Sunday, February 24, 2013

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 27

Bab 27
Dua pasang mata saling berbalas redup pandang. Dua pasang mata saling berbalas kata di muka jendela rasa. Ada suara yang melantun marah dalam diam. Ada kata yang diam tidak terluah. Ada cerita yang mahu disingkap. Ada kisah yang berlindung di balik tabir. Ada cinta yang perlu diucap. Ada pengakuan yang tersangkut di ranting hati. Baik Zura mahupun Joe kedua-duanya masih jeda usai keluar dari bilik mesyuarat bersama-sama Kamal dan Qistina sebentar tadi. Zura yang laju menarik Joe masuk kedalam biliknya sebaik kelibat Kamal dan Qistina hilang ditelan perut lif. Ada perhitungan yang perlu dilangsaikan. Joe perlu disedarkan. Perlu! Zura dan Joe tahu Qistina keluar bersama-sama Kamal untuk menghadiri mesyuarat lanjutan bersama pihak kontraktor berhubung projek di Borneo tersebut. Dan sebagai ketua projek adalah menjadi tanggungjawab Qistina membentangkan hasil pemerhatian dan pemantauan yang telah dia dan seluruh pasukan jurutera yang terlibat lakukan terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh pihak yang dilantik kontraktor bagi projek syarikat di Bornoe itu. Kesempatan baik ini diambil sebaiknya oleh Zura. Ketiadaan Qistina dipejabat akan menyenangkan kerja untuk "membasuh" fikiran Joe yang dilihat makin merunsingkan. 

Zura betulkan sandar tubuh dileher kerusi. Mata menjunam pada wajah tenang yang duduk setentang. 

"kadang-kadang aku tak tahu la macammana lagi cara aku nak cakap kat kau ni, Joe. Sampai bila kau nak simpan perasaan ni dalam hati kau. Kau ingat kalau kau simpan dalam hati kau tu dia boleh nampak ke. Dia boleh rasa ker?" Tazkirah Zura membuka tirai. Geram dan sakit hati dengan sikap tidak agresif Joe terhadap tindakan untuk mendapatkan Qistina. Mahu sahaja rasanya diketuk-ketuk kepala lelaki kacak dihadapannya ini dengan sikapnya yang dilihat seperti tidak bersungguh-sungguh. Kata sungguh cinta, tapi tak macam bersungguh jer!

Joe elus pangkal hidung. "kau tak faham, Zura." Perlahan dilantun kata balas. 

Zura lelah. Joe ni memang sungguh payah!

"Aku tak faham..atau kau yang tak tau nak bertindak. Sampai bila kau tak nak beritahu dia, Joe. Cubalah agresif kalau sungguh kau cintakan dia. Cinta takkan tunggu kau kalau tak kejar untuk dapatkannya. Please la jangan buang masa lagi Joe. Kau jangan menyesal nanti."

Diam.

"Kau ni kan memang buat aku rasa macam nak hentak jer kepala kau tu supaya kau bangun dari mimpi." Zura tujah pandangan tajam pada Joe yang dilihat khali sahaja. Issy!

"Ke kau nak biar sampai satu hari nanti dia datang dan cakap kat kau ..Joe, i rasa i dah jatuh cinta dengan bla bla bla...atau kau tunggu dia cakap..Joe i nak beritahu you ni i nak kahwin dengan bla bla bla ...masa tu baru kau nak mengaku kat dia yang kau sebenarnya dah lama cintakan dia dalam diam? Macam tu?"

Diam lagi.

Zura geleng kepala perlahan seraya bangun lalu menghala ke jendela.  Nafas yang rasa membuak didalam lohong dihembus sekuat rasa. Geram yang bertamu pada susuk tubuh yang jeda di kerusi dihadapan mejanya sejak tadi dilontar jauh ke gaung perasaan yang paling dalam. Sebelah tangan mengelus pelipis. Putik amarah cuba disanggah. Bukan begini caranya. Tangan menarik bidai yang menutupi sebahagian jendela. Diperhati deretan kenderaan dibawah sana. Serabut. Dilarikan mata ke awan putih biru yang mendamaikan jiwa. Cuba diraih tenang. Joe harus disedarkan! Harus! 

"Kau cuba cakap kat aku..kau sungguh masih cintakan dia ke tidak ni?" Kepala menoleh ke arah Joe yang takzim dikerusi hadapan meja. Tidak berkutik langsung. Tenang membuang pandang. Zura kembali hala langkah ke kerusi. Dihempaskan tubuh kecilnya ke perut baldu kerusi yang sedia menanti dan memberi khidmat. 

Joe hanya berdiam. Suara dikunci. Tidak mahu bersuara lagi.

"Joe..."

Joe bawa dua tapak tangan yang tadinya takzim dilengan kerusi ke paras dada. Dijalin kesemua jari-jemari. Erat. Segala yang bergumpalan didalam kotak kepala terus berputar. Pertanyaan Zura menyentak rasa namun dia tahu untuk terus memberikan jawapan balas yang sebenar bukan masanya lagi. Bukan dia sengaja berlengah. Bukan dia sengaja melepaskan peluang. Bukan! Bukan!..tapi... 

Joe hala pandangan tepat ke wajah hitam manis dihadapan. Teman baik yang dia kenal sejak dizaman bergelar pelajar universiti. Duduk dibawah payung satu fakulti menjadikan mereka rapat. Rapat sebagai kawan baik yang saling menghormati hak dan batas diri. Zura yang Joe kenal sememangnya seorang teman baik yang sentiasa sahaja menegur jika ada yang tidak kena dimatanya. Joe masih ingat bagaimana Zura terang-terang melahirkan rasa menyampah dan meluat dengan sikap Joe yang mesra dengan semua pelajar yang secara tidak langsung menjadikan Joe buruan kebanyakan siswi kerana tertawan dengan sikap ramah mesra dan wajah kacaknya.  Biar digelar romeo terhangat oleh Zura, Joe tidak pernah terasa hati. Dan gelaran itu dibawa hingga mereka berdua memasuki ke alam pekerjaan. Aneh bila difikirkan tiada rasa marah yang terpalit dihati dan dijiwa Joe dengan kata-kata sinis Zura terhadapnya. Bagi Joe, Zura tidak bermaksud apa-apa. Mereka tetap teman baik. Dan ikatan itu kekal hingga kini. Dan dia berharap ia akan kekal abadi selama-lamanya.

"Zura..kau tau kan perasaan aku pada dia sejak dahulu macammana."

Zura angguk. Nafas terhempas. "Tahu..aku tahu sangat-sangat. Tengok bahasa tubuh kau pada dia pun, aku tahu Joe. Kau tu jer yang tak tahu bagaimana nak salurkan bahasa tubuh kau tu dengan betul. Kau ingat dia tau apa yang ada dalam hati kau tu? Kau kena terus terang pada dia, Joe.  Kau kena beritahu Qis, Joe. Jangan tangguh lagi."

Joe diam kembali. Zura geleng kepala lagi. Pulang dari tugasan di Borneo, sikap teman baik dihadapannya ini berlainan dari kebiasaan. Walaupun cuba berlagak seperti biasa, pandangan mata Zura tak mungkin silap. Bertahun mengenali pemilik nama Johan Khusairy, Zura cukup arif dengan sikap dan peribadi lelaki kacak berkulit cerah ini. Dalam guraunya pada Qistina ada terselit hasrat cuma tidak pernah berani hasrat itu diluahkan. Dalam tiap ketawa dan senyumnya pada si barbie cantik itu tersimpan impian. Impian yang sejak dahulu tidak pernah hilang. Mungkinkah ada hikmah disebalik segala yang menimpa kehidupan Joe. Mungkinkah yang tidak terjalin dahulu akan bertaut. Zura hanya mampu mendoakan yang terbaik buat kedua-dua teman baiknya ini. Baik Joe mahupun Qistina..kedua-dua sungguh istimewa dihati Zura. Dan sebagai teman baik, dia mahukan pengakhiran yang terbaik buat kedua-duanya. Joe lelaki yang amat baik di mata dan di hati Zura. Begitu juga Qistina. Bebola mata Zura masih melekat diwajah kacak Joe yang cukup bergaya pagi ini dengan kemeja kuning air yang berjalur coklat muda. Gandingan tali leher coklat tua corak abstrak begitu "kena" di tubuh tinggi lelaki ini. Joe memang diakui Zura punya pesona seorang lelaki yang pasti membuatkan perempuan yang memandang tidak akan mengalihkan pandangannya buat seketika. Dan sehingga kini pesona itu tidak pernah luntur. Bukan Zura tidak tahu ada kalangan staff dipejabat ini yang menaruh hati pada lelaki yang baharu bergelar duda ini. Sikap mesra dan ramah Joe memang sentiasa memikat hati sesiapa sahaja yang mendampinginya. 

"dulu kau mengalah sebab dia dah bertunang walaupun kau memang gila cinta kan dia. Sampai kau sanggup terus terang pada dia tentang perasaan kau pada dia...tapi bila dia cakap tak boleh terima kau lebih daripada seorang kawan baik sebab dia dah ada Khal dalam hidup dia, kau undur diri secara baik. Fine. Aku salute dengan sikap kau tu." Zura angguk dan lepas nafas serentak. Joe dilihat tenang menadah telinga dengan lontaran bicara Zura. Dengar ke tidak nih? Eeei Joe ni.."Tapi sekarang dia dah "bebas", Joe...bebas dalam ertikata dia bebas untuk pilih sesiapa pun yang dia suka untuk jadi soulmate dia. Kalau kau tak ambil peluang ni, orang lain yang akan sambar dia, Joe. Khal memang sedang kejar dia balik. Kau pun tahu dan nampak dengan mata kepala kau sendiri kan. Dan kau pun kenal dan tau sikap Khal macammana. Khal bukan jenis yang akan putus asa...takkan mengalah. Dan sekarang ni...abang angkat Zita yang aku dengar bukan calang-calang orangnya tu pula khabarnya sedang cuba pikat dia. Dan kau kat sini tak buat apa-apa pun..yang ada cuma diam..senyap...membatu...mematung...langsung tak ambik apa-apa tindakan. Kau nak tunggu sampai bila? Kau sayang dia ke tidak ni, Joe?"

Joe dilihat masih memilih untuk terus diam. Zura ketap bibir. 


"tak faham lah aku dengan kau ni. Kau suka dia tapi kau tak nak cakap. Susah bercakap dengan kau ni laa, Joe." Zura hempas keluhan berat. 

"Zura.." Joe ukir patah kata. Perlahan. Zura aju bebola mata. Tajam.  Joe tenang menyambung bilah bicara. "aku ni bukan macam Joe yang dia kenal dahulu. Aku ni dah berbeza."

Zura angkat kening. Tinggi.  "maksud kau?"

"aku ni duda yang baru kematian isteri, Zura. Dah jadi secondhand product..."Joe lontar ketawa kecil. Cuba bercanda. Cuba menutup rasa gusar yang berhimpun didalam lapangan jiwa. Bagi Joe, pilihan lain yang terbentang didepan Qistina jauh lebih baik daripadanya..lalu mahukah si cantik barbie doll itu memilihnya jika dia berterus terang. Apatah lagi dia juga dahulu antara penyumbang masalah yang menimpa Qistina. Joe tahu peluangnya tipis namun hati bagai enggan mengakui apatah lagi menerimanya. Kehilangan Qistina sesuatu yang tidak sanggup dihadapi. Lalu apa yang perlu dia lakukan sekarang. Joe buntu. Sungguh buntu.

Zura geleng kepala untuk kesekian kalinya. Sungguh dia tidak sangka Joe boleh berfikiran begini. Pesimis!

"habis, duda tak ada masa depan? Duda tak boleh cari bahagia? Duda tak boleh ada hidup baru? Duda kena habiskan usia dengan kenangan lalu. Macam tu?"

"bukan macam tu, Zura."

"habis macammana. Cuba kau beritahu aku. Cuba kau cakap kat aku. Hidup ni kena diteruskan Joe. Yang dah pergi tetap dah pergi. Kita yang tinggal ni kena teruskan hidup."

"Aku tahu tu Zura. "

"Dah tu."

"kau tak faham, Zura..."

Zura hela nafas dalam-dalam.

"Atau kau pandang rendah pada diri kau sendiri. Tak setaraf dengan dia yang masih single. Please la Joe. Benda-benda macam tu orang dah tak pandang. Yang penting hati..yang penting ikhlas. Dan Qis bukan gadis yang macam tu. Kau pun kenal hati budi dia macammana kan."

Joe lepas keluhan berat. 

"selama lima tahun Qis hilang...lari bawa diri, hanya Dia yang tahu macam perasaan dan hati aku. Aku sedar aku juga terbabit dalam hal ini. Sebab aku, dia dan Khal bersengketa. Sebab aku, dia yang terpaksa tanggung segala macam hina dan cerca. Sebab aku dia dibuang keluarga. Aku penyebabnya Zura. Dan apa yang aku buat untuk selamatkan keadaan.." Joe geleng kepala. "aku tak mampu pun nak halang Qis untuk pergi. Aku tak mampu buat apa-apa pun untuk baiki keadaan. Semuanya sebab aku. Kalau la aku tak minta Qis datang malam tu..tentu hidup dia tak menderita selama bertahun-tahun." 

Zura raup wajah perlahan. Bibir dikemam sebelum dilepas bayu nafas yang menekan minta dibebaskan. 

"Bukan salah kau, Joe. Semua tu dah jelas. Ayah Qis pun dah tahu cerita sebenar. Khal pun. Semua yang terjadi malam tu sebab kau harus bertindak macam tu..kalau tidak Qis mungkin mati lemas." Zura tahu kisah sebenar yang terjadi malam itu daripada cerita Kamal. Kedatangan Qistina ke kapal malam tu biarpun atas panggilan yang dibuat Joe, namun yang jelas Qistina sememangnya perlu dipanggil malam itu kerana dia adalah jurutera kanan yang terlibat didalam tugasan ketika itu. Masalah yang timbul daripada saluran paip utama sememangnya memerlukan khidmat Qistina setelah Joe dan Kamal buntu menyelesaikan masalah tersebut. Semua mereka berada disitu atas kapasiti tanggungjawab masing-masing. Titik. Malapetaka tidak pernah dipinta mahupun diundang namun siapalah kita mahu menghalang. Kebakaran yang berlaku memang tidak dijangka dan Joe sudah bertindak sebaiknya demi menyelamatkan Qistina. Malahan Zura rasa jika dia yang berada dikedudukan Qistina malam itu, pasti Joe juga akan melakukan tindakan yang sama. Menyelamatkan nyawa itu tidak memilih siapa yang mahu diselamatkan. Menyelamatkan nyawa tiada sempadan status. 

Joe raup wajah dengan dua tapak tangan.  Tubuh di gerakkan ke hadapan sedikit. Tertunduk kecil. Nafas beralun perlahan. Segala-galanya yang terjadi lebih lima tahun dahulu kembali berputar. Dia sedar malam tu dia hanya fikirkan nyawa Qistina sahaja kala terjun menyelamatkan Qistina yang tergelincir lalu tercampak ke dalam laut akibat terkejut ketika letupan kecil itu berlaku. Langsung tidak difikirkan nyawa sendiri. Joe menangis sesungguhnya kala melihat Qistina dipangkuan tidak bertindak balas selepas bantuan diberikan dan saat Qistina dibawa ke daratan. Joe tidak sedar kala memeluk erat tubuh Qistina. Dalam fikirannya saat itu hanya menyesali tindakannya memanggil Qistina datang. Joe bimbang akan kehilangan Qistina akibat kecuaiannya. Joe tidak sanggup! Biarlah Qistina tidak jadi miliknya dan menjadi milik Khal asal sahaja dia masih mampu melihat wanita pujaannya itu didepan mata. Itu sudah memadai. Biarlah Qistina bahagia dengan orang lain..dia akan tumpang bahagia itu. Tangisannya langsung tidak mengendahkan pandangan anak-anak kapal yang lain. Pujukan Kamal juga tidak mampu meleraikan pelukan pada tubuh Qistina. Langsung Joe tidak tahu segala perlakuannya menjadi tatapan Khal yang juga sudah berada disitu!

Maafkan aku, Qis..

Maafkan, aku.

Aku terlalu sayangkan kau..

"Joe.." Dua pasang mata bertentang. Joe kembali menyandarkan tubuh. Takzim.

Khali. Zura tahu jauh disudut hati teman baiknya ini, cinta buat Qistina masih tetap utuh..tidak tergugat. Zura juga tahu segala ambil berat dan gurauan Joe pada Qistina selama ini adalah lambang bahawa dirinya mahu sentiasa berada dekat dengan gadis pujaannya itu. Demi Qistina Joe sanggup menggadai nyawa. Zura hela nafas. Qis, open your eyes. Please open your eyes..

"listen to me, Joe. Please.." Zura terjah renungan penuh semangat pada wajah kacak dihadapan. 

"tolong beritahu Qis perasaan kau pada dia. Kalau kau sayang dia..kalau kau sungguh cintakan dia..tolong beritahu dia perasaan kau ini pada dia. Tolong dengar cakap aku ni, Joe."

Joe lontar pandangan kosong. Kata-kata Zura meniti tangga harapan yang mengetuk jendela jiwa yang goyah.


Qistina undur kembali langkah bersarung tumit tinggi bernama anita metallic leather rona maple brown saat melihat lampu dibilik Joe masih menyala. Kening terangkat sedikit. Hati berdetik. Eh, tak balik lagi ker Joe nih. Selalu dah balik time time macam nih. Ada apa pulak nih. Takkan banyak kerja kut. Joe yang dia tahu sangat cekap. Bukan jenis bertangguh kerja. Pintu tutup pulak tu. Mana pernah dia tutup tutup pintu macam nih. Sebagaimana sikapnya yang ramah begitu juga biliknya yang sentiasa terbuka menerima kehadiran sesiapa sahaja ke biliknya ini. Tertidur ker? Tak sihat ke Joe ni? Kat Borneo hari tu pun Qistina perasan akan sikap Joe yang sangat berlainan dari biasa. Tutur katanya tidak seperti selalu. Hanya sesekali sahaja dia membuka mulut. Itu pun kala ditanya. Selebihnya segala tumpuan lebih dijuruskan pada kerja. Ramahnya yang melampau sudah lenyap. Qistina rasa kehilangan Joe yang sering menghiburkan hatinya. Ada apa yang sudah terjadi agaknya kepada Joe hingga sikapnya sudah tidak seperti dahulu. Macam-macam tanggapan singgah di fikiran. Risau bertamu. Mata dihala pada Tag Heuer dipergelangan kanan. Kerut halus terbentuk. Tapak tangan kanan mengetuk muka pintu perlahan sebelum tangan memutar tombol pintu. Disua kepala ke dalam. Mata  bulat Qistina menangkap sesusuk tubuh sedang tenang berlabuh sandar dileher kerusi dihadapan. Redup pandangan kedua-dua saling bertatapan seketika. Joe dilihat kejap merenungnya tanpa berkelip. Seakan mahu menyampaikan sesuatu. Qistina merasakan renungan Joe sangat berlainan. Hati berdetik. Cepat-cepat diusir.

Salam dihulur. Dijawap perlahan. Penuh sopan. Seperti biasa.

Senyum. Berbalas." hai.."

"hai.."

"kau tak balik lagi ke, Joe.?"

Geleng. 

"ada kerja lagi?"

Geleng.

Dahi Qistina makin berkerut. Pelik Joe nih! Tubuh perlahan dilolos masuk. Sekali lagi ditoleh ke pergelangan kanan. Minda mencongak. Sempat lagi!

"dah tu, kenapa tak balik lagi. Kau tak sihat ke, Joe." Tubuh berdiri di pintu yang sengaja dikuak luas. Coach yang tersangkut dibahu ditolak saat ia melorot sedikit dari pegangan jambatan bahu. 

Senyum. "aku ok, Qis."

"dah tu, kenapa tak balik balik lagi nih. Kau kan dah cukup penat untuk jayakan projek kat Borneo tu. Kau kena rehat Joe... nanti next stage untuk projek tu lagi teruk kita. Full time 2 minggu kat sana. I need you for this round too, Joe."

"kau pulak..apsal tak balik lagi,hmmm.." Soalan Qistina dibiarkan tanpa jawapan. Dibalas dengan pertanyaan. Tidak mahu Qistina bertanya lanjut akan dirinya yang masih dipejabat di waktu-waktu begini. Joe tahu Qistina belum pulang lagi kala melintasi bilik gadis itu sebentar tadi. Dia menanti. Mahu melihat samada Qistina akan berhenti dibiliknya ini bila melihat biliknya ini masih "bernyawa".  Mahu melihat sejauhmana Qistina mengambil tahu akan kewujudannya yang masih dipejabat. Hati tadi kuat bertarung mahu meneka sejauhmana prihatinnya Qistina padanya. Kalau dia sayang kau, mesti dia ambil tahu tentang diri kau, Joe. Tekaannya tepat. Hati kembang berbunga seketika.

Senyum manis diukir. "aku ada dinner date."

Joe kawal tenang yang kembali berkocak. Hati yang kembang berbunga kembali menguncup. Senyum Qistina sedaya dibalas walau begitu payah untuk diukir. 

"Mr purple roses?"

Senyum Qistina bersama gelengan diiringi ketawa kecil. Terasa lucu dengan kata-kata  Joe.

"Khal.."

"oh.." Hanya itu yang mampu terluncur keluar dari lubuk rongga. Nama yang cukup menyentap. Sukar benar mahu menolak rasa tidak puas hati yang bertakhta di jiwa terhadap insan yang namanya terlontar dari ulas delima Qistina. Sungguh  Joe sukar memaafkan apa yang telah dilakukaan Khal terhadap Qistina. 

"dah banyak kali aku tolak sebab sibuk dengan projek Borneo kita tu. Kesian juga. Aku dah janji dengan Khal lepas selesai projek di Borneo ni, aku akan accept dinner date dia." Tag Heuer di tangan ditoleh lagi. "dia dah sampai agaknya ni. Panjang la muncung tu nanti. Dia kan anak manja." Ketawa kecil Qistina yang spontan terluncur tanpa sedar mencarik pedih sekeping hati lelaki seorang Johan Khusairy. Joe elus pangkal hidung. Menutup sentapan ditangkai jantung yang begitu menyakitkan. Disembunyikan dilubuk rasa yang paling dalam.

Dengan i you tak kesian kan Qis. Joe lontar senyum menutup bayu hiba yang bertamu di jendela hati. Kepala diangguk.

"Eloklah you gerak sekarang. Nanti ada yang merajuk pula. Payah nak pujuk anak manja nih, Qis."

Ketawa manis Qistina bergema. Joe tahan nafas. Senyum dibalas.

"enjoy your dinner date, Qis."

"thanks Joe. I gerak dulu." 

Angguk. Salam yang dihulur Qistina dibalas tenang. Mata mengekori susuk tubuh tinggi lampai yang cantik berbaju kurung coklat muda yang dipadan dengan selendang panjang warna senada. Hilang susuk tubuh Qistina, Joe bangkit dari duduk. Dibawa langkah ke jendela. Mata menyusuri pemandangan malam kelam pekat yang disinari hamparan lampu-lampu jalanan yang berbagai bentuk. Dua tapak tangan dibawa bersilang ke tubuhnya tegap. Dihempas nafas. Seraut wajah Qistina kembali menjajah fikiran. Wajah itu juga bertayangan di layar mata.

 "tolong beritahu Qis perasaan kau pada dia. Kalau kau sayang dia..kalau kau sungguh cintakan dia..tolong beritahu dia perasaan kau ini pada dia. Tolong dengar cakap aku ni, Joe."

Kata-kata Zura kembali menerjah kotak jiwa. Bibir dikemam. Kuat. Dada kencang menghembus keluar segala simpanan beban nafas yang tersangkut.Beratnya menyimpan arca rasa yang sudah semakin berkembang hidup didalam jiwa. Tak terdaya mahu ditanggung lagi.

Tolong beritahu dia, Joe..

Kata-kata Zura bergema lagi.

23 comments:

nurul said...

huwaaa sedihnya....
dr dulu lg i nk Joe ngan Qis huhu

rin said...

as a joe lover ekekeke...seblm ni i frust sangat ingat kucc tak nak bg harapan utk joe, sebab asyik citer pasal FA n khal jek...wow i like this bab..muah muah muah sayang kucc infiniti <3

Anonymous said...

Owhh I like this..Joe nak msk gelanggang..go for it Joe..ehh Qis ni buat huruf ya tak sedar langsung Joes feeling...hehe..another good one Kucc

Unknown said...

wow .. joe dah nak susun strategi memikat qis .. tapi kan not fair we all kena gaduh2 rebut2 antara 3 ni for qis .. kucc .. cepatlah bagi hint sapa sebenarnya yg akan mengikat qis nanti ..

deeje said...

i like!!!

sara said...

Bab ni saya pun macam rin.
Sayang kucc tp nak hug kucc:-D

Anonymous said...

kucc....joe n qistina ok juga even joe duda tapi tak salahkan kan...kan...

Anonymous said...

alahai joe kawin ngan maya pun utk ttp perasaan die kat qis je ye...sian maya!cpt2 la gtaw sape yg qis suke!!:)

Anonymous said...

wahh kucc..baru semangat ni..nak Joe dgn Qis...ok Joe, go for it!!

Unknown said...

Cinta tak semestinya memiliki...Joe yg terlalu sayangkan Qis n takut kehilangan Qis sekali lagi & Joe adalah manusia yg terlalu banyak bersabar...sangat2 baik hati hmmmm suka Jo dari dulu sampai sekarang walau pun Abg FA sangat romantik n baik tapi tak boleh tanding dengan perihatin Joe pada Qis...

Qis tak sedar perasaan dia pada Joe, sebab Joe tak pernah tinggalkan Qis cuma Qis yg tinggalkan Joe perasaan meninggalkan dengan ditinggalkan memang lain sesangat.....Yg pasti Qis berhutang nyawa dengan Joe ...akan tiba masanya Qis merasa bersalah sesangat...

Dgn satu pertanyaan Zura dah kawin ke belum hehehehe Zura n Joe macam ngam je kan???? kawan lama tuuuu, lagi lama dari Qis

ajeje said...

best!!!!! even saya bkn peminat joe
tapi kesian jugak joe dia pendam perasaan pd Qis...
But i rasa Qis N joe no chemistry but as a good friend YES....

Joe dgn Zura pun Ok jugak setuju dgn noorliyana!!!! heheheh

mizz acu said...

Alahhaiii.. Ai da bebelah bagi nih..
Ai like joe... Ai like khal too..
Nak pilih sapa ni????? :(

Anonymous said...

haih..Xde kisah khal la dlm n3 kli ni...sian joe...baru je kematian isteri,cinta kpd qis tidak berbalas pulak...sy nk request seelok2nya mungkin blh bt wtk seorang perempuan lain ala2 mcm qis utk joe...mungkin lbh baik drpd qis...Coz qis hnya sesuai utk khal je...hehe..

nana said...

Inilah kenapa saya pilih Joe buat Qis. Cinta Joe buat Qis ikhlas, cinta bukan utk memilik. Dia rela lihat Qis disamping Khal asalkan Qis bahagia. Kesian Joe, masih kah dia berpeluang mendapatkan Qis, hanya penulis yang tahu.

Zalida said...

Hmmm....peminat Qis semuanya dahsyat2 nih....ai pun jadi konfius dah.

sara said...

Kucc...jgn lah buat watak joe macam watak akhmal dlm RS. Kesian kan.
Tak habis kesiankan akhmal walaupun dah berbahagia dgn siti.

Anonymous said...

heii,,pening la mcm ni,,
sy sama mcm mizz acu,,
dlu nk khal sgt2,,
tp nk joe jgk,,
haha~
smbg2,,

Haslina@DC said...

Kucc dear.. make it FA or Joe..not the other one please..hehehe

nazira azwa said...

hai dilemanya nk memilih..
sy suka Joe tp sy pn suka FA jg..
nk pilih sape n..

Anonymous said...

please writer jgn buat Qis dgn Joe or Khal...nk FA....

Anonymous said...

Joe...cintanye pd qis sungguh luhur..Romantik Joe blm ditunjukkan klh Fa & Khal...cair qis nnt. I'm still with Joe...go.Joe..go Joe...

Anonymous said...

hatiku dah terbelah dua..khal and joe..alamak..nk pilih siapa ya?hmmm,khal la!!

Kak Sue said...

... pilihan saya tetap Khai.... Khai dah boleh jadi seorang yang penyabar walaupun nampak Qis dan FA kan... Qis tetap anggap Joe kawan baik dia.... hati bila dah jadi kawan baik susah nak jadi kekasih....

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...