aida telan liur untuk kesekian kalinya. Mata dan seluruh tubuh sungguh-sungguh dihembus sihir yang tidak terdaya ditangkis dengan apa juga mentera. Bibir dikemam. Wajah berkaca mata yang terus menjaring ulas senyum manisnya yang menghiasi wajah berdagu nan berlekuk ini tidak terdaya dikalih dari terus merenungnya. Ombak debaran dihati sudah hebat membadai seluruh pelusuk jiwa. Jantung memacu dengup kencang. Laju. Jari-jemari saling meramas debar. Mata dihala ke pintu yang jeda tertutup. Susuk tubuh yang dinanti masih tidak menampakkan bayang. Fyza...cepatlah masuk. Apasal laa kau tinggalkan aku lama-lama dengan dia ni. Tahu tak dia ni ada kuasa sakti macam tukang sihir. Issh, Fyza ni. Mana pulak tak balik-balik. Pergi tanam pokok bunga ros haper dalam bilik air tuh!

6 comments:

seed169 said...

best best best
tahniah kucc...

Anonymous said...

sweettt...best :)

sara said...

Mostly hero2 citer kucc ram but panjang.
And one more thing handsome & romantic. But I like :D

IVORYGINGER said...

Oh my!!! Habis la Aida, mesti hati terjatuh bergolek2x. cair dgn Fazwan yg so care... hehehe ;D Keep up posting KUCC, we like Aida & Fazwan.

Anonymous said...

Haiiilaaaa bukan aida je yg dh tergolek2... Sya mcm dh trguling2 ni... Cepat arrr sambung x sabar ni

Tengkubutang said...

Haiiiii..Cakkk!!
done follow sini no. 612
sudilah kiranya follow me back yea..
he2.. salam kenal.. keep in touch yea..=)

http://tengkubutang.blogspot.com/

dan my 2nd blog
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...