Tuesday, November 26, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Saktinya - Bab 14

Bab 14
MATA AIDA meliar. Berpusing kepala. Dijenguk lagi di luar tingkap. Sah! Dia memang tak salah. Mata Aida masih cerah. Akal masih boleh ingat tiap inci susur perjalanan dari rumah ke My Little Sweet Home Child Care Centre biarpun disini bukan kampung halamannya. Yang pasti ni bukan jalan balik ke rumah Fyza!
         Ditoleh kesebelah. Bibir bergetaran dalam dakap gementar yang mengoncang tangkai hati. Tidak pernah dirasai debar begini. Bimbang menari-nari dibenak. Janganlah. Ditepis kencang semua rasa tidak enak yang menjentik. Tolonglah…tolonglah jangan ada yang tidak baik menimpa dirinya. 
     Digagahi bibir mengungkap kata. “Err…saya rasa abang Mat dah salah jalan ni, Fazwan.” Bola mata Aida yang redup melontar sebuah tatap. “ Setahu saya ni memang bukan jalan ke rumah sewa saya. Ni bukan jalannya. Saya tahu jalan ke rumah sewa saya bukan ikut jalan yang ni. Saya memang ingat sangat.” Dilontar sebuah lagi kata yang berpaksikan pemberitahuan yang pasti. Seratus-peratus pasti! 
      Fazwan senyum. Lirik mata dilontar ke cermin pandangan belakang. Abang Mat sudah tersengih. Kembali mengarah sepasang mata kesebelah. Aida yang tidak berganjak memandang dijamah tenang. 
    “Memang bukan. Dan kita bukan nak balik ke rumah sewa awak, Aida.”
     Aida terpanar.
   “A..ap..apa maksud awak ni, Fazwan? Tadi..tadi kan awak kata nak hantar saya balik ke rumah. Sa..saya tak salah dengar kan?”
   Fazwan tolak bingkas cermin mata yang sedikit melorot. Mata memandang ke depan. Tenang sahaja dipandangan Aida. Bibir Aida kemam. Kuat.
      “Awak memang tak salah dengar, Aida…tapi saya tak kata nak hantar awak sekarang kan. Jadi…saya boleh hantar awak bila-bila masa…samada lewat malam nanti atau esok pagi. Yang penting saya tetap kotakan janji. Saya akan hantar awak balik ke rumah. Itu pasti. Tak perlu risau.”
       Gulp! Aida telan liur. Lewat malam atau esok pagi?!!Mata terkebil-kebil bersama deru nafas yang huru-hara. Kata-kata Fazwan itu terus menerpa lagi kotak fikiran yang sudah tunggang-langgang. Bermacam-macam andaian sedang berlumba-lumba memasuki ruang kepala. Bercampur-baur segala rasa. Mata menjengah ke depan. Dari cermin pandang belakang jelas kelihataan Abang Mat yang dilihat meleret senyum. Apa semua ni?!! Dada macam nak meletup. 
     Dan kita bukan nak balik ke rumah sewa awak, Aida. 
    Tapi saya tak kata nak hantar sekarang kan. Jadi…saya boleh hantar awak bila-bila…samada lewat malam nanti atau esok pagi. Yang penting saya tetap akan hantar awak balik ke rumah.

      Rangkaian kata-kata Fazwan terus menghantui…hinggap di kepala lagi dan terngiang tak henti-henti. Aida rasa macam nak terjun sahaja dari kereta tapi pintu kereta mewah macam ni memang sah-sah dah terkunci secara automatik. Kenapa dengan Fazwan ni? Nak bawak kemana pulak Aida ni haa? Dah hilang waras ke awak, Fazwan? Pelbagai laras persoalan menujah kepala. Aida rasa macam nak pitam. Kenapa pulak tiba-tiba lelaki disebelahnya ini bersikap aneh begini. Aneh benar. Kata-katanya penuh berteka-teki daripada tadi. Fazwan, tolong jangan buat yang bukan-bukan. Saya…saya percaya awak sungguh-sungguh. Saya percaya awak lelaki baik, Fazwan. Saya percaya awak bukan begitu. Gempur nafas makin memacu deras memasuki relungnya. Allah. Hanya itu yang terdaya terhumban dari ulas bibir.   
         Aida benar-benar takut. Dia berseorangan bersama dua lelaki yang baharu benar dikenali. 
Akal dan minda masih bertempur dengan seribu satu andaian. Bisik-bisik marah menguasai ujana hati. Menghentam. Aida gigit bibir. Rasa nak menangis sungguh. Ikut lagi orang yang kau tak kenal sangat hati budi dia. Kalau jadi apa-apa pada kau nanti tak siapa yang tahu, Aida. Kalau buruk yang kena tak siapa nak percaya cakap kau nanti sebab kau yang ikut jantan ni. Kau memang tak belajar daripada apa yang berlaku dulu kan, Aida. Betullah kan kata semua orang. Kau tu memang lurus bendul tak sudah-sudah dari dulu. Percaya jantan tak bertepi. Percaya bulat-bulat. Ingat semua orang otaknya sama suci murni macam kau ke? Sebab tu kau kena tipu hidup-hidup dengan Razman. Lelaki ni kan aku dah kata sehelai rambutpun jangan kau percaya. Betulkan apa yang aku dah cakap? Kau tengok sekarang. 
        Aida kemam bibir lagi. Kolam mata terasa hangat namun sedaya ditahan supaya tidak pecah. Cuba diraih ketenangan yang kian menipis. Istighfar berlagu lagi. Kali ni lebih kerap. Berulang-ulang. Segala bisik syaitan yang cuba menempelkan awan hitam dihati dihumban jauh-jauh. Wajah dibawa keluar tingkap. Tidak sanggup memandang Fazwan. Aida takut kepada lelaki itu saat ini. Gerun jika lelaki tu bertindak yang bukan-bukan.Baik dia mematikan kata. Mengunci bahasa. Debar dalam jiwa dipegang kejap. Hanya termampu dipanjatkan kala ni cuma perlindungan daripadaNya yang satu. Hanya Dia. Aida tahu dia sudah terkepung. Tidak boleh kemana-mana. 
         Fazwan tahu Aida sedang resah. Gelisah terpamer jelas tadi kala ulas delima yang indah itu membuka kata tanya. Fazwan juga tahu bunga ketakutan pasti sedang berungkai dihati. Riak wajah dan air muka gadis disebelahnya ini tadi tidak sukar dibaca maknanya. Fazwan mahu ketawa sebenarnya. Ditahan. Senyum yang tergumpal disembunyi. Melihat Aida yang bisu tak sampai hati benar dia mahu terus mahu membiarkan Aida dilambung bimbang. Buatnya menangis si cantik disebelahnya ini nanti baru haru!
      “Awak rasa…saya ni macam nak culik awak tak, Aida ?” Fazwan lontar kerdipan bersahaja. Kerdipan yang berbaur usikan nakal sebenarnya. Mahu melihat reaksi comel Aida yang pasti sekarang ini sedang huru-hara rentak jantungnya. Fazwan tenang mengawal senyum manis.
        Aida spontan menoleh. Melihat Fazwan yang tersenyum Aida terlopong. Mata terkebil-kebil. Laju. “Cu..culik? Awak nak culik saya? Ke..kenapa awak nak culik saya, Fazwan? Saya…saya ada buat salah apa-apa ke pada awak, Fazwan? Saya…saya..” Aida tekup mulut. Tak terdaya menghabiskan kata-kata. 
         Ketawa halus Fazwan berderai memecah sunyi. Aida terkedu. Sah benar dirinya dipermainkan oleh Fazwan dan abang Mat. Bibir diketap. Laju dihumban wajah keluar tingkap. Ahmad yang memandu menggeleng kepala. Ketawa kecilnya turut terdesir. Tak sangka benar Fazwan boleh menjadi nakal begini. Tahu benar rancangan ketuanya ini tadi yang mahu mengusik Aida. Memang itu yang diberitahu kepadanya tadi sewaktu dalam perjalanan menjemput Aida.
       Hembus nafas damai Fazwan terluncur. Dua jari mengelus pangkal hidung. Aida yang membuang pandangan keluar tingkap direnung. Lama. 
       “Aida…” Perlahan diseru.
       Aida perlahan-lahan berkalih sisi pandang. Fazwan jala senyum. Aida kejap bibir dari membalas. Sakit hati masih bersisa. Dilarikan wajah semula keluar. Mata Fazwan sekilas dilontar ke depan. Abang Mat dilihat mengenyit mata sambil menganggukkan kepala. Isyarat permainan mereka harus ditamatkan. 
      “Saya tak ada rancangan nak culik awak hari ini, Aida. Jangan bimbang,hmmm. Kalau sungguh saya nak culik awak saya akan culik awak secara elok. Ikut adat. Pergi jumpa mak awak. Minta izin nak culik awak duduk dengan saya seumur hidup. Nak culik awak dan simpan awak dalam hati saya. Bukan untuk sehari dua tapi selama-lama.” Fazwan juring senyum seraya melontar renung ke arah Aida yang masih lekat matanya ke luar tingkap. Aida dilihat pantas menoleh. Bertembung empat biji mata. Senyum Fazwan tenang terhias.
         Aida menoleh kesebelah. Matanya yang bundar laju menghantar sinar. Isyarat diam yang mudah benar dibaca maknanya oleh Fazwan. Senyum dibibir makin mekar. Pandangan mereka kembali bertaut. Lama. Aida telan liur. Jantungnya bagai digoncang-goncang. Tadi kala cuping mendakap bilah-bilah kalam yang terluncur dari bibir Fazwan, tubuh rasa mahu terjelepuk. Terkejut bukan kepalang dengan baris-baris ayat yang tidak terjangka akan terlafaz oleh lelaki disebelahnya ini. Sungguh dia rasa lidah terjeda. Tidak tahu apa yang harus dibalas. Segala kosa kata bagai terpadam dari kamus diri. Deru nafas turun naik. Semua andaian juga kata-kata negatif yang menekan fikiran juga kepala tadinya hilang begitu sahaja. Berganti pula dengan apa yang baru didengar. Terlafaz dari bibir lelaki disebelahnya ini. Aida tarik nafas dalam-dalam sebelum perlahan-lahan dilepaskan dari relungnya. Masih tidak melepaskan renung ke wajah lelaki disebelah.
       “Awak nak kata apa sebenarnya ini, Fazwan? Tolonglah jangan berteka-teki dengan saya. Saya tak pandai dalam urusan teka-teki begini.” Aida lega. Sudah dihamburkan rasa yang bergelumang didalam jiwa.
       Fazwan senyum pada Aida yang masih memandang.
       “Status saya maksud awak?”
        Aida telan nafas perlahan-lahan. Mata menjamu seraut wajah tampan disebelah yang dilihat tunak merenungnya.
      “ Tolonglah kasihan kan saya, Fazwan. Bolehkan awak jangan huru-harakan hati dan jiwa saya yang baru sembuh ini. Saya hormat awak, Fazwan. Terlalu. Sangat-sangat. Saya pinta tolong hormati saya juga, Fazwan. Tolong, Fazwan.”
     Fazwan angguk.
     “Maaf kalau usikan saya buat tak selesa, Aida.”
      Aida geleng. Bibir dikemam.
    “Saya..saya cuma bimbang.”
   “Bimbang saya suami orang? Bimbang menjadi pengganggu rumahtangga oranglain. Itukah yang terangkul dalam jiwa dan hati awak sejak tadi, Aida?”
      Aida jeda.

     “Aida…”
      Dua pasang mata mereka kembali bertemu untuk kesekian kalinya.
     “Saya ini hanya milik arwah ibu saya. Milik dia hingga akhir hayat saya. Selain dia…saya bukan milik mana-mana perempuan.Awak tak usah bimbang.Harap awak boleh tenang selepas ini.”
       Aida kemam bibir. Kepala menunduk seketika.
      “Masih tak percaya kata-kata saya?” 
      Aida menggeleng. Diangkat wajah. 
    “Saya..saya cuma takut. Awak..awak aneh sangat hari ini, Fazwan.”
    Fazwan melontar senyum lebar.
   “Takut saya buat yang bukan-bukan pada awak?”
     “Saya cuma manusia biasa, Fazwan. Lemah melawan ledakan perasaan yang bukan-bukan. Bisik jahat itu pasti ada. Maafkan saya kalau prasangka saya terbias dimata awak. Saya tak terdaya.”
     Fazwan angguk.
     “Beginilah, Aida. Biar saya berterus-terang. Dan maafkan saya kalau cara dan kata-kata saya buat awak jadi takut. Saya takkan sesekali melakukan hal-hal cemar pada awak. In Shaa Allah. Ini janji saya. Saya cuma nak culik awak...atau lebih manis sedikit bunyinya cuma nak pinjam awak untuk temankan saya ke satu tempat. Tapi jangan risau. Tempat ni bukan hanya ada kita berdua,hmmm. Ada ramai orang disekitar. Tak perlu bimbang ok. Boleh kan?” 
     Aida telan liur perlahan.
    “Nak pergi mana?”
      Dan senyum Fazwan meniti dibibir tanpa sepatah kata balas. Aida kembali dihujani tanya yang bukan kepalang.

Mata Aida jatuh pada sebaris nama yang memang dia tahu bukan calang dalam dunia gaya dan fesyen kaum hawa. Kaki terpasung seketika. Tidak pernah menduga akan menjejak langkah ke butik ternama ini. Bila Fazwan melebar tapak tangan mempersilakanAida masuk dahulu, Aida pantas menggeleng. Tidak mahu. Biar dia ikut dari belakang sahaja. Segan. Fazwan dilihat hanya ketawa kecil. Aida kemam bibir. Dua pasang kaki melangkah masuk ke dalam premis Louis Vuitton. Aida hanya mengekori daripada belakang. Mata terpegun melihat deretan tas tangan yang beranika bentuk dan rupa. Sapaan dari jurujual hanya dibalas dengan senyum kecil. Aida rapatkan diri dengan Fazwan. 
    “Sini ke tempatnya?’ Bisik suara terhumban.
     Fazwan angguk. Sekuntum senyum meniti dibibir. Wajah Aida yang agak rapat dengannya ditelan penuh terpesona.
    “Nak beli apa disini?”
    “Handbag.”
    "Handbag?"
    Aida pamer kerut wajah. Fazwan yang memandang makin lebar senyum. Langkah terus dihala meneliti tiap tas tangan yang terpamer. Aida terus membuntuti sebelum langkahnya mati ke satu rak. Mata tersangkut pada sebuah tas tangan yang begini menangkap mata. Menawan hatinya pada pandangan pertama. Bibir tanpa sedar ukir senyum. Senyum dan reaksinya tanpa disedari pantas dirakam oleh Fazwan. Perlahan Fazwan mengundur langkah mendekati Aida.
    “Aida…”
    “Err…iye.” Khayalan Aida berderai. 
    “Suka yang ni?”
    Aida angguk. Jujur. Senyum dibibir meniti. “Cantik kan?” Fazwan senyum balas.
    “Ambillah.”
    Aida terpinga. Mata terkelip ke arah Fazwan yang terus tersenyum.
   “Am..ambil apa?”
    Aida lurus bertanya. Fazwan ketawa kecil.
   “Handbag tu..”
   “Handbag ni?” Kerut didahi terukir. Jari dihala ke arah benda empat segi didepan mata.  

     “Un..untuk siapa?
    “Untuk awaklah, sayang.” Fazwan capai shoulder bag berwarna coklat gelap didepan Aida. Dibelek. Kepala Fazwan terangguk. Setuju dengan pilihan Aida.
   “Your wife,sir?”
     Perbualan mereka terhenti kala seorang jurujual datang. Fazwan senyum. Aida sedikit tersentak lalu menghala wajah ke arah lain. Segan kala soalan itu ditanyakan kepasa Fazwan.
   “She’s beautiful.” Senyum jurujual cantik berbangsa tionghua terhala ke arah Aida yang tergamam seketika.
   Fazwan angguk.
    “She is.”
     Aida kemam bibir.
     Fazwan terus belek shoulder bag ditangan. Dihulur pada Aida. Jurujual disisi melontar senyum.
   “Cantik. Aida pun suka fesyen yang macam ni kan.”
    Aida tengok tanda harga yang tertera. Tanpa sedar lengan Fazwan dicapai.
   “Mahal sangat, Fazwan. Tak perlulah.”
Fazwan kenyit mata. Mata jatuh pada lengan yang disentuh Aida. Mata Aida yang menyedari gerak mata Fawzan  laju menurunkan tangan. Pipi hangat. Aduh, macammana boleh terpegang ni. Malunya! Senyum Fazwan tambah mekar melihat reaksi comel Aida.
   “Tak semahal awak, Aida. Nilainya hanya sehiris. Tak terbanding diri awak. Awak tak ternilai dimata saya,Aida.” Aida terpempan dengan kata-kata Fazwan.
    Fazwan hulur shoulder bag kepada jurujual di sebelah Aida.
    “I take this.” Huluran Fazwan disambut penuh hormat. Aida yang berdiri takzim disebelah dipandang oleh jurujual yang terus menjual manis wajah.
    “Buying for your beautiful wife, sir?”
      Fazwan senyum. 
    “Yes. For my beautiful wife. Sincerely from my heart. ” Fazwan hulur kenyitan mata pada Aida. 
     “You’re so luckly. Your handsome husband is so romantic.” Senyum Fazwan tersulam manis. Dua pasang mata mereka bertembung. Pipi Aida rasa hangat bila ditatap begitu. Ada satu rasa yang sedang berkibaran dijiwa. Paras adrenalin hati rasa memuncak ke paras tertinggi. Debar dada bergetaran. Kencang. Degup jantung bertempiaran.

2 comments:

The Lady Chosen said...

wah! fazwan sangat nakal dan romantik hehehehe :)

Unknown said...

BEST2

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...