Friday, August 21, 2009

Rindu Semalam - Bab 12

Bab 12

"Kenapa?. Apa maksud doktor?" Duhaila memaling wajahnya dari tenang padang rumput nan menghijau dihadapan ke wajah disebelahnya. Sudahlah waktu istirehatnya yang cuma sebentar itu diganggu oleh kemunculan orang lain yang secara tiba-tiba datang dan duduk disebelah sedangkan dirinya...hatinya ingin sangat bersendirian di kala ini , mindanya pula tiba-tiba ditebak dengan soalan yang dia sendiri tidak tahu motifnya.

"Akhmal Hafiz..."meluncur nama itu dari mulut Dr. Taufik. Dr.Taufik menoleh seketika pada Duhaila sebelum mengalihkan pandangannya pada pemandangan di sekitar taman disitu. Dari ekor mata dia dapat melihat gerak-geri gadis disebelahnya itu. Tenang sahaja dia saat nama itu disebut. Tiada riak terkejut apatah lagi akan berpaling merenung dirinya dengan satu pandangan yang tajam atau memaki hamun dirinya secara spontan. Tidak. Tiada langsung segala gerak yang tadi terlintas difikirannya kala dia selesai menyebut nama itu. Gadis disebelahnya ini sangat sukar dibaca isi hatinya. Hatinya tidak sepolos wajahnya. Segala disimpan kejap didalam.Gadis yang menjadi fokus utamanya saat ini...ya fokus demi membantu seorang teman. Teman akrabnya.

Perlahan-lahan tangan halusnya membuka bekas plastik. Dia menghulurkan bekas yang sudah sedia terbuka dan terpamer isi didalamnya kepada Dr. Taufik. Dr. Taufik tersenyum pada Duhaila lalu tangannya mengambil sekeping sandwich comel yang dipotong segiempat kecil. Duhaila mengambil sekeping lalu mulutnya terkumat kamit membaca doa sebelum sandwich tadi disuakan kemulutnya. Suasana senyap melanda kedua-dua mereka. Pandangan masing-masing masih terhala dihadapan...pada padang rumput yang menghijau. Suara-suara kecil dari pengunjung dan pesakit kedengaran sesekali kerana kedudukan bangku tempat mereka bersantai saat ini agak sedikit terpencil.

"Kenapa tanya saya?, kenapa tak dapatkan jawapan yang doktor mahukan dari dia. Dia pasti ada jawapan yang doktor tanyakan pada saya tadi." Dr. Taufik memerhatikan tingkah-laku doktor muda disebelahnya itu.

"Saya mahu dengar versi dari awak. Tidak adil kalau saya hanya berpandukan versi dari satu pihak saja kan walaupun dia teman akrab saya. Saya mahu berlaku adil pada diri saya sendiri Duha."

Duhaila mengambil bekas tupperware berwarna jingga yang diletakkan disebelah bekas plastik berisi sandwich tadi. Dia membuka penutup tupperware tersebut lalu menuang air ke penutup tadi lalu disuakan pada Dr. Taufik. Dr. Taufik menggeleng kepala sambil mengangkat perlahan sebelah tangan kanannya pada Duhaila. Tanda tidak mahu...tanda terima kasih sahaja. Duhaila membawa penutup yang berisi air ke mulut , membaca doa lalu meneguknya perlahan. Nafasnya dihela perlahan.

"Saya tidak mahu menoleh kebelakang lagi doktor. Saya tidak mahu hidup saya ini terus dibayangi kisah silam. Saya sudah lama melupakan semua itu. Segala yang terjadi, yang berlaku dulu sudah saya buang jauh-jauh dari kotak minda saya ini. Saya tidak mahu mengingatinya lagi. Langsung tidak mahu walau sekelumit pun." Dr. Taufik menoleh memandang wajah putih mulus disebelahnya. Nafas Duhaila tenang sahaja pada pandangan matanya. Terdetik rasa kagum pada gadis itu. Mungkin kerana keistimewaan sifatnya inilah dia sukar dilupakan oleh Akhmal walau bertahun mereka terpisah.

"Kisah antara saya dan Akhmal sudah jadi sejarah doktor. Sejarah yang akan hanya menjadi satu catatan peristiwa di dalam diari perjalanan hidup saya. Peristiwa yang sudah lama saya kuburkan kisahnya. Kisah yang ingin saya hapuskan kenangannya dari terus singgah dan menghuni hati dan perasaan saya. Saya yang kini...yang duduk dihadapan doktor adalah Duhaila yang baru...Dr Duhaila. Saya ingin menjadi Duhaila yang baru doktor, jadi tolonglah jangan kacau-bilaukan hidup saya, hati saya, perasaan saya dengan hal-hal yang tidak ingin saya ingati lagi...tolonglah Dr. Taufik...saya mohon ikhsan tuan doktor yang budiman agar jangan hampiri saya lagi jika ingin berbicara soal ini...tolonglah hormati permintaan saya ini." Mata Duhaila sudah menoleh memandang pada mata Dr. Taufik yang juga sedang merenung wajahnya.

"Duhaila...setiap orang berhak diberi peluang kedua. Awak, Akhmal tidak terkecuali dalam hal ini. Jika dihitung...jika diselidiki dia juga mangsa dalam perkara ini...sama situasinya dengan diri awak Duha. Sebagaimana awak menderita dulu...diri Akhmal juga menderita. Sebagaimana awak melalui saat -saat sedih, pilu dalam hidup akibat peristiwa itu dulu...Akhmal tidak terkecuali Duha. Kamu berdua sama-sama melalui saat-saat pilu dalam hidup. kamu berdua seharusnya diberi peluang kedua dalam hal hubungan kamu ini. Bersikap adil pada dirinya juga Duha. Lihatlah juga pada apa yang telah Akhmal lalui selama ini." Taufik meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Wajah mulus disebelah langsung tidak menunjukkan sebarang riak. Tetap tenang seperti tenangnya padang hijau yang terbentang dihadapan mereka itu.

"Peluang kedua?".Duhaila tersenyum kecil sambil menggelengkan kepalanya.

"Apa yang dia lalui tak sama dengan apa yang saya lalui. Apa yang saya alami tak mungkin dia alami doktor... tak mungkin sama sekali. Dia dan saya berbeza situasi...sangat-sangat berbeza. Kelompok sosial hidup dia tak sama dengan persekitaran saya saat itu doktor. Keputusan dulu di tangan dia...bukan saya. Saya langsung tidak dimaklumkan. Saya dibiarkan terkapai-kapai. Bolehkah doktor bayangkan perasaan seorang gadis remaja yang sudah diberi harapan yang indah-indah, dibayangi dengan masa depan yang berwarna-warni...tiba-tiba warna-warni itu hilang, harapan itu lenyap...tanpa kata, tanpa pamit?." Duhaila mengetap bibirnya. Cuba menahan rasa sebak yang mula bertamu. Jemari halusnya cuba menyeka kolam mata yang mula melimpahkan aliran airnya.

"Tekanan, tohmahan yang terpaksa saya tempuhi dalam usia remaja sebegitu sangat-sangat sukar untuk diri saya seorang menghadapinya doktor. Saya kasihan pada ibu. Ibu turut terima tempias. Orang mengata, mengeji ibu, macam-macam ibu kena, tapi ibu diam saja...ibu terima semua tu...sampai hati Akhmal buat kami macam tu. Yang beri harapan dia, yang berjanji dia...tapi mana semua tu, mana?. Bukan mudah saya bangkit dari kekecewaan yang Akhmal tinggalkan pada hidup saya doktor...segalanya terpaksa saya lakukan sendiri. Kemana dia saat saya memerlukan dirinya untuk memberi penjelasan. Kalau tidak kerana sokongan dan doa ibu, saya tak mungkin duduk dihadapan doktor saat ini...duduk sebagai doktor Duhaila. Ibu lah yang banyak memberi semangat untuk saya bangkit dari duka yang Akhmal tinggalkan dalam hidup saya...hidup kami berdua." Dr Taufik lihat Duhaila sudah berdiri sambil memegang kedua-dua bekas minuman dan makanan yang dibawa bersama-samanya tadi. Dr. Taufik perlahan-lahan menyertai Duhaila. Berdiri sambil memandang pada wajah gadis, wajah doktor muda nan cantik dihadapannya itu.

"kalau doktor datang tadi dengan membawa panji keamanan bagi pihak dia...doktor gagal. Keputusan saya sudah bulat...sudah muktamad. Sampaikan pesanan ini pada teman doktor itu. Saya bukan Duhailanya yang dulu. Duhailanya yang dulu sudah "mati". Saya pergi dulu Dr. Taufik. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam." Salam dijawap perlahan-lahan oleh Taufik. Matanya masih memandang susuk tubuh kurus tinggi lampai berbaju kurung biru firus berbunga putih bersarung jubah putih melangkah memasuki perkarangan bangunan hospital. Taufik menghela nafasnya perlahan.

Betul kata kau Mal...hatinya terlalu kejap, keras...namun bukan keras yang seperti kerak nasi.Tidak mungkin boleh direndam untuk dilembutkan lagi.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...