Tuesday, May 11, 2010

...Kalaulah...




"abang memang sengaja kan buat saya macam ni?"

"sayang, jangan cakap macam ni. Sumpah abang tak bohong."

"tak perlulah bersumpah abang."
"sayang, abang tak tipu...sungguh!"
Nafas yang bagaikan tercekik disalur kerongkong ditarik perlahan-lahan. Payah sekali rasanya. Sakit. Sesakit hatinya yang selama ini ditahan biarpun bisanya bagai ditoreh-toreh belati tajam.
"Ini bukan kali pertama abang buat saya macam ni. Selalu sangat saya terkena. Selalu sangat abang mungkir. Saya sabar je dengan perangai abang. Saya diam je dengan sikap abang pada saya. Semuanya saya telan. Abang memang tak pernah sikit pun ambik peduli perasaan saya selama ini kan. Abang cuma pentingkan diri abang saja. Diri saya langsung abang tak kisah. Saya saja yang tak sedar diri selama ni. Saya saja yang terhegeh-hegeh pada abang . Saya ni langsung takde nilainya dimata abang kan."

"sayang..."

"Memang saya bodoh selama ni. Bodoh sungguh-sungguh. Diperbodohkan oleh abang. Sampai hati abang buat saya macam ni. Apa salah saya pada abang? Apa dosa saya pada abang?"

"sayang...abang tahu abang salah. Abang minta maaf ok."

"saya ni memang buta kan selama ni. Dibutakan dengan segala lafaz janji dan kata-kata manis abang."

"sayangggg...ab.."

Klik. Mata dipejamkan rapat. Hanya sebentar. Gagal mengusir rasa itu pergi.

Gajet berwarna hitam empat segi selebar tapak tangan itu pantas dilemparkan ke atas katil kayu bersaiz king dihadapan. Katil yang indah bersalut cadar berlatar rona putih bercorak bunga kecil berwarna kuning merah sungguh berseri dipandang. Namun seri itu bagai tenggelam dimatanya yang sedang dihambat kepiluan yang tidak terhitung. Bunyi yang terus-terusan menggamit dari gajet yang terbaring diatas katil tidak diendahkan. Pastinya nanti akan ada kata-kata pujukan, kata-kata manis bersalut madu yang akan membuat dia lupa diri lantas melupakan segala apa yang berlaku. Melupakan terus apa yang telah dilakukan lelaki itu padanya. Dia akan jadi alpa. Lupa diri semula. Membiarkan diri terus-terusan diperlakukan sesuka hati oleh lelaki itu semula. Tidak! tidak akan dibiarkan lagi. Cukup-cukuplah sudah. Kesabarannya sudah sampai ke landasan akhir. Dia mahu menghentikan permainan gila ini! Tidak mahu lagi dipermudahkan oleh insan yang licik itu.

Tapak tangan kiri dilekatkan ke pinggir bibir. Lama tangan itu mendakap seulas bibir yang sudah terkaku tanpa sebarang gerak kata. Air hangat yang mengalir dari kolam mata yang kian melimpah diseka dengan hujung jari. Namun air hangat itu terus juga laju mengalir tanpa mampu ditahan lalu membasahi halaman pipi putih mulusnya. Dibiarkan sahaja. Sebak yang cuba ditahan dari dinding dadanya terhambur jua. Gagal dibenteng. Bergegar tubuh kurus itu menahan rasa sedih yang makin menghambat tangkai hati. Sampai hati abang...

Kalaulah tangan ini boleh berbicara, pastinya dirinya ini akan dikutuk kerana sering sahaja tewas dengan belaian dan genggaman erat tangan itu. Tangan yang bijak memberi belaian palsu padanya...

Kalaulah mulut ini boleh berkata-kata, pastinya dirinya ini akan ditertawakan kerana mudah sahaja percaya pada lafaz janji bibir itu. Bibir yang pintar menyusun kata indah penuh pujukan dan rayuan padanya...

Kalaulah mata ini boleh bersuara, pastinya dirinya ini akan disiramkan dengan air mata sinis kerana lemah dengan renungan dusta mata itu. Mata yang hebat mengaburi dan mengkelamkan pandangan mata wanita naif sepertinya. Mata yang sungguh kejam dalam diam...

Kalaulah kaki ini boleh menjerit, pastinya dia akan diteriak dengan ketawa yang terbahak-bahak kerana terpedaya dengan langkah alim lagi santun itu. Langkah yang halus memesong langkah lurusnya selama ini menjadi songsang...

"salah kau Mas...percaya si Adli tu terlalu sangat. Dulu sebelum dapat memanglah kau ditatangnya. Pergi berjemput, balik berhantar. mengekor kau kemana aje. Jantan macam tu bersepah di luar sana. Dasar jantan tepi jalan. Kalau takat jantan macam tu, petik je jari Mas, berlonggok-longgok kau dapat. Kau tu yang bodoh. Lurus tak bertempat. Langsung tak reti nak bengkok sikit. Entah apa la yang dia dah tiup kat kau sampai jadi mamai macam ni. Bukannya takde orang lain yang nak kat kau...kau tu jer yang buta Mas. Adli tu aku agak dah bagi nasi kangkang kut kat kau ni, tu yang kau tak boleh nak kata apa bila dia apa-apa kat kau. Tengok jer sekarang ni dia buat kau dah tak ubah macam sampah. " leteran bersulam sindiran sinis yang dilemparkan Norie, rakan sepejabat dibiarkan tanpa dibalas. Mas tahu semua itu ada betulnya. Memang dia yang silap memandang. Terperdaya dengan kilauan indah yang disangka jauhari tidak ternilai tapi ternyata cuma pasir semata-mata.

Telinganya ini sudah disiapkan untuk menadah sahaja tiap kata-kata tajam dan sinis yang bakal datang. Dia tidak akan sedikitpun terasa hati. Katalah apa sahaja. Lemparlah kata-kata makian dan cemuhan, dia tidak akan sesekali melawan. Sudah terang lagi bersuluh segala-galanya berpunca dari kedangkalan akalnya sendiri. Akal yang dikurnia oleh-Nya tidak dimanafaatkan sebaiknya. Nafsu dibiarkan berkuasa...bermaharajalela!

Ya, memang salah dirinya. Ya, memang silap dirinya. Dan dia tidak sedikitpun menyalahkan sesiapa didalam hal ini. Bukan tidak pernah telinganya ini ditazkirah oleh Umi, rakan serumah yang baik hati kala melihat akan taksubnya dia pada cinta buta yang dihulurkan Adli. Tapi telinganya ini sudah ditulikan oleh bahana cinta celaka itu! Bukan tidak pernah kakinya dihalang Maira dari melangkah keluar dari rumah sewaan mereka bertiga kala Adli muncul tiba-tiba ditengah malam buta semata-mata mahu dia menemankan dia makan! Dia menurut sahaja ajakan gila Adli itu biarpun panahan amarah dari dua pasang mata teman serumah kala itu tepat memanah bebola matanya. Tidak diendah. Kala itu difikiran hanya ada kalimah ini "korang peduli apa..aku punya suka lah!". Sekarang ini, padanlah dengan mukanya bila Maira dan Umi tidak mahu mempedulikan dirinya lagi. Dia dibiarkan. Dia dipulaukan. Baru dirasakan betapa sunyinya hidup tanpa bebelan Maira. Baru diketahui betapa tidak lengkap hari yang dilalui tanpa tazkirah Umi yang saban pagi tanpa jemu menjengah cuping telinga.

Maafkan Mas, Umi...Maafkan Mas, Maira!

Kalaulah dia tahu begini sudahnya, sumpah tidak akan disambut salam perkenalan lelaki itu dahulu. Kalaulah dia tahu begini rupanya wajah sebenar lelaki itu akan diharamkan tangannya ini dari menyambut huluran bantuan lelaki itu. Kalaulah...

"Aku benci kau Adli! Penipu! Benciiiiiiiiii!" Bantal dihujung katil dicapai lalu dilemparkan sekuat hati ke dinding batu yang tidak bernyawa. Mahu dilontarkan rasa sakit hati yang mengepung dada lalu menghimpit jantungnya jauh-jauh. Tubuh yang tadinya bersandar di kepala katil sudah terbaring diatas katil. Tubuhnya merengkot. Diiringkan ke kanan. Kedua-dua belah tangan sudah dikepit antara kedua belah peha.

"Mas..." bunyi keriuk pintu dibuka bersama sapaan lembut menyapa gegendang telinga. Wajah ditolehkan pada permukaan pintu yang sudah luas terbuka. Airmata kian laju melimpahi kolam.Tubuh sudah pantas bangun lalu meluruh pada sekujur tubuh yang berdiri di palang pintu.

"umi..." Wajah sudah disembamkan ke dada teman serumahnya itu. Tubuh itu dirangkul erat. Tangisan kian bertali-arus. Belakangnya terasa hangat dengan usapan lembut tangan halus yang penuh kasih sayang. Pujukan lembut seakan berbisik sayup-sayup menyapa di telinga. Hatinya kian dihambat pilu. Sedih dengan apa yang terjadi. Malu pada temannya itu yang selama ini tidak pernah jemu menegur, menasihati hatta memarahinya tiap kali atur langkahnya sumbang. Cuma dia sahaja yang lupa diri. Mabuk dengan asmaradana palsu yang dipersembahan Adli.
Jeda menguasai suasana didalam bilik tidur utama rumah teres dua tingkat itu. Kepala Mas masih terlentok didada Umi. Esakan kecil masih sayup-sayup kedengaran.
"umi..."
"hmmm..."
"Mas minta maaf."
"sudahlah. Umi tak salahkan Mas. Umi faham."
"Mas malu pada Umi. Malu pada Maira. Mas ni memang tak sedar diuntung!"
"issh, tak baik cakap macam tu Mas. Umi dengan Maira tak pernah salahkan Mas, jauh sekali nak berdendam. Mas macam adik Umi. Umi sayang Mas." kepala yang terlentok diangkat perlahan-lahan. Dua pasang mata bertentang. Mata Umi yang bersinar sambil tersenyum nampak begitu tulus dipandangan Mas.
"Mas benci dia Umi. Sungguh benci!" tangan Mas sudah dicapai lalu digenggam erat Umi. Kepala sudah digelengkan perlahan.
"Jangan membenci sesama manusia Mas. Kita tidak diajar sebegitu. Bersyukurlah pada-Nya yang memberi petunjuk pada Mas sebelum jauh melangkah songsang. Sebelum jauh terlanjur. Nauzubillah."
"kenapa Tuhan buat Mas macam ni Umi. Kenapa mesti Tuhan temukan Mas dengan dia kalau memang Tuhan tahu dia itu memang tidak pernah berniat ikhlas pada Mas. Kenapa mesti Tuhan biarkan dia terus-terusan mengambil kesempatan pada diri Mas . Apa salah Mas, Umi?"
Sungguh. Persoalan itu seringkali menghantui dirinya saban waktu. Kenapa mesti dirinya dipertemukan dengan Adli kalau memang Dia sudah tahu niat dihati lelaki itu. Wajarkah dirinya yang langsung tidak tahu apa-apa permainan yang sudah dirangka lelaki itu terus dibiarkan tanpa diberikan amaran awal. Adakah Tuhan mahu menghukum dirinya? tapi apa dosanya pada lelaki itu sedangkan dari mula diri dan hatinya benar-benar ikhlas atas nama perhubungan yang suci. Langsung tidak terduga Adli rupanya lelaki yang hanya mahu mengambil kesempatan terhadap dirinya yang lemah. Dirinya hanya satu persinggahan sementara buat Adli sedangkan lelaki itu sudah ada destinasi didalam hidupnya.
"Mas...Mas percaya pada rukun iman bukan?" kepala diangguk perlahan. Senyuman Umi dihadapan masih tersimpul rapi. Mendamaikan mata yang memandang.
"tiap apa yang berlaku pada diri kita ini, tak kira perkara baik atau sebaliknya memang tersimpan hikmah yang tidak ternilai tanpa kita sedari Mas. Allah maha mengetahui apa yang dilakukan pada hamba-hambanya. Allah maha arif tentang apa yang terbaik buat diri hamba-hambanya. Mas..." Umi dilihat menghela nafas perlahan-lahan. Bahu Mas sudah dipaut erat. Rambutnya yang panjang mencecah bahu dielus lembut oleh jari-jemari Umi.

"kita ni sentiasa diuji didalam kehidupan di dunia. Ujian yang diberi oleh-Nya akan mematangkan diri kita Mas. Ujian itu akan lebih memberi keinsafan pada diri kita. Apa yang terjadi pada Mas adalah satu ujian dari-Nya. Ujian untuk melihat setakat mana kasih dan cintanya Mas pada-Nya. Setakat mana Mas bersyukur pada-Nya. "

"maksud Umi?"

"Rasa kasih dan cinta itu tidak salah. Memang itu kurnia dari Allah. Manusia sahaja yang tersalah menafsir lalu menjebakkan diri pada rasa cinta yang salah. Kita bukankah diberi akal dan iman Mas?, kemana akal itu kita gunakan kala berdepan amukan rasa cinta. Kemana perginya benteng iman itu kala diterjah taufan cinta nan menggila ini. Cinta pada-Nya dahulu Mas, barulah cinta pada yang lain, insyaallah kita tidak akan tersesat haluan. Malah limpahan nikmat kesyukuran akan lebih terasa."

Mata dipejamkan rapat. Hati makin hiba. Sungguhlah dia selama ini lalai pada keasyikan cinta yang sementara. Cinta yang tiada kepastian. Cinta yang tiada penghujungnya. Cinta yang bersifat keduniaan semata-mata. Cinta palsu. Cinta yang penuh tipu daya. Cinta yang penuh kelicikan, kerakusan. Cinta yang sia-sia!

"umi..." Sekali lagi dua pasang mata itu bertemu.

"adakah ini hukuman Allah atas kelalaian Mas?" gelengan lembut terpamer dihadapan matanya.

"bukankah ini makna Allah sangat sayangkan Mas?, Hijab di mata Mas sudah dibuka untuk melihat kebenaran siapa sebenarnya Adli. Diri Mas dipelihara dari terjerumus diseret pujukan dan rayuan Adli untuk jatuh ke lembah maksiat. Ditiupkan rasa kesedihan dihati Mas agar Mas sedar akan hakikat sebenar hubungan yang sia-sia ini. Dibangkitkan rasa malu agar Mas tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi. Allah sangat-sangat sayangkan Mas. Percayalah!"

Sungguhlah kebenaran itu adakalanya amat pahit untuk ditelan. Biar dicuba beratus kali untuk mengusir rasa itu pergi, ia tetap hadir juga diminda. Ia tetap juga terlayar diruang mata. ia tetap juga terdetik di hati. Kasih yang pernah disulam manakan mungkin terlerai benang cintanya dengan sekelip mata. Dirinya akur, dia cuma manusia biasa. Manusia yang lahir dengan pakej yang penuh kelemahan dan kekhilafan.

Ya Tuhan, kuatkan diriku. Kuatkan semangatku. Teguhkan imanku. Teguhkan jiwaku. Kalaulah ini jalan yang terbaik buatku, pimpinlah tanganku ini ke landasanmu. Kalaulah ini pilihanmu yang terbaik buat diriku, aku redha tuhanku...

Adli, kalaulah aku tahu...Aku tidak akan membenci dirimu. Tidak akan mendendamimu. Tidak akan membalas perbuatanmu. Biarlah apa sahaja yang pernah kau lakukan atas diri aku yang bodoh ini diadili oleh-Nya.

Kalaulah kau juga tahu Dia itu ada untuk melihat segala kelicikan dan tipu daya kau selama ini atas aku yang lemah ini pastinya kau tahu Dia tidak akan sesekali melepaskanmu...tunggu sahajalah balasan dari-Nya!

Kalaulah kau tahu Adli betapa benar kasihnya aku padamu, akan tergamakkah kau lakukan ini padaku...

Kalaulah kau tahu Adli...kalaulah...

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...