Tuesday, November 13, 2012

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 1


Bab 1
Mata Qistina jauh merenung kaki langit dari tingkap kecil pesawat MH1 yang sedang membawa dia pulang. Pulang menjejakkan semula kaki ke bumi bertuah yang sekian lama ditinggalkan. Ditinggalkan demi sebuah harga diri dan luka dijiwa yang terlalu parah untuk diungkap dengan bilah kata. Jika tidak kerana tuntutan tanggungjawab yang memanggilnya pulang sumpah yang tertusuk dihati takkan dipadamkan sampai bila-bila.  Dibumi bertuah ini tercatat peristiwa yang sukar dibuang dari lipatan ingatan sampai hari ini. Sukarnya mahu melupuskan kenangan itu dari terus bertamu. Ingatan tentang darah merah dari luka yang rabak merobek jiwa halusnya deras membasahi lantai hati kembali menyapa.  Dipejamkan mata. Dihela nafas sejenak. Peristiwa itu sudah lama diikat kemas, dilipat dan disorong ke ruang paling dalam di ujana hati. Tidak mahu dingati lagi kepahitan yang menjadi penyebab langkahnya berlari tanpa berpaling meninggalkan segala yang dikasihi dan disayangi di bumi bertuah ini suatu waktu dahulu.

Dikerdipkan mata berkali-kali kala mata menyapa kepulan awan nan memutih. Ada rasa hangat yang hadir ditubir kolam matanya yang bundar. Pantas disapu dengan hujung jari sebelum titis itu melimpahi tebing. Langit petang masih cerah dan beriak tenang menyambut kepulangannya. Dikalih mata kala melihat penumpang disebelah sedang membetulkan duduk dari lena yang panjang. Senyum bertaut. Disusuri pandangan mata pada langkah beberapa anak kapal yang sedang mundar-mandir meladeni para penumpang. Pesawat sudah memasuki langit Kuala Lumpur dan sebentar lagi pesawat akan mendarat. Itu pengumuman dari kapten bertugas yang mengemudi Airbus A380 ini dari Heathrow lebih 12 jam yang lalu. Kenangan tentang perbualannya bersama Layla Aisyah malam tadi kala di terminal 4 sebelum memasuki balas berlepas di lapangan terbang antarabangsa Heathrow masih segar di fikiran. Berkali-kali teman baiknya itu bertanyakan keputusannya untuk kembali. Kuatkah langkah ini untuk kembali di bumi kelahirannya ini setelah apa yang telah berlaku lima tahun dahulu. Kuatkah hatinya untuk menangkis rasa itu dari kembali menghentak jiwanya yang cukup terluka dan dilukai dahulu. Sakitnya masih terasa hingga kini. Tidak terpadam biar ditiup bayu masa yang panjang.

"kau pasti dengan keputusan kau nih." Tatapan mata Layla tepat memanah. Qistina khali sejenak. Memandang kosong pada bangku hadapan yang diletakkan beg kertas sederhana besar berisi strawberry crepe dari air tangan Layla yang begitu enak.  Dua bekas plastik empat segi didalam yang diisi manisan tersebut. Satu untuknya dan satu lagi untuk teman akrab mereka Zita Asyikin yang akan menantinya di KLIA nanti. Mereka bertiga teman akrab sejak di sekolah menengah lagi dan sehingga kini terus utuh tersimpul. Mata masih merenung wajah cantik Layla. Teman akrabnya ini terlalu baik. Menjaga dia selama membawa diri ke tanah ratu ini atas tiket tuntutan kerja biarpun kisah disebaliknya bukanlah begitu. Layla tahu segala yang telah berlaku. Tiada satupun yang dapat disembunyikan daripada temannya ini. Mungkin kerana itulah Layla berat mahu melepaskan dia pulang. Layla tahu hatinya masih belum sembuh sepenuhnya. Riak ceria diwajah Qistina yang selama ni dipamerkan gagal menipu mata hati seorang Layla.

Tangan yang disilang ke tubuh dileraikan."tak selamanya aku terus di sini, Layla. Lagipun kontrak aku disini dah tamat. Aku kena balik. Kerja disana dah menanti aku. Kau pun tahu kan komitmen aku. " Pergelangan tangan ditoleh. Ada sedikit masa lagi sebelum dia melangkah memasuki balai berlepas.

Layla dilihat menghela nafas panjang bersama gelengan perlahan. Rambut perang gelap temannya itu cantik sekali terbuai. "boleh jer tukar co. lain kalau kau mahu. Offer bukannya tak ada. Banyak. Kau tu jer... yang tak nak kan. Bukan aku tak tau."

Jeda. Dibiarkan persoalan dan pertanyaan Layla tanpa mahu memberikan apa-apa jawapan.  

"Qis.." Bahunya dipaut erat. Senyum terukir. Mata indah Layla bertembung dengan sinar bundar matanya.

"kau pasti akan jumpa dia disana nanti, Qis."

Bibir dikemam. Entah mengapa terasa ada sesuatu yang kembali menampar dinding hati. Di bawa mata lari ke dinding cermin setentang. Lama matanya singgah disitu. Seakan ada lakaran seraut wajah terbias. Kabur. Dihela nafas perlahan. "bumi Malaysia tu luas, Layla. "

"kalau kau jumpa dia jugak, macammana?"

Dilepaskan nafas dalam-dalam. Mata Layla dicari dan ditatap. "buat dunno jer lah. Habis cerita kan. Aku dah lupa pun muka dia macammana. Dan dia pun tentu dah tak ingat apa-apa lagi pasal aku. Memang mahunya begitu." Akal menyangkah. Mana mungkin dilupakan wajah itu. Akan tertanam difikiran sampai mati. Tidak! Dia mahu melupakan wajah yang satu itu. Tidak mahu mengingatinya sampai bila-bila!

"semudah tu? Kau ingat aku nak percaya kata-kata kau nih. Come on la, Qis. I'm not your barbie doll ok."

Ketawa halus terluncur. Bahu Layla dielus lembut."doakan aku, Layla." Senyum bertaut. Pelukan kedua-dua makin erat. Itu perbualan terakhir sebelum kaki melangkah masuk ke balai berlepas. Langkah terakhir meninggalkan bumi yang memayunginya sejak enam puluh bulan. Bumi yang meminjamkan tanahnya untuk dipijak Qistina selama menjadi pemastautin di sini. Selamat tinggal tanah Manchester. Selamat tinggal tanah ratu.

Troli yang mengusung bagasi ditolak melepasi balai berlepas. Langkah tenang dibawa menyusuri celahan manusia yang turut sama menolak troli sepertinya. Hingar-bingar menyapa cuping. Suasana yang lazim dimana-mana lapangan terbang. Mata meloncat memandang dicelahan orangramai yang berbaris didepan. Pasti menanti kepulangan orang tersayang.  Tiada kelihatan wajah yang dicari. Ditolak troli melepasi deretan orangramai yang bersesak didepan. Dibawa troli ke bangku didepan. Dilepaskan nafas. Ditoleh sekali lagi ke kiri dan kanan. Ditoleh Guess dipergelangan kanan. Jam agaknya ni. Dilabuhkan duduk dibangku sambil mata memandang ke pintu masuk. Beg kertas yang berisi stwaberry crepe yang kemas berbalut plastik kedap udara diletakkan ke riba. Beg sandang LV hadiah dari Layla sempena ulangtahun harilahirnya dua tahu lalu diletakkan di riba juga.

Duduknya takzim memandang gelagat manusia yang lalu lalang dan mundar mandir. Akhirnya dia jejak kembali tanah bertuah ini. Akhirnya dia pulang dari pelarian sejak puluhan purnama. Pelarian dari luka yang mencarik jiwa. Pelarian yang terpaksa dilakukan demi sebuah maruah diri yang teruk dihenyak. Pelarian yang membawa diri jauh dari kasih sayang keluarga. Pelarian yang membawa diri jauh terhumban dari kehidupan bahagianya suatu waktu dahulu. Qistina tahu luka dihatinya ini tidak akan sembuh semudahnya biar sekian lama segala-galanya itu berlalu. Apa yang dirasai selama ini, tidak pernah dirasai oleh sesiapa. Tiada siapa yang tahu perasaannya. Tiada siapa yang tahu penanggungannya. 

Lambaian seorang wanita muda cantik  dipintu masuk yang manis berskaf dengan tee hitam  dan berjean pudar sambil menggenggam erat tangan seorang gadis kecil berambut perang tidak sukar diteka siapa gerangannya. Zita Asyikin masih cantik seperti dahulu juga. Zita Asyikin teman akrabnya selain Layla Aisyah. Zita Asyikin yang sudah menemui bahagianya selepas kecewa dan dikecewakan oleh kecurangan bekas suaminya dahulu. Qistina tahu Zita sangat bahagia dengan kehidupan baharunya bersama Azhar dan Maisarah. Cuma sayang dia tidak berkesempatan pulang meraikan hari bahagia teman baiknya itu. Kekangan diri memaksa Qistina menghampakan permintaan teman baiknya ini. Namun Qistina bersyukur, Zita memahami keadaan dirinya. Selalu sahaja mereka berutus berita di alam maya selama ini sejak berpisah pentas benua.  Dibalas lambaian dengan senyuman yang manis nan lebar. Ditegakkan tubuh. Beg kertas dijinjit. LV disangkutkan ke bahu.  Zita sudah memanjangkan depangan tangan sambil meluru  ke arah Qistina. Bibir dikemam. Qistina tenggelam dalam pelukan kecil Zita. Esakan halus bersaing di cuping. Belakang tubuh Zita diusap perlahan.

Pelukan terlerai. Senyuman Qistina masih belum usai. Bahu Zita dielus lembut. Teman akrabnya ini menyapu hujung mata dengan anak jari. 

"lamanya tak jumpa kau, Qis. Bertahun-tahun. Rindu sangat kat kawan aku sorang nih."

"aku rindu kau jugak, Zie. Sihat nampak...berseri-seri puan Zita Asyikin sorang nih yer."

"yelah tu membodek aku kan...." Zita mencebik yang mengundang ketawa Qistina. " kau tu kata rindu tapi taknak balik."

Senyum. Mata masih bertaut.

"Lama tunggu tadi? Maaflah..lambat cari parking."

"faham. Don't worry ok. Aku yang patut say sorry sesangat sebab menyusahkan kau datang petang-petang nih jemput aku. Aku nak naik cab kau tak bagi."

Zita menggeleng." tak ada susahnya. KL memang macam nih. Jam tu dah jadi acara wajib."

"Qis..kau makin cantik...slim maintain macam dulu. Kena bayu selat inggeris makin putih kau kan." Tubuhnya yang ringkas berjean dan berkemeja petak-petak merah hati dan tudung sedondon dipusing-pusingkan Zita persis  model peragaan pakaian. 

Ketawa. "tapi tak boleh lawan cantik kau, Zie.."

Zita mencebik kecil. "dah gelap aku nih. Nasib baik tak berkilat. Berjemur jer. Kena dera jogging every weekend dengan my roommate tuh." Qistina geleng kepala. Ketawa lagi. Beg kertas yang dijinjit dihulurkan. Zita angkat kening.

"cik puan Layla Aisyah kirim salam dan kirim bendalah nih.."

Salam disambut perlahan oleh Zita menyapa pendengaran. "apa tuh.." Dibelek beg kertas dari luar dengan mata yang dikalih kembali memandang Qistina.

"strawberry crepe kesukaan kau tu laa. Tapi cream takda ye...sila bubuh sendiri dia pesan." Qistina ketawa. Lucu dengan pesanan Layla untuk Zita malam tadi. Bebola mata Zita yang galak kian besar. Senyum lebar sambil kepala menjenguk isi kertas. "sedap nih. Makcik tu kan memang pandai buat strawberry crepe terbest di dunia...dan pandai jugak mengenakan aku. Tengok laa..strawberry crepe botak yang dia kirim. Hampeh betul!"

Ketawa kedua-duanya berderai.

Mata jatuh pada gadis manis yang sedari tadi merenungnya tidak berkelip. Mata diangkat memandang semula ke arah Zita." Maisarah kan?" Zita angguk. Senyum. 

"sayang..kenalkan ni kawan baik mama..auntie Qis."

Dahi Maisarah dilihat Qistina berkerut halus.

"Kiss? Like this mama?"Bibir Maisarah dimuncungkan.

Ketawa Zita dan Qistina berpadu.

"no no sayang. Not that kissed. Is Qis..Q-I-S."

"Qis? Nama kawan mama pendek."

Qistina senyum. Diusap lembut pipi mulus Maisarah.

"Nama auntie Annur Qistina. Mama Sarah panggil auntie Qis sahaja. Mama Sarah dan auntie Qis kawan baik dari sekolah lagi. Sarah pun boleh panggil auntie as auntie Qis so nanti kita pun boleh jadi kawan baik jugak. Nak tak?"

Maisarah angguk. Senyum manis terserlah dari bibir mungilnya."ok auntie Qis. Kawan mama pun kawan Sarah jugak. Right, mama?" Giliran Zita mengelus pipi mulus Maisarah.

"ok..jom." Zita tarik tangan Qistina dan menggenggam tangan Maisarah.Troli ditolak melepasi pintu masuk.

Tali pinggang ditarik dan ditekan ke punatnya. Zita disebelah sudah memutar stereng. BMW hitam menluncur perlahan meninggalkan kawasan parkir.

"Qis.."

Pandangan mata yang tadinya leka memandang ke luar tingkap menyaksikan kaki langit yang kian jingga dibawa ke dalam. Sisi wajah Zita yang sedang tenang memandu ditatap. Jalanraya yang sedikit sesak membuatkan pemanduan Zita sedikit perlahan. 

"hmmm.."

"kau tinggal dengan aku yer. Azhar ok. Lagipun bilik rumah kami tu banyak. Sunyi jer pun."

Qistina menggeleng." seganlah Zie. Aku cari rumah sewa jer nanti."

Zita melontar jelingan halus. "aah..mengada kau tuh. Aku dah cakap dengan Azhar. Dia ok sangat-sangat. Aku ada gak kawan kalau malam-malam or kalau dia kena outsation. Kadang Maisarah pun bosan asik pandang muka aku jer kalau papanya outstation. Tu yang kadang-kadang berangkut rumah papa aku. Naik pening orang tua  dengan perangai kita orang berdua. Ok yer Qis....pleaseeeeeeee."

Qistina senyum. Angguk. " Sementara sahaja ok. Aku cadangkan jugak kau beranak la banyak-banyak Zie. Sure meriah nanti banglo kau tuh. Jangan runtuh sudah."

Tangan kiri Zita menghala ke perut sambil tersenyum memandang sekilas Qistina yang tunak merenung dari tadi dengan mata tidak berkelip.

"ada?" Qistina teruja. Zita mengangguk. "on the way."

"alhamdulillah. Akhirnya kan. Ameen..ameen...ameen." Qistina raup wajah. Senyuman kedua-duanya bertaut.

"Qis..."

"kau dah sedia.."

"maksud kau?"

"Dia.."

"he is just a history in my life, Zie. Aku takkan toleh ke belakang lagi."

Zita senyum. " aku akan setiasa sokong kawan baik aku ni. Aku tau kau boleh..kan?" Qistina angguk. Lengan Zita diusap lembut. "Insyaallah. Doa-doa kan aku Zie,hmmm." Pandangan kedua-duanya bertaut. Penuh bermakna.

Jika tak sedia, dia takkan pulang!

10 comments:

The Lady Chosen said...

Menarik cerita baru ni, tak sabar nak tahu kisah Qistina selanjutnya.... Owh kiranyer ni kawan Zita dalam novel istikharah terakhir tu kan cik kucc
Huhuhuhu cepat2 yup upload n3 baru, xcited nk baca ni :)

mizz acu said...

Wahhh... Citer baru!
Hemmmm.. Ni awal2 da sentap.. Citer sedey ke nni kucc? Aiyooo.. Tamo la nangis teruk2 tau.. Skit oke ;p
Teruja nak tau sapa 'dia' yg jahat sgt smpai wat qistina bawak diri bertahun lamanya..

Eijan said...

Tahniah ada citer baru....wah awal2 dah sentap ni kucc...tak sabar nak mamat mane yg dah buat qis tu sentap....

zoora said...

wow zita 'berisi'...new story best...will follow

Zalida said...

Kucc....bestnya cerita baru ni. cepat2 sambung ya.

Zalida said...

Kucc....bestnya cerita baru ni. cepat2 sambung ya.

kalaukalu said...

citer baru dh kuar!!!!trtunggu-tunggu citer ni...x sabarnya nk baca... baru smpt gi beli nasi lemak buah bidara smlm...alhamdulillah...dh brtmbh koleksi dlm rak..

kucc_aprilsnow said...


The lady -insyallah,doa2kan kucc dilimpahi ilham yer. Yup,Zita dr ceritera Istikharah Terakhir..

acu-xdok la sedey banyak..cikit2 jer..ekekekeke

eijan darling -tQ dear...kena tunggu utk kenal itew mamat yer..ngeh ngeh ngeh

zoora -tQ dear..

zalita-tQ dear,insyaallah doa2kan kucc yer

kalaukalu-Tq dear beli NLBB, moga akan puas hati. Yup,citer baharu..moga akan suker LCDJM jugak nnt yer.

gerau said...

salam alaik
baru terjumpa blog ni
x sangka dah terbit buku.
kena cari cepat2 ni.
btw,
keep it up writer!
=)

Kak Sue said...

lihkbestttt... ni mesti cerita Qis yang ex- kekasih Wazif kan... dalam cerita KERANA AYA SOFYA .... ni mesti kisah cinta antara QIS dan BEKAS TUNANG LAILA....

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...