Wednesday, October 9, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Saktinya - Bab 6


Bab 6
"KENAPA DADDY NI ASYIK SENYUM -SENYUM AJE DARI TADI?"
    Fazwan terus menjuring senyum seraya mengelus lembut rambut panjang Dian yang kemas diiikat tocang ekor kuda. Mata menjunam ke tubuh kecil disebelah yang bersandar penuh manja bertiangkan lengan sasa Fazwan.
    "Iye ker daddy asyik senyum dari tadi? Are sure sweetheart?"
    Dian angguk. Penuh tulus. Matanya yang bersinar menghumban tatap merenung Fazwan.
    "Dian nampak daddy senyum aje dari kita masuk dalam kereta tadi. Daddy boleh tanya uncle Mat kalau tak percaya apa Dian cakap. Uncle Mat pun nampak kan daddy senyum banyak dari tadi?" Dian hala mata ke depan. Susuk belakang tubuh lelaki yang juga pemandu peribadi daddy yang dipanggil uncle Mat dipandang. Ahmad kerling mata ke cermin pandang belakang memandang Dian yang sedang mencari wajah Mat di cermin. Ahmad tayang sengih. Bukan dia tidak perasan air muka lelaki yang bergelar ketuanya sejak dia bertugas di MSF Industries Group of Companies. Lelaki penuh karisma yang begitu dikagumi kerana sikap tenang dan penuh hormat pada sesiapa juga tidak kira latar dan keturunan.
    "Daddy Dian tu ada lah yang tengah dia fikir tu. Uncle Mat rasakan mesti ada cerita best tu, Dian. Cuba Dian tanya daddy tengah ingatkan siapa. Mana tau daddy tengah ingatkan girlfriend daddy ker. Tu yang daddy senyum banyak-banyak dari tadi." 
     Dian kerut dahi. Tubuh uncle Mat yang membelakanginya dipandang lagi sebelum berkalih ke wajah daddy disebelah.
    "Daddy ada girlfriend? Daddy tengah ingat girlfriend, daddy? Betul ker daddy macam uncle  Mat cakap tu? Kenapa Dian tak tau pun daddy ada girlfriend?” Mata Dian terus takzim memanah terus renungan tidak berkelip ke wajah daddynya yang tenang bersandar di sebelah. “Sebab tu daddy senyum banyak? Iye ke daddy? Daddy tak nak bawak Dian jumpa girlfriend daddy? Mama tau tak? Papa?" Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut mungil Dian yang sedang memanah pandangan ke wajahnya membuatkan Fazwan gagal menahan senyum. Kepala digeleng. Ketawa laju terluncur. Kepala dan pipi mulus Dian diusap lembut. Ahmad yang mendengar pertanyaan spontan Dian turut ketawa. Mengerling sekilas memandang wajah penuh tanda tanya Dian sebelum kembali memokus tumpuan ke hadapan. Fazwan hela nafas lembut. Kata-kata spontan Dian masih terngiang ditelinga. 
    "Dian tak suka ke tengok daddy senyum,hmmm?"
    Dian geleng laju. Senyum manis dari bibir mungilnya turut terlempar berpadu dengan hamparan senyum dari bibir Fazwan. "Tak. Dian suka laa tengok daddy senyum. I love your smile very much, daddy. Daddy kan handsome banyak kalau senyum. Mama selalu cakap macam tu. Papa pun cakap macam tu jugak. Tapi sekarang ni daddy senyum lebih banyak dari selalu. Tak macam senyum hari-hari yang Dian selalu tengok tu. Daddy senyum lebih macam ni sebab Daddy ingat girlfriend daddy ye. Betul kan daddy. Betulkan uncle Mat?" Senyum di bibir Dian terus mekar. Kembali tubuh disandarkan ke lengan Fazwan.
    Ketawa Ahmad berderai. Bergema.
            "Betul betul betul. Dian memang pandai lah. Tu uncle Mat sayang sangat kat Dian yang bijak dan comel macam anak patung ni."
    Ketawa Fazwan terluncur lagi.
    "Awak ni Mat tak sudah mengusik saya. Tengok, awak dah buat anak saya yang comel ni salah faham. Kesian kat Dian. Dia ingat betul-betullah daddy dia tengah ingatkan girlfriend" Tangan Fazwan terus mengelus kepala Dian yang sudah enak bersandar di sisi.
    "Kalau betul apa salahnyer, boss. Saya buat kenduri doa selamat, boss. Saya mintak isteri saya masak pulut kuning dengan rendang ayam sedekah kat jemaah masjid. Mana tau berkat, tahun depan boss saya yang super handsome ni naik pelamin. Allah. Amin amin. Syukur Alhamdulillah." Ahmad raup sebelah tangan ke wajah. Fazwan senyum seraya menggeleng kepala. Arif benar dengan sikap pemandu peribadinya ini yang suka mengusiknya daripada dahulu.
    "Uncle Mat tu suka bergurau. Daddy mana ada girlfriend, sayang. Girlfriend daddy kan Dian. Right, sweetheart?" Dian yang mendongakkan wajah tayang senyum manis. “Dian mana boleh jadi girlfriend daddy. Dian kan kecik lagi.” Fazwan tersenyum. Pipi mulus Dian dielus. "Daddy senyum banyak tadi sebab seronok tengok Dian happy dapat the barbie doll new collection yang Dian nak sangat tu. Dian happy kan,hmmm?" Dian mengangguk polos.
    "Daddy.."
    "Yes sweetheart."
    "Kenapa daddy tak ada girlfriend besar macam mama? Daddy kan baik. Daddy kan handsome. Kan uncle Mat?"
    Fazwan ketawa kecil. Mata dihala ke wajah mulus Dian yang polos bertanya penuh tulus.     Ahmad yang mendengar pertanyaaan Dian tenang memandu. Memang dia tahu lelaki penuh karisma yang menjadi ketuanya ini masih tidak punya teman istimewa hingga kini. Hidupnya hanya pejabat, rumah dan Dian. Cerita yang dia pernah dengar dari kakitangan pejabat waktu mula berkerja dahulu sejak lamaran ketuanya ini ditolak seseorang dahulu, hingga kini Fazwan belum lagi menemui pengganti. Bukan tiada yang mendekati, tapi tak satupun yang mampu mencuri hati lelaki yang penuh berkarisma dan hebat ini. Ahmad toleh ke arah cermin pandang belakang.
    "Dian.."
     Dian yang bersandar pantas mengangkat kepala. "Yes uncle Mat."
    "Dian boleh tolong uncle Mat tak?"
     Kepala Dian jujur mengangguk. Fazwan geleng kepala. Mat..Mat.     
   "Dian carilah girlfriend besar untuk daddy Dian yang super handsome ni. Dian kan budak pandai. Mesti Dian boleh carikan daddy girlfriend besar yang cantik dan baik macam daddy. Barulah sepadan dengan daddy Dian.”
“Uncle Mat tak boleh carikan daddy girlfriend besar?”
“ Uncle Mat tak ada kawan perempuan cantik nak kenalkan kat daddy Dian."
"Teacher Aida yang makan dengan kita tadi tu daddy nak tak. Dian suka kalau teacher Aida jadi girlfriend daddy. Teacher Aida cantik. Teacher Aida baik. Dian boleh cakap pada teacher Aida daddy nak teacher Aida jadi girlfriend daddy. Daddy nak Dian cakap macam tu kat teacher Aida tomorrow?"
Fazwan menjuring senyum ke wajah mulus Dian. Perlahan diangkat wajah. Dihantar renung ke luar tingkap. Tangan lembut mengusap kepala Dian. Kenangan bertembung dengan Aida tadi kembali berlegar di kotak ingatan. Wajah indah bertudung hitam yang menghantar senyuman manis  itu terlayar dimata. Mereka berbalas senyum. Dian laju menerpa sang rupawan yang bagaikan cukup intim dengan buah hatinya itu. Fazwan jadi terpegun dengan aksi kedua-duanya yang nampak akrab benar. Jauh disudut hati ada rasa yang mengetuk lantai jiwa. Tanpa sedar bibir lebar mengukir senyum. Segalanya kembali menari di lantai ingatan.  Ingatan tentang bual bicara ringkas mereka sebelum Dian laju mengheret tangan Aida masuk kedalam restoran makanan segera bersebelahan tempat mereka berempat berdiri. Fazwan hela nafas.  Kotak ingatan berputar lagi. Berganti pula dengan seraut wajah yang satu lagi. Merenung Fazwan sejak mula. Tidak berganjak bebola yang sepasang itu memandangnya. Akal sudah  menberitahu isyarat bahawa gerangan lelaki ini pastinya punya hubungan istimewa dengan Aida  kala mata melihat tubuh kekar itu rapat disisi Aida dengan erat tangan memaut bahunya. Namun hati seakan tidak membenarkan apa juga yang disampaikan akal. Benarkah begitu? Sungguhkah dia itu seseorang yang istimewa pada Aida? Dan segalanya terjawab kala bibir indah itu membuka bicara. Sukar sekali difahami kenapa ada semacam satu letus rasa kelegaan yang teramat kala kata-kata itu terlantun. Mengapa mesti rasa itu menghantar isyarat ke jiwa?
           
“ENCIK FAZWAN, KENALKAN…ini abang saya, Affendi.” Fazwan hulur tangan bersama senyum damai. “Assalamualaikum. Saya Fazwan Anuar.” Senyum masih penuh diwajah memandang lelaki berkulit kuning langsat yang berdiri tegap disebelah Aida. Jabat bersambut. Pautan padu jari-jemari lelaki dihadapannya ini begitu dirasai. Hati berbisik. Tenang FA. Mata bersalut bingkai Eco 2.0 damai menghulur tatap ke wajah serius didepan. 
            . “Dian..” Fazwan usap kepala Dian disisi. “ salam uncle, sayang.” Dian akur. Tangan halus dihulur memaut huluran tangan Affendi yang tunak memandang. Dua bibir mengukir senyum.“Assalamualaikum, uncle. Nama saya Dian Khalisya. Ni daddy Dian. Daddy Dian handsome kan.” Aida senyum dengan kata-kata Dian yang comel. Affendi dilihat Fazwan turut tersenyum sambil megelus pipi Dian. Mata itu kembali dihala kearah Fazwan dihadapan. Renungan Affendi cukup disedari Fazwan. Hati dibawa bertenang.  
            “Encik Fazwan dari mana ni?” Aida memecah sesi saling memandang antara Fazwan dan Affendi yang membuat detik saat seakan terhenti. Fazwan yakin pasti si cantik ini cukup sedar akan tatap renung abangnya yang tidak lepas ke wajah Fazwan dari awal mula mereka bertegur tadi. Bahu Aida dilihat makin erat dipaut Affendi. Fazwan tenang menghulur senyum ke wajah serba-salah Aida sebelum mata menjunam ke arah Dian yang erat menggenggam jari-jemari Aida.
            “Saya bawa Dian beli new collection Barbie doll dia. Tu yang kat tangan dia tu Aida  nampak?.” Aida jengok ke arah beg merah jambu yang dijinjit Dian. Ketawa kecil Aida terluncur manis. “Oo..dah dapatlah ye apa yang Dian nak ni,hmmm.” Dian laju menggangguk kepala sambil menjuring senyum lebar. “Daddy yang belikan untuk Dian, teacher Aida. Kan daddy?” Fazwan senyum. Kepala diangguk. Mata bertembung sekilas dengan tatap tidak berkalih Affendi yang masih takzim memandangnya daripada tadi. Fazwan masih tenang menghulur wajah damai sebelum kembali menghulur tatap ke arah Aida. “Daripada malam tadi dia tuntut dengan saya, Aida. Telefon saya banyak kali. Pujuk saya belikan. Mama dia memang takkan mudah-mudah nak belikan untuk dia. Dia memang tahu sangat kalau dengan saya dia mesti dapat. Saya memang akan kalah dengan cakap dia.” Aida senyum mendengar kata-kata Fazwan. Wajah tampan penuh berkarisma didepannya ini dipandang. Hati mengukir senyum. Beruntungnya Dian punya daddy macam encik Fazwan. Pasti mama Dian pun bahagia punya suami sebaik encik Fazwan juga. Betapa bertuahnya Dian dan mama Dian kan.
            Aida elus lagi pipi mulus Dian yang masih erat memaut jar-jemarinya.“Iye ke mama taknak belikan untuk Dian, sayang?”
            “Ha’ah. Mama taknak belikan Dian pun masa Dian keluar dengan mama last weekend. Masa tu Dian dah nampak new collection tu kat kedai sana tu.” Telunjuk Dian lulus menghala ke premis Barbie didepan. “ Tapi mama cakap Dian kena sabar. Mama cakap nanti aje mama belikan. Itupun kalau Dian jadi budak baik. Tak boleh naughty. ”
            Aida senyum. Pipi gebu Dian dielus.” Mama Dian cakap betul, sayang. Kita memang kena belajar sabar bila mahukan sesuatu. Sabar tu ada banyak kebaikkannya.”
            “Dian faham apa mama cakap tu tapi teacher Aida kalau Dian tak suruh daddy beli hari ni, nanti new collection tu dah habis budak-budak lain beli. Nanti Dian tak dapatlah barbie doll new collection tu.”
            Aida senyum. “Tak dapat pun tak apa. Dian pun dah cantik sangat macam barbie doll tau. Lagi cantik daripada barbie doll.”
            Dian geleng. Laju.
            “Dian bukan barbie doll laa teacher Aida. Mama yang macam barbie doll. Mama Dian cantik sangat macam barbie doll. Papa Dian pun cakap macam tu. Mama Dian is a barbie doll. Kalau teacher Aida tak percaya boleh tanya daddy. Daddy pun cakap mama Dian memang orang panggil barbie doll sebab mama cantik sangat macam barbie doll.” Aida angguk. Mata bertemu pandang dengan pandangan Fazwan. Aida lempar senyum.
            “Isteri mana? Apsal tak ikut sama keluar beli barang untuk anak?”
            Fazwan hala mata ke wajah disebelah Aida. Senyum diukir. Dibiarkan soalan itu tidak bernoktah. Aida dilihat cuba mengorak senyum. Mungkin serba-salah dengan pertanyaan Affendi.
            Jeda.
            “Teacher Aida jom lah kita makan burger. Daddy dah janji nak bawak Dian makan burger. Nanti daddy boleh belikan burger untuk teacher Aida dengan uncle. Kan daddy? Bolehkan daddy kita makan burger dengan teacher Aida dan uncle?” Suara Dian memecah khali yang tercipta.
            Fazwan senyum. Angguk.
            “Boleh sayang.”
            “Yes!!!!”Jerit Dian menjalar. Luas memenuhi ruang yang sepi. “Jom teacher Aida. Jom kita order burger. Dian nak makan dua burger.” Tangan Aida sudah laju diseret Dian ke dalam premis makanan segera bersebelahan mereka. Aida dilihat Fazwan patuh dan akur sahaja mengekor langkah laju Dian sambil memandang ke belakang. Mencari jawapan di wajah Affendi. Dua wajah yang tertinggal dibelakang saling berpandangan. Fazwan  senyum seraya mengangguk kepala. Tapak tangan dibentang ke depan. Isyarat mempersilakan lelaki dihadapannya untuk melangkah dahulu. Dua langkah saling beriringan.
           
“Kau dah lama kenal Aida?” Fazwan yang sedang membuka balutan burger untuk Dian terhenti seketika. Senyum masih utuh dibibir.  Burger dihulur pada Dian seraya ucapan basmallah.
            “Abang….ni encik Fazwan kan. ”
            Fazwan senyum. Wajah serba-salah Aida jelas dimata. “Tak apa , Aida. Tu..burger kat depan…makanlah,nanti sejuk tak sedap. Hmmm.”
            Hela nafas perlahan Fazwan terluncur. “Tak sampai seminggu. Right. Aida?”
            “Err..ye…ye, encik Fazwan.” Aida dilihat Fazwan yang masih tidak menyentuh makanan didepan. Fazwan capai gelas milo milik Dian. Disua ke bibir. Disedut perlahan usai basmallah terlafaz.
            “Kau dah kahwin kan?”
            “Abang!” Aida dilihat menoleh ke wajah Affendi yang masih memanah renung ke arah Fazwan. Affendi kerling ke arah Aida yang memaut lengannya. Seakan memberi isyarat untuk dia berhenti merangkai bicara. “Biar abang cakap dengan lelaki ni. Aida nak kena macam dulu lagi. Tak serik-serik?” Affendi hulur tatap ke arah Fazwan kembali. “Aku nak cakap satu dengan kau.”
            “Abang..apa abang buat ni.”Aida geleng kepala. Jelas dimata Fazwan akan wajah Aida yang terkejut dengan perbuatan Affendi. Aida hala bebola mata ke arah Fazwan “ Encik Fazwan saya minta maaf bagi pihak abang saya.”
            Fazwan angguk. Senyum masih dipasak dibibir. Dian yang tidak mengetahui apa yang berlaku rancak menikmati hidangan. “Tak apa, Aida. Biar abang Aida cakap dulu apa yang dia nak cakap pada saya,hmmm.”
            Affendi terus memanah renung ke arah Fazwan.“Jangan dekat dengan Aida. Jangan dekat dengan adik aku kalau kau ada niat apa-apa pada dia. Aku takkan benarkan.  Jangan gunakan sikap nampak baik kau ni untuk pikat dia. Aku taknak dia kecewa lagi. Aku taknak dia ditindas lagi dek lelaki yang suka ambil kesempatan atas kebaikkan dia. Aida ni jenis baik teramat sangat dengan sesiapapun. Aku cukup kenal siapa adik bongsu aku. Aku taknak dia ulang sejarah bodoh dia dulu. Kau jaga sahaja diri dan keluarga kau. Takkan kau nak anak kau yang comel ni…” Fazwan perasan Affendi hala bebola mata ke arah Dian yang tekun mengunyah kentang usai menghabis sebiji burger sambil menghulur kentang ke mulut Fazwan. Mulut dibuka, kentang meluncur masuk. Dikunyah perlahan dengan senyum dihala kearah Dian. Kepala Dian diusap lembut.  Aida dilihat Fazwan mengetap bibir seraya menundukkan kepala. Mungkin tidak menyangka layanan Affendi.Mata Dian yang memandang orang yang lalu-lalang diluar menjadi tumpuan tiga pasang mata.”nak beribu tiri sedangkan mak dia masih ada dan masih isteri kau. Jangan buat apa yang kau tak mampu. Dan kalau kau mampu pun aku takkan benarkan. Kau faham?” Aida dilihat Fazwan hanya menggelengkan kepala.
            Fazwan usap lembut kepala Dian.
            “Dia takkan beribu tiri. Itu saya pasti, encik Affendi. Dian dah ada keluarga yang sempurna.” Mata Fazwan hala ke wajah Aida yang sedang tunak memandang kearahnya. Senyum dibentang ke wajah mulus yang jelas seakan mahu menangis. Mungkin tidak menyangka selancang itu sikap abangnya terhadap Fazwan.
            “Baguslah kalau kau fikir begitu. Adik aku ni bukan mainan lelaki-lelaki kaya yang macam kau. Lelaki yang nampak luar baik tapi belum tentu dalamnya baik.”
            “Abang…sudahlah. Jangan cakap macam ni. Encik Fazwan tak buat apa-apa pun pada Aida. Kan Aida dah cakap tadi Aida kan bekerja di tadika tempat encik Fazwan ni hantar anak dia. Itu sahaja.”
            “Aku rasa elok kau dan anak kau balik aje. Ingat pesanan aku tadi. Aku takkan teragak-agak bertindak kalau kau cuba langgar pesanan aku tadi.”
            “Abang!!”
            Fazwan angguk.”Tak apa , Aida. Come sweetheart kita balik,hmmm. Teacher Aida ada hal dengan uncle.” Dian yang dilihat Fazwan terkebil-kebil melihat apa yang terjadi hanya menurut.  Tangan Fazwan dicapai.
            “Salam teacher Aida, uncle.” Dian Menurut. Aida kemam bibir dalam huluran tangan yang disua. Affendi tidak mempamerkan apa-apa reaksi. Huluran tangan Dian disambut. Fazwan hulur tangan ke arah Affendi. Berjabat. Kepala diangguk. Senyum tanda hormat tetap disua. Dua tubuh sudah berdiri tegak disisi meja. Tangan Dian erat menggenggam jari-jemari Fazwan.
“Encik Affendi…” Fazwan hulur tatap ke wajah lelaki yang duduk disisi Aida. “Kalau Allah dan tentukan jodoh saya dengan adik encik Affendi ini sudah tertulis sejak di lofmahfuz, siapalah yang mampu menghalang. Urusan jodoh ini ditangan Dia encik Affendi. Saya balik dulu. Saya balik dulu, Aida. Assalamualaikum.”
Fazwan hela nafas. Dian yang sudah tertidur disisi ditatap.  Wajah Aida dan Affendi kembali terlayar dimata. Silih berganti. Berkali-kali. Senyum terukir sambil kepala menggeleng. Affendi..Affendi.  

5 comments:

madame iu said...

i like...i like...cepat sambung lg

zoora said...

aduhai, bercelaru jiwa bace ni cik kucc...best!!!

Anonymous said...

Aduh. Sambung lg.

Kak Sue said...

betul tu siapa kita yang nak tentukan JODOH orang lain.... FA memang cool macam Papa Ben juga... sesuai dgn Aida yang macam Siti (NLBB) .... mesti sweetttt...

miss nina said...

protective sungguh affendi. aida dah serba salah :), tak lama lagi terlerailah kemelut kisah papa dan mama dian. mana uncle Jo?

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...