Saturday, October 26, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Saktinya - Bab 8


Bab 8
"AIDA TU BUKAN FYZA TAK TAU perangai dia. Semua orang kat muka bumi ni baik dimata dia. Fyza yang kawan dengan dia dari sekolah menengah lagi patut lebih tau sikap Aida yang satu ni.” Fyza angguk perlahan. Affendi sambung tatap ke wajah gadis yang dia kenal menjadi kawan baik Aida sejak di sekolah menengah lagi. Dan Affendi juga keluarga sebenarnya banyak berterima kasih kepada gadis ini. Fyza banyak membantu Aida sejak adik bongsunya itu datang ke Kuala Lumpur. “ Abang cuma risau. Aida ni hati dia lembut. Tak kira pada siapapun. Kenal tak kenal, dia tetap layan macam dah lama kenal. Macam kawan baik dia jer. Kadang bila terlalu baik pun ada bahayanya lagi-lagi dalam dunia sekarang ni Fyza. Kita tak tau isi hati orang. Tak semua orang baik macam yang dia sangka. " Fyza hela nafas halus. Dalam hati mengiyakan apa yang dikatakan abang keempat Aida ini. Mengenali Aida dari saat kaki melangkah ke sekolah menengah suatu waktu dahulu kala keluarganya akur mengikut abah yang mahu menetap di kampung setelah berhenti kerja, Fyza cukup masak dengan sikap tulus dan baik hati Aida. Aida kawan pertama di sekolah yang menegurnya dan sudi berkawan dengannya biarpun yang lain-lain tidak menyukai gadis kasar seperti diri Fyza. Ketulusan, sabar dan ikhlas hati Aida buat Fyza selesa berkawan dan makin akrab dengan Aida yang dirasakan kawan yang cukup baik hati. Terlalu baik hati. Dan kerana sikap baik hati Aida yang adakala Fyza rasa keterlaluan, seringkali juga ada kalangan kawan-kawan di sekolah mereka yang mengambil kesempatan atas kebaikkan Aida. Dan setiap kali ditegur Fyza, Aida hanya menyatakan jangan pernah berkira dengan kelebihan yang Allah beri pada kita. Jika kita mampu maka bantu sahaja semampunya. Soal yang lain-lain itu serahkan pada Allah. Jangan prasangka. Jangan bersangka buruk. Sudahnya Fyza hanya selesa mendiamkan diri hatta ketika Razman yang waktu itu berada di tingkatan lima mula berkawan dengan Aida, Fyza memang tak mahu menegur biarpun jauh di sudut hati seakan dapat merasakan lelaki itu “semacam” sahaja orangnya. Entahlah. Memang dari mula kenal Razman, Fyza memang tak begitu menyukai lelaki itu. Bukan dia berprasangka. Bukan juga buruk sangka namun gerak hati begitu kuat menyatakan lelaki itu bagai ada agendanya mendekati Aida yang polos dan tulus hatinya. Dan telahan hatinya tentang sikap  “semacam” lelaki itu dahulu benar belaka. Razman itu memang spesies jantan tak guna. Razman itu sungguh bijak mempergunakan Aida yang terlalu jernih jiwanya. Mengambil kesempatan diatas kebaikkan Aida yang ikhlasnya tidak terucap. Fyza hela nafas perlahan. Mengingati kisah  Aida dan Razman…mengulang tayang esak tangis Aida kala meluahkan segalanya yang telah Razman lakukan buat lubuk jiwanya bergelora dengan amukan amarah. Jika membunuh lelaki seperti Razman itu tidak tersalah dari sisi hukum dan undang-undang sudah lama dicincang lumat lelaki itu!
        " Abang takut orang ambik kesempatan pada dia. Orang sekarang bukan kira, Fyza. Lagikan bini orang pun kalau dia nak, dia akan usaha sampai dapat. Ni kan pulak anak dara lurus macam Aida. Abang taknak apa yang dah jadi dulu berulang balik. Abang tak nak tengok Aida sedih lagi.  Cukuplah apa yang dah si Razman bangsat tu buat pada Aida. Mak abang lepaskan dia kerja di Kuala Lumpur ni pun sebab tu. Sebab nak Aida lupakan hal dulu. Nak dia jauh dari rencah rasa kata-kata  orang kampung yang tahu ujung pangkal cerita. Mak tak sanggup tengok orang kampung terus mengata Aida." Fyza yang takzim mendengar, lontar anggukan ke arah Affendi yang duduk di sofa setentang. Tahu benar apa yang terpaksa ditanggung Aida atas apa yang dilakukan Razman. Entah kenapa agaknya dalam hal begini mudah benar orang kampung menuding jari ke arah Aida. Dan jantan keparat itu terlepas dengan penuh penghormatan. Kalaulah dia punya kuasa ajaib mahu sahaja disumpah jantan keparat itu menjadi katak puru. Hodoh dan hanya menjadi penghuni lohong kotor  lagi jijik.
            Kepala dipusingkan memandang pintu bilik dihujung kiri ruang tamu yang rapat tertutup. Seketika tadi tubuh kurus Aida rancak berbual bersama Affendi dan Fyza berbual di ruang tamu kini sudah menghilang dan tenggelam disebalik pintu bilik. Fyza toleh semula memandang Affendi. Kedatangan lelaki ini tadi yang disangka Fyza sekadar ziarah rutin sejak Aida  menjadi penghuni di flat yang disewanya ini rupanya mengandungi sisipan maksud lain. Siapa sebenarnya lelaki yang menjadi tajuk bualan kedua-dua beradik ini tadi agaknya. Fyza memang tak langsung mencelah. Hanya menjadi pendengar dan saksi kedua-duanya berbual. Biarpun cuma perbualan biasa namun sukar dinafikan rasa ingin tahu Fyza seakan sukar dibendung. Siapa agaknya lelaki yang disebut Affendi dan Aida tadi. Seingat Fyza tak ada pulak Aida bercerita tentang hal ini kepadanya. Yang selalu menjadi tajuk bualan yang menggembirakan Aida pasti tentang gelagat penghuni-penghuni kecil di tempat kerjanya itu.  Fyza lontar lagi tatap ke wajah Affendi.
   "Abang, Fyza nak tanya satu soklan. Boleh?"
   Affendi senyum segaris. "Tanyalah."
   Fyza toleh kebelakang. Melontar dua bebola mata ke arah muka pintu bilik Aida yang tertutup rapat sebelum kembali menjamah wajah didepan.
  "Tadi abang dengan Aida bercakap pasal siapa?"
   Dua jari Affendi mengelus pangkal hidung. Terbias di cuping Fyza desir nafas yang dihela oleh lelaki didepannya ini.
   "Abang dengan Aida terserempak dengan seorang lelaki dan anak perempuan dia di Mid Valley kelmarin."
   Fyza angguk. "Masa abang belanja Aida beli baju tu?" 
  Affendi angguk.
  "Kenapa pulak dengan lelaki dengan anak dia tu?'
   "Anak lelaki tu meluru kat Aida masa abang masuk beli makanan untuk dia. Aida  beritahu abang budak perempuan tu anak murid dia dan lelaki yang ikut sama dengan budak tu ayah dia. Aida kenalkan abang dengan diaorang."
   Fyza laju menebar anggukan bersama bibir yang sedikit terbuka membentuk huruf O yang panjang nadanya.
   "Dah tu apasal pulak dengan dua beranak tu abang. Diorang ada buat apa-apa ke kat Aida yang mungkin saya tak tahu." Fyza hala tatap pertanyaan yang mengetuk kepala.
    Affendi geleng.
            "Budak perempuan tu abang tak ada hal. Dah anak murid Aida. Kalau dia gembira dengan budak tu…jadi cikgu budak tu, abang pun tumpang seronok. Tapi yang abang bimbangkan..."Affendi hela nafas.Kalamnya terhenti. Dihela nafas Dalam-dalam. Sungguh dia tidak akan membenarkan sesiapa lagi untuk melukakan hati dan jiwa adik bongsunya ini. Tidak akan diiizinkan. Langkah mayatnya dahulu jika lelaki itu ada niat dihati terhadap Aida. Aku tak kira walau kau siapa Fazwan. Aku tak kira walau melangit pangkat dan kekayaan kau. Yang aku kira cuma satu. Jauhkan diri kau daripada adik aku. Jauhkan diri kau dari pasang niat yang bukan-bukan terhadap Aida. Aku takkan benarnya. Takkan sekali-kali!
            "Abang bimbangkan pasal apa."
             "Ayah budak perempuan tu.”
             Fyza kerut dahi.
            “Kenapa dengan ayah budak tu?” Abang kenal dia ke?”
            Affendi geleng lagi.
            “Tak. Abang tak kenalpun sapa dia.”
            “Dah tu, abang risaukan pasal apa?”
            “Lain macam jer abang tengok ayah budak.  Dari awal masa terserempak pun abang perati dia pandang Aida  tak macam dia pandang cikgu anak dia. Abang bukan buta, Fyza. Cakap dia masa sebelum tinggalkan meja waktu berbual dengan abang dan Aida masa tu pun abang dah rasa dia memang ada sesuatu dalam kepala. Dan sesuatu dalam kepala lelaki tu tak lain dan tak bukan pasti pasal niat dia pada Aida. Gerenti punyer, Fyza. Tampar mulut abang ni kalau Fyza rasa abang bohong. Hati abang ni takkan menipu dengan apa yang abang tengok. Mata hati ni lebih tepat bila bercakap, Fyza." 
            Fyza lepas nafas.  Apa-apapun, dia perlu bertanya Aida sendiri tentang hal ini. Tentang lelaki itu semestinya. Mahu ditanya segalanya daripada Aida. Fyza yakin Aida takkan berbohong. Jauh sekali menyembunyikan apa-apa daripadanya.
             "Abang rasa lelaki tu ada niat tak baik ke pada Aida?"
              "Abang ni lelaki Fyza. Abang tau. Tengok cara dia pandang Aida abang tau."
             " Tapi kan tadi Fyza dengar Aida cakap lelaki tu cuma ayah salah sorang murid dia. Itu aje. Mereka memang tak ada hubungan dan takkan ada hubungan. Kalau ikut apa yang Aida cakap, itu laki orang tu, bang. Issh.” Fyza laju menggeleng kepala. “ Takkanlah Aida sanggup nak ambik laki orang, bang. Dia pun bukannya tak boleh fikir mana baik mana buruk. Abang jangan bimbanglah. Aida bukannya bodoh. Dia takkan buat macam tu bang. Abang jangan risau la pasal ni. Fyza kenal Aida. Dia bukan perempuan jahat. Lagi-lagi nak rampas laki orang , bang. Issh..minta Allah jauhkan Aida dari terjebak dengan suami-suami orang ni bang. Fyza yakin, Aida tahu apa itu makna menyakiti hati orang lain dan Aida pasti takkan melakukannya. Abang pun kenal adik abang tu macammana kan. Kita semua kenal dan tahu siapa Aida, bang. Aida yang baik pasti Allah janjikan dengan lelaki yang sebaik dia juga. Dan lelaki itu Fyza yakin hanya untuk Aida. Bukan untuk orang lain.Bukan juga milik orang lain."
            Affendi raup muka. Seketika. Kata-kata akhir yang terlontar dari bibir Fyza dipanjatkan kepadaNya agar melimpahi takdir hidup Aida. Pesan maknya dikampung tentang Aida terpasak kukuh dikepala. Jaga adik, abang chik. Jaga adik. Nafas ditelan sayup. Abang chik janji mak. Abang chik janji!

DIAN KERUT DAHI pandang keliling. Susuk tubuh yang biasa menantinya di pintu masuk tidak kelihatan hari ini. Dijenguk kepala ke dalam dengan bebola mata liar memerhati di dalam juga dipersekitar kawasan permainan. Tiada jugak terlihat. Dian toleh kesebelah sebelum mata jatuh ke wajah Fawzan yang masih takzim berdiri disebelah menggenggam erat tanganya. Tangan Fawzan digoyang.
            “Daddy…”
            Fazwan senyum. “Hmmm…” Tahu apa yang akan keluar dari bibir mungil Dian. Fawzan melihat tadi gelagat Dian. Pastinya sedang mencari si dia yang satu itu. Dan si dia itu juga turut dicari oleh sepasang mata Fazwan dari tadi. Kemana agaknya dia? Tidak sihat ke dia?
            “Teacher Aida tak ada pun. Selalu kalau Dian sampai teacher Aida dah ada depan pintu ni tunggu Dian. Mana teacher Dian, daddy? Kenapa teacher Aida tak ada hari ni?” Tangan Fazwan elus kepala Dian. “Teacher Aida lambat sikit agaknya tu. Mungkin dia ada hal di rumah. Sekejap lagi teacher Aida sampailah,hmmm. Dian masuk dulu ye. Tu teacher Nancy dengan teacher Aini ada.” Fazwan hala tangan ke arah dua guru wanita yang sedang menjala senyum ke arahnya. Fazwan angkat tangan tanda hormat.Dian yang turut memandang muncung bibir. “Dian nak teacher Aida jer. Dian taknak teacher lain. Tak best.” Fazwan senyum. “Sekejap lagi teacher Aida sampai,hmmm. Dian masuk dulu ok. Kalau Dian sayang teacher Aida Dian kena jadi good girl. Barulah teacher Aida lagi sayang pada Dian. “ Dian yang mendengar melempar senyum. Fazwan sambut senyum Dian. Umpannya mengena, Alhamdulillah. Dia harus segera ke pejabat. Ada mesyuarat susulan dengan pihak pelabur dari Korea yang dipertanggungjawab kepadanya oleh Datuk Faisal. “Daddy nak kena pergi ni. Daddy ada meeting pagi ni. Nanti petang mama ambil,hmmm.”
            Dian angguk. Tangan Fazwan yang masih digenggam dikucup. “Bye , daddy.”
            Fazwan senyum. Kepala diangguk. Ubun Dian dikucup. “Bye sayang. Be good girl,hmmm.” Dian angguk. Senyum. Jari telunjuk dan ibu jari dijalin rapat membentuk huruf O. “Ok daddy. Love you.” Dian laju mengatur langkah masuk ke dalam My Little Sweet Home Child Care Centre.
            Fazwan senyum manis.” I love you too, sweetheart.” Langkah diatur ke enjin buatan Jerman yang takzim menanti diluar pagar. Tangan mencapai pemegang pintu. Ditarik. Tubuh yang kemas bersarung kemeja biru dengan nia berjalur biru gelap melolos masuk.
            “Kita ke pejabat, Mat.”
            “Baik, boss.”
           
LANGKAH KAKI YANG BERSARUNG SANDAL nipis laju berjalan membelah batas jalan yang lengang dari kenderaan. Aida seka rintik –rintik peluh di dahi dengan jari-jemari. Mata liar memandang ke kiri dan kanan. Sudahlah  tadi harus menunggu diperhentian begitu lama lantaran bas yang  biasa dinaiki tiba lewat, kini bas yang sama pulak tersadai dipertengahan jalan kerana kerosakan enjin. Sudahnya dia dan beberapa orang penumpang harus turun dan mencari jalan masing-masing untuk ke tempat kerja. Aida lepas nafas panjang. Dia bukan mahir sangat jalan disini namun nasib baiklah Allah kurniakan ingatan yang tajam buatnya. Aida tahu dia boleh sampai ke My Little Sweet Home Child Care Centre dengan berjalan kaki daripada tempat bas tadi tiba-tiba terhenti dek kerosakan. Walaupun perlu berjalan agak jauh namun Aida tahu dia tiada pilihan lain. Dia harus berjalan kaki untuk ke sampai ke tempat kerjanya itu secepat yang mungkin. Memang tiada bas lain yang masuk ke kawasan ini selain bas yang tadi. Dan jika mahu ditunggu bas yang satu lagi alamatnya dia akan sampai kala waktu makan rehat pagi untuk murid-murid di My Little Sweet Home Child Care Centre .
            Pergelangan tangan kiri diangkat. Jam bulat bertali hitam yang dibeli di pasar malam waktu di tingkatan lima dahulu yang kini sudah pudar warnanya dikerling. Ahhh…mesti budak –budak dah mula masuk nih. Sebelah tapak tangan menyapu wajah dengan sepasang kakinya masih terus menyusun langkah membelah susur jalan yang kiri kanannya terdiri rumah-rumah yang mewah di matanya. Apalah nasibnya hari ini. Satu demi satu menimpa. Tadi dirumah tangan Aida terpecik minyak panas kala menggoreng telur. Waktu mahu ke tempat kerja bas yang dinanti pulak lambat tiba. Paling memburukkan keadaan bas yang lambat datang itu pulak rosak ditengah jalan. Allah. Banyak sungguh dugaan untuknya hari ini. Entah apalah pulak selepas ini agaknya. Kepala menggeleng. Aida lafaz istighfar. Tidak wajar dia berfikiran begini dan mempersoalkan apa yang telah terjadi. Yang berlaku pasti ada hikmah. Itu yang arwah abah selalu pesan dan terus terpahat di ingatan. Kepala spontan menoleh kebelakang kala cuping telinga menangkap bunyi deruan enjin motosikal. Tubuh deras digerakkan ke tepi agar tidak mahu mengganggu laluan motosikal berkenaan. Pastinya mahu ke tempat kerja seperti dirinya.Dan saat enjin dirasakan makin menghampiri dan belum sempat Aida menoleh, tubuhnya terasa tali tas tangan yang disandangdi bahu kiri direntap kasar dari belakang. Tubuh terdorong ke belakang. Aida terhoyong hayang namun tangan cuba mempertahankan tas tangan yang direntap. Saling tarik menarik. Aida nekad. Dia perlu mempertahan tas tangan yang dibeli mak di pekan Changlun kala dia mahu mengikut Fyza ke Kuala Lumpur. Kata mak, Aida perlukan tas tangan yang lebih elok. Bukan yang sudah pudar seperti yang sering dia gunakan bila mahu ke mana-mana. Aida tahu mak gunakan duit upah menjahit langsir majlis perkahwinan orang kaya dari  Alor Setar untuk beli tas tangan yang cantik itu. Dia harus mempertahankan duit upah mak itu. Dia harus mempertahan keringat mak itu walau dengan cara apa sekalipun. Suara jeritan Aida meminta tolong bergema kuat dan nyaring. Tangan terus menarik tali tas tangan yang turut ditarik pembonceng motosikal yang masih bersarung helmet hitam. Jeritan terus dilaung dengan harapan ada yang mahu membantu.  Saat tangan sedayanya terus menarik tali tas tangan dengan mulut yang tidak henti menghumban jeritan pertolongan Aida terasa pedih di rusuk kiri. Perit. Sakit menyucuk. Mata berbalam kala kepala menoleh ke rusuk. Cairan merah pekat mula terpancar di permukaan kurung kuning cair yang di tersarung di tubuh. Motosikal hanya mampu dilihat memecut meninggalkannya. Meninggalkannya dengan membawa tas tangan pemberian mak  hasil upah dan keringat mak menjahit langsir. Tubuh seakan makin lemah. Bibir tidak terdaya lagi melaung jeritan. Suara seakan tersekat. Terpasung. Dua tapak tangan menekap ke rusuk. Nafas makin lemah. Allah…Allah. Ya Allah tolong hambamu ini. Pandangan makin kabur. Kepala terawang. Tubuh melayang.

Ahmad mengecilkan mata. Susuk tubuh perempuan yang terbaring ditepi jalan menangkap perhatian. Enjin BMW putih diperlahan. Signal ke kanan diberi. Fazwan yang menyedari kereta dipandu makin perlahan menjenguk ke depan.
            “Ada apa, Mat?”
            “Ada perempuan terbaring kat depan sana, boss. Tak tau sebab apa. Takut kena langgar lari jer. Kesian pulak saya, boss.”
            Fazwan pantas mengangkat kepala memandang cermin hadapan. Susuk tubuh perempuan berkurung cerah menangkap mata.
            “Berhenti, Mat. Mari kita tengok. Kalau boleh tolong, kita tolong mana yang termampu.”
            Ahmad angguk. “Baik, boss.”
            Ahmad telan liur kala lihat darah merah membasahi bahagian rusuk tubuh perempuan yang terbaring didepan mereka. Wajah yang tidak kelihatan dek ditubuh sebahagian tudung yang terselak ke atas. Kepala Ahmad menoleh ke arah Fazwan yang turut menyangkung disebelah.
            “Macam kena tikam perempuan ni,boss. Kena rompak agaknya perempuan ni. Tak pun kena ragut. Allah. Syaitan betul manusia sekarang. Sanggup sampai nak membunuh orang.”
            Fazwan lafaz istighfar. Siapa yang sanggup buat begini pada perempuan yang tidak berdaya ini. Dia pasti pergelutan berlaku, kalau tidak rasanya tak mungkin perempuan yang terbaring cedera ini dicederakan sampai begini. Tubuh yang berkurung kuning cair dan bertudung hitam yang terbaring disentuh. Jari diletakkan di bawah hidung. Masih bernafas! Alhamdulillah. Tudung yang terselak menutup wajah perempuan yang terbaring didepannya Fazwan tolak ke bawah. Perlahan-lahan. Dan wajah yang terbentang didepan matanya saat ini benar-benar buat jantung dan nafasnya terhenti serentak. Aida!
            Fazwan pantas tarik nia yang terikat di leher lalu dililit dan diikat kemas dirusuk Aida. Fazwan cempung tubuh kurus Aida. Langkah deras dibawa ke BMW putih dibelakang.Ahmad sudah laju mendahului. Pintu penumpang belakang dibuka Ahmad. Fazwan letak tubuh Aida yang sebahagian kurung kuningnya dibasahi warna merah perlahan-lahan. Penuh berhati-hati. Tubuh Fazwan kemudian melolos masuk. Pintu ditarik.
            “Cepat Mat kita ke hospital.”
            “Baik, boss.” Enjin BMW laju membelah jalan. Menderu pantas.
             Tangan menekan iPhone. Nama Rina dicari.
            “Rina, I’m on emergency now and on my way to the hospital. Get Razman and Farid to take over the meeting. I’ll try to update you later on my status ok. Thanks, Rina.” iPhone digenggam. Fazwan hala mata ke tubuh yang terbaring disisi. Kepala Aida yang terletak diribanya ditatap.  Wajah mulus yang seakan nyenyak tidur terus direnung. Bibir dikemam.
            Bertahan, Aida. Please.
            Be strong, Aida.
            Be strong my dear!

4 comments:

The Lady Chosen said...

Adakah razman itu org yg sama yang telah menghancurkan hidup aida ekkk kucc? Huhuhuhuhu makin menarik ni, berdebar pula and excited nak tahu cerita selanjutnya \^_^/

seed169 said...

kesian kat aida...
wah fazwan dah mula ada hati dalam taman...hehehe

razman...hmmm...adakah orang yang pernah mempermainkan aida....harap2 bukanlah....

Unknown said...

entry yg ditunggu sudah tiba..FA jadi knight in shining armour aida :)

muda_13 said...

Sian penuh aida, macam2 jadi pada dia, hope setelah ni mendung perlahan2 berarak pergi, berganti cerah mentari yg menerangi, aiseh, hehe

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...