Thursday, October 17, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Saktinya - Bab 7

Bab 7

AIDA RAUP WAJAH. LAMA BERTELEKU SEBELUM TANGAN DILEPASKAN BERLABUH KE RIBA. HELA NAFAS berdesir perlahan. Ada rasa yang maha berat dan dalam sedang tersangkut di lohong kerongkong. Rasa yang dicerut kuat dari terlontar kala hangat suara lelaki didepannya ini seketika tadi membadai sinis kalamnya pada insan yang Aida sungguh tahu tidak bersalah apa-apa. Suasana didalam premis makanan segera yang sedikit lengang dikerling seketika. Mata jatuh lagi ke wajah didepan yang rancak mengunyah roti berlapis daging. Langsung tidak terkesan dengan barisan kalam tajam yang dituturkan sebentar tadi. Aida geleng kepala. 
     "Abang Chik..."
     Affendi angkat kening. Mulut masih takzim mengunyah. 
     "Usu nak tanya ni.."
    Affendi hanya hala angguk kepala.
     "Kenapa abang chik cakap kasar macam tu kat encik Fazwan? Tak baik kan buat macam tu. Dia tak buat salah apa-apa pun pada abang chik....pada usu. Usu malu dengan apa yang abang chik dah buat tadi." Aida hembus nafas perlahan sekali lagi. Dilontar kembali tatap mata ke wajah Affendi didepan. Rasa yang disimpan tadi dilepaskan lagi. " Mak dengan arwah ayah tak pernah ajar kita kurang ajar dengan orang macam tu." 
    Affendi lepas burger yang sudah tiga perempat dimamah. Diletakkan kembali lebihan burger ditangan ke hamparan kertas pembalut. Wajah putih mulus adik bongsu ditatap.
    "Abang Chik taknak usu terkena lagi macam dulu. Tak ingat apa yang dah si bangsat Razman tu buat pada usu. Lelaki tadi tu...dia lelaki...abang chik pun lelaki. Cara dia pandang, cara dia tengok usu abang chik tau dia ada niat tak baik pada usu. Mesti dia nak pikat usu. Maklumlah adik abang chik ni kan cantik."
     Aida geleng kepala. Lafaz istighfar serentak teralun.
    "Abang Chik...encik Fazwan tu suami orang.  Tengok mulut usu ni.." Aida hala telunjuk ke bibir.  Ditentang mata ke wajah didepan. " s-u-a-m-i-o-r-a-n-g. Abang chik tengok dan dengar kan tadi dia cakap bawak anak dia yang belajar kat tadika tempat usu kerja tu pergi shopping."Renungan Aida masih takzim ke wajah didepan. Sungguh dia kecewa dengan apa yang dilakukan abangnya ini tadi terhadap Fazwan. Entah apa agaknya tanggapan lelaki budiaman itu terhadap Aida. Hati benar-benar berdendang rentak gusar." Tak baik abang chik fikir buruk pada encik Fazwan sampai macam tu. Tak pernah pun dia ada tunjuk perangai nak pikat usu selama usu kerja kat tadika tu. Dia lelaki yang baik, abang chik.  Suami yang baik. Ayah yang baik. Hati usu boleh rasa dia lelaki begitu. Apa yang mata usu tengok selama nampak dia jemput anak dia kat tadika, dia memang lelaki yang baik. Abang chik rasa lelaki yang penyayang macam tu kat keluarga dia akan sanggup ke buat aniaya kat isteri dan anak dia. Berdosa tau abang chik bersangka buruk pada orang sedangkan hakikatnya abang chik sendiri tak kenal benar siapa encik Fazwan tu." Aida lepas nafas. Bungkus burger didepan langsung tidak disentuh. Seleranya sudah direntap dek apa yang berlaku tadi.
    Affendi sapu dua tapak tangan. Deheman kecil terlontar. Aida dilihat tidak berkalih pandang. Affendi tau ada rasa yang terbuku dihati adik bongsunya ini. Hati emlakar senyum. Bekas air berkarbonat didepan dicapai lalu disua ke bibir. Disedut rakus. Mata yang bak helang itu dihala lagi ke wajah adik bongsunya ini. Fikiran melayang mengingati pesan mak tentang Aida terhadapnya. Adik yang diamanahkan oleh mak mereka untuk dijaga sebaiknya selepas mak bersetuju membenarkan adiknya ini berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut Fyza. Affendi tahu walau berat hati mak mereka mahu melepaskan Aida ke Kuala Lumpur namun demi mengurangkan dan menghentikan cakap-cakap buruk yang penuh prasangka orang kampung terhadap Aida kesan perkahwinan Razman maka mak mereka merelakan juga Fyza membawa Aida keluar dari jagaan mak selama. Razman. Mengingati sebaris nama itu hati lelaki Affendi meletus gunung amarah yang tidak terkira. Jika tidak kerana janjinya pada mak, sudah lama dijejak kaki ke kampung seberang waktu itu. Mahu diseret lelaki itu turun dari rumah. Mahu dibuat perhitungan terhadap lelaki tu. Mahu ditanya mana janji lelaki itu terhadap adiknya selama ini. Bukan Affendi tidak tahu banyaknya pengorbanan yang Aida lakukan demi memastikan lelaki ini dapat menamatkan pengajiannya tanpa perlu memikirkan sangat soal kesempitan wang. Sungguh tidak disangka lelaki yang cukup dikenali daripada zaman sekolah dan disangka baik itu sanggup memperlakukan Aida sebegini. Bukan Affendi tidak tahu betapa terlukanya Aida kesan perbuatan Razman namun bak kata mak, Aida tidak pernah mahu menzahirkan perasaannya. Segalanya disimpan kejap di lubuk hati.Dikunci ketat. Mak mereka sungguh tahu apa yang tersimpan dihati Aida kesan daripada perkahwinan Razman. Walau bibirnya tidak menuturkan, raut wajahnya yang bak kembang yang menanti cahaya mentari cukup menceritakan segala yang tertulis di hati adik bongsunya ini. Affendi juga tahu bukan salah adik bongsunya ini si Razman keparat itu berkahwin dengan gadis lain secara tiba-tiba. Affendi tahu dan kenal benar adiknya ini. Adiknya ini tidak bersalah apa-apa selama ini terhadap Razman. Lelaki keparat itu yang menganiaya Aida. Sungguh Allah itu maha kaya dan maha adil. Jika tidak kerana mahu menghantar tempahan baju kurung yang dijahit ke rumah jiran di kampung seberang, pasti Aida tidak akan tahu sampai bila-bila yang Razman keparat tu sedang bergembira mengatur majlis perkahwinannya dengan gadis yang sama-sama menuntut dengannya di universiti.
    "Usu ni lurus tau tak. Usu tak tahu niat orang pada usu. Ni bandar usu...bandar besar. Bukan kampung. Usu kena ingat tu. Kena lebih berhati-hati. Orang jual orang pun ada di bandar besar ni usu. Abang chik tak boleh nak pergi rumah Fyza selalu. Nanti apa jiran-jiran cakap. "
    "Insya Allah. Usu tahu jaga diri abang chik. Allah ada. Itu dah cukup."
    Affendi angguk. "Abang chik tak nafikan tu tapi apa-apa pun usu kena tau sesuatu. Ni fakta. Lelaki kaya ni usu, muslihatnya banyak."
   Aida geleng kepala. 
   "Tak baik buruk sangka kat orang macam tu lah abang chik. Encik Fazwan tu baik orangnya. Ayah yang baik. Tentu dia sayangkan isteri dia jugak." 
   Affendi ketawa kecil sambil menggelengkan kepala.
  "Usu ni belum kenal mainan orang lelaki. Usu tu naif sangat. Usu tu stok awek baik-baik tau tak." Aida cebik. Affendi ketawa kecil. "Ingat pesan abang chik ni selalu. Tanam dalam kepala. Semai dalam hati. Jangan tertipu dengan apa yang terhidang depan mata. Lelaki ni boleh bertukar rupa macam-macam, Usu. Lagi-lagi lelaki di bandar. Abang chik taknak usu tertipu lagi dengan "Razman" yang lain di sini."
  Aida kemam bibir. Sebaris nama yang terluncur dari bibir Affendi itu meniti fikiran. Hati dihentak batu kenangan yang maha berat. Dikelip mata memandang ke arah Affendi yang menjunam tatap ke wajahnya. Tatap yang melayangkan jiwa pada sebuah kisah. Kisah yang maha pahit.

"TEACHER AIDA..NI LAH MAMA DIAN. CANTIK TAK MAMA DIAN?" tangan si comel  Dian Khalisha yang dipimpin wanita penuh anggun yang menyarung sepersalinan kurung sutera biru langit ditatap. Senyum manis tertebar namun mata Aida tidak berkelip memandang seraut wajah jelita yang sungguh cantik bertudung warna serona. Subhanallah. Ini agaknya isteri dia. Cantiknya isteri encik Fazwan. Dian sudah berlari masuk usai melambai pada Qistina. 
   Qistina hulur tangan sambil menggelengkan kepala melihat telatah Dian yang ternyata mahu menyertai kawan-kawannya yang rancak bermain di buaian. Aida turut memandang sambil tersenyum. Kembali wajah dihala ke arah wanita jelita yang berdiri didepannya ketika ini.
   "Qistina. Cikgu boleh panggil saya Qis sahaja ye." Aida menyambut tenang. "Saya Aida, puan. Saya rasa elok saya panggil puan  Qis. Lebih baik dan lebih sesuai kan. Kami kena tunjukkan contoh baik pada anak-anak yang belajar di sini."Qistina dilihat mengangguk." Tapi puan Qis boleh panggil saya Aida sahaja. Tak perlulah bercikgu-cikgu. Cukuplah anak-anak disini sahaja yang panggil saya begitu." Dua bibir melakar senyum. Mata Aida masih tidak berkalih memandang makhluk didepannya ini. Rasa kagum yang sukar diterjemahkan dengan baris kalam. Qistina. Nama secantik orangnya. Pandainya encik Fazwan pilih isteri. Dah la cantik sungguh-sungguh. Nama pun cantik sama. Subhanallah.

     "Aida cikgu baharu disini ye. Saya tak pernah nampak sebelum ni."
    Aida angguk. Senyum. 
    "Ya puan Qis. Baru seminggu saya bekerja disini."
    Qistina angguk.
   "Dulu Aida kerja di mana?"
    Aida senyum lagi.
   "Saya duduk kat kampung je puan. Tolong mak saya kat bengkel jahitan dia sambil jaga anak-anak buah. Memang lepas sekolah menengah saya tolong mak. Keputusan periksa pun tak bagus kan. Tak dapat nak sambung mana-mana. Cuma bila ada kawan baik disekolah yang duduk di Kuala Lumpur ajak saya duduk dengan dia dan janji akan tolong saya cari kerja di Kuala Lumpur, mak izinkan saya pergi." Aida senyum segaris. Tidak mahu diceritakan kisah disebalik penghijrahannya ke Kuala Lumpur ini. Biarlah hanya dia, Fyza dan Affendi yang tahu. Tidak perlu diuar-uarkan kepada orang lain. Tiada orang yang dapat merasai apa yang dirasainya selama ini. Biarlah hanya dia sahaja yang tahu segala rasa itu. Biarlah hanya padaNya dikhabarkan dan dikongsikan rasa itu.
 Qistina angguk sambil mata menyusuri wajah cantik mulus didepan. Hmmm...patutlah abang wan suka sangat nak hantar dan ambil Dian. Ada bunga cantik rupanya di sini. Qistina senyum dalam hati. Abang wan..abang wan.   
  "Saya tak pernah nampak puan selama saya bekerja disini. Yang selalu datang dan yang selalu saya jumpa cuma daddy Dian, encik Fazwan. Hairan juga saya kenapa encik Fazwan tak hantar Dian hari ini macam selalu." Dalam hati Aida tertanya dan rasa gusar jika disebabkan tindakan dan amaran Affendi membuatkan lelaki itu tidak datang lagi menghantar dan menjemput Dian seperti selalu. Abang chik laa ni punya pasal. Mulut tak reti yang cakap elok-elok kat orang. Kan usu dah susah hati. Kan usu dah tak boleh nak minta maaf kat encik Fazwan. Hati kecil Aida kuat merasakan mesti Fazwan terasa dengan kata-kata sinis Affendi semalam lalu memutuskan untuk tidak akan muncul lagi disini. 
  Qistina senyum. Ada sesuatu yang singgah difikiran. Abang wan..someone is missing you here.
  "Daddy Dian ada urusan di luar negara. Kena terbang malam tadi. Tu yang saya kena take over duty balik. Selama seminggu ni memang daddy Dian yang sukarela hantar dan jemput dia."
  Aida angguk. Dalam hati dipanjatkan doa moga dapat dia berjumpa lagi lelaki tu demi menzahirkan rasa maaf atas apa yang terjadi semalam. Sungguh Aida tahu Fazwan pasti terkejut dilemparkan kata-kata tajam begitu oleh Affendi namun jauh disudut hati juga terbit rasa kagum Aida dengan ketenangan Fazwan kala berdepan dengan Affendi. Wajah cantik didepan ditala lagi dengan redup mata.
  "Saya pun sebenarnya nak jugak jumpa dan lihat siapa mama Dian. Daddynya selalu dah saya jumpa. Selalu jugak dia cerita pada saya tentang puan. Seronok dengar dia cerita tentang puan. Macam-macam. Yang nyata Dian memang betul. Mama dia memang secantik anak patung barbie doll. Bila tengok puan sendiri depan mata, saya memang percaya apa yang Dian cerita pada saya tu memang benar belaka."
 Qistina ketawa kecil.
 "Saya biasa aje . Aida lagi cantik tau tak."
 Giliran Aida ketawa sambil menggeleng kepala.
 "Cantik puan tak terlawan saya. Saya budak kampung jer pun.
 "Issh, jangan cakap tau Aida.  Perempuan-perempuan yang paling cantik di dunia banyak yang asalnya daripada kampung-kampung. Aida ni cantik sangat di mata saya. Cantik melayu  orang cakap. Susah nak jumpa. Patutlah ada orang tu yang sanggup aje ambilalih tugas saya nak hantar dan jemput Dian hari-hari seminggu ni.  Saya pun hairan jugak. Sekarang ni saya tahu dah sebabnya. Yang berdiri depan saya nilah penyebabnya."
 Ada kerut kecil yang tergaris didahi. Bait akhir kata-kata Qistina mengundang persoalan walau akal cukup tangkas memahami maknanya. Sungguh Aida terpanar namun cuba diraih tenang. Apa benarkah apa yang diungkapkan Affendi tentang Fazwan semalam? Liur rasa tersekat namun Aida gagahi jugak hulur senyum segaris menentang wajah cantik mama Dian yang masih takzim memandangnya. Mungkin sebab ini yang menyebabkan mama Dian muncul didepannya hari ini.
 "Saya tak faham apa yang puan maksudkan. Tapi..kalau puan maksudnya encik Fazwan, sungguh saya katakan saya tak ada apa-apa dengan suami puan tu. Saya hormat suami puan macam saya hormatkan penjaga-penjaga anak-anak disini. Saya minta maaf kalau saya ada timbulkan rasa tidak enak puan dan mengganggu hubungan puan suami isteri. Saya minta maaf puan."Aida capai dan genggam erat tangan Qistina.
  Qistina ketawa kecil. Genggaman erat Aida dilonggarkan dakapannya namun pegangan tangan masih tidak terlerai. Aida telan liur.
   "Aida sungguh tak tahu ni siapa saya pada daddy Dian.? Daddy Dian tak pernah beritahu Aida siapa dia pada Dian?"

  Kerut didahi Aida makin berlapis. Siapa Qistina pada encik Fazwan? Siapa encik Fazwan pada Dian? Apa punya soalan pulak nih? Kepala jujur menggeleng.
  "Puan Qis kan isteri encik Fawzan. Dan encik Fazwan tentulah ayah Dian. Betulkan.?"
 Qistina jala senyum manis. Aida makin tidak keruan. Ya Allah janganlah jadi apa-apa pada hubungan mereka suami-isteri. Ya Allah, ampunkan hambamu ini jika ada khilaf yang tidak terlihat di mata dan terlintas di akal yang telah hambamu ini lakukan pada hubungan mereka berdua.
  "Aida salah faham ni. Daddy Dian bukan suami saya. "
  Jantung seakan berhenti berdegup usai cuping mendengar bait kata-kata yang terluncur keluar dari ulas delima mama Dian yang takzim menghulur jernih tatapan mata. Alir darah diseluruh pembuluh dirasakan bagai terjeda. Mata Aida tidak berkelip memandang wanita cantik didepannya saat ini yang terus menjala senyum. Fikiran Aida terus bergumpalan. Cuba menjejak jawapan yang masih bersimpulan di kotak minda.
  Siapa Fazwan pada Dian? Pada mama Dian?  

2 comments:

zoora said...

issshh..pulak...terjuntai lagi.....BIG CONGRATS on 4th 1...ni haaa baru dpt peluk MSB...parkir kat bab 46 jap...kena tumpu keja dulu, sambil terjah blog2 hehehe jahat i ari niiii...

Anonymous said...

plz sambung lagi....best. confirm salah faham aida ttg fazwan dh hampir terungkai

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...