Monday, February 18, 2013

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 26


Bab 26
Kalaulah angin yang menderu kuat diluar kala dia memandu pulang tadi boleh diminta menghantar pesan, mahu sahaja Khalish meminta pertolongan darinya agar sampaikan pesan pada si barbie doll pujaan jiwaraganya itu yang dia sangat rindukan wajah keanak-anakkan itu. Si barbie doll yang dia nampak sebentar tadi kala berada di Tamarind Springs. Sungguh-sungguh dia rindu! Sudah beberapa hari dia tidak melihat wajah dan senyum itu. Bukan tidak mahu namun tuntutan tugas yang memisahkan mereka sementara. Hanya panggilan dan kiriman pesanan yang tidak pernah dia lupa lakukan. Khalish mahu sentiasa dekat dihati dan jiwa Qistina. Tidak mahu berpisah lagi. Cukup sekali dia terkhilaf. Tidak akan dan mahu diulang kesilapan silam. Biar Qistina tidak menjanjikan apa-apa sejak mereka kembali berbaik malah pernah meminta Khalish melupakannya, namun untuk undur dan putus asa, tidak akan sesekali dicatat dua kalam itu didalam kanvas tekadnya. Qistina itu cinta pertama dan terakhir. Qistina itu kekasih awal dan akhir. Qistina itu hadir disetiap helaan nafas dan degup jantung. Qistina itu segala-galanya!

Seingat Khalish dan sememangnya dia amat pasti Qistina melalui pengamatan hatinya sejak beberapa hari ini seperti biasa sahaja kala berbual. Tiada yang pelik. Tiada yang ganjil. Kalau ikutkan hati memang dia mahu mengajak Qistina keluar malam ini. Namun bila memikirkan keluhan Qistina beberapa hari lepas tentang kerja-kerjanya yang bertimpa, tak tergamak dia mahu mencuri waktu rehat belahan jiwanya itu. Fikir Khalish esok lusa mungkin sudah reda maka bolehlah dia teruskan rancangan awalnya. Sungguh. Memang dia mahu membawa Qistina ke tempat itu. Khalish tahu benar kesukaan dan kecintaan Qistina kepada alam sekitar dan Tamarind Springs itu sangat tepat buat Qistina jatuh cinta. Ahh..mana dia tahu rancangannya sudah awal-awal dicantas si peminat misteri Qistina. Pasti dan Khalish yakin Zita lah yang memberi semua tips dan maklumat tentang segala apa yang mampu membuatkan Qistina teruja dan jatuh hati. Qistina itu kan pencinta alam sekitar, lalu segala yang bersangkutan dengannya pasti akan membuatkan jiwa serta hati si barbie doll itu turut sama berserakan warna cinta. Dan tadi Khalish lihat betapa gembiranya Qistina bersama seseorang yang cukup dia kenali meninjau-ninjau di persekitaran Tamarind Springs ini. Keterujaan Qistina cukup terserlah. Senyum dan tawanya buat Khalish rasa mahu sahaja menerpa ke arah belahan jiwanya itu tadi jika tidak memikirkan dengan siapa dia bersama. Mahu melepaskan gunung rindu yang memuncak. Ya, Khalish sudah maklum akan siapa lelaki itu. Si peminat misteri yang sedang cuba menakluk hati juita hatinya. 

Kala mata menangkap susuk tubuh kedua-dua insan yang sedang melangkah masuk nafas rasa terapung di lohong kerongkong. Tersekat. Hampir lemas seluruh pancaindera kala bebola mata melihat segala yang terbentang didepan mata. Terkesima. Diri bagai tersihir. Kelu. Dan kala tersedar bila diseru oleh suara perlahan Farah, jiwa kembali berombak.Kencang. Nasib baiklah ada disebelahnya Rayyan menjadi bayu penenang. Jantungnya tadi bagai dipancung dua saat melihat kedua-dua beriringan jalan, namun kini dia masih mampu dan cuba bertahan. Dia tahu, untuk kali ini, dialah yang perlu banyak bersabar dari segala sudut. Sang barbie dollnya itu terlalu ramai yang ingin memilikinya. Khalish takkan berputus asa. Khalish takkan sesekali undur dalam perjuangan ini. Qistina itu miliknya. Selamanya. Akan dipastikan. Titik.

Berangan lah kau, Khalish. Tak nampak ke kau tadi dengan siapa belahan jiwa kau berbual mesra. Kau tak lihat betapa gembira dan bahagianya  mereka berdua. Kau tak nampak remang damai yang tersebar diseluruh wajah cantik itu kala tekun mendengar si dia itu bercerita. Kau nampak kan semua tu. Jangan kau nak menafikannya. Bangunlah, Khalish! Bangun. Hentikan segala harapan dan angan-angan kau. Qistina sudah memilih. Dan bukan kau yang jadi pilihannya. Tetapi lelaki itu. Lelaki itu pilihannya yang terbaik, Khalish. Lepaskan Qistina jika sungguh ku sayangkan dia. Beri dia peluang membina bahagia bersama orang yang lebih layak.

Mata terpejam sesaat. Kaki terus mendaki tangga yang terasa berbalam-balam. Genggam tangan dipalang dipaut sekuatnya.  Wajah Qistina yang comel tersenyum terlayar di fikiran. Silih berganti bersama wajah Fazwan. Ditelan liur yang tersangkut. Jadam.

"kau relax, Khal. Maybe Qis...dia just makan malam sahaja dengan Fazwan tu. Nothing between them." Lontaran kata-kata penenang jiwa daripada Rayyan masih basah difikiran. Dan Khalish sedar juga raut penuh persoalan yang terlukis di wajah Farah. 

"you kenal lelaki yang dengan Qis tu,Ray?" 


"his is our client, sayang."

"Goodness."

Dan ternyata jawapan dari Rayyan sungguh mengejutkan Farah. Saling ditenung wajah Khalish dan Rayyan. Silih berganti. Mahu memastikan kesahihan. Anggukan kecil dan senyum pahit yang cuba disiram madu oleh Khalish gagal mendamaikan resah yang membadai di jiwa. Ekor mata tidak putus dan berkelip dari memandang susuk tubuh dan wajah yang sangat dia rindu dihadapan sana. Qis, Khal rindu. Terlalu rindu!

Tangan meraup wajah yang ditumbuhi rintik-rintik peluh resah. Kaki yang memanjat tangga terasa bertambah berat. Tak terdaya memikul berat badan yang tiba-tiba tidak mahu berkompromi dengannya malam ini. Mungkin tubuh sudah bersatu dengan rasa dalam jiwa yang sedang dibadai arus bimbang dan gusar peringkat jingga lalu menghantar isyarat ke minda yang kemudian tersalur pula ke seluruh urat saraf. Fikiran kalau sudah dikuasai amukan rasa, takkan mahu berfikir waras. Takkan mampu menjana minda yang damai. Tenang. Wajah pintu sedang melambai. Langkah sayu diatur ke bilik. Tombol pintu pantas dicapai. Tubuh diloloskan kedalam. 

Tubuh yang bersarung tee hitam polo dihempas ke ranjang yang dibalut cadar rona biru langit. Dipejam mata. Ketat. Rapat-rapat. Turun naik nafas memacu aliran adrenalin tubuh yang sudah entah bagaimana rentaknya. Bagai mengerti perasaan tuan empunya tubuh. Jiwa lelaki Khalish sungguh sedang kacau ketika ini. Semuanya kerana apa yang dilihat sebentar tadi. Semuanya kerana pemandangan itu. Pemandangan yang membuatkan diri seakan-akan rasa dihumban dari tingkat paling tinggi. Melayang-layang lalu terhempas. Tadi kala melangkah kaki rasa tidak jejak ke bumi namun terus digagahkan tubuh mendaki anak tangga ke tingkat atas. Sapaan mama dan mak Ning yang berbual diruang tamu dibalas dengan lambaian dan alasan belum isyak. Alasan yang sebenar hanya Khalish yang tahu. Tidak tergamak rasanya mengadap mama dengan wajah rusuh. Takkan mahu mempamer muka berserabut didepan mama. Takkan mahu menunjukkan muka kusam dan kelamnya dihadapan mama. Pasti bijak ditebak mama. Akan berpanjangan nanti dengan segala soalan bermotifkan prihatin mama. Khalish tidak mahu mama gusar. Mama sudah cukup malu dengan kebodohan Khalish dahulu. Cukup-cukuplah dia menyakitkan mama. Tekadnya hanya mahu melihat sinar bahagia dan damai di wajah mama. Dan kunci kepada segalanya itu ada ditangan Qistina. 

Putaran ditombol pintu menyentakkan segala yang berpuing-puing di fikiran. Ditoleh dengan  kepala yang digerakkan. Senyum yang rasa begitu payah diukir, dilontar juga. Wajah redup damai itu membalas seraya melangkah masuk. Tubuh sederhana gempal itu sudah berlabuh dibirai katil. Tangan tuanya yang terlalu banyak berjasa sepanjang usia Khalish singgah di dahi. Tenang mula bersila dihati.

"Khal tak sihat ke, sayang."

Senyum. "tak ada la ma. Penat sikit."

"Khal..."

"ya, ma.."

"Mama tau. Tengok muka Khal mama tau."

Ketawa kecil. Cuba melawan debar."apa ma cakap ni,hmmm."

"Annur kan?"

Bibir dikemam. Mama...sukarnya dihindar.

"kenapa dengan Qis, ma?"

"Khal jumpa Annur tadi kan. Atau Khal nampak Annur dengan orang lain."

Jeda. Suara Khalish bagai dilarikan sang garuda. Tidak mampu bersuara. Renungan mata mama buat degupan jantung rasa terhenti. Seraut wajah Qistina yang manis ketawa dan tersenyum yang dia curi tadi untuk disimpan didalam peti jiwa buat peneman mimpi dan lena malam nanti dikeluarkan kembali. Digantung dihujung mata. Ditatap. Direnung.

Qis, Khal rindu...
* * * * * * *
"Encik Fazwan.." Dokumen didalam folder plastik jernih yang siap ditandatangan dihulurkan kembali kepada gadis manis yang sedang berdiri dihadapan. Hujung jari menolak cermin yang sedikit melorot. Senyum manis seperti biasa dihulur. Itu sudah menjadi kebiasaanya.

"ya, Rina.."

"En Fazwan lately happy semacam saya tengok." Tangan Rina menyambut sopan dan penuh hormat folder yang dihulurkan ketuanya.

Fazwan senyum lagi. "iya ke, Rina? Biasa je saya. Hari-hari pun saya macam ini kan. " Hujung jari telunjuk menolak kacamata yang sedikit melorot. 

Rina menggeleng perlahan. "Saya ni dah jadi setiausaha Encik Fazwan dah lama. Saya bukan tak kenal sikap Encik Fazwan. Muka encik Fazwan bercahaya. Berseri. Bertambah tambah handsome. Saham makin melambung nih encik Fazwan." Pecah ketawa Fazwan dengan usikan Rina. ketawa Rina turut bersulam.

"you ni dari dahulu suka sangat mengusik saya. Dulu dengan Faisal pun you suka usik dia kan. Patutlah Faisal missed you so much. Rindu usikan dan gurauan you tu."

"Siapa yang bertuah tu?"

Ketawa. "apa maksud awak ni, Rina..hmmm."

Rina angkat kening." Encik Fazwan sedang jatuh cinta dengan someone kan."

Senyum dan gelengan kepala bergerak serentak.  Rina..Rina.

"Dua bouquet purple roses yang saya hantar hari tu. Then yang pagi tadi lagi. Orang yang sama... Annur Qistina. Sedap nama dia, encik Fazwan. Mesti cantik giler kan. Saya perhati lepas hantar bunga tu encik Fazwan resah je. Mesti risau kan dia terima ke tidak...kalau kena humban dalam cik tong, aduh..sadisnya.Tapi saya rasa tak kut...sebab tengok muka encik Fazwan yang berseri-seri lately..sah sah dia letak purple roses tu dalam bilik tidur dia. Betul tak teori saya ni, encik Fazwan?"Rina tayang senyum meleret.

Pecah lagi ketawa Fazwan. Dah cantik, giler pulak. Apa punya bahasa lah Rina ni.

"you stalks saya ke Rina,hmmm. Rina..Rina. "

"Ala..jadi stalker untuk bina  masjid takper encik Fazwan. Lagipun..lelaki tak buat macam tu kalau dia tak ada apa-apa perasaan kat perempuan tu tau, Encik Fazwan. Tak sungguh-sungguh kalau tak ada hati kan seseorang perempuan tu. Mesti Annur Qistina ni special kan encik Fazwan?"

Fazwan senyum memandang Rina. Senyuman yang cukup manis. Senyum Qistina sedang terbias di layar mata. Senyum Fazwan makin mekar. Dia sangat istimewa , Rina. Terlalu istimewa. 

Rina senyum kala melihat senyum manis Fazwan yang kembang berbunga-bunga. Ada taman bunga ros ungu dalam hati la tuh... 

"Tengok, betul tak saya cakap. Encik Fazwan senyum berbunga-bunga bila saya sebut nama dia. Memang sah la Annur Qistina ni special giler. Kalau tak, takkan dia berjaya curi hati boss saya yang handsome maut nih."

Handsome maut? Terburai ketawa Fazwan. 

"encik Fazwan.."

"ya.."

"macammana boleh kenal si dia bernama Annur Qistina nih?"

Gelak.

"Encik Fazwan..."

"hmmm.."

"saya nak bagi tips ni.."

Ketawa Fazwan yang masih tersisa terlontar ke wajah manis Rina.

"tips apa ni, Rina. Awak ni ada ada sahaja. Dulu bagi tips kat ex-boss awak. Tak jalan pun."

"eh..tu bukan salah saya. Encik Faisal tu yang malu. Melepaslah. Encik Fazwan kalau taknak sejarah berulang..tolong buang malu tu. Cakap terus terang kat perempuan tu encik Fazwan suka dia...suka sungguh-sungguh. Cup dia. Tidak orang ambik, At least dia tahu isi hati encik Fazwan."

Dahi Fazwan berkerut."Cup?" Apa tu Rina."

"Ala..slow la encik Fazwan ni. Cup tu macam encik Fazwan book la. Tidak karang, orang ambik. Mana tau kut-kut ada orang kiri kanan yang sama kejar dia. Melepas nanti encik Fazwan. Menangis guling-guling turun tangga pun tak guna. Ingat ni pesan saya, encik Fazwan. Cakap..jangan tak cakap tau!" Rina lontar kenyitan mata sebelum menghayun langkah ke pintu. Perlahan tombol pintu ditarik dari luar bersama hilangnya kelibat Rina.

Fazwan geleng kepala dalam ketawa yang terlepas lagi. Kata-kata Rina berulangtayang. Cup? Tidak karang orang ambik. Minda berputar. Kata-kata Zita kembali terngiang-ngiang. 

"Zie risau abang Wan. Abang Wan kena serius kalau betul suka kat Qis. Kena cepat."

"Kenapa Zie cakap macam ni. Abang kan baru dalam proses kenal dia. "

"Bekas tunang Qis tu sedang kejar dia balik. Zie tak mahu Qistina menderita lagi. Zie tak sanggup tengok kawan baik Zie terluka lagi. Qis tu gadis baik,abang Wan. Terlalu baik. Abang jangan lepaskan Qis. Abang kena beritahu dia rasa hati abang."

Dua jari mengelus pangkal hidung. Mata terlontar di pintu bilik yang tertutup rapat. Cuba melakar wajah seseorang disitu. Gagal. Bekas tunangan Qistina. Ingin benar dia kenal siapa gerangan lelaki yang tergamak melepaskan gadis sehebat Qistina. Hilang akal benar lelaki tu agaknya ketika itu hingga tergamak meninggalkan Qistina terkapai-kapai menanggung malu bersendirian. Dan sekarang kembali pula mengejarnya tanpa silu dan segan. Kepala menggeleng perlahan. Kalaulah dia ditempat lelaki itu, tidak digambarkan betapa bertuahnya diri dianugerahkan gadis seistimewa Qistina. Nafas dihembus tenang. Wajah Rina dan Zita silih berganti.

Cup Qistina.

Jangan lepaskan Qistina.

Bibir Fazwan ukir senyum paling manis.

21 comments:

Unknown said...

Rasa mcm kena dera sgt2 ni .. Khal, FA & Joe .. inipun Joe belum make his move lagi .. mulut mcm kena kunci pulak tu .. hehe .. sapa yg Qis pilih .. kucc .. kesian lah kat kami .. huhu

Unknown said...

betul lh tuh....booking lh dulu...sat g fazwan,khal,joe...sume nyer gigit jari...pat pat nyer sape cepat die punyer...be gentle lh...hai hero2 malaya...heeheeeeeeee tk kisah lh sape pn,yg pasti cinta wat qis luhur dn iklas...

Unknown said...

Faisal yg dapat..... Hahaha

Haslina@DC said...

Hehehe aah kan Faizal masuk equation baru haru..Kucc jgn dera we alls...tgh saspen ni...Joe blm masuk gelanggang.. Apaper pun nk FA!! Hehe

Anonymous said...

vote FAAAAAAAAAAAA

Zalida said...

alaaa kucc.....rasa macam x blh bernafas ni bila tahu FA sungguh2 nakkan qistina ni. sebab khal yg pertama, susah rasanya nak accept org lain.

Anonymous said...

bagi chanace kat khal . cinta pertama susah untk dilupakan .

Anonymous said...

Kesian dkt khal...semua org pernah buat silap..khal dah pun terima balasannya...tapi saya rasa mcm kucc selalu Bagi peluang Kat hero baru mcm dah blh agak

Anonymous said...

Kucc, ai ttibe rasa menyampah ngn zita nih..
Mcm dia dah ganggu privvacy si barbie doll ni.. Kalo ye pon nak tlg.. Jgn lla smpai betul2 sekat jln si khal tu.. Biar la qis bebas pilih... Huhuhuhu..
Kesiann plak kt khal.. Joe pon kesiann.. FA je kurang kesian.. Ahahahahhhaha...

M.A

Anonymous said...

wow..3 jejaka duk rebut sorong barbie doll...spe la y terpilih...xleh nk tembak..nie y uat jd penasan pingin tahu...

ara

Anonymous said...

nk FA dgn QIS.....

Anonymous said...

Alamak...siokla baca crita ni...inda sabar n3 yg terbaru :)

ajeje said...

Hmmm.... memang susah nak pilih
khal pun ok FA lagi ok
tapi cinta pertama mmg susah lupa tapi cinta pertama dah buat qis merana selama 5 TAHUN....
apa pun kita tgu cik writer for the next n3. :) semakin syoook cite nie

Anonymous said...

makin suspen la... sy suka Khalish tp sy tunggu je cik write yg decide. Kalo ikut, kerna aya sofya pn cik writer bg chance kt org baru..so yg ni x bole nk agak plak...

Atty Ismail said...

Ok FA....Jgn lembab ok...Pikat qis laju2...

nazira azwa said...

btl 2 FA kn la book dl klu dh btl2 berkenan..n Joe blm make his move lg..nnti msti Qis dlm dilema..

Unknown said...

Sapa pun tak dapat sebab Qis , sebab Qis gi jauh bertemu sang pencipta..... ni kan cite sedih so kena nangis

sya said...

nk Fazwan ek kucc..xnak 2 org lg tu...kl x, mogok xnak bace da cite ni..hehe

Anonymous said...

zie jgnlah sibuk sngt nk masuk campur urusan qis....Xsuka tau!!!cik writer tlg kekalkan hbngn qis dgn khal...khal dh sdr kesilapan dia...plzz kak!klau khal bkn heronya sy mmg x bli novel akak...ceh!hehehe...

Kak Sue said...

.... kasihan Khai x ada orang yang nak sokong dia untuk kembali pada Qis.... CINTA PERTAMA SUSAH NAK DILUPAKAN....

Eijan said...

Kak Sue....i follow u...Sy masih sokong KHAL...dont give up bro....go for ur luv one....

Tp mmg hero2 bertiga ni semua lelaki idaman Malaya betul...kalau jadi Qis pun confuse nak pilih mana satu????

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...